Idea Narcissism berasal daripada mitos Yunani. Dalam mitos tersebut, terdapat seorang pemuda bernama Narcissus yang sedang mencari cinta hatinya. Pada suatu hari, dia melihat pantulan wajahnya di sebatang sungai. Lalu, dia jatuh cinta pada dirinya sendiri. Disebabkan dia tak mahu ‘cintanya hilang’, dia mati lemas. Sekuntum bunga diletakkan pada tempat dia mati, dan bunga itu dinamakan Narcissus.
Jadi, definisi narcissism adalah berasa megah pada diri sendiri. Sampai satu tahap, dia rasa dia kacak, genius dan lebih penting daripada orang lain. Ahli psikologi membahagikan narcissism pada dua jenis, pertama ‘megah diri’. Keduanya, vulnerable narcissism (tak tahu apa dia dalam BM).
Jenis pertama adalah yang paling biasa kita lihat. Jenis yang mahukan perhatian umum dan dominan. Selalunya, berkelompok dalam kalangan selebriti, para pemimpin persatuan, artis (penggiat seni. Haha), ahli politik dan yang seangkatan yang mahukan kuasa dan pengaruh untuk perhatian dan status semata-mata. Tentulah, tidak semua kelompok yang aku sebut mencari perhatian semata, ada juga dengan tujuan yang lebih positif. Jenis kedua pula lebih senyap, mempunyai perasaan ‘rasa istimewa dan penting’, tetapi mudah diancam.
Tidak kisah apa jenis sekalipun, seorang narcissis selalunya bertindak hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Apabila ‘popularitinya’ terancam, dia mudah agresif dan marah. Ah, rasa macam ramai di Facebook macam ini dalam mempertahankan pendapat, lebih-lebih lagi kalau dah popular. Rileks sudah. Populariti tidak menjadi tanda anda benar dan betul.
Kita pergi lebih jauh, narcissism juga dikaitkan dengan penyakit dalam psikologi yang dihidap seramai 2% purata populasi, dan selalunya dalam kalangan lelaki, iaitu narcissistic personality disorder. Dalam sebuah buku manual psikatri di Amerika, penyakit ini dapat dikenalpasti melalui beberapa ciri.
Pertamanya, rasa megah pada diri sendiri. Keduanya, mempunyai masalah dengan perasaan empati. Ketiganya, rasa dirinya penting dan berhak memiliki sesuatu. Keempatnya, memerlukan perhatian dan sanjungan. Kelimanya, ciri yang paling kronik adalah dia mengawal kehidupan orang lain dan menimbulkan banyak masalah tersebut pada hidup orang tersebut, ahli politik? Haha.
Ciri kelima ini, contoh mudahnya, kau gunakan orang lain untuk tujuan perhatian semata-mata.
Jadi, puncanya apa? Dalam kajian, punca daripada genetik ada juga, tetapi masih tidak dapat dikenal pasti genes mana yang terlibat. Punca daripada persekitaran pun ya juga. Memanjakan anak berlebih-lebihan boleh jadi punca narcissism. Menjadi ibu bapa yang terlalu mengongkong juga boleh menjadi punca. Dalam skala budaya yang lebih besar, rancangan personaliti tv macam nyanyi, joget, imam muda itu semua yang menjurus ke arah mempromosi diri (self-promotion) boleh menjadi punca yang kuat.
Walaupun tiada bukti yang kuat, media sosial seperti Twitter dan Facebook yang boleh menjadi lubuk populariti dengan like yang bersepah-sepah juga boleh menjadi punca narcissism. Aku dah sebut, kadang sebab populariti kita susah nak mengaku salah dan rasa kita saja yang betul. Kadang, kita update sesuatu hanyalah untuk perhatian dan like semata-mata.
No comments:
Post a Comment