...gambar sekadar hiasan je... |
Dikenali dengan pelbagai nama gelaran seperti Panglima Awang, Enrique of Malacca, Henry The Black, Henrich, Ariberto dan Espinosa. Nama sebenarnya tidak diketahui dengan jelas dan nama Panglima Awang mula muncul apabila Harun Aminurrashid menggunakannya dalam Novel Panglima Awang pada tahun 1958.
Asal usul Enrique juga di perdebatkan oleh ramai sejarawan. Ada yang menyatakan beliau dari Melaka, Sumatera, Maluku dan Cebu.
Beliau merupakan seorang keturunan Melayu yang turut serta dalam misi pelayaran Ferdinand Magellan untuk mengelilingi dunia.
Beliau bertugas sebagai jurubahasa merangkap pembantu di dalam kapal Ferdinand Magellan dan diberikan nama Kristian ‘Enrique’ (Bahasa Sepanyol) atau ‘Henrique’ (Bahasa Portugis).
...gambar sekadar hiasan je... |
Sejarah telah mencatatkan Ferdinand Magellan, seorang pelayar Portugis yang berkhidmat dengan kerajaan Sepanyol adalah manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia.
Apakah ini benar? Ferdinand Magellan atau Fernao de Magalhael telah terbunuh sewaktu menjejakkan kaki di Filipina. Jadi, bukankah itu bukti yang menunjukkan beliau sebenarnya telah gagal mengelilingi dunia secara lengkap?
MELAYU BANGSA PELAUT HEBAT
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Digelar sebagai ‘penunggang monsun’ (monsoon-rider) oleh pedagang-pedagang Cina, pelaut-pelaut Melayu dikatakan telah belayar jauh ke Madagascar seawal kurun ke 9 Masihi lagi.
Sememangnya bangsa Melayu di Nusantara pernah menjadi pelaut gagah yang membangun empayar maritim di mana pengaruhnya tersebar melangkaui Kepulauan Melayu.
Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya dan kemudiannya kejatuhan kerajaan Majapahit pada kurun ke 13 Masihi, Melaka mengambil alih peranan sebagai pusat kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara.
Kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan ulung diakui oleh beberapa penulis Portugis sendiri yang di antaranya mengatakan sesiapa yang menjadi ‘Tuan’ di Melaka adalah penguasa di Venice, kota perdagangan terkenal di Eropah pada kurun ke 15 Masihi.
Pihak Portugis telah datang dan berjaya menjajah Melaka pada tahun 1511 dan di sinilah titik pertemuan Ferdinand Magellan dengan seorang anak Melayu, Enrique of Malacca (Henry the Black) atau lebih dikenali di dalam sastera Melayu sebagai Panglima Awang.
KEMPEN PENJAJAHAN BARAT
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Pada kurun ke 14 Masihi, Portugis dan Sepanyol muncul sebagai kuasa maritim yang terkuat di dunia sebagaimana kedudukan Amerika Syarikat dan China pada ketika ini.
Demi mengelakkan pertelingkahan di antara kedua-dua kuasa ini, pihak Portugis dan Sepanyol memeterai Perjanjian Tordesillas 1494 yang meletakkan Amerika di bawah pengaruh Sepanyol dan Asia di bawah kekuasaan Portugis. Maka Melaka secara rasminya diletakkan di bawah pengaruh Portugis menerusi terma perjanjian ini.
Pihak Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509 dan pada awalnya diterima baik. Namun begitu, peperangan meletus di antara Portugis dengan Melaka tidak lama kemudian menyebabkan Melaka ditawan pada tahun 1511.
Sungguhpun Melaka ditawan, kewujudan kuasa-kuasa Melayu yang lain seperti Acheh dan Johor menyebabkan pihak Portugis tidak berani keluar melewati benteng kota A’Famosa bagi menguasai seluruh Semenanjung Melayu, sepertimana pihak Portugis menguasai Brazil, Mozambique dan Timor-Leste.
Sewaktu kempen penerokaan ke timur ini, Ferdinand Magellan turut bersama rombongan Diego Lopez de Sequira, orang-orang Eropah yang pertama tiba di Semenanjung Melayu.
Setelah Melaka dijajah,ramai pemuda Melayu yang dijadikan sebagai tahanan perang termasuklah Awang yang kemudiannya dijadikan hamba abdi Ferdinand Magellan.
Catatan Antonio Pigafetta, seorang pengembara dan ilmuan berketurunan Itali yang turut menyertai ekspedisi Magellan mengelilingi dunia, ada mengatakan bahawa Enrique atau Awang adalah pemuda yang berasal dari Pulau Sumatera.
Awang telah dibaptiskan sebagai penganut agama Katolik oleh penguasa Portugis yang telah menamakannya ‘Enrique’.
Catatan dari wasiat Magellan secara tersirat ada menyatakan Awang berumur 18 tahun ketika dibawa pulang ke Lisbon, Portugal pada tahun 1512.
Ada pendapat yang mengatakan Awang merupakan tentera Melayu yang turut berjuang menentang Portugis sewaktu peperangan ke atas Melaka dan ada juga pandangan yang mengatakan Awang telah pun menjadi hamba Sultan Mahmud dan di islamkan sebelum kedatangan Portugis ke Melaka.
PENGEMBARAAN FERDINAND MAGELLAN
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Sewaktu menyertai kempen menentang pihak Moors di Afrika Utara, Ferdinand Magellan telah dituduh mengamalkan rasuah dan tuduhan ini menyebabkannya tersinggung.
Dia kemudiannya berpaling untuk berkhidmat dengan Raja Charles, Raja Sepanyol pada tahun 1517. Tambahan pula kuasa Portugis yang ketika itu semakin merosot kekuatannya.
Demi menguasai kepulauan rempah, Ferdinand Magellan telah pun mengusulkan kepada Raja Sepanyol bahawa adalah penting untuk menemukan jalan ke Kepulauan Rempah melalui jalan maritim barat menerusi Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.
Raja Sepanyol amat teruja dengan cadangan ini dan bersetuju mengurniakan Ferdinand Magellan 5 buah kapal dengan lebih 270 awak-awak kapal (di mana salah seorang daripadanya adalah Awang).
Pengembaraan yang pertama seumpamanya di dunia itu bertolak dari Pelabuhan Sancular de Barrameda pada tahun 1519 dan mereka berdepan dengan pelbagai kesulitan seperti kebuluran, penyakit, kemurungan, pertelingkahan, pembunuhan sesama sendiri dan keadaan cuaca yang tidak diduga. Cuba kita bayangkan sekiranya kita menyertai ekspedisi Magellan di tengah-tengah lautan jauh dari sebarang daratan selama hampir 2 tahun tanpa makanan yang mencukupi… teruk sekali bukan?
Ini ditambah lagi dengan keadaan dalam kapal ekspedisi yang kecil serta sempit dengan risiko berdepan kecederaan dan kematian hampir setiap hari… sesuatu yang sulit untuk digambarkan.
Selama pelayaran ini, Ferdinand Magellan telah menjadi sangat akrab dengan Awang yang tidak lagi dianggap sebagai abdi, malah lebih sebagai seorang sahabat karib.
Wasiat Ferdinand Magellan ada meninggalkan Awang dengan sebahagian hartanya dan apabila Ferdinand Magellan meninggal, Awang hendaklah dibebaskan sebagai orang yang merdeka.
Awang juga dikatakan amat menghormati dan setia bersama Ferdinand Magellan ke mana sahaja beliau pergi.
Setelah 18 bulan ekspedisi ini meninggalkan Sepanyol, mereka akhirnya tiba di Pulau Samar, timur Filipina pada tahun 1521. Awang yang menyertai pelayaran ini akhirnya telah pulang ke rantau asalnya, rantau kepulauan Melayu
Pada waktu inilah khidmat Awang amat diperlukan. Bukan sahaja sebagai pelaut yang hebat, malahan juga sebagai penterjemah dan wakil Sepanyol untuk berunding dengan masyarakat, pedagang dan kerajaan tempatan.
Walaupun masyarakat di kepulauan Filipina memiliki bahasa daerah mereka sendiri, bahasa Melayu masih boleh difahami secara umum kerana kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa perdagangan (lingua franca) pada ketika itu.
Tambahan pula kepulauan Filipina pernah menerima pengaruh dari kesultanan Melayu Brunei pimpinan Sultan Bolkiah atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Ragam, yang sewaktu itu sedang meniti zaman kegemilangannya.
Dibantu kehebatan diplomasi Awang berinteraksi dengan penguasa tempatan, Ferdinand Magellan akhirnya telah menjadi sahabat kepada Raja Humabon, pemerintah Cebu.
Raja Humabon kemudiannya turut meminta Ferdinand Magellan untuk memerangi masyarakat orang asli di Mactan, diketuai Lapu-lapu.
Malangnya, Ferdinand Magellan telah dibunuh di dalam peperangan menentang Lapu-lapu dan Awang sendiri, yang berjuang bagi pihak Sepanyol tercedera dibantai pahlawan-pahlawan pimpinan Lapu-lapu seramai 1500 orang.
Walaupun wasiat Ferdinand Magellan ada menyatakan Awang dimerdekakan setelah kematiannya, komandan yang menggantikan Ferdinand Magellan, Duarte Barbosa enggan berbuat sedemikian dan memaksa Awang untuk terus mengabdi diri kepada mereka.
Berang atas kelakuan biadap Barbosa, Awang kemudiannya merancang untuk menghancurkan delegasi Sepanyol pimpinan Barbosa dengan kerjasama Raja Humabon.
Pigafetta mencatatkan bahawa Awang berhelah dengan meminta pihak Sepanyol agar menghadap Raja Humabon yang kononnya ingin menghadiahkan Raja Sepanyol dengan harta dan permata.
Setelah angkatan Sepanyol tiba di pantai, tentera Raja Humabon menyerang angkatan Sepanyol ini dan ramai yang telah mati dibunuh.
Rekod rasmi Sepanyol ada menyatakan Awang telah dibunuh akan tetapi Pigafetta sendiri tidak pasti sekiranya Awang telah benar-benar dibunuh.
Awang sebenarnya masih hidup dan setelah itu hidup sebagai individu yang merdeka.
PORTUGIS ATAU MELAYU?
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Walaupun Magellan mewakili Raja Sepanyol, Magellan adalah seorang berketurunan Portugis dan Awang pula adalah seorang berketurunan Melayu dari Sumatera.
Awang telah berjaya pulang ke Sumatera. Ini bererti Awang adalah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia yakni dari saat dirinya ditawan di Melaka pada tahun 1511 dan di bawa ke Lisbon dan kemudiannya pulang semula ke rantau kepulauan Melayu pada tahun 1521.
Mustahil Magellan orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia kerana beliau sendiri terbunuh di Filipina dan tidak berkesempatan pulang ke Sepanyol.
Bagaimanapun, seperti biasa tidak mungkin penguasa Eropah ingin mencatatkan Awang (Enrique) seorang Melayu, sebagai individu pertama yang berjaya mengelilingi dunia melebihi kehebatan bangsa mereka sendiri.
Disebabkan itu, pengiktirafan tersebut kekal bersama Ferdinand Magellan.
Persoalan sama ada orang Portugis atau orang Melayu merupakan orang pertama berjaya mengelilingi dunia… itu adalah soalan yang perlu dijawab berdasarkan tafsiran sejarah menurut sudut pandang masing-masing.
Ferdinand Magellan dan Awang secara kolektif patut diiktiraf sebagai dua manusia pertama yang berhasil mengubah sejarah dunia menerusi keberanian, kecekalan dan kehebatan mereka sebagai pelaut dan pejuang yang agung.
Kisah Panglima Awang seharusnya dijadikan sebahagian daripada sejarah kegemilangan bangsa Melayu Nusantara untuk direnungi dan dikongsi bersama, tidak kira untuk Indonesia, Brunei,Singapura, selatan Thailand mahupun negara kita sendiri, Malaysia.