Showing posts with label Kesultanan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan Melayu. Show all posts

Wednesday, 8 May 2019

TEMENGGUNG IBRAHIM "SINGKIR" SULTAN JOHOR (LAMA)

Judul Buku:  Institusi Bendahara - Permata Melayu Yang Hilang
Penyusun:  Tun Suzana Tun Haji Othman
Penerbit: Pustaka BSM Enterprise
Tahun: 2002

Buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang mendedahkan  taktik licik Temenggung  Ibrahim dari keturunan Bugis pada abad ke 18 Masihi menyingkirkan waris kesultanan Melayu, Tengku Ali @ Sultan Ali yang menjadi Sultan Johor (Lama).  Walaupun Tengku Ali @ Sultan Ali dilantik oleh kaum kerabat sebagai Sultan Johor (Lama) tetapi British tidak mengiktiraf Tengku Ali @ Sultan Ali.

Sepuluh tahun sebelumnya,  iaitu pada 1825 Masihi,  Temenggung Abdul Rahman meninggal dunia di Telok Belanga, Singapura digantikan dengan Temenggung Ibrahim.  

Pelantikan Temenggung Ibrahim tidak dipersetujui oleh Bendahara Tun Ali kerana tindakan ayah Temenggung Ibrahim menggadai Singapura kepada British.  

Temenggung Ibrahim  kemudiannya bercita-cita menjadi  Sultan Johor (Lama) kerana kedudukan ayahnya setara dengan Sultan Johor (Lama) daripada kaca mata British.
Temenggung Ibrahim

Dengan bantuan British  Temenggung Ibrahim berjaya meruntuhkan institusi Bendahara, satu-satunya kuasa adat tertinggi menentukan pewaris Sultan Johor (Lama) yang sebenar.  

Tengku Ali @ Sultan Ali diisytiharkan sebagai Sultan Johor (Lama) ke-19 pada 16 September 1840, dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah ibni Hussain Muazzam Shah.  Bagaimanapun pelantikan baginda tidak diiktiraf  oleh British. Jawatan Sultan Johor  itu hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa pembesar Melayu.  

Tengku Ali @ Sultan Ali tidak berperanan dalam pentadbiran negeri kerana sebahagian besar terletak di bawah bidang kuasa Temenggung Ibrahim dan British. Kuasa Sultan Johor (Lama) menjadi kecil berbanding Temenggung Ibrahim.

Penyingkiran Tengku Ali @ Sultan Ali secara sulit dan tidak terhormat sebagai Sultan Johor (Lama) merupakan satu tragedi besar lagi penting yang mengubah lanskap sejarah Kesultanan Johor (Lama) – daripada galur Melayu kepada galur Bugis oleh Temenggung Ibrahim. Mengikut adat kesultanan Melayu dan institusi Bendahara, Temenggung Ibrahim bukan Sultan Johor (Lama) yang sah.

Kalau institusi Bendahara tidak dilumpuh dan diruntuhkan, Temenggung yang di luar galur kesultanan Melayu galur Iskandar Zulkarnain hingga Demang Lebar Daun tidak mungkin ditabal menjadi Sultan Johor (Lama). Maka langkah pertama ialah melumpuhkan institusi Bendahara pada 1722 Masihi.

Berakhirnya institusi Bendahara membuka ruang kepada pembesar Bugis dan British sesuka hati menabal galur Temenggung sebagai Sultan Johor (Lama).  Johor Lama merangkumi tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di sebelah selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga.  Disebabkan tidak tahan dengan tekanan oleh British dan Temenggung Ibrahim, pada 10 Mac 1855 Masihi, Tengku Ali @ Sultan Ali menandatangani perjanjian menyerahkan takhta Johor Lama kepada Temenggung Ibrahim.

Ketika institusi Bendahara menjadi tunggak institusi kesultanan Melayu, ia memastikan peralihan kuasa mengikut adat Melayu dan syariat Islam serta membendung percaturan politik dalam kalangan pewaris-pewaris Sultan.  Bagaimanapun kelestarian institusi Bendahara berakhir apabila Temenggung  Ibrahim berketurunan Bugis berkongsi kuasa  dan akhirnya membayangi  institusi kesultanan Melayu.
Tengku Ali @ Sultan Ali

Bendahara  berperanan dalam menabal Duli Yang Dipertuan yakni Sultan mengikut  adat tradisi Melayu dan hukum syarak (dengan bimbingan ulama) kemudian menjadi penasihat baginda, menyelenggara jenazah baginda, mengganti baginda selepas kemangkatan, memangkuriba Sultan yang masih kecil sebagai Pemangku Sultan dan menjadi ketua bagi pembesar tradisi Melayu seperti Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan sebagainya.

Mengikut adat kesultanan Melayu,  Temenggung yang merupakan jawatan kurniaan tidak mungkin ditabal menjadi Sultan. Ini kerana Sultan merupakan jawatan yang diwariskan oleh galur keturunan. Temenggung boleh dilantik atau dipecat mengikut budi bicara institusi Bendahara. Hanya Bendahara sahaja yang merupakan jawatan warisan dari keturunannya sementara Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan Orang Kaya-Kaya merupakan jawatan kurnia. 

Temenggung juga bukan daripada galur keturunan kesultanan Melayu  Iskandar Zulkarnain yang turun kepada Demang Lebar Daun. Kedudukan Temenggung dalam Kesultanan Johor Lama  sangat rendah berbanding Sultan. Temenggung juga jauh lebih rendah berbanding Bendahara. Ini kerana Temenggung hanya  membantu Bendahara. Selain Temenggung,  lain-lain yang turut membantu Bendahara ialah Laksamana, Penghulu Bendahari, Orang Kaya-Kaya serta beberapa lapis lagi.

Sejarah Johor Lama memang telah banyak dibukukan. Bagaimanapun sebahagian besarnya condong kepada  kepentingan keturunan Bugis serta berdasarkan orientalis Barat.  

Bagaimanapun buku ini melihat  dan mengangkat secara terang  tentang persejarahan Johor Lama  yang dibenamkan demi kepentingan pihak tertentu.

Sejarah mesti berlaku jujur kepada manusia yang terlibat dan peristiwa yang berlaku. Maka buku Institusi Bendahara –  Permata Melayu Yang Hilang adalah sebuah kebenaran sejarah.  Sepahit manapun kebenaran ia tetap sejarah  yang benar kepada generasi selepas mereka.

Wibawa Tun Suzana sebagai seorang ahli sejarah yang disegani menjadikan buku ini sebuah pendedahan sejarah yang sangat berharga mengenai kerajaan Johor Lama. 


Buku ini adalah satu pencerahan terhadap sejarah yang dibenamkan sekian lama. Difahamkan buku ini menjadi buruan orang ramai khususnya yang ingin tahu sejarah sebenar kesultanan negeri Johor. Oleh hal yang demikian, membaca buku ini telah memberikan kesedaran lagi sangat menginsafkan. Johor Lama kehilangan pewaris Sultan yang sah. – KU SEMAN

SUMBER: kuseman.com

Friday, 12 October 2018

SERIKANDI² MELAYU KETURUNAN BENDAHARA

Pengenalan

Ramai keturunan Bendahara telah menabur jasa pada agama, bangsa dan tanahair. Kaum wanita di kalangan keluarga Bendaharapun sama-sama memikul tanggungjawab dan amanah keluarga, Walaupun secara tradisinya mereka lebih senang menumpukan perhatian kepada keluarga masing-masing, tetapi takdir telah memaksa mereka untuk melakukan perjuangan politik mahupun peperangan apabila suami-suami mereka terkorban ataupun tidak mampu berjuang lagi --- dalam peranan tersebut merekalah Serikandi, hatta mampu mengatasi tokoh-tokoh lelakipun sewaktu di dalam keadaan demikian. Di bawah ini kami ingin memberi beberapa contoh untuk renungan kita semua.

Tun Teja Binti Bendahara Seri Amar Diraja MELAKA
Image result for tun teja
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Serikandi Tun Teja terkenal sebaris dengan nama serikandi Tun Kudu dan Tun Fatimah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka . Mengikut sejarah Melayu, Tun Teja diberi gelaran “RATNA BENGGALA” yang membawa maksud “INTAN PERMATA” dari Benggala iaitu puteri kepada Seri Amar Bangsa Diraja, Bendahara Pahang pada abad ke-15.

Tun Teja Ratna Benggala, itulah nama serikandi tidak asing lagi TUN TEJA.

“Tun Teja Ratna Benggala,
  Pandai membelah lada sulah,
  Jika tuan tidak percaya,
  Mari bersumpah kalam Allah.”

Begitulah bunyi pantun yang dipersembahkan oleh Hang Tuah kepada Tun Teja, anak bendahara Pahang yang cantik jelita di akhir abad ke-15. Sejarah Melayu menggambarkan dengan jelas bagaimana Tun Teja direbut daripada tangan tunangnya Yang Dipertuan Pahang, Sultan Ahmad Syah (1474-1494) oleh Hang Tuah untuk diperisterikan Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Sultan Ahmad Syah menerima penghinaan daripada Melaka yang terakhir dari tunang baginda, baginda sangat malu dengan rakyatnya lalu bertindak turun takhta dan mengasingkan diri ke Lubuk Pelang. Setelah mangkat digelar Marhum Syeikh.

Tun Teja sebenarnya bermadu dengan Puteri Betara Majapahit. Di atas perkongsian hidup bersama Sultan Mahmud Syah, Tun Teja dikurniakan seorang puteri yang bernama PUTERI AMRA DEWI.

Pada 1511, Portugis menyerang Melaka. Sultan Mahmud Syah bersama isteri-isterinya dan anak-anaknya telah dinasihatkan berundur ke Bentayan (kini Muar) termasuklah Tun Teja. Ketika itu Tun Teja kegeringan dan sangat uzur dan terpaksa diusung dengan tandu khas yang telah dibina oleh hulubalang Melaka. Dalam perjalanan Tun Teja menghembuskan nafas terakhir dan dipercayai telah dimakamkan di antara Melaka dan Bentayan iaitu Merlimau. Dipercayai sepasang batu nisan diraja telah dipacakkan di atas Makam Tun Teja sebagai tanda kemangkatannya.  Tiada nama dan tarikh pada makam Serikandi ini kerana ketika itu Sultan Mahmud Syah di dalam keadaan tergesa-gesa berundur ke Bentayan akibat diburu merata oleh penjajah Portugis.

TUN TEJA merupakan seorang pejuang ketika di dalam istana membantu Sultan menegakkan keadilan, kesejahteraan dan keamanan rakyat, seorang kekasih dan isteri yang sangat penyayang dan mencintai, sanggup berkorban apa saja dan seorang yang lemah lembut tetapi tegas dan tekad di dalam setiap keputusan yang dibuat.

Baginda juga merupakan seorang yang sangat berhati-hati dan seorang pemurah senyuman dan baginda juga seorang yang cantik jelita malah bertambah ayu apabila disarungkan pakaian dan selendang kepalanya berwarna kuning dan ungu.

Serikandi ini sangat mencintai dan taat setia kepada suaminya dan menjadi isteri yang paling disayangi oleh Sultan Mahmud Syah.

TUN TEJA, serikandi hebat dan tabah serta cekal menghadapi dugaan malah berjiwa kental!

Tun Fatimah binti Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir MELAKA
Image result for tun fatimah melaka
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Merupakan puteri kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali, putera hasil perkahwinan  Tun Kudu   (bekas permaisuri Sultan Muzzafar Shah yang juga kekanda bagi Bendahara Tun Perak) Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Ali. Tun Mutahir adalah Bendahara Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah. 

Tun Fatimah sudahpun berkahwin apabila Sultan Mahmud cuba memperisterikannya. Sultan Mahmud Shah turut dijemput sama untuk meraikan majlis perkahwinan Tun Fatimah. Sultan berasa amat murka kerana Bendahara tidak pernah menyembahkan kepada baginda bahawa beliau memiliki anak gadis yang cantik jelita. Sultan Mahmud dikhabarkan telah meninggalkan majlis perkahwinan tersebut tanpa menyentuh santapan. 

Belakangan dicatatkan tentang peristiwa Raja Mandaliar dan Kitul yang telah memfitnah Bendahara Tun Mutahir, kononnya Bendahara telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas kerana mempunyai hasrat ingin merampas takhta Melaka. Sultan bertambah murka, dan tanpa usul periksa lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah. Terbunuhlah Bendahara Tun Mutahir, suami Tun Fatimah iaitu Seri Nara Diraja Tun Ali, kekandanya Tun Hassan atas titah Sultan Mahmud itu.

Namun akhirnya Sultan Mahmud sedar atas keterlanjuran perbuatannya dan bersungguh-sungguh menyintai Tun Fatimah. Tun Fatimah dipinang dan dibawa masuk ke istana secara besar-besaran dan tidak lama kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka. Pada mulanya Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama dan melayani Sultan Mahmud, namun setelah menyedari keikhlasan dan keinsafan baginda, Tun Fatimah akhirnya membalas cinta Paduka Seri Sultan Mahmud Shah.

Kerana terlalu menyayangi dan menggagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik, Sultan Mahmud kemudiannya telah mengisytiharkan Tun Fatimah diangkat menjadi Paduka Seri Permaisuri Melaka.

Tun Fatimah akhirnya bersetuju menjadi permaisuri Melaka. Dengan menjadi permaisuri Melaka, Tun Fatimah dengan dayang-dayang istana dan rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnah keluarganya. Tun Fatimah dikatakan pandai bermain keris dan tombak serta handal dalam ilmu persilatan akhirnya berjaya menuntut bela atas pembunuhan keluarganya. Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan dihukum bunuh dan telah menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. 

Tun Fatimah memerintah Melaka seperti "Bendahara Perempuan" (menyambung watak almarhum ayahandanya Tun Mutahir) membantu suaminya. Dilaporkan bahawa pihak Portugis lebih gerun kepadanya daripada Sultan Mahmud sendiri. Selepas Melaka alah kepada Portugis dalam tahun 1511, Tun Fatimah telah bertanggungjawab dalam perjuangan merampas kembali Melaka dan dalam mendirikan Empayar Johor sebagai saingan yang hebat bagi pihak Portugis, Tun Fatimah menguatkan Empayar Johor dengan mewujudkan pakatan dengan kerajaan-kerajaan berjiran melalui perkahwinan putera-puterinya dengan keluarga-keluarga diraja Acheh, Minangkabau and Borneo. Keberaniannya dan ketegasannya didalam perang dan pemerintahan menyebabkan baginda digelar  Srikandi Melaka, 

Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah melahirkan empat orang cahaya mata, antaranya Raja Raden Ali yang kemudian  menjadi pemerintah Johor Lama bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II, memerintah selama 36 tahun. Baginda merupakan Paduka Seri Permaisuri yang sangat terkenal dengan semangat perjuangannya yang tinggi dan berjuang bersama-sama Sultan Mahmud untuk mempertahankan Melaka.

Putera-puteri Tun Fatimah:

Raja Ala'uddin ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Muda Ahmad Shah

Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Johor ke-2

Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah

Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah

Tun Puteh @ Che Wan Puteh binti Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ali PAHANG
Image result for srikandi melayu
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Tuanku Raja Asal, dari suku Mandailing,  telah jatuh cinta dengan adinda Raja Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali PAHANG (1847-1863) iaitu Wan Puteh @ Wan Teh @ Cik Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali (Raja Pahang) dan mereka kemudiannya mendirikan rumahtangga pada tahun 1857 dalam satu majlis keramaian yang meriah di Istana Ganchong. Perkara ini juga ada dinyatakan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 2 Mac 1980 yang berbunyi;

     ‘Di Pahang Raja Asal berkenalan pula dengan Bendahara Wan (Tun) Mutahir yang pada masa itu baru dilantik menjadi Bendahara Negeri Pahang menggantikan Bendahara Tun Ali yang mangkat dalam tahun 1857. Dari perkenalan itulah Raja Asal telah berkahwin dengan salah seorang dari saudara Bendahara Wan Mutahir yang bernama Wan Putih.’ 

Wan Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali pada masa itu merupakan seorang gadis belasan tahun yang sangat cantik lagi rupawan. Kecantikan beliau itu turut digambarkan 16 tahun kemudiannya oleh Haji Abdullah Hukum pada tahun 1873 sebagai; ‘sementelah pula ia cantik putih bagi namanya isteri bagi Raja Asal telah berseru di hadapan orangramai dengan suara yang merdu bunyinya ...rambutnya terurai sampai ke betis bertanjak telepok benang emas dan nampaknya pun telah menjadi hebat umpama emas permata intan.’ (III:2) – Adnan Haji Nawang.

Tuanku Raja Asal turut mengambil ramai pekerja dari kalangan orang-orang Jawa yang mula berhijrah ke Tanah Melayu. Pada masa itu terdapat beberapa kumpulan orang-orang Jawa yang berhijrah ke Kuala Lumpur akibat dari masalah kebuluran di Jawa Tengah pada tahun 1843–1848. (373) – Ibrahim Saad. 

Orang-orang Jawa ini bekerja dengan Tuanku Raja Asal sebagai pembuka hutan dan ladang di kawasan Ulu Kelang. Itulah sebabnya Tuanku Raja Asal sering disalahanggap oleh orang-orang yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur sebagai ‘seorang kepala Jawa.’ (III:2) – Adnan Haji Nawang (PETIKAN DARI SEJARAH PERANG KUALA LUMPUR - Mandailing Semakin Tenat) 

Di sini, Tuanku Raja Asal, isterinya Wan Puteh @ Wan Teh @ Che Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali, Jabunus, Jalumat, Jaakub, Panglima Kuning @ Nakhoda Kuning, Sayid Mashur @ Tok Soho, Raja Mahmud @ Tok Kapak Cina bin Raja Mat Saman @ Raja Berkat, Engku Rahmat @ Raja Laut Selangor dan lain-lain lagi sedang menanti serangan tentera bersekutu British, Cina, Bugis, Kedah, Melayu Batu Bara dan Rembau.

Sudah seminggu hujan tidak turun. Bekalan air di puncak Bukit Nanas telah kehabisan. Memandangkan keadaan sungguh tenat dengan pahlawan-pahlawan Mandailing yang bertahan dengan hebat dan bersungguh-sungguh itu bergelimpangan kehausan dan kelaparan sambil menunggu serangan musuh seterusnya, maka senja Khamis itu Wan Puteh dan 5 orang dayang pengiring pun turun ke bawah menuju ke arah timur kubu Bukit Nanas dan berpura-pura hendak mengambil air minuman di Sungai Kelang tanpa pengetahuan Tuanku Raja Asal.  

Dari sana, Wan Puteh senyap-senyap pergi ke tempat perkhemahan musuh dan masuk ke kawasan khemah tentera Pahang. Di sana, beliau dirafak sembah oleh tentera Pahang lalu dibawa berjumpa dengan anak saudaranya Tun Mahmud @ Tun Buang bin Wan Ismail, Panglima Kakap Dato Bahaman dan Imam Perang Khatib Rasu.

Dalam perjumpaan itu Wan Puteh telah memujuk Tun Mahmud, Dato Bahaman dan Khatib Rasu agar memberi laluan kepada beliau dan 100 orang pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada kaum wanita yang tidak berdosa untuk turun dari Bukit Nanas selepas Maghrib sebelum Isyak. Selepas itu menurut Wan Puteh, bolehlah tentera Pahang naik ke atas dan menghapuskan seluruh orang-orang Mandailing itu. Tun Mahmud, Dato Bahaman dan Khatib Rasu bersetuju.

Selepas naik ke atas, Wan Puteh berjumpa dengan Tuanku Raja Asal dan mengajak Tuanku Raja Asal untuk melihat keadaan menyayat hati yang berlaku di Bukit Nanas. Kanak-kanak mati bergelimpangan dan ada yang mati di pangkuan ibu mereka yang langsung tidak bermaya lagi. Lalu Wan Puteh pun memujuk Tuanku Raja Asal agar dilepaskan 100 orang perempuan dan kanak-kanak supaya mereka boleh turun menyelamatkan diri dari pertempuran di Bukit Nanas itu. Tuanku Raja Asal menggangguk tanda setuju.

Lantas Wan Puteh mengumpulkan 80 kaum wanita dan kanak-kanak. Di sana, Wan Puteh memujuk Tuanku Raja Asal agar turun sekali dari Bukit Nanas. Wan Puteh menegaskan bahawa Tuanku Raja Asal perlu berundur untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Mandailing dengan mengumpulkan kembali tentera baru Mandailing yang akan merampas semula Bukit Nanas dan membela maruah orang-orang Mandailing. Ini disokong penuh oleh Jabunus.

Namun Wan Puteh terus memujuk suaminya itu. Akhirnya setelah dipujuk berkali-kali, Tuanku Raja Asal terpaksa beralah dengan hati yang berat lagikan hiba. Sambil airmata mengalir ke dada, Tuanku Raja Asal  berkata:

‘Dengar sini Wan Puteh, seratus peperangan dan pertempuran kulalui, belum sedikit tubuhku terguris. Namun perpisahan ini melukakan hatiku kerana turunnya aku tidak lagi sebagai seorang lelaki.’

‘Pergiku ini mungkin untuk kali terakhir. Entah bertemu lagi entah tidak. Entahkan mati ku ini. Apapun hukum Allah sama-sama kita tabahkan. Ampunkan salah silap diriku ini Serikandi.’

Maka berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisanlah Tuanku Raja Asal dan Wan Puteh. Lalu beliau memohon maaf kepada Wan Puteh yang akan ditinggalkan di Bukit Nanas atas segala perbuatannya yang lepas-lepas. 

Tuanku Raja Asal menyerahkan kerisnya kepada Siti Awan iaitu adik kepada Sayyid Kenang dengan pesanan bahawa jika Wan Puteh cuba dicemari oleh pihak musuh, maka Siti Sari hendaklah membunuh Wan Puteh supaya tidak dicela musuh.

‘Esokan malam, undurlah, habis lari.’ - Hikayat Pahang, Cetera 30.

Lalu dengan penuh kesedihan, 100 orang yang berpakaian wanita itu turun dari kubu Bukit Nanas ke arah hutan barat yang menghala ke Pudu yang tidak dikawal oleh tentera musuh sambil dilihat dari jauh oleh tentera Pahang sebagai mengawasi mereka dari diserang oleh tentera Tengku Kudin yang lain.

Manakala di dalam kubu istana Mandailing, Wan Puteh, Lanah dan 350 pahlawan Mandailing, Rawa, Kampar, Tolu, Bengkulu dan Kerinci bertahan di kubu besar Bagas Godang beserta 400 penduduk kampung yang terdiri daripada orang-orang tua, kaum perempuan dan kanak-kanak telah bersiap-sedia dan menanti dengn penuh semangat untuk arahan yang seterusnya.

‘Raja Asal fled in 1873.’ (89) - Middlebrook dan Gullick.

Selepas bertempur di Bukit Nanas selama 3 hari 3 malam, maka pada pukul 5 pagi Subuh 31 Mac 1873 istana Mandailing akhirnya jatuh ke tangan musuh. 

Sebaik sahaja tentera musuh merempuh masuk ke Istana Bagas Godang Mandailing, mereka menerkam ke arah Wan Puteh yang disangkakan mereka Tuanku Raja Asal untuk ditikam dan dicincang secepat mungkin. Akan tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Ini ialah kerana mereka sedar yang memakai pakaian perang Tuanku Raja Asal itu adalah Wan Puteh, puteri Raja Pahang Raja, iaitu Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ali .

Ini ialah kerana Wan Puteh telah ditinggalkan di Bukit Nanas dengan pakaian perang Tuanku Raja Asal. Ini dilakukan supaya:

a.  Pemergian Tuanku Raja Asal tidak disedari oleh pengikut-pengikutnya agar mereka tidak panik dan kelam-kabut 

b.  Tumpuan tentera Pahang tetap pada Bukit Nanas dan 100 orang yang berundur dapat lolos tanpa diekori dan diburu

c.  Jika Bukit Nanas ditawan oleh musuh, mereka yang ada tidak akan dibunuh kerana Wan Puteh adalah puteri diraja Pahang

Percaturan Wan Puteh tepat sekali. 

Apabila tentera Pahang hampir dengan Wan Puteh, dengan tidak semena-menanya seluruh tentera Pahang merafak sembah kepada puteri Pahang itu. Manakala Jabarayun dan pengikut-pengikutnya terpinga-pinga memberhentikan serangan.

Lalu dititahkan oleh Wan Puteh agar semua serangan ke atas orang-orang Mandailing dan semua peperangan dihentikan. Lantas pertempuran di Bukit Nanas dihentikan serta-merta.Bagaimanapun 100 pahlawan Mandailing terbunuh dalam pertempuran ketika itu, manakala 80 tentera musuh turut terkorban

Di puncak Bukit Nanas pula, walaupun ditawan oleh musuh, pahlawan-pahlawan Mandailing seperti Sayid Kenang, Sayid Yusuf, Siti Sari, Panglima Kuning, Jabinanga, Jabadungkung, Lanah, Manda Usman, Abdul Wahab Tolu dan lain-lain 200 pahlawan yang berdiri di belakang Wan Puteh semuanya terselamat kerana tentera Pahang sangat menghormati Wan Puteh sebagai anak kepada Raja Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali.

Lalu 200 pahlawan Mandailing itu yang dipimpin oleh Wan Puteh pun turun berjalan kaki meninggalkan kubu Bukit Nanas di sebelah barat Bukit Nanas ke arah ke Pudu menjejaki jalan Tuanku Raja Asal sambil diekori oleh 500 tentera Pahang. Namun mereka sempat juga membawa apa yang terdaya seperti Meriam Si Raunggur dan Peti Besi Al-Qazin yang merupakan peti induk kepada 17 peti besi kecil yang lain kepunyaan pasukan Dana Padri. Dari sana, mereka berjalan lesu ke arah utara menerusi Pudu. Lalu mereka pun meninggalkan Bukit Nanas buat selama-lamanya.

Pocut Meuligo binti Teuku Chik Muda Hassan ACHEH
Image result for Pocut Meuligo
GAMBAR SEKADAR HIASAN
POCUT MEULIGO BINTI TEUKU CHIK MUDA HASSAN, keturunan Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang (Bendahara Johor Lama dan Uleebalang Samalanga, Aceh) yang ke-4, adalah pahlawan wanita Aceh yang terkenal dengan jolokan ‘Serikandi Aceh’.  Bermula pada tahun 1857M, Pocut Meuligo telah memangku  kedudukan adindanya Teuku Chik Bugis sebagai Uleebalang atau Raja Samalanga. Pada ketika itu angkatan Teuku Chik Bugis sedang dalam perjalanan pulang ke Aceh dari Turki untuk membeli senjata bagi mengukuhkan persenjataan pejuang Aceh melawan pihak Belanda yang telah menjadi agresor. Kapal yang ditumpanginya terhalang angkara blokade laut Belanda yang menyebabkan Teuku Chik Bugis terpaksa menetap buat sementara waktu di Lahore, India[1]. Menjelang Belanda menyerang Samalanga, Teuku Bugis  telah kembali dan berada di Samalanga.

Pocut Meuligo pernah memimpin pasukan perang Samalanga secara langsung pada saat Belanda tiga kali menyerang negeri Samalanga yang dipimpin oleh Panglima Tentera kerajaan Belanda yang bernama  Jenderal K Van Der Heiden (kemudian menjadi Gabenur). Dalam peperangan pertama dengan Samalanga, Jenderal Van Der Heiden telah menderita luka parah dan mata kirinya buta ditembus peluru pejuang Aceh. Semenjak itu rakyat Aceh menggelarnya ’jeundran buta siblah’ atau jenderal buta sebelah (gambar bawah, kiri).

Menyebut kegigihan Pocut Meuligo menangani ancaman Belanda, seorang Kapten Belanda yang bernama Schoemaker pernah mencatatkan, antaranya: “ Kebenciannya (Pocut Meuligo) terhadap Belanda sedemikian besar, terlihat dari perintahnya bahawa semua rakyat yang sudah sanggup berperang harus ikut berjuang, bahkan untuk keperluan sawah ladang harus ditinggalkan, kalau tidak bakal dihukum berat.[2]”

Selain memimpin sendiri angkatan bertempur dengan menunggang kuda, Pocut Meuligo juga mengirim bantuan dana, alat-alat perang dan sukarelawan ke Aceh Besar yang telah diduduki Belanda. Sehinggakan dalam tahun 1876M, apabila Belanda menuntut Samalanga agar mengakui kekuasaannya, Kapten Shcoemaker menyatakan respon dari kerajaan otonom itu seperti berikut; “…justeru kapal-kapal perang Belanda pula yang ditembakinya bahkan dekat bendera Belanda, serta melakukan pembajakan, paling kurang ajar.[3]’

Malahan Pocut Meuligo sendiri sentiasa mempengaruhi adindanya Teuku Chik Bugis supaya jangan sekali-kali melayan apa jua permintaan Belanda termasuklah membuat perundingan. Dengan cara ini, bukan sahaja Belanda gagal menakluki Samalanga, malahan terpaksa bertarung dengannya untuk tempuh 30 tahun lamanya, yang mana berlaku banyak korban dan kerugian besar oleh pihak Belanda. 

Atas kekaguman pihak Belanda kepada Pocut Meuligo dan wanita-wanita Aceh sepertinya yang sama-sama berperanan serta terlibat secara langsung dalam peperangan Aceh-Belanda yang memakan masa 80 tahun, mereka menyebut wanita Aceh sebagai  ‘de grootes Dames’ atau ‘wanita-wanita Agung’[4]!

[1] Teuku Bugis sempat berkahwin di Aceh sehingga menurunkan zuriat di sana. Bermakna keturunan Tun Seri Lanang juga ada di Lahore. Di situ, Teuku Bugis sempat berbuat amal jariah apabila membina sebuah kolam  untuk kemudahan berwudhu di salah sebuah masjid di situ yang menghadapi kesulitan air. Oleh masyarakat setempat kolam tersebut diberi nama ‘Kolam Aceh’. Di sekitar daerah itu terdapat perkampungan yang bernama Kampung Aceh.
[2] Tengku A.K Jakobi, ‘Aceh dalam perang mempertahankan Proklamasi Kemerdekaan 1945-1949, dan peranan Teuku Hamid Azwar sebagai pejuang’, Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta 1998, hlm 34
[3] Ibid
[4] Hakikatnya  sejarah Aceh telah memperlihatkan peranan besar yang dimainkan oleh wanita-wanitanya dalam bidang politik mahupun peperangan. Seorang wartawan Belanda, Zentgraaf dalam bukunya De Acehers memberi komennya seperti berikut : “ Namun dari semua pemimpin perang kita yang telah bertempur di setiap pojok dan lubang kepulauan Indonesia ini kita akan mendengar bahawa tidak ada satu bangsa yang begitu bersemangat dan fanatik dalam menghadapi musuh selain bangsa Aceh dengan wanita-wanitanya yang jauh lebih unggul daripada semua bangsa-bangsa lain dalam keberanian menghadapi maut.” Antara tokoh-tokoh wanita Aceh yang terkenal ialah Laksamana Malahayati, Laksamana Meurah Ganti, Laksamana Muda Cut Meurah Inseuen, Cut Nyak Dien, Pocut Meuligo, Cut Meutio, Pocut Biheue dan Cutpo Fatimah. Ini belumpun termasuk empat orang Sultanah Aceh iaitu Tajul Alam Safiatuddin, Nurul Alam Naqiatuddin, Inayat Shah dan Kamalat Shah.



Wednesday, 30 May 2018

KELEMAHAN TERSEMBUNYI BRUCE LEE INI AKHIRNYA TERBONGKAR (HANYA DENGAN MELIHAT KAKI, YIP MAN YAKIN BAHAWA BRUCE LEE UMUR TAK PANJANG)

Siapa yang tak kenal Bruce Lee? Sudah semesti nya semua mengenali Aktor dan ahli bela diri berasal dari Hong kong ini.

Bruce Lee telah menjadi legenda selama puluhan tahun. Bruce Lee lahir pada tahun 1940 dan meninggal pada usia yang masih sangat muda, ketika usia 32 tahun.

Hingga saat ini penyebab kematian nya masih menjadi misteri, ada orang yang beranggapan dia meninggal kerana sakit, ada juga mengatakan mati di bunuh, dan lain nya.

Bruce Lee lahir di San Fransico, namun dia menghabiskan masa remaja nya di Hongkong. Sejak kecil Bruce Lee memiliki tubuh yang lemah.

Oleh sebab itu ketika berusia 7 tahun, ayah nya membiarkannya belajar Tai chi. Ketika berusia 16 tahun, Bruce Lee berguru dengan Yip Man, seorang guru aliran kungfu Wing Chun.
Yip Man sangat senang, dia tahu bahawa Bruce Lee me miliki bakat kungfu yang luar biasa. Namun demikian, dalam waktu singkat, Yip Man menemui kelemahan terbesar dalam diri Bruce Lee.
Bruce memiliki kelainan upaya sejak lahir yang hanya akan kelihatan jika d perhatikan dengan teliti. Dia sedikit berjinjit ketika berjalan kaki. Orang yang tumit nya tidak menapak tanah umurnya tidak panjang. Kata Yip Man.

Tak disangka, perkataan Yip Man tersebut terbukti benar. Sebuah penelitian menyata kan bahawa kedua kaki Bruce Lee memiliki selisih panjang sebesar 0.12 inci.
Manakala tumit kakinya tak dapat menapak tanah ketika sedang bercangkung. Tak hanya itu, sesuai dengan pengamatan Yip Man, Bruce Lee terbukti benar tak berumur panjang!

Walau bagaimana pun, itu mungkin hanya berlaku secara kebetulan tekaan dari yip man akan umur Bruce Lee.
KISAH BRUCE LEE DIKALAHKAN OLEH ALLAHYARHAM DATO' MEOR ADALAH TIDAK BENAR!!!

Bruce Lee dikalahkan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman? TIDAK BENAR!!!
Artikel ini ditulis bukan untuk memenangkan mana-mana pihak, tapi untuk memberi penjelasan yang benar kepada semua. Sekiranya kisah pertarungan Bruce Lee dengan Dato Meor disaksikan sendiri oleh anda, anda boleh menghubungi kami untuk berkongsi kisah yang sebenarnya. Namun artikel mengenai pertarungan Bruce Lee dengan Dato Meor yang telah tular sekian lama (sejak awal tahun 2000) ini perlu dihentikan segera kerana mengandungi banyak maklumat-maklumat yang mencurigakan dan salah justeru membuatkan bangsa kita, bangsa melayu dipandang rendah kerana dengan mudahnya mempercayai cerita yang disebarkan melalui internet.

KENALI DAN INOSANTO - SAHABAT BAIK BRUCE LEE

Sebelum meneruskan pembacaan anda, kami ingin berkongsi dengan anda maklumat peribadi Dan Inosanto, seorang pakar seni mempertahankan diri juga seorang partner yang sangat rapat dengan Bruce Lee. Inosanto jugalah yang memperkenalkan nunchacku dan mengajar asas-asas pergerakan nunchaku kepada Bruce Lee. Boleh dikatakan Inosanto adalah orang yang sentiasa berdamping dengan Bruce Lee ke mana sahaja beliau pergi.
Dan Inosanto juga telah diberi tauliah oleh Bruce Lee untuk mengajar sistem seni mempertahankan diri yang dicipta olehnya (Jeet Kune Do). Walaupun begitu, Dan Inosanto bukan sahaja mahir dalam kung fu, tetapi beliau juga mahir dalam seni mempertahankan diri yang lain seperti Muay Thai dan juga Silat Kuntao. Pada era 70an, pencak silat dikenali dunia kerana beliaulah yang telah mencadangkan agar seni mempertahankan diri itu dimasukkan ke dalam filem Bruce Lee bertajuk Game of Death.
Benarkah Bruce Lee sangat berminat dengan Silat?

Menurut Dan Inosanto, memang benar Bruce Lee banyak juga mengkaji tentang silat. Namun beliau tidak pernah mengamalkannya atau menuntut ilmu persilatan dari mana-mana guru Silat Nusantara. Kisah-kisah mengenai pertemuan Bruce Lee dengan guru Silat Nusantara kebanyakkannya adalah palsu dan tidak benar.

BENARKAH BRUCE PLAGIAT PERGERAKAN SILAT?

Ini juga tidak benar. Bruce Lee memang mengaku ada meniru gaya orang lain. Bruce Lee telah meniru pergerakan Muhammad Ali iaitu pergerakkan shuffle kaki dan teknik melonggarkan kaki tetapi tiada pergerakan Silat yang digunakan oleh Bruce Lee. Banyak bezanya teknik pergaduhan jalanan Bruce Lee dengan Pencak Silat.
Benarkah Bruce Lee pernah ditewaskan oleh Dato' Meor Abdul Rahman?
Dan Inosanto ada juga menyebut tentang hal ini. Beliau berkata bahawa kisah tidak benar ini harus dihentikan serta-merta kerana ianya telah menjadi kepercayaan ramai pengamal seni mempertahankan diri di Malaysia sejak tahun 2004. Mengikut cerita yang tersebar di internet, ketika Dato Meor Dalam perjalanan ke England, kapal terbang terlah berhenti seketika (transit) di Hong Kong pada 13 July 1973.

Apabila mengetahui Dato Meor sedang berada di Hong Kong, Bruce Lee lantas berjumpa Dato Meor untuk bertarung. Diceritakan juga bahawa Bruce Lee menyapa Dato Meor dengan sombong dan angkuh. Dato Meor pada ketika itu berumur 56 tahun dan Bruce Lee berumur 32 tahun. Akhirnya kerana terlalu dipaksa Bruce Lee, Dato Meor menggunakan teknik “Kipas Senandung” ke atas Bruce Lee menyebabkan Bruce Lee mengalami kecederaan dalaman justeru menjadi punca kematiannya. Semua kisah ini adalah tidak benar sama sekali.

Pertama sekali, kisah ini mula tular selepas kematian kedua-dua tokoh ini iaitu Dato Meor dan Bruce Lee. Semasa hayat mereka tidak pernah pula didengari tentang ini. Yang kedua, adakah logik sekiranya perjalanan dari England ke Malaysia, kapal terbang berhenti transit di Hong Kong? Tidak pula diceritakan punca transit ke Hong Kong tersebut. Ada ribut tornado di khaitulistiwa Malaysia agaknya.

Pada tahun 70-an, Bruce Lee sudah menjadi seorang yang sangat sibukdengan urusan kerjayanya. Beliau adalah superstar yang dikenali ramai dan juga seorang pengarah filem terkenal. Pasti ramai akan mengerumuni beliau dan menjadi saksi kisah tersebut kalau benar beliau datang ke lapangan terbang Kai Tak untuk bertarung dengan Dato Meor. Ditambah pula lapangan terbang Kai Tak Hong Kong telah memiliki cctv sejak awal tahun 70an lagi. Pasti ada rakaman peristiwa itu sekiranya benar.
Adakah pengawal keselamatan airport membiarkan saja mereka berlawan? Mustahil. Kalau ya pun, pasti sekuriti akan suruh bertarung di luar yang menguatkan fakta lagi bahawa Dato Meor tak akan boleh keluar dari airport sewenang-wenangnya ketika transit. Kalau terlepas flight macam mana? Bruce Lee bukan seorang yang suka mencabar orang yang tidak dikenalinya. Ini adalah fitnah ke atas Bruce Lee. Hakikatnya adalah berlawanan dengan kisah tersebut. Ramai yang mencabar Bruce Lee namun tidak diendahkan beliau. Dikatakan krew penerbitan yang pernah bekerja dengan Bruce Lee semuanya tergelak besar apabila mengetahui tentang cerita Bruce Lee dikalahkan Dato Meor ini.

PUNCA SEBENAR KEMATIAN BRUCE LEE

Hal ini diceritakan sendiri oleh isterinya, Linda Lee Cadwell yang sangat terkilan dengan sikap media menyebarkan risalah palsu mengenai mendiang suaminya. Ada yang mengatakan punca kematian adalah disebabkan pengambilan dadah, dan ada juga mengatakan Bruce Lee dibunuh seseorang.
Linda Lee Cadwell isteri Bruce Lee
Yang sebenarnya, Bruce Lee mati disebabkan oleh Edema Sebebral dimana kondisi ini menyebabkan peningkatan jumlah air di dalam otak yang berpunca dari alahan Equagesic (meprobamate and aspirin). Equagesic digunakan oleh Bruce Lee untuk mengurangkan kesakitan ligamen, otot, saraf, tendon dan struktur yang menyokong tulang belakang.

Keputusan ini telah dikeluarkan bukan dari satu unit forensik, tapi dari banyak unit lain di seluruh dunia. Walaupun keputusan ujian ada mengatakan badan Bruce Lee mengandungi bahan seperti kanabis, namun itu bukanlah penyebab kematiannya.

SATU DUNIA MENGAKUI TEWASKAN BRUCE LEE!!?
KESIMPULAN

Masih banyak lagi cerita palsu mengakui kononnya ada individu berjaya menewaskan Bruce Lee contohnya kisah Dicky Dzulkarnaen dari Indonesia dan Willem Reeders dari China. Kebanyakannya hanya untuk menaikkan nama dan memartabatkan pertubuhan masing-masing. Itu saja.

Bukan mahu merendahkan martabat Seni Persilatan Melayu. Kita sebagai bangsa Melayu memang perlu menjaga adat budaya kita agar kekal ke anak cucu. Apa lagi yang boleh ditinggalkan kepada generasi depan selain adat dan budaya? Penulis sangat mengagungkan Seni Silat dan juga Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman. Namun kisah palsu yang tersebar ini harus dihentikan. Majulah seni, budaya, bangsa, seni silat dan pemikiran untuk negara. Wallahua’lam.

KREDIT: jomshare & Ohgebang


Monday, 5 February 2018

CERITA DARI PONTIANAK: PADUKA NURUL ALAM

Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, “Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu."

Pada awal tahun 2014, saya telah bermusafir ke daerah Pontianak di Kalimantan Barat (KALBAR). Ketika itu saya dan rombongan menjadi tamu kepada Kiyai Syarif Hidayatullah, pimpinan Jemaah Ahli Tarekah Muktabarah Nahdatul Ulama’ (JATMAN) Kalimantan Barat yang ketika itu mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul. Kami sangat beruntung, kerana turut menyertai rombongan kami ialah Al-Marhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz Al-Fathoni.

Detik itu merupakan kali terakhir saya dapat berjumpa dan berkhidmat dengan almarhum Baba Abdul Aziz yang kembali ke Rahmatullah selepas satu minggu pulang dari Pontianak. Pemergian Ulama’ al Fathani yang bermukim di Makkah selama 22 tahun adalah satu kehilangan besar untuk ummah. Sebaik mendapat khabar pemergian almarhum Tuan Guru waktu tengah malam, saya langsung ke Pattani dari Shah Alam. Moga Allah tempatkan almarhum Baba bersama para kekasihNya. Amin

Berbalik kepada permusafiran, saya memulakan perjalanan ke Pontianak melalui Sarawak. Bermula dari Bandar Kuching, saya menaiki bas ekspres meredah sempadan selepas lebih kurang 2 jam di dalam bas.  Selesai cop passport dan ‘scan’ bagasi di sempadan Sarawak – Kalimantan, bas kembali menyambung perjalanan. Jalan raya yang tidak berturap dengan baik menyebabkan bas dipandu sangat perlahan. Mujurlah, ‘air-cond’ bas berfungsi dengan baik. Bukan apa, terdapat bas yang ‘air-cond’nya rosak. Perjalanan bertemani hujan peluh !. Ketika dalam bas, saya sempat mencuri mata melihat perkampungan Dayak yang boleh dilihat dari jendela bas. Suku Dayak adalah antara suku yang digeruni di Indonesia kerana terkenal dengan ilmu hitam yang sudah banyak ‘menewaskan’ orang.

Alhamdulillah,  selepas 12 jam berada di bangku bas, akhirnya kami tiba di tempat penginapan pada lewat malam. Masing-masing ‘capek’ (kepenatan). Sementara itu, Almarhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz yang menaiki pesawat dari Kuching ke Pontianak tiba lebih awal bersama beberapa orang murid beliau.

Setelah beberapa hari acara maulid, kami mengambil peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Kota Pontianak. Saya kurang pasti kenapa saya agak lambat untuk menulis travelog saya di Pontianak, mungkin kerana saya tidak ketemu gambar-gambar saya di Pontianak, apatah lagi gambar saya bersama Pontianak (gurauan) kerana saya agak ralat menulis tanpa gambar sebenarnya. Untuk pengetahuan sahabat, ribuan gambar simpanan saya hilang akibat masalah teknikal. La ni, saya mengharapkan keajaiban agar gambar-gambar itu dapat diselamatkan.

A’la kulli hal beberapa hari ini cerita tentang Kesultanan Pontianak singgah ke benak fikiran saya setelah ada sahabat bertanya tentang sejarah di sana. Saya yang pernah ke sana terpanggil untuk memberikan ‘respon’ terhadap pertanyaan sahabat dan tidak semena-mena telah menjadi tulisan yang panjang lebar. Terima kasih sahabat !.

Di Pontianak, saya juga sempat menziarahi Keraton (Istana) Kesultanan Pontianak, namanya Istana Kadariah yang terletak di Kecamatan Pontianak Timur Selain itu, saya juga menziarahi Makam Sultan – Sultan Kesultanan Pontianak dan Makam Habib Husein Al Qadri. Saya juga tidak lepaskan peluang melawat Tugu Khatulistiwa dan Masjid Jami’ Pontianak yang tersergam indah serta Istana Amantubillah di Kecamatan Mempawah Timur peninggalan Kesultanan Mempawah.

Kota Pontianak

Kota Pontianak dianggap pintu gerbang Kalimantan Barat kerana lokasinya yang strategik. Kota ini berada di persimpangan sungai, terbahagi wilayahnya kepada beberapa bahagian yakni Pontianak Timur, Pontianak Utara, Pontianak Barat dan Pontianak Selatan. Kota Pontianak yang merupakan ibu kota provinsi Kalimantan Barat juga adalah kota migrasi dan juga tempat urbaniasasi penduduk dari daerah luar. Oleh kerna itu, kependudukan di sini bercampur pelbagai bangsa dan etnik. Menurut kajian Enirahayul, ada tiga faktor yang menyebabkan kota Pontianak menjadi pilihan, pertama, kerana ia pusat pemerintahan Kalimatan Barat. Kedua, kedudukannya sebagai kota perdagangan dan ketiga ialah tempat pelabuhan. Sebahagian besar penduduknya adalah beragama Islam.
Peta Pontianak di Kalimantan Utara
Kesultanan Pontianak

Kesultanan Pontianak adalah Kesultanan di Kalimantan Barat yang diasaskan pada 23 Oktober 1771M bersamaan 27 Rejab 1185H. Sejarah Kalimantan Barat mencatatkan Kesultanan Pontianak adalah kesultanan terakhir yang tertegak di wilayah tersebut. Ini kerana, tiada lagi Kerajaan atau Kesultanan yang berdiri selepas Kesultanan Pontianak.

Kesultanan Pontianak berasal dari hutan belantara yang berada di persimpangan tiga sungai iaitu sungai Landak, Sungai Kapuas, dan Sungai Kapuas Kecil.
Istana Kadriah Kesultanan Pontianak
Kesultanan termuda ini telah meninggalan warisan dan sejarah yang unik. Kendatipun, Kesultanan ini boleh dianggap adik  bongsu kepada Kesultanan lain yang lebih tua, tetapi ia mampu berperanan menjadi penyatu dan kunci serta memimpin kesultanan lain di wilayah Kalimantan Barat ketika hayatnya. Kesultanan Pontianak juga dikenali dengan nama Kesultanan Qadriah sempena nama kabilah pengasasnya iaitu Al Qadri.

Tempoh pemerintahan kesultanan Pontianak tidak lama hanya 179 tahun, dan diperintah oleh 8 generasi sultan dari dinasti Al Qadri cuma sejak kelahirannya 1771 M hingga ke Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia 1945 M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lebih dari sekadar warisan budaya yang tidak mempunyai kekuasaan politik apapun lagi .

Pengasas Kesultanan Pontianak

Kesultanan pontianak ini didirikan oleh Sultan Sayyid Syarif Abdul Rahman Bin Al Habib Husein Al Qadri (kadang-kadang dieja Al Kadrie). Ayahanda Baginda, Al Habib Sayyid Husein Al Qadri, adalah seorang Ulama’ besar berketurunan Sayyid dari keturunan ahlul bait (baca: keturunan ke-34 Rasulullah saw) dan penyebar agama Islam yang berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan.

Habib Husein mengembara dari kampung halamannya ke pelbagai tempat untuk berdakwah hingga ke wilayah Nusantara ini. Banyak tempat yang pernah Habib Husein kunjungi seperti Aceh dan Semarang, Kemudian kembali berlayar ke Kerajaan Matan pada tahun 1731 M berdasarkan dokumen Belanda yang ditulis oleh Martinus Nijhoff pada 1925.

Di Matan, ternyata susuk Habib Husein diterima dan disenangi penduduk setempat hingga ke pemerintah. Lalu, Habib Husen Al Qadri dilantik menjadi Qadhi (Hakim) dalam pengedalian hukum hakam Kerajaan Matan. Di Matan, Habib Husein menikahi seorang putri Sultan Muhammad Zainuddin (Sultan Matan) yang bernama Nyai Tua. Pernikahan Habib Husein dengan Nyai Tua ini yang melahirkan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Setelah menetap beberapa tahun tahun di Matan, Habib Husein dan Syarif Abdul Rahman Al Qadri berhijrah ke Kerajaan Mempawah yang diperintah oleh Panembahan Adijaya anak Opu Daeng Manambon untuk melanjutkan dakwah syi’ar islam.

Di Mempawah, Syarif Abdul Rahman Al Qadri yang berumur 18 tahun ketika itu telah dikahwinkan dengan Utain Candra Maidi, puteri kepada Opu Daeng Manambon hasil perkahwinan Daeng Manambon dengan Puteri Kusumba.  Setelah perkawinannya dengan Utain Candra Maidi, Syarif Abdul Rahman bergelar Pangeran Syarif Abdul Rahman Al Qadri. Beliau adalah pedagang, perantau, pelayar dan ulama penyebar ajaran Islam seperti Ayahnya.

Suatu hari, bertarikh 11 Rabiulakhir 1185 H/24 Jun 1771 M, sekembali Syarif Abdur Rahman dari merantau,  Tuan Besar Mempawah juga ayahandanya, Habib Husein Al Qadri telah kembali ke Rahmatullah.

Pemergian Ayahnya sangat memberi kesan kepada Syarif Abdul Rahman dan telah mendorong beliau berhjirah mencari tempat yang bukan sahaja sebagai pusat perdagangan akan tetapi lebih tepat sebenarnya pusat pemerintahan baru.

Pada 14 Rejab 1185 H bersamaan 23 Oktober 1771 M, Syarif Abdul Rahman telah berangkat meninggalkan Mempawah dengan 14 buah perahu kecil. Beliau tiba di suatu sungai kira-kira waktu malam.

Keesokan harinya, Syarif Abdur Rahman pun masuk ke Selat Pontianak dan berhenti di situ selama lima malam. Pada hari Rabu kira-kira pukul 4.00 pagi.

Saya masih ingat Supir (pemandu) kami bercerita,

“Pak, semasa pembukaan hutan, datangnya makhluk-mahkhluk yang dipanggil Pontianak mengganggu rombongan terutama waktu malam. Suara mengilai mereka juga selalu kendengaran. Bukan itu sahaja, susuk mereka memang nampak”

Supir kami terus menyambung,

“apabila sampai ke pengetahuan Syarif Abdul Rahman Al Qadri, Syarif Abdul Rahman Al Qadri membawa sebuah meriam besar ke tengah hutan tersebut. Beliau kemudian menyalakan meriam itu ke sekumpulan Pontianak supaya Pontianak itu ketakutan. Strategi beliau berjaya dan Pontianak beransur-ansur hilang”

“okay pak, untuk pengetahuan bapak,  meriam yang digunakan menakutkan sekumpulan pontianak masih tersimpan di hadapan Istana Kadriah”, tutur supir.

Kami yang memang dalam perjalanan ke Istana Kadriah terasa tidak sabar untuk melihat meriam yang dimaksudkan.

“Ganas betul pontinak di sini, sampai kena guna meriam”, bisik hati saya.

“Macam Maya Karin tak Pontianak tu”, Tanya seorang sahabat saya secara berseloroh.

saya jawab, “kalau Pontianak macam Maya Karin, ramai la pergi tangkap pontianak……tapi ada berani ke”.

Kami tergelak beramai-ramai.
Merian yang digunakan Syarif Abdul untuk menakutkan Pontianak. Ia masih tersimpan hingga kini di hadapan istana.
Tamatnya gangguan Pontianak, hutan belantara yang memenuhi pulau itu ditebas dengan jayanya. Setelah habis ditebas, di dirikan sebuah rumah dan sebuah balai. Proses itu mengambil masa lapan hari dan di dalam tempoh tersebut, Syarif Abdul Rahman kembali ke Mempawah mengambil sebuah kapal dan sebuah tiang sambung. Tarikh 4 Ramadhan 1185 H/11 Disember 1771 M Syarif Abdul Rahman pindah ke pulau itu.

Hari Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M, Syarif Abdul Rahman Al Qadri diangkat menjadi Sultan bagi Kesultanan baru di tengah hutan itu kemudian Baginda menamakan dengan nama ‘Pontianak’ merujuk wilayah kekuasaannya mengambil sempena peristiwa gangguan susuk Kuntilanak ketika pembukaan hutan. Hal ini menjadi asal usul nama Kota Pontianak.

Tak dinafikan, di sana ada versi lain kenapa nama ‘Pontianak’ diangkat menjadi nama Kesultanan.  Sebagai contoh, penamaan nama Pontianak dikatakan juga dari kata Ayunan Anak, atau berasal dari Pohon Punti. Ada juga menyebut berasal dari pontian yang bermaksud tempat perhentian dan lain-lain.

Cumanya, sejarah sekumpulan Pontianak (atau kuntilanak) itu sendiri menjadi sebab penamaan Kesultanan Pontianak lebih masyhur dan menjadi cerita yang diwariskan dari satu generasi ke generasi.

Tersebut di dalam salah satu manuskrip yang berasal dari tulisan Syarif Abu Bakar Al Kadrie (cicit Sultan Pontianak pertama) yang bertarikh 28 Rabiulakhir 1350H bersamaan 9 September 1931M,

Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, “Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu”.

Nak cakap terima kasih ke tidak ya kepada Pontianak yang menjadi sebab kepada nama tersebut. Terserah la yer ! (gurauan).

Pertabalan Al Qadri

Menjadi adat, sesebuah kerajaan adalah dikira berdaulat apabila adanya pengiktirafan Kerajaan atau kesultanan berdaulat yang lain. Kesultanan Pontianak tidak terkecuali. Maka telah datang Raja Haji Ibni Daeng Chelak (baca : As Syahid Raja Haji Fisabililah), Yang dipertuan Muda Riau yang keeempat (1727-1784 M) untuk meneliti karisma dan tuah Syarif Abdul Rahman Al Qadri serta menyelidik pandangan rakyat. Apabila semua penduduk Pontianak bersetuju pelantikan Syarif Abdul Rahman, Raja Haji mengirim utusan ke negeri sekitar iaitu Mempawah, Matan, Landak dan Kubu. Raja-Raja negeri tersebut memberi perkenan dan restu pelantikan.

Susulan itu, pada tarikh yang tersebut (Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M), telah berhimpun sekalian tuan-tuan sayyid, para raja dan rakyat negeri Pontianak menyaksi pertabalan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Raja Haji yang juga merupakan adinda Sultan Salahuddin (Sultan Selangor pertama) bertitah,

“Adapun kami memberitahu kepada sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja, dan sekalian isi negeri Pontianak ini, pada hari ini, Paduka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam kita sahkan berpangkat dengan nama Paduka Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri, iaitu raja di atas takhta kerajaan Negeri Pontianak, demikianlah adanya”

Saya meneka kedatangan dan restu daulat dari Raja Haji kepada Syarif Abdul Rahman Al Qadrie adalah kerana faktor hubungan kekeluargaan. Raja Haji Bin Daeng Chelak adalah sepupu kepada isteri Syarif Abdul Rahman Al Qadri iaitu Utain Candra Maidi Bt Daeng Menambon kerana Ayahanda mereka berdua (Daeng Chelak dan Daeng Menambon) adalah adik beradik. Daeng Chelak dan Daeng Manambon mempunyai 3 saudara lelaki lagi iaitu Daeng Merewah, Daeng Perani dan Daeng Kemasi. Kelima putera Oppu Tendri Bura Dilaga dari Kesultanan Luwu’- Bugis merupakan lima saudara agung yang pernah dilahirkan di Nusantara ini. kelima-lima mereka merupakan pelayar hebat yang telah memainkan peranan penting dalam aspek penyebaran Islam dan kekuasaan politik di Nusantara khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Kalimantan serta Sumatera.

Maka tertegak Kesultanan Pontianak dari zuriat keturunan Rasulullah  (baca : ahlul bait) dari kabilah Al Qadri. Dari Yaman, keluarga ini datang berdakwah ke Nusantara. Takdir Allah, dikurniakan Allah akan mereka Al Qadri akan kerajaan. Mereka tidak hanya berdakwah tetapi juga mendirikan kekuasaan.

Baginda Sayyid Syarif Abdul Rahman Al Qadri bin Sayyid Husein ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Hussein ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Aqil ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Abdul Rahman ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan al Muallim ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hasan ibni Sayyid Ali ibni Muhammad Fakeh Al Muqaddam ibni Ali ibni Muhammad Sahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammd ibni Alawi ibni Syaikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajir Ibni Isa Ar Rumi ibni Muhammad Al Naqib ibni Ali Al Uraidhi ibni Jaafar As Sadiq ibni Muhammad Al Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al Husein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasululilah  (Pakar nasab alawiyin di Hadramaut telah mengesahkan salasilah ini. Boleh merujuk Kitab Syamsu Ad Dzhohirah).

Maka telah memerintah Paduka Sultan Syarif Abdul Rahman Al Qadri Nurul Alam dan keturunannya selama turun temurun hingga Kesultanan Pontianak bergabung menyertai Negara Kesatuan Republik Indonesia selepas Kemerdekaan Indonesia 1945M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lagi mempunyai kekuasaan politik, hanya lebih dari sekadar lambang dan warisan budaya yang terikat dengan sumpah Pancasila.

Sekian,

Angah Sunan
Pengasas Sunan Press PLT
angahsunan.blogspot.my

Rujukan: Kembara penulis di Kalimantan Barat