Showing posts with label Eropah. Show all posts
Showing posts with label Eropah. Show all posts

Friday, 8 September 2017

HARI-HARI TERAKHIR ADOLF HITLER - "FÜHRER UND REICHSKANZLER"

Bila kita berbicara tentang hari-hari terakhir Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua, kita dapat bayangkan suasana ngeri dalam bunker yang digambarkan bekas pengawal Nazi, mendiang Rochus Misch dalam setiap siri dokumentari membabitkan Hitler. Pada ketika itu, Hitler mati dengan menembak diri sendiri sementara isterinya, Eva Braun mati kerana mengambil racun sianida. Tetapi ada satu kejutan pada tahun 2009 yang membuatkan kita mempertimbangkan semula apakah benar semua yang digambarkan Misch atau ada satu kisah lain yang tidak diketahui umum berkenaan peristiwa tersebut.

Hari-Hari Terakhir Perang Dunia Kedua

Seperti yang diketahui umum, situasi perang tidak lagi menyebelahi Jerman pada tahun 1945. Cubaan Jerman melakukan satu lagi serangan di Ardennes dari Garisan Siegfried (Siegfried Line) untuk menghalau keluar tentera Bersekutu keluar dari Belgium dan kembali semula ke Perancis gagal. Dengan semua tentera Jerman dipaksa berundur dari semua arah, harapan Jerman untuk menang ibarat mimpi pada siang hari. Dan bila mana tentera Amerika berjaya menyeberangi Sungai Elbe pada 11 April dan pihak Soviet menyeberangi Sungai Oder serta melancarkan operasi penawanan Puncak Seelow (Seelow Heights), kebimbangan pihak Jerman bahawa Berlin bakal menjadi medan perang terakhir Eropah jadi satu realiti.

Bagi Hitler sendiri, ia satu hakikat yang terpaksa ditelan. Askar sedia ada dimiliki semakin berkurangan dan yang hanya boleh mempertahankan Berlin sekarang ialah kanak-kanak, wanita dan golongan warga emas. Dengan senjata yang dimiliki hanya sekadar memperlahankan kemaraan tentera dari memasuki Berlin, senario kejatuhan Berlin semakin jelas. Puncak Seelow telah ditawan pihak Soviet pada 19 April, membuka ruang kepada serangan besar-besaran Askar Merah (The Red Army) ke atas Berlin. Dan ironi, pada hari lahir beliau iaitu pada 20 April, Berlin dihujani serangan artileri dan roket Katyusha (Stalin’s organ) buat kali pertama. Pada petang 21 April, tentera Soviet sudah berada di pinggir bandar tersebut.

Pada masa inilah, pemimpin-pemimpin Nazi menunjukkan belang masing-masing untuk menyelamatkan diri mereka. Contoh mudah, pada 22 April, selepas menerima hakikat Jerman sudah kalah, Hitler berunding dengan doktor-doktor peribadinya tentang cara-cara membunuh diri. Mendengar khabar sedemikian, Hermann Goring menghantar telegram ke bunker untuk meminta izin Hitler mengambil alih pemerintahan Reich berdasarkan dekri Hitler pada tahun 1941. Bagaimanapun, bagi sesetengah pegawai lain seperti Martin Bormann, beliau percaya perbuatan Goring satu pengkhianatan pada Die Fuhrer. Hitler membalas telegram tersebut dengan menyatakan Goring boleh dihukum bunuh sekiranya enggan meletak jawatan. Lewat hari yang sama, Hitler memecat Goring daripada semua jawatan yang diterimanya. Pada 28 April pula, ketua Schutzstaffen, Heinrich Himmler membuat rundingan rahsia dengan pihak Bersekutu atas alasan Himmler mengawal kerajaan ketika itu tetapi ditolak sama sekali. Berang dengan tindakan Himmler, Die Fuhrer mengarahkan Himmler ditahan sementara pegawai pengiringnya merangkap wakil SS di bunker, Hermann Fegelein dihukum bunuh.
Gambar 2: Tindakan Himmler berunding dengan pihak Bersekutu di belakang Hitler menimbulkan kemarahan Die Fuhrer.

Bila mendengar perkhabaran Tentera Merah semakin menghampiri Bangunan Kanselor Reich (Reich Chancellery) dan sahabat baiknya merangkap diktator Itali, Benito Mussolini dihukum bunuh oleh kelompok pejuang Itali, ini menambah lagi tekad Hitler untuk membunuh diri. Ini kerana selepas Mussolini dan perempuan simpanannya dibunuh, kelompok partisan Itali menggantung mayat mereka berdua dari kaki hingga ke kepala. Kemudian, selepas diturunkan, mayat diktator Itali itu dibuang dalam longkang bersama mayat perempuan simpanannya di mana mereka meludah mayat kedua-dua individu tersebut. Dan bagi Hitler sendiri, pastinya beliau tidak mahu menjadi tarikan utama pihak Soviet dan beliau boleh saja dimalukan sepuas-puasnya oleh Stalin sebelum dihukum bunuh.
Gambar 3: Imej Mussolini digantung selepas mati oleh pejuang partisan membuatkan Hitler tidak mahu alami nasib sama seperti sahabatnya itu.

Justeru pada 29 April, satu perkahwinan ringkas diadakan di bilik peta dalam bunker antara Hitler dan Eva Braun. Selepas bersarapan dengan Braun, beliau membawa setiausaha beliau, Traudl Junge ke satu bilik lain bagi menentukan wasiat dan arahan yang perlu dilaksanakan selepas kematiannya. Pada waktu tengah hari, sangsi dengan pemberian racun sianida pihak SS, Hitler meminta salah seorang doktor peribadinya, Werner Haase menguji sianida tersebut pada anjing kesayangan beliau, Blondi. Blondi mati serta-merta selepas menelan pil tersebut.

Bunuh Diri

Pada 30 April, Hitler dan Braun hidup sebagai suami isteri dalam 40 jam saja. Pada hari sama, Jeneral Wilhelm Keitel memberitahu beliau Tentera Merah semakin menghampiri bunker dan semua askar yang bertempur sama ada mati, ditawan atau terpaksa bertahan dari serangan bertali arus mereka. Friedrich Weidling, ketua barisan pertahanan memohon kebenaran melancarkan serangan untuk melepaskan diri daripada kepungan tentera Soviet, satu permintaan yang ditolak Hitler beberapa hari sebelum itu. Pada hari itu, pada mulanya, Weidling menyangka permohonannya ditolak kerana Die Fuhrer tidak bersuara berkenaan hal tersebut tetapi tidak lama selepas kembali ke Benderblock, beliau diberi kebenaran melancarkan serangan. Pada waktu tengah hari, Hitler, dua setiausaha dan seorang chef peribadi makan tengah hari bersama. Kemudian, beliau dan isterinya mengucapkan selamat tinggal kepada semua staf dan pegawai yang berada dalam bunker termasuk Martin Bormann dan Joseph Goebbels sekeluarga sebelum masuk dalam bilik bacaan.

Menurut versi rasmi yang dikeluarkan, pada pukul 3.30 petang, beberapa saksi mendengar bunyi tembakan kuat dari dalam bilik bacaan. Staf-staf yang memasuki bilik tersebut melihat kedua-dua Hitler dan Braun sudah tidak bernyawa. Saksi turut menyatakan mereka mencium bau almond terbakar, satu tanda pengenalan bagi sianida telah digunakan. Menurut Misch, kepala Hitler berada di atas meja dengan darah mengalir keluar belah kanan tempurung kepalanya. Bagi Braun, doktor yang memeriksa mengesahkan isterinya mati kerana mengambil pil sianida. Berdasarkan rekod, tiada siapa yang boleh memasuki ruang peribadi Hitler pada masa kematian Hitler iaitu antara 3.00 hingga 4.00 petang.
Gambar 4: Keadaan bunker Hitler selepas beliau dikatakan membunuh diri. Sumber gambar: http://www.bbc.com/news/world-europe-37797141

Pegawai pengiring Hitler, Otto Gunsche mengumumkan kematian Hitler dan seperti apa yang diminta dalam wasiatnya, staf dan pegawai membawa kedua-dua mayat keluar ke bahagian taman di belakang Bangunan Kanselor melalui pintu kecemasan bunker untuk dibakar. Semasa mayat dibakar, pegawai dan staf yang ada memberi tabik Nazi sebagai tanda penghormatan kepada beliau. Namun, disebabkan suhu di luar berubah-ubah sepanjang masa memaksa mereka mencurah beberapa gelen petrol pada mayat untuk mempercepatkan proses pembakaran. Selain membakar mayat, mereka turut membakar apa-apa barang yang boleh digunakan pihak Soviet untuk mengenalpasti mayat Hitler termasuk permaidani yang ada kesan darah beliau. Berikutan bedilan tentera Soviet yang bertubi-tubi menghujani Berlin, kedua-dua mayat ditanam dalam satu lubang bom yang dangkal pada 6.30 petang.
Gambar 5: Posisi dalam bunker dan tempat di mana Hitler membunuh diri. Sumber gambar: http://futility.typepad.com/futility/2006/04/hitlers_bunker_.html


Hitler Mati

Berita kematian Hitler mula diketahui umum terutama rakyat Jerman. Pada 1 Mei, Laksamana Karl Donitz yang mengambil alih pentadbiran kerajaan berdasarkan wasiat Hitler mengumumkan kematian beliau dan meminta rakyat Jerman menangisi pemergian Fuhrer mereka kerana beliau berjuang dengan berani semasa di Berlin. Untuk mengelak lebih banyak kehilangan nyawa dan meningkatkan peluang mereka untuk berunding dengan pihak Bersekutu, Donitz mengarahkan mereka berundur ke sebelah barat. Walaupun ia berjaya menyelamatkan 1.8 juta tentera dari ditawan Tentera Merah, masih ramai yang terkorban kerana pertempuran terus berlaku sehingga 8 Mei.
Gambar 6: Karl Donitz mengetuai kerajaan Flensburg seperti yang diarahkan Hitler dalam wasiat dan arahannya.

Di Rusia, Stalin mendapat berita kematian Hitler pada pagi 1 Mei. Maklumat tersebut diberikan Jeneral Hans Krebs kepada Jeneral Vasily Chuikov dengan harapan untuk berunding dan mendapat syarat-syarat penyerahan kalah yang boleh diterima. Namun, hasrat itu ditolak Stalin, sebaliknya beliau mahukan pihak Jerman menyerah kalah tanpa sebarang syarat, mahukan mayat Hitler ditemui dan pengesahan apa yang dikhabarkan itu benar-benar berlaku. Pada 2 Mei, hasrat Stalin tercapai apabila sekumpulan unit tentera Soviet berjaya masuk ke Bangunan Kanselor dan menemui dua mayat dan dua anjing dalam sebuah lubang yang dangkal. Sementara dalam bunker, Krebs dan seorang lagi pegawai, Wilhelm Burgdorff membunuh diri dengan menembak diri mereka.

Tahu sekiranya berita kematian Hitler tersebar luas, Stalin mengarahkan semua maklumat berkenaan insiden tersebut ditahan dan tidak dilepaskan kepada pihak Bersekutu lain iaitu pihak Amerika Syarikat dan Britain. Stalin turut mengarahkan semua mayat yang ditemui di Bangunan Kanselor dan bunker termasuk Joseph Goebbels sekeluarga ditanam dan dipindahkan beberapa kali oleh SMERSH, sebuah unit perisikan tentera sebelum akhirnya ditanam di fasiiliti baru organisasi tersebut di Magdeburg. Pada 4 April 1970, Pengarah KGB, Yuri Andropov mengarahkan semua mayat dikeluarkan dari Magdeburg, dibakar sampai jadi abu, dikumpul dan ditabur di Sungai Biederitz. Serpihan tulang rahang dan tempurung kepala Hitler dibawa balik ke Rusia dan disimpan dalam arkib KGB. Tujuan operasi tersebut dilaksanakan ialah kebimbangan kepimpinan Parti Komunis Soviet dan KGB bahawa tempat pengebumian Hitler menjadi tempat pemujaan kelompok neo-Nazi.

Berikutan pihak Soviet saja yang tahu berkenaan berita kematian Hitler, mereka terus menyebarkan cerita Hitler masih hidup dan menuduh pihak Bersekutu melindungi Hitler. Maka dari sinilah, cerita-cerita Hitler dilihat di mana-mana muncul. Banyak cerita di mana sukar bagi pihak perisikan untuk mengesahkan cerita tersebut benar atau tidak. Bila Harry Truman bertemu dengan Stalin semasa Persidangan Potsdam dan bertanya sama ada Hitler hidup atau sudah mati, Stalin menjawab tidak dengan tegas. Bagi Stalin dan pemimpin lain selepasnya, ini hanya sekadar permainan politik untuk mengekalkan prestij Rusia atau Soviet Union sebagai kuasa besar yang harus tidak dipandang rendah. Bukti daripada permainan ini ialah lebih 2 juta dokumen yang dinyahsulitkan oleh agensi-agensi perisikan semasa pasukan penyiasat Hunting Hitler meneruskan siasatan mereka pada musim kedua siri tersebut. Namun, apakah ini benar-benar pengakhiran seorang diktator atau ia sebenarnya membuka pintu pada satu kemungkinan lain?

Hitler Atau Bukan Hitler

Teori Hitler masih hidup dan berjaya melarikan diri dari Berlin ternyata menimbulkan minat ramai. Ini ditambah ramai sangsi dengan versi rasmi yang dikeluarkan kerana bagi yang mengkaji personaliti Hitler, ini bukanlah sifat Hitler yang mudah mengaku kalah begitu saja pada hari-hari terakhir perang. Dan tidak ada sebarang bentuk dokumentasi sama ada dalam bentuk gambar atau lakaran. Atas sebab itu, sebuah rancangan dokumentari saluran History pada tahun 2009, Mystery Quest melancarkan satu siasatan untuk menyiasat teori tersebut dan memeriksa kesahihan serpihan tengkorak tersebut.

Pakar tulang dan ahli arkeologi dari Universiti Connecticut, Dr Nick Bellantoni diberi tugas memeriksa struktur tempurung Hitler dan dokumentasi pihak Rusia berkenaan tempurung tersebut. Semasa hendak melakukan pemeriksaan, Bellantoni hanya dibenarkan memeriksa tempurung kepala tersebut. Sementara tulang rahang Hitler masih lagi disimpan arkib dan tidak diberi akses kepada umum. Semasa pemeriksaan awal, beliau sudah merasakan ada sesuatu tidak kena dengan tempurung tersebut. Menurut beliau, tempurung kepala lelaki seharusnya lebih keras tetapi bagi tempurung ini, ianya tidak keras mengikut apa yang dinyatakan. Dan pada bahagian sutur kepala, Bellantoni berpandangan sutur tempurung tersebut menjurus kepada individu berumur 40-an. Ini sama sekali berlawanan dengan fakta umur Hitler ialah 56 tahun pada April 1945.
Bellantoni diberi tempoh sejam saja oleh pihak arkib Rusia untuk memeriksa semua dokumentasi dan mengambil sampel DNA pada semua barang yang diambil dari bunker termasuk sofa di mana Hitler dikatakan membunuh diri. Selepas selesai memeriksa dan mengambil sampel, beliau menghantar sampel kembali ke Universiti Connecticut untuk analisis selanjutnya. Ketua makmal genetik universiti tersebut, Dr Linda Strausbaugh menutup makmal selama tiga hari untuk mengkaji sampel DNA Hitler secara eksklusif. Menurut Strausbaugh, proses dan kawalan yang dilakukan sama seperti di makmal jenayah. Beliau terkejut bila mendapati ada sedikit sampel DNA yang boleh diekstrak keluar. Strausbaugh mengulangi proses tersebut menerusi proses salinan molekular untuk mendapatkan bahan yang cukup untuk analisis selanjutnya. Dan hasilnya tanpa disangka-sangka menyaksikan DNA yang diambil dari tempurung kepala Hitler sebenarnya DNA seorang wanita yang berumur antara 20-an hingga 40-an.

Walaupun keputusan yang dikeluarkan benar-benar mengubah fakta yang kita ketahui hari ini, pihak Rusia masih bertegas bahawa tempurung tersebut memang milik Hitler. Dan pada 28 April tahun ini, pihak arkib Rusia mengumumkan mereka bakal menguji sekali lagi DNA pada tempurung tersebut dan seorang waris keluarga beliau sedia menyerahkan sampel DNA sebagai sampel perbandingan. Walau apapun keputusan DNA yang dibuat, selagi mana satu lagi ujian DNA tidak dibuat pada serpihan rahang yang disimpan dalam arkib bagi benar-benar mengesahkan itu memang Hitler, selagi itu ramai berpandangan versi rasmi yang dikeluarkan bersifat satu pembohongan dan Hitler sebenarnya hidup selepas 30 April 1945.

Sumber:

1. Goni, Uki. (2009). The Guardian. Tests on skull fragment cast doubt on Adolf Hitler suicide story. https://www.theguardian.com/world/2009/sep/27/adolf-hitler-suicide-skull-fragment

2. Tkachenko, Maxim. (2009). CNN. Official: KGB chief ordered Hitler’s remains destroyed. http://edition.cnn.com/2009/WORLD/europe/12/11/russia.hitler.remains/index.html

3. Trevor-Roper, Hugh. (1947). MI5. https://www.mi5.gov.uk/hitlers-last-days

4. Rothman, Lily. (2015). Time. How the World Learned of Hitler’s Death. http://time.com/3829048/death-of-hitler-history/

5. Walker, Peter. (2017). The Independent. Adolf Hitler’s ‘last bodyguard’ reveals what happened in Nazi leader’s final minutes in the Berlin bunker. http://www.independent.co.uk/news/world/europe/adolf-hitler-last-bodyguard-rochus-misch-nazi-leader-s-final-minutes-berlin-bunker-eva-braun-a7642871.html

6. Jamieson, Alastair. (2009). The Telegraph. Adolf Hitler skull fragment is genuine evidence of suicide, insists Russia. http://www.telegraph.co.uk/history/world-war-two/6766845/Adolf-Hitler-skull-fragment-is-genuine-evidence-of-suicide-insists-Russia.html

7. Russia Beyond. (2017). Russia ready to provide Hitler’s skull to scrutinize its authenticity. https://www.rbth.com/news/2017/04/28/russia-ready-to-provide-hitlers-skull-to-scrutinize-its-authenticity_752619

8. Mystery Quest. (2009). Episod 1: Hitler’s Escape. https://www.youtube.com/watch?v=TfhI0X0tbuo




Monday, 5 June 2017

FAKTA-FAKTA MENGENAI VIKING YANG KITA SEMUA HARUS TAHU

1. Jika anda menonton filem-filem mengenai Viking sekitar 10 ke 20 tahun dahulu apa yang sering dipaparkan adalah mereka memakai topi besi bertanduk, begitu juga kalau anda menonton kartun. Tapi tahukah anda bahawa ini adalah falasi. Sebenarnya tiada langsung dalam catatan sejarah atau jumpaan arkeologi yang menunjukkan bahawa mereka pakai helmet bertanduk. Helmet perang mereka sebenarnya sama seperti helmet tentera-tentera berkuda rohan dalam trilogy The Lord of The Ring. Sedangkan helmet bertanduk tersebut adalah untuk bomoh atau dukun sahaja. Topi bertanduk ini dipopularkan oleh filem-filem Hollywood sekitar awal abad 20.
Hasil carian imej untuk viking
2. Satu lagi mitos tentang Viking adalah mereka bangsa yang tak bertamadun dan kotor. Sebenarnya dalam banyak-banyak suku Eropah, Viking adalah di antara yang paling pembersih. Lebih bersih dari orang Inggeris. Dalam penggalian yang dibuat terhadap kubur mereka, dijumpai banyak alat untuk berdandan dan membersihkan diri antaranya pengorek telinga, pisau cukur, sikat rambut dan pencungkil gigi yang dibuat dari tanduk atau tulang-tulang. Orang Viking juga mandi lebih kerap dari orang Eropah lain pada zamannya yakni sekali seminggu terutama hari Sabtu kerana hari Sabtu adalah hari grooming atau berhias bagi orang Viking terutama lelaki. Mereka juga suka berendam dalam hot spring. Ini menunjukkan mereka adalah metroseksual… hehehe.
Hasil carian imej untuk viking
3. Tahukah anda seperti orang Melayu, kaum Viking juga sangat memandang tinggi golongan wanita. Suri rumah Viking mempunyai lebih hak dan kuasa berbanding wanita² berkahwin kaum lain. Apabila suaminya pergi perang atau berlayar si isteri mempunyai kuasa untuk menguruskan ladang serta buruh-buruh dan hamba. Mereka juga ada bahagian dalam harta pusaka, boleh menceraikan suami mereka jika suami gagal menjalankan tanggungjawab dan berhak ambil balik mas kahwinnya. Malah kaum lelaki terpaksa membayar wang sara hidup untuk bekas isterinya. Pernah tercatat dalam sejarah Viking bahawa seorang wanita telah menceraikan suaminya kerana suaminya mempunyai bulu dada yang terlalu tebal dan tidak mahu mencukur…menarik bukan…
Hasil carian imej untuk viking
4. Satu lagi mitos ialah orang Viking sepanjang hidup mereka adalah menjarah dan berperang serta merampas harta orang. Sebenarnya sebahagian besar hidup mereka, orang Viking adalah petani dan nelayan. Mereka menanam oats, barley dan gandum. Mereka juga menternak lembu,kambing dan babi. Hanya sebahagian sahaja dari Viking yang selalu melanun dan menjarah.
Hasil carian imej untuk viking
5. Satu perkara yang kita tak tahu tentang Viking juga adalah kaum lelaki mereka suka mewarnakan rambut mereka blond. Bagi mereka rambut blond adalah cantik. Lelaki yang berambut merah biasanya akan menggunakan sejenis bancuhan kapur untuk bleach rambut mereka hingga jadi blond, malah janggut juga di warnakan blond. Dengan meletakkan solusi kapur dan mewarnakan rambut ini juga, orang Viking dpt mengelakkan masalah yang sering dihadapi oleh kaum-kaum lain di Eropah yakni kutu.
Hasil carian imej untuk viking
6. Orang Viking sangat diplomatik dan berdiplomasi sesama sendiri. Jika terdapatnya seorang pemimpin yang jahat atau kejam, satu majlis timbang tara akan dibuat dan pemimpin tersebut akan dibuang negeri. Hal ini berlaku pada raja yang bernama Eric The Red yang suka dengan kekejaman hingga orang Viking sendiri tak suka. Dia dibuang dari Norway dan Iceland.
Hasil carian imej untuk viking
7.Orang Viking sangat sukakan hikayat, lagu-lagu tradisi,dan cerita-cerita penglipur lara. Berbanding dengan kaum-kaum Eropah lain diet pemakanan orang Viking juga adalah yang paling seimbang dan sihat kerana mereka suka makan ikan terutama ikan kod yang banyak Omega 3 dan mereka juga makan pelbagai bijirin dan sayuran. Orang Viking juga hanya makan 2 kali sehari iaitu makan siang dan makan malam.
Hasil carian imej untuk viking
8. Sepertimana kegemaran mereka akan rambut yang blond, mereka juga sukakan pakaian yang berwarna terang seperti biru muda, kuning dan merah.
Hasil carian imej untuk viking
9. Orang Viking mempunyai cara menegur seseorang. Setiap kali mereka berjumpa mereka akan berkata “ey wassup!” Wassup yang digunakan oleh anak muda pada hari ini sebenarnya berasal dari budaya Viking.. ey wassup!
Hasil carian imej untuk viking
10. Orang Viking ada tandas luar rumah macam orang Melayu dan bersuci dengan bulu kambing atau lumut setiap kali mereka membuang air besar.


Friday, 12 May 2017

APA BEZA UNITED KINGDOM, GREAT BRITAIN DAN ENGLAND?

Eh, ni nak panggil UK ke England? Great Britain ni apa pulak? Niall Horan ni dari UK ke Ireland?

Pastinya ramai yang tertanya tanya tentang persoalan di atas. Saya kongsikan sedikit pembacaan saya tentang perbezaan tersebut.

Kita mulakan dengan United Kingdom atau singkatannya UK.

UK merupakan sebuah negara yang berdaulat yang merangkumi England, Wales, Scotland dan Utara Ireland. Mesti susah nak faham lagikan?

UK ditubuhkan pada tahun 1707 menerusi Act Of Union, namun nama UK diambil selepas tahun 1801 selepas kemasukan Ireland.

Great Britain pula kepulauan atau tanah besar yang didiami 3 negara iaitu England, Scotland dan Wales.

Nama Britain diambil dari perkataan Roman, iaitu Britannia. Terdapat 2 konflik yang menyebabkan terdapatnya perkataan “Great” di hadapan Britain. Yang pertamanya ialah disebabkan mahu membezakan sebutan sebuah kawasan di Perancis iaitu Brittanny. Kedua, ia disebabkan ego Raja James I yang mahu menyatakan bahawa beliau bukan sahaja raja kepada ‘Old Roman Britain’ tetapi raja kepada keseluruhan pulau, lalu menggelarkan beliau sebagai ‘King Of Great Britain’.

England merupakan sebuah negara seperti Wales dan Scotland. England merujuk kepada sebuah negara, tetapi ianya bukan sebuah negara yang berdaulat. England merupakan sebuah negara terbesar di dalam UK dari segi keluasan mahupun populasi. England merupakan nadi kepada UK dan kota London merupakan ibu negara kepada UK.

Oleh sebab itu, England seringkali dianggap (walaupun salah) sebagai UK secara keseluruhannya.

Secara konklusinya, dapatlah kita rumuskan bahawa:

1.UK merupakan sebuah negara yang berdaulat yang terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Utara Ireland.

2.Great Britain merupakan sebuah tempat/pulau yang menempatkan England, Scotland dan Wales.

3.England merupakan sebuah negara dibawah United Kingdom.

KENAPA FIFA WORLD CUP ATAU EURO TIDAK BERTANDING ATAS TIKET UNITED KINGDOM ?

Hal ini disebabkan pertubuhan bola sepak (FA) telah ditubuhkan dan ianya berkembang secara berasingan pada akhir tahun 18-an. FIFA telah ditubuhkan pada tahun 1904. Secara ringkasnya, FIFA telah bersetuju untuk membenarkan negara dibawah UK bermain di perlawanan antarabangsa secara berasingan.

England seperti yang kita tahu negara yang paling sukses diantara negara UK yang lain diperingkat antarabangsa.
Kredit Gambar: newsthump.com

MACAM MANA PULA DENGAN SISTEM PEMERINTAHAN UK?

Secara ringkasnya, UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di London. UK juga merupakan sebuah negara yang berdasarkan Raja Berpelembagaan. Sama seperti Malaysia.

Setiap negara dibawah UK akan ditadbir oleh Menteri yang dilantik dan berpusat di tempat masing masing. Lebih kurang macam Menteri Besar atau Ketua Menteri jika di Malaysia. Cuma England sahaja tidak memiliki sistem pemerintahannya sendiri kerana ditadbir secara terus oleh kerajaan United Kingdom (lebih kurang seperti Wilayah Persekutuan jika di Malaysia)

MACAM MANA PULA DENGAN SISTEM PEMERINTAHAN UK?

Secara ringkasnya, UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di London. UK juga merupakan sebuah negara yang berdasarkan Raja Berpelembagaan. Sama seperti Malaysia.

Setiap negara dibawah UK akan ditadbir oleh Menteri yang dilantik dan berpusat di tempat masing masing. Lebih kurang macam Menteri Besar atau Ketua Menteri jika di Malaysia. Cuma England sahaja tidak memiliki sistem pemerintahannya sendiri kerana ditadbir secara terus oleh kerajaan United Kingdom (lebih kurang seperti Wilayah Perseketuan jika di Malaysia)



Thursday, 11 May 2017

BAGAIMANA BANGLADESH BOLEH TERPISAH DENGAN PAKISTAN?

Info Gambar: Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman

Selepas jatuhnya British pada tahun 1947, Bengal dipisahkan daripada Pakistan Barat sebagai salah satu daerah wilayah tersebut dan diberi nama sebagai Pakistan Timur. Dhaka pula dijadikan sebagai ibu negeri Pakistan Timur. Walaupun Pakistan Timur mempunyai sumber yang mencukupi dan demografi yang baik, namun seluruh kerajaan dan tentera Pakistan masih dikuasai oleh sebahagian besar golongan atasan di bahagian barat.

Kerajaan Pakistan yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan atasan bahagian barat telah mengisytiharkan Bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi untuk seluruh Pakistan. Hal ini menyebabkan munculnya rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat di timur. Pada 21 Ogos 1952, pelajar Bengali di Pakistan Timur telah bangkit demi bahasa ibunda mereka dan telah menentang keputusan tersebut. Namun begitu, beberapa pelajar telah terkorban dalam pertempuran demi bahasa ibunda mereka ketika bertempur dengan pihak polis. Pengorbanan yang cukup bermakna oleh pelajar-pelajar tersebut diiktiraf sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia bukan sahaja di Bangladesh tetapi di seluruh dunia.
Hasil carian imej untuk pakistan dan bangladesh
Ketidakpuasan hati terhadap pihak di bahagian barat dalam isu kekuasaan ekonomi dan budaya membawa kemunculan Liga Awami sebagai suara politik paling berkuasa di Pakistan Timur. Pada 7 Mac 1971, Presiden Liga Awami dan Bapa Kebangsaan, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dalam ucapan yang penuh bersejarah di hadapan beratus ribu orang di Suhrawardy Udyan telah menyeru agar seluruh masyarakat di Pakistan Timur untuk melancarkan serangan menentang tentera Pakistan dan menyiapkan persediaan untuk Perang Kemerdekaan.

Selepas berlaku banyak krisis politik dan diskriminasi kedaerahan, Perang Kemerdekaan Bangladesh ( Muktijuddho ) pun meletus setelah Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh, sebelum beliau ditangkap pada pagi 26 Mac 1971 oleh tentera Pakistan. Presiden Yahya Khan dan tenteranya secara rasmi melancarkan operasi berdarah yang dikenali sebagai Operasi Searchlight kepada orang yang berdosa di Bangladesh untuk menghapuskan gerakan nasionalis Benggala.

Kerajaan buangan telah dibentuk oleh ketua Liga Awami, yang secara rasmi mengangkat sumpah di Meherpur, di daerah Kustia, Bangladesh pada 17 April 1971, dengan Tajuddin Ahmad sebagai Perdana Menteri pertama dan Syed Nazirul Islam sebagai Pemangku Presiden. Sebuah pasukan bantuan dikenali sebagai Mukti Bahani (Pejuang Kebebasan) telah dibentuk dan ahli-ahlinya berasal daripada tentera Bangladesh dan para pejuang rakyat.
Hasil carian imej untuk m a g osmani
Diketuai oleh M.A.G Osmani, tentera Bangladesh telah disusun kepada 11 sektor dan, sebahagian daripada Mukti Bahini, untuk mengetuai sebuah perang gerila secara besar-besaran menentang tentera Pakistan. Semasa perang tersebut, seluruh dunia menyaksikan peristiwa Pembantaian Bangladesh 1971, dimana tentera Pakistan bersama pasukan militan agama mengadakan pembunuhan berskala besar melibatkan pembunuhan masyarakat Bengali, para intelektual, pemuda-pemudi, para pelajar, ahli-ahli politik, para aktivis dan golongan minoriti agama.

Di tengah-tengah pengorbanan yang tidak terkira oleh rakyat Bangladesh, tentera Pakistan akhirnya mengalah kepada tentera gabungan Bangladesh-India pada 16 Disember 1971. Selama 9 bulan panjangnya rakyat Bangladesh perlu berdepan dengan Perang Kemerdekaan Bangladesh dan akhirnya mereka memenangi perang pada hari tersebut.



Friday, 5 May 2017

350,000 BALA TENTERA 20 NEGARA ISLAM BERGABUNG DI SAUDI

Tentera dari 20 negara berhimpun di Arab Saudi
RIYADH - ARAB SAUDI; Tentera dari 20 negara dilaporkan berhimpun di utara Arab Saudi untuk menyertai latihan ketenteraan yang disifatkan terpenting pernah diadakan di rantau tersebut, menurut agensi berita SPA, kelmarin. Merupakan operasi ketenteraan yang terbesar dirantau tersebut semenjak Perang Dunia Ke 2 dan terdapat berita yang menyatakan Turki dan Saudi sedang mempertimbangkan serangan darat di Syria. Ia berikutan berlakunya serangan di bandar sempadan  oleh tentera Kurdish yang mendapat bantuan rejim Syria.

Latihan Thunder of the North itu melibatkan pasukan tentera darat, udara, laut bertujuan menyampaikan mesej jelas bahawa Riyadh dan sekutunya akan bersatu dalam menghadapi sebarang cabaran selain memelihara keamanan serta kestabilan di rantau itu.

Ia turut disertai lima negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan beberapa negara lain seperti Jordan, Bahrain, Senegal, Oman, Qatar, United Arab Emirates, Sudan, Kuwait, Maldive, Morocco, Pakistan, Chad, Tunisia, Comoro Islands, Djibouti, Malaysia, Egypt, Mauritania dan Mauritius.

Bagaimanapun, SPA tidak memberikan butiran jelas mengenai tarikh sebenar dan tempoh latihan ketenteraan itu akan berlangsung.
Hasil carian imej untuk barat khuatir gabungan tentera negara islam
Difahamkan, pengumuman itu dibuat selepas Riyadh menghantar pesawat pejuang ke pangkalan tentera udara Incirlik di Turki sebagai langkah untuk meningkatkan kempen serangan udara ke atas militan IS di Syria.

Pada masa ini, Saudi mengetuai kempen ketenteraan menyasarkan kedudukan pemberontak Houthi di Yaman dan negara itu turut menubuhkan pakatan antikeganasan disertai 35 anggota gabungan bertujuan untuk memerangi keganasan di negara Islam.

Khamis lalu, sumber di Saudi memaklumkan negara anggota pakatan antikeganasan akan mengadakan pertemuan di negara itu pada bulan depan.

Sebelum ini, Riyadh memberitahu gabungan tersebut akan turut berkongsi maklumat risikan, memerangi ideologi ganas dan mengerah tentera jika perlu.

Rujukan;