Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Thursday, 4 January 2018

WARISAN MELAYU DI BUMI FILIPINA

Image may contain: 3 people, text
Menonton drama bersiri berunsur sejarah Filipina bertajuk Amaya di Astro saluran 133 membuatkan penulis tergamam buat seketika.Kenapa tidak,dari kostum tradisi hingga ke latar masyarakat yang digambarkan pada masa itu,semuanya mirip dengan cara hidup masyarakat melayu lama dan etnik-etnik asli Borneo yang juga menerima pengaruh masyarakat melayu secara tidak langsung.

Dari sini penulis mula memikirkan rasional di sebalik pemahatan prasasti Laguna Copperplate yang ditemui pada tahun 1989 di Laguna de Bay di Manila menggunakan huruf Kawi dalam bahasa Melayu Kuno yang bercampur istilah Sanskrit,Jawa Kuno dan Tagalog Kuno. Saya pinjam terjemahan rakan admin, Srikandi. 

Ini dia Laguna Copperplate,Filipina:

Tafsiran dalam Bahasa Melayu Moden:

Swasti. Tahun Saka 822, bulan Waisakha, menurut tarikh. Hari keempat setelah bulan mati, Isnin. Di saat ini, Dayang Angkatan, dan saudaranya yang bernama si Bukah, anak-anak dari Sang Tuan Namwaran, diberikan sebuah dokumen pengampunan penuh dari Sang Pemegang Pimpinan di Tundun (Tondo sekarang), diwakili oleh Sang Tuan Nayaka dari Pailah (Pila sekarang), Jayadewa.

Atas perintahnya, secara tertulis, Sang Tuan Namwaran telah dimaafkan sepenuhnya dan dibebaskan dari hutang-hutangnya sebanyak satu Katî dan lapan Suwarna di hadapan Sang Tuan Puliran Kasumuran di bawah petunjuk dari Sang Tuan Nayaka di Pailah.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
(Gambar Sekadar Hiasan)

Oleh kerana kesetiaannya dalam berbakti, Sang Tuan (Yang Terhormat) yang termasyhur dari Binwangan mengakui semua kerabat Namwaran yang masih hidup, yang telah didakwa oleh Sang Penguasa Dewata, yang diwakili oleh Sang Penguasa Medang.

Ya, oleh sebab itu seluruh anak cucu Sang Tuan Namwaran sudah dimaafkan dari segala hutang Sang Tuan Namwaran kepada Sang penguasa Dewata.

(Pernyataan) ini, dengan demikian, menjelaskan kepada siapa pun setelahnya, bahawa jika di masa depan ada orang yang mengatakan belum bebas hutangnya Sang Tuan."

Kalau anda rajin mengikuti penulisan beliau anda akan mengetahui prasasti ini dipahat sewaktu Filipina berada di bawah naungan kerajaan Medang(betulkan kalau saya salah)yang berpusat di tanah Jawa,lokasi yang sama terbinanya candi Borobudur oleh Dinasti Melayu Sailendra pada abad ke 8 Masehi,Dinasti ini (Sailendra)disahkan milik bangsa melayu sepenuhnya oleh sejarahwan lagenda Indonesia,Poerbajaratka yang menyatakan secara jelas dinasti ini menggunakan hanya bahasa melayu dan sanskrit berdasarkan penemuan prasasti kerajaan ini di sekitar empayar kekuasaannya.Pastinya anda perlu tahu kaitan dinasti ini dengan wangsa kekuasaan maritim ulung nusantara,Sriwidjaya yang sebenarnya bukan bermula di Palembang akan tetapi dari Kelantan yang dikenali sebagai Chih Tu oleh pengembara dan duta-duta China pada masa lalu berdasarkan hipotesis sejarahwan China,Shen Fuwen yang dikeluarkan pada tahun 2002 menyatakan Chih Tuh lah pemula kerajaan Sriwidjaya,sekadar mengukuhkan hipotesis yang sama yang dikeluarkan sejarahwan Jepun,Kuwata Rakuno pada tahun 1921.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
(Gambar Sekadar Hiasan)

Paling mengujakan penulis,watak utama yakni Amaya yang dilakonkan Marian Rivera,aktres tersohor Filipina masa kini menunjukkan beliau memainkan watak sebagai seorang bekas hamba raja yang berminat dengan ilmu perubatan tradisi.Dalam satu babak dipertontonkan beliau bersama gadis-gadis sunti yang lain mengikuti pengajaran wanita tua yang dikenali sebagai 'dukun'(lupa istilah tagalognya)bagi membolehkan dia mencapai impiannya menjadi 'high priest' bagi etnik beliau.Situasi yang digambarkan seakan memberikan isyarat hanya wanita sahaja yang dibolehkan memegang kedudukan berkenaan dan harus dimulai dengan gadis sunti yang masih belum berkahwin dengan persyaratan pembelajaran yang sangat ketat.

Hal ini seakan serupa dengan syarat untuk menjadi Bobohizan(dukun/High Priest,apapun istilahnya)iaitu haruslah seorang wanita dan dimulai dari saat gadis itu masih belum berkahwin seandainya ada yang berminat ingin menjadi Bobohizan(penulis kurang pasti andai kedudukan sebagai Bobohizan ini juga turut melibatkan lelaki,namun dalam kebanyakan ritual melibatkan upacara-upacara sakral etnik kadazanDusun Bobohizan lazim terdiri dari kalangan wanita).

Kedudukan sebagai Bobohizan dianggap penting dan istimewa kerana keupayaan mereka untuk berhubung secara langsung dengan alam ghaib dan mampu berkomunikasi dengan semangat yang dipercayai mampu mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat kadazanDusun lama.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
Jose Rizal
(Gambar Sekadar Hiasan)

Kesimpulannya,apa yang penulis cuba highlightkan di sini,betapa kental dan tebalnya masyarakat Filipina moden hari ini denga gaya hidup yang ditinggalkan penjajah Sepanyol dan Amerika ke atas mereka,namun mereka tidak mampu untuk memadamkan hakikat masa lalu nenek moyang mereka yang punya hubungan yang sangat kuat dengan etnik-etnik nusntara yang lain,khususnya bangsa melayu.Waima mereka sendiripun sebenarnya pecahan daripada bangsa melayu berdasarkan pengakuan berani mati tokoh nasionalis kemerdekaan mereka,Jose Rizal sebagai bangsa melayu hinggakan bibiografi beliau ditulis megah sebagai Pride Of The Malay Race selain bukti yang ditinggalkan oleh Prasasti Laguna Copperplate,kemiripan budaya yang bukan sedikit antara mereka dan etnik asli Borneo juga turut menimbulkan persoalan besar di benak penulis yang mengaku agak dangkal dengan pengetahuan sejarah,seandainya mereka(masyarakat Filipina)dilabel sebagai bangsa melayu,apakah etnik asli Borneo juga adalah......???

P.S : Jangan menyempitkan pandangan bangsa sebatas agama,renung-renungkan.Penulis juga berbangsakan keturunan pribumi Borneo, bukannya orang Melayu. 

-Suhemi A. Majik-



Friday, 9 June 2017

APA ITU NARCISSISM?

Hasil carian imej untuk Narcissism
Idea Narcissism berasal daripada mitos Yunani. Dalam mitos tersebut, terdapat seorang pemuda bernama Narcissus yang sedang mencari cinta hatinya. Pada suatu hari, dia melihat pantulan wajahnya di sebatang sungai. Lalu, dia jatuh cinta pada dirinya sendiri. Disebabkan dia tak mahu ‘cintanya hilang’, dia mati lemas. Sekuntum bunga diletakkan pada tempat dia mati, dan bunga itu dinamakan Narcissus.

Jadi, definisi narcissism adalah berasa megah pada diri sendiri. Sampai satu tahap, dia rasa dia kacak, genius dan lebih penting daripada orang lain. Ahli psikologi membahagikan narcissism pada dua jenis, pertama ‘megah diri’. Keduanya, vulnerable narcissism (tak tahu apa dia dalam BM).
Hasil carian imej untuk Narcissism
Jenis pertama adalah yang paling biasa kita lihat. Jenis yang mahukan perhatian umum dan dominan. Selalunya, berkelompok dalam kalangan selebriti, para pemimpin persatuan, artis (penggiat seni. Haha), ahli politik dan yang seangkatan yang mahukan kuasa dan pengaruh untuk perhatian dan status semata-mata. Tentulah, tidak semua kelompok yang aku sebut mencari perhatian semata, ada juga dengan tujuan yang lebih positif. Jenis kedua pula lebih senyap, mempunyai perasaan ‘rasa istimewa dan penting’, tetapi mudah diancam.

Tidak kisah apa jenis sekalipun, seorang narcissis selalunya bertindak hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Apabila ‘popularitinya’ terancam, dia mudah agresif dan marah. Ah, rasa macam ramai di Facebook macam ini dalam mempertahankan pendapat, lebih-lebih lagi kalau dah popular. Rileks sudah. Populariti tidak menjadi tanda anda benar dan betul.

Kita pergi lebih jauh, narcissism juga dikaitkan dengan penyakit dalam psikologi yang dihidap seramai 2% purata populasi, dan selalunya dalam kalangan lelaki, iaitu narcissistic personality disorder. Dalam sebuah buku manual psikatri di Amerika, penyakit ini dapat dikenalpasti melalui beberapa ciri.
Pertamanya, rasa megah pada diri sendiri. Keduanya, mempunyai masalah dengan perasaan empati. Ketiganya, rasa dirinya penting dan berhak memiliki sesuatu. Keempatnya, memerlukan perhatian dan sanjungan. Kelimanya, ciri yang paling kronik adalah dia mengawal kehidupan orang lain dan menimbulkan banyak masalah tersebut pada hidup orang tersebut, ahli politik? Haha.

Ciri kelima ini, contoh mudahnya, kau gunakan orang lain untuk tujuan perhatian semata-mata.

Jadi, puncanya apa? Dalam kajian, punca daripada genetik ada juga, tetapi masih tidak dapat dikenal pasti genes mana yang terlibat. Punca daripada persekitaran pun ya juga. Memanjakan anak berlebih-lebihan boleh jadi punca narcissism. Menjadi ibu bapa yang terlalu mengongkong juga boleh menjadi punca. Dalam skala budaya yang lebih besar, rancangan personaliti tv macam nyanyi, joget, imam muda itu semua yang menjurus ke arah mempromosi diri (self-promotion) boleh menjadi punca yang kuat.
Hasil carian imej untuk Narcissism
Walaupun tiada bukti yang kuat, media sosial seperti Twitter dan Facebook yang boleh menjadi lubuk populariti dengan like yang bersepah-sepah juga boleh menjadi punca narcissism. Aku dah sebut, kadang sebab populariti kita susah nak mengaku salah dan rasa kita saja yang betul. Kadang, kita update sesuatu hanyalah untuk perhatian dan like semata-mata.


SEJARAH PROTON SAGA OLEH SHAHARUN BIN BAHARUDDIN

Image may contain: one or more people, people standing, car and outdoor
Proton Saga merupakan model pertama syarikat automotif pertama Malaysia iaitu PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore.

Mengapa Mitsubishi dipilih sebagai rakan kongsi?

Sebenarnya sebelum berbincang dgn Mitsubishi, banyak perbincangan dilakukan dgn pengeluar² kereta yg lain (Daihatsu juga pernah terlibat dalam perbicangan tetapi tidak bersetuju dengan konsep tersebut pada masa itu), tetapi kerana penglibatan terus pengerusi MMC Dr Kubo yang mempunyai keinginan khusus untuk mencipta kereta yang  mempunyai keperibadian bangsa (nasional).

Dr Kubo juga telah melihat semangat dan idea Tun Dr Mahathir yg ternyata mempunya visi yg sama dgn beliau. Kereta Utk Rakyat!
Image may contain: 1 person, sitting
Proton Saga merupakan model pertama syarikat automotif pertama Malaysia iaitu PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore.

Ia dibangunkan buat pertama kali di Shah Alam pada bulan September 1985. Proton Saga ke 100,000 telah dikeluarkan pada Januari 1989.

Semasa pelancarannya, kereta Proton Saga pertama telah dihadiahkan kepada Muzium Negara sebagai simbol bermulanya industri automotif negara. Sejak daripada itulah Proton Saga menyumbang sebahagian besar daripada hasil jualan Proton.

Proton Saga telah dilancarkan pada September 1985 oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
No automatic alt text available.
Sebelum model Saga dilancarkan, sebuah pertandingan memilih nama kereta kebangsaan negara yang pertama telah pun diadakan, dan nama model diambil daripada nama yang dipilih oleh pemenang pertandingan tersebut.

Pemenang pertandingan tersebut iaitu Ismail Jaafar, seorang tentera bersara memilih nama "Saga" kerana biji saga amat mudah didapati di Malaysia.

Tun Dr. Mahathir juga menggunakan kereta Proton Saga semasa upacara perasmian Jambatan Pulau Pinang pada 14 September 1985. Model terawal Proton Saga ditenagai enjin SOHC 8 injap 4 silinder yang dibekalkan oleh Mitsubishi dengan pilihan model 1.5L dan 1.3L. Varian transmisi automatik hanya boleh didapati pada model 1.5L.
Image may contain: car and outdoor
Versi hatchback pula dikeluarkan pada tahun 1987, dikenali dengan nama Proton Knight pada mulanya dan kemudian dikenali sebagai Proton Saga Aeroback. 

Proton Saga mula dieksport ke United Kingdom pada tahun 1989 dan sejak daripada itulah United Kingdom menjadi penyumbang utama pasaran eksport Proton.

Pada tahun 1990 pula, enjin sedia ada dinaiktaraf kepada enjin 12 injap yang menghasilkan kuasa kuda kepada 75 bhp bagi model 1.3L dan 90 bhp pada enjin 1.5L. Selain itu, ciri keselamatan tambahan seperti tali pinggang belakang serta lampu brek ketiga turut dipasang.


Thursday, 11 May 2017

BAGAIMANA BANGLADESH BOLEH TERPISAH DENGAN PAKISTAN?

Info Gambar: Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman

Selepas jatuhnya British pada tahun 1947, Bengal dipisahkan daripada Pakistan Barat sebagai salah satu daerah wilayah tersebut dan diberi nama sebagai Pakistan Timur. Dhaka pula dijadikan sebagai ibu negeri Pakistan Timur. Walaupun Pakistan Timur mempunyai sumber yang mencukupi dan demografi yang baik, namun seluruh kerajaan dan tentera Pakistan masih dikuasai oleh sebahagian besar golongan atasan di bahagian barat.

Kerajaan Pakistan yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan atasan bahagian barat telah mengisytiharkan Bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi untuk seluruh Pakistan. Hal ini menyebabkan munculnya rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat di timur. Pada 21 Ogos 1952, pelajar Bengali di Pakistan Timur telah bangkit demi bahasa ibunda mereka dan telah menentang keputusan tersebut. Namun begitu, beberapa pelajar telah terkorban dalam pertempuran demi bahasa ibunda mereka ketika bertempur dengan pihak polis. Pengorbanan yang cukup bermakna oleh pelajar-pelajar tersebut diiktiraf sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia bukan sahaja di Bangladesh tetapi di seluruh dunia.
Hasil carian imej untuk pakistan dan bangladesh
Ketidakpuasan hati terhadap pihak di bahagian barat dalam isu kekuasaan ekonomi dan budaya membawa kemunculan Liga Awami sebagai suara politik paling berkuasa di Pakistan Timur. Pada 7 Mac 1971, Presiden Liga Awami dan Bapa Kebangsaan, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dalam ucapan yang penuh bersejarah di hadapan beratus ribu orang di Suhrawardy Udyan telah menyeru agar seluruh masyarakat di Pakistan Timur untuk melancarkan serangan menentang tentera Pakistan dan menyiapkan persediaan untuk Perang Kemerdekaan.

Selepas berlaku banyak krisis politik dan diskriminasi kedaerahan, Perang Kemerdekaan Bangladesh ( Muktijuddho ) pun meletus setelah Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh, sebelum beliau ditangkap pada pagi 26 Mac 1971 oleh tentera Pakistan. Presiden Yahya Khan dan tenteranya secara rasmi melancarkan operasi berdarah yang dikenali sebagai Operasi Searchlight kepada orang yang berdosa di Bangladesh untuk menghapuskan gerakan nasionalis Benggala.

Kerajaan buangan telah dibentuk oleh ketua Liga Awami, yang secara rasmi mengangkat sumpah di Meherpur, di daerah Kustia, Bangladesh pada 17 April 1971, dengan Tajuddin Ahmad sebagai Perdana Menteri pertama dan Syed Nazirul Islam sebagai Pemangku Presiden. Sebuah pasukan bantuan dikenali sebagai Mukti Bahani (Pejuang Kebebasan) telah dibentuk dan ahli-ahlinya berasal daripada tentera Bangladesh dan para pejuang rakyat.
Hasil carian imej untuk m a g osmani
Diketuai oleh M.A.G Osmani, tentera Bangladesh telah disusun kepada 11 sektor dan, sebahagian daripada Mukti Bahini, untuk mengetuai sebuah perang gerila secara besar-besaran menentang tentera Pakistan. Semasa perang tersebut, seluruh dunia menyaksikan peristiwa Pembantaian Bangladesh 1971, dimana tentera Pakistan bersama pasukan militan agama mengadakan pembunuhan berskala besar melibatkan pembunuhan masyarakat Bengali, para intelektual, pemuda-pemudi, para pelajar, ahli-ahli politik, para aktivis dan golongan minoriti agama.

Di tengah-tengah pengorbanan yang tidak terkira oleh rakyat Bangladesh, tentera Pakistan akhirnya mengalah kepada tentera gabungan Bangladesh-India pada 16 Disember 1971. Selama 9 bulan panjangnya rakyat Bangladesh perlu berdepan dengan Perang Kemerdekaan Bangladesh dan akhirnya mereka memenangi perang pada hari tersebut.



RUMAH TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN MASIH GAH PADA USIA 100 TAHUN

KUALA PILAH – Rumah tradisional Negeri Sembilan sememangnya mempunyai identitinya yang tersendiri apabila setiap perincian seni binanya memiliki maksud tersirat. Sebuah rumah di Kampung Bukit Tempurung Seri Menanti di sini, dilihat masih utuh meskipun terdapat beberapa bumbungnya sudah usang berikutan usianya hampir mencecah 100 tahun. Rumah itu adalah warisan milik Allahyarham Salleh Abd Wahab yang kini dipelihara cucunya, Norasiah Pilus, 74.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Kata Norasiah, rumah itu dibina sekitar tahun 1920-an oleh seorang tukang Melayu.
“Arwah datuk seorang guru agama dan pernah mengajar di Gunung Pasir dan Tanjung Ipoh. Secara keseluruhan, rumah ni diperbuat daripada kayu Penak diambil dari hutan berhampiran. Hingga kini ia masih utuh, malah seni binanya dikekalkan macam mula-mula dibina. Walaupun ada sebahagian ruang rumah dah usang, tapi ia masih cantik. Ada sesetengah orang cakap rumah kayu agak ketinggalan zaman, tapi Wan masih berpegang teguh dengan amanat supaya jaga rumah ni untuk diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, bentuk rumah ini adalah rumah tradisional Negeri Sembilan dan bumbungnya pula sama seperti rumah tradisional yang lain.

“Identiti utama yang mencerminkan Negeri Sembilan adalah seni bina bumbung rumah yang panjang serta melentik di hujungnya. Begitu juga ruang serambi Negeri Sembilan yang mempunyai bentuk memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai. Bahagian hujung selalunya di kedudukan hilir sungai, manakala pangkal di sebelah hulu. Malah rumah ini terdapat juga ruang serambi berbentuk kotak yang dibina sebagai pintu utama rumah ni. Ruang ni dibina untuk ahli keluarga ambil angin dan berehat pada waktu petang,” katanya.

Ujar Norasiah, turut dibina sebuah kolah air berhampiran tangga naik ke rumah untuk digunakan sebagai menyimpan air serta membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

“Rumah ni turut memiliki 24 batang tiang yang diperbuat daripada kayu serta dilapik dengan konkrit. Bermula dari tiang utama yang berperanan sebagai tunjang utama sebuah rumah bagi membentuk sebuah kediaman yang berperanan bukan saja sebagai tempat berteduh, malah jadi tempat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keraian,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, Norasiah tidak mendiami rumah pusaka itu, sebaliknya tinggal di rumahnya sendiri.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Sementara itu, Penolong Kurator Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, rumah Negeri Sembilan masih gah bertahan sehingga hari ini walaupun sudah dibina puluhan tahun dahulu.

“Rentetan itulah, telah menarik ramai pihak untuk mengkaji kelebihan seni bina rumah dan ciri yang menampilkan keunikan serta identiti rumah tersebut. Ini termasuk mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang konservasi warisan yang sedang menjalani latihan praktikal di LMNS,” katanya.

Mahasiswa, Siti Amrah Nasri, 24, yang berasal dari Perak akui teruja apabila berpeluang mengkaji rumah tradisional Negeri Sembilan.

“Jika diperhalusi, rekaan yang terdapat di rumah ini masih lagi menggunakan teknologi tradisional tukang Melayu iaitu teknik tanggam. Malah motif ukiran yang terdapat di rumah ini sangat halus buatannya dan perlu dipertahankan kerana melalui seni ukiran tersebut kita dapat mengetahui tahun bila ia dibuat dan siapa pengukirnya,” katanya. – Sumber Sinar Harian

Thursday, 20 April 2017

KISAH LEGENDA PUTERI LIMAU PURUT DI PERAK

Pada zaman dahulu kala ada seorang raja di negeri Perak yang bernama Sultan Mahmud Iskandar Syah yang bersemayam di atas takhta kerajaan yang berpusat di Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga. Baginda tidak mempunyai putera atau puteri, cuma berempat saudara saja, dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki bergelar Yang di Pertuan Muda bersemayam di Kampung Pulau Tiga yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Paduka Raja.

Baginda ini telah meninggal dunia terlebih dahulu dan telah di gelar dengan gelaran Al Marhum Pulau Tiga. Yang perempuan, seorang bergelar selepas mangkat ialah Syah Alam Muda Pulau Tiga iaitu Tuan Puteri Limau Purut. Setengah orang menggelarnya tuan Puteri Menara Konkong manakala seorang lagi bergelar Syah Alam Bongsu Sayong kerana meninggal dunia di Sayong. Nama-nama batang tubuh mereka tidak di ketahui.

Hendak dijadikan cerita, pada satu hari datang lah satu rombongan di raja dari Aceh ke Istana Sultan Perak di Geronggong kerana hendak meminang tuan Puteri Limau Purut. Rombongan itu pun masuk menghadap baginda sultan serta menyembahkan kedatangan rombongan di raja itu. Selepas mendengar sembah rombongan itu, maka Sultan pun bertitah supaya di tangguhkan jawapan ke masa yang lain. Maka, pulanglah rombongan itu ke negeri mereka semula lalu menghadap dan menyembahkan perkara berkenaan dengan penangguhan itu.

Setelah beberapa ketika, Tuan Puteri Limau Purut yang tidak tahu menahu tentang rombongan yang meminangnya itu telah mendapat tahu bahawa Raja Aceh hendak meminang dirinya. Maka amat gembiralah hatinya yang sejak dahulu bercita-cita hendak berkelah-kelah ke hulu supaya dapat menenangkan hatinya yang duka itu. Seterusnya, bersiap-siaplah segala persiapan inang pengasuhnya akan segala alat-alat perkelahan di raja serta dimuatkan ke dalam perahu. Angkatan tuan Puteri dengan beberapa buah perahu itu pun memudik ke hulu sambil singgah di merata-rata kampung di tepi sungai itu. Mana-mana tempat yang di singgahnya, orang-orang kampung pun datang mengadap serta membawa persembahan seperti beras, sayur-sayuran dan lain lain sahingga penuh dalam perahu itu.
Hasil carian imej untuk puteri limau purut
Tidak berapa lama selepas itu, maka sampailah mereka ke satu tempat lalu mereka singgah dan naik ke darat serta bersiap-siap untuk berkelah. Dayang-dayang dan inang pengasuhnya pun tampil membuat kerja masing-masing. Dengan takdir yang ditentukan tuhan, sedang tuan Puteri memotong timun maka terkenalah mata pisau itu ke jarinya dan luka. Tuan Puteri pun berseru, “Jika darah luka di jari beta ini putih, beta akan mangkat di sini.” Dengan tidak semena dan tidak disangka-sangka, darah yang keluar dari luka tuan Puteri memang berwarna putih. Tidak berapa lama kemudian, tuan Puteri Limau Purut mangkat disitu.
makam lama puteri limau purut
Perkhabaran tentang perihal kemangkatan tuan Puteri Limau Purut itu pun dipersembahkan kepada Sultan di Geronggong. Baginda amat sedih dan duka cita di atas kemangkatan Paduka Adinda tuan Putri Limau Purut itu. Baginda pun berangkat memudik serta membawa segala alat-alat kelengkapan di raja untuk mengkebumikan tuan Puteri Limau Purut. Setelah hal pengebumian Puteri Limau Purut selesai, baginda sultan pun pulang ke istana dan baginda terus menghantar utusan ke Aceh untuk memberi tahu yang tuan Puteri Limau Purut sudah meninggal dunia.
makam baru puteri limau purut
Baginda Raja Aceh terus murka setelah mendengar khabar yang dibawa oleh utusan Perak itu dan menyatakan bahawa khabaran ini adalah hanya satu helah untuk menolak lamaran sahaja. Baginda Raja Aceh lantas terus mengerahkan bala tenteranya untuk bersiap sedia menyerang negeri Perak. Maka berangkatlah angkatan tentera perang Aceh menuju ke Perak. Malangnya Kerajaan Perak tidak membuat apa-apa persiapan dan perkara ini tidak dijangka lansung akan berlaku.

Kemurkaan Raja Aceh tidak dapat dibawa bincang lagi dan tanpa sebarang perkhabaran, Aceh pun pergi menyerang Perak dengan tanpa sebarang amaran. Bendahara Perak tidak ada di Kota Geronggong pada masa ketika Perak diserang tentera Aceh kerana sedang berubat di Ulu Kinta. Oleh kerana tidak ada persediaan untuk menghadapi peperangan, maka Perak pun kalah. Sultan Perak ditawan dan dibawa ke Aceh untuk dipenjarakan.
perang melayu
Setelah tentera Aceh beredar dari Perak untuk pulang ke Aceh, pembesar Perak seperti Bana, Tok Ribut, Tok Gagah dan Tok Bidara terus mengadakan mesyuarat untuk memberitahu perkhabaran berita tentng apa yang berlaku pada sultan ke bendahara yang berada di Ulu Kinta. Kata putus mesyuarat menyatakan bahawa Bana dan Tok Gagah yang akan pergi ke Ulu Kinta bertemu dengan bendahara demi menyampaikan perkhabaran sedih tersebut.

Maka pergilah Tok Gagah dan Bana ke Ulu Kinta menemui bendahara dan menceritakan segala yang berlaku sewaktu bendahara tiada di Kota Geronggong. Lalu berlinang air mata bendahara rasa sedih mendengar perkhabaran dari Bana dan Tok Gagah berkenaan hal tersebut. Seminggu selepas itu, bendahara kembali sihat dan sembuh dari penyakitnya. Kemudian, bendahara menemui orang yang mengubatnya iaitu penghulu orang asli untuk menyatakan rasa syukur dan berterima kasih.

Bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan tidak lama kemudian bendahara terus berangkat ke Singapura kerana hendak membeli jin. Apabila sampai di Singapura, bendahara pun naik ke darat dan bertemu dengan seorang orang tua yang sedang duduk termenung. Dihadapan orang tua tersebut ada empat ekor burung serindit lalu bendahara memberi salam dan terus bertanyakan pada orang tua tersebut sama ada ingin menjual empat ekor burung miliknya itu.
burung serindit
Setelah mendapat sambut balas dari orang tua tersebut dan menyatakan ianya untuk dijual, maka bendahara pun bersetuju untuk membelinya dan membayar dengan nilai yang dipersetujui. Tanpa melengahkan masa, bendahara terus membawa empat ekor burung tersebut dengan kapal layarnya menuju ke Pulau Sembilan. Apabila bendahara sampai ke Pulau Sembilan, bendahara terus melepaskan seekor burung serinditnya disitu dan terus memudik kapalnya sehinggalah ke Pasir Garam di Pulau Bangka.
peta laluan bendahara
Apabila bendahara sampai ke Pasir Garam, dilepaskan seekor lagi burung serinditnya disitu pula. Dan 2 ekor burung serindit yang terakhirnya dilepaskan di sebelah hulu Perak di kawasan Temong. Ada yang katakan, bahawa empat ekor burung serendit inilah sebenarnya empat ekor jin yang dipelihara oleh bendahara untuk bersama-sama mempertahankan negeri Perak. Nama jin-jin tersebut adalah Bintang Kemabur, Perkaka, Gagak Sura dan Pulikat.

Setelah selesai melepaskan kesemua burung serendit yang dikatakan jelmaan jin itu, maka bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan bersiap siaga dengan alat peperangan untuk menyerang semula Aceh dan menuntut semula sultan Perak yang telah dipenjarakan di sana. Tentera Perak pun berhimpun di Kota Geronggong yang datang dari serata Perak untuk belayar menuju ke Aceh. Turut ada di dalam angkatan perang adalah Bana dan Tok Gagah yang begitu berani menentang musuh.

Tentera Perak kalah apabila menyerang Aceh kerana pada waktu itu kuasa Raja Aceh sangat gagah dan digeruni. Bendahara dan dua orang pembesar iaitu Bana dan Tok Gagah pun ditangkap, dipenjarakan lalu mereka bertiga akan menghukum bunuh. Berita tentang hal hukuman bunuh bendahara dan pembesar Perak itu telah sampai ke telinga Raja Permaisuri Aceh dan baginda Raja Permaisuri mempertikaikan akan hukuman yang bakal dikenakan pada Raja Aceh.
buah durian Gangga Puri
Baginda Raja Permaisuri Aceh terus memberitahu tentang baginda sedang hamil dan ingin meletakkan syarat pada Raja Aceh tentang hal hukuman pada bendahara dan pembesar Perak. Baginda nyatakan sedang mengidamkan buah durian Gangga Puri yang ada di anjung istana. Baginda Raja Permaisuri Aceh mencadangkan bahawa arahkan bendahara mengambil buah durian Gangga Puri itu dan jika dia tidak berupaya mengambilnya, maka barulah jatuhkan hukuman bunuh. Memandangkan Raja Permaisuri Aceh sedang mengandung, maka Raja Aceh yang gembira itu bersetuju sahaja.
durian
Baginda Raja Aceh pun bertitah dan memanggil Bendahara negeri Perak untuk mengambil buah durian yang diminta oleh isterinya itu dan memberitahunya jika tidak berjaya dapatkan buah durian tersebut, maka bendahara akan dihukum bunuh. Bendahara pun terima titah Raja Aceh tersebut untuk mengambil buah durian yang diminta dan memohon supaya dapat ditangguhkan dalam seminggu lagi. Permintaan bendahara Perak diperkenankan oleh Raja Aceh lalu pulanglah Bendahara Perak ke penjaranya.

Apabila cukup masa seminggu berlalu, bendahara pun menghadap Raja Aceh semula dan memohon supaya disediakan sebatang kayu sepanjang dua depa dan sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut hendaklah hujungnya tajam seperti gasing dan diletakkan di pangkal pokok durian tersebut. Apabila semuanya sudah tersedia, maka bendahara pun terus ke pokok durian tersebut dengan berpakain serba hitam. Apabila berada di hadapan kayu sebesar dua pemeluk itu, bendahara pun bertafakur serta berdoa pada tuhan supaya usahanya berhasil. Lalu selepas berdoa, bendahara pun bangun berdiri dan tepuk di hujung kayu di sebelah kanan, maka terjongkitlah sedikit kayu tersebut di sebelah kiri.

Kemudian bendahara tepuk pula di kayu tersebut di sebelah kiri, maka terjongkitlah lagi tetapi kali ini terjongkit atas lalu dipangkunya oleh bendahara kemudian dilambung sekuat hati oleh bendahara Perak ke atas pokok durian tersebut. Maka melayanglah kayu yang sebesar dua pemeluk itu ke hujung pokok durian di hadapan istana. Apabila kayu sebesar dua pemeluk itu jatuh ke tanah, lurutlah semua dahan di atas pokok durian itu ke tanah. Raja Aceh serta Permaisuri terpegun melihat durian yang luruh dan dayang-dayang pun berlari-lari mengutip buah durian yang banyak di atas tanah.

Dalam masa yang kelam-kabut itu, bendahara Perak terus berkejar menuju ke penjara Sultan dan memecahkan kunci pintu penjara lalu membebaskan Sultan. Tanpa membuang masa, mereka semua tahanan Raja Aceh kecuali si Bana yang belot sejak dari awal lagi terus melarikan diri menuju ke sungai untuk menuju ke Kuala Sungai Aceh dengan menaiki kapal. Apabila hampir sampai di Kuala Sungai Aceh, didapati ada tiga lapis rantai besi yang menghalang kapal untuk terus bergerak menuju ke laut. Bendahara Perak mengambil pedang yang bernama Corek Si Mandangkini lalu di tetak nya tiga kali sehingga terputusnya tiga rantai besi itu. Bilah pedang tersebut sumbing sebanyak tiga tempat. Tanpa membuang masa, kapal bendahara pun bergerak menuju ke laut. Mereka pun selamat kerana sudah berada di tengah laut menuju ke Perak semula.
rantai besi
Apabila Raja Aceh sedar akan kehilangan bendahara Perak dan Sultan serta yang lain-lain yang telah melarikan diri, baginda amat murka lalu Bana telah dibawa menghadap Raja Aceh yang sedang murka untuk dilepaskan amarah dan murka terhadapnya. Raja Aceh mengarah supaya Bana dibunuh kejam namun Bana merayu agar untuk memberikan dirinya peluang untuk hidup dan berjanji yang dia sendiri akan membunuh bendahara Perak. Bana memberitahu lagi yang dia adalah anak murid bendahara dan tahu akan kekuatan dan kelemahan bendahara.

Raja Aceh termakan dengan kata-kata Bana lalu baginda bersetuju dan mengarahkan tenteranya serta Bana untuk pergi menyerang Perak semula. Kali ini baginda Raja Aceh ingin menawan negeri Perak. Baginda Raja Aceh memerintahkan ramai hamba, serta rakyat untuk ikut naik ke kapal bersama tenteranya untuk berpindah ke Perak. Kerana itulah niat asalnya untuk menawan negeri Perak. Maka, penuhlah kapak yang belayar dari Aceh dengan rakyat, hamba dan juga tentera ke Kuala Perak dan terus memudik ke Kota Geronggong.
kapal layar
Mereka yang datang dari Aceh pun turun dari kapal dan ke darat terus membuat persediaan untuk bermalam. Ada yang memasak, ada yang mencari kayu api, ada yang membina tempat tinggal sementara dan bermacam-macam lagi. Berkampunglah mereka disitu buat sementara untuk membuat persediaan menyerang Perak. Namun apa yang mereka lakukan semuanya jadi serba tidak kena. Makanan yang dimasak tertumpah ke tanah dengan begitu sahaja. Lauk pauk yang dimasak terhangit. Lembaran daun-daun yang digunakan sebagai pelapik untuk baring berehat pula membuatkan badan gatal-gatal. Pendek kata, apa yang cuba dilakukan pada waktu itu semuanya serba tidak kena dan mereka tidak cukup makan dan tidak dapat tidur lena malam itu.

Esok paginya, mereka dari Aceh yang dengan tidak cukup rehat, perut yang lapar pun bersedia untuk menyerang Perak. Bana yang juga keletihan dan mengetuai tentera tersebut mencari-cari bendahara Perak. Bendahara Perak yang berfikiran jauh memang sudah menjangka akan kehadiran Aceh untuk menyerang Perak ini dan Perak sudah pun bersedia untuk mempertahankan negerinya tidak seperti sebelum ini.
lembing
Maka sewaktu dalam pertempuran, maka terserempaklah bendahara dengan Bana. Mereka berdua bertikam lidah untuk melepaskan amarah masing-masing terhadap sikap pembelotan Bana. Bendahara Perak lantas mengangkat lembing dan dilontarkan ke arah Bana lalu tertusuk tebus ke perut Bana tanpa dielak. Bana terus rebah dan mati disitu juga. Apabila tentera Aceh lihat ketua mereka si Bana telah pun mati, maka bertempiaranlah mereka lari dalam keadaan lapar dan letih menyelamatkan diri. Ada yang sempat naik kapal dan lari pulang ke Aceh, ada yang menyerah diri, ada yang lari masuk ke hutan-hutan dan ada yang ditangkap menjadi tawanan perang.

Perkabaran kekalahan tentera Aceh sampai ke telinga Raja Aceh dan baginda sangat malu dan menyumpah tidak akan membenarkan orang Aceh bermastautin di negeri Perak sampai bila-bila. Mereka orang-orang Aceh yang terlalu ramai ditawan di negeri Perak dan bendahara Perak mengambil keputusan untuk mengarahkan yang lelaki menjadi buruh paksa di Kota manakala yang perempuan dilelong menjadi hamba. Maka, sejak dari itu, Aceh tidak lagi menyerang Perak dan keadaan di Perak kembali aman seperti sedia kala.

Tamat.

SUMBER: 


Tuesday, 21 March 2017

YANG YUHUAN, KEJELITAAN YANG MERUNTUHKAN SEBUAH EMPAYAR

Image may contain: 1 person
China, sebuah negara yang tidak pernah lokek daripada gadis-gadis yang jelita. Dari zaman purba, negara ini tidak pernah lekang dengan kisah-kisah lagenda mengenai gadis-gadis cantik yang membikin para jejaka menjadi gila. Dari seorang gadis yang membuatkan panglima perang berhati singa tunduk pada cinta, hingga kisah dua orang kembar yang kejelitaannya umpama 1000 bintang di langit yang bikin pertempuran paling berdarah dalam sejarah sehinggalah ke seorang gundik, yang bikin seorang Maharaja menyuruh anaknya menceraikan gundik itu hanya kerana dia mahu bersama dengan gundik itu.

Pada ketika zaman Dinasti Tang, dunia menyaksikan kemunculan seorang gadis jelita dalam sejarah yang kemudiannya akan menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Dinasti Tang. Yang Yuhuan, adalah pemilik nama kepada seorang bidadari dunia yang sedang kita bicarakan, dan bidadari yang telah membikin seorang raja menjadi gundah gulana kerana cinta. Pada usia 17 tahun, Yang Yuhuan telah dinikahi dengan anak kepada Maharaja Tang ketika itu, Maharaja Xuanzong. Namun, tidak sampai enam tahun perkahwinan putera Maharaja Xuanzong dengan Yang Yuhuan, kejelitaan yang dimiliki oleh Yang Yuhuan telah membuatkan hati lelaki Maharaja Xuanzong menjadi gundah-gulana ketika kunjungan Maharaja Xuanzong di sebuah istana yang diduduki oleh Yang Yuhuan di sebuah kaki gunung di China.

Maharaja mahu melupai si wanita yang sudah berpunya itu, namun dia tidak dapat menahan nafsu dan cintanya. Maka, dengan hati yang cekal tanpa mempedulikan mulut-mulut yang akan mengatanya, maka si maharaja menyuruh puteranya menceraikan Yang Yuhuan. Mahu atau tidak, maka terpaksalah si anak mematuhi. Namun, Maharaja Xuanzong tahu apa yang akan dilakukannya ialah sebuah larangan dalam masyarakatnya. Mahu mengalihkan perhatian, maka maharaja menyuruh Yang Yuhuan menjadi biarawati agama Tao sebelum akhirnya dia sendiri mengahwini Yang Yuhuan.

Yang Yuhuan selepas mengahwini Maharaja Xuanzong, telah memiliki segala-galanya. Dia telah dihadiahkan rambut emas, istana yang khas untuk dirinya, serta pelbagai gelaran yang menjadikan Yang Yuhuan sebagai isteri Maharaja Xuanzong yang paling disayangi oleh maharaja. Bahkan Maharaja pernah membuatkan sebuah lagu yang menyamakan Yang Yuhuan dengan sebiji permata yang berkilauan.

Baginda sering menyanyi atau memainkan alat muzik ketika Yang Yuhuan menari. Puisi yang ditulis tentang Yang Yuhuan juga sangat indah, hingga ke hari ini masih dibaca oleh kalangan rakyat. Menurut ceritanya, “meskipun dalam istana terhadap tiga ribu orang gadis yang cantik, kasih sayang baginda terhadap tiga ribu orang gadis ini dicurahkan kepada gundik ini seorang sahaja.” Dengan menggunakan kasih sayang baginda terhadapnya, abang Yang Yuhuan, iaitu Yang Guozhong telah menjadi Perdana Menteri dalam Dinasti Tang, manakala tiga kakak perempuannya pula diberi gelaran bangsawan.

Disebabkan terlalu asyik dengan kecantikan Yang Yuhuan, baginda tidak lagi mempedulikan urusan negara. Maka kuasa pemerintahan telah dipegang oleh Yang Guozhong dan Li Linfu. Kedua-dua pegawai yang khianat ini telah memperdaya baginda secara halus di samping membunuh semua pegawai yang tidak mematuhi arahan mereka. Pemerintahan Dinasti Tang menjadi semakin teruk, hingga mengakibatkan timbul krisis yang besar dalam kalangan masyarakat. Pada tahun 755, An Lushan, seorang Gabenor telah memberontak dengan alasan untuk membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong yang khianat itu. Sebuah negara bernama Yan ditubuhkan oleh An Lushang,

Maharaja Xuanzong terpaksa membawa Yang Yuhuan melarikan diri dari ibu negara. Ketika menuju ke arah Mawei (di provinsi Shaanxi), pasukan tentera pengawal baginda tidak mahu bergerak lagi. Jeneral pasukan tentera tersebut telah membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong dan bapanya, dan dia menuntut supaya Yang Yuhuan dibunuh, barulah pasukannya bersedia mengawal baginda dan menghapuskan pemberontak. Jeneral itu tahu bahawa yang menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Empayar Tang ketika itu ialah Yang Yuhuan. Kalau mereka mahu melihat Dinasti Tang terus bernyawa, maka gadis itu harus mati.

Mahu memastikan dinastinya dan empayar Tang terus hidup, maka Yang Yuhuan terpaksa dibunuh oleh maharaja, meski terdapat kisah lain mengatakan sebenarnya maharaja menghantar gadis jelita itu ke Jepun untuk hidup aman di sana tanpa gangguan pemberontak.