Showing posts with label Nusantara. Show all posts
Showing posts with label Nusantara. Show all posts

Monday, 5 February 2018

CERITA DARI PONTIANAK: PADUKA NURUL ALAM

Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, “Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu."

Pada awal tahun 2014, saya telah bermusafir ke daerah Pontianak di Kalimantan Barat (KALBAR). Ketika itu saya dan rombongan menjadi tamu kepada Kiyai Syarif Hidayatullah, pimpinan Jemaah Ahli Tarekah Muktabarah Nahdatul Ulama’ (JATMAN) Kalimantan Barat yang ketika itu mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul. Kami sangat beruntung, kerana turut menyertai rombongan kami ialah Al-Marhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz Al-Fathoni.

Detik itu merupakan kali terakhir saya dapat berjumpa dan berkhidmat dengan almarhum Baba Abdul Aziz yang kembali ke Rahmatullah selepas satu minggu pulang dari Pontianak. Pemergian Ulama’ al Fathani yang bermukim di Makkah selama 22 tahun adalah satu kehilangan besar untuk ummah. Sebaik mendapat khabar pemergian almarhum Tuan Guru waktu tengah malam, saya langsung ke Pattani dari Shah Alam. Moga Allah tempatkan almarhum Baba bersama para kekasihNya. Amin

Berbalik kepada permusafiran, saya memulakan perjalanan ke Pontianak melalui Sarawak. Bermula dari Bandar Kuching, saya menaiki bas ekspres meredah sempadan selepas lebih kurang 2 jam di dalam bas.  Selesai cop passport dan ‘scan’ bagasi di sempadan Sarawak – Kalimantan, bas kembali menyambung perjalanan. Jalan raya yang tidak berturap dengan baik menyebabkan bas dipandu sangat perlahan. Mujurlah, ‘air-cond’ bas berfungsi dengan baik. Bukan apa, terdapat bas yang ‘air-cond’nya rosak. Perjalanan bertemani hujan peluh !. Ketika dalam bas, saya sempat mencuri mata melihat perkampungan Dayak yang boleh dilihat dari jendela bas. Suku Dayak adalah antara suku yang digeruni di Indonesia kerana terkenal dengan ilmu hitam yang sudah banyak ‘menewaskan’ orang.

Alhamdulillah,  selepas 12 jam berada di bangku bas, akhirnya kami tiba di tempat penginapan pada lewat malam. Masing-masing ‘capek’ (kepenatan). Sementara itu, Almarhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz yang menaiki pesawat dari Kuching ke Pontianak tiba lebih awal bersama beberapa orang murid beliau.

Setelah beberapa hari acara maulid, kami mengambil peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Kota Pontianak. Saya kurang pasti kenapa saya agak lambat untuk menulis travelog saya di Pontianak, mungkin kerana saya tidak ketemu gambar-gambar saya di Pontianak, apatah lagi gambar saya bersama Pontianak (gurauan) kerana saya agak ralat menulis tanpa gambar sebenarnya. Untuk pengetahuan sahabat, ribuan gambar simpanan saya hilang akibat masalah teknikal. La ni, saya mengharapkan keajaiban agar gambar-gambar itu dapat diselamatkan.

A’la kulli hal beberapa hari ini cerita tentang Kesultanan Pontianak singgah ke benak fikiran saya setelah ada sahabat bertanya tentang sejarah di sana. Saya yang pernah ke sana terpanggil untuk memberikan ‘respon’ terhadap pertanyaan sahabat dan tidak semena-mena telah menjadi tulisan yang panjang lebar. Terima kasih sahabat !.

Di Pontianak, saya juga sempat menziarahi Keraton (Istana) Kesultanan Pontianak, namanya Istana Kadariah yang terletak di Kecamatan Pontianak Timur Selain itu, saya juga menziarahi Makam Sultan – Sultan Kesultanan Pontianak dan Makam Habib Husein Al Qadri. Saya juga tidak lepaskan peluang melawat Tugu Khatulistiwa dan Masjid Jami’ Pontianak yang tersergam indah serta Istana Amantubillah di Kecamatan Mempawah Timur peninggalan Kesultanan Mempawah.

Kota Pontianak

Kota Pontianak dianggap pintu gerbang Kalimantan Barat kerana lokasinya yang strategik. Kota ini berada di persimpangan sungai, terbahagi wilayahnya kepada beberapa bahagian yakni Pontianak Timur, Pontianak Utara, Pontianak Barat dan Pontianak Selatan. Kota Pontianak yang merupakan ibu kota provinsi Kalimantan Barat juga adalah kota migrasi dan juga tempat urbaniasasi penduduk dari daerah luar. Oleh kerna itu, kependudukan di sini bercampur pelbagai bangsa dan etnik. Menurut kajian Enirahayul, ada tiga faktor yang menyebabkan kota Pontianak menjadi pilihan, pertama, kerana ia pusat pemerintahan Kalimatan Barat. Kedua, kedudukannya sebagai kota perdagangan dan ketiga ialah tempat pelabuhan. Sebahagian besar penduduknya adalah beragama Islam.
Peta Pontianak di Kalimantan Utara
Kesultanan Pontianak

Kesultanan Pontianak adalah Kesultanan di Kalimantan Barat yang diasaskan pada 23 Oktober 1771M bersamaan 27 Rejab 1185H. Sejarah Kalimantan Barat mencatatkan Kesultanan Pontianak adalah kesultanan terakhir yang tertegak di wilayah tersebut. Ini kerana, tiada lagi Kerajaan atau Kesultanan yang berdiri selepas Kesultanan Pontianak.

Kesultanan Pontianak berasal dari hutan belantara yang berada di persimpangan tiga sungai iaitu sungai Landak, Sungai Kapuas, dan Sungai Kapuas Kecil.
Istana Kadriah Kesultanan Pontianak
Kesultanan termuda ini telah meninggalan warisan dan sejarah yang unik. Kendatipun, Kesultanan ini boleh dianggap adik  bongsu kepada Kesultanan lain yang lebih tua, tetapi ia mampu berperanan menjadi penyatu dan kunci serta memimpin kesultanan lain di wilayah Kalimantan Barat ketika hayatnya. Kesultanan Pontianak juga dikenali dengan nama Kesultanan Qadriah sempena nama kabilah pengasasnya iaitu Al Qadri.

Tempoh pemerintahan kesultanan Pontianak tidak lama hanya 179 tahun, dan diperintah oleh 8 generasi sultan dari dinasti Al Qadri cuma sejak kelahirannya 1771 M hingga ke Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia 1945 M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lebih dari sekadar warisan budaya yang tidak mempunyai kekuasaan politik apapun lagi .

Pengasas Kesultanan Pontianak

Kesultanan pontianak ini didirikan oleh Sultan Sayyid Syarif Abdul Rahman Bin Al Habib Husein Al Qadri (kadang-kadang dieja Al Kadrie). Ayahanda Baginda, Al Habib Sayyid Husein Al Qadri, adalah seorang Ulama’ besar berketurunan Sayyid dari keturunan ahlul bait (baca: keturunan ke-34 Rasulullah saw) dan penyebar agama Islam yang berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan.

Habib Husein mengembara dari kampung halamannya ke pelbagai tempat untuk berdakwah hingga ke wilayah Nusantara ini. Banyak tempat yang pernah Habib Husein kunjungi seperti Aceh dan Semarang, Kemudian kembali berlayar ke Kerajaan Matan pada tahun 1731 M berdasarkan dokumen Belanda yang ditulis oleh Martinus Nijhoff pada 1925.

Di Matan, ternyata susuk Habib Husein diterima dan disenangi penduduk setempat hingga ke pemerintah. Lalu, Habib Husen Al Qadri dilantik menjadi Qadhi (Hakim) dalam pengedalian hukum hakam Kerajaan Matan. Di Matan, Habib Husein menikahi seorang putri Sultan Muhammad Zainuddin (Sultan Matan) yang bernama Nyai Tua. Pernikahan Habib Husein dengan Nyai Tua ini yang melahirkan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Setelah menetap beberapa tahun tahun di Matan, Habib Husein dan Syarif Abdul Rahman Al Qadri berhijrah ke Kerajaan Mempawah yang diperintah oleh Panembahan Adijaya anak Opu Daeng Manambon untuk melanjutkan dakwah syi’ar islam.

Di Mempawah, Syarif Abdul Rahman Al Qadri yang berumur 18 tahun ketika itu telah dikahwinkan dengan Utain Candra Maidi, puteri kepada Opu Daeng Manambon hasil perkahwinan Daeng Manambon dengan Puteri Kusumba.  Setelah perkawinannya dengan Utain Candra Maidi, Syarif Abdul Rahman bergelar Pangeran Syarif Abdul Rahman Al Qadri. Beliau adalah pedagang, perantau, pelayar dan ulama penyebar ajaran Islam seperti Ayahnya.

Suatu hari, bertarikh 11 Rabiulakhir 1185 H/24 Jun 1771 M, sekembali Syarif Abdur Rahman dari merantau,  Tuan Besar Mempawah juga ayahandanya, Habib Husein Al Qadri telah kembali ke Rahmatullah.

Pemergian Ayahnya sangat memberi kesan kepada Syarif Abdul Rahman dan telah mendorong beliau berhjirah mencari tempat yang bukan sahaja sebagai pusat perdagangan akan tetapi lebih tepat sebenarnya pusat pemerintahan baru.

Pada 14 Rejab 1185 H bersamaan 23 Oktober 1771 M, Syarif Abdul Rahman telah berangkat meninggalkan Mempawah dengan 14 buah perahu kecil. Beliau tiba di suatu sungai kira-kira waktu malam.

Keesokan harinya, Syarif Abdur Rahman pun masuk ke Selat Pontianak dan berhenti di situ selama lima malam. Pada hari Rabu kira-kira pukul 4.00 pagi.

Saya masih ingat Supir (pemandu) kami bercerita,

“Pak, semasa pembukaan hutan, datangnya makhluk-mahkhluk yang dipanggil Pontianak mengganggu rombongan terutama waktu malam. Suara mengilai mereka juga selalu kendengaran. Bukan itu sahaja, susuk mereka memang nampak”

Supir kami terus menyambung,

“apabila sampai ke pengetahuan Syarif Abdul Rahman Al Qadri, Syarif Abdul Rahman Al Qadri membawa sebuah meriam besar ke tengah hutan tersebut. Beliau kemudian menyalakan meriam itu ke sekumpulan Pontianak supaya Pontianak itu ketakutan. Strategi beliau berjaya dan Pontianak beransur-ansur hilang”

“okay pak, untuk pengetahuan bapak,  meriam yang digunakan menakutkan sekumpulan pontianak masih tersimpan di hadapan Istana Kadriah”, tutur supir.

Kami yang memang dalam perjalanan ke Istana Kadriah terasa tidak sabar untuk melihat meriam yang dimaksudkan.

“Ganas betul pontinak di sini, sampai kena guna meriam”, bisik hati saya.

“Macam Maya Karin tak Pontianak tu”, Tanya seorang sahabat saya secara berseloroh.

saya jawab, “kalau Pontianak macam Maya Karin, ramai la pergi tangkap pontianak……tapi ada berani ke”.

Kami tergelak beramai-ramai.
Merian yang digunakan Syarif Abdul untuk menakutkan Pontianak. Ia masih tersimpan hingga kini di hadapan istana.
Tamatnya gangguan Pontianak, hutan belantara yang memenuhi pulau itu ditebas dengan jayanya. Setelah habis ditebas, di dirikan sebuah rumah dan sebuah balai. Proses itu mengambil masa lapan hari dan di dalam tempoh tersebut, Syarif Abdul Rahman kembali ke Mempawah mengambil sebuah kapal dan sebuah tiang sambung. Tarikh 4 Ramadhan 1185 H/11 Disember 1771 M Syarif Abdul Rahman pindah ke pulau itu.

Hari Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M, Syarif Abdul Rahman Al Qadri diangkat menjadi Sultan bagi Kesultanan baru di tengah hutan itu kemudian Baginda menamakan dengan nama ‘Pontianak’ merujuk wilayah kekuasaannya mengambil sempena peristiwa gangguan susuk Kuntilanak ketika pembukaan hutan. Hal ini menjadi asal usul nama Kota Pontianak.

Tak dinafikan, di sana ada versi lain kenapa nama ‘Pontianak’ diangkat menjadi nama Kesultanan.  Sebagai contoh, penamaan nama Pontianak dikatakan juga dari kata Ayunan Anak, atau berasal dari Pohon Punti. Ada juga menyebut berasal dari pontian yang bermaksud tempat perhentian dan lain-lain.

Cumanya, sejarah sekumpulan Pontianak (atau kuntilanak) itu sendiri menjadi sebab penamaan Kesultanan Pontianak lebih masyhur dan menjadi cerita yang diwariskan dari satu generasi ke generasi.

Tersebut di dalam salah satu manuskrip yang berasal dari tulisan Syarif Abu Bakar Al Kadrie (cicit Sultan Pontianak pertama) yang bertarikh 28 Rabiulakhir 1350H bersamaan 9 September 1931M,

Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, “Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu”.

Nak cakap terima kasih ke tidak ya kepada Pontianak yang menjadi sebab kepada nama tersebut. Terserah la yer ! (gurauan).

Pertabalan Al Qadri

Menjadi adat, sesebuah kerajaan adalah dikira berdaulat apabila adanya pengiktirafan Kerajaan atau kesultanan berdaulat yang lain. Kesultanan Pontianak tidak terkecuali. Maka telah datang Raja Haji Ibni Daeng Chelak (baca : As Syahid Raja Haji Fisabililah), Yang dipertuan Muda Riau yang keeempat (1727-1784 M) untuk meneliti karisma dan tuah Syarif Abdul Rahman Al Qadri serta menyelidik pandangan rakyat. Apabila semua penduduk Pontianak bersetuju pelantikan Syarif Abdul Rahman, Raja Haji mengirim utusan ke negeri sekitar iaitu Mempawah, Matan, Landak dan Kubu. Raja-Raja negeri tersebut memberi perkenan dan restu pelantikan.

Susulan itu, pada tarikh yang tersebut (Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M), telah berhimpun sekalian tuan-tuan sayyid, para raja dan rakyat negeri Pontianak menyaksi pertabalan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Raja Haji yang juga merupakan adinda Sultan Salahuddin (Sultan Selangor pertama) bertitah,

“Adapun kami memberitahu kepada sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja, dan sekalian isi negeri Pontianak ini, pada hari ini, Paduka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam kita sahkan berpangkat dengan nama Paduka Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri, iaitu raja di atas takhta kerajaan Negeri Pontianak, demikianlah adanya”

Saya meneka kedatangan dan restu daulat dari Raja Haji kepada Syarif Abdul Rahman Al Qadrie adalah kerana faktor hubungan kekeluargaan. Raja Haji Bin Daeng Chelak adalah sepupu kepada isteri Syarif Abdul Rahman Al Qadri iaitu Utain Candra Maidi Bt Daeng Menambon kerana Ayahanda mereka berdua (Daeng Chelak dan Daeng Menambon) adalah adik beradik. Daeng Chelak dan Daeng Manambon mempunyai 3 saudara lelaki lagi iaitu Daeng Merewah, Daeng Perani dan Daeng Kemasi. Kelima putera Oppu Tendri Bura Dilaga dari Kesultanan Luwu’- Bugis merupakan lima saudara agung yang pernah dilahirkan di Nusantara ini. kelima-lima mereka merupakan pelayar hebat yang telah memainkan peranan penting dalam aspek penyebaran Islam dan kekuasaan politik di Nusantara khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Kalimantan serta Sumatera.

Maka tertegak Kesultanan Pontianak dari zuriat keturunan Rasulullah  (baca : ahlul bait) dari kabilah Al Qadri. Dari Yaman, keluarga ini datang berdakwah ke Nusantara. Takdir Allah, dikurniakan Allah akan mereka Al Qadri akan kerajaan. Mereka tidak hanya berdakwah tetapi juga mendirikan kekuasaan.

Baginda Sayyid Syarif Abdul Rahman Al Qadri bin Sayyid Husein ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Hussein ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Aqil ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Abdul Rahman ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan al Muallim ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hasan ibni Sayyid Ali ibni Muhammad Fakeh Al Muqaddam ibni Ali ibni Muhammad Sahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammd ibni Alawi ibni Syaikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajir Ibni Isa Ar Rumi ibni Muhammad Al Naqib ibni Ali Al Uraidhi ibni Jaafar As Sadiq ibni Muhammad Al Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al Husein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasululilah  (Pakar nasab alawiyin di Hadramaut telah mengesahkan salasilah ini. Boleh merujuk Kitab Syamsu Ad Dzhohirah).

Maka telah memerintah Paduka Sultan Syarif Abdul Rahman Al Qadri Nurul Alam dan keturunannya selama turun temurun hingga Kesultanan Pontianak bergabung menyertai Negara Kesatuan Republik Indonesia selepas Kemerdekaan Indonesia 1945M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lagi mempunyai kekuasaan politik, hanya lebih dari sekadar lambang dan warisan budaya yang terikat dengan sumpah Pancasila.

Sekian,

Angah Sunan
Pengasas Sunan Press PLT
angahsunan.blogspot.my

Rujukan: Kembara penulis di Kalimantan Barat



Thursday, 4 January 2018

WARISAN MELAYU DI BUMI FILIPINA

Image may contain: 3 people, text
Menonton drama bersiri berunsur sejarah Filipina bertajuk Amaya di Astro saluran 133 membuatkan penulis tergamam buat seketika.Kenapa tidak,dari kostum tradisi hingga ke latar masyarakat yang digambarkan pada masa itu,semuanya mirip dengan cara hidup masyarakat melayu lama dan etnik-etnik asli Borneo yang juga menerima pengaruh masyarakat melayu secara tidak langsung.

Dari sini penulis mula memikirkan rasional di sebalik pemahatan prasasti Laguna Copperplate yang ditemui pada tahun 1989 di Laguna de Bay di Manila menggunakan huruf Kawi dalam bahasa Melayu Kuno yang bercampur istilah Sanskrit,Jawa Kuno dan Tagalog Kuno. Saya pinjam terjemahan rakan admin, Srikandi. 

Ini dia Laguna Copperplate,Filipina:

Tafsiran dalam Bahasa Melayu Moden:

Swasti. Tahun Saka 822, bulan Waisakha, menurut tarikh. Hari keempat setelah bulan mati, Isnin. Di saat ini, Dayang Angkatan, dan saudaranya yang bernama si Bukah, anak-anak dari Sang Tuan Namwaran, diberikan sebuah dokumen pengampunan penuh dari Sang Pemegang Pimpinan di Tundun (Tondo sekarang), diwakili oleh Sang Tuan Nayaka dari Pailah (Pila sekarang), Jayadewa.

Atas perintahnya, secara tertulis, Sang Tuan Namwaran telah dimaafkan sepenuhnya dan dibebaskan dari hutang-hutangnya sebanyak satu Katî dan lapan Suwarna di hadapan Sang Tuan Puliran Kasumuran di bawah petunjuk dari Sang Tuan Nayaka di Pailah.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
(Gambar Sekadar Hiasan)

Oleh kerana kesetiaannya dalam berbakti, Sang Tuan (Yang Terhormat) yang termasyhur dari Binwangan mengakui semua kerabat Namwaran yang masih hidup, yang telah didakwa oleh Sang Penguasa Dewata, yang diwakili oleh Sang Penguasa Medang.

Ya, oleh sebab itu seluruh anak cucu Sang Tuan Namwaran sudah dimaafkan dari segala hutang Sang Tuan Namwaran kepada Sang penguasa Dewata.

(Pernyataan) ini, dengan demikian, menjelaskan kepada siapa pun setelahnya, bahawa jika di masa depan ada orang yang mengatakan belum bebas hutangnya Sang Tuan."

Kalau anda rajin mengikuti penulisan beliau anda akan mengetahui prasasti ini dipahat sewaktu Filipina berada di bawah naungan kerajaan Medang(betulkan kalau saya salah)yang berpusat di tanah Jawa,lokasi yang sama terbinanya candi Borobudur oleh Dinasti Melayu Sailendra pada abad ke 8 Masehi,Dinasti ini (Sailendra)disahkan milik bangsa melayu sepenuhnya oleh sejarahwan lagenda Indonesia,Poerbajaratka yang menyatakan secara jelas dinasti ini menggunakan hanya bahasa melayu dan sanskrit berdasarkan penemuan prasasti kerajaan ini di sekitar empayar kekuasaannya.Pastinya anda perlu tahu kaitan dinasti ini dengan wangsa kekuasaan maritim ulung nusantara,Sriwidjaya yang sebenarnya bukan bermula di Palembang akan tetapi dari Kelantan yang dikenali sebagai Chih Tu oleh pengembara dan duta-duta China pada masa lalu berdasarkan hipotesis sejarahwan China,Shen Fuwen yang dikeluarkan pada tahun 2002 menyatakan Chih Tuh lah pemula kerajaan Sriwidjaya,sekadar mengukuhkan hipotesis yang sama yang dikeluarkan sejarahwan Jepun,Kuwata Rakuno pada tahun 1921.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
(Gambar Sekadar Hiasan)

Paling mengujakan penulis,watak utama yakni Amaya yang dilakonkan Marian Rivera,aktres tersohor Filipina masa kini menunjukkan beliau memainkan watak sebagai seorang bekas hamba raja yang berminat dengan ilmu perubatan tradisi.Dalam satu babak dipertontonkan beliau bersama gadis-gadis sunti yang lain mengikuti pengajaran wanita tua yang dikenali sebagai 'dukun'(lupa istilah tagalognya)bagi membolehkan dia mencapai impiannya menjadi 'high priest' bagi etnik beliau.Situasi yang digambarkan seakan memberikan isyarat hanya wanita sahaja yang dibolehkan memegang kedudukan berkenaan dan harus dimulai dengan gadis sunti yang masih belum berkahwin dengan persyaratan pembelajaran yang sangat ketat.

Hal ini seakan serupa dengan syarat untuk menjadi Bobohizan(dukun/High Priest,apapun istilahnya)iaitu haruslah seorang wanita dan dimulai dari saat gadis itu masih belum berkahwin seandainya ada yang berminat ingin menjadi Bobohizan(penulis kurang pasti andai kedudukan sebagai Bobohizan ini juga turut melibatkan lelaki,namun dalam kebanyakan ritual melibatkan upacara-upacara sakral etnik kadazanDusun Bobohizan lazim terdiri dari kalangan wanita).

Kedudukan sebagai Bobohizan dianggap penting dan istimewa kerana keupayaan mereka untuk berhubung secara langsung dengan alam ghaib dan mampu berkomunikasi dengan semangat yang dipercayai mampu mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat kadazanDusun lama.
Hasil carian imej untuk warisan melayu di bumi filipina
Jose Rizal
(Gambar Sekadar Hiasan)

Kesimpulannya,apa yang penulis cuba highlightkan di sini,betapa kental dan tebalnya masyarakat Filipina moden hari ini denga gaya hidup yang ditinggalkan penjajah Sepanyol dan Amerika ke atas mereka,namun mereka tidak mampu untuk memadamkan hakikat masa lalu nenek moyang mereka yang punya hubungan yang sangat kuat dengan etnik-etnik nusntara yang lain,khususnya bangsa melayu.Waima mereka sendiripun sebenarnya pecahan daripada bangsa melayu berdasarkan pengakuan berani mati tokoh nasionalis kemerdekaan mereka,Jose Rizal sebagai bangsa melayu hinggakan bibiografi beliau ditulis megah sebagai Pride Of The Malay Race selain bukti yang ditinggalkan oleh Prasasti Laguna Copperplate,kemiripan budaya yang bukan sedikit antara mereka dan etnik asli Borneo juga turut menimbulkan persoalan besar di benak penulis yang mengaku agak dangkal dengan pengetahuan sejarah,seandainya mereka(masyarakat Filipina)dilabel sebagai bangsa melayu,apakah etnik asli Borneo juga adalah......???

P.S : Jangan menyempitkan pandangan bangsa sebatas agama,renung-renungkan.Penulis juga berbangsakan keturunan pribumi Borneo, bukannya orang Melayu. 

-Suhemi A. Majik-