Showing posts with label Perang Dunia II. Show all posts
Showing posts with label Perang Dunia II. Show all posts

Friday, 10 May 2019

SEJARAH - RAJA MENYELAMATKAN NEGARA ATAU ORANG MELAYU SELAMATKAN RAJA?

Hari ini kita belajar sejarah. Supaya rakyat Malaysia dan terutamanya kaum Melayu boleh mengetahui asal-usul dan perjalanan sejarah mereka. Kebanyakan orang Melayu buta sejarah, mungkin kerana sikap tidak rajin membaca. Jika rajin membaca pun, mungkin hanya membaca berita hiburan atau gosip. Jika membaca sejarah pun, mungkin lebih berminat tentang kisah cinta Hang Tuah bersama Puteri Gunung Ledang (kisah cinta ini pun tidak wujud dalam sejarah, ia hanyalah ciptaan para penghibur dan tukang karut sahaja).

Hari ini kita belajar tentang asal usul Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bagaimana ia terjadi dan mengapa ia terjadi. Umum mengetahui bahawa ia tercetus akibat dari tentangan orang Melayu terhadap ‘Malayan Union’ – satu cadangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan takluk mereka selepas Perang Dunia Kedua yang sekaligus mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa ke atas negeri masing-masing dan memaksa mereka dan Raja-Raja mereka mengikut telunjuk seorang Governor British.
Related image
SUMBER: pembentukanmalayanunion.weebly.com
Di bawah, adalah cerita latar belakang bagaimana idea dan perjanjian Malayan Union mula-mula berlaku. Ramai yang lupa bagaimana tingkah laku raja-raja Melayu dahulukala menyebabkan Tanah Melayu ini telah diserahkan bulat-bulat kepada penjajah sewenang-wenangnya hanya kerana kebanyakkan raja-raja Melayu dahulu terlalu dangkal dan hanya pentingkan diri sendiri.

Kisah Perjanjian Pangkor yang menyerahkan Perak kepada British (1874), kisah Perjanjian Inggeris – Kedah (1786) yang menyerahkan Pulau Pinang kepada British dan kisah perjanjian Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada British dalam tahun 1819 menjadi tauladan kepada kita semua. Ini semua adalah fakta sejarah.
Image result for malayan union
SUMBER: THE PATRIOTS
Walau bagaimanapun, oleh kerana orang Melayu bangkit melawan Malayan Union pasca 1946, maka ia terpaksa dibatalkan di dalam tahun 1948. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan lupa bagaimana kuasa raja-raja Melayu yang sudah hilang itu telah dikembalikan oleh orang Melayu juga.

Kita tidak boleh takut pada sejarah, bahkan kita tidak perlu malu pada sejarah. Apa yang terjadi sudah terjadi dan kita dari generasi yang kemudian ini harus membaiki diri dan melakukan perkara yang betul supaya sejarah yang buruk tidak akan berulang lagi.

Ringkasan:
  • Sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua, penjajah British telah menangkap dan membuang Sultan Selangor (Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah) dan menggantikannya dengan adindanya yang lebih muda sebagai pengganti di dalam tahun 1945. Adinda ini akhirnya menjadi Yang DiPertuan Agong ke 2. Nama baginda adalah Sultan Hisamuddin Alam Shah, iaitu nenda kepada Sultan Selangor sekarang.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Pihak penjajah British juga telah memaksa raja-raja dari Perlis dan Terengganu untuk ‘bersara’ awal kerana tidak menyokong British semasa perang dunia yang baru sahaja berakhir ketika itu. Raja Syed Hamzah digantikan dengan Raja Syed Harun Putra manakala Sultan Terengganu yang berhak, Sultan Ali Shah digantikan dengan Sultan Ismail kerana tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Wakil kerajaan British bernama MacMichael diberi kuasa untuk melantik sultan-sultan dan jika mereka tidak mahu menandatangani perjanjian itu, MacMichael boleh melantik mana-mana kerabat raja untuk menurunkan tandatangan.

  • Negeri pertama penjajah British melawat untuk mendapatkan persetujuan Malayan Union adalah negeri Johor, kerana ia adalah negeri terkaya dan sistem kesultanan mereka dicipta oleh British.

  • Ketika bertemu dengan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, pihak penjajah British memeterai di dalam sebuah upacara bahawa baginda Sultan adalah Sultan Johor yang rasmi dan menyerahkan dokumen Malayan Union untuk ditandatangan.

  • Pihak British memberi Sultan Ibrahim hanya satu malam untuk membaca dokumen tersebut sementara MacMichael menunggu di dalam rumah tetamu. Sultan Ibrahim membaca dokumen itu tetapi tidak memberi tahu majlis menteri atau badan badan perundangan Johor mengenai isi kandungan dokumen itu.

  • Selepas dua hari, baginda menurunkan tandatangan dan segera bergegas ke negara yang dicintainya iaitu England.

  • MacMichael melaporkan kepada orang atasannya di England bahawa rundingan dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan suasana teramat baik dan ramah.
    Image result for sultan ibrahim johor
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain.

  • Setelah 71 hari, MacMichael mendapat persetujuan kesemua sultan-sultan di Tanah Melayu untuk menubuhkan Malayan Union.

  • Pada Januari 1946, kertas putih pembentangan bagi pembentukan Malayan Union diterbitkan di London. Ramai orang Melayu di Tanah Melayu tersedar akan bahaya yang akan menimpa mereka dan mula mengkritik perjanjian itu.

  • Ahli-ahli politik Johor yang bersatu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar mengerti akan implikasi Malayan Union iaitu – kuasa negeri akan hilang, yakni negeri-negeri akan diperintah oleh pihak British yang berpusat di Kuala Lumpur, dan kuasa politik Melayu akan berpindah kepada orang Cina.

  • Dato’ Onn dan orang Melayu lain mempunyai masalah bagaimana hendak membatalkan tandatangan Sultan Ibrahim.

  • Antara penyelesaiannya adalah – menggantikan Sultan Ibrahim dengan anakandanya. Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi: “Oleh kerana sebab sebab di atas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini”.

  • Sebagai tanda mereka ini serius, mereka menubuhkan Kesatuan Melayu Johor yang kemudian harinya bergabung dengan kesatuan-kesatuan Melayu di negeri lain dan menjadi UMNO.

  • Selepas itu, Sultan Ibrahim dan Sultan dari Kelantan adalah yang pertama menukar fikiran mereka. Di London, akibat takut dirinya diturunkan takhta oleh orang-orang Melayu di Johor, Sultan Ibrahim telah menulis surat kepada pejabat British untuk menarik balik sokongannya terhadap Malayan Union.


Apabila kesemua sultan-sultan menukar fikiran mereka, barulah orang-orang Melayu boleh menerima semula raja-raja mereka. Tetapi peranan sultan sudah berubah. Mereka bukan lagi fokus utama di dalam politik dan identiti orang Melayu. Sistem yang berkisar kepada sultan-sultan sudah digantikan dengan idea bangsa Melayu.

Secara dasarnya, raja-raja Melayu ketika itu telah dengan rela hati atau secara membuta tuli telah menyerahkan negeri dan kuasa mutlak mereka kepada British. Ini berlawanan sekali dengan sikap Raja England bernama King John di dalam tahun 1215 apabila berkeras tidak mahu menandatangani perjanjian Magna Carta tetapi dipaksa juga oleh para bangsawan untuk mengurangkan kuasa Diraja. Legasi Magna Carta adalah sistem parlimen dan raja berperlembagaan di England.
Image result for magna carta
SUMBER: Harvard Gazette
Bagi orang-orang Melayu 70 tahun dahulu, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu yang diambil oleh British adalah penting untuk kelestarian masa depan Melayu. Walaupun kita boleh menjadi negara republik ketika itu, orang-orang Melayu masih sayangkan raja-raja mereka. Tetapi kuasa raja-raja telah disekat oleh orang Melayu sendiri, mungkin agar pisang tidak berbuah dua kali. Mana mungkin kita mahu saksikan lagi raja-raja melayu sesuka hati menjual negeri-negerinya kepada penjajah di masa akan datang?

Maka lahirlah sistem Raja Berperlembagaan di dalam tahun 1957 apabila Malaysia merdeka. Raja Berperlembagaan bermaksud, raja yang berkuasa berdasarkan perlembagaan. Baginda tidak boleh melanggar undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Jika dilanggar, undang-undang boleh menyabit kesalahan terhadapnya.

“Pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada 01 April 1946."

Kesemua empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat dicantumkan dalam sebuah unit politik dibawah seorang Gabenor penjajah. Kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dimansuhkan dan kuasa memerintah dihapuskan kecuali dalam bidang adat istiadat Melayu dan agama Islam wilayah masing-masing. Kepala kerajaan wilayah-wilayah Baginda juga jatuh ke tangan Residen-Residen penjajah. Seperti kebanyakan negara terjajah Asia — dari India hingga ke Vietnam — cengkaman kembali penjajah Barat pasca Perang Dunia Kedua menjurus kepada pemansuhan sistem Beraja dan penyatuan negeri-negeri kecil kepada beberapa Republik jajahan berkiblatkan London atau Paris. Tetapi . . .

Orang Melayu masih mahukan Raja-Raja mereka.

Justeru Orang Melayu menggadai nyawa menentang penjajah untuk mengembalikan pemerintahan Beraja di Tanah Melayu. Hasil perjuangan ini, Malayan Union dibubarkan oleh penjajah dan kuasa serta martabat Raja-Raja Melayu dikembalikan melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948.

Jadi harus di ingat . . .

Dari 01 April 1946 hingga 31 Januari 1948, Tanah Melayu sudah hilang Kedaulatan Raja-Raja nya dan wujud sebagai tanah jajahan mutlak dibawah seorang Gabenor yang berkuasa sebagai Wizurai Raja Asing. Tanah Melayu ketika itu sudah terjerumus kearah suatu Republik Kesatuan — Unitary Republic — dibawah naungan Mahkota penjajah.

Dan juga harus difahami . . .

Segala Kedaulatan, Kekebalan, Kemuliaan, Kehormatan dan Kekayaan Institusi Di-Raja SELEPAS terbubarnya Malayan Union adalah hasil perjuangan, pengorbanan, restu dan keringat sekelian Rakyat, khususnya Orang Melayu.

Pertama kali dalam sejarah dunia, sesuatu Bangsa tékad menjulang kembali Raja-Raja mereka dan menolak sistem Republik. Orang Melayu sanggup menyerahkan kembali kuasa Rakyat kepada Raja-Raja mereka.

Maka dengan itu . . .

Raja pasca Malayan Union adalah Raja cetusan Rakyat . . . dari Rakyat demi Rakyat untuk Rakyat. Rakyat menjulang kembali Raja-Raja mereka agar Duli-Duli Baginda menjaga kepentingan Rakyat; mempertahankan hak dan maruah Bangsa; memartabatkan adat dan budaya . . . serta menjamin kedaulatan setiap pelusuk tanah air.
Image result for malayan union
SUMBER: INTERNET
Inilah amanah Rakyat buat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mereka selaku penaung agama, bangsa dan tanah air . . . dan intipati jalinan antara Raja dengan Rakyat dan Rakyat dengan Raja di Bumi Malaysia pada masa kini.

"Raja Payung Rakyat. Rakyat ialah Tiangnya Payung itu.”

SUMBER: tularr.com


Wednesday, 14 November 2018

ULANG TAHUN TAMATNYA PERANG DUNIA PERTAMA

Emmanuel Macron dan Angela Merkel mencipta semula babak gencatan senjata Perancis-Jerman yang menamatkan Perang Dunia Pertama pada 11 am, 11.11.1918, sempena ulang tahun ke-100 penamatan perang.

Semalam, 100 tahun yang lalu, acara penandatanganan perjanjian gencatan senjata diadakan di atas sebuah gerabak keretapi di Compiegne, Perancis. Orang Jerman menganggap itu sebagai satu penghinaan besar. Jadi, 21 tahun kemudian (1940), sampai Jerman punya turn pula menyuruh Perancis menandatangani perjanjian gencatan senjata atas gerabak yang sama, di tempat yang sama, sebagai simbol “balas dendam”.

Perang Dunia Pertama ialah sebuah tragedi yang diakibatkan oleh kehilangan keseimbangan kuasa (balance of power) dalam hubungan antara lima kuasa utama Eropah: Britain, Perancis, Prussia/Jerman, Austria dan Rusia.
Image result for napoleon war
Tempoh di antara tahun 1815 (tahun berakhirnya Perang Napoleon) dan 1914 (tahun bermulanya Perang Dunia Pertama) dikenali sebagai “100 Years of Peace” dalam sejarah kerana kelima-lima kuasa besar ini jaga betul-betul hubungan mereka supaya tidak berlaku konflik. Selain Perang Crimea pada tahun 1853-1856 (Prussia dan Austria tak terlibat), Perang Prussia-Austria (1866) dan Perang Prussia-Perancis (1870-1871), tiada peperangan yang melibatkan kelima-lima kuasa besar sekali.

Dengan berkembangnya teknologi dan perdagangan, tempoh 100 Years Peace ini juga dinamakan sebagai “Era Globalisasi Pertama” (First Age of Globalization). Orang anggap dah tak mungkin dah berlaku perang. Idealisme merupakan “zeitgeist” (spirit of the time – maaf terpaksa guna istilah super-intelektual), segala bagai parlimen antarabangsa, mahkamah antarabangsa, Nobel Peace Prize semua wujud pada zaman ini. Manusia betul-betul anggap mereka boleh menamatkan peperangan melalui kerjasama dan undang-undang. Naifnya.
Image result for world war 1 france
Punca Perang Dunia meletus ialah keinginan Perancis untuk membalas dendam terhadap Jerman atas kekalahan Perancis pada tahun 1871 dan juga ketakutan Britain dengan kebangkitan Jerman.

Jerman ialah sebuah negara yang lahir daripada memerangi dua kuasa besar lain (Austria dan Perancis). Sebelum 1871, tak wujud negara bernama Jerman, tapi Prussia berjaya menyatukan negara-negara berbahasa Jerman menjadi sebuah Empayar Jerman dengan merampas tanah daripada Austria dan Perancis. Itu sebabnya bapa pengasas Jerman, Otto von Bismarck memesan raja-raja Jerman supaya berhati-hati dalam dasar luar, jangan buat Rusia dan Britain rasa terancam kerana once mereka buat pakatan dengan Perancis, Germany is finished.
Image result for wilhelm ii
Tapi raja Jerman, Wilhelm II tak nak dengar nasihat dengan berlumba-lumba dengan Britain dan menceroboh kepentingan Rusia. Akhirnya Britain, Perancis dan Rusia membentuk pakatan Entente. Jerman tiada pilihan selain mengikatkan diri dengan Austria. Dan sebuah peristiwa pembunuhan putera mahkota Austria di Bosnia pada 28 Jun 1914 akhirnya mencetuskan perang antara lima kuasa.

Hasil daripada kekalahan Jerman dan Austria (dan juga Bulgaria dan Khilafah Uthmaniyah yang menyertai pakatan kemudian), Persidangan Keamanan Paris diadakan di Istana Versailles pada tahun 1919 untuk menggariskan semula sempadan negara berdasarkan prinsip “national self-determination” yang diusul oleh Woodrow Wilson, presiden US (US menyertai pakatan Britain pada tahun 1917, jadi latecomer).
Image result for league of nations ww1
Bekas wilayah Jerman, Austria dan Uthmaniyah dibahagi-bahagikan. Negara-negara baharu lahir: Poland, Czechoslovakia, Hungary, Yugoslavia, Syria, Iraq, Jordan, Palestin dan sebagainya. Sebuah “Liga Bangsa” (League of Nations) juga ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia. Namun ia gagal untuk memainkan peranan selepas rakyat AS membakul-sampah Perjanjian Versailles sepertimana mereka membakul-sampahkan TPP pada tahun lepas. Ia gagal dengan segagalnya selepas ahli tetap Majlis Keselamatan Liga Bangsa itu sendiri–Jepun dan Itali–telah memulakan pencerobohan ke atas negara lain dan menarik diri dari Liga Bangsa.

Di Turki, Mustafa Kemal Ataturk bangkit melawan negara-negara pemenang yang cuba membahagi-bahagikan wilayah Anatolia dalam Perang Kemerdekaan Turki (1919-1923). Itu sebab orang Turki masih sayang kat Ataturk walaupun dia sekular sebab dia menyelamatkan Turki daripada dijajah sepenuhnya oleh kuasa-kuasa asing.
Image result for the great war
Di Jerman, “resentment” ke atas kehilangan wilayah Jerman, keadaan ekonomi pasca-perang yang kacau-bilau akhirnya membolehkan Hitler berkuasa. Hitler yang pada asalnya ingin “menebus” maruah Jerman, akhirnya menghumban Jerman ke dalam penghinaan dan kemusnahan yang lebih besar. Tapi itu adalah cerita Perang Dunia Kedua.

Pada asalnya Perang Dunia Pertama cuma dikenali sebagai “Perang Besar” (The Great War”), “The War to End All Wars”. Tak ramai dapat jangka, 21 tahun kemudian, ada Perang Dunia Kedua yang jauh lebih dahsyat.

Proses pembentukan orde dunia baharu yang dimulakan oleh Wilson hanya lengkap selepas Perang Dunia Kedua tamat. Di bawah naungan US, Liga Bangsa dihidupkan semula sebagai PBB, dan sehingga hari ini ia masih membentuk “sistem” orde dunia.

Dah 73 tahun dunia tidak menyaksikan perang antara kuasa-kuasa besar. Tapi jangan take for granted. Perlu sentiasa bersiap siaga. “If you want peace, prepare for war”. Dua perang dunia dalam sejarah ini ialah peringatan kepada manusia, bahawa perang adalah sunnatullah. Idealisme tentang sebuah dunia yang akan bebas daripada peperangan dan konflik akan memakan diri.



Thursday, 11 January 2018

PERANG DUNIA KE-2, PERANG MUSIM SEJUK


...gambar ini hiasan je...
Pada 30 November 1939, Soviet Union membedil sempadan Finland-Soviet lalu menghantar 28 divisyen tentera menyeberangi sempadan Finland.

Perang ini berlaku kerana keengganan Finland untuk memberikan kawasan dan wilayah yang diminta oleh Soviet Union. Kerajaan Soviet pimpinan Joseph Stalin meminta agar sempadan Finland-Soviet diperbaharui semula, kerana bandar kedua terbesar Soviet, Leningrad (St. Petersburg) hanya sejauh 32 km dari sempadan antarabangsa. Maka, untuk tujuan keselamatan, pihak Soviet meminta sedikit wilayah negeri Karelia, Finland untuk diberikan kepada Soviet agar kota Leningrad akan lebih selamat pada masa akan datang.
Rejimen Ski Finland, menjadikan ia pasukan elit tentera Finland yang paling efektif ketika perang ini. Menggunakan peluncur salji dan raifal untuk mengucar-ngacirkan tentea Soviet!
Finland, dipimpin oleh President Kyosti Kallio, enggan untuk menerima desakan Soviet Union kerana tidak mahu tunduk kepada kuasa besar berkenaan. Oleh hal yang demikian, pada 26 November 1939, Polis Rahsia Soviet, NKVD melancarkan ‘false flag’ dimana, pos kawalan tentera Soviet dibedil oleh ‘musuh yang tidak diketahui’. Soviet menuduh Finland sengaja membedil artileri ke arah mereka. Mereka menpersoalkan Finland kerana gagal memberi mereka wilayah sebagai ‘buffer zone’. 4 hari kemudian, Soviet Union menyerang Finland.

Jumlah tentera Soviet tiga kali lebih besar daripada apa yang Finland ada. 28 divisyen tentera dibawah pimpinan konco politik Stalin, Marshal of Soviet Union, Kliment Voroshilov menjangkakan yang perang ini akan menjadi singkat dan menawan ibu kota Helsinki yang hanya lebih kurang 300km daripada Leningrad akan menjadi sangat mudah.

Jangkaan Marshal Voroshilov sangat sempit. Tentera Merah mempunyai pelbagai masalah untuk menembusi pertahanan Finland. Voroshilov memandang rendah cuaca yang berlaku pada ketika itu, iaitu sejuk melampau. Oleh hal yang demikian, nama perang ini digelar Perang Musim Sejuk.

Finland mempunyai benteng pertahanan yang semulajadi. Sepanjang sempadan utara Finland tidak boleh ditembusi kerana tidak ada jalan raya dan berbukit-bukit. Hanya sedikit sahaja kawasan yang boleh dilalui, itu pun di kawal ketat oleh tentera Finland. Hanya satu kawasan yang sangat logik untuk dilalui iaitu 32 km utara dari kota Leningrad.
Field Marshal Carl Gustaf Emil Mannerheim
Field Marshal Carl Gustaf Emil Mannerheim, Hero Finland ketika Perang Saudara Finland, dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Komander Turus Angkatan Tentera Finland ketika Perang Musim Sejuk. Walaupun jumlah divisyen Finland 3 kali ganda lebih sedikit daripada Soviet, namun kebijaksanaan beliau membina kubu kuat pertahanan Finland berjaya mengekang kemaraan tentera Soviet. ‘Mannerheim Line’, terletak lebih kurang 50km utara kota Leningrad menjadi tunjang utama sistem pertahanan beliau. Garisan Mannerheim ini menjadi saksi satu per satu kegagalan ofensif tentera Soviet untuk menembusi garisan ini.

Beliau seorang veteran Perang Dunia Pertama dibawah Empayar Rusia. Selepas kekalahan Rusia pada Perang Dunia Pertama, Finland merdeka dan beliau berusaha untuk mengekang pengaruh Komunis ketika Perang Saudara Finland pada 1920an. Beliau amat disegani oleh musuh dan rakan. Taktik beliau amat dikagumi oleh Stalin sehinggakan beliau akui yang Soviet kalah pada awalnya kepada Finland kerana ‘Jeneral Tua’ ini.

Kegagalan tentera Soviet untuk memenangi perang ini dengan masa yang singkat di atas beberapa faktor:

Pertama. tampuk pimpinan Angkatan Tentera Soviet Union sedang berada pada tahap yang amat kritikal. Ramai komander tentera dari pelbagai servis dipenjara dan dibunuh atas arahan Joseph Stalin pada 1936-1938. Maka ramai pegawai berkaliber Soviet diganti oleh pegawai yang masih lagi mentah dan tidak berpengalaman.

Kedua: Kehebatan taktik Marshal Mannerheim. Walaupun Finland mempunyai angkatan kereta kebal dan kapal terbang yang sedikit, Mannerheim mampu meminimasikan penggunaan aset-aset ini untuk menyerang kedudukan vital Tentera Merah. Beliau juga menggunakan taktik gerilla iaitu serang dan lari terhadap pihak lawan dan juga taktik bumi hangus untuk menidakkan sumber makanan musuh.
Pemimpin Soviet Union, Joseph Stalin (kiri) dan Marshal Voroshilov (kanan) yang digantikan oleh Stalin selepas beliau gagal untuk melumpuhkan pertahanan tentera Finland.
Ketiga: Komander Tertinggi Angkatan Soviet sangat memandang rendah dengan kebolehan Finland, dari segi politik dan juga Geografi. Menteri Luar Soviet, Vyacheslav Molotov menggambarkan yang perang ini akan tamat dalam sebulan. Hakikatnya, ia mengambil masa 3 bulan, 1 minggu dan 5 hari untuk menumbangkan Finland. Marshal Voroshilov juga memandang rendah tentang cuaca musim sejuk yang berlaku di sana. Tidak hairan lah 167,000 Tentera Soviet mati yang kebanyakkan mati kesejukkan.

Sememangnya pada dua bulan pertama, Finland menikmati kemengangan demi kemenangan di setiap pertempuran. Kebanyakkan senjata-senjata diberikan oleh negara-negara Bersekutu seperti Britain dan Perancis. Stalin amat berdukacita dan memecat kroninya Marshal Voroshilov. Tempatnya diganti oleh General Semyon Timoshenko.
Pada 01 Februari 1940 - Tentera Merah pimpinan General Timoshenko berjaya melintasi Garisan Mannerheim
Penggantian General Timoshenko sebagai Komander Tentera Soviet pada 7 Januari 1940 membuahkan hasil. Timoshenko menukar semua taktik kolot yang digunakan oleh Voroshilov. Beliau mengutamakan tentera, bermotor dan mekanais kereta kebal untuk melepasi Mannerheim Line. Pada 1 Februari 1940, Timoshenko melancarkan ofensif besar besaran disepanjang Mannerheim Line. Bedilan artileri sabanyak 300,000 butir dibedil di situ sebelum tentera mekanais Soviet menyerang kemudian.
Semyon Timoshenko, dilantik sebagai Marshal of Soviet Union selepas Perang Musim Sejuk tamat dan juga Menteri Pertahanan Soviet pada tahun itu. Taktik mekanais beliau berjaya membolos Garisan Mannerheim yang tidak mampu ditembusi oleh Marshal Voroshilov
Akhirnya, Mannerheim Line dibolosi. Pada 5 Mac 1940, Tentera Soviet memasuki bandar kedua terbesar Finland iaitu Vyborg. Finland bersetuju untuk menandatangani perjanjian damai dengan Soviet yang dimeterai di Moscow pada 12 Mac 1940. Hasilnya. 11% wilayah Finland diambil Soviet dimana merangkumi 30% ekonomi utama Finland.
Kawasan yang dikuasai Soviet Union selepas Perang Musim Sejuk 1939
Nota Editor: Artikel ini dinaikkan selepas mendapat kebenaran page Persatuan Sejarah UPNM – PASEM


Tuesday, 31 October 2017

TUJUH (7) OPERASI GILA JERMAN

Perang Dunia Kedua (WWII) ialah perang paling berdarah dalam sejarah manusia. Dalam tempoh tersebut, banyak kota musnah dan bilangan manusia yang terkorban sama ada tentera dari pihak Bersekutu atau Axis atau orang awam mencecah sehingga jutaan orang. Namun di sebalik konflik yang berlaku di medan perang, perang antara kedua-dua belah pihak ini turut dilaksanakan secara rahsia. Walaupun ianya tidaklah sehebat pertempuran di medan terbuka tetapi sekiranya ia berlaku, ia boleh mengubah perjalanan perang itu sendiri dan sejarah negara terlibat selama-lamanya. Bagi Adolf Hitler dan Nazi Jerman, ia satu peluang yang tidak akan dilepaskan begitu saja.

1. BOM COKLAT
Hasil carian imej untuk bom
Seperti yang kita ketahui, dengan kejayaan tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman pada tahun 1943, Hitler sedia menerima cadangan mana-mana pihak selagi mana ia membantu mereka mengalahkan pihak Bersekutu. Dan pada tahun tersebut, pembuat bom Nazi mencadangkan mereka membunuh Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dengan memasukkan bom dalam coklat. Ini didedahkan dalam satu koresponden surat antara Lord Victor Rothschild, salah seorang ketua Perkhidmatan Keselamatan (MI5) dengan seorang artis, Laurence Fish bertarikh 4 Mei 1943 dan ditulis dari bunker rahsianya di Parliament Street, London. Dalam surat tersebut, Rothschild meminta Fish melakar bom coklat yang dicipta pihak Nazi Jerman.

Menurut keterangan surat tersebut, bom itu dibuat dari besi, disaluti dengan salutan nipis coklat, dilengkapi bahan letupan berkuasa tinggi dan mengandungi mekanisme penangguhan selama tujuh saat. Bom coklat tersebut boleh diaktifkan apabila coklat itu ditarik dengan laju. Pihak Nazi Jerman merancang menyelitkan bom coklat tersebut dalam ruang makan di mana Churchill dan barisan Kabinet mengadakan mesyuarat. Berikutan itu, pihak MI5 mengeluarkan lakaran Fish untuk dihebahkan pada orang ramai dan menggesa mereka melaporkan sebarang item yang mencurigakan termasuk coklat kepada pihak berkuasa.

2. PLOT PEMBUNUHAN POPE PIUS XII
Figure 1: Pope Pius XII merupakan antara pengkritik keras dasar-dasar kerajaan Nazi Jerman.

Bukanlah satu kejutan hubungan pihak gereja terutama Vatican dengan Nazi Jerman dingin. Dan ini diburukkan lagi dengan kritikan keras Pope Pius XII ke atas kerajaan pimpinan Hitler. Bagi Nazi Jerman, tiada siapa boleh menghalang mereka untuk menguasai dunia termasuk pihak Vatican.

Justeru, satu operasi dipanggil Operasi Rabat dirancang pada tahun 1943. Berdasarkan maklumat, sepasukan komando Schutzstaffen (SS) menyamar sebagai tentera Itali akan menyerang Vatican pada waktu malam dan menculik beliau. Pasukan Wehrmacht yang tidak tahu-menahu rancangan ini akan menyerbu masuk dan membunuh ‘komando’ yang bertindak liar ini. Pada ketika itu, semasa pertempuran berlaku, Pope Pius XII dibunuh dan kematiannya akan disembunyikan sebagai kemalangan. Sekiranya beliau terselamat, beliau dibawa ke Jerman atas sebab keselamatan. Ini membolehkan pihak Nazi Jerman menghapuskan ancaman Vatican sambil menyalahkan pihak Itali atas insiden tersebut.

Atas sebab itu, Hitler mengarahkan jeneral SS di Itali, Karl Friedrich Otto Wolf untuk melaksanakan rancangan tersebut. Namun, Wolf tidak melaksanakan rancangan tersebut sebaliknya mengatur satu pertemuan rahsia dengan Pope Pius XII. Dengan bantuan seorang paderi dan memakai pakaian biasa, beliau bertemu dengan Pope Pius pada waktu malam dan mendedahkan maklumat Operasi Rabat. Wolf turut memberi jaminan beliau sama sekali tidak berminat melaksanakan arahan Fuhrer itu namun menyatakan situasi di Rom agak mengelirukan dan merbahaya pada ketika itu. Berikutan itu, Pope Pius meminta Wolf melepaskan dua pemimpin penentang Itali yang akan dihukum mati, satu permintaan yang ditunaikan oleh beliau. Pendedahan maklumat ini dibuat oleh satu akhbar Roman Katolik Itali yang terkemuka, Avvenire.

3. MERAMPAS PESAWAT HITLER.

Bukanlah satu kejutan banyak rancangan untuk membunuh atau menahan Hitler dari plot 20 Julai hingga cubaan penahanan oleh Field Marshall Erwin Rommel. Satu dokumen Tentera Udara Diraja Britain (RAF) mendedahkan rancangan mereka untuk melencongkan pesawat Hitler ke Britain selepas berjaya menyakinkan juruterbang beliau, Hans Baur untuk berpaling tadah. Berdasarkan dokumen tersebut, pesawat itu akan mendarat di Padang Terbang Lympne di Kent di mana Hitler akan dibawa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke London untuk disoal siasat. Dan berdasarkan dokumen itu juga, askar-askar yang mengawal meriam-meriam anti-pesawat diberi arahan tegas untuk tidak menembak pesawat tersebut. Rancangan tersebut diaturkan selepas pihak perisikan mendapat maklumat Baur mahu berpaling tadah menerusi maklumat menantunya, Kiroff kepada Atase Pejabat Ketenteraan Britain di Sofia, Bulgaria. Kepimpinan tertinggi RAF mengetahui rancangan ini termasuk Sir Arthur ‘Bomber’ Harris. Pesawat dijangka mendarat pada 25 Mac 1941 dan RAF turut mengaturkan bilangan tentera yang ramai dan persenjataan lengkap untuk menyambut ‘High Value Individual’ (HVI) ini. Namun, penerbangan tersebut tidak pernah sampai dan Baur terus kekal setia dengan Hitler.

4. CUBAAN BUNUH ERWIN ROMMEL.
Figure 3: Rommel menjadi sasaran dua cubaan bunuh oleh pihak Britain.

Seperti kita ketahui, kehebatan dan kewibawaan Erwin Rommel bukan saja disanjungi kawan bahkan dihormati dan digeruni oleh pihak lawan. Britain sedar mereka boleh memberi pukulan psikologi pada moral tentera Jerman dengan membunuh atau menculik Rommel. Pada 10 November 1941, 53 komando elit Pasukan Khas Udara (SAS) yang dibawa dua kapal selam iaitu HMS Torbay dan HMS Talisman mendarat di Pantai Khashm al-Kalb, berhampiran dengan lokasi markas pusat Rommel. Berikutan cuaca buruk, hanya 30 komando dan pegawai saja berjaya mendarat. Matlamat operasi ialah:

i. membunuh Rommel di Sidi Rafa;

ii. memusnahkan rangkaian komunikasi dan markas pusat Itali berhampiran;

iii. mensabotaj Pejabat Perisikan Itali di Appolonia dan rangkaian komunikasi antara Faidia dan Lamdula; DAN

iv. mensabotaj bahagian belakang pergerakan pasukan Axis.

Operasi Flipper gagal mencapai matlamat yang ditetapkan dengan dua komando terbunuh, 3 orang tercedera dan 25 lagi ditawan unit Afrika Korp. Hanya dua komando saja berjaya melarikan diri iaitu Leftenan Kolonel Robert Laycock dan Sarjan Jack Terry. Pihak Jerman pula kehilangan empat anggota. Sasaran utama SAS iaitu Rommel tiada semasa serangan berlaku berikutan lewat tiba dari Rom akibat cuaca buruk. Apabila mendapat tahu tentang operasi tersebut, beliau berkata, “Ia satu operasi bagus dan dengan penuh keberanian.”

Satu lagi operasi dirancang sejurus selepas peristiwa D-Day. Kali ini di Perancis menerusi Operasi Gaff, komando-komando SAS akan mendarat berhampiran sebuah villa yang menjadi markas pusat Rommel. Namun setibanya mereka di villa tersebut, Rommel tidak kelihatan atas sebab yang tidak disengajakan. Beberapa jam sebelum itu, kenderaan Rommel ditembak bertubi-tubi oleh sebuah pesawat RAF yang menyebabkan kenderaan beliau kemalangan dan beliau mengalami keretakan di bahagian tengkorak. Akibat insiden tersebut, Rommel terpaksa dibawa ke hospital. Bagi komando-komando SAS ini pula, mereka diberi arahan menyerang hendap kereta api dan unit-unit tentera Jerman termasuk markas mereka di Mantes sepanjang perjalanan bergabung dengan tentera Amerika Syarikat.

5. MENCULIK PUTERA EDWARD.
Figure 4: Nazi Jerman mahu menjadikan Putera Edward VIII sebagai raja boneka mereka di Britain sekiranya berjaya mengalahkan Britain.

Putera Edward, sebelumnya dikenali sebagai Raja Edward VIII sebelum turun takhta untuk berkahwin dengan Wallis Simpson pada tahun 1936. Bagi pihak Nazi Jerman, sekiranya mereka berjaya menawan Britain, mereka merancang menabalkan Putera Edward sebagai raja baru Britain sebagai tukaran kepada sokongan baginda pada mereka. Ini berdasarkan satu telegram di mana pihak Nazi mahu menculik baginda dan isterinya semasa mereka tiba di Portugal selepas melarikan diri dari kediaman mereka di Paris selepas kejatuhan Perancis pada tahun 1940. Telegram tersebut turut mendakwa kedua-dua Duke dan Duchess of Windsor tidak menolak cadangan yang diutarakan pihak Jerman itu. Bagi mengelak kedua-duanya terpengaruh dengan pihak Nazi, kerajaan Britain menghantar mereka untuk tugasan diplomatik di Bahamas. Bagi telegram-telegram ini pula, Churchill berusaha memadamkan sebarang jejak membabitkan telegram tersebut termasuk merayu kepada Dwight Eisenhower untuk tidak memasukkan telegram tersebut dalam sejarah senarai konflik Amerika Syarikat. Ini kerana berdasarkan maklumat, Putera Edward tidak tahu-menahu mengenai rancangan tersebut. Churchill merancang untuk tidak mendedahkan dokumen tersebut selama 10 atau 20 tahun tetapi ia akhirnya timbul pada tahun 1957. Putera Edward menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam plot tersebut dan menganggap ia satu penipuan.

6. CUBAAN BUNUH STALIN.
Figure 5: Hitler mahu Stalin dibunuh bagi melemahkan moral tentera Soviet yang berjuang di Barisan Timur.

Seperti Hitler, Josef Stalin tidak terlepas dari menjadi sasaran pembunuhan ramai pihak termasuk bekas sekutunya itu. Dan ini direalisasikan pada tahun 1939 apabila Nazi Jerman dan Jepun bekerjasama menghantar beberapa pembunuh berketurunan Rusia menyusup masuk dalam resort percutian peribadi Stalin di Sochi. Namun, rancangan tersebut gagal apabila pengawal sempadan menembak mati pembunuh-pembunuh ini semasa cuba menyusup masuk ke dalam sempadan Rusia.

Pada tahun 1944, Hitler yang semakin terdesak melancarkan Operasi Zeppelin. Pada Mei 1942, seorang tentera Rusia bernama Shilo/Polito/Polikov berpaling tadah kepada Nazi Jerman dan mula bercakap besar tentang pingat-pingat yang diterimanya dan hubungan dengan kepimpinan tertinggi ketenteraan Rusia atau Stavka. Ejen ini menggunakan nama Pyotr Ivanovich Tavrin iaitu identiti seorang mejar tentera Rusia yang cedera dan diberi latihan menyeluruh oleh pihak Jerman. Rancangan operasi ini ialah membawa Tavrin dan isterinya, Lidia Yakovlena Shilova iaitu seorang operator radio ke padang terbang di wilayah Moscow. Dari situ, mereka akan dibawa ke Moscow untuk membunuh Stalin atau mana-mana pegawai tinggi Soviet pada 25 Oktober iaitu tarikh ulang tahun Revolusi Oktober.

Pada malam 3-4 Disember, sebuah pesawat Luftwaffe berlepas dari Riga, Latvia dan ditembak oleh krew anti-pesawat Rusia. Ini memaksa pesawat membuat pendaratan cemas di Smolensk. Pihak perisikan Rusia (SMERSH) menjumpai pesawat tersebut dan menemui pelan rancangan tersebut. SMERSH mengambil keputusan menunggu di tempat pendaratan kumpulan tersebut dan mengarahkan pos-pos kawalan berjaga-jaga. Tavrin dan isterinya mengambil sebuah motosikal dan memulakan perjalanan ke Moscow. Setibanya mereka di sebuah pos kawalan, pengawal pos mendapati mereka berdua dilihat mencurigakan berikutan pakaian mereka yang kering sedangkan pada ketika itu, hujan turun membasahi bumi. Tavrin dan isterinya segera ditahan bersama krew penerbangan mereka. Krew Luftwaffe ini dihukum bunuh pada Ogos 1945 sementara Tavrin dan isterinya dihukum bunuh pada Mac dan April 1952.

7. CUBAAN BUNUH ‘BIG THREE’
Figure 6: Big Three yang menjadi sasaran Hitler iaitu Franklin D. Roosevelt, Josef Stalin 
dan Sir Winston Churchill.

Bila berbicara tentang Operasi Long Jump iaitu cubaan bunuh ke atas Franklin D. Roosevelt, Stalin dan Churchill pada tahun 1943, ramai sejarawan dan cendekiawan berdebat tentang kesahihan dan kewujudan operasi ini. Ini kerana pihak bertanggungjawab yang mendedahkan plot tersebut ialah pihak Rusia. Berdasarkan rancangan, sepasukan perisik menjejak ketiga-tiga pemimpin ini sebelum membunuh mereka secara serentak. Operasi ini dijalankan semasa Persidangan Big Three di Tehran, Iran. Persidangan ini ialah satu persidangan rahsia di mana semua pemimpin berusaha menyembunyikan kehadiran mereka. Namun, ketibaan Churchill di Tehran disambut meriah oleh tuan rumah mendedahkan mereka kepada kesukaran untuk berahsia.

Setibanya di Iran, pasukan pembunuh ini akan menuju ke rumah selamat mereka di Tehran. Salah seorang anggota terlibat ialah seorang pengkhianat dari Rusia yang akan menyamar sebagai sebahagian unit keselamatan Tentera Merah untuk Stalin. Peranan ejen ini ialah membekalkan maklumat perisikan dan mencari peluang bagi ejen-ejen Jerman untuk membunuh ketiga-tiga tokoh ini. Pihak Jerman tahu akan persidangan ini berdasarkan koresponden surat antara London, Moscow dan Washington D.C yang dibocorkan seorang valet yang berkhidmat di Kedutaan Britain di Ankara, Turki.

Namun operasi ini digagalkan oleh dua individu iaitu ejen talam dua muka dari Switzerland, Ernst Merser dan salah seorang anggota pasukan pembunuh, Hans Ulrich von Ortel. Merser yang berkhidmat untuk Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI6) membocorkan tugasannya untuk mengangkut bekalan-bekalan Jerman ke Tehran kepada pengendalinya. Sementara bagi von Ortel pula, kesilapannya ialah terlalu asyik untuk mengorat sampai terlepas cakap maklumat penting berkenaan pasukannya. Orang yang cuba digodanya ialah Lydiya Lissovskaya, kekasih kepada ejen talam dua muka dari Rusia, Nikolai Kuznetsov. Von Ortel mendedahkan kepada Kuznetsov bahawa beliau menerima tugasan penting tetapi bila bersama dengan Lissovskaya, beliau terlepas cakap keinginannya membawa pulang permaidani Parsi selepas menyelesaikan misi berikutnya. Ini diburukkan lagi dengan tindakan pihak SMERSH menyusup masuk dalam pasukan tersebut sekaligus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan mereka. Belum campur lagi hakikat ketiga-tiga pemimpin ini dilindungi oleh 3,000 ejen Soviet.

RUJUKAN:

1. Pullella, Philip. (2005). Boston Globe. Hitler plot to kidnap Pope Pius XII revealed. http://archive.boston.com/news/world/europe/articles/2005/01/16/hitler_plot_to_kidnap_pope_pius_xii_detailed/

2. Dixon, Cyril. (2011). Daily Express. RAF plot to grab Hitler by making his pilot a secret agent. http://www.express.co.uk/news/uk/226234/RAF-plot-to-grab-Hitler-by-making-his-pilot-a-secret-agent

3. Silverman, Rosa. (2012). The Telegraph. ‘Death by chocolate’ plot to kill Sir Winston Churchill. http://www.telegraph.co.uk/history/9405919/Death-by-chocolate-plot-to-kill-Sir-Winston-Churchill.html

4. Marc V. (2013). Listverse. 10 Bizarre WWII Kidnap And Assassination Attempts. https://listverse.com/2013/12/13/10-bizarre-wwii-kidnap-and-assassination-attempts/

5. Linning, Stephanie. (2015). Daily Mail. Operation Long Jump: New book claims Hitler plotted to assassinate Churchill, Stalin and Roosevelt in one go at Tehran summit. http://www.dailymail.co.uk/news/article-3343871/Operation-Long-Jump-New-book-claims-Hitler-plotted-assassinate-Churchill-Stalin-Roosevelt-Iranian-summit.html

6. Travis, Alan. (2017). The Guardian. Churchill tried to suppress Nazi plot to restore Edward VIII to British throne. https://www.theguardian.com/uk-news/2017/jul/20/winston-churchill-nazi-telegrams-uk-royals-edward-cabinet-papers


Friday, 8 September 2017

HARI-HARI TERAKHIR ADOLF HITLER - "FÜHRER UND REICHSKANZLER"

Bila kita berbicara tentang hari-hari terakhir Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua, kita dapat bayangkan suasana ngeri dalam bunker yang digambarkan bekas pengawal Nazi, mendiang Rochus Misch dalam setiap siri dokumentari membabitkan Hitler. Pada ketika itu, Hitler mati dengan menembak diri sendiri sementara isterinya, Eva Braun mati kerana mengambil racun sianida. Tetapi ada satu kejutan pada tahun 2009 yang membuatkan kita mempertimbangkan semula apakah benar semua yang digambarkan Misch atau ada satu kisah lain yang tidak diketahui umum berkenaan peristiwa tersebut.

Hari-Hari Terakhir Perang Dunia Kedua

Seperti yang diketahui umum, situasi perang tidak lagi menyebelahi Jerman pada tahun 1945. Cubaan Jerman melakukan satu lagi serangan di Ardennes dari Garisan Siegfried (Siegfried Line) untuk menghalau keluar tentera Bersekutu keluar dari Belgium dan kembali semula ke Perancis gagal. Dengan semua tentera Jerman dipaksa berundur dari semua arah, harapan Jerman untuk menang ibarat mimpi pada siang hari. Dan bila mana tentera Amerika berjaya menyeberangi Sungai Elbe pada 11 April dan pihak Soviet menyeberangi Sungai Oder serta melancarkan operasi penawanan Puncak Seelow (Seelow Heights), kebimbangan pihak Jerman bahawa Berlin bakal menjadi medan perang terakhir Eropah jadi satu realiti.

Bagi Hitler sendiri, ia satu hakikat yang terpaksa ditelan. Askar sedia ada dimiliki semakin berkurangan dan yang hanya boleh mempertahankan Berlin sekarang ialah kanak-kanak, wanita dan golongan warga emas. Dengan senjata yang dimiliki hanya sekadar memperlahankan kemaraan tentera dari memasuki Berlin, senario kejatuhan Berlin semakin jelas. Puncak Seelow telah ditawan pihak Soviet pada 19 April, membuka ruang kepada serangan besar-besaran Askar Merah (The Red Army) ke atas Berlin. Dan ironi, pada hari lahir beliau iaitu pada 20 April, Berlin dihujani serangan artileri dan roket Katyusha (Stalin’s organ) buat kali pertama. Pada petang 21 April, tentera Soviet sudah berada di pinggir bandar tersebut.

Pada masa inilah, pemimpin-pemimpin Nazi menunjukkan belang masing-masing untuk menyelamatkan diri mereka. Contoh mudah, pada 22 April, selepas menerima hakikat Jerman sudah kalah, Hitler berunding dengan doktor-doktor peribadinya tentang cara-cara membunuh diri. Mendengar khabar sedemikian, Hermann Goring menghantar telegram ke bunker untuk meminta izin Hitler mengambil alih pemerintahan Reich berdasarkan dekri Hitler pada tahun 1941. Bagaimanapun, bagi sesetengah pegawai lain seperti Martin Bormann, beliau percaya perbuatan Goring satu pengkhianatan pada Die Fuhrer. Hitler membalas telegram tersebut dengan menyatakan Goring boleh dihukum bunuh sekiranya enggan meletak jawatan. Lewat hari yang sama, Hitler memecat Goring daripada semua jawatan yang diterimanya. Pada 28 April pula, ketua Schutzstaffen, Heinrich Himmler membuat rundingan rahsia dengan pihak Bersekutu atas alasan Himmler mengawal kerajaan ketika itu tetapi ditolak sama sekali. Berang dengan tindakan Himmler, Die Fuhrer mengarahkan Himmler ditahan sementara pegawai pengiringnya merangkap wakil SS di bunker, Hermann Fegelein dihukum bunuh.
Gambar 2: Tindakan Himmler berunding dengan pihak Bersekutu di belakang Hitler menimbulkan kemarahan Die Fuhrer.

Bila mendengar perkhabaran Tentera Merah semakin menghampiri Bangunan Kanselor Reich (Reich Chancellery) dan sahabat baiknya merangkap diktator Itali, Benito Mussolini dihukum bunuh oleh kelompok pejuang Itali, ini menambah lagi tekad Hitler untuk membunuh diri. Ini kerana selepas Mussolini dan perempuan simpanannya dibunuh, kelompok partisan Itali menggantung mayat mereka berdua dari kaki hingga ke kepala. Kemudian, selepas diturunkan, mayat diktator Itali itu dibuang dalam longkang bersama mayat perempuan simpanannya di mana mereka meludah mayat kedua-dua individu tersebut. Dan bagi Hitler sendiri, pastinya beliau tidak mahu menjadi tarikan utama pihak Soviet dan beliau boleh saja dimalukan sepuas-puasnya oleh Stalin sebelum dihukum bunuh.
Gambar 3: Imej Mussolini digantung selepas mati oleh pejuang partisan membuatkan Hitler tidak mahu alami nasib sama seperti sahabatnya itu.

Justeru pada 29 April, satu perkahwinan ringkas diadakan di bilik peta dalam bunker antara Hitler dan Eva Braun. Selepas bersarapan dengan Braun, beliau membawa setiausaha beliau, Traudl Junge ke satu bilik lain bagi menentukan wasiat dan arahan yang perlu dilaksanakan selepas kematiannya. Pada waktu tengah hari, sangsi dengan pemberian racun sianida pihak SS, Hitler meminta salah seorang doktor peribadinya, Werner Haase menguji sianida tersebut pada anjing kesayangan beliau, Blondi. Blondi mati serta-merta selepas menelan pil tersebut.

Bunuh Diri

Pada 30 April, Hitler dan Braun hidup sebagai suami isteri dalam 40 jam saja. Pada hari sama, Jeneral Wilhelm Keitel memberitahu beliau Tentera Merah semakin menghampiri bunker dan semua askar yang bertempur sama ada mati, ditawan atau terpaksa bertahan dari serangan bertali arus mereka. Friedrich Weidling, ketua barisan pertahanan memohon kebenaran melancarkan serangan untuk melepaskan diri daripada kepungan tentera Soviet, satu permintaan yang ditolak Hitler beberapa hari sebelum itu. Pada hari itu, pada mulanya, Weidling menyangka permohonannya ditolak kerana Die Fuhrer tidak bersuara berkenaan hal tersebut tetapi tidak lama selepas kembali ke Benderblock, beliau diberi kebenaran melancarkan serangan. Pada waktu tengah hari, Hitler, dua setiausaha dan seorang chef peribadi makan tengah hari bersama. Kemudian, beliau dan isterinya mengucapkan selamat tinggal kepada semua staf dan pegawai yang berada dalam bunker termasuk Martin Bormann dan Joseph Goebbels sekeluarga sebelum masuk dalam bilik bacaan.

Menurut versi rasmi yang dikeluarkan, pada pukul 3.30 petang, beberapa saksi mendengar bunyi tembakan kuat dari dalam bilik bacaan. Staf-staf yang memasuki bilik tersebut melihat kedua-dua Hitler dan Braun sudah tidak bernyawa. Saksi turut menyatakan mereka mencium bau almond terbakar, satu tanda pengenalan bagi sianida telah digunakan. Menurut Misch, kepala Hitler berada di atas meja dengan darah mengalir keluar belah kanan tempurung kepalanya. Bagi Braun, doktor yang memeriksa mengesahkan isterinya mati kerana mengambil pil sianida. Berdasarkan rekod, tiada siapa yang boleh memasuki ruang peribadi Hitler pada masa kematian Hitler iaitu antara 3.00 hingga 4.00 petang.
Gambar 4: Keadaan bunker Hitler selepas beliau dikatakan membunuh diri. Sumber gambar: http://www.bbc.com/news/world-europe-37797141

Pegawai pengiring Hitler, Otto Gunsche mengumumkan kematian Hitler dan seperti apa yang diminta dalam wasiatnya, staf dan pegawai membawa kedua-dua mayat keluar ke bahagian taman di belakang Bangunan Kanselor melalui pintu kecemasan bunker untuk dibakar. Semasa mayat dibakar, pegawai dan staf yang ada memberi tabik Nazi sebagai tanda penghormatan kepada beliau. Namun, disebabkan suhu di luar berubah-ubah sepanjang masa memaksa mereka mencurah beberapa gelen petrol pada mayat untuk mempercepatkan proses pembakaran. Selain membakar mayat, mereka turut membakar apa-apa barang yang boleh digunakan pihak Soviet untuk mengenalpasti mayat Hitler termasuk permaidani yang ada kesan darah beliau. Berikutan bedilan tentera Soviet yang bertubi-tubi menghujani Berlin, kedua-dua mayat ditanam dalam satu lubang bom yang dangkal pada 6.30 petang.
Gambar 5: Posisi dalam bunker dan tempat di mana Hitler membunuh diri. Sumber gambar: http://futility.typepad.com/futility/2006/04/hitlers_bunker_.html


Hitler Mati

Berita kematian Hitler mula diketahui umum terutama rakyat Jerman. Pada 1 Mei, Laksamana Karl Donitz yang mengambil alih pentadbiran kerajaan berdasarkan wasiat Hitler mengumumkan kematian beliau dan meminta rakyat Jerman menangisi pemergian Fuhrer mereka kerana beliau berjuang dengan berani semasa di Berlin. Untuk mengelak lebih banyak kehilangan nyawa dan meningkatkan peluang mereka untuk berunding dengan pihak Bersekutu, Donitz mengarahkan mereka berundur ke sebelah barat. Walaupun ia berjaya menyelamatkan 1.8 juta tentera dari ditawan Tentera Merah, masih ramai yang terkorban kerana pertempuran terus berlaku sehingga 8 Mei.
Gambar 6: Karl Donitz mengetuai kerajaan Flensburg seperti yang diarahkan Hitler dalam wasiat dan arahannya.

Di Rusia, Stalin mendapat berita kematian Hitler pada pagi 1 Mei. Maklumat tersebut diberikan Jeneral Hans Krebs kepada Jeneral Vasily Chuikov dengan harapan untuk berunding dan mendapat syarat-syarat penyerahan kalah yang boleh diterima. Namun, hasrat itu ditolak Stalin, sebaliknya beliau mahukan pihak Jerman menyerah kalah tanpa sebarang syarat, mahukan mayat Hitler ditemui dan pengesahan apa yang dikhabarkan itu benar-benar berlaku. Pada 2 Mei, hasrat Stalin tercapai apabila sekumpulan unit tentera Soviet berjaya masuk ke Bangunan Kanselor dan menemui dua mayat dan dua anjing dalam sebuah lubang yang dangkal. Sementara dalam bunker, Krebs dan seorang lagi pegawai, Wilhelm Burgdorff membunuh diri dengan menembak diri mereka.

Tahu sekiranya berita kematian Hitler tersebar luas, Stalin mengarahkan semua maklumat berkenaan insiden tersebut ditahan dan tidak dilepaskan kepada pihak Bersekutu lain iaitu pihak Amerika Syarikat dan Britain. Stalin turut mengarahkan semua mayat yang ditemui di Bangunan Kanselor dan bunker termasuk Joseph Goebbels sekeluarga ditanam dan dipindahkan beberapa kali oleh SMERSH, sebuah unit perisikan tentera sebelum akhirnya ditanam di fasiiliti baru organisasi tersebut di Magdeburg. Pada 4 April 1970, Pengarah KGB, Yuri Andropov mengarahkan semua mayat dikeluarkan dari Magdeburg, dibakar sampai jadi abu, dikumpul dan ditabur di Sungai Biederitz. Serpihan tulang rahang dan tempurung kepala Hitler dibawa balik ke Rusia dan disimpan dalam arkib KGB. Tujuan operasi tersebut dilaksanakan ialah kebimbangan kepimpinan Parti Komunis Soviet dan KGB bahawa tempat pengebumian Hitler menjadi tempat pemujaan kelompok neo-Nazi.

Berikutan pihak Soviet saja yang tahu berkenaan berita kematian Hitler, mereka terus menyebarkan cerita Hitler masih hidup dan menuduh pihak Bersekutu melindungi Hitler. Maka dari sinilah, cerita-cerita Hitler dilihat di mana-mana muncul. Banyak cerita di mana sukar bagi pihak perisikan untuk mengesahkan cerita tersebut benar atau tidak. Bila Harry Truman bertemu dengan Stalin semasa Persidangan Potsdam dan bertanya sama ada Hitler hidup atau sudah mati, Stalin menjawab tidak dengan tegas. Bagi Stalin dan pemimpin lain selepasnya, ini hanya sekadar permainan politik untuk mengekalkan prestij Rusia atau Soviet Union sebagai kuasa besar yang harus tidak dipandang rendah. Bukti daripada permainan ini ialah lebih 2 juta dokumen yang dinyahsulitkan oleh agensi-agensi perisikan semasa pasukan penyiasat Hunting Hitler meneruskan siasatan mereka pada musim kedua siri tersebut. Namun, apakah ini benar-benar pengakhiran seorang diktator atau ia sebenarnya membuka pintu pada satu kemungkinan lain?

Hitler Atau Bukan Hitler

Teori Hitler masih hidup dan berjaya melarikan diri dari Berlin ternyata menimbulkan minat ramai. Ini ditambah ramai sangsi dengan versi rasmi yang dikeluarkan kerana bagi yang mengkaji personaliti Hitler, ini bukanlah sifat Hitler yang mudah mengaku kalah begitu saja pada hari-hari terakhir perang. Dan tidak ada sebarang bentuk dokumentasi sama ada dalam bentuk gambar atau lakaran. Atas sebab itu, sebuah rancangan dokumentari saluran History pada tahun 2009, Mystery Quest melancarkan satu siasatan untuk menyiasat teori tersebut dan memeriksa kesahihan serpihan tengkorak tersebut.

Pakar tulang dan ahli arkeologi dari Universiti Connecticut, Dr Nick Bellantoni diberi tugas memeriksa struktur tempurung Hitler dan dokumentasi pihak Rusia berkenaan tempurung tersebut. Semasa hendak melakukan pemeriksaan, Bellantoni hanya dibenarkan memeriksa tempurung kepala tersebut. Sementara tulang rahang Hitler masih lagi disimpan arkib dan tidak diberi akses kepada umum. Semasa pemeriksaan awal, beliau sudah merasakan ada sesuatu tidak kena dengan tempurung tersebut. Menurut beliau, tempurung kepala lelaki seharusnya lebih keras tetapi bagi tempurung ini, ianya tidak keras mengikut apa yang dinyatakan. Dan pada bahagian sutur kepala, Bellantoni berpandangan sutur tempurung tersebut menjurus kepada individu berumur 40-an. Ini sama sekali berlawanan dengan fakta umur Hitler ialah 56 tahun pada April 1945.
Bellantoni diberi tempoh sejam saja oleh pihak arkib Rusia untuk memeriksa semua dokumentasi dan mengambil sampel DNA pada semua barang yang diambil dari bunker termasuk sofa di mana Hitler dikatakan membunuh diri. Selepas selesai memeriksa dan mengambil sampel, beliau menghantar sampel kembali ke Universiti Connecticut untuk analisis selanjutnya. Ketua makmal genetik universiti tersebut, Dr Linda Strausbaugh menutup makmal selama tiga hari untuk mengkaji sampel DNA Hitler secara eksklusif. Menurut Strausbaugh, proses dan kawalan yang dilakukan sama seperti di makmal jenayah. Beliau terkejut bila mendapati ada sedikit sampel DNA yang boleh diekstrak keluar. Strausbaugh mengulangi proses tersebut menerusi proses salinan molekular untuk mendapatkan bahan yang cukup untuk analisis selanjutnya. Dan hasilnya tanpa disangka-sangka menyaksikan DNA yang diambil dari tempurung kepala Hitler sebenarnya DNA seorang wanita yang berumur antara 20-an hingga 40-an.

Walaupun keputusan yang dikeluarkan benar-benar mengubah fakta yang kita ketahui hari ini, pihak Rusia masih bertegas bahawa tempurung tersebut memang milik Hitler. Dan pada 28 April tahun ini, pihak arkib Rusia mengumumkan mereka bakal menguji sekali lagi DNA pada tempurung tersebut dan seorang waris keluarga beliau sedia menyerahkan sampel DNA sebagai sampel perbandingan. Walau apapun keputusan DNA yang dibuat, selagi mana satu lagi ujian DNA tidak dibuat pada serpihan rahang yang disimpan dalam arkib bagi benar-benar mengesahkan itu memang Hitler, selagi itu ramai berpandangan versi rasmi yang dikeluarkan bersifat satu pembohongan dan Hitler sebenarnya hidup selepas 30 April 1945.

Sumber:

1. Goni, Uki. (2009). The Guardian. Tests on skull fragment cast doubt on Adolf Hitler suicide story. https://www.theguardian.com/world/2009/sep/27/adolf-hitler-suicide-skull-fragment

2. Tkachenko, Maxim. (2009). CNN. Official: KGB chief ordered Hitler’s remains destroyed. http://edition.cnn.com/2009/WORLD/europe/12/11/russia.hitler.remains/index.html

3. Trevor-Roper, Hugh. (1947). MI5. https://www.mi5.gov.uk/hitlers-last-days

4. Rothman, Lily. (2015). Time. How the World Learned of Hitler’s Death. http://time.com/3829048/death-of-hitler-history/

5. Walker, Peter. (2017). The Independent. Adolf Hitler’s ‘last bodyguard’ reveals what happened in Nazi leader’s final minutes in the Berlin bunker. http://www.independent.co.uk/news/world/europe/adolf-hitler-last-bodyguard-rochus-misch-nazi-leader-s-final-minutes-berlin-bunker-eva-braun-a7642871.html

6. Jamieson, Alastair. (2009). The Telegraph. Adolf Hitler skull fragment is genuine evidence of suicide, insists Russia. http://www.telegraph.co.uk/history/world-war-two/6766845/Adolf-Hitler-skull-fragment-is-genuine-evidence-of-suicide-insists-Russia.html

7. Russia Beyond. (2017). Russia ready to provide Hitler’s skull to scrutinize its authenticity. https://www.rbth.com/news/2017/04/28/russia-ready-to-provide-hitlers-skull-to-scrutinize-its-authenticity_752619

8. Mystery Quest. (2009). Episod 1: Hitler’s Escape. https://www.youtube.com/watch?v=TfhI0X0tbuo