Monday, 28 April 2014

SEBATANG JALAN DI PUTRAJAYA HAMPIR DINAMAKAN "LEBUH OBAMA", MUJURLAH ADA TUN DR. MAHATHIR

Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis di blognya mengenai peranan pembodek dan penasihat kepada seseorang yang berkuasa sehingga menyebabkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh mengakibatkan seseorang pemimpin itu tersingkir daripada takhta kuasa.

Walaupun beliau menulis secara umum dan tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, tetapi jelas difahami bahawa tulisannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang bukan saja dikelilingi paling ramai penasihat, bahkan juga pembodek yang sentiasa mengiyakan apa saja yang dilakukannya.

Yang lebih menarik, sindiran Mahathir ini hanya muncul sehari selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bercakap dalam satu program bual bicara yang jelas menzahirkan sikap anti Najibnya kerana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dilihatnya mengamalkan dasar tidak betul dalam mengurus negara dan membangunkan ekonomi.

Saya bukanlah seorang yang anti kerajaan, tetapi saya anti kepada dasar yang lompong dan tidak betul, tegas Daim menjelaskan tentang prinsip dirinya.
Dalam semua kritikan dan kelemahan yang dikaitkan dengan Najib Razak, selain beliau sendiri tidak mempunyai personaliti yang benar-benar kukuh sebagai pemimpin, peranan penasihat yang berada di di sekelilingnya turut dipersalahkan. Walaupun mempunyai paling ramai penasihat, pegawai dah konsultan di sekelilingnya, mereka itu dilihat tidak memberikan nasihat yang betul dan jujur, sebaliknya lebih untuk menyenangkan hati dan menggembirakan Perdana Menteri saja.

Sebab itu, bukan saja ekonomi tidak berkembang, hutang bertambah, pembaziran berleluasa, tetapi juga menyebabkan timbulnya pelbagai masalah politik, sosial dan perpaduan yang tidak berkesudahan.

Sempena kunjungan Presiden Amerika, Barack Obama ke Malaysia bermula Sabtu ini dan menyedari bahawa Najib amat mengkagumi pemimpin kuasa besar itu dan ingin dilihat antara pemimpin negara membangun yang mempunyai hubungan rapat dengannya, salah seorang penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dikatakan mahu meletakkan sebatang jalan di Putrjaya dengan nama “Lebuh Obama”.

Jalan yang dikenalpasti untuk ditukar nama itu ialah salah satu jalan yang menjadi laluan menuju beberapa kementerian dan tidak jauh daripada Masjid Putrajaya.

Percubaan meletakkan nama Obama ini tidak lain ialah untuk menggembirakan hati Najib yang tentu akan berbunga-bunga hatinya apabila dipuji oleh Presiden Amerika itu nanti.

Ura-ura pertukaran nama itu telah disampaikan kepada Putrajaya Holding dan turut menjadi perbualan sebilangan kakitangannya dan rata-rata turut tidak bersetuju dengannya.

Kunjungan Obama ini mencatat sejarah kerana kali terakhir seorang Presiden Amerika berkunjung ke negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon B. Johnson. Berikutan lawatannya itu, sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan kemudiannya telah diberi nama Felda L.B Johnson.

Oleh kerana Najib dapat membawa Obama ke negara ini hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa dan mampu menyaingi Mahathir yang memerintah selama 22 tahun tetapi tiada seorang pun Presiden Amerika yang datang melawat, barangkali penasihat itu merasakan pengabadian namanya pada sebatang jalan di Putrajaya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi.

Walaupun mengabadikan nama pemimpin besar dunia yang pernah berkunjung ke negara ini bukanlah suatu isu yang sangat besar sebenarnya tetapi meletakkan nama Obama pada sebatang jalan di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tentulah tidak begitu sesuai dan seolah-olah menunjukkan negara mahu berkiblatkan kepada kuasa besar itu.

Sekali imbas dan nyata, ia dilihat seperti Najib mahu membodek Obama tetapi yang sebenarnya ia adalah percubaan salah seorang penasihat yang ingin membodek, menyenang dan dan menggembirakan hati Perdana Menteri yang diketahuinya begitu taksub kepada pemimpin kuasa besar itu.

Bagaimanapun apabila percubaan pertukaran nama jalan itu sampai ke pengetahuan Mahathir, orang yang mewujudkan Putrajaya, beliau telah menyuarakan rasa tidak setujunya atas ura-ura itu kepada pengurusan tertinggi Putrajaya Holding dan mahu imej Putrajaya yang ada dikekalkan. Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu.

Namun demikian, sempena kunjungan Obama bermula Sabtu ini, tidak dipastikan sama ada sebatang jalan lain, kampung atau bangunan yang lain akan dinamanakan dengan nama Presiden Amerika itu tetapi yang pastinya Putrajaya tidak berjaya dicemari dengan unsur-unsur pengagungan nama-nama pemimpin luar.

Segala-galanya kerana Mahathir masih ada dan ramai yang masih segan dengannya. Bagaimana agaknya jika selepas beliau tiada lagi dan pemimpin yang ada beserta penasihatnya terus menerajui negara ini?

SUMBER : www.penpatah.blogspot.com

Monday, 7 April 2014

MISI SAR MH370 : RAHSIA DI SEBALIK KAPAL SELAM

“The value of a submarine is in its stealth and its ability to stay hidden - Nilai sesebuah kapal selam adalah terdapat pada kehalimunannya dan kemampuan ia berada secara sembunyi,” kata Eric Wertheim, seorang penganalisis dan pakar ketenteraan laut United States Naval Institute di Annapolis, Md.

Katanya lagi, “It could very well be doing it. But countries don't typically announce their submarine’ locations - Ia dengan baik boleh melakukannya. Bagaimanapun negara-negara terbabit biasanya tidak mengumumkan lokasi kapal selam mereka.”
Orang yang naif tentang pengetahuan persenjataan tidak akan faham kenapa 'keringat' dua kapal selam jenis tempur (attack submarine) kelas Scorpène kepunyaan negara tidak 'ditonjolkan' kepada khalayak termasuk beroperasi ketika insiden di Lahad Datu dan terbaru operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

Pergerakan dan operasi aset strategik pertahanan negara seperti kapal selam diesel-elektrik, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak ini perlu mengambil kira isu-isu kerahsiaan yang mungkin mendedahkan ia bocor kepada pihak tertentu. Sifat dan kekuatan sesebuah kapal selam itu terserlah kepada tahap kehalimunannya dan kemampuan untuk bersembunyi.
KD Tunku Abdul Rahman berlayar bersebelahan KD Tun Razak, berdekatan Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah

Kepada orang yang naif, tak usah bicara kepada pertimbangan seperti risiko ciri-ciri kerahsiaan dan kemampuan sebenar kapal selam negara terdedah sepanjang operasi SAR jika ia dibuat secara terbuka, di masa tentera laut pelbagai negara menyertai operasi terbabit.

Kapal Selam dan Acoustic Signature

Isu seperti kemungkinan acoustic signature yang dihasilkan kapal selam tersebut akan dirakamkan oleh pihak tentera negara lain pun mereka tidak akan faham. Sekiranya rahsia kemampuan aset strategik pertahanan terdedah, tiada lagi gahnya sebuah kapal selam untuk menjaga perairan negara apabila diancam pihak asing kelak, nauzubillahi min zaalik.

Acoustic signature menjadi isu sensitif bagi pengendalian kapal selam oleh tentera laut mana-mana negara, contohnya peristiwa cubaan tentera Rusia untuk merakam acoustic signature kapal selam kelas Vanguard milik Tentera Laut Diraja British yang dikesan pada tahun 2010 seperti dilaporkan oleh akhbar harian Britain, The Daily Telegraph. Kapal selam kelas Vanguard merupakan satu kelas kapal selam peluru berpandu balistik (SSBN) berkuasa nuklear yang kini digunakan oleh Britain.
Pertimbangan sebegini sememangnya sesuatu yang penting untuk diambil kira oleh mana-mana tentera laut sekalipun kapal selam mereka mempunyai kemampuan untuk operasi SAR MH370 sepertimana HMS Tireless (S880 milik Tentera Laut Diraja British.

Di Mana Kapal Selam AS, China dan Australia, Dan Kenapa HMS Tireless?

Bagi HMS Tireless (S88) pula, mungkin pengumuman penglibatannya dibuat secara terbuka tidak menjadi suatu masalah kerana kapal selam nuklear kelas Trafalgar, HMS Tireless (S88) ini akan dilucut tauliahkan (decommissioned) dalam masa terdekat. Kapal selam itu dilaporkan oleh BBC sepatutnya dilucut tauliahkan pada tahun 2013 lalu.
HMS Tireless (S88) telah ditauliahkan (commissioned) pada tahun 1985. Mungkin HMS Tireless (S88) ini akan berbakti untuk hari-hari terakhir sebelum khidmatnya ditamatkan. Kapal selam itu sebenarnya bukan lagi aset strategik pertahanan Tentera Laut British.

Untuk rekod, Tentera Laut Diraja Australia mempunyai enam kapal selam diesel-elektrik. Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai 72 kapal selam. Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China pula mempunyai lebih 60 kapal selam. Ketiga-tiga negara tersebut terlibat aktif dalam SAR MH370 tetapi sehingga kini tidak pernah mengumumkan penggunaan kapal selam mereka dalam operasi terbabit setakat ini! Kita boleh pasti negara mana antara ketiga-tiga itu mempunyai kapal selam yang lebih canggih dan berkeupayaan dari Britain dan Malaysia sendiri. 

Bagi operasi SAR di Lautan Hindi ini tentunya kapal selam nuklear lebih sesuai berbanding kapal selam diesel-elektrik. Kapal selam nuklear seperti HMS Tireless boleh menyelam sehingga 90 hari bergantung kepada bekalan makanan tanpa perlu timbul pada kedalaman melebihi kapal selam diesel-elektrik. 

Malaysia dan Australia tidak mempunyai kapal selam berkuasa nuklear. Dua kapal selam kelas Scorpène milik Malaysia dan enam kapal selam kelas Collins milik Australia merupakan kapal selam berkuasa diesel-elektrik. Kesemua 72 kapal selam milik Amerika Syarikat adalah kapal selam nuklear. China pula dilaporkan mempunyai 12 kapal selam nuklear dari lebih 60 kapal selam yang dimiliki.    

Barangkali ada antara negara-negara ini telah pun menggerakkan kapal selam mereka secara senyap-senyap untuk operasi SAR MH370 ini, kita sendiri tidak tahu. 
  
Kalau Tidak Tahu, Lebih Baik Diam!

Mereka yang suka mengkaji dan tidak berlagak pandai mengalahkan mereka yang arif dengan sistem pertahanan laut, pasti akan dapat memahami rasional kenapa tentera-tentera laut yang dinyatakan itu tidak tergesa-gesa untuk menghantar kapal selam mereka!
Janganlah kita suka mempersenda dan memperendahkan kemampuan tentera kita sendiri jika tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang dibicarakan itu, biarpun kita seorang pemegang ijazah PhD dalam bidang agama sekalipun!

Imam An Nawawi RH menyebutkan:

 وأما قوله صلى الله عليه و سلم فليقل خيرا أو ليصمت فمعناه أنه اذا أراد أن يتكلم فإن كان ما يتكلم به خيرا محققا يثاب عليه واجبا اومندوبا فليتكلم وان لم يظهر له أنه خير يثاب عليه فليمسك عن الكلام سواء ظهر له أنه حرام أو مكروه أو مباح مستوي الطرفين فعلى هذا يكون الكلام المباح مأمورا بتركه مندوبا إلى الإمساك عنه مخافة من انجراره إلى المحرم أو المكروه وهذا يقع في العادة كثيرا أو غالبا

“Adapun sabda Rasulullah SAW: “Maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam”, maka maknanya adalah jika dia ingin berbicara, maka, jika apa yang dia bicarakan itu adalah sebuah kebaikan yang diharapkan, diberikan pahala atasnya, baik berupa yang perkataan yang wajib atau dianjurkan, maka hendaklah ia berkata-kata, dan jika tidak terlihat untuknya, bahawa perkataan tersebut adalah sebuah kebaikan yang diberikan pahala atasnya, maka hendaklah ia menahan dari perkataan, baik terlihat untuknya bahawa ia adalah perkataan yang haram atau makruh atau harus, sama sisi keduanya, oleh kerana itu, perkataan yang baik diperintahkan untuk meninggalkannya, dianjurkan untuk menahannya, kerana ditakutkan akan menariknya kepada sesuatu yang haram atau yang makruh, dan hal ini sering terjadi dalam kebiasaan.” [Lihat kitab Syarah An Nawawi ‘ala Shahih Muslim, 2/19]
MV Swift milik Singapura (atas) dan MV Mega Bakti milik Malaysia (bawah).








Ramai yang salah sangka bahawa Kapal MV Swift yang dihantar oleh Singapura untuk operasi SAR di Laut China Selatan pada bulan lalu merupakan kapal selam. Sebenarnya Kapal MV Swift bukan sebuah kapal selam tetapi ia merupakan sebuah kapal sokongan dan penyelamat kapal selam - Submarine Support & Rescue Vessel (SSRV).


Malaysia juga memiliki kapal jenis penyelamat kapal selam dan ia telah digunakan dalam operasi SAR MH370 di Laut China Selatan sebelum ini. Operasi kapal Malaysia itu telah pun bermula sebelum Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN) menghantar MV Swift SSRV lagi. Kapal Submarine Escape & Rescue (SMER) yang digunakan oleh TLDM yang dimaksudkan itu ialah MV Mega Bakti.

SUMBER : www.mfundamentalist.blogspot.com

Friday, 4 April 2014

ANALISIS MUTAKHIR MH370 : SEGALANYA SUDAH DIKETAHUI?

Akhirnya, segala analisis dan pengalaman Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain membawa kita kepada kunci jawapan terhadap misteri kehilangan MH370 yang sudah menghampiri sebulan lamanya. 

Sama ada kita suka atau tidak - beliau telah bercakap benar dan jujur, sekali gus melenyapkan seluruh teori berkenaan dakwaan bahawa pesawat MH370 mengalami masalah teknikal atau kerosakan.

Pada peringkat awal kehilangan MH370 - dengan segala data dan bukti yang ada dalam tempoh seminggu sejak peristiwa kehilangan pesawat ini berlaku, Datuk Kapten Nik Huzlan telah membuat beberapa kesimpulan yang lain daripada pakar-pakar penerbangan paparkan. 

Beliau seolah-olah lebih cederung mengaitkan kehilangan MH370 dengan perbuatan "yang tidak bertanggungjawab" yang dilakukan secara sangat rapi dan terancang. Antara kesimpulan awal Datuk Kapten Nik Huzlan adalah seperti berikut :

1) Mustahil sebenarnya untuk sebuah kapal terbang seperti MH370 terputus isyarat atau komunikasi kerana setiap pesawat ada 3 peringkat komunikasi dan ketiga-tiga ini memang berkualiti.

2) Selaian daripada itu, agak mustahil juga untuk kita semua mengatakan pesawat MH370 mengalami total ‘electrical shutdown’ dan sekiranya berlaku sekalipun, pesawat ada masa yang sangat cukup untuk buat pendaratan kecemasan. Bukan sahaja itu, setiap pesawat mempunyai banyak bateri dan bateri ini mampu menjana tenaga untuk pesawat.

3) MAS adalah syarikat penerbangan terbaik dari segi ‘maintainance’ kerana menurut kapten, Amerika Syarikat juga meminta MAS bantu dari segi ini.

4) Kualiti juruterbang MAS juga adalah yang terbaik, bahkan menurutnya, juruterbang MAS sering “diculik” oleh syarikat penerbangan lain.

5) Seorang juruterbang itu akan buat SEHABIS BAIK selagi ada harapan,untuk selamatkan pesawatnya,walaupun gunung ada di depan.Bukan semudah itu untuk mereka putus asa.

6) Setiap pesawat boleh terkena petir,itu biasa. Namun aliran arus elektrik itu akan mengalir mengikut bentuk pesawat dan keluar ke belakang.

7) Kapten Nik Ahmad Huzlan sempat menemplak laporan berita luar negara yang membuat berita yang cukup “nonsense & dongeng” apabila mengatakan pesawat MH370 MAS Malaysia Airlines telah pergi ke Rusia sedangkan untuk ke sana MH370 perlu melepasi Banjaran Himalaya termasuk pancaran radar dari Turki, Uzbekistan, Turkmenistan.

8) Datuk Kapten Nik Huzlan juga mendakwa bahawa, radar-radar di negara Thailand, India, Myanmar (mungkin ) dan negara-negara ‘tan’ di belakang, amat serius dan akan mengambil tindakan jika berlaku sebarang aircraft yang tidak dikenali di dalam airspace mereka. Negara seperti ini, sangat berbahaya jikalau dapat mengesan pesawat yang menceroboh kedaulatan negara mereka. Kecanggihan peralatan ketenteraan mengawasi ruang udara negara mereka tidak boleh dipermainkan. Begitu juga radar negara India “sangat-sangat berbahaya”.

9) Negara seperti Singapura memiliki radar sangat hebat serta mampu mengesan sebarang pesawat sehingga ke Kota Kinabalu. Hanya pilot sahaja yang boleh mematikan transponder atau mmsg dalam mode tertentu. Dan hanya orang yang berpengalaman mengenai koordinat dan tahu susur alur setiap jalan di udara. Cara plane MH370 buat turning back seperti profesional kerana masa tepat dan kelajuan pesawat adalah stabil, tidak laju, tidak perlahan dan tidak terhuyung-hayang.

10) Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Ahmad Hussain mengatakan andaikata MH370 dirampas, ia tidak mungkin dilakukan seorang. Pasti ada yang membantu yang mana bergerak dalam kumpulan. Siapakah dia? MH370 boleh dirampas dengan syarat kumpulan tersebut arif dengan kokpit, besar kemungkinan “authorised person” yang mana dilakukan dalam bentuk terancang yang ‘mungkin’ digerakkan ala-ala komando.

11) Datuk Kapten Nik Huzlan mengatakan kapal terbang MH370 berpatah balik, mungkin diterbangkan oleh seseorang yang mahir dengan laluan dan sangat berkemahiran tinggi untuk mengelakkan daripada dikesan radar.

12) Andaikata MH370 dirampas, ia tidak akan dilakukan oleh penumpang. Sangat tipis kerana pintu masuk kokpit ada kod rahsia. Hanya kabin krew yang tahu kod rahsia itu. Apatah lagi, di dalam kokpit mempunyai CCTV untuk pilot/co-pilot melihat disebalik pintu tersebut.

13) Tetapi Kapten Nik Huzlan ada mengatakan sekiranya salah seorang penumpang adalah orang yang sangat arif tentang kapal terbang, dan memang ada agenda konspirasi tersendiri, jadi tidak mustahil berlaku insiden MH370 dirampas.

14) Sekiranya berlaku rampasan MH370 sekalipun, mereka masih ada masa untuk bersedia menghantar isyarat kecemasan.

15) Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan tidak menolak kemungkinan sekiranya MH370 dirampas oleh kabin krew (pilot/co-pilot/pramugara/pramugari), cuma tidak dipastikan apakah motif mereka Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan mendedahkan jikalau MH370 pergi arah Kazakhstan, memang boleh mendarat di sana, tetapi radar masih boleh kesan sebab untuk pergi ke sana perlu melalui banyak negara. Jikalau MH370 pergi Lautan Hindi (Indian Ocean), memang tiada kapal terbang yang pernah lalu di sana.

Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan juga ada mengatakan bahawa terdapat banyak radar yang bolehmengesan MH370, sekiranya pesawat tersebut melakukan "turn over" ke arah Barat menuju ke Andaman Sea (Laut Andaman) Jika MH370 turun ke bawah menuju ke Diego Grasia ke arah apa yang dipanggil ‘lonely sea‘ iaitu Lautan Hindi, maka barulah kata kapal terbang MH370 hilang, kerana tiada radar yang berdekatan sana yang mampu menangkap dan mengesan pesawat MH370 ini.
Jelas, pada awal analisis Datuk Kapten Nik Huzlan - beliau secara sangat berhati-hati menganalisis cara MH370 dikendalikan. Melalui cara itu, maka hipotesis boleh dibuat dengan lebih kemas. Jika MH370 dipandu dengan cara cekap dan profesional semasa ia hilang daripada kawalan rada - maka MH370 sebenarnya tidak mengalami sebarang kerosakan teknikal atau mekanikal - sebaliknya ada sesuatu yang berlaku di luar jangkaan kita semua.

Terkini, setelah hampir sebulan MH370 tidak ditemui, dan dengan pendedahan data terbaharu berkenaan gambar yang dirakam pada sesi penerangan yang datangnya daripada pihak berkuasa kerajaan Malaysia termasuk Malaysia Airlines kepada keluarga mangsa penumpang di China - telah membawa kita kepada satu tahap kesimpulan yang lebih menyakinkan. 

Dan sekali lagi hipotesis Kapten Nik Huzlan menjadi sandara. Sebenarnya secara tidak langsung, Kapten Datuk Nik Huzlan telah pun memadamkan segala teori dan hipotesis sebelum Ini! Sudah lebih 3 minggu berlalu, dan dunia termasuk pakar-pakar yang terlibat terus memerah buah fikiran bagi mencari jawapan disebalik tragedi MH370 yang mengandungi pelbagai persoalan yang terus dibiarkan “tergantung” sehingga ke hari ini. 

Dan melihat kepada bukti terbaru ini, maka sekali lagi Kapten Datuk Nik Huzlan mengukuhkan hujahnya seperti berikut :

1] Nampak terang di sini pesawat MH370 kelihatan berpusing disebelah kanan pada kedudukan 270 darjah.

2] Kapten Nik Huzlan menilai pusingan pesawat MH370 adalah “pusingan yang sempurna dan tiada cacat celanya” dan terus merentas semula laluan yang pernah dilakukannya sebelum itu dan pusing semula di sebelah kiri dan seterusnya menuju ke arah Pulau Pinang.

3] Dan ini bermakna pesawat MH370 tidak mengalami sebarang kerosakan seperti yang dipercayai oleh seorang juruterbang berpengalaman.

4] Kapten Nik Huzlan sendiri terkejut dengan maklumat terbaharu ini dan sekaligus bercanggah dengan informasi dan maklumat yang mengatakan selama ini pesawat MH370 hanya melakukan pusingan kiri sahaja. Buat pertama kalinya, pesawat MH370 dikatakan telah melakukan pusingan kanan.

5] Kapten Nik Huzlan mengatakan pesawat MH370 melakukan pusingan kanan.

6] Sebaik sahaja co-pilot Farid mengucapkan perkataaan “Alright, Good Night” dan terus merentasi ke arah Teluk Siam dan terus pergi ke Pulau Pinang.

7] Jikalau pesawat MH370 mahu pulang semula ke Malaysia, MH370 hanya perlu pusing kiri terus ke Malaysia.

8] Jikalau pesawat MH370 dalam keadaan kecemasan mengapa perlu MH370 melakukan satu pusingan disebelah kanan secara perlahan-lahan dan kemudian merentas laluan yang dilakukan sebelumnya? Mengapa?

9] Kapten Nik Ahmad Huzlan merasakan perbuatan dan cara pengendalian MH370 seperti dirancang dengan cukup-cukup teliti.

10] Dan, jikalau ada kecemasan sekalipun, mengapa juruterbang atau pembantunya tidak berhubung dengan mana-mana pusat kawalan trafik udara? Mengapa?

11] Bahkan Kapten Nik Huzlan mengatakan dari IGREX, cara pesawat MH370 terbang pun sangat-sangat meragukan kerana dilihat mahu mengelak Laut Sumawi dan Pulau Nicobar dan memotong jalan merentasi terus ke selatan Lautan Hindi yang mana laluan tersebut adalah merupakan laluan yang tiada satu pun berada di bawah kawalan radar.

12] Cuma Kapten Nik Huzlan mula merasa pelik dan merasakan tidak logik untuk pesawat MH370 sampai ke IGREX pada 2:15 pagi (8 Mac 2014). Pesawat MH370 buat pusingan kanan pada pukul 1:31 pagi. Pergi ke Pulau Pinang dan seterusnya ke VAMPI dan signal point yang terakhir ke IGREX pada pukul 2:15 pagi. Apa jawapan Kapten Nik Huzlan? 

Pesawat MH370 tidak akan dapat sampai pada IGREX dalam tempoh hanya sekitar 40 minit sahaja melihatkan tahap kelajuan yang boleh dicapai pesawat MH370 dan juga pusingan kanan dan kiri yang telah dilakukan oleh pesawat MH370 ini. Berdasarkan kajian Kapten Nik Huzlan, kelihatan teori Human Interferance (perbuatan yang disengajakan) amatlah kuat melihatkan pesawat MH370 sebenarnya “under full control” kerana ia mampu membuat corak pusingan kanan dengan baik ditambah pula mampu merentas semula laluan yang perlu dilakukan sebelum itu.

Kapten Nik Huzlan mengatakan dengan pendedahan bukti terbaru ini bakal menghapuskan teori dan hipotesis yang dicanang selama ini kononnya pesawat MH370 mengalami kerosakan tidak benar.

SUMBER : www.networkedblogs.com

MERINDUI KEPIMPINAN YANG AMAT BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD!

Anda merindu kepimpinan Tun Dr. Mahathir? Ya, sudah semestinya ramai yang merindui era pentadbiran beliau. 

Dulu, bila tengok Tun Dr. Mahathir nak meletak jawatan di PWTC melalui kaca televisyen, tertanya-tanya juga apa sebab dan puncanya. Katanya, dah buat keputusan dan dia dah berkhidmat lama dah. 

Sebak masa tu. Tetapi, apa yang sebenarnya di fikiran beliau? Kita semua nak tahu. Tun Dr Mahathir berjaya mencapai sasarannya dan adakah disebabkan itu dia membuat keputusan meletakkan jawatan? Atau Tun sudah muak dengan orang-orang melayu yang mudah lupa ini? Hanya beliau sendiri saja yang tahu apa yang bermain di pemikirannya.

Sedar atau tidak, masyarakat sering mengkiritik kepimpinan pemimpin selepas era Tun Dr Mahathir Mohammad.

Kerana apa?

Kerana Tun Dr Mahathir telah meletakkan 'benchmark' pemimpin selepas beliau mestilah pemimpin yang lebih baik atau sama baik dengan beliau.

Ya, kita tidak nafikan, setiap pemimpin mempunyai cara yang berbeza namun, asas kepimpinan yang sebenar haruslah dihalusi dan diikuti.

Di zaman Tun Dr Mahathir, mungkin tidak ada penggunaan Internet yang begitu meluas dan sebagainya tetapi sebenarnya ia boleh dikekang dengan kuatkuasa dengan tegas akta yang ada, namun ia dipandang sepi.


Kadangkala kita sakit hati dan geram, kenapa susah sangat nak ambil tindakan sesetengah orang tak kisah dari pihak mana sekalipun yang keluarkan kata-kata ugutan dan sebagainya.

Bak kata Tun;

"Itulah, orang dah bagi barang elok, toksah lah sibuk duk tukar ni, mansuh itu mansuh ini tu yang jadi rosak"

Tun merujuk kepada penghapusan beberapa akta. Kenapa? Adakah kerana terlalu bertolak ansur? Apa yang kerajaan dapat bila mendengar permintaan pembangkang?

Tun pernah berkata lagi;

"Pembangkang ni duk bangkang ja kerja dia, kita buat baik pun dia bangkang, duk ikut buat apa. Bukan dia akan kata 'Oh kerana kerajaan dah ikut cakap kita , kita akan sokong kerjaaan,' Tak kan?"

Tahap kepimpinan Tun Dr. Mahathir ini terlalu tinggi untuk dicapai oleh mana-mana pemimpin sekarang ini. Tetapi, sepatutnya pemimpin sekarang mengambil contoh dan pendekatan beliau dalam mentadbir negara kerana banyak antara mereka pernah berkhidmat berpuluh-puluh tahun dalam kabinet beliau.

Jadi, sebagai orang yang rapat dengan Tun, mereka patutnya lebih tahu. Orang dari negara lain banyak yang nak Tun Dr Mahathir menjadi pemimpin mereka. Tetapi pemimpin kita ego dan suka dapatkan nasihat dari orang muda yang kononnya belajar dari Oxford. Elokkah hasilnya sekarang? Makin merosotkan? Pelik kerana mereka seperti kehilangan punca dan pandai pandai mengubah benda yang dah elok.

Coretan ini ditulis ketika merindukan kepimpinan Tun M. Bila membelek helaian akhbar-akhbar lama. 

FB Saya Sayang Tun Dr. Mahathir Mohammad

SUMBER : www.penpatah.blogspot.com

PATUTLAH MH370 HILANG SECARA MISTERI..ADAKAH INI PUNCA YANG SEBENARNYA?

Spekulasi berhubung MH370 sentiasa wujud sejak hari pertama pesawat MAS itu hilang 8 Mac lalu dan spekulasi atau teori i

Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Walaupun sebelum ini satelit telah berjaya mencerap beberapa objek di selatan Lautan Hindi dan pesawat menjumpai serpihan di lokasi SAR namun ia disahkan bukan milik MH370.

Terdapat pelbagai spekulasi yang dibangkitkan termasuk yang mengatakan pesawat itu sudah mendarat secara rahsia di China dan ada juga yang mendakwa pesawat mendarat di Pakistan ataupun Hong Kong.

Namun, terdapat satu teori yang dilihat mendapat respons yang tinggi dari masyarakat dunia iaitu teori pesawat mendarat di Diego Garcia, sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi.

Diego Garcia terletak di selatan Kepulauan Maldives dan merupakan pangkalan tentera AS yang penting dalam kempen serangan AS terutama terhadap Iraq dan Afghanistan.

Dakwaan penduduk Maldives kukuh

Spekulasi yang mengaitkan Diego Garcia ini mula dibangkitkan secara serius apabila apabila penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah di selatan kepulauan tersebut.

Ada pihak mendakwa pesawat tersebut merupakan MH370 dan telah mendarat di Diego Garcia kerana kedudukan kedua-dua pulau yang berdekatan.

Jarak antara Diego Garcia dengan Addu City, yang terletak di selatan Kepulauan Maldives (Pulau Addu) adalah 740km.

Difahamkan, teori ini timbul berdasarkan kiraan secara kasar waktu MH370 membuat pusingan balik di sempadan Malaysia - Vietnam dan waktu ketika penduduk Maldives melihat pesawat tersebut.

MH370 berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan pesawat ini terputus hubungan pada 1.21 pagi.

Jika diambil kira penerbangan dari KLIA ke Maldives iaitu sekitar 4 jam, 24 minit dan waktu penduduk Maldives melihat pesawat iaitu 6.15 pagi, jumlah waktu penebangan ini adalah relevan.

Ini kerana, waktu penerbangan ini perlu ditambah 40 minit iaitu tempoh MH370 berpatah balik hingga kedudukan pesawat hilang dari radar.

Teori penduduk Maldives ini tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana penduduk di Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan, Perak dan Terengganu juga mendakwa mereka melihat pesawat terbang rendah pada hari  malang buat MH370 itu.

Difahamkan, pesawat tersebut adalah MH370 berdasarkan radar tentera yang berjaya mengesan pesawat tersebut membuat pusingan balik menghala ke Selat Melaka.

Spekulasi Diego Garcia terus berada di tempat pertama

Selain itu, teori Diego Garcia ini juga dikaitkan menerusi mimpi seorang ustaz yang mendakwa MH370 mendarat di sebuah pangkalan tentera dan penumpang serta kru masih selamat.

Antara teori yang menarik berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370 sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.

Spekulasi tersebut mengaitkan dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar dunia dalam pesawat tersebut.

Alat tersebut dikatakan berkemampuan untuk mengmengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan ketika AS berperang di Afghanistan.

Difahamkan, China berusaha untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil yang dianggap lebih selamat.

Namun, AS berjaya memintas pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego Garcia untuk disimpan di sana.

Nasib penumpang tidak diketahui tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.

Apa yang paling menarik dalam spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.

Selain Diego Garcia, antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.

Namun, pihak penyiasat sehingga kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Berakhir, bukannya terhempas di Lautan Hindi

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula kelmarin.

Spekulasi sentiasa wujud, selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Sehingga kini operasi SAR yang diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini berada dan mereka kini sedang  berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.

"Kami mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya boleh bertahan," katanya.

Tumpuan siasatan kini masih tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah peribadi kru dan penumpang.

Sehingga kini siasatan polis telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang masih dijalankan.

Menurut sumber yang enggan dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Spekulasi-spekulasi yang timbul tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.

Apa sahaja yang dibangkitkan di internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau hujah sokongan yang relevan.

Kini, kesemua persoalan berhubung 'di mana MH370' tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja.

SUMBER : www.networkedblogs.com