Showing posts with label Pejuang. Show all posts
Showing posts with label Pejuang. Show all posts

Monday, 22 May 2017

KERIS MELAYU DAN HUKUMAN MATI BROOKE

Hasil carian imej untuk kerisDIKETIKA era dinasti keluarga Brooke memerintah Sarawak iaitu kira-kira 100 tahun,  ramai yang menggambarkan bahawa tiada undang-undang hukuman mati yang pernah dijalankan oleh mana-mana Rajah Putih pada ketika itu.  Ini kerana melalui cerita sejarah, kebanyakan penentang-penentang Brooke hanya akan menjalani hukum penjara atau dibuang daerah sahaja. Dan tanpa kita ketahui sememangnya ADA prosedur hukuman mati di Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.
Secara relatifnya prosedur hukuman mati di ketika era Brooke akan dijatuhkan kepada mana-mana pesalah yang didapati bersabitan dengan kesalahan jenayah bunuh.  Dan undang-undang hukuman mati ini berkuatkuasa sejak di tahun 1841 lagi yang mana sejak Sir James Brooke menjadi Rajah Sarawak yang pertama lagi.  Turut dinyatakan ianya juga tertakluk kepada mana-mana penjawat awam mahupun rakyat Sarawak itu sendiri.
Hasil carian imej untuk keris
Yang menjadi satu keunikan walaupun James Brooke itu seorang bangsa Inggeris yang sudah tentu mempunyai pemikiran yang berbeza dengan orang-orang yang mendiami Nusantara namun perlulah diketahui bahawa cara prosedur hukuman mati era Brooke langsung tidak sama dengan British iaitu hukuman gantung.  Di era Brooke untuk konteks Sarawak, keris iaitu senjata tradisional masyarakat Melayu adalah senjata utama yang digunakan untuk prosedur hukuman mati pada ketika itu.
Hasil carian imej untuk keris
Dan sesuatu yang harus diketahui semua bahawa suatu waktu dahulu, Sarawak Kingdom mempunyai seorang “public executioner” yang sememangnya dilantik penuh oleh pemerintah Sarawak.  Beliau adalah seorang lelaki dari kaum Melayu Sarawak yang bernama Inchi Subu.  Inchi Subu ini juga merupakan pengikut setia kepada Rajah James Brooke sehingga beliau dikatakan akan bersama-sama dengan Rajah James Brooke pada setiap pelayarannya dengan bahteranya “The Royalist”.

Turut dicatatkan di dalam jurnal pengembaraan Brooke iaitu diketika James Brooke berada di Santubong, beliau telah jatuh sakit iaitu demam campak makanya Inchi Subu yang terlalu bimbang dengan kesihatan Rajah James Brooke telah berkayuh sampan kecil sehingga ke Kuching untuk mencari Sharif Moksin iaitu seorang dukun Melayu Sarawak.  Sharif Moksin telah dibawa ke banglo Brooke di Santubong untuk mengubatinya namun tidak berjaya kebah demamnya sehinggalah seorang doktor yang dibawa khas dari Singapura akhirnya sampai di Santubong untuk mengubati beliau.
Hasil carian imej untuk james brooke

Digambarkan juga Inchi Subu “public executioner” Sarawak Kingdom bukanlah sembarangan orang kerana beliau terlalu pakar bermain dengan keris. Dek kerana itulah ada perincian yang tertentu bagi keris yang digunakan.  Perlulah diketahui di dalam alam Melayu Nusantara, keris juga adalah senjata tradisional yang mempunyai impak-impak tertentu yang sekiranya digunakan dengan betul boleh mencabut nyawa tanpa meninggalkan “siksa” yang terlalu lama.

Menurut ceritanya keris yang digunakan adalah berukuran 18 inci panjang dan akan ditusuk menerusi badan pesalah di sebelah bahu kanan yang akan menembusi jantung pesalah yang diarahkan di dalam posisi berlutut.  Di Sarawak pada masa itu tiada tempat tertutup untuk menjalan prosedur hukuman mati sebaliknya disatu kawasan yang terbuka iaitu di satu hamparan batu keras di Batu 2, Jalan Rock sekarang.  Kawasan batu keras yang menghampar itu dinamakan “Batu Kinyang”.
Hasil carian imej untuk keris james brooke
Bagi menghormati setiap prosedur hukuman mati ini juga dikatakan Brooke telah memerintahkan Inchi Subu untuk mengenakan pakaian khas yang mana persalinannya adalah pakaian panglima Melayu dahulukala siap dengan tanjak dan sebagainya.  Menurut cerita oral ianya berpadanan seperti cerita pahlawan Melayu dulu-dulu yang akan setia menjalankan hukuman kepada sesiapa yang membuat onar dan menjatuhkan murka Rajanya.

Dalam pada itu ada juga corat coret yang menyatakan bahawa oleh kerana Brooke digambarkan seorang yang berhati lembut maka setiap hukuman mati ini dijalankan dengan penuh belas kasihan.  Ada sesetengah penceritaan menyatakan bahawa setiap pesalah yang berhadapan dengan hukuman mati akan diberikan makan dan minum secukupnya berdasarkan selera pesalah menjelang 3 hari sebelum dijatuhkan hukuman.

Manakala pada hari hukuman mati diadakan iaitu sebelum matahari terbit kebiasaannya, si pesalah akan dibawa ke Sungai Sarawak untuk merasai sendiri ketenangan serta mengecapi udara bersih buat kali terakhir sebelum seorang doktor Sarawak Kingdom akan membuat injeksi ubat ke anggota badan si pesalah agar segala deria rasanya dimatikan.  Kemudian di dalam keadaan tenang itulah baru si pesalah dibawa dengan kenderaan ke Batu Kinyang dan disitulah Inchi Subu sudah siaga menunggu untuk menjalankan prosedur hukuman mati dengan bersaksikan doktor, hakim, ketua agama (mengikut fahaman agama) dan pemimpin masyarakat yang mewakili kaum si pesalah.

Menurut catatannya difahamkan Inchi Subu bertindak sebagai “public executioner” Sarawak Kingdom dari tahun 1841 sehingga 1873.  Kemudian tugasnya ini diambilalih oleh anak lelakinya yang bernama Tomah bin Subu selepas itu.
Hasil carian imej untuk sarawak
Mungkin ini sesuatu yang tidak diketahui oleh kita semua setelah apa yang didodoikan amat berlainan mengenai prosedur hukuman bunuh di era Brooke.  Caranya adalah menggunapakai sistem zaman kesultanan Melayu dulu-dulu dan akhirnya setelah Sarawak menjadi jajahan takluk Koloni British Borneo barulah undang-undang hukuman gantung sampai mati digunakan di Sarawak yang mana dikatakan lebih moden dan berperikemanusiaan.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:
White Rajah: A Biography Of Sir James Brooke – Nigel Barley
An Account of Sir James Brooke 


Friday, 12 May 2017

APA BEZA UNITED KINGDOM, GREAT BRITAIN DAN ENGLAND?

Eh, ni nak panggil UK ke England? Great Britain ni apa pulak? Niall Horan ni dari UK ke Ireland?

Pastinya ramai yang tertanya tanya tentang persoalan di atas. Saya kongsikan sedikit pembacaan saya tentang perbezaan tersebut.

Kita mulakan dengan United Kingdom atau singkatannya UK.

UK merupakan sebuah negara yang berdaulat yang merangkumi England, Wales, Scotland dan Utara Ireland. Mesti susah nak faham lagikan?

UK ditubuhkan pada tahun 1707 menerusi Act Of Union, namun nama UK diambil selepas tahun 1801 selepas kemasukan Ireland.

Great Britain pula kepulauan atau tanah besar yang didiami 3 negara iaitu England, Scotland dan Wales.

Nama Britain diambil dari perkataan Roman, iaitu Britannia. Terdapat 2 konflik yang menyebabkan terdapatnya perkataan “Great” di hadapan Britain. Yang pertamanya ialah disebabkan mahu membezakan sebutan sebuah kawasan di Perancis iaitu Brittanny. Kedua, ia disebabkan ego Raja James I yang mahu menyatakan bahawa beliau bukan sahaja raja kepada ‘Old Roman Britain’ tetapi raja kepada keseluruhan pulau, lalu menggelarkan beliau sebagai ‘King Of Great Britain’.

England merupakan sebuah negara seperti Wales dan Scotland. England merujuk kepada sebuah negara, tetapi ianya bukan sebuah negara yang berdaulat. England merupakan sebuah negara terbesar di dalam UK dari segi keluasan mahupun populasi. England merupakan nadi kepada UK dan kota London merupakan ibu negara kepada UK.

Oleh sebab itu, England seringkali dianggap (walaupun salah) sebagai UK secara keseluruhannya.

Secara konklusinya, dapatlah kita rumuskan bahawa:

1.UK merupakan sebuah negara yang berdaulat yang terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Utara Ireland.

2.Great Britain merupakan sebuah tempat/pulau yang menempatkan England, Scotland dan Wales.

3.England merupakan sebuah negara dibawah United Kingdom.

KENAPA FIFA WORLD CUP ATAU EURO TIDAK BERTANDING ATAS TIKET UNITED KINGDOM ?

Hal ini disebabkan pertubuhan bola sepak (FA) telah ditubuhkan dan ianya berkembang secara berasingan pada akhir tahun 18-an. FIFA telah ditubuhkan pada tahun 1904. Secara ringkasnya, FIFA telah bersetuju untuk membenarkan negara dibawah UK bermain di perlawanan antarabangsa secara berasingan.

England seperti yang kita tahu negara yang paling sukses diantara negara UK yang lain diperingkat antarabangsa.
Kredit Gambar: newsthump.com

MACAM MANA PULA DENGAN SISTEM PEMERINTAHAN UK?

Secara ringkasnya, UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di London. UK juga merupakan sebuah negara yang berdasarkan Raja Berpelembagaan. Sama seperti Malaysia.

Setiap negara dibawah UK akan ditadbir oleh Menteri yang dilantik dan berpusat di tempat masing masing. Lebih kurang macam Menteri Besar atau Ketua Menteri jika di Malaysia. Cuma England sahaja tidak memiliki sistem pemerintahannya sendiri kerana ditadbir secara terus oleh kerajaan United Kingdom (lebih kurang seperti Wilayah Persekutuan jika di Malaysia)

MACAM MANA PULA DENGAN SISTEM PEMERINTAHAN UK?

Secara ringkasnya, UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di London. UK juga merupakan sebuah negara yang berdasarkan Raja Berpelembagaan. Sama seperti Malaysia.

Setiap negara dibawah UK akan ditadbir oleh Menteri yang dilantik dan berpusat di tempat masing masing. Lebih kurang macam Menteri Besar atau Ketua Menteri jika di Malaysia. Cuma England sahaja tidak memiliki sistem pemerintahannya sendiri kerana ditadbir secara terus oleh kerajaan United Kingdom (lebih kurang seperti Wilayah Perseketuan jika di Malaysia)



Thursday, 11 May 2017

BAGAIMANA BANGLADESH BOLEH TERPISAH DENGAN PAKISTAN?

Info Gambar: Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman

Selepas jatuhnya British pada tahun 1947, Bengal dipisahkan daripada Pakistan Barat sebagai salah satu daerah wilayah tersebut dan diberi nama sebagai Pakistan Timur. Dhaka pula dijadikan sebagai ibu negeri Pakistan Timur. Walaupun Pakistan Timur mempunyai sumber yang mencukupi dan demografi yang baik, namun seluruh kerajaan dan tentera Pakistan masih dikuasai oleh sebahagian besar golongan atasan di bahagian barat.

Kerajaan Pakistan yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan atasan bahagian barat telah mengisytiharkan Bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi untuk seluruh Pakistan. Hal ini menyebabkan munculnya rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat di timur. Pada 21 Ogos 1952, pelajar Bengali di Pakistan Timur telah bangkit demi bahasa ibunda mereka dan telah menentang keputusan tersebut. Namun begitu, beberapa pelajar telah terkorban dalam pertempuran demi bahasa ibunda mereka ketika bertempur dengan pihak polis. Pengorbanan yang cukup bermakna oleh pelajar-pelajar tersebut diiktiraf sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia bukan sahaja di Bangladesh tetapi di seluruh dunia.
Hasil carian imej untuk pakistan dan bangladesh
Ketidakpuasan hati terhadap pihak di bahagian barat dalam isu kekuasaan ekonomi dan budaya membawa kemunculan Liga Awami sebagai suara politik paling berkuasa di Pakistan Timur. Pada 7 Mac 1971, Presiden Liga Awami dan Bapa Kebangsaan, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dalam ucapan yang penuh bersejarah di hadapan beratus ribu orang di Suhrawardy Udyan telah menyeru agar seluruh masyarakat di Pakistan Timur untuk melancarkan serangan menentang tentera Pakistan dan menyiapkan persediaan untuk Perang Kemerdekaan.

Selepas berlaku banyak krisis politik dan diskriminasi kedaerahan, Perang Kemerdekaan Bangladesh ( Muktijuddho ) pun meletus setelah Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh, sebelum beliau ditangkap pada pagi 26 Mac 1971 oleh tentera Pakistan. Presiden Yahya Khan dan tenteranya secara rasmi melancarkan operasi berdarah yang dikenali sebagai Operasi Searchlight kepada orang yang berdosa di Bangladesh untuk menghapuskan gerakan nasionalis Benggala.

Kerajaan buangan telah dibentuk oleh ketua Liga Awami, yang secara rasmi mengangkat sumpah di Meherpur, di daerah Kustia, Bangladesh pada 17 April 1971, dengan Tajuddin Ahmad sebagai Perdana Menteri pertama dan Syed Nazirul Islam sebagai Pemangku Presiden. Sebuah pasukan bantuan dikenali sebagai Mukti Bahani (Pejuang Kebebasan) telah dibentuk dan ahli-ahlinya berasal daripada tentera Bangladesh dan para pejuang rakyat.
Hasil carian imej untuk m a g osmani
Diketuai oleh M.A.G Osmani, tentera Bangladesh telah disusun kepada 11 sektor dan, sebahagian daripada Mukti Bahini, untuk mengetuai sebuah perang gerila secara besar-besaran menentang tentera Pakistan. Semasa perang tersebut, seluruh dunia menyaksikan peristiwa Pembantaian Bangladesh 1971, dimana tentera Pakistan bersama pasukan militan agama mengadakan pembunuhan berskala besar melibatkan pembunuhan masyarakat Bengali, para intelektual, pemuda-pemudi, para pelajar, ahli-ahli politik, para aktivis dan golongan minoriti agama.

Di tengah-tengah pengorbanan yang tidak terkira oleh rakyat Bangladesh, tentera Pakistan akhirnya mengalah kepada tentera gabungan Bangladesh-India pada 16 Disember 1971. Selama 9 bulan panjangnya rakyat Bangladesh perlu berdepan dengan Perang Kemerdekaan Bangladesh dan akhirnya mereka memenangi perang pada hari tersebut.



PIRATES OF THE CARIBBEAN: WATAK HECTOR BARBOSSA DIILHAMKAN DARI TOKOH ISLAM!

Hector Barbossa 

Apabila disebut Barbossa, saya yakin ramai dalam kalangan kita akan terbayangkan watak seorang lanun memakai penutup sebelah matanya seperti yang terdapat dalam filem Pirates of The Carribean. Namun tahukah kita, sebenarnya watak Hector Barbossa adalah watak yang diadaptasikan dari watak tokoh Islam yang popular dalam dunia peradaban Islam dahulu kala. Barbarossa bererti janggut merah dalam bahasa Itali. Hanya terdapat tiga tokoh besar dunia yang berjanggut merah, iaitu Maharaja Frederick daripada Rom (1123-1190) dan dua orang adik-beradik iaitu Aruj dan Khairuddin atau disebut dengan Hayreddin, kedua-duanya dari Turki.

Jeneral Hayreddin Barbarossa Pasha 

Islam pernah mengangkat ketamadunan ke peringkat yang tertinggi di bumi Andalusia, kebudayaan, falsafah (sains) dan teknologi (terutama infrastruktur dan senibina) lahir di wilayah semenanjung Iberia (Sepanyol) tersebut. Thariq bin Ziyad yang telah membawa misi Islam ke bumi tersebut juga telah diabadikan namanya menjadi nama gunung di semenanjung tersebut, iaitu Jabal Thariq yang disebut oleh orang barat sebagai Gibraltar (kini berada di bawah kuasa Inggeris). Sebuah gunung berhampiran dengan selat yang menghubungkan lautan Atlantik dengan Laut Tengah. Ketika era kegemilangan Islam, bangsa barat (Eropah) tercengang dengan kemajuan Andalusia, Cordoba, Granada dan Sevilla setelah dipimpin Dinasti Bani Umayyah pada tahun 756M. Umat ​​Islam, Kristian dan Yahudi hidup aman penuh rukun selama dua abad lebih di saat itu. 

Pemandangan dari Gibraltar. Sebelah kiri Afrika dan Sepanyol di sebelah kanan

Sebermulanya era Perang Salib, Eropah telah melancarkan misi Reconquista iaitu misi penaklukan kembali wilayah-wilayah Eropah. Satu persatu bandar-bandar yang mempunyai peradaban yang maju mulai jatuh, Lisboa, Merida, Cordoba, Valencia, Murcia, Sevilla dan kemuncaknya dengan kejatuhan Granada pada tahun 1492M. Bangsa Moor di wilayah Andalusia terpaksa melarikan diri ke Afrika utara kerana misi Reconquista diteruskan dengan misi pembunuhan umat Islam iaitu dengan pembersihan beramai-ramai kaum muslim, sebahagian dipaksa murtad dan sebahagian lagi bersembunyi di pergunungan.
Raja Ferdinand II Aragon 

Misi ini memuncak ketika raja Ferdinand II dari Aragon berkahwin dengan ratu Isabella dari Castille, dan selanjutnya dikenali sebagai Ferdinand V of Castille. Ferdinand merupakan seorang penganut Kristian Katolik yang fanatik. Umat ​​Islam dan Yahudi dibunuh dengan kejam pada era pemerintahannya. Masjid Cordoba yang bertiangkan 1000 batang kini menjadi gereja, begitu pula Istana Alhambra hanya tinggal kenangan. Reconquista diteruskan ke arah Afrika utara dan ke arah timur yang mana tujuan utamanya adalah tanah suci Jerusalem di wilayah Palestin. Berita kejatuhan Andalusia ini sampai kepada Turki yang ketika itu dipimpin oleh Sulaiman I The Magnificient yang telah berjaya menakluk Byzantium.
Reconquista (790-1300) 

Pada zaman inilah, terdapat dua orang adik beradik yang menjadi pelaut dan biasa berlayar di wilayah perairan Yunani dan Turki. Mereka bernama Aruj dan Hayreddin. Suatu hari kapal mereka telah diserang kapal tentera St. John of Jerusalem atau biasa disebut sebagai Knight of Rhodes. Kejadian ini telah membuatkan adik bongsunya terbunuh. Sejak daripada saat itu, Aruj dan Hayreddin menjadi lanun dan melakukan rompakan ke atas semua kapal-kapal tentera Kristian. Kegiatan ini sangat menggemparkan dan sangat ditakuti oleh tentera Kristian. Mereka dikenali sebagai lanun Barbarossa Brothers kerana kedua-duanya berjanggut merah. Makna negatif Barbarossa dipropagandakan hingga sekarang oleh barat, contohnya perompak pada komik Asterix dan watak Captain Barbossa dalam filem Pirates of the Carribean. 
Watak Captain Barbarossa dalam 
Pirates of the Carribean 

Misi dendam Barbarossa Brothers akhirnya berubah menjadi misi perjuangan Islam setelah mendengar jatuhnya Andalusia dari tangan orang Islam. Puluhan ribu bangsa Moor (bahkan yang menghuni di pergunungan) berjaya mereka selamatkan dengan membawa mereka ke negeri-negeri Afrika Utara seperti Maghribi, Tunisia dan Algeria, selain itu Algeria dijadikan pangkalan pertahanan lautnya. Penguasa Algeria tidak seramah sultan di Tunisia. Sultan Salim pernah mengusir Barbarossa ketika sedang bertempur dengan pasukan Kristian Sepanyol. Aruj mengambil keputusan kekal di Algeria dan akhirnya memimpin bandar pelabuhan tersebut atas nama kesultanan Turki. Pada tahun 1518, Sepanyol berjaya menghasut penguasa bandar Tlemcen (Tilmisan) untuk menentang Aruj. Aruj menyerahkan Algeria kepada adiknya Hayreddin dan beliau berangkat ke Tlemcen tetapi di sana beliau dan tenteranya terpaksa berperang dengan saudara sendiri yang sesama Islam. Pasukannya tewas namun Aruj sempat meloloskan diri disebalik ramai yang tertewas. Namun oleh kerana hubungannya dengan anak buahnya yang lebih daripada sekadar kepentingan peribadi, Aruj kembali bertempur dan gugur di medan perjuangan. 
Kapal Galilon milik Barbarossa Brothers 

Gugurnya Aruj menjadikan pimpinan armada laut Algeria Barbarossa yang di bawah Aruj sebelum ini berpindah ke Hayreddin. Sepanyol menyangka era Barbarossa telah berakhir di tengah-tengah lautan. Lalu, Sepanyol menghantar 20,000 tenteranya ke Algeria. Pertempuran hebat telah berlaku, namun Hayreddin berjaya mengalahkan tentera laut tersebut. Beliau sedar terlalu banyak ancaman dari negeri di sekelilingnya selain ancaman utama dari Sepanyol. Akhirnya Hayreddin meminta untuk melalui Algeria supaya penguasa Tunisia dan Tlemcen dialihkan kekuasaannya atas nama daulah Uthmaniah Turki. Mereka pun bersetuju, sehingga pada tahun 1519 Turki mengangkat Hayreddin sebagai beylerbey atau wakil Turki di Algeria dan memimpin pasukan Janissari iaitu pasukan khas tentera elit Turki. Selama Hayreddin memimpin, ramai bangsa Moor di Andalusia diselamatkan iaitu dengan 7 kali pelayaran dengan 36 kapal direkodkan. 
Kehebatan kapal perang Turki pimpinan Hayreddin Barbarossa 

Penguasa Kristian Eropah mula merasa tergugat dengan kegemilangan Sulaiman I dari Turki yang telah menguasai daratan dengan pasukan Janissarinya dan menguasai lautan dengan kehebatan Hayreddin Barbarossa. Pada tahun 1529, di Pulau Penon, ketika azan berkumandang, tentera Sepanyol telah menembak meriam ke menara masjid. Kejadian ini menjadi punca kepada peperangan hebat dan setelah 20 hari peperangan, pulau tersebut dikuasai Hayreddin. Di daratan pula, Sulaiman I cuba untuk merealisasikan impiannya untuk menakluk Vienna, Austria. Sebanyak dua kali serangan dilancarkan namun kedua-duanya gagal. Pasukan Turki yang kembali pulang sempat meninggalkan beberapa karung kopi serta menukar peraturan Pope Rom yang sebelumnya mengharamkan minuman yang diminum kaum muslim itu. Kemudian mereka menyebutnya sebagai cappuccino. 
Hayreddin Barbarossa sedang mengadap Sultan Sulaiman 1 sambil membawa hadiah 

Pada tahun yang sama Andrea Doria di Genoa berjaya membaik pulih Republik Genoa dan telah bersekutu dengan Charles V Sepanyol dan meneruskan misi reconquista dengan berperang dengan Sulaiman I dan Barbarossa yang menguasai perairan Laut Tengah (perairan Mediterranean). Kaum Eropah menyebut Barbarossa sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan tengkorak yang menjadi simbol, bahkan bendera yang diusung adalah berwarna hijau terdapat kaligrafi doa “Nashrun minalLaah wa fathun qariib wa basysyiril mu'miniin”, ya Muhammad, empat nama khulafa ur rasyidin, pedang zulfikar dan bintang segi enam Yahudi. Ketika ini, bintang segi tiga itu masih belum digunakan oleh kaum Yahudi malah ianya adalah simbol perjuangan. Hanya kini, kaum yahudi dan Israel telah menggunakan simbol itu bagi pakatan zionis mereka dan telah menyebabkan umat Islam fobia dengan simbol ini. Untuk memahami simbol yahudi ini, pembaca boleh merujuk Rahsia Bintang Enam Israel. 
Bendera kapal perang angkatan laut 
Hayreddin Barbarossa 

Charles V telah berusaha dengan bergabung dengan Knights of Rhodes di Malta, namun masih lagi gagal membendung penguasaan Barbarossa ke atas Laut Tengah. Turki yang kagum dengan prestasi Barbarossa, telah mengangkat beliau menjadi Panglima Laut (Kapudan Pasha) daulah Uthmaniah dan mengetuai angkatan Laut Turki Uthmaniah. Pada tahun 1535, gabungan bersekutu Charles V dan Andrea Doria yang telahpun mengubah nama kepada Knight of Malta telah menyerang Tunisia dengan 25,000 lebih kekuatan di dalam 500 buah kapal. Pertempuran tersebut amat dasyat dan Tunisia telah jatuh ke tangan Sepanyol. Barbarossa walaupun kalah pada tahun-tahun berikutnya, beliau telah berjaya menguasai kepulauan Beleares dan merampas kapal-kapal Portugis dan Sepanyol di selat Gibraltar. 
Preveza, tempat berlangsungnya perang antara Andrea dan Barbarossa 

Pada tahun 1538, pakatan sekutu Itali dan Sepanyol telah berperang di Preveza yang berada di teluk Actium, tempat pertempuran Octavian melawan Antonius dan Cleopatra dahulu kala. Preveza merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah ketika ini. Andrea memimpin 40 kapal dan Barbarossa dengan 20 kapal, namun dengan kepintaran Barbarossa dalam mengatur strategi dan pengetahuannya yang mendalam ke atas bentuk muka bumi dan geografi tempat pertempuran, pada waktu pagi sebelum pertempuran bermula, armada Barbarossa telahpun bersiap sedia di mulut teluk Preveza dari tiga arah dan telah mengebom armada Andrea sehingga armada Andrea berundur dari pertempuran. Barbarossa tidak ingin berperang di laut lepas kerana kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai kawalan dan kelengkapan yang lebih canggih. Serangan ke atas Algeria oleh sekutu Charles V dan Andrea Doria berlanjutan sehingga tiga tahun kemudian dengan 200 kapal di luar perairan Algeria kerana kebimbangan diserang Barbarossa dari belakang. Rakyat Algeria di bawah pimpinan Hasan Agha telah bertempur bermati-matian mempertahankan negerinya. Semangat jihad mereka membara untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Islam daripada jatuh ke tangan kuffar dibantu pula dengan penglibatan ulama’-ulama’ di sana yang menjadi pemangkin semangat kepada mereka. Charles V yang memperlekehkan dan mengambil mudah pertahanan dan strategi peperangan Algeria yang ampuh, telah menyebabkan armadanya huru-hara selain daripada telah dihentam dengan ribut laut yang dasyat ketika peperangan tersebut. Andrea Doria dan Charles V berjaya meloloskan diri dan kembali ke negerinya dengan kekalahan yang amat pahit untuk diterima. 
Hayreddin Barbarossa mengalahkan Pakatan Bersekutu Charles V pimpinan Andrea Doria di Pertempuran Preveza (1538) 

Ketika Perancis berperang dengan Sepanyol, Perancis telah bersekutu dengan Turki Uthmaniah. Barbarossa berangkat ke Marseilles untuk merebut Nice dengan memimpin 30,000 tentera Turki Uthmaniah. Sekepulangan dari Nice, Barbarossa kemudiannya berangkat ke Genoa untuk membebaskan pembantu kepercayaannya, Turgut Reis. Beliau telah membawa 210 buah kapal ke sana dan mengancam akan menyerang Genoa melainkan Turgut Reis yang telahpun dijadikan hamba serta dipenjara dibebaskan serta merta. Ugutan ini telah membimbangkan Panglima Genoa, Andrea Doria yang mula membebaskan tawanan itu dengan pertukaran hanya 3500 ducat emas. Setelah itu, banyak lagi misi-misi penaklukan dan perluasan wilayah Islam telah diperintahkan oleh Sultan Sulaiman 1 The Magnificient kepada Panglima Jeneral Angkatan Laut Turki Uthmaniah ini, Hayreddin Barbarossa Pasha. Panglima Hayreddin Barbarossa Pasha mula bersara di Constantinople pada tahun 1545. Beliau meninggalkan anaknya Hasan Pasha sebagai waris penggantinya di Algeria. Beliau kemudiannya menyerahkan memoir catatan beliau kepada Muradi Sinan Reis. Ianya terdiri daripada lima jilid yang bertulisankan tangan yang dikenali sebagai “Gazavat Hayreddin Pasa" (Penaklukan Hayreddin Pasha). Hari ini, ianya dipamerkan dengan megah di Istana Topkapi dan Perpustakaan Universiti Istanbul. Hayreddin Barbarossa Pasha meninggal dunia pada 1546 di istana tepi laut di kejiranan Büyükdere, Constantinople, di tepi barat laut wilayah Bosphorus.  Beliau dimakamkan di makam yang tinggi berhampiran dengan pelabuhan feri daerah Besiktas di sebelah barat Istanbul yang dibina pada 1541 oleh arkitek terkenal Mimar Sinan, tapak yang mana digunakan untuk armadanya berhimpun. Memorial telah dibina pada tahun 1944, di sebelah makam beliau.
Makam Hayreddin Barbarossa di Besiktas 

Kita melihat betapa umat Islam dahulu kala diangkat ke martabat yang tertinggi di muka bumi oleh Allah kerana mempunyai pemimpin yang baik serta berkaliber, amanah dengan perjuangan menegakkan syiar Islam ke serata dunia seperti Panglima Hayreddin Barbarossa Pasha. Kita melihat bahawa Barbarossa Brothers yang hanya dikenali sebagai pelayar lautan berbangsa Turki yang biasa pada mulanya, seterusnya digelar lanun di samudera pula, sanggup berkorban segalanya demi kemaslahatan umat Islam walaupun berlainan bangsa dengan mereka iaitu bangsa Moor.  Inilah ikatan ukhuwah Islamiah yang terdapat pada umat Islam terdahulu yang merentasi sempadan negara, bangsa dan budaya, hanyalah didasari atas kalimah tauhid yang satu. Maka di sinilah, perjuangan mereka yang terdahulu perlu diteladani dan corak kepimpinan mereka perlu dicontohi serta dipraktikkan oleh umat Islam khususnya di Malaysia. Pastikan pemimpin yang dipilih itu adalah yang terbaik serta amanah dalam mentadbir urus negara, maka dengan ini barulah umat Islam akan digeruni musuh dan disenangi kawan. 


Baca juga: