Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Wednesday, 7 October 2020
Monday, 20 July 2020
KENALI CAPE MALAY - KAUM MELAYU YANG HIDUP DI AFRIKA SELATAN

TAHUKAH ANDA DI AFRIKA SELATAN ADANYA KOMUNITI MELAYU?
Kenali Cape Malay, Kaum Melayu Yang Hidup Di Afrika Selatan. Sekiranya anda sebut ‘Melayu’ dan ‘negara’, negara Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia akan terlintas dalam fikiran kita.
Tapi tahukah anda di Afrika Selatan ada juga komuniti Melayu? Malah, moyang mereka merupakan masyarakat pertama membawa Islam ke Afrika Selatan!

KUMPULAN ETNIK DI AFRIKA SELATAN
Nama Cape Malay berasal dari Cape of Hope di Afrika Selatan dan masyarakat Melayu yang berasal dari kepulauan Melayu.
Kebanyakan mereka berasal dari Hindia Belanda (kini Indonesia), yang merupakan koloni Belanda selama beberapa abad, dan Melaka Belanda ketika negeri itu dijajah oleh Belanda dari tahun 1641 hingga 1824.
Anggota masyarakat ini merupakan orang Jawa yang diperhambakan dan diangkut oleh Syarikat Hindia Timur Belanda ke Afrika Selatan. Hal ini kerana penjajah Belanda menggunakan Cape Town sebagai stesen bekalan untuk kapal-kapal yang melakukan perjalanan antara Eropah dan Asia.
Tokoh penting dalam kedatangan Islam adalah pemimpin Muslim yang menentang pemerintahan syarikat berkenaan di Asia Tenggara. Salah seorang, Sheikh Yusuf, dibuang negara oleh syarikat tersebut ke Afrika Selatan, kemudian diikuti oleh hamba-hamba dari berbagai wilayah Asia Tenggara yang lain dan juga pembangkang politik dan pemimpin agama Islam yang menentang kehadiran Belanda di Hindia Belanda (Indonesia).
Pada abad ke-18, bahasa Melayu diguna sebagai bahasa lingua franca orang-orang Muslim yang diperhambakan dan kemudian dibebaskan, walaupun mereka berasal dari Afrika Timur, Madagaskar, India dan Indonesia.
Penggunaan bahasa Melayu turut menjadikan moniker ‘Melayu’ untuk semua umat Islam tanpa mengira asal usul geografinya.
Menjelang abad ke-19, istilah ini digunakan untuk warga Cape Town yang beragama Islam, sementara bahasa Afrikaans menggantikan bahasa Melayu sebagai lingua franca masyarakat ini.

IDENTITI CAPE MALAY
Oleh kerana kebanyakan orang Cape Malay mendapati identiti Muslim mereka lebih menonjol daripada keturunan Melayu mereka, mereka digelar sebagai ‘Cape Malay’ untuk membezakan mereka dari masyarakat Melayu nusantara.
Lama-kelamaan, hamba Indonesia yang asalnya dibawa dari Indonesia ke Afrika Selatan, berkahwin dengan pelbagai kaum lain termasuk hamba-hamba lain dari Selatan Asia dan Asia Tenggara, Madagaskar, dan orang asli Afrika. Perkara ini kemudian mewujudkan masyarakat ‘Melayu’ yang berpelbagaian dalam komuniti mereka.
PEMBAWA ISLAM KE AFRIKA SELATAN
Pengasas komuniti ini adalah yang pertama membawa agama Islam ke Afrika Selatan.
Malah, budaya dan tradisi masyarakat juga meninggalkan kesan yang dapat dirasakan hingga hari ini.
Komuniti Muslim di Cape Town kini sudah besar dan telah berkembang lebih daripada hamba-hamba yang memulakan masjid pertama di Afrika Selatan.
Masyarakat Cape Malay bertutur dalam bahasa Afrikaans dan bahasa Inggeris. Walaupun mereka kini tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa lain yang digunakan oleh nenek moyang mereka, pelbagai perkataan dan frasa bahasa Melayu masih digunakan dalam penggunaan harian.

Kredit: Cape Malay KSA
MAKANAN TRADISIONAL DIPENGARUHI OLEH MAKANAN MASYARAKAT MELAYU NUSANTARA
Pelbagai makanan tradisi Afrika Selatan seperti bredie, bobotie, sosaties, dan koeksisters diasimilisasikan dalam makanan tradisi Cape Malay.
Terdapat juga makanan lain yang dipengaruhi oleh makanan masyarakat Melayu nusantara. Di Indonesia, terdapat sejenis hidangan yang digelar sebagai ‘samosa’ atau ‘kue kering’ iaitu sejenis popiah yang berinti kentang, keju, kari dan mi. Ia dihidang dengan sambal sebagai makanan ringan. Makanan ini juga didapati dalam masyarakat Cape Malay dan digelar sebagai ‘samoosas’.


Samosa (Indonesia) di sebelah kiri, Samoosas (Afrika Selatan) di sebelah kanan.

Salah satu lagi makanan tradisi Cape Malay yang mempunyai pengaruh masyarakat Melayu Malaysia ialah kari ayam dengan sambal.
Kredit: The Daley Plate
HUBUNGAN ANTARA CAPE MALAY DAN MALAYSIA
Ketika Afrika Selatan bergabung semula dengan masyarakat antarabangsa, terjalinnya hubungan antara rakyat Malaysia dan Afrika Selatan.
Kemasukan Afrika Selatan disambut baik oleh kerejaan Malaysia dan juga masyarakat lain di rantau Asia Tenggara.
Malah, kumpulan-kumpulan NGO seperti Federation of Malaysia Writers’ Association telah menjalin hubungan dengan masyarakat Cape Malay.
NEGARA YANG BERBEZA TETAPI BERSATU MELALUI SEJARAH
Walaupun masyarakat ini tidak lagi bertutur dalam bahasa nenek moyang mereka, mereka masih mengamalkan Islam, budaya, makanan dan juga keramahan masyarakat nusantara yang dikenali seluruh dunia.
Bayangkan selama ini anda fikir hanya di nusantara sahaja ada masyarakat Melayu, siapa sangka di Afrika Selatan ada juga masyarakat Melayu. Lagi-lagi mereka masih mengamalkan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu yang dapat dilihat hingga sekarang.

Keluarga Cape Malay
SUMBER: iloveborneo
Wednesday, 18 September 2019
KISAH TAN SRI YAHAYA AHMAD YANG PERNAH BELI SYARIKAT LOTUS SECARA TUNAI

TAN Sri Yahaya Ahmad, satu nama yang cukup popular pada tahun 90-an. Beliau merupakan Pengerusi Kumpulan DRB Hicom dan pernah menggegarkan dunia apabila membeli syarikat Lotus secara tunai.
Pembelian itu dilakukan setelah orang putih di Lotus tidak percaya kemampuan beliau untuk membelinya. Tanpa bercakap banyak beliau bawa wang tunai untuk membelinya!
Ketika hidup, Tan Sri Yahaya mengetuai DRB Hicom dan banyak lagi anak syarikat Proton, Alam Flora, Intrakota dan lain-lain.
Ramai yang masih ingat akan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatannya.
Dengan menunggang sendiri motosikal kapcai, beliau meredah di celah-celah kesibukan kenderaan di Kuala Lumpur tanpa mengira di awal pagi sebelum matahari terbit ataupun sewaktu panas yang terik. Tiada protokol yang dipentingkan beliau.

Kronologi kejadian:
-10.45 malam – Helikopter Agusta A 109E milik Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd berlepas dari pangkalan helikopter di Segambut, Kuala Lumpur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Kuala Terengganu jam 11.52 malam.
-11.07 malam – Pada kedudukan 49 batu nautika ke arah 039 darjah magnetik, helikopter itu kelihatan berpusing sedikit ke kanan.
-11.11 malam – Helikopter itu kelihatan mengarah 090 darjah dari kedudukannya yang lalu.
-11.15 malam – Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan Subang dan hilang dari skrin radar. Pusat Kawalan Udara dimaklumkan mengenai keadaan itu.
-11.25 malam – Polis Pahang menerima laporan mengenai kemalangan pesawat Agusta-109 itu yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Atong di Jerangsang, Benta, 41 kilometer dari Kuala Lipis.

Gerakan mencari dimulakan.
-12.05 tengah malam – Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dimaklumkan polis mengenai nahas itu dan bergegas ke tempat kejadian.
-1 pagi – Mayat mangsa dan bangkai pesawat ditemui. Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis.
-9.52 pagi – Semua mayat diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Hospital Kuala Terengganu untuk pemeriksaan forensik.
-10.50 pagi – Semua jenazah tiba di Hospital Kuala Terengganu.
-2.05 petang – Jenazah Mejar (B) Azlizan dibawa ke padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk diterbangkan dengan helikopter Nuri ke kampungnya di Batu Pahat untuk pengebumian.
-2.30 petang – Jenazah Yahaya dan isteri dihantar ke rumahnya di Marang dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk pengebumian.
Selain Yahaya, dua lagi mangsa ialah isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.
Helikopter Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam ketika dalam penerbangan dari ibu negara ke Kuala Terengganu, Terengganu.
Helikopter yang mempunyai 6-tempat duduk itu menjunam 2,900 meter ke celah-celah pokok getah. Ia baru dibeli ketika itu dan adalah model tercanggih yang dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.

Yahaya dan isteri dikatakan ingin pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibunya yang sakit, tetapi malang umurnya tidak panjang kerana dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan pulang.
Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, kali terakhir dilihat menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam sebelum nahas.
Ketika dalam penerbangan, enjin pesawat malang itu dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu mengakibatkan tekanan terhadap struktur kipas.
Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan siasatan mendapati kipas utama helikopter patah sebelum pesawat terhempas. Tiga daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.
Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.
Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.
Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan DRB.

Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal menemui mayat berkenaan.
Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1 pagi di bawah serpihan helikopter itu.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain.
Pasukan mencari dan menyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan.
Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu.
Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.
Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.
Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter.
Sebelum itu, satu daripada kipas helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Yahaya, isteri dan juruterbang berkenaan.
Al- Fatihah.
SUMBER: cempedakcheese.com
Friday, 10 May 2019
SEJARAH - RAJA MENYELAMATKAN NEGARA ATAU ORANG MELAYU SELAMATKAN RAJA?
Hari ini kita belajar sejarah. Supaya rakyat Malaysia dan terutamanya kaum Melayu boleh mengetahui asal-usul dan perjalanan sejarah mereka. Kebanyakan orang Melayu buta sejarah, mungkin kerana sikap tidak rajin membaca. Jika rajin membaca pun, mungkin hanya membaca berita hiburan atau gosip. Jika membaca sejarah pun, mungkin lebih berminat tentang kisah cinta Hang Tuah bersama Puteri Gunung Ledang (kisah cinta ini pun tidak wujud dalam sejarah, ia hanyalah ciptaan para penghibur dan tukang karut sahaja).
Hari ini kita belajar tentang asal usul Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bagaimana ia terjadi dan mengapa ia terjadi. Umum mengetahui bahawa ia tercetus akibat dari tentangan orang Melayu terhadap ‘Malayan Union’ – satu cadangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan takluk mereka selepas Perang Dunia Kedua yang sekaligus mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa ke atas negeri masing-masing dan memaksa mereka dan Raja-Raja mereka mengikut telunjuk seorang Governor British.
SUMBER: pembentukanmalayanunion.weebly.com |
Di bawah, adalah cerita latar belakang bagaimana idea dan perjanjian Malayan Union mula-mula berlaku. Ramai yang lupa bagaimana tingkah laku raja-raja Melayu dahulukala menyebabkan Tanah Melayu ini telah diserahkan bulat-bulat kepada penjajah sewenang-wenangnya hanya kerana kebanyakkan raja-raja Melayu dahulu terlalu dangkal dan hanya pentingkan diri sendiri.
Kisah Perjanjian Pangkor yang menyerahkan Perak kepada British (1874), kisah Perjanjian Inggeris – Kedah (1786) yang menyerahkan Pulau Pinang kepada British dan kisah perjanjian Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada British dalam tahun 1819 menjadi tauladan kepada kita semua. Ini semua adalah fakta sejarah.
![]() |
SUMBER: THE PATRIOTS |
Walau bagaimanapun, oleh kerana orang Melayu bangkit melawan Malayan Union pasca 1946, maka ia terpaksa dibatalkan di dalam tahun 1948. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan lupa bagaimana kuasa raja-raja Melayu yang sudah hilang itu telah dikembalikan oleh orang Melayu juga.
Kita tidak boleh takut pada sejarah, bahkan kita tidak perlu malu pada sejarah. Apa yang terjadi sudah terjadi dan kita dari generasi yang kemudian ini harus membaiki diri dan melakukan perkara yang betul supaya sejarah yang buruk tidak akan berulang lagi.
Ringkasan:
- Sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua, penjajah British telah menangkap dan membuang Sultan Selangor (Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah) dan menggantikannya dengan adindanya yang lebih muda sebagai pengganti di dalam tahun 1945. Adinda ini akhirnya menjadi Yang DiPertuan Agong ke 2. Nama baginda adalah Sultan Hisamuddin Alam Shah, iaitu nenda kepada Sultan Selangor sekarang.
SUMBER: WIKIPEDIA - Pihak penjajah British juga telah memaksa raja-raja dari Perlis dan Terengganu untuk ‘bersara’ awal kerana tidak menyokong British semasa perang dunia yang baru sahaja berakhir ketika itu. Raja Syed Hamzah digantikan dengan Raja Syed Harun Putra manakala Sultan Terengganu yang berhak, Sultan Ali Shah digantikan dengan Sultan Ismail kerana tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union.
SUMBER: WIKIPEDIA - Wakil kerajaan British bernama MacMichael diberi kuasa untuk melantik sultan-sultan dan jika mereka tidak mahu menandatangani perjanjian itu, MacMichael boleh melantik mana-mana kerabat raja untuk menurunkan tandatangan.
- Negeri pertama penjajah British melawat untuk mendapatkan persetujuan Malayan Union adalah negeri Johor, kerana ia adalah negeri terkaya dan sistem kesultanan mereka dicipta oleh British.
- Ketika bertemu dengan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, pihak penjajah British memeterai di dalam sebuah upacara bahawa baginda Sultan adalah Sultan Johor yang rasmi dan menyerahkan dokumen Malayan Union untuk ditandatangan.
- Pihak British memberi Sultan Ibrahim hanya satu malam untuk membaca dokumen tersebut sementara MacMichael menunggu di dalam rumah tetamu. Sultan Ibrahim membaca dokumen itu tetapi tidak memberi tahu majlis menteri atau badan badan perundangan Johor mengenai isi kandungan dokumen itu.
- Selepas dua hari, baginda menurunkan tandatangan dan segera bergegas ke negara yang dicintainya iaitu England.
- MacMichael melaporkan kepada orang atasannya di England bahawa rundingan dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan suasana teramat baik dan ramah.
SUMBER: WIKIPEDIA - Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain.
- Setelah 71 hari, MacMichael mendapat persetujuan kesemua sultan-sultan di Tanah Melayu untuk menubuhkan Malayan Union.
- Pada Januari 1946, kertas putih pembentangan bagi pembentukan Malayan Union diterbitkan di London. Ramai orang Melayu di Tanah Melayu tersedar akan bahaya yang akan menimpa mereka dan mula mengkritik perjanjian itu.
- Ahli-ahli politik Johor yang bersatu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar mengerti akan implikasi Malayan Union iaitu – kuasa negeri akan hilang, yakni negeri-negeri akan diperintah oleh pihak British yang berpusat di Kuala Lumpur, dan kuasa politik Melayu akan berpindah kepada orang Cina.
- Dato’ Onn dan orang Melayu lain mempunyai masalah bagaimana hendak membatalkan tandatangan Sultan Ibrahim.
- Antara penyelesaiannya adalah – menggantikan Sultan Ibrahim dengan anakandanya. Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi: “Oleh kerana sebab sebab di atas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini”.
- Sebagai tanda mereka ini serius, mereka menubuhkan Kesatuan Melayu Johor yang kemudian harinya bergabung dengan kesatuan-kesatuan Melayu di negeri lain dan menjadi UMNO.
- Selepas itu, Sultan Ibrahim dan Sultan dari Kelantan adalah yang pertama menukar fikiran mereka. Di London, akibat takut dirinya diturunkan takhta oleh orang-orang Melayu di Johor, Sultan Ibrahim telah menulis surat kepada pejabat British untuk menarik balik sokongannya terhadap Malayan Union.
Apabila kesemua sultan-sultan menukar fikiran mereka, barulah orang-orang Melayu boleh menerima semula raja-raja mereka. Tetapi peranan sultan sudah berubah. Mereka bukan lagi fokus utama di dalam politik dan identiti orang Melayu. Sistem yang berkisar kepada sultan-sultan sudah digantikan dengan idea bangsa Melayu.
Secara dasarnya, raja-raja Melayu ketika itu telah dengan rela hati atau secara membuta tuli telah menyerahkan negeri dan kuasa mutlak mereka kepada British. Ini berlawanan sekali dengan sikap Raja England bernama King John di dalam tahun 1215 apabila berkeras tidak mahu menandatangani perjanjian Magna Carta tetapi dipaksa juga oleh para bangsawan untuk mengurangkan kuasa Diraja. Legasi Magna Carta adalah sistem parlimen dan raja berperlembagaan di England.
![]() |
SUMBER: Harvard Gazette |
Bagi orang-orang Melayu 70 tahun dahulu, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu yang diambil oleh British adalah penting untuk kelestarian masa depan Melayu. Walaupun kita boleh menjadi negara republik ketika itu, orang-orang Melayu masih sayangkan raja-raja mereka. Tetapi kuasa raja-raja telah disekat oleh orang Melayu sendiri, mungkin agar pisang tidak berbuah dua kali. Mana mungkin kita mahu saksikan lagi raja-raja melayu sesuka hati menjual negeri-negerinya kepada penjajah di masa akan datang?
Maka lahirlah sistem Raja Berperlembagaan di dalam tahun 1957 apabila Malaysia merdeka. Raja Berperlembagaan bermaksud, raja yang berkuasa berdasarkan perlembagaan. Baginda tidak boleh melanggar undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Jika dilanggar, undang-undang boleh menyabit kesalahan terhadapnya.
“Pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada 01 April 1946."
Kesemua empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat dicantumkan dalam sebuah unit politik dibawah seorang Gabenor penjajah. Kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dimansuhkan dan kuasa memerintah dihapuskan kecuali dalam bidang adat istiadat Melayu dan agama Islam wilayah masing-masing. Kepala kerajaan wilayah-wilayah Baginda juga jatuh ke tangan Residen-Residen penjajah. Seperti kebanyakan negara terjajah Asia — dari India hingga ke Vietnam — cengkaman kembali penjajah Barat pasca Perang Dunia Kedua menjurus kepada pemansuhan sistem Beraja dan penyatuan negeri-negeri kecil kepada beberapa Republik jajahan berkiblatkan London atau Paris. Tetapi . . .
Orang Melayu masih mahukan Raja-Raja mereka.
Justeru Orang Melayu menggadai nyawa menentang penjajah untuk mengembalikan pemerintahan Beraja di Tanah Melayu. Hasil perjuangan ini, Malayan Union dibubarkan oleh penjajah dan kuasa serta martabat Raja-Raja Melayu dikembalikan melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948.
Jadi harus di ingat . . .
Dari 01 April 1946 hingga 31 Januari 1948, Tanah Melayu sudah hilang Kedaulatan Raja-Raja nya dan wujud sebagai tanah jajahan mutlak dibawah seorang Gabenor yang berkuasa sebagai Wizurai Raja Asing. Tanah Melayu ketika itu sudah terjerumus kearah suatu Republik Kesatuan — Unitary Republic — dibawah naungan Mahkota penjajah.
Dan juga harus difahami . . .
Segala Kedaulatan, Kekebalan, Kemuliaan, Kehormatan dan Kekayaan Institusi Di-Raja SELEPAS terbubarnya Malayan Union adalah hasil perjuangan, pengorbanan, restu dan keringat sekelian Rakyat, khususnya Orang Melayu.
Pertama kali dalam sejarah dunia, sesuatu Bangsa tékad menjulang kembali Raja-Raja mereka dan menolak sistem Republik. Orang Melayu sanggup menyerahkan kembali kuasa Rakyat kepada Raja-Raja mereka.
Maka dengan itu . . .
Raja pasca Malayan Union adalah Raja cetusan Rakyat . . . dari Rakyat demi Rakyat untuk Rakyat. Rakyat menjulang kembali Raja-Raja mereka agar Duli-Duli Baginda menjaga kepentingan Rakyat; mempertahankan hak dan maruah Bangsa; memartabatkan adat dan budaya . . . serta menjamin kedaulatan setiap pelusuk tanah air.
![]() |
SUMBER: INTERNET |
Inilah amanah Rakyat buat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mereka selaku penaung agama, bangsa dan tanah air . . . dan intipati jalinan antara Raja dengan Rakyat dan Rakyat dengan Raja di Bumi Malaysia pada masa kini.
"Raja Payung Rakyat. Rakyat ialah Tiangnya Payung itu.”
SUMBER: tularr.com
Thursday, 18 January 2018
SULTAN MURAD II: SULTAN UTHMANIYAH YANG BERJIWA PAHLAWAN
![]() |
Sultan Murad II |
Sultan Murad II merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang keenam yang memerintah dari tahun 1421 sehingga 1451. Pemerintahan Sultan Murad II mempunyai dua fasa iaitu fasa pertama dari 1421 sehingga 1444 dan fasa kedua dari 1446 sehingga 1451. Dikatakan pemerintahan Sultan Murad II penuh dengan konflik dan peperangan dengan serantau baik kerajaan Islam mahupun kerajaan Kristian di Eropah.
Sebaik sahaja Sultan Mehmed Celebi mangkat pada tahun 1421, Sultan Murad II telah ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baru dan usia beliau pada ketika itu amat muda sekali iaitu 18 tahun. Sultan Murad II telah diuji dengan pemberontakan bapa saudaranya iaitu Mustafa Celebi yang disangkakan mati ketika Perang Ankara pada tahun 1402.
Pertama kali pemberontakan Mustafa Celebi berjaya dipatahkan oleh Sultan Mehmed Celebi. Sultan Murad II tidak menyangka bahawa bapa saudaranya masih hidup dan beliau telah dihasut oleh Maharaja Byzantine untuk merampas kembali takhta Sultan Turki Uthmaniyyah yang sepatutnya menjadi miliknya. Ada pendapat mengatakan beliau bukanlah putera Sultan Bayazid Yildrim kerana Mustafa Celebi yang sebenar sudah mati syahid di Ankara ketika perang menentang Timurlink.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Mustafa Celebi telah mendapat sokongan daripada penduduk Rumelia dan berjaya mengumpul beberapa pengikut termasuklah beberapa askar Janissaries yang tertipu dengan helah Mustafa. Beliau juga mendapatkan sokongan penuh daripada Maharaja Byzantine iaitu Kaiser Manuel untuk memberontak.
Mustafa Celebi juga berjaya menghapuskan beberapa pengikut Bayazid Pasha yang setia kepada Sultan Murad II. Kejayaan Mustafa Celebi dalam mengumpul beberapa orang pengikut dalam jumlah yang besar disebabkan beberapa orang rakyat Turki yang masih tidak berpuas hati dengan peristiwa hukuman mati ke atas Sheikh Bedreddin yang memberontak ketika zaman pemerintahan Sultan Mehmed Celebi. Mustafa Celebi mengambil kesempatan diatas peristiwa tersebut dengan menyatakan simpati diatas kekejaman yang berlaku keatas Sheikh Bedreddin bagi meraih sokongan daripada rakyat dan tentera.
Sultan Murad II merupakan seorang yang amat licik dalam tipu helah. Selain itu, para wazirnya menasihati agar beliau membebaskan Mihaloğlu daripada penjara kerana Mihaloğlu mempunyai pengaruh yang besar dikalangan amir – amir Rumelia. Oleh itu, Sultan Murad II menghantar Mihaloğlu untuk berpura – pura setia kepada Mustafa Celebi sambal itu mempengaruhi penguasa – penguasa Rumelia. Mihaloğlu juga dijanjikan dengan pengampunan dan akan dikembalikan pangkat dan harta yang pernah dirampas dahulu. Oleh itu, beberapa amir- amir Rumelia telah berpaling tadah kepada Sultan Murad II akibat termakan hasutan Mihaloğlu dan ini telah menimbulkan rasa panik Mustafa Celebi.
![]() |
Mustafa Celebi |
Mustafa Celebi juga secara terburu – buru untuk menyerang Sultan Murad II. Sultan Murad II dapat meramal Mustafa Celebi pasti akan menyerang Bursa. Oleh itu, Sultan Murad II telah mengarah beberapa askar untuk memusnahkan jambatan di Sungai Nilufer. Mustafa Celebi menyangka Sultan Murad II bertindak dengan bodoh dan beliau telah membawa askarnya ke sekitar tasik. Tanpa disangkanya, Sultan Murad II telah memerangkap Mustafa Celebi dengan membina kembali jambatan (mungkin pembinaan jambatan kayu dengan kadar segera) dan Mustafa Celebi telah tertipu dengan helah Sultan Murad II. Akhirnya Sultan Murad II berjaya mengalahkan Mustafa Celebi dan para pengikutnya. Namun, beliau melarikan diri ke Wallachia dan berjaya ditangkap oleh askar Janissaries. Mustafa Celebi akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan menerima nasib seperti Sheikh Bedreddin. Muslihat pihak Byzantine berjaya dipatahkan oleh Sultan Murad II dan akhirnya terpaksa menanggung malu dan akibatnya berdepan dengan ancaman perang daripada Sultan Murad II.
Selepas Mustafa Celebi berjaya dijatuhkan hukuman gantung mati oleh Sultan Murad II, beliau telah membentuk sebuah pasukan tentera yang baharu yang dinamakan “Azap” bagi melaksanakan satu kempen penaklukan ke atas kota Konstantinopel. Menurut Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010), tentera Azap adalah tentera daripada golongan petani yang masih bujang dan biasanya mereka digunakan sebagai infantri dalam peperangan. Sultan Murad II telah membawa sebanyak 20,000 orang tentera untuk mengepung kota Konstantinopel. Walaubagaimanapun, Sultan Murad II terpaksa membatalkan niat beliau untuk menakluki kota Konstantinopel kerana berdepan dengan ancaman pemberontakan daripada saudara kandungnya sendiri iaitu Sehzade Mustafa atau dikenali sebagai Küçük Mustafa. Küçük Mustafa pada ketika itu usia yang terlalu muda dan remaja telah termakan hasutan daripada Kaiser Manuel dan melaksanakan pemberontakan ke atas saudaranya sendiri, Sultan Murad II. Kaiser Manuel telah menghantar mesej melalui mentor Küçük Mustafa iaitu Ilyas dan di dalam mesej tersebut menyatakan sokongan penuh ke atas Küçük Mustafa untuk merampas takhta daripada Sultan Murad II. Namun begitu, Kaiser Manuel telah meninggal dunia secara mengejut dan digantikan dengan Maharaja Byzantine yang agak kurang cerdik dalam permainan politik iaitu Ioannes VIII.
Ioannes VIII |
Ioannes VIII telah menawarkan puteri beliau yang amat cantik untuk dikahwinkan dengan Küçük Mustafa dan beliau telah menghantar Mustafa ke Anatolia dengan bantuan tentera Rom bagi memerangi Sultan Murad II untuk merampas takhta. Dikatakan amir -amir Anatolia telah bersuhabat dan menghasut Küçük Mustafa untuk memberontak. Amir di Karaman yang merupakan negeri dibawah naungan Empayar Turki Uthmaniyyah juga turut menyokong Küçük Mustafa dalam pemberontakan.
Pada bulan Ogos 1422, Küçük Mustafa dan amir daripada Karaman, Germiyan dan Hamit telah merancang untuk menyerang Bursa. Oleh itu, utusan daripada telah menyampaikan mesej ke Sultan Murad II yang pada ketika itu sedang dalam kempen penaklukan kota Konstantinopel dan menyatakan penduduk di Bursa telah mengiktiraf Küçük Mustafa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa berundur daripada medan peperangan.
Sultan Murad II telah menghantar utusan kepada mentor Küçük Mustafa iaitu Illyas dan menjanjikan habuan yang besar dan beliau akan dilantik sebagai Gabenor Rumelia jika membelot. Oleh itu, Ilyas telah bersetuju dengan tawaran tersebut. Küçük Mustafa telah berniat untuk menyerang Iznik dan mentornya, Illyas telah meminta Küçük Mustafa untuk bersabar dengan alasan masa yang tidak sesuai. Beliau telah mendapat arahan daripada Sultan Murad II agak melambat – lambatkan serangan Küçük Mustafa ke atas Iznik sehingga beliau tiba ke Iznik. Namun, Amir Karaman dan Amir Kutahya yang merupakan penyokong kuat Küçük Mustafa telah dapat menghidu pengkhianatan dan niat udang disebalik batu Ilyas. Mereka menasihati Küçük Mustafa agar menyegerakan serangan ke atas Iznik namun beliau menolak secara mentah kerana percaya dengan nasihat mentornya. Selepas itu, mentornya menasihat Küçük Mustafa agar berada di istana Ibrahim Pasha di Iznik dan Ilyas telah mengumpul ahli Majlis Menteri agar putera yang naif dan lurus bendul semakin percaya dengannya.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Sultan Murad II telah tiba di Iznik dan mengarah Evrenosoğlu Ali Beg berada di penjuru kota arah Barat dan Firuz Beg di penjuru kota arah utara. Apabila Sultan Murad II telah tiba di Iznik, tentera – tentera Küçük Mustafa telah berlari secara kucar – kacir dan berjaya dikalahkan. Mentornya, Ilyas telah menghantar Küçük Mustafa kepada Sultan Murad II dan dihukum pancung oleh Mezid Beg İmrahor atas arahan Sultan Murad II. Kekalahan Küçük Mustafa menandakan usaha dan muslihat yang terakhir dilakukan oleh Empayar Byzantine bagi memastikan Empayar Turki Uthmaniyyah sentiasa diancam konflik perang saudara.
Sultan Murad II juga berjaya memadam api pemberontakan di dalam wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah. Negeri Karaman, Germiyan, Hamit dan Kutahya telah yang merupakan negeri naungan Turki Uthmaniyyah juga berjaya dikuasai dengan sepenuhnya dan pemerintahan amir di negeri tersebut dimansuhkan dan dijadikan sebahagian wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Murad II juga telah melancarkan kembali serangan ke atas kota Konstantinopel sehingga kota – kota yang berada disekeliling kota tersebut termasuklah Saloniki berjaya ditaklukinya. Akhirnya, Empayar Rom Byzantine semakin mengecil sehingga wilayah kekuasaan hanya tertakluk keatas kota Konstantinopel.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Albania berjaya ditawan kembali oleh Sultan Murad II. Pada ketika itu, Albania telah berpecah kepada dua bahagian iaitu Utara dan Selatan. Di bahagian utara, Albania telah diperintah oleh keluarga Kastrioti yang mengaku kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah dan membayar jiyzah setiap tahun. Pemerintah Kastrioti juga telah menghantar puteranya yang tertua ke istana Turki Uthmaniyyah di Bursa sebagai tebusan. Puteranya tertua iaitu George Kastrioti telah memeluk Islam dan memakai gelaran Iskander Bey atau Skanderbeg. Namun begitu, beliau telah murtad dan berpaling tadah kepada Pope di Vatikan untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.
Sultan Murad II juga berjaya menundukan kerajaan Wallachia yang ketika itu diperintah oleh Vlad II Dracul. Beliau bersetuju untuk membayar jizyah kepada Sultan Murad II setiap tahun, memberi sumbangan ketenteraan kepada Sultan dan menghantar dua orang puteranya iaitu Vlad The Impaler (Dracula) dan Radu sebagai tebusan di istana Turki Uthmaniyyah.
Pada 29 March 1430, Sultan Murad II berjaya menawan kota Thessalonica dan sehingga Maharaja Byzantine ketika itu, John VIII telah merayu kepada pihak Kristian di Barat dan Paus Martin V bagi bersatu melawan Empayar Turki Uthmaniyyah. Beliau bersetuju untuk menyatukan Gereja Katolik dan Gereja Ortodoks yang berpecah akibat perbezaan fahaman agama. Oleh itu, beliau menghantar Patriarch Konstantinopel sebagai ketua rombongan delegasi ke Vatikan bagi penyatuan Gereja. Namun, tindakan Maharaja John VIII telah mendapat tentangan penduduk Kristian Ortodoks di Konstantinopel dengan alasan Gereja Katolik telah mengambil kesempatan untuk menghancurkan Gereja Ortodoks.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Tidak lama kemudian, putera kesayangannya iaitu Sehzade Alauddin telah meninggal dunia termasuk beberapa puteranya yang masih lagi bayi turut dibunuh oleh wazirnya sendiri iaitu Kara Hizir Pasha. Motif pembunuhan Kara Hizir Pasha masih tidak diketahui dan beliau dijatuhkan hukuman mati atas arahan Sultan Murad II. Kematian puteranya yang diharapkan untuk menjadi penggantinya nanti telah meninggalkan kesan kesedihan yang begitu mendalam kepada Sultan Murad II. Sehzade Alauddin telah dikebumikan di Bursa dimana makam nenek moyangnya disemadikan. Selain itu, putera sulungnya, Sehzade Ahmet turut meninggal dunia. Oleh itu, satu – satunya putera yang masih hidup adalah Sultan Mehmed Al – Fateh.
Selepas itu, Sultan Murad II telah mengarah Sultan Mehmed Al Fateh yang pada ketika itu berada di Manisa untuk menyertai beliau selepas dapat mengetahui rancangan serangan yang dilakukan oleh John Hunaydi dan Raja Ladislas untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.
Sultan Murad II telah menghantar Mezid Beg meneruskan untuk menyerang Transylvania. Namun begitu, serangan Sultan Murad II telah berjaya dipatahkan oleh sekumpulan tentera Kristian yang dketuai John Hunaydi yang merupakan putera Transylvania. Mezid Beg telah terkorban dalam peperangan jihad fisabilillah menentang Transylvania.
Pada masa yang sama, Iskander Bey telah berpaling tadah kepada tentera pakatan Kristian selepas berjaya memperdayakan Hassan Pasha untuk menyerahkan kubu di Nice dimana Iskander Bey dan Hassan Pasha dihantar untuk berperang dengan John Hunaydi dan Raja Ledislas. Pada bulan Mac 1444, Iskander Bey telah melakukan pakatan dengan John Hunaydi dan Raja Ladelase untuk membebaskan Albania dan benua Eropah daripada kekuasaan Turki dan Islam buat selama – lamanya. Pada bulan Jun 1444, Sultan Murad II telah menghantar bala tentera Janissaries untuk menghapuskan pemberontakan. Namun, Iskander Bey dan sekutunya berjaya menghapuskan ancaman Sultan Murad II.
![]() |
Johan Hunnad (John Hunaydi) |
Kejayaan John Hunaydi menjadikan beliau semakin bongkak dan takbur apabila beliau berjaya menakluki Sophia dan berjaya mengalahkan tentera Turki di pergunungan Balkan. Kerajaan – kerajaan Kristian di Eropah semakin bersemangat dan bersetuju membentuk pakatan anti – Ottoman dan berjaya menghasut putera Karman iaitu Ibrahim Beg. Namun, Hunaydi telah secara tiba – tiba membatalkan serang ke atas Sultan Murad II. Sultan Murad II telah menawarkan perdamaian dan gencatan senjata selama 10 tahun. John Hunaydi pun bersetuju untuk menerima tawaran pendamaian tersebut. Pada tahun 1444, Raja Ladislas dan Sultan Murad telah mengikat perjanjian tesebut dengan mengangkat kitab suci masing – masing iaitu Injil dan Al Qur’an. Perjanjian pendamaian itu telah
Sultan Murad II telah melantik Sultan Mehmed Al Fateh sebagai pemerintah bersama dibawah bimbingan Wazir Besar, Halil Pasha. Sultan Murad II telah memimpin pasukan tentera Janissaries dan Ibrahim Bey telah berjaya dikalahkan dan dipaksa dihilangkan status sebagai Amir di Karaman.
![]() |
Sultan Mehmet Al-Fateh |
Pada masa yang sama, Sultan Mehmed Al – Fateh pada ketika itu telah diberi kepercayaan penuh oleh Sultan Murad II untuk mentadbir negara ketika ketiadaan beliau. Sultan Mehmed Al – Fateh terpaksa berhadapan dengan isu agama dimana munculnya golongan sufi Bektashi dari Parsi. Sultan Mehmed Al – Fateh begitu tertarik dengan ajaran sufi Bektashi dan bersetuju melindungi Syeikh Bektashi dan pengikutnya daripada pihak ulama. Namun begitu, Mufti Fahrettin, seorang ulama besar dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengeluarkan fatwa sesat ke atas golongan sufi sehingga Sultan Mehmed Al Fateh terpaksa tunduk dan akhirnya golongan sufi tersebut dijatuhkan hukuman mati.
Sementara itu, Sultan Murad II telah singgah di pusara makam nenek moyang di Bursa dan juga pusara makam puteranya, Sehzade Alauddin. Oleh itu, timbul perasaan benci keatas duniawi dan timbul pula perasaan zuhud yang mendalam. Pada 1 September 1444, Sultan Murad II telah membuat pengumuman di hadapan para wazir dan memberi ruang kepada Sultan Mehmed Al – Fateh untuk menaiki takhta. Para wazir terutama Wazir Besar Halil Pasha menentang keputusan tersebut dengan alasan Sultan Mehmed Al – Fateh kurang matang dalam urusan pemerintahan negara. Namun, Sultan Murad II telah berkeras dengan keputusan tersebut dan akhirnya beliau berundur di Manisa untuk menjadi ahli Sufi dan mengerjakan suluk atau ibadah kerohanian tasawuf. Sultan Mehmed Al – Fateh secara rasminya menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang ketujuh dimana beliau pada ketika itu berusia 14 tahun.
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Namun begitu, tidak sampai 3 minggu Sultan Mehmed Al Fateh ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu, Raja Ladislas, John Hunaydi dan Karidnal Cesarani telah melanggar perjanjian damai dengan menyerang Danube sehingga Sultan Murad II kembali sebentar dengan mengumpul beberapa tentera untuk melawan kembali serangan tentera Salib. Sultan Murad II dan beberapa orang askarnya telah berjaya mengalahkan tentera Salib dibawah Raja Ladislas dan John Hunaydi. Raja Ladislas telah terkorban dalam pertempuran tersebut dan John Hunaydi pula terpaksa melarikan diri ke Hungary dan beliau telah dilantik menjadi pemerintah di Hungary. Raja Ladislas telah ditikam dengan lembing oleh askar Janissary lalu dipancung kepala beliau. Kematian Raja Ladislas telah melemahkan semangat tentera Salib sehingga melarikan diri. Karinal Ceserani pula dibunuh oleh askarnya sendiri.
Sultan Murad II telah kembali ke Manisa dan menyambung persaraan di Manisa untuk beribadat sepenuh masa kepada Allah s.w.t dan takhta tersebut dikembalikan kepada Sultan Mehmed II kembali. Semasa pemerintahan fasa pertama Sultan Mehmed Al Fateh, banyak dasar – dasar yang beliau lakukan tidak dipersetujui oleh Wazir Besar Halil Pasha. Antaranya adalah rancangan Sultan Mehmed Al Fateh untuk menyerang kota Konstantionpel. Oleh itu, Wazir Besar Halil Pasha meminta Sultan Murad II untuk kembali ke menaiki takhta kerana beliau berpendapat Sultan Mehmed Al Fateh terlalu muda untuk memikul tanggungjawab dan mengurus urusan negara. Ditambah lagi, pemberontakan Janissary yang berlaku pada tahun 1446 disebabkan Sultan Mehmed Al Fateh enggan menaikkan gaji Janissary. Disebabkan marah dengan keengganan Sultan Mehmed Al Fateh menaikkan gaji, Janissary telah membakar beberapa buah bazaar di Erdine. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa kembali memimpin Empayar kembali pada tahun 1446.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Pada tahun 1448, Perang Kosovo yang kedua telah tercetus apabila John Hunaydi dan sekutunya daripada Jerman, Czech, dan Wallachia telah menyemberang Sungai Danube dan menyerang wilayah Turki Uthmaniyyah di Serbia. Namun begitu, Sultan Murad II dengan mudahnya mengalahkan tentera Salib di Kosovo dan John Hunaydi telah melarikan diri sekali lagi dengan meninggalkan askar – askar yang masih berada disitu. Sultan Murad II telah merancang menyerang Albania yang ketika itu diperintah oleh Iskander Bey yang murtad bagi menghukum pengkhianatan beliau. Namun, Iskander Bey telah mempelajari daripada kesilapan John Hunaydi dan beliau tidak sesekali akan memerangi Sultan Murad II secara berhadapan melainkan dengan taktik gerila.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Oleh itu, Sultan Murad II berpendapat Iskander Bey tidak mudah dikalahkan dan membiarkan beliau berkuasa di Albania kerana peperangan dengan Iskander Bey amat merugikan. Kejayaan Iskander Bey telah mengharumkan nama beliau di Eropah dan Dunia Kristian. Oleh itu, beliau telah diangkat sebagai Pahlawan Nasional di Albania sekarang sebagai memperingati jasa beliau dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman Empayar Turki Uthmaniyyah.
![]() |
...gambar ni sekadar hiasan je... |
Pada 31 Oktober 1448, John VIII telah meninggal dunia dan takhta Maharaja Rom Byzantine telah diserahkan kepada Maharaja Constantine XI Palaiologos yang merupakan Maharaja Rom Byzantine yang terakhir. Constantine XI telah ditabalkan secara rasmi sebagai 6 Januari 1449. Beliau merupakan saudara kandung kepada John VIII. Pada masa yang sama, Sultan Murad II telah menyambut kelahiran Sehzade Bayazid atau Sultan Bayazid II, putera kepada Sultan Mehmed Al Fateh pada Januari 1448.
Sultan Murad II telah mengahwinkan Sultan Mehmed Al Fateh dengan puteri Amir Ibrahim iaitu Puteri Siti Hatun sebagai tanda bersekutu antara dua puak Turki yang paling berkuasa iaitu puak Turki Kayilar dan puak Turki Dulkadirli bagi memerangi puak Turki Karaman yang sentiasa memusuhi Empayar Turki Uthmaniyyah.
Pada tahun 1451, Sultan Murad II telah kembali ke rahmatullah dan Sultan Mehmed Al Fateh kembali memegang kuasa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang ditakdirkan sebagai penakluk kota Konstantinopel pada tahun 1453.
Rujukan:
1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016.
2. McCarthy, J. (2014). The Ottoman Turks: an introductory history to 1923. Routledge.
3. Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.
4. Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing.
5. Nilgün, E. L. A. M. BYZANTINE EYE-WITNESSES OF ANATOLIAN POWER-BREAKERS DURING THE YEARS OF 1421-1423.
6. Leblanc, B. H. (1997). Vlad Dracula An intriguing figure in the fifteenth century. Journal of the Dark, 5.
7. Freely, J. (2009). The Grand Turk: Sultan Mehmet II-Conqueror of Constantinople and Master of an Empire. The Overlook Press.
8. Imber, C. (2009). The Ottoman Empire, 1300-1650: the structure of power. Palgrave Macmillan.
Labels:
Gemilang,
General,
Islam,
Keagungan Islam,
Keajaiban Islam,
Keindahan Islam,
Kisah Benar,
Kosovo,
Murtad,
Othmaniyyah,
Pengkhianat,
Penipuan Barat,
Peperangan,
Perjuangan,
Pope,
Sejarah,
Turki,
Vatican
Subscribe to:
Posts (Atom)