Showing posts with label Raja² Melayu. Show all posts
Showing posts with label Raja² Melayu. Show all posts

Friday, 10 May 2019

SEJARAH - RAJA MENYELAMATKAN NEGARA ATAU ORANG MELAYU SELAMATKAN RAJA?

Hari ini kita belajar sejarah. Supaya rakyat Malaysia dan terutamanya kaum Melayu boleh mengetahui asal-usul dan perjalanan sejarah mereka. Kebanyakan orang Melayu buta sejarah, mungkin kerana sikap tidak rajin membaca. Jika rajin membaca pun, mungkin hanya membaca berita hiburan atau gosip. Jika membaca sejarah pun, mungkin lebih berminat tentang kisah cinta Hang Tuah bersama Puteri Gunung Ledang (kisah cinta ini pun tidak wujud dalam sejarah, ia hanyalah ciptaan para penghibur dan tukang karut sahaja).

Hari ini kita belajar tentang asal usul Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bagaimana ia terjadi dan mengapa ia terjadi. Umum mengetahui bahawa ia tercetus akibat dari tentangan orang Melayu terhadap ‘Malayan Union’ – satu cadangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan takluk mereka selepas Perang Dunia Kedua yang sekaligus mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa ke atas negeri masing-masing dan memaksa mereka dan Raja-Raja mereka mengikut telunjuk seorang Governor British.
Related image
SUMBER: pembentukanmalayanunion.weebly.com
Di bawah, adalah cerita latar belakang bagaimana idea dan perjanjian Malayan Union mula-mula berlaku. Ramai yang lupa bagaimana tingkah laku raja-raja Melayu dahulukala menyebabkan Tanah Melayu ini telah diserahkan bulat-bulat kepada penjajah sewenang-wenangnya hanya kerana kebanyakkan raja-raja Melayu dahulu terlalu dangkal dan hanya pentingkan diri sendiri.

Kisah Perjanjian Pangkor yang menyerahkan Perak kepada British (1874), kisah Perjanjian Inggeris – Kedah (1786) yang menyerahkan Pulau Pinang kepada British dan kisah perjanjian Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada British dalam tahun 1819 menjadi tauladan kepada kita semua. Ini semua adalah fakta sejarah.
Image result for malayan union
SUMBER: THE PATRIOTS
Walau bagaimanapun, oleh kerana orang Melayu bangkit melawan Malayan Union pasca 1946, maka ia terpaksa dibatalkan di dalam tahun 1948. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan lupa bagaimana kuasa raja-raja Melayu yang sudah hilang itu telah dikembalikan oleh orang Melayu juga.

Kita tidak boleh takut pada sejarah, bahkan kita tidak perlu malu pada sejarah. Apa yang terjadi sudah terjadi dan kita dari generasi yang kemudian ini harus membaiki diri dan melakukan perkara yang betul supaya sejarah yang buruk tidak akan berulang lagi.

Ringkasan:
  • Sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua, penjajah British telah menangkap dan membuang Sultan Selangor (Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah) dan menggantikannya dengan adindanya yang lebih muda sebagai pengganti di dalam tahun 1945. Adinda ini akhirnya menjadi Yang DiPertuan Agong ke 2. Nama baginda adalah Sultan Hisamuddin Alam Shah, iaitu nenda kepada Sultan Selangor sekarang.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Pihak penjajah British juga telah memaksa raja-raja dari Perlis dan Terengganu untuk ‘bersara’ awal kerana tidak menyokong British semasa perang dunia yang baru sahaja berakhir ketika itu. Raja Syed Hamzah digantikan dengan Raja Syed Harun Putra manakala Sultan Terengganu yang berhak, Sultan Ali Shah digantikan dengan Sultan Ismail kerana tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Wakil kerajaan British bernama MacMichael diberi kuasa untuk melantik sultan-sultan dan jika mereka tidak mahu menandatangani perjanjian itu, MacMichael boleh melantik mana-mana kerabat raja untuk menurunkan tandatangan.

  • Negeri pertama penjajah British melawat untuk mendapatkan persetujuan Malayan Union adalah negeri Johor, kerana ia adalah negeri terkaya dan sistem kesultanan mereka dicipta oleh British.

  • Ketika bertemu dengan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, pihak penjajah British memeterai di dalam sebuah upacara bahawa baginda Sultan adalah Sultan Johor yang rasmi dan menyerahkan dokumen Malayan Union untuk ditandatangan.

  • Pihak British memberi Sultan Ibrahim hanya satu malam untuk membaca dokumen tersebut sementara MacMichael menunggu di dalam rumah tetamu. Sultan Ibrahim membaca dokumen itu tetapi tidak memberi tahu majlis menteri atau badan badan perundangan Johor mengenai isi kandungan dokumen itu.

  • Selepas dua hari, baginda menurunkan tandatangan dan segera bergegas ke negara yang dicintainya iaitu England.

  • MacMichael melaporkan kepada orang atasannya di England bahawa rundingan dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan suasana teramat baik dan ramah.
    Image result for sultan ibrahim johor
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain.

  • Setelah 71 hari, MacMichael mendapat persetujuan kesemua sultan-sultan di Tanah Melayu untuk menubuhkan Malayan Union.

  • Pada Januari 1946, kertas putih pembentangan bagi pembentukan Malayan Union diterbitkan di London. Ramai orang Melayu di Tanah Melayu tersedar akan bahaya yang akan menimpa mereka dan mula mengkritik perjanjian itu.

  • Ahli-ahli politik Johor yang bersatu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar mengerti akan implikasi Malayan Union iaitu – kuasa negeri akan hilang, yakni negeri-negeri akan diperintah oleh pihak British yang berpusat di Kuala Lumpur, dan kuasa politik Melayu akan berpindah kepada orang Cina.

  • Dato’ Onn dan orang Melayu lain mempunyai masalah bagaimana hendak membatalkan tandatangan Sultan Ibrahim.

  • Antara penyelesaiannya adalah – menggantikan Sultan Ibrahim dengan anakandanya. Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi: “Oleh kerana sebab sebab di atas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini”.

  • Sebagai tanda mereka ini serius, mereka menubuhkan Kesatuan Melayu Johor yang kemudian harinya bergabung dengan kesatuan-kesatuan Melayu di negeri lain dan menjadi UMNO.

  • Selepas itu, Sultan Ibrahim dan Sultan dari Kelantan adalah yang pertama menukar fikiran mereka. Di London, akibat takut dirinya diturunkan takhta oleh orang-orang Melayu di Johor, Sultan Ibrahim telah menulis surat kepada pejabat British untuk menarik balik sokongannya terhadap Malayan Union.


Apabila kesemua sultan-sultan menukar fikiran mereka, barulah orang-orang Melayu boleh menerima semula raja-raja mereka. Tetapi peranan sultan sudah berubah. Mereka bukan lagi fokus utama di dalam politik dan identiti orang Melayu. Sistem yang berkisar kepada sultan-sultan sudah digantikan dengan idea bangsa Melayu.

Secara dasarnya, raja-raja Melayu ketika itu telah dengan rela hati atau secara membuta tuli telah menyerahkan negeri dan kuasa mutlak mereka kepada British. Ini berlawanan sekali dengan sikap Raja England bernama King John di dalam tahun 1215 apabila berkeras tidak mahu menandatangani perjanjian Magna Carta tetapi dipaksa juga oleh para bangsawan untuk mengurangkan kuasa Diraja. Legasi Magna Carta adalah sistem parlimen dan raja berperlembagaan di England.
Image result for magna carta
SUMBER: Harvard Gazette
Bagi orang-orang Melayu 70 tahun dahulu, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu yang diambil oleh British adalah penting untuk kelestarian masa depan Melayu. Walaupun kita boleh menjadi negara republik ketika itu, orang-orang Melayu masih sayangkan raja-raja mereka. Tetapi kuasa raja-raja telah disekat oleh orang Melayu sendiri, mungkin agar pisang tidak berbuah dua kali. Mana mungkin kita mahu saksikan lagi raja-raja melayu sesuka hati menjual negeri-negerinya kepada penjajah di masa akan datang?

Maka lahirlah sistem Raja Berperlembagaan di dalam tahun 1957 apabila Malaysia merdeka. Raja Berperlembagaan bermaksud, raja yang berkuasa berdasarkan perlembagaan. Baginda tidak boleh melanggar undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Jika dilanggar, undang-undang boleh menyabit kesalahan terhadapnya.

“Pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada 01 April 1946."

Kesemua empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat dicantumkan dalam sebuah unit politik dibawah seorang Gabenor penjajah. Kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dimansuhkan dan kuasa memerintah dihapuskan kecuali dalam bidang adat istiadat Melayu dan agama Islam wilayah masing-masing. Kepala kerajaan wilayah-wilayah Baginda juga jatuh ke tangan Residen-Residen penjajah. Seperti kebanyakan negara terjajah Asia — dari India hingga ke Vietnam — cengkaman kembali penjajah Barat pasca Perang Dunia Kedua menjurus kepada pemansuhan sistem Beraja dan penyatuan negeri-negeri kecil kepada beberapa Republik jajahan berkiblatkan London atau Paris. Tetapi . . .

Orang Melayu masih mahukan Raja-Raja mereka.

Justeru Orang Melayu menggadai nyawa menentang penjajah untuk mengembalikan pemerintahan Beraja di Tanah Melayu. Hasil perjuangan ini, Malayan Union dibubarkan oleh penjajah dan kuasa serta martabat Raja-Raja Melayu dikembalikan melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948.

Jadi harus di ingat . . .

Dari 01 April 1946 hingga 31 Januari 1948, Tanah Melayu sudah hilang Kedaulatan Raja-Raja nya dan wujud sebagai tanah jajahan mutlak dibawah seorang Gabenor yang berkuasa sebagai Wizurai Raja Asing. Tanah Melayu ketika itu sudah terjerumus kearah suatu Republik Kesatuan — Unitary Republic — dibawah naungan Mahkota penjajah.

Dan juga harus difahami . . .

Segala Kedaulatan, Kekebalan, Kemuliaan, Kehormatan dan Kekayaan Institusi Di-Raja SELEPAS terbubarnya Malayan Union adalah hasil perjuangan, pengorbanan, restu dan keringat sekelian Rakyat, khususnya Orang Melayu.

Pertama kali dalam sejarah dunia, sesuatu Bangsa tékad menjulang kembali Raja-Raja mereka dan menolak sistem Republik. Orang Melayu sanggup menyerahkan kembali kuasa Rakyat kepada Raja-Raja mereka.

Maka dengan itu . . .

Raja pasca Malayan Union adalah Raja cetusan Rakyat . . . dari Rakyat demi Rakyat untuk Rakyat. Rakyat menjulang kembali Raja-Raja mereka agar Duli-Duli Baginda menjaga kepentingan Rakyat; mempertahankan hak dan maruah Bangsa; memartabatkan adat dan budaya . . . serta menjamin kedaulatan setiap pelusuk tanah air.
Image result for malayan union
SUMBER: INTERNET
Inilah amanah Rakyat buat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mereka selaku penaung agama, bangsa dan tanah air . . . dan intipati jalinan antara Raja dengan Rakyat dan Rakyat dengan Raja di Bumi Malaysia pada masa kini.

"Raja Payung Rakyat. Rakyat ialah Tiangnya Payung itu.”

SUMBER: tularr.com


Friday, 8 February 2019

SENARAI SUSUNAN KEKANANAN SULTAN, RAJA MELAYU DAN TYT BERMULA 31 JANUARI 2019

YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA XVI (16)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, 
D.K., S.S.A.P., S.I.M.P., D.K. (Terengganu)., D.K. (Johor)., S.P.M.J. P.A.T. - 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 11 Januari 2019)

Image result for kesultanan terengganu
SULTAN TERENGGANU DARUL IMAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
D.K.T., D.K.R., D.K., D.K.M., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France), The Most Auspicious Order of The Rajamitrabhorn (Thailand), Collar De La Orden Al Merito De Chile (Chile), Necklace of Independence (Qatar), Bintang Republik Indonesia ADIPURNA (Indonesia).
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman pada 15hb. Mei 1998 dan ditabalkan pada 4hb. Mac 1999)

Raja perlis
RAJA PERLIS INDERA KAYANGAN
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.K.M., D.M.N., D.K. (Perak), D.K (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Selangor), D.K. (Pahang), D.K. II (Terengganu), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., Grand Order of King Tomislav (Croatia), Grand Collier De L'Independence (Grand Medal of the Independence) - Cambodia, Grand Croix De L'Ordre (Royal Sash) - Cambodia, Cavaliere Di Gran Croce Decorato Di Gran Cordone (Italy), Qiladah Badr Al-Kubra (Arab Saudi), Decoration of Omayad - The Finest Decoration (Syria), Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden), Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan).- 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Perlis pada 17hb. April 2000 dan ditabalkan pada 7hb Mei 2001)


SULTAN SELANGOR DARUL EHSAN
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 
D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Johor), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France). -
 (Naik Takhta Kerajaan Negeri Selangor pada 22hb. November 2001 dan ditabalkan pada 8 Mac 2003)
YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, 
D.K., D.M.N., D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Selangor), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K.Y.R., P.P.T. - 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan pada 26hb Oktober 2009)


SULTAN JOHOR DARUL TAKZIM
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar - 
D.K, D.K (Perak), D.K (Kelantan), D.K. (Perlis), D.K (Selangor), D.K (Negeri Sembilan),
D.K (Terengganu), D.K.M.B. (Brunei), S.P.M.J, S.S.I.J, S.P.M.T, S.M.N, S.P.M.K, S.P.M.P, P.I.S
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim pada 23hb. Januari 2010 dan dimahkotakan pada 23hb Mac 2015)



AL-SULTAN KELANTAN DARUL NAIM
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, 
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K. (Selangor), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Kedah), D.K.(Terengganu), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K. S.P.J.K. 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan pada 13hb. September 2010)



PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, 
D.K., D.K.S.A., D.K.A., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Selangor), D.K.N.S., D.K.(Perlis), Ph.D (Harvard). - 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 29hb Mei 2014 dan ditabalkan pada 6 Mei 2015)



SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, 
D.K., D.K.H., D.M.N., D.U.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Johor), D.K. (Perak), D.K. (Selangor), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Perlis), D.M.K., S.M.D.K., S.H.M.S., S.G.M.K., S.P.M.K., S.S.D.K. - 
(Naik Takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 12hb. September 2017)



PEMANGKU RAJA PAHANG
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni  Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah
D.K, S.S.A.P
Foto: Jabatan Penerangan Malaysia


YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG PULAU MUTIARA
Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, 
D.M.K., S.M.N., D.U.P.N., S.P.D.K., D.P., D.M.P.N., D.J.N., 
YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob, 
S.M.N., D.U.N.M., S.U.M.Z., S.J.M.K., S.S.A.P., P.S.M., S.I.M.P., S.P.D.K., D.P., D.S.A.P., J.S.M., S.M.P., G.C.O.M. (GER)


YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH DIBAWAH BAYU
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin,
S.M.N., S.P.D.K., P.G.D.K., P.J.N., A.S.D.K., J.P.
Foto:picssr.com

Image result for taib mahmud
YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK BUMI KENYALANG
Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud, 
P.S.M., S.P.M.J., S.S.D.K., S.S.A.P., D.P.P.N., S.S.S.A., S.P.M.T., D.G.S.M., S.B.S. (Sarawak), D.P., P.G.D.K., S.U.M.W.
Foto:http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2015/09/yang-di-pertua-negeri-sarawak.html



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda 
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Johor), D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.M.B., D.K.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia), Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop, USA), Hon.D.Sc. (Bedfordshire, UK.), Hon. PhD. (Civil Engineering) Universiti Malaysia Pahang)
Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 7hb. Mei 1974 dan ditabalkan pada 6hb. Mei 1975



Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra
 D.K., D.M.N., D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Selangor), D.K. (Johor), D.K. (Kedah), D.K. (Perak), D.K. (Terengganu), D.K. (Perlis), D.K.M.B. (Brunei), D.P.S.S. (Sarawak), D.P. (Sarawak), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.
Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim pada 31hb Mac 1979

link: www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/maklumat-perkhidmatan/senarai-susunan-kekananan#section=p1

SUMBER: http://monarkidiraja.blogspot.com/2019/02/senarai-susunan-kekananan-sultan-raja.html



Wednesday, 5 December 2018

YMM TUNKU PUAN BESAR KURSHIAH: PERMAISURI PENUH BAKTI

Image result for tunku puan besar kurshiah
Puteri diraja kelahiran Negeri Sembilan yang berperibadi sederhana serta luhur pekertinya ini tidak pernah menyangka bahawa dirinya bakal menjadi seorang Permaisuri Agong yang pertama, malah turut menabur budi untuk seluruh rakyat di Malaysia. Baginda yang dimaksudkan adalah Al-Marhumah YTM Tunku Puan Besar Kurshiah binti Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin. Tunku Puan Besar Kurshiah merupakan puteri sulung kepada Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin ibni Al-Marhum Tuanku Antah, iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Sejarah Awal

Nama sebenar baginda adalah Tunku Kurshiah binti Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin dan telah diputerikan pada 16 Mei 1911, di Istana Baroh, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Bapa baginda, iaitu Tunku Besar Burhanuddin merupakan putera kedua kepada DYMM Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Antah Ibni Almarhum Tuanku Nasiruddin dan YM Cik Puan Besar Halimah Binti Uggoh.  Bonda Tunku Kurshiah bernama Yang Mulia Tunku Sharifah Alawiyah binti Sayyid Abdul Hamid, dan baginda mempunyai tujuh orang kekanda lelaki serta enam lagi adinda perempuan. Selain daripada Tunku Kurshiah sendiri yang menjadi Permaisuri, dua orang adinda baginda, iaitu Tunku Ampuan Durah dan Tunku Najihah turut menjadi Permaisuri di Negeri Sembilan.
Related image
Tunku Kurshiah telah mendapat pendidikan awal baginda di Sekolah Melayu Seri Menanti, Negeri Sembilan. Baginda seterusnya telah memperoleh bimbingan dan pembelajaran Bahasa Inggeris secara peribadi di istana melalui seorang guru khas yang berbangsa Inggeris. Keadaan ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor keadaan Tanah Melayu pada waktu itu yang dikuasai oleh kerajaan Inggeris dan ia sekaligus tidak memungkinkan baginda untuk mendapat pendidikan Bahasa Inggeris secara formal di sekolah.

Perkahwinan dan Perlantikan sebagai Permaisuri

Pada usia 18 tahun, Tunku Kurshiah telah bertemu jodoh dengan sepupu baginda sendiri, iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tunku Besar Muhammad, yang merupakan putera sulung kepada Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada waktu itu. Majlis perkahwinan diraja di antara Tunku Puan Besar Kurshiah dengan Tuanku Abdul Rahman ini telah dilangsungkan pada 21 Mac 1929 bertempat di Seri Menanti. Status Tunku Kurshiah pada ketika itu adalah sebagai isteri ketiga kepada Tuanku Abdul Rahman, yang mana isteri pertama baginda bernama Cik Maimunah (Dulcie Campbell) yang dikahwini pada tahun 1919, manakala isteri kedua baginda, iaitu Tunku Maharun binti Tunku Mambang pula dikahwini pada tahun 1920. Namun, perkahwinan Tuanku Abdul Rahman dengan kedua-dua isterinya ini telah berakhir dengan perceraian.
Image result for tunku puan besar kurshiah
Hasil perkongsian hidup antara Tunku Kurshiah dengan Tuanku Abdul Rahman telah dikurniakan dengan kehadiran dua orang puteri, iaitu Tunku Bahiyah dan Tunku Shahariah. Tunku Bahiyah, iaitu puteri sulung baginda kemudiannya telah mengahwini Sultan Kedah, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan bergelar sebagai Sultanah Kedah. Puteri bongsunya pula, iaitu Tunku Shahariah kemudiannya menjadi Tunku Puan Bendahara di Negeri Johor.

Pada Ogos 1933, Tunku Besar Muhammad, iaitu Raja dan Yamtuan Besar Negeri Sembilan telah mangkat dan putera sulung baginda, iaitu Tuanku Abdul Rahman telah dilantik oleh para pembesar Adat Perpatih bagi menggantikan Al-Marhum ayahanda baginda sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Hampir setahun setelah peristiwa pertabalan baginda, akhirnya pada tanggal 25 April 1934, Tunku Kurshiah sebagai isteri ketiga kepada Tuanku Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Permaisuri dan memakai gelaran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah berada di singgahsana kerajaan Negeri Sembilan sebagai Permaisuri selama 24 tahun, dan sepanjang waktu tersebut baginda telah banyak mencurahkan bakti buat seluruh rakyat di Negeri Sembilan terutamanya buat kaum wanita dan kanak-kanak. Peribadi baginda yang sederhana dan pekertinya yang luhur menjadikan baginda seorang Permaisuri yang rela mencemar duli dan tidak kekok untuk bergaul mesra dengan rakyat kebanyakan. Meskipun Tunku Ampuan Besar Kurshiah tidak pernah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara, namun pengalaman baginda dalam mengiringi suami ke negara-negara luar telah banyak memberi pendedahan serta pengetahuan baru bagi baginda melaksanakan aktiviti bagi membangunkan kedudukan wanita.

Pelantikan Sebagai Permaisuri Agong
Image result for tunku puan besar kurshiah
Tanggal 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan dan akhirnya bebas daripada belenggu penjajah British. Hasil persetujuan yang dicapai melalui Majlis Raja-Raja, maka pada 13 September 1957, Tuanku Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang pertama di Tanah Melayu. Serentak dengan itu, Tunku Ampuan Kurshiah juga telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang pertama.

Melalui gelaran sebagai Raja Permaisuri Agong ini, serta sebagai wanita utama bagi sebuah negara yang baru mendapat kemerdekaan, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah memberikan satu imej baru yang wajar dibanggakan bagi seluruh wanita di Tanah Melayu pada waktu itu. Malah, dengan kedudukan baginda sebagai Raja Permaisuri Agong ini telah merancakkan lagi penglibatan baginda dalam pelbagai badan kebajikan, sosial serta aktiviti-aktiviti bagi membangunkan wanita di seluruh negara.

Sumbangan dan Penglibatan Sosial

Tunku Ampuan Besar Kurshiah amat dikenali sebagai seorang Permaisuri yang begitu aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial. Pada tahun 1954, melalui kerjasama pelbagai golongan wanita di Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah melancarkan penubuhan Persatuan Pandu Puteri Negeri Sembilan dan baginda sendiri telah dilantik sebagai presiden pertama bagi persatuan berkenaan. Meskipun penubuhan persatuan ini telah berjaya dan banyak aktiviti yang telah dianjurkan demi kebaikan masyarakat, namun Tunku Ampuan Besar Kurshiah tetap merasakan bahawa masih banyak yang harus baginda lakukan demi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan wanita. Ini telah membawa baginda untuk mengasaskan penubuhan satu lagi organisasi, iaitu Perkumpulan Perempuan atau lebih dikenali sebagai WI (Women’s Institute). Baginda turut menjadi Penaung seumur hidup kepada pertubuhan tersebut.
Image result for tunku puan besar kurshiah
Pada Mei 1961, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah mengasaskan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) dan baginda telah menjadi Yang Dipertua pertama pertubuhan tersebut dan ahli seumur hidup sehinggalah akhir hayat baginda. Bangunan Tunku Ampuan Besar Kurshiah yang terdiri daripada asrama serta pejabat LKPIM merupakan antara peninggalan baginda buat seluruh masyarakat. Tunku Ampuan Kurshiah juga telah menjadi penaung kepada Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS kerana keprihatinan baginda terhadap kebajikan haiwan peliharaan. Pada 27 Oktober 1974, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah diberi anugerah Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi mengenang segala jasa baginda terhadap kebajikan serta pendidikan wanita dan kanak-kanak di negara ini.
Image result for tunku puan besar kurshiah
Pada tahun 1962, Maktab Perempuan Melayu telah ditukarkan kepada nama Kolej Tunku Kurshiah, sebagai satu simbolik dan tanda keprihatinan Tunku Ampuan Kurshiah terhadap bidang pendidikan gadis-gadis muda. Kolej yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan ini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang kini amat terkenal dengan reputasi dan presatsi cemerlangnya serta telah ramai melahirkan tokoh-tokoh wanita berkaliber di Malaysia.

Kemangkatan Tunku Puan Besar Kurshiah
Image result for tunku puan besar kurshiah
YTM Tunku Puan Besar Kurshiah telah kembali ke rahmatullah dalam tidurnya pada tanggal 2 Februari 1999, iaitu pada usianya 88 tahun. Jenazah baginda telah disemadikan di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kemangkatan baginda ini amat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan Tunku Puan Besar Kurshiah akan sentiasa dikenang sebagai ibu pertiwi yang telah banyak menabur budi.

Kesimpulan
Image result for tunku puan besar kurshiah
Penglibatan Tunku Puan Besar Kurshiah dalam pelbagai aktiviti kebajikan khususnya demi kepentingan golongan wanita, gadis dan kanak-kanak merupakan antara sumbangan terbesar beliau dalam memperkasakan peranan wanita di Malaysia. Azam baginda hanyalah untuk melihat golongan wanita dapat berdiri di atas kaki mereka sendiri dan mampu untuk menyumbang demi pembangunan negara. Secara asasnya, Tunku Puan Besar Kurshiah telah membuka jalan dan memberi inspirasi kepada wanita-wanita di Malaysia untuk terus mengorak langkah dalam mengejar impian mereka. Semoga segala sumbangan dan bakti baginda akan terus dihargai dan dikenang dalam diri setiap wanita di negara ini.

Rujukan

Amirul, I. (2011). YMM Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah: Lambang Kedaulatan Wanita Melayu. Retrieved November 25, 2018, from http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2011/11/ymm-almarhum-tuanku-puan-besar.html

Siti Rosnah, H. A. (2006). Raja Permaisuri Agong: Payung Mahkota Ibu Pertiwi. Kuala Lumpur, Malaysia: Golden Books Centre Sdn Bhd.


Friday, 12 October 2018

SERIKANDI² MELAYU KETURUNAN BENDAHARA

Pengenalan

Ramai keturunan Bendahara telah menabur jasa pada agama, bangsa dan tanahair. Kaum wanita di kalangan keluarga Bendaharapun sama-sama memikul tanggungjawab dan amanah keluarga, Walaupun secara tradisinya mereka lebih senang menumpukan perhatian kepada keluarga masing-masing, tetapi takdir telah memaksa mereka untuk melakukan perjuangan politik mahupun peperangan apabila suami-suami mereka terkorban ataupun tidak mampu berjuang lagi --- dalam peranan tersebut merekalah Serikandi, hatta mampu mengatasi tokoh-tokoh lelakipun sewaktu di dalam keadaan demikian. Di bawah ini kami ingin memberi beberapa contoh untuk renungan kita semua.

Tun Teja Binti Bendahara Seri Amar Diraja MELAKA
Image result for tun teja
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Serikandi Tun Teja terkenal sebaris dengan nama serikandi Tun Kudu dan Tun Fatimah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka . Mengikut sejarah Melayu, Tun Teja diberi gelaran “RATNA BENGGALA” yang membawa maksud “INTAN PERMATA” dari Benggala iaitu puteri kepada Seri Amar Bangsa Diraja, Bendahara Pahang pada abad ke-15.

Tun Teja Ratna Benggala, itulah nama serikandi tidak asing lagi TUN TEJA.

“Tun Teja Ratna Benggala,
  Pandai membelah lada sulah,
  Jika tuan tidak percaya,
  Mari bersumpah kalam Allah.”

Begitulah bunyi pantun yang dipersembahkan oleh Hang Tuah kepada Tun Teja, anak bendahara Pahang yang cantik jelita di akhir abad ke-15. Sejarah Melayu menggambarkan dengan jelas bagaimana Tun Teja direbut daripada tangan tunangnya Yang Dipertuan Pahang, Sultan Ahmad Syah (1474-1494) oleh Hang Tuah untuk diperisterikan Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Sultan Ahmad Syah menerima penghinaan daripada Melaka yang terakhir dari tunang baginda, baginda sangat malu dengan rakyatnya lalu bertindak turun takhta dan mengasingkan diri ke Lubuk Pelang. Setelah mangkat digelar Marhum Syeikh.

Tun Teja sebenarnya bermadu dengan Puteri Betara Majapahit. Di atas perkongsian hidup bersama Sultan Mahmud Syah, Tun Teja dikurniakan seorang puteri yang bernama PUTERI AMRA DEWI.

Pada 1511, Portugis menyerang Melaka. Sultan Mahmud Syah bersama isteri-isterinya dan anak-anaknya telah dinasihatkan berundur ke Bentayan (kini Muar) termasuklah Tun Teja. Ketika itu Tun Teja kegeringan dan sangat uzur dan terpaksa diusung dengan tandu khas yang telah dibina oleh hulubalang Melaka. Dalam perjalanan Tun Teja menghembuskan nafas terakhir dan dipercayai telah dimakamkan di antara Melaka dan Bentayan iaitu Merlimau. Dipercayai sepasang batu nisan diraja telah dipacakkan di atas Makam Tun Teja sebagai tanda kemangkatannya.  Tiada nama dan tarikh pada makam Serikandi ini kerana ketika itu Sultan Mahmud Syah di dalam keadaan tergesa-gesa berundur ke Bentayan akibat diburu merata oleh penjajah Portugis.

TUN TEJA merupakan seorang pejuang ketika di dalam istana membantu Sultan menegakkan keadilan, kesejahteraan dan keamanan rakyat, seorang kekasih dan isteri yang sangat penyayang dan mencintai, sanggup berkorban apa saja dan seorang yang lemah lembut tetapi tegas dan tekad di dalam setiap keputusan yang dibuat.

Baginda juga merupakan seorang yang sangat berhati-hati dan seorang pemurah senyuman dan baginda juga seorang yang cantik jelita malah bertambah ayu apabila disarungkan pakaian dan selendang kepalanya berwarna kuning dan ungu.

Serikandi ini sangat mencintai dan taat setia kepada suaminya dan menjadi isteri yang paling disayangi oleh Sultan Mahmud Syah.

TUN TEJA, serikandi hebat dan tabah serta cekal menghadapi dugaan malah berjiwa kental!

Tun Fatimah binti Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir MELAKA
Image result for tun fatimah melaka
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Merupakan puteri kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali, putera hasil perkahwinan  Tun Kudu   (bekas permaisuri Sultan Muzzafar Shah yang juga kekanda bagi Bendahara Tun Perak) Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Ali. Tun Mutahir adalah Bendahara Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah. 

Tun Fatimah sudahpun berkahwin apabila Sultan Mahmud cuba memperisterikannya. Sultan Mahmud Shah turut dijemput sama untuk meraikan majlis perkahwinan Tun Fatimah. Sultan berasa amat murka kerana Bendahara tidak pernah menyembahkan kepada baginda bahawa beliau memiliki anak gadis yang cantik jelita. Sultan Mahmud dikhabarkan telah meninggalkan majlis perkahwinan tersebut tanpa menyentuh santapan. 

Belakangan dicatatkan tentang peristiwa Raja Mandaliar dan Kitul yang telah memfitnah Bendahara Tun Mutahir, kononnya Bendahara telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas kerana mempunyai hasrat ingin merampas takhta Melaka. Sultan bertambah murka, dan tanpa usul periksa lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah. Terbunuhlah Bendahara Tun Mutahir, suami Tun Fatimah iaitu Seri Nara Diraja Tun Ali, kekandanya Tun Hassan atas titah Sultan Mahmud itu.

Namun akhirnya Sultan Mahmud sedar atas keterlanjuran perbuatannya dan bersungguh-sungguh menyintai Tun Fatimah. Tun Fatimah dipinang dan dibawa masuk ke istana secara besar-besaran dan tidak lama kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka. Pada mulanya Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama dan melayani Sultan Mahmud, namun setelah menyedari keikhlasan dan keinsafan baginda, Tun Fatimah akhirnya membalas cinta Paduka Seri Sultan Mahmud Shah.

Kerana terlalu menyayangi dan menggagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik, Sultan Mahmud kemudiannya telah mengisytiharkan Tun Fatimah diangkat menjadi Paduka Seri Permaisuri Melaka.

Tun Fatimah akhirnya bersetuju menjadi permaisuri Melaka. Dengan menjadi permaisuri Melaka, Tun Fatimah dengan dayang-dayang istana dan rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnah keluarganya. Tun Fatimah dikatakan pandai bermain keris dan tombak serta handal dalam ilmu persilatan akhirnya berjaya menuntut bela atas pembunuhan keluarganya. Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan dihukum bunuh dan telah menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. 

Tun Fatimah memerintah Melaka seperti "Bendahara Perempuan" (menyambung watak almarhum ayahandanya Tun Mutahir) membantu suaminya. Dilaporkan bahawa pihak Portugis lebih gerun kepadanya daripada Sultan Mahmud sendiri. Selepas Melaka alah kepada Portugis dalam tahun 1511, Tun Fatimah telah bertanggungjawab dalam perjuangan merampas kembali Melaka dan dalam mendirikan Empayar Johor sebagai saingan yang hebat bagi pihak Portugis, Tun Fatimah menguatkan Empayar Johor dengan mewujudkan pakatan dengan kerajaan-kerajaan berjiran melalui perkahwinan putera-puterinya dengan keluarga-keluarga diraja Acheh, Minangkabau and Borneo. Keberaniannya dan ketegasannya didalam perang dan pemerintahan menyebabkan baginda digelar  Srikandi Melaka, 

Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah melahirkan empat orang cahaya mata, antaranya Raja Raden Ali yang kemudian  menjadi pemerintah Johor Lama bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II, memerintah selama 36 tahun. Baginda merupakan Paduka Seri Permaisuri yang sangat terkenal dengan semangat perjuangannya yang tinggi dan berjuang bersama-sama Sultan Mahmud untuk mempertahankan Melaka.

Putera-puteri Tun Fatimah:

Raja Ala'uddin ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Muda Ahmad Shah

Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Johor ke-2

Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah

Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah

Tun Puteh @ Che Wan Puteh binti Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ali PAHANG
Image result for srikandi melayu
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Tuanku Raja Asal, dari suku Mandailing,  telah jatuh cinta dengan adinda Raja Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali PAHANG (1847-1863) iaitu Wan Puteh @ Wan Teh @ Cik Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali (Raja Pahang) dan mereka kemudiannya mendirikan rumahtangga pada tahun 1857 dalam satu majlis keramaian yang meriah di Istana Ganchong. Perkara ini juga ada dinyatakan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 2 Mac 1980 yang berbunyi;

     ‘Di Pahang Raja Asal berkenalan pula dengan Bendahara Wan (Tun) Mutahir yang pada masa itu baru dilantik menjadi Bendahara Negeri Pahang menggantikan Bendahara Tun Ali yang mangkat dalam tahun 1857. Dari perkenalan itulah Raja Asal telah berkahwin dengan salah seorang dari saudara Bendahara Wan Mutahir yang bernama Wan Putih.’ 

Wan Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali pada masa itu merupakan seorang gadis belasan tahun yang sangat cantik lagi rupawan. Kecantikan beliau itu turut digambarkan 16 tahun kemudiannya oleh Haji Abdullah Hukum pada tahun 1873 sebagai; ‘sementelah pula ia cantik putih bagi namanya isteri bagi Raja Asal telah berseru di hadapan orangramai dengan suara yang merdu bunyinya ...rambutnya terurai sampai ke betis bertanjak telepok benang emas dan nampaknya pun telah menjadi hebat umpama emas permata intan.’ (III:2) – Adnan Haji Nawang.

Tuanku Raja Asal turut mengambil ramai pekerja dari kalangan orang-orang Jawa yang mula berhijrah ke Tanah Melayu. Pada masa itu terdapat beberapa kumpulan orang-orang Jawa yang berhijrah ke Kuala Lumpur akibat dari masalah kebuluran di Jawa Tengah pada tahun 1843–1848. (373) – Ibrahim Saad. 

Orang-orang Jawa ini bekerja dengan Tuanku Raja Asal sebagai pembuka hutan dan ladang di kawasan Ulu Kelang. Itulah sebabnya Tuanku Raja Asal sering disalahanggap oleh orang-orang yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur sebagai ‘seorang kepala Jawa.’ (III:2) – Adnan Haji Nawang (PETIKAN DARI SEJARAH PERANG KUALA LUMPUR - Mandailing Semakin Tenat) 

Di sini, Tuanku Raja Asal, isterinya Wan Puteh @ Wan Teh @ Che Puteh binti Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali, Jabunus, Jalumat, Jaakub, Panglima Kuning @ Nakhoda Kuning, Sayid Mashur @ Tok Soho, Raja Mahmud @ Tok Kapak Cina bin Raja Mat Saman @ Raja Berkat, Engku Rahmat @ Raja Laut Selangor dan lain-lain lagi sedang menanti serangan tentera bersekutu British, Cina, Bugis, Kedah, Melayu Batu Bara dan Rembau.

Sudah seminggu hujan tidak turun. Bekalan air di puncak Bukit Nanas telah kehabisan. Memandangkan keadaan sungguh tenat dengan pahlawan-pahlawan Mandailing yang bertahan dengan hebat dan bersungguh-sungguh itu bergelimpangan kehausan dan kelaparan sambil menunggu serangan musuh seterusnya, maka senja Khamis itu Wan Puteh dan 5 orang dayang pengiring pun turun ke bawah menuju ke arah timur kubu Bukit Nanas dan berpura-pura hendak mengambil air minuman di Sungai Kelang tanpa pengetahuan Tuanku Raja Asal.  

Dari sana, Wan Puteh senyap-senyap pergi ke tempat perkhemahan musuh dan masuk ke kawasan khemah tentera Pahang. Di sana, beliau dirafak sembah oleh tentera Pahang lalu dibawa berjumpa dengan anak saudaranya Tun Mahmud @ Tun Buang bin Wan Ismail, Panglima Kakap Dato Bahaman dan Imam Perang Khatib Rasu.

Dalam perjumpaan itu Wan Puteh telah memujuk Tun Mahmud, Dato Bahaman dan Khatib Rasu agar memberi laluan kepada beliau dan 100 orang pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada kaum wanita yang tidak berdosa untuk turun dari Bukit Nanas selepas Maghrib sebelum Isyak. Selepas itu menurut Wan Puteh, bolehlah tentera Pahang naik ke atas dan menghapuskan seluruh orang-orang Mandailing itu. Tun Mahmud, Dato Bahaman dan Khatib Rasu bersetuju.

Selepas naik ke atas, Wan Puteh berjumpa dengan Tuanku Raja Asal dan mengajak Tuanku Raja Asal untuk melihat keadaan menyayat hati yang berlaku di Bukit Nanas. Kanak-kanak mati bergelimpangan dan ada yang mati di pangkuan ibu mereka yang langsung tidak bermaya lagi. Lalu Wan Puteh pun memujuk Tuanku Raja Asal agar dilepaskan 100 orang perempuan dan kanak-kanak supaya mereka boleh turun menyelamatkan diri dari pertempuran di Bukit Nanas itu. Tuanku Raja Asal menggangguk tanda setuju.

Lantas Wan Puteh mengumpulkan 80 kaum wanita dan kanak-kanak. Di sana, Wan Puteh memujuk Tuanku Raja Asal agar turun sekali dari Bukit Nanas. Wan Puteh menegaskan bahawa Tuanku Raja Asal perlu berundur untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Mandailing dengan mengumpulkan kembali tentera baru Mandailing yang akan merampas semula Bukit Nanas dan membela maruah orang-orang Mandailing. Ini disokong penuh oleh Jabunus.

Namun Wan Puteh terus memujuk suaminya itu. Akhirnya setelah dipujuk berkali-kali, Tuanku Raja Asal terpaksa beralah dengan hati yang berat lagikan hiba. Sambil airmata mengalir ke dada, Tuanku Raja Asal  berkata:

‘Dengar sini Wan Puteh, seratus peperangan dan pertempuran kulalui, belum sedikit tubuhku terguris. Namun perpisahan ini melukakan hatiku kerana turunnya aku tidak lagi sebagai seorang lelaki.’

‘Pergiku ini mungkin untuk kali terakhir. Entah bertemu lagi entah tidak. Entahkan mati ku ini. Apapun hukum Allah sama-sama kita tabahkan. Ampunkan salah silap diriku ini Serikandi.’

Maka berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisanlah Tuanku Raja Asal dan Wan Puteh. Lalu beliau memohon maaf kepada Wan Puteh yang akan ditinggalkan di Bukit Nanas atas segala perbuatannya yang lepas-lepas. 

Tuanku Raja Asal menyerahkan kerisnya kepada Siti Awan iaitu adik kepada Sayyid Kenang dengan pesanan bahawa jika Wan Puteh cuba dicemari oleh pihak musuh, maka Siti Sari hendaklah membunuh Wan Puteh supaya tidak dicela musuh.

‘Esokan malam, undurlah, habis lari.’ - Hikayat Pahang, Cetera 30.

Lalu dengan penuh kesedihan, 100 orang yang berpakaian wanita itu turun dari kubu Bukit Nanas ke arah hutan barat yang menghala ke Pudu yang tidak dikawal oleh tentera musuh sambil dilihat dari jauh oleh tentera Pahang sebagai mengawasi mereka dari diserang oleh tentera Tengku Kudin yang lain.

Manakala di dalam kubu istana Mandailing, Wan Puteh, Lanah dan 350 pahlawan Mandailing, Rawa, Kampar, Tolu, Bengkulu dan Kerinci bertahan di kubu besar Bagas Godang beserta 400 penduduk kampung yang terdiri daripada orang-orang tua, kaum perempuan dan kanak-kanak telah bersiap-sedia dan menanti dengn penuh semangat untuk arahan yang seterusnya.

‘Raja Asal fled in 1873.’ (89) - Middlebrook dan Gullick.

Selepas bertempur di Bukit Nanas selama 3 hari 3 malam, maka pada pukul 5 pagi Subuh 31 Mac 1873 istana Mandailing akhirnya jatuh ke tangan musuh. 

Sebaik sahaja tentera musuh merempuh masuk ke Istana Bagas Godang Mandailing, mereka menerkam ke arah Wan Puteh yang disangkakan mereka Tuanku Raja Asal untuk ditikam dan dicincang secepat mungkin. Akan tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Ini ialah kerana mereka sedar yang memakai pakaian perang Tuanku Raja Asal itu adalah Wan Puteh, puteri Raja Pahang Raja, iaitu Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ali .

Ini ialah kerana Wan Puteh telah ditinggalkan di Bukit Nanas dengan pakaian perang Tuanku Raja Asal. Ini dilakukan supaya:

a.  Pemergian Tuanku Raja Asal tidak disedari oleh pengikut-pengikutnya agar mereka tidak panik dan kelam-kabut 

b.  Tumpuan tentera Pahang tetap pada Bukit Nanas dan 100 orang yang berundur dapat lolos tanpa diekori dan diburu

c.  Jika Bukit Nanas ditawan oleh musuh, mereka yang ada tidak akan dibunuh kerana Wan Puteh adalah puteri diraja Pahang

Percaturan Wan Puteh tepat sekali. 

Apabila tentera Pahang hampir dengan Wan Puteh, dengan tidak semena-menanya seluruh tentera Pahang merafak sembah kepada puteri Pahang itu. Manakala Jabarayun dan pengikut-pengikutnya terpinga-pinga memberhentikan serangan.

Lalu dititahkan oleh Wan Puteh agar semua serangan ke atas orang-orang Mandailing dan semua peperangan dihentikan. Lantas pertempuran di Bukit Nanas dihentikan serta-merta.Bagaimanapun 100 pahlawan Mandailing terbunuh dalam pertempuran ketika itu, manakala 80 tentera musuh turut terkorban

Di puncak Bukit Nanas pula, walaupun ditawan oleh musuh, pahlawan-pahlawan Mandailing seperti Sayid Kenang, Sayid Yusuf, Siti Sari, Panglima Kuning, Jabinanga, Jabadungkung, Lanah, Manda Usman, Abdul Wahab Tolu dan lain-lain 200 pahlawan yang berdiri di belakang Wan Puteh semuanya terselamat kerana tentera Pahang sangat menghormati Wan Puteh sebagai anak kepada Raja Bendahara Sri Wak Raja Tun Ali.

Lalu 200 pahlawan Mandailing itu yang dipimpin oleh Wan Puteh pun turun berjalan kaki meninggalkan kubu Bukit Nanas di sebelah barat Bukit Nanas ke arah ke Pudu menjejaki jalan Tuanku Raja Asal sambil diekori oleh 500 tentera Pahang. Namun mereka sempat juga membawa apa yang terdaya seperti Meriam Si Raunggur dan Peti Besi Al-Qazin yang merupakan peti induk kepada 17 peti besi kecil yang lain kepunyaan pasukan Dana Padri. Dari sana, mereka berjalan lesu ke arah utara menerusi Pudu. Lalu mereka pun meninggalkan Bukit Nanas buat selama-lamanya.

Pocut Meuligo binti Teuku Chik Muda Hassan ACHEH
Image result for Pocut Meuligo
GAMBAR SEKADAR HIASAN
POCUT MEULIGO BINTI TEUKU CHIK MUDA HASSAN, keturunan Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang (Bendahara Johor Lama dan Uleebalang Samalanga, Aceh) yang ke-4, adalah pahlawan wanita Aceh yang terkenal dengan jolokan ‘Serikandi Aceh’.  Bermula pada tahun 1857M, Pocut Meuligo telah memangku  kedudukan adindanya Teuku Chik Bugis sebagai Uleebalang atau Raja Samalanga. Pada ketika itu angkatan Teuku Chik Bugis sedang dalam perjalanan pulang ke Aceh dari Turki untuk membeli senjata bagi mengukuhkan persenjataan pejuang Aceh melawan pihak Belanda yang telah menjadi agresor. Kapal yang ditumpanginya terhalang angkara blokade laut Belanda yang menyebabkan Teuku Chik Bugis terpaksa menetap buat sementara waktu di Lahore, India[1]. Menjelang Belanda menyerang Samalanga, Teuku Bugis  telah kembali dan berada di Samalanga.

Pocut Meuligo pernah memimpin pasukan perang Samalanga secara langsung pada saat Belanda tiga kali menyerang negeri Samalanga yang dipimpin oleh Panglima Tentera kerajaan Belanda yang bernama  Jenderal K Van Der Heiden (kemudian menjadi Gabenur). Dalam peperangan pertama dengan Samalanga, Jenderal Van Der Heiden telah menderita luka parah dan mata kirinya buta ditembus peluru pejuang Aceh. Semenjak itu rakyat Aceh menggelarnya ’jeundran buta siblah’ atau jenderal buta sebelah (gambar bawah, kiri).

Menyebut kegigihan Pocut Meuligo menangani ancaman Belanda, seorang Kapten Belanda yang bernama Schoemaker pernah mencatatkan, antaranya: “ Kebenciannya (Pocut Meuligo) terhadap Belanda sedemikian besar, terlihat dari perintahnya bahawa semua rakyat yang sudah sanggup berperang harus ikut berjuang, bahkan untuk keperluan sawah ladang harus ditinggalkan, kalau tidak bakal dihukum berat.[2]”

Selain memimpin sendiri angkatan bertempur dengan menunggang kuda, Pocut Meuligo juga mengirim bantuan dana, alat-alat perang dan sukarelawan ke Aceh Besar yang telah diduduki Belanda. Sehinggakan dalam tahun 1876M, apabila Belanda menuntut Samalanga agar mengakui kekuasaannya, Kapten Shcoemaker menyatakan respon dari kerajaan otonom itu seperti berikut; “…justeru kapal-kapal perang Belanda pula yang ditembakinya bahkan dekat bendera Belanda, serta melakukan pembajakan, paling kurang ajar.[3]’

Malahan Pocut Meuligo sendiri sentiasa mempengaruhi adindanya Teuku Chik Bugis supaya jangan sekali-kali melayan apa jua permintaan Belanda termasuklah membuat perundingan. Dengan cara ini, bukan sahaja Belanda gagal menakluki Samalanga, malahan terpaksa bertarung dengannya untuk tempuh 30 tahun lamanya, yang mana berlaku banyak korban dan kerugian besar oleh pihak Belanda. 

Atas kekaguman pihak Belanda kepada Pocut Meuligo dan wanita-wanita Aceh sepertinya yang sama-sama berperanan serta terlibat secara langsung dalam peperangan Aceh-Belanda yang memakan masa 80 tahun, mereka menyebut wanita Aceh sebagai  ‘de grootes Dames’ atau ‘wanita-wanita Agung’[4]!

[1] Teuku Bugis sempat berkahwin di Aceh sehingga menurunkan zuriat di sana. Bermakna keturunan Tun Seri Lanang juga ada di Lahore. Di situ, Teuku Bugis sempat berbuat amal jariah apabila membina sebuah kolam  untuk kemudahan berwudhu di salah sebuah masjid di situ yang menghadapi kesulitan air. Oleh masyarakat setempat kolam tersebut diberi nama ‘Kolam Aceh’. Di sekitar daerah itu terdapat perkampungan yang bernama Kampung Aceh.
[2] Tengku A.K Jakobi, ‘Aceh dalam perang mempertahankan Proklamasi Kemerdekaan 1945-1949, dan peranan Teuku Hamid Azwar sebagai pejuang’, Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta 1998, hlm 34
[3] Ibid
[4] Hakikatnya  sejarah Aceh telah memperlihatkan peranan besar yang dimainkan oleh wanita-wanitanya dalam bidang politik mahupun peperangan. Seorang wartawan Belanda, Zentgraaf dalam bukunya De Acehers memberi komennya seperti berikut : “ Namun dari semua pemimpin perang kita yang telah bertempur di setiap pojok dan lubang kepulauan Indonesia ini kita akan mendengar bahawa tidak ada satu bangsa yang begitu bersemangat dan fanatik dalam menghadapi musuh selain bangsa Aceh dengan wanita-wanitanya yang jauh lebih unggul daripada semua bangsa-bangsa lain dalam keberanian menghadapi maut.” Antara tokoh-tokoh wanita Aceh yang terkenal ialah Laksamana Malahayati, Laksamana Meurah Ganti, Laksamana Muda Cut Meurah Inseuen, Cut Nyak Dien, Pocut Meuligo, Cut Meutio, Pocut Biheue dan Cutpo Fatimah. Ini belumpun termasuk empat orang Sultanah Aceh iaitu Tajul Alam Safiatuddin, Nurul Alam Naqiatuddin, Inayat Shah dan Kamalat Shah.