Showing posts with label Othmaniyyah. Show all posts
Showing posts with label Othmaniyyah. Show all posts

Thursday, 18 January 2018

SULTAN MURAD II: SULTAN UTHMANIYAH YANG BERJIWA PAHLAWAN

Sultan Murad II
Sultan Murad II merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang keenam yang memerintah dari tahun 1421 sehingga 1451. Pemerintahan Sultan Murad II mempunyai dua fasa iaitu fasa pertama dari 1421 sehingga 1444 dan fasa kedua dari 1446 sehingga 1451.  Dikatakan pemerintahan Sultan Murad II penuh dengan konflik dan peperangan dengan serantau baik kerajaan Islam mahupun kerajaan Kristian di Eropah.

Sebaik sahaja Sultan Mehmed Celebi mangkat pada tahun 1421, Sultan Murad II telah ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baru dan usia beliau pada ketika itu amat muda sekali iaitu 18 tahun. Sultan Murad II telah diuji dengan pemberontakan bapa saudaranya iaitu Mustafa Celebi yang disangkakan mati ketika Perang Ankara pada tahun 1402.

Pertama kali pemberontakan Mustafa Celebi berjaya dipatahkan oleh Sultan Mehmed Celebi. Sultan Murad II tidak menyangka bahawa bapa saudaranya masih hidup dan beliau telah dihasut oleh Maharaja Byzantine untuk merampas kembali takhta Sultan Turki Uthmaniyyah yang sepatutnya menjadi miliknya. Ada pendapat mengatakan beliau bukanlah putera Sultan Bayazid Yildrim kerana Mustafa Celebi yang sebenar sudah mati syahid di Ankara ketika perang menentang Timurlink.
...gambar ni sekadar hiasan je...
Mustafa Celebi telah mendapat sokongan daripada penduduk Rumelia dan berjaya mengumpul beberapa pengikut termasuklah beberapa askar Janissaries yang tertipu dengan helah Mustafa. Beliau juga mendapatkan sokongan penuh daripada Maharaja Byzantine iaitu Kaiser Manuel untuk memberontak.

Mustafa Celebi juga berjaya menghapuskan beberapa pengikut Bayazid Pasha yang setia kepada Sultan Murad II. Kejayaan Mustafa Celebi dalam mengumpul beberapa orang pengikut dalam jumlah yang besar disebabkan beberapa orang rakyat Turki yang masih tidak berpuas hati dengan peristiwa hukuman mati ke atas Sheikh Bedreddin yang memberontak ketika zaman pemerintahan Sultan Mehmed Celebi. Mustafa Celebi mengambil kesempatan diatas peristiwa tersebut dengan menyatakan simpati diatas kekejaman yang berlaku keatas Sheikh Bedreddin bagi meraih sokongan daripada rakyat dan tentera.

Sultan Murad II merupakan seorang yang amat licik dalam tipu helah. Selain itu, para wazirnya menasihati agar beliau membebaskan Mihaloğlu daripada penjara kerana Mihaloğlu mempunyai pengaruh yang besar dikalangan amir – amir Rumelia. Oleh itu, Sultan Murad II menghantar Mihaloğlu untuk berpura – pura setia kepada Mustafa Celebi sambal itu mempengaruhi penguasa – penguasa Rumelia. Mihaloğlu juga dijanjikan dengan pengampunan dan akan dikembalikan pangkat dan harta yang pernah dirampas dahulu. Oleh itu, beberapa amir- amir Rumelia telah berpaling tadah kepada Sultan Murad II akibat termakan hasutan Mihaloğlu dan ini telah menimbulkan rasa panik Mustafa Celebi.
Hasil carian imej untuk mustafa celebi
Mustafa Celebi
Mustafa Celebi juga secara terburu – buru untuk menyerang Sultan Murad II. Sultan Murad II dapat meramal Mustafa Celebi pasti akan menyerang Bursa. Oleh itu, Sultan Murad II telah mengarah beberapa askar untuk memusnahkan jambatan di Sungai Nilufer. Mustafa Celebi menyangka Sultan Murad II bertindak dengan bodoh dan beliau telah membawa askarnya ke sekitar tasik. Tanpa disangkanya, Sultan Murad II telah memerangkap Mustafa Celebi dengan membina kembali jambatan (mungkin pembinaan jambatan kayu dengan kadar segera) dan Mustafa Celebi telah tertipu dengan helah Sultan Murad II. Akhirnya Sultan Murad II berjaya mengalahkan Mustafa Celebi dan para pengikutnya. Namun, beliau melarikan diri ke Wallachia dan berjaya ditangkap oleh askar Janissaries. Mustafa Celebi akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan menerima nasib seperti Sheikh Bedreddin. Muslihat pihak Byzantine berjaya dipatahkan oleh Sultan Murad II dan akhirnya terpaksa menanggung malu dan akibatnya berdepan dengan ancaman perang daripada Sultan Murad II.

Selepas Mustafa Celebi berjaya dijatuhkan hukuman gantung mati oleh Sultan Murad II, beliau telah membentuk sebuah pasukan tentera yang baharu yang dinamakan “Azap” bagi melaksanakan satu kempen penaklukan ke atas kota Konstantinopel. Menurut Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010), tentera Azap adalah tentera daripada golongan petani yang masih bujang dan biasanya mereka digunakan sebagai infantri dalam peperangan. Sultan Murad II telah membawa sebanyak 20,000 orang tentera untuk mengepung kota Konstantinopel. Walaubagaimanapun, Sultan Murad II terpaksa membatalkan niat beliau untuk menakluki kota Konstantinopel kerana berdepan dengan ancaman pemberontakan daripada saudara kandungnya sendiri iaitu Sehzade Mustafa atau dikenali sebagai Küçük Mustafa. Küçük Mustafa pada ketika itu usia yang terlalu muda dan remaja telah termakan hasutan daripada Kaiser Manuel dan melaksanakan pemberontakan ke atas saudaranya sendiri, Sultan Murad II. Kaiser Manuel telah menghantar mesej melalui mentor Küçük Mustafa iaitu Ilyas dan di dalam mesej tersebut menyatakan sokongan penuh ke atas Küçük Mustafa untuk merampas takhta daripada Sultan Murad II. Namun begitu, Kaiser Manuel telah meninggal dunia secara mengejut dan digantikan dengan Maharaja Byzantine yang agak kurang cerdik dalam permainan politik iaitu Ioannes VIII.
Hasil carian imej untuk Ioannes VIII
Ioannes VIII
Ioannes VIII telah menawarkan puteri beliau yang amat cantik untuk dikahwinkan dengan Küçük Mustafa dan beliau telah menghantar Mustafa ke Anatolia dengan bantuan tentera Rom bagi memerangi Sultan Murad II untuk merampas takhta. Dikatakan amir -amir Anatolia telah bersuhabat dan menghasut Küçük Mustafa untuk memberontak. Amir di Karaman yang merupakan negeri dibawah naungan Empayar Turki Uthmaniyyah juga turut menyokong Küçük Mustafa dalam pemberontakan.

Pada bulan Ogos 1422, Küçük Mustafa dan amir daripada Karaman, Germiyan dan Hamit telah merancang untuk menyerang Bursa. Oleh itu, utusan daripada telah menyampaikan mesej ke Sultan Murad II yang pada ketika itu sedang dalam kempen penaklukan kota Konstantinopel dan menyatakan penduduk di Bursa telah mengiktiraf Küçük Mustafa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa berundur daripada medan peperangan.

Sultan Murad II telah menghantar utusan kepada mentor Küçük Mustafa iaitu Illyas dan menjanjikan habuan yang besar dan beliau akan dilantik sebagai Gabenor Rumelia jika membelot. Oleh itu, Ilyas telah bersetuju dengan tawaran tersebut. Küçük Mustafa telah berniat untuk menyerang Iznik dan mentornya, Illyas telah meminta Küçük Mustafa untuk bersabar dengan alasan masa yang tidak sesuai. Beliau telah mendapat arahan daripada Sultan Murad II agak melambat – lambatkan serangan Küçük Mustafa ke atas Iznik sehingga beliau tiba ke Iznik. Namun, Amir Karaman dan Amir Kutahya yang merupakan penyokong kuat Küçük Mustafa telah dapat menghidu pengkhianatan dan niat udang disebalik batu Ilyas. Mereka menasihati Küçük Mustafa agar menyegerakan serangan ke atas Iznik namun beliau menolak secara mentah kerana percaya dengan nasihat mentornya. Selepas itu, mentornya menasihat Küçük Mustafa agar berada di istana Ibrahim Pasha di Iznik dan Ilyas telah mengumpul ahli Majlis Menteri agar putera yang naif dan lurus bendul semakin percaya dengannya.
Hasil carian imej untuk Evrenosoğlu Ali Beg
...gambar ni sekadar hiasan je...
Sultan Murad II telah tiba di Iznik dan mengarah Evrenosoğlu Ali Beg berada di penjuru kota arah Barat dan Firuz Beg di penjuru kota arah utara. Apabila Sultan Murad II telah tiba di Iznik, tentera – tentera Küçük Mustafa telah berlari secara kucar – kacir dan berjaya dikalahkan. Mentornya, Ilyas telah menghantar Küçük Mustafa kepada Sultan Murad II dan dihukum pancung oleh Mezid Beg İmrahor atas arahan Sultan Murad II. Kekalahan Küçük Mustafa menandakan usaha dan muslihat yang terakhir dilakukan oleh Empayar Byzantine bagi memastikan Empayar Turki Uthmaniyyah sentiasa diancam konflik perang saudara.

Sultan Murad II juga berjaya memadam api pemberontakan di dalam wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah. Negeri Karaman, Germiyan, Hamit dan Kutahya telah yang merupakan negeri naungan Turki Uthmaniyyah juga berjaya dikuasai dengan sepenuhnya dan pemerintahan amir di negeri tersebut dimansuhkan dan dijadikan sebahagian wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Murad II juga telah melancarkan kembali serangan ke atas kota Konstantinopel sehingga kota – kota yang berada disekeliling kota tersebut termasuklah Saloniki berjaya ditaklukinya. Akhirnya, Empayar Rom Byzantine semakin mengecil sehingga wilayah kekuasaan hanya tertakluk keatas kota Konstantinopel.
...gambar ni sekadar hiasan je...
Albania berjaya ditawan kembali oleh Sultan Murad II. Pada ketika itu, Albania telah berpecah kepada dua bahagian iaitu Utara dan Selatan. Di bahagian utara, Albania telah diperintah oleh keluarga Kastrioti yang mengaku kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah dan membayar jiyzah setiap tahun. Pemerintah Kastrioti juga telah menghantar puteranya yang tertua ke istana Turki Uthmaniyyah di Bursa sebagai tebusan. Puteranya tertua iaitu George Kastrioti telah memeluk Islam dan memakai gelaran Iskander Bey atau Skanderbeg. Namun begitu, beliau telah murtad dan berpaling tadah kepada Pope di Vatikan untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sultan Murad II juga berjaya menundukan kerajaan Wallachia yang ketika itu diperintah oleh Vlad II Dracul. Beliau bersetuju untuk membayar jizyah kepada Sultan Murad II setiap tahun, memberi sumbangan ketenteraan kepada Sultan dan menghantar dua orang puteranya iaitu Vlad The Impaler (Dracula) dan Radu sebagai tebusan di istana Turki Uthmaniyyah.

Pada 29 March 1430, Sultan Murad II berjaya menawan kota Thessalonica dan sehingga Maharaja Byzantine ketika itu, John VIII telah merayu kepada pihak Kristian di Barat dan Paus Martin V bagi bersatu melawan Empayar Turki Uthmaniyyah. Beliau bersetuju untuk menyatukan Gereja Katolik dan Gereja Ortodoks yang berpecah akibat perbezaan fahaman agama. Oleh itu, beliau menghantar Patriarch Konstantinopel sebagai ketua rombongan delegasi ke Vatikan bagi penyatuan Gereja. Namun, tindakan Maharaja John VIII telah mendapat tentangan penduduk Kristian Ortodoks di Konstantinopel dengan alasan Gereja Katolik telah mengambil kesempatan untuk menghancurkan Gereja Ortodoks.
Hasil carian imej untuk empayar uthmaniyah
...gambar ni sekadar hiasan je...
Tidak lama kemudian, putera kesayangannya iaitu Sehzade Alauddin telah meninggal dunia termasuk beberapa puteranya yang masih lagi bayi turut dibunuh oleh wazirnya sendiri iaitu Kara Hizir Pasha. Motif pembunuhan Kara Hizir Pasha masih tidak diketahui dan beliau dijatuhkan hukuman mati atas arahan Sultan Murad II. Kematian puteranya yang diharapkan untuk menjadi penggantinya nanti telah meninggalkan kesan kesedihan yang begitu mendalam kepada Sultan Murad II. Sehzade Alauddin telah dikebumikan di Bursa dimana makam nenek moyangnya disemadikan. Selain itu, putera sulungnya, Sehzade Ahmet turut meninggal dunia. Oleh itu, satu – satunya putera yang masih hidup adalah Sultan Mehmed Al –  Fateh.

Selepas itu, Sultan Murad II telah mengarah Sultan Mehmed Al Fateh yang pada ketika itu berada di Manisa untuk menyertai beliau selepas dapat mengetahui rancangan serangan yang dilakukan oleh John Hunaydi dan Raja Ladislas untuk memerangi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sultan Murad II telah menghantar Mezid Beg meneruskan untuk menyerang Transylvania. Namun begitu, serangan Sultan Murad II telah berjaya dipatahkan oleh sekumpulan tentera Kristian yang dketuai John Hunaydi yang merupakan putera Transylvania. Mezid Beg telah terkorban dalam peperangan jihad fisabilillah menentang Transylvania.

Pada masa yang sama, Iskander Bey telah berpaling tadah kepada tentera pakatan Kristian selepas berjaya memperdayakan Hassan Pasha untuk menyerahkan kubu di Nice dimana Iskander Bey dan Hassan Pasha dihantar untuk berperang dengan John Hunaydi dan Raja Ledislas. Pada bulan Mac 1444, Iskander Bey telah melakukan pakatan dengan John Hunaydi dan Raja Ladelase untuk membebaskan Albania dan benua Eropah daripada kekuasaan Turki dan Islam buat selama – lamanya. Pada bulan Jun 1444, Sultan Murad II telah menghantar bala tentera Janissaries untuk menghapuskan pemberontakan. Namun, Iskander Bey dan sekutunya berjaya menghapuskan ancaman Sultan Murad II.
Johan Hunnad (John Hunaydi)
Kejayaan John Hunaydi menjadikan beliau semakin bongkak dan takbur apabila beliau berjaya menakluki Sophia dan berjaya mengalahkan tentera Turki di pergunungan Balkan. Kerajaan – kerajaan Kristian di Eropah semakin bersemangat dan bersetuju membentuk pakatan anti – Ottoman dan berjaya menghasut putera Karman iaitu Ibrahim Beg. Namun, Hunaydi telah secara tiba – tiba membatalkan serang ke atas Sultan Murad II. Sultan Murad II telah menawarkan perdamaian dan gencatan senjata selama 10 tahun. John Hunaydi pun bersetuju untuk menerima tawaran pendamaian tersebut. Pada tahun 1444, Raja Ladislas dan Sultan Murad telah mengikat perjanjian tesebut dengan mengangkat kitab suci masing – masing iaitu Injil dan Al Qur’an. Perjanjian pendamaian itu telah

Sultan Murad II telah melantik Sultan Mehmed Al Fateh sebagai pemerintah bersama dibawah bimbingan Wazir Besar, Halil Pasha. Sultan Murad II telah memimpin pasukan tentera Janissaries dan Ibrahim Bey telah berjaya dikalahkan dan dipaksa dihilangkan status sebagai Amir di Karaman.
Hasil carian imej untuk sultan mehmet al fateh
Sultan Mehmet Al-Fateh
Pada masa yang sama, Sultan Mehmed Al – Fateh pada ketika itu telah diberi kepercayaan penuh oleh Sultan Murad II untuk mentadbir negara ketika ketiadaan beliau. Sultan Mehmed Al – Fateh terpaksa berhadapan dengan isu agama dimana munculnya golongan sufi Bektashi dari Parsi. Sultan Mehmed Al – Fateh begitu tertarik dengan ajaran sufi Bektashi dan bersetuju melindungi Syeikh Bektashi dan pengikutnya daripada pihak ulama. Namun begitu, Mufti Fahrettin, seorang ulama besar dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengeluarkan fatwa sesat ke atas golongan sufi sehingga Sultan Mehmed Al Fateh terpaksa tunduk dan akhirnya golongan sufi tersebut dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, Sultan Murad II telah singgah di pusara makam nenek moyang di Bursa dan juga pusara makam puteranya, Sehzade Alauddin. Oleh itu, timbul perasaan benci keatas duniawi dan timbul pula perasaan zuhud yang mendalam. Pada 1 September 1444, Sultan Murad II telah membuat pengumuman di hadapan para wazir dan memberi ruang kepada Sultan Mehmed Al – Fateh untuk menaiki takhta. Para wazir terutama Wazir Besar Halil Pasha menentang keputusan tersebut dengan alasan Sultan Mehmed Al – Fateh kurang matang dalam urusan pemerintahan negara. Namun, Sultan Murad II telah berkeras dengan keputusan tersebut dan akhirnya beliau berundur di Manisa untuk menjadi ahli Sufi dan mengerjakan suluk atau ibadah kerohanian tasawuf. Sultan Mehmed Al – Fateh secara rasminya menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang ketujuh dimana beliau pada ketika itu berusia 14 tahun.
Hasil carian imej untuk Wazir Besar Halil Pasha
...gambar ni sekadar hiasan je...
Namun begitu, tidak sampai 3 minggu Sultan Mehmed Al Fateh ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu, Raja Ladislas, John Hunaydi dan Karidnal Cesarani telah melanggar perjanjian damai dengan menyerang Danube sehingga Sultan Murad II kembali sebentar dengan mengumpul beberapa tentera untuk melawan kembali serangan tentera Salib. Sultan Murad II dan beberapa orang askarnya telah berjaya mengalahkan tentera Salib dibawah Raja Ladislas dan John Hunaydi. Raja Ladislas telah terkorban dalam pertempuran tersebut dan John Hunaydi pula terpaksa melarikan diri ke Hungary dan beliau telah dilantik menjadi pemerintah di Hungary. Raja Ladislas telah ditikam dengan lembing oleh askar Janissary lalu dipancung kepala beliau. Kematian Raja Ladislas telah melemahkan semangat tentera Salib sehingga melarikan diri. Karinal Ceserani pula dibunuh oleh askarnya sendiri.

Sultan Murad II telah kembali ke Manisa dan menyambung persaraan di Manisa untuk beribadat sepenuh masa kepada Allah s.w.t dan takhta tersebut dikembalikan kepada Sultan Mehmed II kembali. Semasa pemerintahan fasa pertama Sultan Mehmed Al Fateh, banyak dasar – dasar yang beliau lakukan tidak dipersetujui oleh Wazir Besar Halil Pasha. Antaranya adalah rancangan Sultan Mehmed Al Fateh untuk menyerang kota Konstantionpel. Oleh itu, Wazir Besar Halil Pasha meminta Sultan Murad II untuk kembali ke menaiki takhta kerana beliau berpendapat Sultan Mehmed Al Fateh terlalu muda untuk memikul tanggungjawab dan mengurus urusan negara. Ditambah lagi, pemberontakan Janissary yang berlaku pada tahun 1446 disebabkan Sultan Mehmed Al Fateh enggan menaikkan gaji Janissary. Disebabkan marah dengan keengganan Sultan Mehmed Al Fateh menaikkan gaji, Janissary telah membakar beberapa buah bazaar di Erdine. Ini menyebabkan Sultan Murad II terpaksa kembali memimpin Empayar kembali pada tahun 1446.
...gambar ni sekadar hiasan je...
Pada tahun 1448, Perang Kosovo yang kedua telah tercetus apabila John Hunaydi dan sekutunya daripada Jerman, Czech, dan Wallachia telah menyemberang Sungai Danube dan menyerang wilayah Turki Uthmaniyyah di Serbia. Namun begitu, Sultan Murad II dengan mudahnya mengalahkan tentera Salib di Kosovo dan John Hunaydi telah melarikan diri sekali lagi dengan meninggalkan askar – askar yang masih berada disitu. Sultan Murad II telah merancang menyerang Albania yang ketika itu diperintah oleh Iskander Bey yang murtad bagi menghukum pengkhianatan beliau. Namun, Iskander Bey telah mempelajari daripada kesilapan John Hunaydi dan beliau tidak sesekali akan memerangi Sultan Murad II secara berhadapan melainkan dengan taktik gerila.
...gambar ni sekadar hiasan je...
Oleh itu, Sultan Murad II berpendapat Iskander Bey tidak mudah dikalahkan dan membiarkan beliau berkuasa di Albania kerana peperangan dengan Iskander Bey amat merugikan. Kejayaan Iskander Bey telah mengharumkan nama beliau di Eropah dan Dunia Kristian. Oleh itu, beliau telah diangkat sebagai Pahlawan Nasional di Albania sekarang sebagai memperingati jasa beliau dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman Empayar Turki Uthmaniyyah.
...gambar ni sekadar hiasan je...
Pada 31 Oktober 1448, John VIII telah meninggal dunia dan takhta Maharaja Rom Byzantine telah diserahkan kepada Maharaja Constantine XI Palaiologos yang merupakan Maharaja Rom Byzantine yang terakhir. Constantine XI telah ditabalkan secara rasmi sebagai 6 Januari 1449. Beliau merupakan saudara kandung kepada John VIII. Pada masa yang sama, Sultan Murad II telah menyambut kelahiran Sehzade Bayazid atau Sultan Bayazid II, putera kepada Sultan Mehmed Al Fateh pada Januari 1448.

Sultan Murad II telah mengahwinkan Sultan Mehmed Al Fateh dengan puteri Amir Ibrahim iaitu Puteri Siti Hatun sebagai tanda bersekutu antara dua puak Turki yang paling berkuasa iaitu puak Turki Kayilar dan puak Turki Dulkadirli bagi memerangi puak Turki Karaman yang sentiasa memusuhi Empayar Turki Uthmaniyyah.

Pada tahun 1451, Sultan Murad II telah kembali ke rahmatullah dan Sultan Mehmed Al Fateh kembali memegang kuasa sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang ditakdirkan sebagai penakluk kota Konstantinopel pada tahun 1453.

Rujukan:

1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016.

2. McCarthy, J. (2014). The Ottoman Turks: an introductory history to 1923. Routledge.

3. Finkel, C. (2007). Osman’s Dream: The History of the Ottoman Empire. Hachette UK.

4. Ágoston, G., & Masters, B. A. (2010). Encyclopedia of the ottoman empire. Infobase Publishing.

5. Nilgün, E. L. A. M. BYZANTINE EYE-WITNESSES OF ANATOLIAN POWER-BREAKERS DURING THE YEARS OF 1421-1423.

6. Leblanc, B. H. (1997). Vlad Dracula An intriguing figure in the fifteenth century. Journal of the Dark, 5.

7. Freely, J. (2009). The Grand Turk: Sultan Mehmet II-Conqueror of Constantinople and Master of an Empire. The Overlook Press.

8. Imber, C. (2009). The Ottoman Empire, 1300-1650: the structure of power. Palgrave Macmillan.


Monday, 11 December 2017

MENGAPA ATM TIDAK MENYERANG ISRAEL?

Sebuah soalan yang selalu muncul ketika isu ketegangan konflik yang berlaku di antara negara haram Zionis Israel dan ‘negara berdaulat’ Palestin. Seperti isu baru-baru ini, yang dimana Presiden USA, Donald J.Trump mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel sejajar dengan perpindahan kedutaan negaranya di sana pada tanggal 7 Disember 2017.

Jika kita memandang dari sudut agama Islam, ia sememangnya suatu jihad yang wajib kerana setelah peristiwa Nakba, saudara-saudara seagama kita dibantai sehingga ke hari ini tanpa kesudahan. Tetapi jika kita memandang dari sudut strategi peperangan, adakah suatu peluang yang menguntungkan jika Angkatan Tentera Malaysia melancarkan serangan ke atas negara haram Israel yang terletak hampir beribu-ribu kilometernya dari negara Malaysia?
Kebanyakan masyarakat pada zaman sekarang memandang pelancaran perang secara membuta-tuli tidak mendampakkan kesan yang buruk, malah merugikan sekaligus mampu menghancurkan pertahanan sesebuah negara.

Bahagia kalau terjadinya Perang Dunia Ketiga?

Jadinya, marilah kita merujuk kembali peristiwa dahulu yang pernah terjadi seiring kesan buruk yang menimpa jikalau seorang pemerintah salah dalam merangka sesebuah strategi dan persiapan sebelum melancarkan peperangan.
Hasil carian imej untuk Konstantinopel
1. Pembebasan Konstantinopel.

Kita semua sedia maklum peristiwa pembebasan Konstantinopel yang berlaku dalam sekitar tahun 1453 M di bawah pimpinan sultan muda Uthmaniyyah dari Adrianopel iaitu Muhammad al-Fatih tidak berlangsung dengan begitu mudah, malahan ianya memerlukan sebuah rangka serangan dan pengepungan yang teratur tanpa sebarang kesilapan kecil.

Muhammad al-Fatih tidak terus menyerang kota agung empayar Byzantium tanpa pengukuhan politik dalaman istana, mahupun strategi geopolitiknya. Rancangan yang diatur oleh Muhammad al-Fatih bukan mengambil masa selama sehari, seminggu atau sebulan, bahkan ianya mengambil tempoh masa sekitar bertahun-tahun lamanya. Baginda menghantar pasukan perisik ke kota Konstantinopel dalam membawa misi mengkaji kepanjangan, ketinggian mahupun kekebalan benteng kukuh yang dibina sejak akhir abad ke-4 M. Peta kota Konstantinopel juga amat diperlukan dalam misi pengepungan ini, lalu baginda menugaskan beberapa orang ahli topografi untuk menghasilkan peta baharu.

Baginda sudah membaca dan belajar tentang sejarah pengepungan dahulu yang di mana ianya mula dilancarkan oleh Khalifah Muawiyah pada tahun 674 M, Khalifah Sulaiman Abdul Malik pada tahun 717 M, Sultan Beyazid I pada tahun 1411 M, dan pengepungan terakhir yang masih gagal pada tahun 1422 M oleh Sultan Murad II. Punca kegagalan yang membabitkan dalam siri pengepungan ini menjadikan Muhammad al-Fatih sentiasa berwaspada dalam setiap rancangannya.

Kegagalan para pemimpin dahulu tidak boleh diulanginya lagi, tambahan pula punca utama kegagalan pasukan Muslim terdahulu untuk mengambil alih benteng Konstantinopel adalah kerana kekebalan bentengnya yang terdiri daripada dua lapis dan dibina dengan bahan binaan yang tidak mudah hancur dimamah usia apalagi serangan senjata manjanik yang pasti sia-sia sahaja.

Punca yang lain adalah senjata kuno ampuh milik empayar Byzantine iaitu ‘Api Greek’ yang fungsinya menyemburkan api yang mematikan sekaligus sentiasa menggagalkan tentera Muslim untuk memanjat benteng terbabit.
Hasil carian imej untuk Muhammad al-Fatih
Kecerdikan Muhammad al-Fatih dalam mengatasi masalah ini terungkai apabila baginda mengupah seorang jurutera berbangsa Hungary, Urban untuk membina sebuah meriam gergasi yang kemampuannya mampu memuntahkan peluru sejauh satu setengah mil ini serta menghancurkan pertahanan agung empayar Byzantium itu.

Selain menyiapkan segala senjata yang mampu digunakan dalam pengepungan, mencari titik-titik lemah benteng Konstantinopel, Muhammad al-Fatih juga membangunkan sebuah benteng pertahanan pada tahun 1451 M hanya dalam waktu 4 bulan. Benteng yang diberikan nama Rumelli Hisari dibina di atas sebuah bukit berdekatan dengan selat Bosphorus dan lokasinya terletak sekitar 8km dari kota Konstantinopel. Tujuan dibinanya benteng ini untuk menguasai laluan Selat Bosphorus dan menyekat segala bantuan sekutunya yang bakal tiba ke kota Konstantinopel saat waktu pengepungan.

Perjanjian damai juga disepakati antara negara jiran lainnya supaya mereka tidak balik menyerang Adrianople ketika Muhammad al-Fatih sibuk dalam misi pembebasannya.

Dan banyak lagi strategi lain sebelum dan ketika berlangsungnya peristiwa bersejarah perpindahan kuasa empayar pembebasan Konstantinopel yang digunakan oleh Sultan Muhammad al-Fatih sehingga baginda dijuluki sebagai salah seorang ahli strategi perang yang terunggul sebaris dengan kedudukan Alexander the Great dan penakluk yang lain.
Hasil carian imej untuk Baitulmaqdis
2. Pembebasan Baitulmaqdis.

Yusuf atau nama gelaran popularnya Salahuddin al-Ayyubi di dunia Islam dan Saladin di dunia Barat mahupun pada era Perang Salib Kedua, tidak terus mengambil alih kota Baitulmaqdis setelah menaiki puncak kepimpinan yang berkuasa mutlak menguasai Mesir, Aleppo, Jazirah Arab dan lain-lain. Baginda tidak terburu-buru menyiapkan angkatan perangnya menyerang pasukan Templar walaupun baginda mempunyai beribu barisan angkatan pasukan tentera elit Mamluk.

Baginda tidak terbawa dengan emosinya untuk membunuh para pemimpin Templar walaupun baginda tahu dia mampu menyapu habis pasukan musuh yang berpusat di kota Baitulmaqdis.

Peristiwa berdarah pembantaian rombongan jemaah haji yang didalangi oleh Reynald de Chattilon tidak menarik Salahuddin ke kancah pertempuran tanpa perancangan walaupun salah satu mangsa pembantaian itu ialah adik perempuannya sendiri.
Hasil carian imej untuk salahuddin al ayyubi
Salahuddin merangka strategi untuk mengalahkan pasukan Salib Templar secara mudah dengan menarik mereka keluar dari kota pertahanan Baitulmaqdis menuju ke Hattin. Salahuddin tahu, dengan menarik sejumlah besar pasukan utama dari kota Baitulmaqdis dan mengalahkan mereka sekaligus dapat memberikan kemudahan kepadanya untuk mengambil alih Baitulmaqdis tanpa tantangan yang besar. Pengiktirafan khalifah boneka dari Bani Abbasiyah ke atas Salahuddin sebagai pelindung umat Islam pada masa itu melicinkan lagi pengaruhnya untuk memohon beberapa pasukan bantuan dari negara-negara Islam yang bersekutu dengannya. Walaupun hanya bantuan yang sedikit diterimanya, tetapi Salahuddin tetap tidak berputus asa dalam merealisasikan cita-citanya meletakkan kota Baitulmaqdis di dalam tangan umat Islam kembali.

Jika Salahuddin terus menyerang pasukan Salib di Baitulmaqdis dan bukannya di Hattin, adakah Salahuddin mampu mengembalikan tanah suci ketiga ini ke tangan umat Islam kembali dan mempertahankan wilayah Mesir, Haramain serta lain-lain dari jarahan pasukan Templar pimpinan Reynald de Chattilon?
Hasil carian imej untuk andalusia
3. Pembebasan Andalusia.

Setelah mendapat perintah langsung dari khalifah Bani Umayyah, al-Walid Abdul Malik untuk membebaskan semenanjung Iberia atau Andalusia dari cengkaman penguasa zalim bangsa Visigoth, Raja Roderick, Musa bin Nushair tidak terburu-buru menghantar kesemua pasukan besarnya ke sana. Beliau mengambil pendekatan menyiasat dahulu sebelum menyerang kerana umat Islam Afrika pada masa itu belum mengenali keadaan geografi sebenar-benarnya muka bumi Andalusia dan kelengkapan penuh kekuatan tentera Visigoth.

Musa bin Nushair memilih strategi untuk menghantar pasukan perisik dahulu menteliti keadaan di sana sebelum menyerang dengan kekuatan penuh. Beliau menghantar pasukan tentera yang dibawah pimpinan jeneral pilihannya, Tariq bin Ziyad ke sana membawa 7000 orang menaiki kapal laut yang disediakan oleh penguasa non-Muslim, Julian dari Ceuta.

Tatkala tiba di sana, khabar kedatangan pasukan dari tanah Afrika sampai ke telinga Raja Roderick. Baginda terus menyiapkan angkatan pasukan besar seramai 10,000 orang bersenjata lengkap untuk menghalang kemaraan pasukan Tariq tiba ke pusat pemerintahannya, kota Toledo. Kedatangan pasukan Raja Roderick yang berlipat kali ganda mengendangkan paluan perang terhadap pasukan Islam, menyebabkan Tariq bin Ziyad mengambil strategi lain untuk menaikkan semangat tenteranya. Beliau mengeluarkan arahan membakar kapal-kapal pengangkut yang dinaiki oleh mereka di hadapan para tenteranya seraya berucap kata-kata motivasi yang penuh semangat berjuang. Strategi yang mempengaruhi psikologi para tenteranya berjaya dengan hasilnya kemenangan berpihak padanya dalam pertempuran Guadalete 711 M mengalahkan Raja Roderick serta menamatkan pemerintahannya buat selama-lamanya.

Bagaimana jika Musa bin Nushair mengambil langkah menghantar kesemua pasukan utamanya dan menyisakan sedikit pasukannya di Afrika? Pasti wilayahnya Ifriqiya dilanggar oleh pasukan pemberontak Barbar yang masih memusuhi Islam dan seterusnya menghilangkan pengaruh Islam di Afrika Barat dalam lipatan sejarah. Bagaimana jika Tariq bin Ziyad memimpin pasukan besar? Adakah akan berlakunya sesi motivasi membakar kapal dan semangat mati syahid tentera Islam?

Adakah akan wujudnya kerajaan Islam di Andalusia dalam catatan sejarah yang dapat membanggakan generasi pada masa sekarang?

Bagaimana kisah Kaisar Perancis Napoleon Bonaparte dalam meletakkan posisi tenteranya di Waterloo akibat dari kesilapan lukisan peta menyebabkan beliau kehilangan kesemua pasukan tentera utamanya ke atas pasukan bersekutu Duke of Wellington dan seterusnya memusnahkan cita-citanya untuk menjadi penguasa tunggal di Eropah?

Bagaimana kisah pasukan Islam Bani Umayyah pimpinan gabenor Andalusia merangkap jeneral utama, Abdulrahman al-Ghafiqi yang dikalahkan oleh Raja Charles Martel di dalam pertempuran Balat as-Syuhada akibat dari kesalahan strategi serangan yang dilakukan pada musim sejuk di Perancis dan ketamakkan tentera yang mengejar ghanimah ‘harta rampasan perang’ menyebabkan pengaruh Islam gagal ditegakkan di bumi Perancis?
Hasil carian imej untuk sultan beyazid
Bagaimana kisah kekalahan Sultan Beyazid I membebaskan kota Konstantinopel setelah menerima khabar yang pusat pemerintahannya yang kurang pertahanan bakal diserang oleh penguasa dari Samarkand, Timurlenk?

Bagaimana kisah Firaun Cleopatra yang mempunyai pasukan tentera yang besar tetapi gagal mentadbir kerajaannya sehingga menyebabkan bencana wabak penyakit berluasa seiring kelaparan teruk yang melanda menyebabkan empayar Rom mengambil peluang keemasan ini untuk menakluk kerajaan Mesir Kuno tersebut?

Banyak lagi kisah yang boleh kita pelajari dari masa lalu. Setiap catatan di dalam sejarah tidak pernah salah dalam erti memahami maknanya secara tersirat. Adakah peristiwa yang dahulu tidak mengajarkan kalian bahawasanya di setiap pembebasan, penaklukan, peperangan mahupun pengepungan memerlukan sebuah strategi yang tersusun tanpa sebarang kesilapan dalam mengaturkannya?

Penulisan ini bukannya mahu memperendahkan keupayaan ATM dan pihak lain, tetapi mahu menjelaskan serangan secara membuta tanpa rancangan hanyalah ibarat menyerahkan kedaulatan negara dengan sengaja.

Sembang cukup hebat dalam media sosial, tetapi tidak mengambil tahu apa kesannya yang akan berlaku. Baik atau buruk?

Pepatah Sun Tzu dalam bukunya, Art of War mengatakan:

“Victorious warriors win first and then go to war, while defeated warriors go to war first and then seek to win”.
Hasil carian imej untuk sun tzu

Wednesday, 19 July 2017

PENGASAS EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH

Osman Bin Ertugrul merupakan pengasas Empayar Turki Uthmaniyyah yang pertama. Empayar Turki Uthmaniyyah diasaskan pada tahun 1299 masihi dan berakhir pada tahun 1923 masihi apabila Mustafa Kemal Ataturk telah mengisytiharkan Republik Turki. Pada mulanya penguasa Empayar Turki Uthmaniyyah hanyalah menggunakan gelaran “bey” yang bermaksud Gabenor dalam bahasa Turki disebabkan wilayah Anatolia yang diperintah oleh Osman Bey masih dibawah kekuasaan Kesultanan Rum Seljuk yang diperintah oleh Sultan Alauddin Kaykubad.

Osman Bin Ertugrul berasal daripada suku Kayi yang merupakan salah satu cabang puak Turki Oghuz yang merupakan keturunan Qghuz Khan. Mereka juga berasal dari Asia Kecil. Suku Kayi datang ke wilayah Anatolia yang dipimpin oleh Suleyman Shah (datuk kepada Osman Bin Ertugrul). Tujuan kedatangan suku Kayi ke wilayah Anatolia adalah disebabkan serangan Mongol di Asia Kecil memaksa mereka terpaksa memohon perlindungan daripada Sultan Seljuk iaitu Sultan Alauddin Kaykubad. Walaubagaimanapun, kepimpinan suku Kayi diserahkan kepada Ertugrul Bin Suleyman Shah (bapa kepada Osman Bin Ertugrul) apabila Suleyman Shah meninggal dunia dalam perjalanan ke wilayah Anatolia.

Ertugrul Bin Suleyman Shah telah dianugerahi oleh Sultan Alauddin Kaykubad dengan sebuah wilayah Karaca Dag, sebuah pergunungan yang berhampiri dengan Angora (sekarang dikenali sebagai Ankara, ibu negara Republik Turki) atas jasa beliau berjaya membantu Kesultanan Rum Seljuk menghapuskan ancaman Empayar Byzantine. Ertugrul Bin Suleyman Shah juga dilantik sebagai Gabenor Seljuk di wilayah tersebut dengan harapan supaya Ertugrul Bin Suleyman Shah mempertahankan wilayah Anatolia daripada ancaman Empayar Byzantine. Ertugrul Bin Suleyman Shah juga berjaya menakluki Sogut dimana Sogut menjadi pusat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah yang pertama. Ertugrul Bin Suleyman Shah telah meninggal dunia pada tahun 1299 masihi dan kedudukan ketua puak Turki Kayi telah diganti oleh anak Ertugrul Bin Suleyman Shah iaitu Osman Bin Ertugrul (Osman Bey).
Osman Bin Ertugrul merupakan salah seorang ketua puak Turki yang paling berkarisma dan bersemangat untuk menentang Empayar Byzantine. Disebabkan karisma Osman Bin Ertugrul telah berjaya menarik ghazi – ghazi (Mujahiddin Islam) untuk menyertai beliau untuk menentang Empayar Byzantine. Karismatik Osman Bin Ertugrul bukan sahaja menarik minat dikalangan para ghazi, bahkan dikalangan kaum Greek yang beragama Kristian juga turut menyertai Osman Bin Erturgrul seperti Kose Mihal, yang dikatakan Putera Greek dari wilayah Harmankaya telah menyertai pasukan tentera Osman Bin Ertugrul dan bersama dengan Osman, beliau dan pengikutnya berjaya menakluki  Lefke, Meceke dan Akhisar.Osman Bin Ertugrul juga berjaya meniup semangat jihad dikalangan ghazi – ghazi Islam dan beliau akhirnya berjaya menakluki kota Yenisehir pada tahun 1299 masihi.

Osman Bin Ertugrul telah memindahkan pusat pemerintahan dari Sogut ke Yenisehir pada tahun 1299 masihi. Kejayaan Osman Bin Ertugrul telah menakluki kota Yenisehir telah menyebabkan Empayar Byzantine sukar untuk berhubung dengan kota Nicea dari kota Bursa yang merupakan tempat yang paling penting dan strategik untuk pertahanan Empayar Byzantine.
Osman Bin Ertugrul juga berjaya meluaskan kekuasaan di wilayah – wilayah di sekitar Anatolia seperti Bursa, Karatekin, Ebesuyu, Tuzpazarı, Kapucuk, Keresteci, Akcakoca dan Kocaeli. Beliau juga berjaya menewaskan tentera – tentera Byzantine berhampiran dengan Nicomedia yang merupakan pusat perdagangan yang paling strategik di mana kota tersebut melindungi perjalanan perdagang di laut yang menghubung ke kota Konstantinopel.

Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi oleh Osman Bin Ertugrul telah mengukuhkan kekuasaan beliau di wilayah Anatolia. Menurut lagenda, selepas kemenangan pertama Osman Bin Ertugrul menentang gabenor Byzantine, beliau telah bermimpi yang bulan yang terang muncul daripada dada Sheikh Edebali lalu bulan tersebut telah masuk ke dalam dada Osman Bin Ertugrul. Selepas itu, terdapat pusaran daripada pusat Osman Bin Ertugrul telah tumbuhnya pokok yang besar dan subur.

Disebalik dahan – dahan pokok tersebut, terdapat gunung – gunang yang telah mengalir air sungai yang jernih. Aliran sungai tersebut telah menjadi tempat minuman untuk orang yang dahaga. Osman Bin Ertugrul telah menceritakan kepada Sheikh Edebali (guru tarekat beliau) mengenai mimpi yang dialaminya.

Sheikh Edebali menafsir mimpi tersebut dengan mengatakan bahawa mimpi mengenai bulan bahawa Osman Bin Ertugrul akan berkahwin dengan anak perempuan Sheikh Edebali, Rabia Bala Hatun. Selanjut itu, Sheikh Edebali menafsirkan mimpi Osman Bin Ertugrul mengenai pokok dan aliran sungai yang jernih bahawa keturunan beliau akan menjadi pelindung kepada seluruh umat Islam kepada seluruh dunia dengan kata lain, Allah S.W.T telah mentakdirkan beliau dan keturunan beliau untuk menjadi Khalifah umat Islam di seluruh dunia.

Sheikh Edebali telah menasihatkan Osman Bin Ertugrul agar supaya berlaku adil dalam pemerintahan dan sentiasa berada di jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Selain itu, nasihat yang lain oleh Sheikh Edebali kepada Osman Bin Ertugrul yang berbunyi: Wahai Osman! Barangsiapa yang tidak mempelajari kesilapan masa lalu bahawa akan pasti kecundang di masa akan datang. Mempelajari kesilapan masa yang lalu supaya kamu akan sentiasa tabah dan teguh di masa hadapan. Jangan sesekali lupa akan asal – usulmu daripada kamu datang walau di mana jua kamu berada”.

Apabila Osman Bin Ertugrul berjaya menubuhkan kerajaan sendiri dan kekuasaan Turki Seljuk semakin merosot, beliau telah memperkenalkan dasar undang – undang berasaskan Islam dan bersumberkan undang – undang Turki Seljuk. Selain itu, beliau juga memperkenalkan cukai yang dikenakan ke atas barang dagangan di pasar dan bazaar yang dikenali sebagai “bac”. Selain itu, Osman Bin Ertugrul juga mengekalkan sistem Timar yang biasa digunakan pemerintah Turki Seljuk. Sistem Timar adalah sistem pembayaran upah kepada satu trup (unit) askar dalam bentuk penganugerahan pengutipan cukai daripada sebuah kawasan atas balasan untuk menjaga keamanan daripada ancaman musuh. Sebagai contoh, satu trup (unit) askar akan mengutip cukai timar daripada penduduk kampung tersebut dalam bentuk emas, perak, pedang, busur, baju kebal perang, kuda perang dan apa sahaja yang berguna untuk peperangan.

Bursa merupakan kota yang paling penting bagi Osman Bin Ertugrul kerana penaklukan kota Bursa akan memudahkan Osman Bin Ertugrul untuk menakluki kota Konstantinopel, pusat pemerintahan Empayar Byzantine. Bagi memudahkan beliau untuk menakluki Bursa, beliau telah menawan Sungai Sakarya dan Sungai Marmara pada tahun 1308 masihi. Walaubagaimanapun, kota Bursa masih menerima bantuan ketenteraan dari Empayar Byzantine dan pertahanan kubu kota Bursa amatlah kukuh dan sukar untuk ditembusi oleh bala tentera Osman Bin Ertugrul. Pada tahun 1321 masihi, beliau berjaya menawankan pelabuhan Mundaya dan ini telah menambah lagi lebih tekanan ke atas Bursa. Walaubagaimanapun, Osman Bin Ertugrul telah meninggal dunia pada tahun 1324 masihi dan usaha penaklukan telah diteruskan oleh pengganti beliau, Sultan Orhan. Kota Bursa akhirnya berhasil jatuh ke tangan bala tentera Turki Uthmaniyyah dan Sultan Orhan telah menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sebelum meninggal dunia, Osman Bin Ertugrul pernah berpesan kepada penggantinya agar sentiasa berhati – hati dalam urusan yang melibatkan agama Islam kerana kekuatan sesebuah kerajaan bergantung dengan kekuatan iman dan taqwa penguasa. Beliau juga berpesan agar sentiasa berlaku adil dengan rakyat dan jangan sesekali berlaku kezaliman dan menindas rakyat. Osman Bin Ertugrul juga menekankan betapa pentingnya hubungan dengan rakyat dan lindungilah agama Islam dengan sentiasa mengikuti jalan Rasulullah s.a.w.
Rujukan:

Heath W. Lowry (2003), The Nature of the Early Ottoman State, SUNY Press, 17 Mar 2003.

Ahmed Akgunduz, Said Ozturk (2011), Ottoman History – Misperceptions and Truths, IUR Press, 1 Jan 2011.

Langer, W., & Blake, R. (1932). The Rise of the Ottoman Turks and Its Historical Background. The American Historical Review, 37(3), 468-505. doi:10.2307/1837961

Osman, I. “Biography of Osman I.”

Thomas A. Emmert, Primary Sources: The Battle of Kosovo: Early Reports of Victory and Defeat from Kosovo: Legacy of a Medieval Battle, https://cmes.arizona.edu/sites/cmes.arizona.edu/files/Background%20-Battle%20of%20Kosovo%20poetry.pdf


Leslie P. Peirce (1993), The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire, Oxford University Press, 1993.

Muhsin Soyudogan (2012), Reassessing the Timar System: The Case Study of Vidin (1455-1693), Department of History, İhsan Doğramacı Bilkent University Ankara, June 2012.

Osman Nuri Topbaş (2009), SOME ADVICE FROM EDEBALI, From the unique advice of Sheikh Edebali to Othman Ghazi, October 2009, https://en.osmannuritopbas.com/some-advice-from-edebali.html

ISLAM AND THE OTTOMAN EMPIRE, Lost Islamic History Website, http://lostislamichistory.com/islam-and-the-ottoman-empire/

THE BIRTH OF THE OTTOMAN EMPIRE, Lost Islamic History Website, http://lostislamichistory.com/the-birth-of-the-ottoman-empire/