Showing posts with label Tokoh Dunia. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Dunia. Show all posts

Tuesday, 11 June 2019

QUEEN ELIZABETH I MATI KERANA KOSMETIK BERACUN?

Image may contain: 1 person
Kulit putih pucat umpama mayat adalah tanda kecantikan kelas atasan pada zaman puteri Elizabeth I. Kulit putih halus sehalus porcelin memang menjadi angan-angan serta ikutan bukan sahaja Queen negara itu sendiri malah rakyatnya juga pada abad ke-16. Lagi putih pucat lagilah dianggap menawan. Ianya adalah pilihan golongan bangsawan yang mementingkan kesempurnaan tahap maksima. Tetapi untuk mencapai tahap kesempurnaan kecantikan itu, Elizabeth sanggup mendedahkan kulitnya tu kepada bahan racun plumbum yang kebanyakkannya digunakan dalam kosmetik zaman tu yang perlahan-lahan akan meracun tubuhnya juga. Itu bukan satu-satunya kosmetik Elizabeth yang berbahaya yang pernah digunakan - dia juga menggosok bahan pewarna bibir yang mengandungi bahan bahaya merkuri juga sebagai make-up remover bagi menghilangkan solekan diwajah.
Image may contain: 1 person
Sebagai seorang pemimpin berkuasa serta berpengaruh, Ratu Elizabeth I seboleh²nya cuba mengekalkan kecantikannya tu lebih daripada orang lain sezamannya. Semasa menghadapi ancaman perebutan takhta dari Ratu Mary, Ratu Scots, Elizabeth sanggup berhabis harta bagi menjadikan dirinya sentiasa cantik dan muda.

Oleh kerana itu, ratu itu menggunakan lebih banyak bahan terlarang dalam kosmetik walaupun dah berusia. Dia akan memakai setebal tebalnya bedak tak kira 6 atau 10 inci sekalipun solekan sepanjang hari supaya sentiasa cantik dan berseri. Topik kali ni ingin menceritakan tentang betapa taksubnya Ratu Elizabeth zaman tu tentang kecantikan dan solekan dan tak kisah langsung tentang bahaya racun yang boleh membunuhnya secara perlahan-lahan.
Image may contain: 1 person, close-up
'Compact powder' beracun yang mengandungi campuran plumbum putih serta cuka.

Semasa zaman Elizabeth I, standard tertinggi seorang wanita untuk kecantikan adalah wajib mempunyai kulit yang putih melepak ala tepung gomak. Dan wanita berpengaruh seperti Elizabeth sangat takut menjadi cacat kulitnya jadi wanita itu sanggup menutup cela wajah dengan bedak plumbum putih yang dicampurkan dengan cuka. Ianya memberi efek putih berganda licin menghakis kulit mati sehalus kulit telor ayam kampung tu... Tetapi tahukah anda yang bahan² tersebut akan meracun dan menghakis kulit termasuklah efek panjangnya akan menyebabkan barah kulit serta keguguran rambut.
Image may contain: 1 person, smiling
Gincu aka lipstiknya mengandungi bahan merkuri.

Bukan saja pipinya putih itu menggunakan bahan beracun, malah bibirnya juga beracun. Ini kerana lipstik yang dipakainya tu mengandungi merkuri. Selain bahan² beracun seperti cinnabar, bahan kimia lain seperti mineral toksik yang mengandungi raksa, yang memberi efek merah kepada bibir nya juga dicampurkan sekali. Jika bahan tersebut hanya efek bibir saja takpe lah tetapi bahan kimia merkuri ini akan meresap dalam lapisan kulit paling dalam seterusnya akan menyebabkan penyakit² lain pula termasuk lah hilang ingatan, alergik, kerengsaan kulit, kemurungan, dan tekanan. Keadaan ini yang dilapor berlaku kepada Ratu Elizabeth disaat² dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Image may contain: 1 person, hat
White Ceruse atau Venetian ceruse jenama popular zaman tu..

White Ceruse, juga dikenali sebagai 'blanc de ceruse de Venise dan Spirits of Saturn' adalah kosmetik terkenal pada abad tu yang digunakan bagi pemutihan kulit. Jenama ini kiranya paling terbaik pada zaman tu. Elizabeth sendiri gunakannya seharian. Kosmetik pemutih ni boleh menyebabkan barah kulit jika penggunaannya pada jangka masa panjang. Kosmetik ni menjadi kegemaran Elizabeth sendiri yang gemar mencampurkanya dengan cuka. Ianya akan memberi efek putih umpama pasu porcelin. Elizabeth memakainya setiap hari tak kira berapa tebal incinya. Lagi bertambah usia lagi tebal ditepeknya.
Image may contain: 1 person, indoor
Buang kulit mati dengan memakai plumbum selama seminggu diikuti dengan merkuri.

Pada zaman ratu Elizabeth, manalah ada spa atau rawatan kulit facial untukbuang kulit mati, whitehead, black head jadinya mereka guna bahan beracun untuk menipiskan cela diwajah. Ratu Elizabeth akan memakai cream plumbum selama seminggu hingga menjadikan kulitnya pucat dan putih seperti mayat. Selepas tu dia akan menggunakan merkuri sebagai make-up removerMereka percaya merkuri boleh membuang kulit mati atau kusam yang penyebab kulit tak berseri.
Image may contain: 1 person
Chicken pox' penyakit cacar air merosakan kuitnya serta meninggalkan parut aka tompok² kekal..euww

Tiada siapa dalam dunia ni sempurna. Tetapi Ratu Elizabeth rasa dia setaraf dengan anak patung porcelin. Jadi kulitnya tu harus sentiasa sempurna tak boleh ada cacat cela sikit pun. Tetapi dia lupa semua orang akan kena chicken pox. Pada tarikh 10 Oktober tahun 1562, Elizabeth mengalami demam panas serta cacar air sewaktu berusia 20 tahun. Dalam masa seminggu, kulitnya berlubang kerana kesan cacar air yang meletup tu. Dia bukan risau penyakit tu tetapi risau kulitnya akan kekal cacat. Walaupun keluarga diraja dah kata perkara tu biasa dan rakyat lain pun kena jugak...relaks² je dah laaa kan..tapi Elizabeth tak puas hati... Sahabat rapat Elizabeth, Mary Sidney, juga pernah kena chicken pox malah dia rasa lekuk² parut tu nampak comel pulak. Sedangkan Elizabeth risau sampai tak boleh nak pikir apa pun. Sejak ada parut itu, dia sanggup bermakeup setebal²nya. Baginya parut itu adalah kecacatan paling hodoh di dunia!
Image may contain: 1 person
Semakin bertambah usia, Elizabeth bertambah bimbang kulitnya akan berkedut dan berjeragat!

Sebagai salah seorang pemerintah Queen monarki dalam sejarah England pada masa itu, Elizabeth tahu dia sentiasa menjadi perhatian rakyat. Setiap gerak geri nya, tutur kata sentiasa dilihat rakyat. Pada tahun 1586, ketika berusia 50-an, Elizabeth berpesan mengenai harapannya kepada pegawai² dan pemimpin lain dalam Parlimen yang berbunyi: 'Jika anda menjadi seorang pemimpin, identiti dan penampilan sangat penting. Anda akan menjadi perhatian dunia setiap inci pergerakan percakapan dan rupa anda akan menjadi bahan dan bicara orang tak kira masa atau dimana saja pun jadi sangat penting bagi kita menjaga penampilan supaya sentiasa kemas dan sempurna dimata rakyat!' Walaupun dia menegaskan tentang penampilan kepada pegawai² lelaki dan perempuan baginya sesiapa saja perlu berasa bimbang terhadap penampilan diri sendiri. Padahal dia yang bimbang tentang dirinya sendiri sebab terlalu obses.
Image may contain: 1 person
Masa remajanya dulu, dia tidak begitu bergantung kepada make-up

Semasa remaja, kulitnya sangat halus sehinggalah dia terkena cacar air lewat semasa berusia 20-an. Dia mula risau dan bimbang rakyat akan mengata tentang penampilannya nanti. Sejak dari itu setiap hari dia akan mengenakan bedak beracun bagi menutupi parut cacar air diwajahnya.
Image may contain: 1 person
Di England, Undang-Undang mengharamkan sesiapa pun bagi melukis atau mempotretkan wajah Ratu Elizabeth.

Semasa pemerintahan Elizabeth, England meluluskan undang-undang yang melarang melukis potret sebenar ratu tersebut. Ia dianggap menghina dan tidak bermoral. Sebaliknya, jika nak lukis sekalipun, perlu edit bagi muda dan lebih cantik daripada wajah asalnya. Oleh itu potret Elizabeth zaman tu mungkin kita rasa macam biasa² je padahal itulah yang paling cantik ala miss world. Pelukis perlu menggambarkan ratu mereka sangat muda dan tidak berkedut walaupun dah tua kerepot berusia 60-an. Pelukis diraja yang diupah selalunya paham kehendak ratu tu. Kesempurnaan wajah adalah segalanya...
Image may contain: one or more people
Pekerja istana pernah nampak wajah sebenarnya...

Pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya, Elizabeth berjuang terus untuk menutup tanda-tanda penuaan diwajahnya. Tetapi pada tahun 1599, Earl of Essex iaitu pegawai istana secara tak sengaja ternampak ratu tu tanpa solekan dan rambut palsu dengan berbaju tidur. Pegawai tadi betul² terkejut kerana melihat ratu itu botak tanpa rambut dengan wajah berkedut seribu. Tanpa solekan Elizabeth betul² kelihatan amat tua.
Image may contain: 1 person, indoor
Pada hari² terakhir kesihatannya makin terukpun, dia enggan bertemu doktor.

Pada bulan-bulan terakhir sebelum dia meninggal, Elizabeth enggan bertemu doktor. Dia percaya jika dia berehat, doktor akan terus suruh dia berehat dan dia akan nampak tua pucat kerana sakit. Elizabeth enggan berehat. Dia percaya jika dia berbaring, dia tidak akan bangun. Jadi Elizabeth sentiasa berdiri bertahan selama 15 jam terus menerus tanpa baring dan tidur. Dayang²nya sentiasa ada menjaga dia dari pengsan. Namun pada 24 Mac, 1603, Elizabeth jatuh sakit. Mungkinkah kesan racun yang digunakan dalam kosmetik sehariannya tu? Ya, mungkin juga kerana bahan² racun tu 'makan dalam' secara perlahan-lahan. Kemungkinan sakit kanser dan radang paru-paru yang dihadapinya tu adalah berpunca dari bahan racun plumbum dan merkuri dalam kosmetiknya.
No photo description available.
Dikatakan mayatnya 'meletup' dalam keranda kerana tindakbalas racun dan gas.

Selepas beberapa dekad menggunakan alat beracun plumbum dan merkuri, tubuh Elizabeth didapati bertoksin tinggi. Elizabeth Southwell, salah seorang dayang yang menjaga Ratu menyatakan dia pernah terdengar bunyi letupan kecil dari dalam keranda ratu itu dan tak berani nak tengok apa benda yang berlaku. Ianya mungkin disebabkan tindak balas wap gas dalam perut mayat ditambah dengan bahan beracun yang pernah dipakainya dulu. Namun ramai tak percaya cerita dayangnya tu dan menganggap dia mereka cerita.
Image may contain: 1 person
Cincin Coronationnya mungkin menyebabkan keracunan darah.

Selama 45 tahun Elizabeth memakai cincin tanda dia dinobatkan sebagai ratu negara itu. Dia tidak pernah menanggalkan cincin tu seumur hidupnya. Walaupun doktor dah suruh buka, namun dia terlalu sayang cincin tu. Mungkin cincin itu menjadi penyebab keracunan saluran darah apabila bertindak dengan bahan² beracun lain yang telah meresap dalam kulitnya, serta menyebabkan kematiannya.




Tuesday, 10 July 2018

MANSA MUSA - RAJA PALING KAYA DALAM SEJARAH

Image result for black panther
Dalam dunia fiksyen Marvel Universe, kita semya tahu T'Challa atau Black Panther bukan saja pemerintah Wakanda, sebuha negara fiksyen Afrika. tetapu baginda juga dikenali sebagai superhero paling kaya di dunia kerana sumber asli vibranium, meletakkannya setaraf dengan Tony Stark/Iron Man (Marvel) dan Bruce Wayne/Batman (DC). Tahukah anda ada satu versi sebenar Black Panther di luar sana iaitu Maharaja Musa I dari Empayar Mali atau Mansa Musa yang memerintah antara 1312 hingga 1332/1337 Masihi?

Mengikut adat masyarakat pada ketika itu, seorang maharaja perlu melantik seorang pemangku raja sekiranya baginda hendak menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengadakan pelbagai ekspedisi yang memerlukannya pergi untuk satu tempoh masa tertentu. Sekiranya sang raja tidak pulang dari urusannya, maka pemangku raha itu akan dipilih untuk menaiki takhta. Dalam kes Mansa Musa, maharaja sebelumnya Abubakari Keita II memulakan usaha mencari penghujung Lautan Atlantik. Sebelum baginda keluar meninggalkan empayarnya, Musa I dilantikan sebagai pemangku raja. Tetapi selepas beberapa tahun, tiada lagi kedengaran berita berkenaan Maharaja Abubakari Keita II. Sebelum menaiki takhta pada tahun 1312, Musa I mengirim 2,000 kapal untuk mencari maharaja berkenaan. Selepas semua kapal tidak kembali dari pencarian, ramai sebulat suara bersetuju mengangkat Musa I sebagai Maharaja Mali yang baharu.
Image result for mansa musa
Semasa Mansa Musa mengambil-alih pemerintahan, kebanyakan negara Eropah masih lagi bergelut dengan masalah penyakit, kebuluran dan perang saudara sesama monarki di benua berkenaan. Tatkala itu, Empayar Mali berkembang luas kerana mempunyai sumber asli yang banyak seperti emas dan garam. Pada era baginda, Empayar Mali mempunyai keluasan 2,000km persegi dan menguasai sebahagian besar wilayah Afrika seperti Mauritania, Mali, Senegal, Gambia, Chad dan Burkina Faso. Dan dengan pertambahan wilayah ini, begitu juga wujud pertambahan kedudukan ekonomi rakyatnya.

Bagaimanapun, kemakmuran empayar ini tidak diketahui seluruh dunia ketika itu termasuk dunia Islam. Jika ada pun, ia hanyalah khabar yang bersifat khabar angin dan tidak diketahui sejauh mana kekayaan yang dimiliki Empayar Mali. Walaupun dikenali sebagai pemerintah yang adil, Mansa Musa juga merupakan seorang yang warak. Maka pada tahun 1324 Masihi, baginda memulakan perjalanan menunaikan haji di Makkah. Bagaimanapun, Musa tidak mengembara keseorangan kerana baginda diiringi rombongan mengandungi puluhan ribu tentera, hamba dan bentara dengan memakai kain sutera Parsi dan membawa tongkat² emas. Walaupun rekod berkenaan tidak dicatatkan tetapi dipercayai konvoi yang mengiringi baginda bergerak bersama kuda² dan unta² yang membawa emas yang banyak.
Image result for mansa musa
Kehadiran rombongan ini menarik perhatian sesiapa saja yang melihat dan ada satu peristiwa yang akan memberi impak besar kepada Mesir lebih dari satu dekad. Semasa berada di Mesir, Mansa Musa disambut oleh orang bawahan Sultan Mamluk, An-Nasir Muhammad yang merupakan pemerintak kesembilan dari dinasti berkenaan. Dalam pertemuan itu, utusan itu menjemput baginda bertemu Sultan An-Nasir tetapi ditolak Mansa Musa atas alasan baginda hanya singgah sebentar dalam perjalanan ke Baitullah. Bagaimanapun, selepas dipujuk berulang-kali, baginda bersetuju mengadakan pertemuan dengan Sultan Mamluk berkenaan. Apabila dua pemerintah ini bertemu, ia bermula dengan tegang apabila Musa enggan mencium kaki Sultan An-Nasir tetapi kembali tenang apabila baginda memberi salam hormat kepada pemerintah Mesir itu. Usai pertemuan, Sultan An-Nasir menawarkan penginapan sementara kepada Musa dan rombongannya dengan Maharaja Mali itu meninggalkan impak tersendiri di bumi Mesir.

Semasa baginda di Mesir, kemurahan hari Mansa Musa dan pembelian barang² asing menyebabkan jalan-jalan di Kaherah dipenuhi dengan emas; iaitu satu sumber yang amat dihargai tetapi pada masa yang sama punyai bekalan yang terhad. Tetapi kemurahan hati baginda itu telah menyebabkan harga emas jatuh dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi Mesir selama 12 tahun. Kisah sama juga terjadi di tempat lain termasuk di Makkah dan Madinah. Untuk mengelakkan  harga emas daripada terus merosot, dalam perjalanan pulang ke Timbuktu, ibu negara Empayar Mali, Mansa Musa meminjam semua emas yang boleh dibawa dari semua peminjam wang di Mesir. Tindakan baginda bukan sahaja berjaya menstabilkan semula harga komoditi itu tetapi menempa satu lagi sejarah sebagai satu²nya individu yang dapat mengawal harga emas di Mediterranean secara langsung. Baginda tidak hanya meninggalkan emas dalam perjalanan pergi dan balik dari Baitullah. Mansa Musa turut mendirikan ratusan masjid, sesetengah daripadanya terus berfungsi sehingga ke hari ini di Dukurey, Bako dan Wanko.
Image result for the mosque of sankore
Gambar 1: Masjid Djinguereber berdasarkan lakaran Felix Dubois pada tahun 1896
Satu wilayah yang sentiasa menjadi tumpuan Mansa Musa ialah wilayah Gao. Wilayah ini yang kita kenali sebagai Mali hari ini menyaksikan Musa membina beberapa masjid sekembalinya baginda dari mengerjakan haji. Selain Gao, Timbuktu turut menjadi tumpuan di mana pelbagai infrastruktur seperti sekolah, universiti, masjid dan perpustakaan telah dibina.

Di sini juga terdirinya sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata lumpur iaitu Masjid Djinguereber. Masjid yang dibina 500 tahun lepas terus berfungsi sehingga ke hari ini dan menjadi sebahagian daripada empat madrasah yang membentuk Universiti Timbuktu. Salah satu daripada madrasah berkenaan iaitu Universiti Sankore atau Madrasah Sankore ditukar peranan sebagai universiti penuh semasa akhir pemerintahan Mansa Musa. Universiti berkenaan mempunyai koleksi buku terbesar di Afrika selepas Perpustakaan Agung Alexandria dengan mengandungi sejuta manuskrip dan mampu menempatkan 25,000 pelajar.
Image result for mansa musa abraham
Gambar 2: Imej Mansa Musa yang dilukis oleh Abraham Cresques dalam atlasnya
Kisah kekayaan dan pengaruh Mansa Musa terus tersebar walaupun selepas baginda mangkat antara 1332 atau 1337 Masihi. Pada akhir abad ke-14, ahli kartografi Sepanyol bernama Abraham Cresques melukis satu atlas sebagai panduan kepada jurupandu pada Zaman Pertengahan Eropah. Untuk menggambarkan kedudukan Timbuktu dan Empayar Mali, Cresques melukis imej Mansa Musa duduk di atas takhta sambil memegang cogan alam dan memakai mahkota diperbuat daripada emas. Pada tangan kanannya, baginda memegang seketul emas.

Kisah Mansa Musa ini dilihat menjadi inspirasi kepada kisah Black Panther dan berkenaan soal kekayaannya, ia sukar digambarkan. Bagi Profesor Madya Rudolph Ware dari Universiti Michigan, beliau berpandangan, "Bayangkan sebanyak emas yang kita boleh ambil dan miliki serta digandakan, itulah nilai sebenar kekayaan yang cuba digambarkan. Baginda merupakan orang paling kaya sesiapa yang pernah melihatnya." Sebagai penutup, lihat sendiri kedudukan kekayaan Mansa Musa selepas inflasi:-
Image result for mansa musa
1. Mansa Musa - USD400 bilion

2. Keluarga Rothschild - USD350 bilion

3. John D. Rockefeller - USD340 bilion

4. Muammar Gaddafi - USD200 bilion

5. Bill Gates - USD136 bilion

6. Carlos Slim - USD68 bilion

Tiada siapa yang kita kenali sebagai orang kaya yang menyaingi nilai sebenar harta yang dimiliki Mahara Mali itu.

RUJUKAN:

1. Morgan, Thad. (2018). History.com. This 14th-Century African Emperor Remains The Richest Person in History.

2. Sullivan, Kerry. (2016). Ancient-Origins. Mansa Musa: The Richest Man in History.




Monday, 5 February 2018

10 KONTROVERSI MEMBABITKAN WINSTON CHURCHILL

Baru-baru ini, salah seorang penulis The Patriots, Ayman Rashdan Wong berkongsi berkenaan filem The Darkest Hour yang menampilkan Gary Oldman (trilogi The Dark Knight, Thinker Tailor Soldier Spy) sebagai negarawan Britain, Sir Winston Churchill. Dalam pada ramai memuji lakonan beliau dalam filem tersebut, ada satu komen yang menarik perhatian saya. Seorang hamba Allah ini menyifatkan Churchill sama sekali tidak layak mendapat penghormatan kerana dia juga seorang penjenayah perang sama seperti Adolf Hitler. Nampak kontroversi tetapi tuduhan ini bukan satu-satunya kontroversi yang dihadapi oleh Perdana Menteri era Perang Dunia Kedua (WWII) ini.

1. PERKAUMAN

Jika anda nak mengata Churchill seorang rasis, baik anda sertakan dengan bukti. Jika tidak, nasib kena kecam. Buktinya, pada tahun 2014, seorang calon Parti Buruh bernama Benjamin Whittingham menulis dalam akaun Twiter bahawa Churchill seorang rasis dan pelampau kulit putih. Komen Whittingham dikecam ramai pihak termasuk cucu Churchill, Sir Nicholas Soames. Parti Buruh sendiri menjauhkan diri dari kontroversi tersebut dan menyatakan Whittingham sudah memohon maaf atas komennya yang tidak sensitif itu.

Tetapi apakah dakwaan ini benar? Mari kita lihat. Pada tahun 1937, beliau memberitahu Suruhanjaya Diraja Palestin, “Saya tidak mengakui bahawa kesalahan besar telah dilakukan pada orang asli Amerika atau orang kulit hitam dari Australia (Aborigines). Saya tidak mengakui kesalahan yang dilakukan terhadap mereka ini oleh sebuah bangsa yang lebih kuat, bertaraf tinggi dan lebih bijak telah datang dan mengambilalih kedudukan mereka.” Menurut John Charmley, penulis buku Churchill: The End of Glory menyifatkan Churchill percaya kepada hierarki bangsa dan kuasa orang kulit putih. Charmley menambah, “Churchill melihat dirinya dan Britain sebagai pemenang dalam hierarki sosial Darwin."

Namun menurut Richard Toye, penulis buku Churchill’s Empire menyatakan pandangan Churchill itu bukanlah sesuatu yang asing pada zamannya walaupun ramai menolak idea tersebut. Dan jika dibandingkan sikap Churchill dengan kegilaan Hitler berkenaan keagungan bangsa Aryan, Toye menambah, “Walaupun Churchill percaya bangsa kulit putih lebih hebat, itu tidak bermakna beliau percaya melayan orang bukan kulit putih tanpa perikemanusiaan itu sesuatu yang baik.”

2. GAS BERACUN

Satu kontroversi membabitkan Churchill ialah memo arahannya kepada tentera British untuk menggunakan senjata kimia terhadap orang Kurdis dan Afghanistan semasa berkhidmat sebagai Menteri Perang dan Udara. Dalam memonya, beliau menulis, “Saya tidak faham kejijikan ini membabitkan penggunaan gas. Saya menyokong penggunaan gas beracun terhadap puak-puak yang tidak bertamadun.” Memo yang ditulis pada tahun 1919 ini menjadi senjata kepada ramai pengkritik Churchill termasuk Noam Chomsky untuk menyerang keperibadian beliau.

Namun menurut Warren Dockter, seorang felo penyelidik dari Universiti Cambridge dan penulis buku Churchill and the Islamic World, memo tersebut sebenarnya disalahertikan. Dockter menyatakan gas yang dicadangkan untuk kempen di Mesopotamia ialah gas pemedih mata bukan gas mustad. Dalam memo tersebut, Churchill menyatakan sebab penggunaan gas dipilih ialah untuk mengurangkan bilangan kematian dalam kalangan tentera, menakutkan pihak musuh dan tidak memberi kesan sampingan kekal pada mana-mana pihak yang terkena.

Walau bagaimanapun, taktik serangan bom yang diperkenalkan oleh Tentera Udara Diraja Britain (RAF) ke atas puak-puak yang memberontak pada tahun 1920 masih lagi dianggap satu kontroversi yang berterusan sehingga ke hari ini. Malah strategi ini digunakan untuk kempen-kempen perang berikutnya dari Perang Dunia Kedua (WWII) hinggalah konflik di Afghanistan dan Iraq. Selain itu, menurut Dockter, Churchill juga sebenarnya tidak teragak-agak memilih gas mustad dalam menghadapi tentangan tentera Empayar Uthmaniyyah semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Walau bagaimanapun, Dockter mengingatkan kebanyakan negara yang terlibat turut menggunakan gas tersebut semasa WWI.

3. KEBULURAN DI BENGAL

Satu perkara yang menyebabkan Churchill dilabel sebagai penjenayah perang ialah isu kebuluran yang melanda wilayah Bengal, India. Peristiwa yang berlaku pada tahun 1943 ini mengakibatkan tiga juta warga India mati. Menurut penulis buku Churchill’s Secret Wars, Madhusree Mukerjee, sudahlah Churchill enggan memenuhi rayuan mereka untuk bekalan gandum tetapi masih mahu India mengeksport beras untuk membantu usaha perang. Dan reaksi pelik beliau bila mendengar insiden ini ialah, “Mengapa Gandhi masih belum mati?” Ini ditambah dengan sikapnya sekali pada musim panas dan musim luruh 1943. Churchill memberitahu Setiausaha Negeri India, Leopold Amery, “Mereka orang buas dengan agama yang buas.” Dalam satu mesyuarat bersama kabinet perangnya, beliau menganggap kebuluran yang melanda India berlaku kerana mereka membiak seperti arnab.

Dalam bukunya, Mukerjee turut menyebut bekalan gandum dihantar ke Ceylon (Sri Lanka) untuk memenuhi keperluan di sana walaupun krisis di sana tidaklah mendesak seperti apa yang berlaku di India. Kapal-kapal Australia yang membawa bekalan gandum berlayar melepasi bandar-bandar India di mana ramai mati bergelimpangan di jalanan ke depot-depot di Eropah dan Balkan. Amerika Syarikat dan Kanada cuba menawarkan bantuan makanan kepada India tetapi ditolak oleh London. Tambah memilukan, tindakan Britain tidak membenarkan India menggunakan simpanan wang atau kapal mereka untuk mengimport gandum menambah penderitaan rakyat di sana. Britain turut mengenakan harga mahal bagi gandum untuk memastikan bekalan sentiasa ada menyebabkan warga India yang tidak berkemampuan tidak dapat membelinya. Gabenor India pada tahun tersebut, Lord Wavell menyifatkan sikap kerajaan Churchill terhadap India sebagai memualkan, cuai dan kejam.

Toye dalam bukunya berpandangan Churchill melihat isu tersebut sebagai gangguan tatkala sibuk melawan ancaman rejim Nazi Jerman di Eropah. Bagi Charmley, imej beliau yang dikatakan berpandangan jauh itu dilihat satu mitos saja. Menurut beliau, jika benar Churchill mempunyai pandangan sedemikian, pasti beliau tidak akan mengulangi kesilapan sama apabila kebuluran melanda Ireland satu abad sebelumnya. Bagi penyokong Churchill pula, mereka menyatakan Churchill terlalu sibuk dengan situasi perang di mana kepentingan dan keutamaan berbeza-beza. Arthur Herman, penulis buku Churchill & Gandhi menyifatkan tanpa Churchill, situasi di India boleh saja bertukar jadi lebih buruk. Dan selepas mendapat tahu skala sebenar insiden tersebut, bantuan segera dihulurkan tanpa menggugat usaha perang Britain. Walau apapun alasan Churchill, bagi Toye, ia seharusnya tidak berlaku. Walaupun sumber empayar berkurangan semasa perang, ini bukanlah alasan untuk tidak menghantar bentuk bantuan pada mereka yang terjejas.

4. MAHATMA GANDHI

Pada tahun 1930-an, Churchill tidak menyembunyikan kebenciannya pada penggerak kemerdekaan India, Mahatma Gandhi. Pada tahun 1931, beliau menggelar Gandhi seorang penghasut yang menyamar sebagai seorang fakir untuk meraih kepercayaan rakyat. Dan pada satu mesyuarat bersama kabinetnya, Churchill berkata, “Gandhi tidak perlu dilepaskan hanya kerana dia berpuasa. Kita seharusnya hapuskan lelaki jahat dan musuh kepada Empayar akan berkurangan apabila dia mati.” Tidaklah mengejutkan mengapa Gandhi dibenci Churchill kerana beliau dianggap halangan utama dalam mengekalkan penguasaan Britain ke atas India seperti dinyatakan Setiausaha Luar, Boris Johnson dalam biografinya berkenaan Churchill.

Menurut Charmley, sikap Churchill ini tidak popular dalam kalangan anggota Konservatif kerana dianggap terlalu menjurus kepada pelampau berhaluan kanan. Sentimen ini turut dikongsi oleh parti-parti lawan seperti Buruh dan Liberal di mana pandangan sebegini tidak boleh diterima. Kerasnya penentangan Churchill terhadap Gandhi sehinggakan beliau tidak mahu India mencapai kemerdekaan hingga ke tahap memusuhi pemimpin partinya sendiri dan mempunyai pandangan buruk pada agama Hindu. Charmley menyifatkan pandangan sebegini timbul kerana mentaliti imperialis era Victoria yang menyifatkan kemerdekaan India bakal membawa kepada kejatuhan Empayar Britain dan penamat kepada peradaban manusia.

Atas sikap inilah, apabila Churchill memberi amaran tentang Adolf Hitler pada akhir 1930-an, ramai tidak mengambil endah nasihatnya. Dan semua berbuat demikian kerana bahasa yang digunakan Hitler pada ketika itu sama seperti yang digunakan terhadap Gandhi pada awal 1930-an.

5. ANTI-SEMITIK

Pada tahun 2012, ada cadangan untuk mewujudkan Pusat Churchill di Baitulmaqdis (Jerusalem) tetapi dibantah oleh beberapa pihak. Alasan mereka, Churchill seorang anti-Semitik walaupun idea tersebut ditolak penulis biografi beliau, Sir Martin Gilbert yang menyifatkan beliau memahami fahaman Zionis dan menyokong idea negara Israel.

Menurut Charmley, walaupun dakwaan beliau sebagai penyokong gerakan Zionis ada benarnya namun ia masih dianggap tidak sesuai dengan sikapnya yang anti-Yahudi. Bukti bagi dakwaan ini ialah sebuah artikel bertajuk ‘How The Jews Can Combat Persecution’ di mana ia dikatakan ditulis oleh Churcill. Tulisan tersebut menyifatkan orang Yahudi sengaja mengundang penindasan dan mereka juga dikatakan menyumbang sebahagian daripada punca kepada penindasan mereka. Tulisan tersebut turut menggelar orang Yahudi sebagai bangsa asing yang hanya setia kepada bangsa mereka sendiri. Ramai sejarawan Churchill mempertikai kesahihan artikel ini dan mendakwa artikel tersebut sebenarnya ditulis seorang wartawan bernama Adam Marshall Diston. Bagi Dockter, pendirian Churchill pada zaman tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi itu tidak menjadikannya anti-Semitik seperti yang didakwa.

6. PENDIRIAN TERHADAP ISLAM

Dalam bukunya The River War, Churchill menyifatkan orang Islam sebagai ganas, fanatik dan kurang empati dalam diri mereka. Dalam buku tersebut, beliau turut menyelar mereka sebagai orang yang mundur dari segi cara hidup tanpa mengira di mana mereka tinggal atau memerintah. Berikutan itu, sesetengah pengguna internet menggabungkan petikan ayat ini dengan imej Churchill untuk menunjukkannya sebagai seorang yang anti-Islam. Bagaimanapun, menurut Charmley, ini satu lagi norma biasa yang berlaku semasa era beliau. Ini disokong dengan catatan Dockter dengan menyatakan kecaman Churchill dalam The River War itu merujuk kepada golongan Mahdi di Sudan selepas tercetus perang antara golongan tersebut dengan empayar Britain.

Churchill sebenarnya tertarik dengan keindahan Islam sehinggakan pada satu ketika, keluarganya bimbang beliau akan memeluk Islam. Dalam satu surat bakal kakak iparnya, Lady Gwendoline kepada beliau, kakak iparnya merayu Churchill agar memperlahankan minatnya pada agama tersebut. Minat Churchill ini turut ditambah dengan pertemuannya dengan rakan baik merangkap penyokong perjuangan Islam, Wilfrid S. Blunt. Jika mereka berdua bertemu secara peribadi, Blunt akan menyambutnya dengan memakai pakaian tradisional Arab. Dan pada tahun-tahun awal kariernya sebagai ahli politik, beliau sentiasa bertelagah dengan pegawai-pegawai koloni yang keras kepala seperti Frederick Lugard, Pesuruhjaya Tinggi Nigeria Utara. Churchill mengecam sikap Lugard yang membenarkan taktik kekerasan digunakan ke atas orang Islam di kawasan tersebut.

Dan pada Oktober 1940, apabila Britain terpaksa berhadapan dengan rejim Nazi Jerman, beliau memberi peruntukan 100,000 paun sterling dan membenarkan pelan pembinaan sebuah masjid di London. Churchill berbuat demikian kerana percaya tindakannya itu akan mendapat sokongan dunia Islam pada saat Britain memerlukan sokongan mereka, satu tindakan yang mengundang kritikan orang ramai. Namun tindakannya itu membawa kepada pembinaan Masjid London Tengah (London Central Mosque) di Regent’s Park. Dan setahun selepas itu, beliau memberitahu Parlimen, “Kebanyakan rakan Muslim kita di sebelah Timur amat menghargai hadiah ini.” Dockter turut menyatakan pada masa lapangnya, Churchill pernah bercuti ke Istanbul, Turki dan bermain polo dengan rakan India Muslim di India.

7. ‘MOGOK? JANGAN MENGADA-ADA!’

Ada satu insiden yang menyebabkan Churchill dilabel sebagai anti-kesatuan pekerja. Insiden tersebut ialah Rusuhan Tonypandy yang berlaku pada November 1910. Rusuhan yang bermula dengan mogok ini tercetus berikutan pertelingkahan antara pekerja lombong dengan majikan mereka yang kemudiannya berlangsung selama hampir setahun. Polis berusaha menyuraikan mereka tetapi itu tidak berjaya, ini memaksa ketua konstabel Glanmorgan memohon bantuan tentera. Tetapi permohonan tersebut ditangguhkan oleh Churchill, sebaliknya beliau menghantar detasmen Polis Metropolitan dan polis berkuda ke Cardiff. Churchill turut menghantar mesej kepada perusuh bahawa beliau cuba menahan pihak tentera dari terlibat.

Walaupun Churchill sudah memberi jaminan tiada campur tangan dari pihak tentera, majistret-majistret di kawasan tersebut menghantar mesej telegraf kepada Pejabat Keselamatan Dalam Negeri untuk masuk campur. Berikutan itu, mereka menghantar Skuadron Hussar Ke-18 untuk menghentikan rusuhan di Porth, Lembah Rhondda pada 9 November. Di sinilah timbul dakwaan bahawa Churchill membenarkan pihak tentera menembak perusuh. Untuk menghentikan khabar angin tersebut, beliau menghantar satu memo kepada Alfred Gardiner, editor The Daily News dan menyatakan tuduhan tersebut satu fitnah. Namun, insiden tersebut menjadikan Churchill dianggap seorang penjenayah di kawasan tersebut sejak hari itu.

Dan tambah parah, setahun selepas insiden tersebut, satu lagi rusuhan berlaku di Liverpool. Kali ini, ia melibatkan polis dengan penunjuk perasaan yang mendesak mahukan kebajikan mereka di tempat kerja lebih baik dari sebelumnya. Berikutan situasi di Liverpool semakin buruk, Pejabat Keselamatan Dalam Negeri menghantar polis dari wilayah lain dan tentera dari Rejimen Warwickshire ke wilayah tersebut. Mereka turut menghantar bot penembak yang berlabuh di Sungai Mersey. Satu insiden pada 15 Ogos 1911 dikatakan menjadi bukti Churchill anti-kesatuan pekerja. Pada hari itu, konvoi pasukan keselamatan yang membawa 90 perusuh yang ditahan diserang semasa dalam perjalanan ke Penjara Walton. Konvoi yang dikawal oleh 32 anggota Skuadron Hussar Ke-18 ini terpaksa melepaskan tembakan mengakibatkan dua orang perusuh iaitu John Sutcliffe, 20 dan Michael Prendergast, 29 terbunuh.

Pada tahun 1919, semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Perang dan Udara, Churchill menghantar 10,000 tentera dan kereta kebal ke Glasgow semasa mogok dan kekacauan awam berlaku. Beliau bimbang rusuhan ini boleh membawa kepada pemberontakan kelompok Bolshevik. Apabila membandingkan insiden Tonypandy dengan bagaimana Margaret Thatcher mengendalikan situasi mogok, ia sebenarnya hampir serupa. Ramai juga yang berhujah sekiranya pihak tentera tidak dihantar ke situ, pasti situasi akan jadi lebih buruk dan Churchill akan dikritik lebih teruk lagi. Menurut Allen Packwood, pengarah Pusat Arkib Churchill berpandangan bagi orang yang anti-kesatuan pekerja, Churchill diberi peluang mengetuai dua kerajaan yang mengambil berat isu pekerja.

8. PENGEPUNGAN JALAN SIDNEY

Tak lama selepas Rusuhan Tonypandy, Churchill sekali lagi dikecam tetapi atas sebab yang berbeza. Insiden pengepungan Jalan Sidney yang berlaku pada Januari 1911 ialah satu insiden tembak-menembak antara pihak polis dengan kumpulan anarki Latvia diketuai Peter The Painter. Kumpulan tersebut bertanggungjawab membunuh tiga orang polis pada Disember 1910. Insiden ini berakhir dengan dua anggota tersebut selepas Churchill mengarahkan pihak bomba tidak memadamkan kebakaran pada bangunan yang dijadikan sebagai tempat persembunyian mereka sehinggalah insiden tersebut berakhir.

Apa yang menjadi kontroversi ialah tindakan Churchill yang muncul semasa insiden tersebut berlaku. Beliau dikatakan memberi arahan dan mencampuri operasi polis. Arthur Balfour, ketua blok pembangkang ketika itu memberitahu Parlimen, “Churchill dan jurugambarnya membahayakan nyawa mereka. Saya faham tugas jurugambar itu tetapi saya tidak faham apa yang dilakukan oleh individu terhormat ini?” Menurut Toye, tindakan beliau ini menonjolkan personalitinya sebagai tidak stabil dan terburu-buru. Bagi Charmley pula, Churchill tidak menunjukkan minat pada politik melainkan ia membabitkan pertumpahan darah dan publisiti lebih-lebih lagi melalui gambar.

9. IRELAND

Selepas mengambil alih peranan sebagai Setiausaha Perang dan Udara pada Januari 1919, Churchill diuji dengan Perang Kemerdekaan Ireland. Semasa tempoh ini, beliau dihambat dengan kontroversi kerana mengerahkan kumpulan konstabel sementara dipanggil ‘Black and Tans’. Kumpulan ini dikenali menerusi kekerasan mereka yang keterlaluan. Penulis buku Churchill: The Greatest Briton Unmasked, Nigel Knight mendakwa Churchill enggan mengundurkan Black and Tans dan turut menyokong penggunaan serangan udara di Ireland.

Namun bagi Toye, tidak aci untuk memanggil Churchill anti-Ireland. Walaupun beliau menentang usaha pemerintahan sendiri Ireland dan menggunakan pendekatan keras, beliau juga sebenarnya mendukung pada keamanan. Menurut Packwood, Churchill akan bertarung habis-habisan sekiranya berlaku pertempuran tetapi beliau juga tidak teragak-agak memperjuangkan keamanan sekiranya ada peluang. Buktinya, beliau menyokong usaha pemerintahan sendiri Ireland sejak tahun 1912 dan memainkan peranan penting untuk Perjanjian Anglo-Ireland yang dimeterai pada tahun 1921. Malah, Churchill juga turut mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh askar-askar Ireland semasa WWI dan WWII.

10. DUIT = PENGARUH

Dalam biografi rasmi Gilbert, dua syarikat minyak iaitu Royal Dutch Shell dan Burmah Anglo-Persian Oil Company (kini BP) meminta Churchill menjadi wakil mereka untuk memohon kebenaran pihak kerajaan agar penggabungan yang dicadangkan diluluskan. Sebagai pertukaran, Churchill akan dibayar 5,000 paun sterling. Kalau ikut standard politik hari ini terutama di Britain, bayaran yang dibuat pada tahun 1923 ini boleh dianggap melanggar undang-undang. Menurut sejarah British Petroleum, karier politik beliau pada ketika itu merosot jadi tidak menghairankan mengapa Churchill sedia menggunakan pengaruhnya di Parlimen sebagai tukaran dengan duit.

Menurut Toye, pemberian sebegini bukanlah sesuatu asing malah Churchill menerima banyak hadiah semasa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, Toye tidak pula melabel ia sebagai rasuah kerana Churchill beroperasi mengikut peraturan etika berbeza pada zamannya. Undang-undang berkenaan ini hanya diluluskan pada tahun 1975. Bagi Packwood, hubungan ahli politik dengan bisnes dan media tidaklah diteliti seperti apa yang berlaku hari ini.

RUJUKAN

1. Tharoor, Shashi. (2010). Time Magazine. Books: Churchill’s Shameful Role in the Bengal Famine. http://content.time.com/time/magazine/article/0,9171,2031992,00.html

2. BBC. (2011). Liverpool’s fatal 1911 riots remembered. http://www.bbc.com/news/uk-england-merseyside-14529243

3. BBC. (2014). Winston Churchill’s Tonypandy riots memo up for auction. http://www.bbc.com/news/uk-wales-south-east-wales-26601738

4. Pruszewicz, Marek. (2014). BBC. The 1920s British air bombing campaign in Iraq. http://www.bbc.com/news/magazine-29441383

5. Sawer, Patrick. (2014). The Telegraph. Sir Winston Churchill ‘s family feared he might convert to Islam. http://www.telegraph.co.uk/news/religion/11314580/Sir-Winston-Churchill-s-family-feared-he-might-convert-to-Islam.html

6. Heyden, Tom. (2015). BBC. The 10 greatest controversies of Winston Churchill’s career. http://www.bbc.com/news/magazine-29701767


Wednesday, 14 June 2017

MUTALIP NAMA SAYA

Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin boleh dikatakan sebagai antara figura dunia yang paling banyak diperkatakan. Meskipun beliau tidak memimpin bala tentera dan berperang seperti Stalin, Kar Marx, Hitler, Churcill mahupun Patton atau Arthur, malah banyak pula pihak yang mempertikaikan agama dan amalannya.

Namun lelaki yang dilahirkan dalam kalangan keluarga bekas Menteri Besar Kedah yang terkenal dengan pembinaan Terusan Wan Mat Saman selain hubung kait dengan keluarga Mahsuri, tetap terkenal di seluruh dunia walaupun beliau telah lama meninggalkan perkhidmatan dan pentadbiran awam.

Walaupun pemujanya meletakkan namanya begitu sayup tinggi mencecah awan, namun sepanjang pentadbirannya, Mahathir sama seperti manusia yang lain tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Namun kesilapan tersebut ditebusnya dengan banyak kaedah bagi menambahbaik keadaan dalam negara ini.

Daripada orang Melayu bertangga gaji puratanya RM180 sebulan, hanya dalam tempoh 1981-1984, tangga gaji RM450 sudah mula dikecapi. Dan pada penghujung pentadbirannya, kebanyakan orang Melayu sudah terlupa tentang menjala ikan, bersembang dengan rokok daun dan tembakau cap kerengga, berjalan kaki keluar ke pekan, malah kebanyakan orang Melayu yang dahulunya totok jumud, semakin terbuka dan berasakan pemimpin-pemimpin negara tidak lebih bijak daripada mereka sendiri.

Hasil dan dasar pentadbirannya jugalah yang membuatkan anak-anak muda Melayu mempunyai lebih banyak masa lapang untuk merungut dan melihat keburukan orang lain tanpa menilai pencapaian diri hasil daripada pelbagai peluang yang diwujudkan.

Hasil dan dasar pentadbirannya jugalah membuatkan kebanyakan anak muda Melayu yang tidak pernah hidup dalam kesusahan seperti ibu bapa dan datuk nenek mereka sebelum 1984, menganggap mereka sekarang tertekan dan dizalimi.

Katalah apa pun, yang pasti dunia mengiktirafnya. Walau seburuk manapun kesilapan yang pernah dilakukan sepanjang pentadbirannya, Malaysia tidak akan berada pada takah sekarang kalau beliau mendengar bantahan, rungutan atau momokan daripada Lim Kit Siang dan konco-konconya. Malah Malaysia tidak akan berdiri di atas kaki sendiri jikalau beliau terus lemah dengan penghinaan demi penghinaan yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew di seberang tambak sana dan tidak mewujudkan kemandirian seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, KLIA dan sebagainya selain giat membawa masuk pelabur dari luar untuk meningkatkan tangga gaji dan status sosial rakyat Malaysia.

Dan sekarang, rata-rata rakyat Malaysia tidak lagi bercakap tentang gaji RM300 atau berpusu-pusu ke seberang tambak untuk membeli limau oren atau laici dalam tin lagi.

Permusuhannya dengan Zionis ketara menerusi serangan demi serangan yang dilakukan oleh Zionis dan konco-konco mereka kepada Mahathir. Dan Mahathir tidak menggunakan kelancangannya semata-mata tetapi sebaliknya memberikan 'bantuan sewajarnya' sehinggakan Allahyarham Yasser Arafat, Allahyarham Alija Izetbegovic, Haris Silajdzic dan beberapa orang tokoh pemimpin dari negara Islam yang bergolak, datang ke negara ini untuk berterima kasih kepada Malaysia.

Palestin, Bosnia, Kosovo, Chechnya, Selatan Thailand, Selatan Filipina bahkan Afghanistan dan Farrah Aidid Ethiopia mempunyai thumb-print Mahathir.

Kebanyakan anggota-anggota PENGAMAN PBB dari Malaysia seringkali menceritakan perkara berkenaan, terutama sekali selepas kargo yang dibawa menggunakan sebuah kapal yang didaftarkan di Greece, dijarah oleh tentera Israel beberapa tahun dahulu kerana disyaki membawa bantuan senjata dan peluru untuk Gaza dan Tebing Barat.

Tetapi Tun Dr Mahathir, tidak pernah mendabik dada tentang hal tersebut biarpun beliau terus diberikan pelbagai cop dan status.

Ramai juga yang masih ingat kisah beliau berjalan kaki dari Seri Perdana lama ke Parlimen yang kemubeliaun cuba ditiru oleh Ahli-Ahli Parlimen yang bersikap mengampu dan membodek. Ramai juga yang masih ingat bagaimana beliau menutup mulut Lim Kit Siang dengan membawa Lim Kit Siang menyaksikan pelancaran Satelit pertama Malaysia.

Ramai yang masih ingat, beliau berjalan kaki seorang diri atau ditemani oleh pengawal yang tidak kelihatan di jalan raya sekitar Kuala Lumpur. Dan ramai juga yang masih ingat tentang 'kegemarannya' meninjau projek-projek besar seperti PLUS, LRT Putra dan STAR, kenaikan harga dan barangan di pasaran secara peribadi tanpa banyak publisiti.

Kita tidak menyamakan Mahathir dengan Umar Abdul Aziz. Taraf kedua-duanya jauh berbeza. Tetapi sebaik-baik pemerintahan Umar Abdul Aziz, kebaikannya yang berganda-ganda itu akhirnya dibalas dengan pembunuhan khalifah Bani Umaiyyah itu.

Walau apa pun yang pernah dilakukan oleh Mahathir sama ada disukai atau tidak disukai oleh rakyat negara ini, sememangnya BELIAU adalah seorang NEGARAWAN.

Sekian,

Mutalip Nama Saya
Image may contain: 1 person, smiling, glasses and close-up