Showing posts with label Aku Budak Minang. Show all posts
Showing posts with label Aku Budak Minang. Show all posts

Tuesday, 5 December 2023

PeRJaLaNaN ObESiTi AkU

Saje lah nak menyembang... aku ni mmg sejak dulu bermasalah dengan berat badan. Zaman sekolah...kurus kering macam cicak kubing - dlm 59kg sahaja. Jap ... nak cari gambar...kalau jumpe...

OK, jumpa pun... gambar ni bkn sekadar hiasan... elok possing ala majaLah Mangga, tertib lendit cuma bkn tepi koLam renang... dengan jam marhaen warna PINK ea...mampooo..?? Pada masa ketika ini seperti diperaku oleh PBB ...berat aku hanya 59kg...

Masa pun berlalu...dari habis sekolah, menganggur dan tanam anggur, kerja, interview, kerja balik, menganggur semula...macam tu lah ... so dijadikan cerita...alkisahnya

Masa ni masih cicak kubing - berat dalam lingkungan yang sama - tahun bila ni ea... 2000 kot...hahaha



Tiga pic di atas ni tahun 2010, berat aku dah mula naik sehingga 81kg - sangat struggled masa tu nk turunkan berat badan - sampai consumed pil bawah ni...
Ketika ni berat dari 81kg mendadak turun ke 74kg dalam masa 14 hari...kagum tak..? Duromine punya penangan...end up aku collapsed kat kedai makan masa nk tapau makan...
Padan muka...nak kurus sangat kan...tersembam muka aku kt lantai kedai tu... Apa perasaan?? Yg aku ingat time tu, kebetulan aku baru nak kebah demam...terasa lapar, turunlah ke kedai beli nasi kunun...baru cakap nk itu ini...aku terasa macam sesak nafas, tiber aku rasa gelap dan ....kebabommmm ke lantai... sedar² orang kedai tengah gerak²kan aku...ujung² guard tempat tinggal aku papah naik ke rumah. Oh ye, kejadian sekitar tahun 2009 - 2010 kot...

Gigih sangat... aku berhenti amik pil tu...risau gak kan...nak kurus sangat tiber jadi tengkorak (mati) plak...moga diberi peluang...aminnn

Masa terus berjalan...dalam waktu sama aku masih GIGIH nk kuruskan badan...daftar dengan...
tapi tetap menghasilkan keputusan yang haram...buat habis duit walau seronok cuci mata...tapi bau dalam tu memang hanat la... muka helok camne pun tetap nk termuntah... teruskan usaha...daftar pulak dengan...
beribu juga habis...aku dah x hingat berapa berat badan aku masa ni...yg aku hingat...aku maki consultant tu...dia tegur (marah) aku sebab x jaga makan seperti yang disarankan oleh pihak mereka...pendek kata depa suruh aku diet... tu aku jawab balik "kalau you nak suruh I diet, jaga makan bagai...I boleh buat sendiri dan tak perlu datang sini...habiskan beribu tapi ujung² suruh diet, buang masa buang duit"...tahu tak, nak enrolled tu pn aku kena buat loan sikit tau...betapa KimK nya...

Pendek cerita sehinggalah tahun 2020 hingga 2023...masa tu dah hareyyy dah berat badan aku... sampai mencecah 106kg ye... nak tengok kompilasi betapa SLIM nya aku dengan berat sebegitu walau dengan ketinggian 170cm...

MAKAnya... tahun 2023 menyaksikan aku dengan segala keterujaan ... telah mengambil beberapa langkah drastik, plastik dan sarcastic... Aku telah mempahlawankan diri dengan melakukan beberapa rawatan. Kerap dah p hospital dan klinik bagai, saranan depa aku kena turunkan berat badan. Jeng jeng jeng...

1. 
aku buat rawatan ini...dengan salah seorang Doktor terbaik di HCTM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz) atau lebih dikenali dengan nama HUKM... tapi dalam gambar ni adalah Elipsed Balloon...kos RM16,000.00 untuk 4 bulan. Sampai due 4 bulan, balloon akan pecah sendiri dan keluar melalui pintu belakang...eh..aku tak buat yang ini... aku buat yang ini...
namanya Spatz Balloon - untuk setahun dan kos menelan belanja RM11,800.00. Apa beza Elipsed Balloon (EB) dengan Spatz Balloon (SB)? EB ni mahal, cara masuk dalam perut adalah dengan menelan sndiri sambil Doktor perati...pastu genap 4 bulan ia akan automatically pecah dan keluar...done! SB plak lebih murah, cara masuk dalam perut kena buat endoscopic..begitu juga waktu nak keluarkan nanti...makna kata aku ditidurkan, then team Doktor buat lah kerja dia macam ni...
jadi aku ada pengalaman ditidurkan untuk buat treatment ni...memang tak sedar pape pun wak...cuma bila sedar, aku bloated dan muntah...serik pulak rasanya... nak tengok...the real one..? ini dia...
inilah aku...so kronologinya...

25 Februari 2023 - berat aku 106kg
27 Mac 2023 - 104kg (aku p HCTM untuk pemeriksaan Pre-Opr)
05 April 2023 - Surgery Day (berat aku time ni 100.4kg)
08 Mei 2023 - 92.8kg
19 Mei 2023 - 90.3kg

Daripada tarikh surgery itulah, aku tidak lagi menjamah nasi...yang aku ambil sekadar lauk pauk dengan portion yang agak sedikit...sehinggalah ke satu tarikh ini...

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Doktor HCTM pada aku, rawatan gastric balloon ni hanya akan membantu menurunkan berat badan sekitar 05% - 10%. So...overall, berat aku dari 106kg tadi...turun sehingga 90kg++ dan tak akan turun lagi... redho lah ye... 

Masa pun berlalu... berat aku turun naik ...sekitar 90kg - 93kg...itulah mainannya... walau aku tak amik nasi, tapi makanan lain aku sapu semua..."maggi goreng ayam" Ali Maju kt pejabat aku menjadi keutamaan...hahaha...

KaLian tahu, apa target aku seterusnya...? Sebenarnya aku nak sangat buat 'bariatric surgery' (BS)...memang nak sangat...bukan semata nak kurus - tapi sebab kesihatan juga... plus ...(yg ni aku sedih sikit)...kalau solat aku tak boleh nak tahiyat akhir dengan betul, kena menyandar kat kaki katil...harap solat aku diterima... 

Target nak BS ni mmg dah lama, tapi harganya ya Allah... RM36,000.00 tau... aku tanya kt HCTM pun harga macam tu, kalau nak guna GL boleh...tapi que panjang, waktu menunggu dalam 2 tahun macam tu... tanyalah kat mana² pun, begitulah range harganya. Sampaikan aku menelaah belanja buat BS kt Turki - wowww... belanja RM12,000 - kira termasuk penginapan dan flight, tambah dalam 5k lagi... wah...aku sangat teruja... tapi kan...setelah beberapa kali deal dan berurusan dengan pihak di Turki, aku tak lepas nak buat BS...sebab BMI aku tak tinggi kata depa...tiada keperluan buat BS, alahai sedihnya aku...hurmmm

Aku kembali mencari peluang dan ruang serta wang...hahaha...aku bertanya dengan Dr G di Penang...harganya lebih kurang sama...dengar cerita kawan juga..harga dalam lingkungan itu...sehinggalah aku bertanya dengan Dr. Mustafa Mohammed Taher di Cengild G.I Medical Centre, Bangsar South melalui PA beliau Puan Rafeah. So, harga pakej yang diberi untuk BS ialah RM30,000.00... dan...aku nekad... Aku pun ikhtiar ...overlap loan yang ada...alhamdulillah LULUS, so aku dapat CASH dalam 30k++... Eh...Dr. Mustafa ni sangat popular tau, sangat²...terutama dalam kalangan artis...ini dia...
handsome kan Dr. Mustafa ni...begitu juga dengan kepakaran beliau... sangat humble, menyenangkan, boleh buat kita selesa bersembang dengan beliau...suka tersenyum...itulah orangnya...

So, pada tarikh 18 November 2023 aku telah hadir ke Cengild G.I Medical Centre untuk buat pre-opr dan masa ni berat aku 92.45kg... so selesai, tiada masalah dalaman atau penyakit kronik, aku diberi tarikh utk surgery pada 27 November 2023. Berdebar kau...sangat berdebar...tak tentu arah masa tu, gelisah sangat...ye lah kan...nak dibedah...walau sekdar tebuk sahaja... Tiba² aku dapat call daripada pihak Cengild G.I Medical Centre, mengatakan tarikh surgery aku diawalkan ke 23 November 2023 sebab ada slot kosong ... mak aihhhh... 
(Gambar Hiasan)
Aku nekad, aku  nekad...tanpa memaklumkan kepada keluarga dan pengurusan di pejabat (hanya bestie je yg tahu) ... aku pun warded pada 23 Nov 2023 tu pukul 6.40 pagi...sempat berkenalan dengan someone, iaitu Hassan (140kg - Shah Alam) yang baru selesai surgery pada 22 Nov 2023...
sampai ke ari ni aku masih berhubung dengan Hassan untuk bertanya khabar... Nevertheless... 23 Nov 2023, kul 6.40 pagi aku dah warded...menjelang pukul 11.00 pagi aku telah dibawa ke bilik operation...dalam kul 12.00 tengah ari aku dibiuss....sehinggalah aku sedar semula pukul 8.00 malam...waktu sedar tu...Allahuakbar...sakit dan peritnya...keluar air mata aku tahan sakit... memang mamai siuttt...dengan reflux dan muntah bagai...allahuakbar...ini procedure yang aku jalani...

(BUKAN GAMBAR HIASAN)

24 November 2023, dalam tengah hari, aku discharged...dan balik rumah naik grab... keluarga tanya...pengurusan opis tanya, aku jawab aku buat "gallbladder removal surgery" - dan MC sehingga 28 November 2023. Actually pihak hosp bagi MC sehingga 06 Disember 2023 tapi aku refused sebab mcm lama sangat. Aku tak mahu sesiapa pun tahu yang aku buat rawatan BS ni...sebab yang dengki dan yang suka menganjing tu ramai...so baik aku diamkan aje kan...

25 Februari 2023 - 106kg
27 Mac 2023 - 104kg (aku p HCTM untuk pemeriksaan Pre-Opr)
05 April 2023 - 100.4kg (Surgery Day)
08 Mei 2023 - 92.8kg
19 Mei 2023 - 90.3kg
18 November 2023 - 92.45
23 November 2023 - 90kg
30 November 2023 - 85kg
next....

Aku mohon, doakan kesihatan aku ye...aku bersyukur sebab dah jalani BS dengan selamat walau pada awalnya perasaan tu bercampo baur - khuatir masuk bilik bedah OK keluar plak sebagai jenazah... Alhamdulillah...Allah beri kesempatan ini, terima kasih Allah, syukur Alhamdulillah...

NOTA: seminggu sebelum opr dan 2 minggu selepas opr, kami patient diminta untuk menjalani proses liquid diet...

Sekian kisah aku...

TERKINI (SANGAT)
















Wednesday, 8 May 2019

MANTAI - NOSTALGIA YANG TIDAK AKAN PUDAR

KISAH I

TRADISI HARI MANTAI DI NEGERI SEMBILAN MALAYSIA.

"Kekalkan Tradisi Hari Mantai"

-Tak Lekang Ddek Panas, Tak Lapuk Dek Hujan-

Itu yang dapat digambarkan mengenai Hari Mantai yang begitu sinonim dengan adat dan budaya masyarakat "Minangkabau" di Negeri Sembilan. Walaupun ia masih dipraktikkan sempena menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, mahupun Aidiladha, namun hanya sebilangan sahaja yang masih mengamalkannya.

Hari Mantai kebiasaannya disambut oleh penduduk di beberapa daerah di negeri ini termasuk Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol dan Tampin. Bagi orang ramai yang bukan berasal dari negeri itu, pastinya mereka tertanya-tanya apakah itu Hari Mantai. Ini kerana perkataan itu jarang sekali didengari, apatah lagi diketahui oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.
Image may contain: fire
SUMBER: Minangkabau Negeri 9 Malaysia
Mantai dalam dialek masyarakat Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. Ia tentang hari atau malam menyediakan daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan ataupun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Kemeriahan majlis itu tidak hanya membabitkan acara bergotong-royong melapah daging tetapi melibatkan pelbagai aktiviti lain seperti membakar lemang, menyediakan rendang dan sebagainya.

Hari Mantai tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti Ramadan semata-mata.Ini kerana, ia merupakan salah satu daripada identiti budaya dan adat masyarakat di negeri itu.''Hari Mantai adalah sesuatu yang unik tentang masyarakat di negeri ini yang mana ia tidak terdapat di luar sempadan Negeri Sembilan. Sebab itulah, ramai orang di luar sana tidak mengetahui tentang Hari Mantai,"

Hari Mantai dianggap satu perkara yang mesti dilakukan oleh masyarakat Minangkabau Negeri Sembilan bagi menyambut ketibaan Ramadan. Sama ada di desa ataupun di kota, kemeriahan Hari Mantai dapat dirasai khususnya anak-anak di perantauan yang pulang menyambut Ramadan bersama keluarga.
Image may contain: food
SUMBER: Minangkabau Negeri 9 Malaysia
''Ia merupakan satu keunikan yang perlu dipertahankan sampai bila-bila kerana ia bukan sahaja mempertahankan budaya semata-mata, malah ia juga satu medium terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan,"

Perincian Admin:

Menurut orang tua-tua di kampung admin, aktiviti atau adat memantai ini bermula dari kegemaran orang negeri sembilan yang suka sangat makan daging lembu atau kerbau. Daging-daging ni kalau dibuat rendang mesti enak. Lagipun Rendang dahulu boleh simpan lama kadang-kadang sampai sebulan. Boleh la buat buka puasa.
Image may contain: food
SUMBER: Minangkabau Negeri 9 Malaysia
Amalan mantai ni sebenarnya salah satu cara untuk dapatkan bekalan daging mentah( dulu di kedai tak ada freezer) Daging dan kebau ini binatang yang besar. dan kalo disembelih untuk makan anak beranak saja. Terlebih-lebihla dan membazir. Jadi mereka berpakat-pakat la satu kampung berkongsi untuk membeli lembu atau kerbau untuk disembelih. Dan dibahagi la kepada semua. dan Merasa la semua makan daging pada bulan puasa atau pada hari raya.


KISAH II

Jika pasangan anda merupakan anak jati Negeri Sembilan dan tiba-tiba menyuarakan permintaan untuk pulang ke kampung sehari sebelum Ramadan, cubalah penuhi permintaan itu. Ia bukan permintaan biasa-biasa. Pasangan anda sedang mengingati sesuatu yang istimewa pada zaman kecilnya. Dia rindu dengan jeritan - mantai... mantai.

Ini cerita "kami" tentang Mantai.

"Mantai" pada orang Negeri Sembilan merupakan adat yang cukup istimewa. Ia berlaku sehari sebelum Ramadan. Pada kebiasaannya, semua seisi keluarga kami akan berkumpul dan melaksanakan aktiviti bersama dalam persediaan menyambut Ramadan keesokkan hari.
Image result for kemeriahan mantai di negeri sembilan
SUMBER: MY MINTROOM
Biasanya pada hari Mantai, awal pagi lagi sudah kecoh seisi rumah kami. Daging atau tulang lembu harus didapatkan segera. Kalau dapat temusu, perut atau ekor lembu bagus juga. Jangan terperanjat jika ada keluarga yang menyembelih lembu awal pagi seolah-olah esok hari raya. Ada juga keluarga kami yang memilih untuk menyembelih beberapa ekor ayam kampung.

Ibu akan jadi ketua untuk menentukan masakan. Habislah kelapa dipanjat untuk didapatkan santan. Pokok cili kami akan togel hari tersebut. Maklumlah, jika tiada cili apalah makna masakan kami.

Jika rezeki baik adalah nangka muda yang boleh dibuat gulai atau belimbing buluh jadi pilihan. Jika tidak umbut kelapa kami gunakan. Mungkin juga rebung atau jantung pisang.
Image result for kemeriahan mantai di negeri sembilan
SUMBER: UTUSAN ONLINE
Daun-daun kayu kami kumpul. Kami dapatkan pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu serta petai. Ibu kami masak semua daun-daun itu bersama tempoyak dan magiknya ia jadi sambal tempoyak daun kayu yang sangat kami sukai.

Mantai di sisi adat kami memang begitu. Kami menyediakan makanan yang istimewa. Lemang harus dibakar, dodol mesti dikacau. Jika musim durian tiba, dodol durianlah kami tahun itu. Rendang ayam atau daging pasti tidak dilupa. Nasi seperiuk godang harus ditanak.

Anak-anak kecil akan ditugas membersihkan rumah. Dari ruang tamu hingga ke halaman. Malah ada yang sudah menyediakan pelita keliling rumah. Ia bagai pesta menyambut Ramadan.
Image result for kanak kanak ziarah kubur
SUMBER: ISLAM DETIK INI
Tidak dilupakan pada yang telah pergi. Kami akan ke kubur. Sedekahkan Al-Fatihah pada ahli keluarga yang pergi lebih dahulu. Dalam masa itu juga kubur akan kami bersihkan sebaiknya. Buat persediaan raya nanti bila saudara mara yang jauh datang bertandang. Dapatlah mereka lihat bahawa kubur ahli keluarga bersih dan terjaga. Pada kami, jika kubur bersih, tanda ingatan kasih sayang kami pada yang pergi tetap sama dan tidak berubah.
Image result for kemeriahan hari raya aidilfitri
SUMBER; zanitaazwin83.wordpress.com
Hari ini juga kami sempatlah bertemu kawan-kawan yang lama sudah tidak ketemu. Ada masa terluang, sempat kami bersama ronda satu kampung menaiki motor lama ayah. Kami ke sekolah lama, atau mungkin ke sungai tempat mandi manda dulu atau mungkin ke lokasi rahsia kami kecil kecil dahulu. Bagi yang sedikit nakal, buluh kami cari. Tak lama selepas itu, berdentumlah meriam buluh kabait kami.

Kemuncaknya Mantai pastilah makan bersama. Makan bersila dalam bulatan besar sangat menyelerakan. Berpeluh peluh dek tiada kipas waktu itu ditambah masakan ibu yang pastinya pedas.

Malam bersedialah kami untuk ke Masjid untuk Terawih yang pertama. Makanan yang dimasak dari awal pagi akan dibawa bersama. Ia jadi hidangan bersama seisi kariah nanti.
Image result for kanak kanak tarawih
SUMBER: UTUSAN ONLINE
Dapatlah berkongsi rasa dan cerita sepanjang malam. Yang pandai mengaji, berlagulah masjid kami dengan bacaan Al Quran mengisi malam Ramadan yang syahdu. Kadang kala bacaan Al Quran berlagu bersama dentuman perang meriam buluh yang tidak selesai.

Sahur esoknya, makanan tadi juga akan dihidang. Hanya mungkin ada tambahan. "Mano datang pulak rondang itik podeh ni?". Ia biasa pada kami kerana hidangan jiran juga akan sampai ke dapur kami.

Itulah Mantai pada kami. Benar bahawa Mantai zaman ini sudah tidak sama lagi. Tapi kami harus juga balik mengadap rumah usang itu. Mengadap kubur yang sunyi itu. Mengadap wajah ibu dan ayah yang makin di mamah usia itu.
Image result for kanak kanak mengaji
SUMBER: SURAU AL-IKHWAN
Kami masih mahu mengadap tok guru mengaji Al Quran atau jiran tua yang kami anggap saudara. Malah kami sangat senang mengadap pokok durian, rambutan atau mangga sambil tersenyum. Pasti ada kenangan zaman kecil yang istimewa.

Kami masih mahu pulang di hari Mantai walaupun ia sudah tidak semeriah dulu.

Mungkin yang kami cintai sudah tiada lagi atau mungkin seisi keluarga tidak lagi dapat berkumpul bagai zaman kecil kami.
Image result for kanak kanak kampung bermain
SUMBER: OH BULAN
Tetapi kami tetap mahu pulang ke kampung walaupun Mantai itu tidak sama lagi. Kerana apa? Kerana kami mahu mengenang zaman kecil yang nostalgik itu. Ia mungkin tidak ada apa apa makna pada orang lain. Pada kami - anak jati Negeri Sembilan - 'Mantai' itu terlalu istimewa.

Syirfan Indra
Anak Jati Negeri Sembilan yang merindui "Mantai"nya.

SUMBER: Syirfan Indra


KISAH III

N.SEMBILAN : MANTAI, MOGANG

“Mantai, Mogang”. Mantai dan Mogang ialah dua ungkapan orang Negeri Sembilan yang berbeza maksud tetapi nuansa perbezaannya sangat kecil.
Image result for mantai di negeri sembilan
SUMBER: INTERNET
Mantai dalam maksud asal bererti kerja-kerja menyembelih kerbau secara gotong royong dan daging ( termasuk juga lain-lain komponen seperti hati, limpa dan paru) sembelihan dibahagi sama rata di kalangan penduduk. Pembahagian daging dibuat secara longgokan berdasarkan jumlah peserta mantai ( semua penduduk kampung ) tanpa menggunakan alat penimbang tetapi berdasarkan anggaran oleh seorang yang mahir. Kos membeli lembu ditanggung secara bersama oleh peserta mantai.   

Mogang bermakna satu hari sebelum 1 (satu) Ramadhan. Uniknya, di samping membuat lemang ketika menyambut 1 (satu) Syawal, penduduk Negeri Sembilan juga membuat lemang ketika hendak memulakan ibadah puasa, yaani pada hari ‘Mogang’. Pada hari ‘moganglah’ diadakan kerja-kerja ‘mantai’ (menyembelih kerbau) sebelum Ramadhan. Realitinya, kini ungkapan ‘Mogang’ jarang digunakan dan ramai generasi Negeri Sembilan hari in tidak mengetahui ‘apo bondonyo Mogang’(apa maknanya ‘Mogang’) itu.  
Image result for masak lemang
SUMBER: KAKI PROMO.COM
Pada masa dahulu anak-anak Negeri Sembilan yang merantau akan berusaha balik kampung pada hari ‘Mogang’ dan hari ‘Mantai’.

Oh…… negeri ku!



Wednesday, 6 June 2018

MASALAH JANTUNG KEDUA . DICERITAKAN OLEH YAB AYAHANDA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD SENDIRI DALAM DOKTOR UMUM

Image result for doktor umum mahathir
Saya tidak memperlahankan rentak hidup sejak bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 2003. Selain memberi ucapan dan ceramah di merata dunia serta menubuhkan pejabat di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, saya juga kembali menunggang kuda. Saya melawat Argentina di Amerika Selatan setiap tahun dan menunggang kuda di Banjaran Andes, ada kalanya sampai lapan jam tanpa henti. Bagaimanapun, menjelang akhir 2006, iaitu selepas lawatan yang memenatkan ke Arab Saudi, Jepun dan New Zealand serta menghadiri banyak acara di Kuala Lumpur, saya mengalami serangan jantung yang ringan pada petang hari rumah terbuka Aidilfitri anak-anak saya.
Image result for tun m tunggang kuda
TUN & MUKHRIZ DENGAN AKTIVITI BERKUDA
Saya berada di rumah pada 6 November apabila berasa sesak dada seperti yang dialami dulu. Hasmah menelefon Datuk Dr Nasir Muda, seorang ahli kardiologi yang merupakan doktor peribadi saya dan pada awal pagi itu, saya dibawa ke IJN. Doktor terus memasukkan titisan ubat ke dalam sistem darah saya. Kemudian, selepas membuat ujian ECG doktor mengesahkan saya mengalami serangan jantung yang sederhana. Saya sembuh agak cepat dan pada hari keempat saya sudah boleh duduk di atas katil serta bersedia untuk memulakan kerja. Setiap kali saya meminta alat tulis saya, Hasmah akan menganggapnya sebagai satu petanda yang baik. Walaupun saya pulih dengan agak cepat, jelas sekali yang saya perlu menimbang kemungkinan menjalani pembedahan jantung kali kedua. Dalam kebanyakan kes, pesakit akan kekal sihat selama 10 tahun selepas pembedahan pintasan jantung, tetapi saya telah menjalaninya 18 tahun lalu. Doktor saya memberitahu yang saya perlu memutuskan secepat mungkin sama ada mahu menjalani pembedahan kedua atau tidak sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan berbahaya untuk membuat pembedahan. Saya terpaksa memikirkan dengan mendalam keputusan saya berhubung hal itu memandangkan umur saya sudah pun melebihi 80 tahun. Pada usia itu, proses penyembuhan selepas pembedahan mungkin lebih sukar.
Image result for datuk dr nasir muda
DATUK DR. MOHD NASIR BIN MUDA
Sambil menimbang keputusan sama ada mahu menjalani pembedahan atau tidak, saya mula melakukan satu siri senaman yang bertujuan untuk melancarkan pusingan darah. Saya juga menggunakan treadmill dan berkayuh basikal, ada kalanya sampai 10km sehari. Hasmah berpendapat bahawa saya agak keterlaluan melakukannya. Bahkan, saya juga mengetahui kemudiannya yang beliau meminta pelatih kuda saya agar mengajar haiwan itu supaya tidak berlari terlalu laju.

Walaupun saya bersungguh-sungguh bersenam, menjelang Mei 2007 saya berasa kaki amat berat dan saya tercungap-cungap apabila menaiki tangga. Pada bulan itu juga kami menganjurkan perjumpaan penuntut kelas 1947 Kolej Perubatan di Bukit Merah, Perak. Kami menghabiskan beberapa hari bersembang sehingga lewat malam. Selesai perjumpaan itu, saya dan Hasmah terbang ke Langkawi untuk bercuti pendek.
Image result for tun m di ijn
TUN DI IJN
Ketika di pulau itu, saya menderita serangan edema pulmonari (pulmonary oedema ) yang teruk. Serangan tersebut berpunca daripada pengumpulan cecair berlebihan di dalam paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas. Pada hari serangan tersebut, saya berasa penat dan apabila terjaga daripada tidur yang pendek, saya mengalami sesak nafas. Saya menggunakan alat penyedut udara (inhaler), tetapi tidak berkesan. Selepas itu, segala-galanya berlaku dengan pantas - paru-paru saya dipenuhi cecair dan saya amat susah untuk bernafas. Dr Nasir memanggil ambulans, tetapi kemudian membatalkannya selepas memikirkan yang ia akan mengambil masa yang lama untuk sampai. Lalu dia memimpin saya memasuki kereta dan meluru ke hospital. Saya masih ingat yang saya mendengar beliau menyuruh saya bertahan walaupun saya sendiri berasa di antara sedar dan pengsan. Kami berselisih dengan ambulans di pertengahan jalan, tetapi Dr Nasir mengarahkan pemandu kami supaya meneruskan perjalanan kerana beliau sedar yang kami sudah kesuntukan masa. Hasmah memberitahu saya kemudian yang beliau menyangka akan kehilangan saya pada hari itu. Di dalam kereta, Hasmah duduk di depan untuk memberi ruang kepada saya dan Dr Nasir. Hasmah hanya dapat meletakkan tangannya dia atas lutut saya dalam usahanya untuk menenteramkan saya.
Image result for dr syarifah suraya syed mohd tahir
DATO' DR. SHARIFAH SURAYA BT SYED MOHD TAHIR
Di hospital, mereka memaksakan oksigen masuk ke dalam paru-paru saya dan berjaya menstabilkan keadaan saya dalam masa setengah jam. Dr Nasir menghubungi rakan-rakannya di IJN dan pakar bius, Dr Sharifah Suraya Syed Mohd Tahir terbang ke Langkawi dengan membawa semua peralatan yang tidak ada di Hospital Langkawi.

Menjelang waktu itu, boleh dikatakan hampir semua orang Langkawi sudah mendengar apa yang terjadi dan mereka mula berkumpul di hospital. Keesokannya, sewaktu hendak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan dalam usaha untuk melepasi orang ramai yang berada di hadapan hospital, Pengarah Hospital telah menggunakan dua buah ambulans - sebuah untuk membawa saya dan sebuah lagi sebagai 'umpan'. Ambulans saya keluar ikut pintu belakang manakala ambulans 'umpan' keluar ikut pintu utama. Apabila saya sampai di lapangan terbang, beberapa orang anak kami tiba dengan penerbangan komensial. Mereka bagaimanapun terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur menaiki pesawat yang sama.

Saya diterbangkan ke Kuala Lumpur menaiki jet swasta. Membawa saya ke atas pesawat itu ternyata sukar kerana tangganya tidak boleh menampung tandu. Jadi saya terpaksa diusung dengan seorang mengampu kepala dan bahu saya manakala seorang lagi mengangkat kaki saya. Disebabkan tidak mahu badan saya membengkok maka pakar fisioterapi saya, Boey Ghod Chee merangkak di bawah badan saya untuk mengampunya sewaktu menaiki tangga pesawat. Saya memerlukan oksigen, tetapi berbahaya untuk terbang pada paras yang tinggi dengan tangki oksigen berada di dalam pesawat. Oleh itu, pesawat terpaksa terbang pada paras yang rendah sepanjang perjalanan.
Image result for Boey Ghod Chee
MISS BOEY GHOD CHEE
Serangan itu membuatkan saya berasa lemah dan tidak sihat. Saya mula menimbangkan secara serius mengenai nasihat doktor supaya menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua. Pembedahan kedua nanti sudah tentulah mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana saya sudah pun berusia 82 tahun. Sebaliknya, kalau saya enggan menjalaninya maka kemungkinan diserang sekali lagi mustahil boleh dielakkan. Akhirnya walaupun pembedahan pintasan koronari kali kedua tidak memberi apa-apa jaminan, saya memutuskan untuk mengambil risiko. Sekali lagi, latihan perubatan yang saya terima tidak membantu memberikan saya keyakinan kerana saya tahu kemungkinan berlaku kerumitan sewaktu pembedahan adalah besar.

Saya ada juga memikirkan untuk menjalani pembedahan kedua di luar negara, tetapi sekali lagi saya bimbang tindakan itu akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada doktor kita. IJN membawa masuk seorang pakar perunding dari Klinik Mayo di Amerika Syarikat, tetapi pasukan pembedahan tetap diketuai oleh Dr Yahya dan Dr Rozali sekali lagi.
Image result for dr yahya ijn
TAN SRI DATO' DR. YAHYA BIN AWANG
Saya dimasukkan semula ke IJN pada 2 September 2007 dan menjalani pembedahan pintasan kedua dua hari kemudian. Bukan Dr Yahya dan Dr Rozali sahaja ahli pasukan pembedahan tahun 1988 yang terbabit dalam pembedahan kedua, malah boleh dikatakan semua anggota pasukan bekenaan, termasuk jururawat dewan bedah, turut serta. Ada antara mereka telah meninggalkan IJN untuk membuka klinik sendiri, tetapi mereka semuanya kembali membantu.
Image result for dr rozali ijn
DATO' DR ABDUL ROZALI A WATHOOTH
Dalam proses pemulihan selepas pembedahan, buat seketika saya meracau dan mengalami bermacam-macam mimpi aneh, antaranya menjadi anak seorang Sultan dan bekerja sebagai jurulatih kuda. Kadang-kadang saya berasa seperti berada di tempat lain, misalnya Indonesia, Thailand dan China. Saya bernafas dengan bantuan mesin pernafasan yang menghalang saya daripada menelan dan bercakap. Malah selepas tiub ditanggalkan daripada tenggorok saya, saya masih berasa seolah-olah ia berada di situ dan sukar menelan buat seketika. Disebabkan saya tidak boleh bercakap maka saya cuba berkomunikasi dengan menulis, tetapi sukar mengingati huruf yang betul. Keluarga saya memberikan sebuah papan kekunci untuk membolehkan saya menunjukkan huruf-huruf yang saya mahu, tetapi itu pun sukar bagi saya. Suatu ketika, apabila kehampaan menguasai diri, saya cuba mencabut semua tiub yang ada pada badan saya. Hasmah marah dan mengingatkan saya betapa ramai orang telah bersusah payah bekerja keras menolong saya.

Saya terkena jangkitan selepas dua minggu berada di ICU. Doktor-doktor yang merawat saya tahu bahawa mereka terpaksa membedah saya semula, tetapi bimbang saya tidak bersetuju. Namun, saya memberikan persetujuan dengan harapan ia akan membantu saya segera pulih dan mengakhiri penderitaan untuk cuba tidur bersama-sama segala macam tiub di leher, tangan, belakang dan dada saya.

Saya dibawa masuk semula ke dewan bedah pada 22 September. Walaupun pembedahan berjalan tanpa sebarang masalah, proses pemulihan sekali lagi sukar. Saya dilanda kemurungan dan berasa sangat tidak bermaya untuk meneruskan usaha pemulihan. Jadi, beberapa orang pelawat dibenarkan menemui saya untuk mengembalikan semangat saya. Mereka termasuklah rakan-rakan menunggang kuda; Mufti Perlis ketika itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas doktor peribadi saya, Datuk Dr Zainal Hamid. Hasmah turut membantu. Beliau membawa salah satu gambar saya yang paling diminatinya dan sambil menunjukkannya kepada saya, Hasmah berbisik yang beliau telah membawa lelaki itu ke hospital dan beliau akan membawanya pulang semula ke rumah.
Image result for Datuk Dr Zainal Hamid
DATUK DR ZAINAL ABIDIN ABDUL HAMID
Hasmah jarang meninggalkan saya sepanjang berada di hospital. Beliau pulang ke rumah semalam sahaja pada bulan puasa untuk bersama-sama keluarga dan selebihnya beliau bermalam di hospital. Suatu hari, beliau jatuh tertiarap dari kerusinya akibat terlalu penat. Ini menyebabkan keadaan di ICU menjadi kelam-kabut, tetapi Hasmah berkeras mengatakan yang beliau tidak apa-apa dan cuma kepenatan.

Keseluruhannya saya menghabiskan masa 49 hari di IJN sebelum keluar pada 20 Oktober.Saya akui yang ada waktunya saya berasa seperti sudah di penghujung hayat. Malah, dari awal lagi saya sudah tahu apa yang menanti di hadapan. Jadi, pada hari saya dimasukkan ke IJN saya telah memberikan kepada Hasmah nombor kod beg bimbit yang mengandungi dokumen peribadi saya. Pada suatu ketika, apabila nampak tanda-tanda yang keadaan saya tidak akan pulih, Hasmah terfikir juga untuk membuka beg tersebut. Bagaimanapun apabila beliau memberitahu Mirzan mengenainya, Mirzan berkata yang masanya belum tiba dan eloklah beg itu tidak diusik.

Selepas menjalani dua pembedahan terakhir itu, saya mula memperoleh semula sebahagian besar tenaga saya. Namun, saya tetap mudah penat dan masih kekurangan berat badan. Inilah sekali dalam hidup saya apabila berat badan saya sukar hendak dinaikkan walaupun di negara kita, setiap orang cuba memaksa orang lain makan sehingga tidak boleh bangun.

Sewaktu saya menulis buku ini, tiga tahun sudah berlalu sejak pembedahan kedua. Proses pemulihan lebih perlahan daripada pembedahan pertama, tetapi berlaku secara progresif dan saya sekarang sudah cergas sepenuhnya.
Image result for tun tunggang kuda
TUN AKTIF MENUNGGANG KUDA
Saya mula menunggang kuda semula dan menjadikannya kegiatan mingguan. Saya juga berjalan kaki apabila cuaca mengizinkan. Kalau tidak, saya akan menggunakan treadmill. Pada waktu pagi, saya melakukan senaman angkat berat. Pada Februari 2009, saya ke Argentina dan menghabiskan 10 hari menunggang kuda di padang rumput pampas pada setiap pagi dan petang.

Saya bekerja di tiga pejabat yang berlainan mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang dan sering menghadiri majlis makan. Kebanyakan waktu hujung minggu saya dihabiskan di luar. Saya juga akan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memberi ceramah.

Walaupun sudah dua kali menjalani pembedahan jantung, secara amnya saya menikmati kesihatan yang baik. Ramai orang bertanya berulang kali mengenai stamina saya dan bagaimana saya kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Saya menjawab secara berseloroh bahawa seseorang harus memilih ibu bapanya dengan berhati-hati.

Namun, soalan yang sama terus diajukan. Ramai percaya dan menyebarkan kepada orang lain yang kononnya saya menerima suntikan di Switzerland. Seorang wanita menegur saya di sebuah pasar raya dan bertanya adakah benar saya makan ubat berharga RM5,000 sehari. Ramai juga yang pergi ke farmasi di mana saya membeli vitamin dan mereka akan membeli apa sahaja yang saya beli.
Image result for pil harga RM5,000
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Akhirnya, saya berjanji kepada mereka yang saya akan memberitahu segala-galanya di dalam memoir ini. Soalnya, apakah yang hendak saya beritahu? Orang akan kecewa kalau saya mula bercakap mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Mereka mahu sesuatu yang boleh menyelesaikan segala masalah serta-merta, tetapi malangnya tidak ada cara seperti itu. Bagaimanapun, ada perkara tertentu yang boleh membantu kita kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

Menjalani kehidupan yang cergas adalah penting untuk semua peringkat usia, terutamanya dalam tempoh persaraan. Setakat yang terdaya, saya cuba mengekalkan rutin kerja. Saya bangun awal untuk solat Subuh. Selepas bersolat, saya bercukur, menggosok gigi dan mandi air suam. Sebelum sarapan, saya membuat beberapa minit pernafasan panjang dan senaman ringan.

Sarapan saya juga ringan sahaja dan kemudian saya memulakan hari dengan menulis. Saya berasa kehilangan kalau tidak menulis sesuatu pada awal pagi. Bagi saya, menulis membantu menggerakkan otak dan menajamkan ingatan. Saya jarang melakukan senaman berat, khususnya pada waktu pagi hari bekerja. Saya menggunakan treadmill sekali-sekala, saya tidak berjalan kaki sekerap yang saya inginkan dan saya tidak bermain golf.

Kegemaran saya adalah menunggang kuda yang saya pelajari ketika berusia 60 tahun. Ia bermula apabila saya dijemput oleh Allahyarham Presiden Pakistan, Muhammad Zia ul-Haq bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negaranya. Kami pergi ke tempat perarakan dengan kereta dan kemudian menaiki kereta kuda. Kami diiringi oleh pengawal berkuda Pathan yang berpakaian seragam tentera. Saya teruja dengan apa yang saya lihat dan mengambil keputusan untuk membeli dua ekor kuda dari Pakistan. Presiden Zia mendapat tahu hasrat saya lalu menghadiahkan dua ekor kuda itu kepada saya. Maka saya pun mulalah belajar menunggang kuda di Kelab Menunggang dan Polo Selangor.
Image result for tun m menunggang kuda di argentina
GAMBAR TUN DAN PRESIDEN ZIA UL-HAQ
Perkara pertama yang saya pelajari mengenai kegiatan menunggang kuda adalah duduk tegak dan lurus di atas pelana. Ini sangat penting. Ia bertujuan untuk mengelak kita daripada sakit belakang. Saya fikir, ia turut membantu saya berdiri tegak dan tidak membongkok walaupun usia saya sudah melepasi 80 tahun. Apabila kita bongkok, kita akan nampak tua.

Saya juga mempunyai tabiat berjalan seperti orang berkawat. Kebanyakan orang yang berusia 80 tahun umumnya akan berjalan lebih perlahan. Malah, ada yang terketar-ketar dan mengheret kaki. Orang yang lebih muda biasanya suka membantu orang tua bangun, berdiri, berjalan dan memanjat anak tangga. Kadangkala, orang tua pun suka dibantu. Mereka sukakan perhatian dan sikap prihatin anak cucu mereka. Kalau kita membenarkan diri kita dibantu, ia boleh menjadi tabiat. Selagi boleh dan terdaya, eloklah kita cuba mengelak daripada dibantu. Ini membuatkan kita nampak seperti orang muda. Lagipun, ia baik bagi otot dan imbangan kita.

Saya juga cuba tidur secukupnya, iaitu enam jam pada waktu malam, dan kalau boleh, di atas katil yang sesuai. Selepas makan tengah hari, saya akan melelapkan mata selama 15 minit sambil duduk di atas kerusi yang selesa dengan menegakkan kepala. Saya membuat rutin yang sama apabila dalam perjalanan atau jika tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan. Melelapkan mata sebentar sambil duduk amat penting. Jika kita berbaring, kita akan bangun dalam keadaan terhuyung-hayang dan tidak dapat bekerja.

Di samping kemampuan saya mencuri masa untuk melelapkan mata buat seketika, pengalaman saya sebagai seorang doktor turut membantu saya bekerja dalam tempoh waktu yang lama ketika menjadi Perdana Menteri. Selepas tidur sepanjang penerbangan, saya boleh terus bekerja. Lagipun apabila melawat negara asing, saya tidak ada masa untuk berehat. Sebaik sahaja turun kapal terbang, saya akan terus bertugas. Kalau nasib baik, bolehlah berehat sebentar sementara menunggu pagi.

Yang lebih penting, kita mesti bersenang hati kalau mahu kelihatan muda. Kegembiraan bercinta adalah yang paling nyata. Memanglah sukar untuk berasa gembira setiap masa, tetapi kalau kita bersyukur dengan apa yang kita nikmati setiap kali bangun pagi, kita akan berasa gembira. Memanglah ada masalah yang perlu diatasi dan kesedihan untuk dirasai, namun tentu ada sesuatu yang boleh membuatkan kita gembira. Bagi saya, sejak dulu dan lebih-lebih lagi sekarang, dapat bangun setiap pagi adalah anugerah paling besar.
Image result for tun m awet muda
MAKAN MALAM SEORANG NEGARAWAN
Jadi, saya tidak ada rumusan khas untuk kelihatan lebih muda daripada usia saya. Orang yang mengharapkan saya agar memberitahu mereka nama bahan awet muda (elixir) untuk kelihatan muda yang saya guna, akan berasa hampa kerana saya tidak ada ramuan itu. Hakikatnya, ia tidak wujud pun.