Friday, 5 May 2017

RAJA-RAJA MELAYU MELAKA YANG AGUNG SEPANJANG ZAMAN


(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Kesultanan Melayu Melaka adalah puncak ketamadunan dan peradaban Melayu selepas kedatangan Islam. Sesungguhnya bangsa Melayu mempunyai dua puncak kegemilangannya, satu ialah zaman kegemilangan yang bermula ketika era Srivijaya, lalu ketika kejatuhan Srivijaya, ianya diteruskan oleh Singapura Purba sebelum dibantai oleh Majapahit.

Lalu, dari puing-puing kejatuhan Singapura Purba dan juga Srivijaya, bangsa Melayu bangkit membina kembali Melaka. Kegemilangan yang dicapai oleh Srivijaya kelihatan seperti tidak dapat dijelmakan kembali oleh Singapura Purba. Namun, kewujudan Melaka seolah-olah mengembalikan bayangan Srivijaya.

Sahabat-sahabatku sekalian… kalau anda sudi bersama saya dalam perjalanan mengembalikan nostalgia kita kepada Melaka, maka sambutlah tangan saya, saya akan bawa kalian menyelami era yang menjadi asas kepada imej Melayu kita hari ini. Dari bahasanya… dari agamanya… dari budayanya… semuanya dimulakan oleh Melaka. Meski secara peribadi, saya berpendapat bahawa Srivijaya ialah kemuncak peradaban segala tamadun Melayu, tetapi Srivijaya agak jauh daripada jiwa Melayu moden hari ini.

Bahasa Melayu Kuno zaman Srivijaya sudah berevolusi menjadi Bahasa Melayu Klasik ketika berada di bawah Melaka. Agama Buddha yang menjadi pegangan Melayu Srivijaya sudah lama ditinggalkan oleh orang Melayu ketika kedatangan Islam, budayanya pula sudah tentu berbeza antara zaman Srivijaya dan Melaka.

Maka… kenyatannya, Melaka itu lebih dekat dengan jiwa orang Melayu hari ini. Dan izinkan saya berpesta aksara, menukilkan kisah-kisah agung tentang tokoh agung bangsa Melayu ketika era Kesultanan Melayu Melaka. Tetapi sebelum itu, saya lebih suka guna tarikh Kesultanan Melayu Melaka yang lama, kerana saya tidak mempunyai akses ke Sulalatus Salatin Raja Bongsu, dalam meletakkan nama sultan-sultan Melaka serta tarikh pemerintahannya.

Hasil carian imej untuk parameswara
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

1. Raja Iskandar Shah aka Parameswara (1400 – 1414 Masihi)

Figura yang bernama Parameswara ini adalah figura yang paling misteri di dalam sejarah dunia. Ada dua versi yang menceritakan tentang asal usulnya. Pertama, ianya datang daripada Suma Oriental yang mengatakan bahawa asal-usul Parameswara adalah daripada Palembang lalu ke Singapura dan membunuh Temagi. Tetapi izinkan saya mengatakan bahawa saya bukan pengganut teori ini kerana saya lebih berpihak pada Sulalatus Salatin dalam menceritakan tentang sejarah Parameswara.

Tetapi sebelum itu… perlu saya kepilkan pendapat seorang sejarawan daripada Brunei bernama Dato’ Seri Utama Dr Awang Mohd Jamil Al-Sufri bahawa sesungguhnya sebutan sebenar untuk Parameswara adalah Permaisura.

Menurut Dr Awang Jamil lagi, nama Permasura itu ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Melayu yang bermaksud Permai dan Suara yang bermaksud suara yang indah, merujuk pada titah seorang raja yang didengari dan ditaati perintahnya.

Gelaran Permaisura juga menurut Dr Awang Jamil telah lama digunakan oleh raja-raja Melayu yang memerintah kerajaan Singapura Purba dan turut dikurniakan pada wazir kanan Kesultanan Brunei iatu Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara. Ini tidaklah sesuatu yang menghairankan kerana pengasas Kesultanan Melayu Brunei itu sendiri berkahwin dengan anak salah seorang raja Melayu Singapura Purba.
Hasil carian imej untuk parameswara
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Dan tambah Dr Awang Jamil lagi, gelaran ini juga mungkin disandang oleh pengasas Kesultanan Melayu Melaka sendiri kerana berkahwin dengan anak perempuan Raja Jawa yang memakai gelaran permaisuri. Wallahualam

Maka selepas ini, izinkan saya hanya menggunakan nama Iskandar Shah dalam merujuk pada Parameswara. Jadi izinkan saya bercerita pula sisi sejarah Melayu versi Sulalatus Salatin.

Dalam Sulalatus Salatin, yang diceritakan tentang sejarah Iskandar Shah adalah merupakan raja terakhir yang memerintah Singapura Purba sebelum dilanggar bala askar Majapahit sebelum melarikan diri ke Muar lalu membawa diri ke sebuah tempat bernama Melaka.

Di tempat inilah kisah bagaimana Raja Iskandar Shah melihat seekor kancil menendang anjing pemburuannya, lalu mendapat ilham untuk menubuhkan kerajannya. Lalu ditanya kepada para pembesar yang setia mengikutinya selepas kejatuhan kota Singapura Purba. Lalu dijawab mereka pokok tempat baginda berteduh ialah Pokok Melaka lalu nama Melaka pun diambil sempena dengan nama pokok itu.

Lalu dari sebuah perkampungan nelayan, Raja Iskandar Shah menukarkan kota tersebut menjadi sebuah kota perdagangan yang agung. Kalau di Singapura Purba, perbuatan Parameswara yang menghukum tanpa selidik salah seorang dayangnya mengakibatkan pengkhianatan yang menghumban kepada terbukanya kota Singapura Purba kepada bala askar dari Pulau Jawa.

Maka mungkin baginda belajar dari sejarah. Apabila menubuhkan kota Melaka, baginda tahu bahawa sebuah sistem yang hebat perlu ditubuhkan untuk memastikan bahawa negara baru yang ditubuhkan ini akan mampu berdepan dengan gempuran dari segala pihak.

Raja Iskandar Shah memastikan bahawa pemerintahannya akan dibantu oleh empat orang pembesar. Empat orang pembesar ini yang akan membantu baginda mentadbir Melaka. Sistem pentadbiran yang adil terus dilaksanakan oleh baginda.

Baginda mengamalkan sebuah sistem pembicaraan di sebuah kompleks yang dipanggil Balai Penghadapan. Baginda akan melakukan kerja penghakiman sambil dibantu oleh 40 orang bentara. Setiap orang yang dibawa ke balai penghadapan akan dinilai seadil-adilnya. Tiada lagi bicara tanpa periksa yang dilakukan oleh baginda dahulu.

Kemudian, baginda mahu berusaha memastikan bahawa Melaka yang dibangunkan itu memberi kepuasan yang maksimum kepada masyarakat. Lalu antara langkah-langkah baginda memastikan pelabuhan itu disukai oleh pedagang ialah dengan membina gudang-gudang untuk menyimpan wang dan barang dagangan, yang dikelilingi oleh pagar kayu yang kuat, yang dijaga oleh orang-orang kepercayaan baginda.

Selain itu, baginda turut membina sebuah jambatan yang digunakan untuk merentangi Sungai Melaka. Di atas jambatan itu, baginda memastikan sekurang-kurangnya terdapat 20 buah kedai yang akan menjadi tempat kunjungan para pedagang.

Bahkan untuk memastikan bahawa keselamatan pedagang yang mengunjungi kota Melaka, maka baginda membina tembok mengelilingi Kota Melaka, di mana terdapat empat pintu gerbang mengelilingi kota Melaka. (Raja Affandi Ahmad 1974: pg 49) Di mana di setiap pintu gerbang tadi, diletakkan pegawal. Pada waktu malam pula, para pegawal akan membawa loceng dan juga api damar, meronda di sekeliling Melaka memastikan keselamatan rakyat dan pedagang terbela.

Selain itu, seperti mana tradisi daripada nenek moyang baginda yang memerintah Srvijaya sehingga empayar itu menjadi empayar Melayu paling lama dalam sejarah iaitu sekurang-kurangnya untuk 640 tahun, baginda meneruskan khidmat orang laut untuk membantu baginda mengawal keadaan lalu lintas di Sewlat Melaka dan menghalau gangguan lanun.

Baginda juga merupakan seorang ahli politik yang hebat. Baginda mengetahui bahawa pada awalnya, Melaka tidak mungkin akan mampu menahan asakan daripada kerajaan Siam (Siam dalam Sulalatus Salatin mungkin merujuk pada Sri Dharmaraja, sebuah kerajaan Melayu yang masih memeluk agama Buddha yang terletak di Segenting Kera).

Jadi, baginda pada awalnya dengan rela hati membayar ufti sebanyak 40 tahlil emas kepada Siam. Namun, bila datangnya utusan China ke Melaka, maka baginda mengambil kesempatan itu untuk memutuskan hubungan dengan Siam lalu bersahabat dengan China. Menggunakan kekuasaan abang besar China, maka baginda mengugut Siam yang ketika itu mula bermusuhan dengan Melaka.
Hasil carian imej untuk Laksamana Cheng Ho berlabuh di Pelabuhan Melaka
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Ketika pemerintahan Raja Iskandar Shah inilah di mana Laksamana Cheng Ho berlabuh di Pelabuhan Melaka, pada tahun 1408, di mana Cheng Ho ketika itu membawa dua cap mohor perak dari China, jubah panjang, dan pelbagai barang kebesaran China, mengiktiraf kerajaan Melayu Melaka yang kononnya baru berdiri ketika itu.

Baginda juga dicatatkan telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Dinasti Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf baginda sebagai raja Melaka.

Betapa sistem-sistem awal yang diterapkan oleh baginda ini kemudiannya menjadi asas yang kukuh, menjadikan Melaka bukan sahaja sebagai sebuah pelabuhan yang disegani, bahkan sebuah empayar yang menakjubkan.

Ada sejarahwan yang menganggap bahawa baginda telah memeluk Islam sejak pengasasan Melaka lagi.Namun menurut Sulalatus Salatin,raja Melaka pertama memeluk Islam ialah Raja Kechil Besar yang kemudiannya memakai gelaran Sultan Muhammad Shah.

Hasil carian imej untuk sultan muzaffar shah
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

2. Sultan Muzaffar Syah (1446–1459 Masihi)

Apa yang perlu diketahui tentang pemerintahan Sultan Muzaffar Syah adalah baginda adalah seorang sultan yang sangat bijaksana dalam menguruskan masalah politik dan perpecahan yang berlaku sewaktu pemerintahan baginda. Perlu kita ketahui bahawa tokoh teragung dalam sejarah Melaka itu sendiri, Tun Perak adalah kerana baginda sendiri yang dapat mengesan bakat yang dimiliki oleh Tun Perak.

Ketika era baginda, perlu diketahui bahawa Kesultanan Melayu Melaka ketika itu bersengketa dengan sebuah kerajaan Melayu Sri Dharmaraja yang bertakhta di wilayah Segenting Kera pada masa itu. Kerajaan inilah yang diperkatakan dalam Sulalatus Salatin sebagai kerajaan Siam.
Hasil carian imej untuk wilayah segenting kera
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Ditakdirkan ketika itu, Siam menyerang Melaka. Maka Tun Perak yang ketika itu memerintah wilayah Klang seperti mana yang diamanahkan oleh Sultan Muzaffar Syah telah diarahkan oleh baginda sendiri untuk memimpin orang-orang Melayu ketika itu dari Klang dan menahan gempuran Sri Dharmaraja.

Hebatnya… Sri Dharmaraja berjaya dihalau keluar daripada bumi Melaka dan bakat hebat yang dimiliki oleh Tun Perak itu disedari oleh Sultan Muzaffar Syah. Baginda mahukan bakat Tun Perak digunakan sebaik-baiknya, dan membantu baginda membangunkan Melaka. Melaka ketika itu pula telah mempunyai Bendaharanya tersendiri yang bernama Tun Ali.

Kenaikan mendadak Tun Perak ke jawatan Bendahara menimbulkan sengketa antara Tun Perak dan Tun Ali sehinggakan mengheret kepada perpecahan rakyat Melaka. Namun, Sultan Muzaffar Syah ketika itu seorang yang bijak dan sangat berdiplomasi. Baginda mahukan khidmat kedua-dua orang itu kerana mereka juga orang yang hebat. Melaka akan jadi lebih hebat sekira-kiranya dipimpin oleh kedua-duanya.

Maka antara langkah penyatuan yang diambil oleh baginda Sultan Muzaffar Syah ialah berjumpa dengan Tun Ali dan memujuk Tun Ali agar menerima perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara, di samping membantu Tun Perak membangunkan Melaka. Maka permintaan Tun Ali ketka itu agar Sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya yang bernama Tun Kudu dan mengahwinkan dengannya.

Pada awalnya, Sultan Muzaffar agak keberatan namun demi menyelamatkan Melaka yang ketika itu diambang krisis, maka Sultan Muzaffar Syah sudi mengambil langkah itu. Untuk kegemilangan yang lebih bertahan lama, maka pengorbanan itu penting. Bermula dari pengorbanan ini, Tun Perak dan Tun Ali berganding bahu membangunkan Melaka dan hubungan mereka semakin akrab.
Hasil carian imej untuk sri dharmaraja
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Dicatatkan selain berjaya meneutralkan kuasa Sri Dharmaraja yang pernah berkuasa di Asia Tenggara ketika itu, jasa Sultan Muzaffar Shah juga adalah meluaskan taklukan Melaka ke utara dengan memasukkan wilayah Selangor,Manjung dan Batu Pahat yang kaya dengan bijih timah ke dalam pemerintahan Melaka. Sultan Muzaffar Shah juga dikenali sebagai pemula zaman keemasan dan kegemilangan Melaka yang selepas ini akan dibicara oleh banyak manusia sehingga ke hari ini.

Yang paling penting, ketika era Sultan Muzaffar Shah inilah di mana Hukum Kanun Melaka mula diperkenalkan untuk menjamin keamanan Melaka,mengukuhkan martabat Melaka sebagai sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan hukum syariah dan pelbagai kesalahan-kesalahan baru diletakkan di bawah kanun ini.

Untuk pengetahuan semua, undang-undang Syariah Islam seperti Hudud, Takzir, Qisas dan Diya telah dimuatkan menjadi sebahagian daripada Hukum Kanun Melaka, membuktikan betapa ketika zaman Sultan Muzaffar Syah lagi, bahkan mungkin sultan-sultan sebelum baginda, betapa undang-undang Islam diangkat menjadi salah satu daripada identiti negara.

Hasil carian imej untuk Sultan Mansur Shah
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

3. Sultan Mansur Shah (1459-1477 Masihi)

Secara jujur, baginda mungkin adalah calon sultan terbaik dalam sejarah Melaka selain daripada anak baginda yang bernama Sultan Alaudin Riayat Shah yang akan diceritakan selepas ini. Baginda ialah antara penakluk yang muncul dalam sejarah Melayu, di samping seperti Nakhoda Ragam, Dapunta Hyang Sri Jayanasa dan juga Dharanindra.

Tentang sultan terbaik itu nanti, saya akan biarkan para pembaca membuat kesimpulan sendiri. Kita akan terus bicara tentang kehebatan pimpinan Sultan Mansur Syah.

Dasar perluasan kuasa yang dimulakan oleh Sultan Muzaffar Syah kemudiannya diteruskan pula oleh anakandanya yang ketiga iaitu Sultan Mansur Syah yang mewarisi takhta Melaka daripada baginda Sultan Muzaffar Syah.

Maka kegemilangan yang dimulakan oleh Sultan Muzaffar Syah itu diteruskan pula oleh baginda Sultan Mansur Syah. Maka, sebelum kita mula berbicara tentang baginda Sultan Mansur Syah, izinkan saya memberi label bahawa sesungguhnya, anda mungkin akan mengenali seorang lagi “CONQUEROR” dalam sejarah iaitu Sultan Mansur Shah.
Hasil carian imej untuk dapunta hyang sri jayanasa
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Dalam sejarah Melayu, Srivijaya akan terkenal dengan penakluk hebat seperti Dapunta Hyang Sri Jayanasa, Maharaja Dharanindra dan juga Mahabrana., Kalau Brunei boleh berbangga dengan kewujudan Nakhoda Ragam yang membina empayarnya hingga ke Manila, kalau Sri Dharmaraja boleh berbangga dengan kewujudan rajanya yang memerintah Khmer seperti Suryavarman I, maka Melaka pastinya akan berbangga dengan kewujudan Sultan Mansur Shah.

Antara yang paling dikenali mengenai pemerintahan baginda ialah dasar perluasan kuasa yang dijalankan, membawa gelaran yang saya rasa mungkin sesuai untuk baginda. “THE MALAY CONQUEROR”. Tetapi kalian kena ingat… cara-cara penaklukan yang dilakukan oleh Sultan Mansur Shah demi memastikan kerajaan-kerajaan di sekelilingnya tunduk pada pemerintahannya ialah bukan sahaja melalui kekuatan tentera sahaja, bahkan perkahwinan. Seperti mana yang pernah digunakan oleh Raja Singahasari dahulu ke atas semua kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera dahulu, begitu juga Sultan Mansur Shah.
Hasil carian imej untuk tun perak
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Sultan Mansur Shah meneruskan dasar perluasaan kuasa yang dimulakan oleh ayahandanya dengan menghantar bala askar yang terdiri daripada 200 buah kapal ke arah Pahang (Inderapura) yang ketika itu diperintah oleh Maharaja Dewasura, iatu puppet yang dipasang oleh raja Sri Dharmaraja untuk memerintah Pahang. 200 buah kapal yang dihantar oleh Sultan Mansur Shah yang diketuai oleh Tun Perak dan juga 12 orang Hulubalang Melaka. Perlu diketahui Hulubalang ialah tentera elit yang dimiliki oleh kerajaan Melayu Melaka, yang dimiliki sejak zaman Srivijaya lagi. Maharaja Dewasura dikatakan cuba lari, tetapi berjaya dikejar oleh bala askar Melaka.

Perang yang sengit berlaku antara Melaka dan Pahang dan akhirnya, Pahang tunduk kepada kekuasaan Melaka dan Sri Dharmaraja yang ketika itu menjajah Pahang berjaya pula ditundukkan oleh Melaka. Negeri-negeri Melayu yang lain terkejut dengan kejayaan Melaka ini sehingga ada yang rela hati datang kepada Melaka dan rela menjadi naungan Sultan Mansur Shah. Selepas penawanan Melaka, antara kerajaan-kerajaan yang berjaya dimasukkan ke dalam Empayar Melaka oleh Sultan Mansur Shah ialah Bernam, Kampar, Siak,Rupat, Singapura, dan Bintan. Dari peperangan ini, Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Puteri Onang Seri.

Bahkan, Sultan Mansur Shah juga dikatakan telah datang ke Majapahit sambil membawa bala askar sambil membawa hulubalang-hulubalang Melayu. Walaupun kedatangan Sultan Mansur Shah ini sekadar lawatan, namun kekuatan tentera yang dipamerkan oleh Sultan Mansur ketika itu menyebabkan Majapahit yang ketika itu di era kejatuhan menjadi gentar lalu Maharaja Majapahit ketika itu menyerahkan anak perempuannya yang bernama Raden Galoh Candra Kirana. Majapahit turut menghadiahkan Indragiri, Jambi, Tungkal and Siantan yang ketika itu berada di bawah kekuasaan Majapahit ke atas Melaka.

Kekuatan tentera yang dipamerkan oleh Sultan Mansur Shah ini nampaknya bukanlah sekadar mainan tetapi benar-benar menakutkan. Ada sebuah kisah yang harus dikenangkan oleh kita semua tentang kisah bagaimana sebuah kerajaan bernama Dai-Viet yang sejauh di Indo-China berjaya ditundukkan oleh Melaka.

Sekitar tahun 1469 dalam catatan China disebut bahawa serombongan utusan dari Melaka yang dalam pelayaran balik dari China telah dipukul ribut dan terkandas di Vietnam. Kesemua anak kapal ditangkap, ada yang dibunuh malah yang muda dan anak-anak dikasi dan dijadikan sida-sida oleh orang Vietnam.

Melaka telah mengadukan hal tersebut kepada Maharaja China. Pada mulanya Melaka tidak mahu bertindak kerana tahu bahawa Vietnam juga adalah negara yang menghantar ufti ke China. Utusan Melaka Duan Ya Ma La Di Na Cha (Tun Seri Nara Diraja?) juga telah mengadukan rancangan Vietnam untuk menyerang dan menakluk Melaka.

Sewaktu utusan Melaka berada di China kebetulan utusan dari Vietnam juga turut ada. Hal ini telah menyebabkan timbul pertengkaran diantara wakil Melaka dengan wakil Vietnam tentang tindakan biadap Vietnam yang telah menculik dan membunuh utusan Melaka sebelum itu.

Mereka berdua ditenangkan oleh salah seorang menteri pertahanan China ketika itu yang menasihati mereka agar melupakan persengketaan kerana perkara tersebut telah lama berlalu.

Sebelum kedua-dua utusan tersebut pulang ke negeri masing-masing, Maharaja China telah mengirimkan surat yang menyelar perbuatan Maharaja Vietnam dan menasihatinya agar berbuat baik dengan negara tetangga dan merenung kesalahan sendiri.

Manakala Maharaja China telah bertitah kepada utusan Melaka supaya bertindak tegas dan menyiapkan tentera serta kuda perang sekiranya Vietnam tetap mahu menyerang Melaka kelak.
Hasil carian imej untuk maharaja vietnam Le Than Tong
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali.

Walaupun dalam catatan sejarah Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya.

Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa.

Peristiwa ini tercatat didalam kronik China Ming Shilu. Adakah peristiwa ini merupakan tindakbalas Melaka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Vietnam sebelum itu? Faktor penentu kekalahan Vietnam ini pastinya adalah kerana kehebatan Melaka di medan tempur.

Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97.

Kegagalan besar ini melenyapkan impian Le Than Tong untuk meluaskan lagi empayarnya sekaligus mengesahkan keunggulan Melaka ke atas semua kuasa lain di Asia tenggara meskipun jumlah tentera dan penduduk Vietnam adalah berkali ganda lebih besar. Saya percaya kemenangan ini juga dibantu oleh jajahan takluk Melaka yang lain termasuk tentera Siam Ayuthia dan Lanxang sendiri. Konflik antara Melaka dan Vietnam dipercayai berlaku ketika era pemerintahan Sultan Mansur Shah dan juga Sultan Alauddin Riayat Shah.

Kalau kuasa ketenteraan Melaka itu mampu menundukkan kekuasaan Vietnam yang ketika berada di zaman kegemilangannya, maka tidaklah hairan sekiranya Majapahit “begitu bermurah hati” menyerahkan tanah jajahannya. Dan kekuatan tentera Melaka di bawah Sultan Mansur Shah juga dapat dilihat apabila banyak negara meminta bantuan baginda sendiri untuk menundukkan pemberontakan yang berlaku di negara masing-masing. Antaranya ialah kerajaan Pasai sendiri mendatangi Sultan Mansur Shah. Pada zaman terkemudian di bawah pemerintahan sultan yang lain, jajahan seperti Kelantan juga jatuh di bawah pemerintahan Melaka.
Hasil carian imej untuk gambar hang tuah lima bersaudara
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

Antara sumber kekuatan militari Melaka dikatakan ialah dengan kebijaksanaan Sultan Mansur Shah merekruti hulubalang-hulubalang hebat seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hasan and Hang Husain dan yang paling dekat dengan jiwa kita iaitu Laksamana Hang Tuah. Jadi, selepas ini, kalau ada mereka yang mahu membuat teori mengarut mencinakan nama Hang Lima bersaudara, jangan lupa juga untuk mencinakan nama seperti Hang Iskandar, Hang Hasan dan Hang Hussain. Ohh juga Hang Nadim, iaitu anak Hang Jebat yang dijaga oleh Hang Tuah.

Imej Sultan Mansur Shah bukan sahaja sebagai salah seorang daripada penakluk yang meluaskan empayar Melaka, tetapi antara sultan yang membina mercu tanda. Sebagai contoh, ialah Istana Mahligai yang merupakan antara binaan yang sangat menakjubkan. Sukanya saya petik daripada Sulalatus Salatin dalam menceritakan tentang kehebatan istana ini.

“Besar istana itu tujuh belas ruang, ruangnya tiga depa, besar tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya bertingkap, pada antara tingkap itu diberinya berbumbungan melintang dan bergajah menyusu, sekaliannya bersayap layang-layang berukir dan bersengkuap, pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang besagi, sekaliannya bergunung-gunungan dan berjurai-jurai belaka.

Adapun segala tingkap istana itu sekaliannya dicat dan dibubuhi air emas, kemuncaknya kaca merah…dan dinding istana dengan cermin Cina yang besarbesar…Adapun rusuk istana itu sehasta lebarnya, sehasta tebalnya, diukirnya jenang pintu itu, dan empat puluh banyak pintunya, sekaliannya dicat dibubuh air emas. Terlalu indah perbuatannya istana itu, sebuah pun istana raja-raja di dalam dunia ini tiada seperti ini.”

(Sulalatus Salatin Versi Shellabear, halaman 102)

Besar istana (panjang) 17 ruang, satu ruang tiga depa. (1 depa =1866.24 mm) Jadi, panjang keseluruhan ialah = 17 x (3 x 1866.24mm 95178.24mm ( lebih kurang 95m).

Jadi, Panjang Istana Melaka adalah 95 Meter. Belum lagi kira tinggi, luas dan sebagainya.Berdasarkan catatan dalam Sulalatus Salatin, sekurang-kurangnya 7 tahap tingginya.

Dalam pemerintahan baginda juga, baginda menguatkan hubungan dengan Dinasti Ming dari China dengan menjalankan hubungan pertalian dengan salah seorang puteri Maharaja China iaitu Hang Lipo.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat, ada yang mengatakan bahawa Sultan yang terlibat dalam peminangan Puteri Gunung Ledang ialah baginda Sultan Muzaffar Syah, seperti mana yang dicatatkan oleh Dr Liaw Yock Fang, yang merupakan Pakar Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik serta Sabri Zain dalam blognya.

Namun, tragedi yang paling tak dilupai dalam pemerintahan baginda Sultan Mansur ialah di mana baginda telah menghukum Hang Tuah dengan membuta tuli kerana perasaan marah sehingga membuatkan Hang Jebat mengamuk di seluruh Melaka sebelum berjaya ditundukkan oleh Hang Tuah.

Namun begitu, baginda adalah sultan yang menyukai agama Islam dan berminat mendalaminya. Menurut Tom Pires, Sultan Mahmud ada membina sebuah masjid yang sangat cantik berdekatan dengan bukit Melaka. Baginda sangat meminanti ilmu tassawuf dan sangat memuliakan ulamak sepanjang pemerintahannya.

Imej yang berkaitan
(Ilustrasi/Gambar Sekadar Hiasan)

4. Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 – 1488 Masihi)

Ketika saya belajar dahulu di sekolah, antara nama yang sering dibangkitkan sebagai salah seorang daripada mastermind kebangkitan Melaka menjadi gemilang ialah Sultan Alaudin Riayat Syah. Pemerintahan baginda selalu disamakan dengan pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab.

Memandangkan ketika pemerintahan baginda, banyak berlaku kecurian di Kota Melaka. Maka setiap malam, baginda selalu menyamar menjadi rakyat biasa dan menangkap pencuri yang bermaharajalela. Baginda adalah sultan yang sangat mengambil berat keadaan rakyatnya. Bukannya selalu kita dapat mendengar seorang sultan sanggup menangkap pencuri dengan tangannya sendiri sedangkan di belakangnya bala askar yang terbaik di Asia Tenggara melainkan sultan tersebut merupakan sultan yang sangat tawaduk dan sentiasa berasa gerun dengan amanah yang dijunjungnya.

Di sebalik tabiatnya menyamar sebagai rakyat biasa, baginda juga seorang ahli politik yang hebat. Sistem Salleh yang diperkenalkan oleh baginda diamalkan oleh Malaysia sehingga hari ini. Baginda telah membina pondok-pondok polis di sepanjang jalan yang hari ini dapat dilihat di Malaysia. Pondok-pondok polis ini menjadi tempat para rakyat Melaka meminta pertolongan. Hari ini, anda akan dapat melihat banyaknya pondok polis yang dibina di tepi jalanan terutama di kawasan tumpuan awam seperti Bukit Bintang dan Petaling Street.

Kekayaan yang dimiliki oleh baginda memang mengagumkan. Dicatatkan bahawa kekayaan Sultan Alauddin Riayat Syah bernilai 140 quintal dimana 1 quintal bersamaan 100 paun dalam timbangan emas dan bayangkanlah berapa beratnya kekayaan yang dimiliki oleh Sultan Alauddin Riayat Syah andai mempunyai 140 quintal kekayaannya.

1 Quintal = 100 paun
140 Quintal = 14,000 paun
1 paun = 453.6 gram
14,000 paun = 6,350,400 gram
1 gram = RM176 (harga EMAS semasa 2017)
6,350,400 x RM176

RM1,117,670,400.00
(Ringgit Malaysia: SATU BILLION SERATUS TUJUH BELAS JUTA ENAM RATUS TUJUH PULUH RIBU DAN EMPAT RATUS SAHAJA)

Dasar perluasan kuasa yang dimulakan oleh Sultan Muzaffar Shah dan ayahandanya Sultan Mansur Shah diteruskan pula oleh baginda. Antara negeri yang menjadi jajahannya ialah Aru. Baginda juga sempat merajakan anak baginda di Kampar bagi memastikan kekuasaan Melaka di Kampar terjaga dengan rapi. Kalau kegemilangan ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah bersifat materialistik, tetapi di bawah pemerintahan baginda bersifat kerohanian. Hukum Kanun Melaka yang dimulakan oleh Sultan Muzaffar Shah diamalkan dengan ketat dan serius serta menyeluruh di bawah pemerintahan baginda.

Sukanya saya akhiri artikel ini dengan petikan ayat daripada Tom Pires:

“Barangsiapa menjadi raja Melaka, dia umpama meletakkan tangannya ke kerongkong Venice.”

– Tom Pires ketika mengulas kekayaan dan kehebatan Melaka.



Rujukan:

1. Sulalatus Salatin versi A. Samad Ahmada dan Shellebear

2. Hikayat Hang Tuah oleh Kassim Ahmad

3. Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam sejarah oleh Raja Affandi Ahmad. Dewan Bahasa Dan Pustaka. (1974)

4. Srikandi, Al-Semantani, Ibnu-Rusydi. (2015) Membongkar Rahsia Dunia Melayu. Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah. HR Publishing.

5. The Malacca Sultanate oleh R. J. Wilkinson. (October, 1935) Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society Vol. 13, No. 2 (122), pp. 22-67

6. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, From Angkor Wat to East Timor (3 Volume Set) Hardcover – October 13, 2004 oleh Keat Gin Ooi

7. Ashgar Ali Ali Mohamed (2012), “Implementation of Hudud (or limits ordained by Allah for serious crimes) in Malaysia” (PDF), International Journal of Humanities and Social Science (Centre for Promoting Ideas)

8. Anthony Reid, David Marr (1979), Perceptions of the Past in Southeast Asia by Anthony Reid, David Marr.

9. Nhung Tuyet Tran; Anthony Reid (3 November 2006). Viet Nam: Borderless Histories. Univ of Wisconsin Press. pp. 104

10. Laichen Sun. (2000) Ming-Southeast Asian overland interactions, 1368-1644. University of Michigan

11. Liaw Yock Fang (2013) A History of Classical Malay Literature. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia.

12. Tome Pires. The Suma oriental of Tomé Pires: an account of the East, from the Red Sea to China, written in Malacca and India in 1512-1515 (Volume II: Malacca), Asia Educational Services, 1990.

13. Blog Sejarah Melayu http://www.sabrizain.org/




No comments:

Post a Comment