Showing posts with label Johol. Show all posts
Showing posts with label Johol. Show all posts

Friday, 21 April 2017

ISTIADAT KERJAN UNDANG LUAK JOHOL KE-15

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah, sejak tahun 1723, inilah kali pertama Undang Luak Johol dilantik bukan atas sebab kematian tetapi atas sebab perlucutan jawatan Undang yang terdahulu. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15, menggantikan Dato’ Muhd Jan bin Abdul Ghani yang dipecat atas kesalahan melanggar salah laku adat.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 dan menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dilangsungkan di Istana Besar Seri Menanti pada 15 Disember tahun lalu.

Uniknya sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, di mana institusi undang yang empat iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan jajahan masing-masing. Undang yang empat juga bertanggung jawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Selepas perlantikan Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan permasyhurannya diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, satu istiadat pertabalan akan dilakukan. Istiadat pertabalan ini dinamakan sebagai kerjan.

Apa Itu Kerjan?

Kerjan adalah satu sebutan adat yang bermaksud pertabalan. Kerjan diadakan selepas seseorang itu dimasyhur atau ditabalkan sebagai undang. Sistem undang yang diguna pakai sekarang ini merupakan satu sistem demokrasi penuh yang unik.

Segala perlantikan dan keputusan adalah mengikut keputusan majoriti. Anak buah melantik Buapak. Buapak melantik Lembaga. Lembaga melantik Dato’ Undang. Kemuafakatan Dato’ Undang inilah akan melantik Yang Dipertuan Besar. Sistem ini telah digunakan sejak zaman-berzaman.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Istiadat kerjan ini dimulakan dengan menurunkan alat kebesaran. Penurunan alat kebesaran adalah satu tanda kebesaran bagi setiap penyandang undang luak. Alat kebesaran ini diwarisi daripada undang luak pertama, Dato’ Setiawan.

Yang Teramat Mulia Dato’ Undang beserta datuk-datuk adat yang berkenaan berangkat ke perigi godang untuk melaksanakan istiadat Mandi Berlangir atau bersiram. Mandi Berlangir adalah satu tradisi wajib bagi istiadat kerjan kepada sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Selepas itu Yang Teramat Mulia Dato’ Undang berangkat pula ke makam Gobah. Di Makam Gobah ini akan diadakan Istiadat Menaikkan Daulat. Gobah adalah Undang Luak Johol yang ke-6 dan telah memerintah selama 20 tahun (1820 –1840). Adat kebiasaan yang dijalankan ialah istiadat tahlil dan menepung tawar kepada sesiapa juga penyandang Dato’ Undang.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Kemudian Yang Teramat Mulia Dato’ Undang pulang semula ke rumah Telapakan Ibu Waris Johol di Kampung Tanggai dengan menaiki kereta kuda. Pada petangnya, satu istiadat menjunjung kasih dijalankan, yang mana semua datuk adat akan menghadap dan menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Johol.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Dengan berakhirnya istiadat kerjan itu, maka terzahirlah sudah Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Sambutan yang dirancang selama lima hari lima malam melibatkan pelbagai pihak termasuk anggota penguatkuasa, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan banyak lagi. Paling mengujakan apabila kenduri rakyat dengan hidangan istimewa iaitu daging kerbau dijamu kepada seluruh penduduk sekitar selama lima hari. – Sumber mingguanwanita.my



APAM JOHOL KUIH TRADISI TERKENAL DI NEGERI SEMBILAN

Apam merupakan sejenis kuih gebu yang biasanya diperbuat daripada tepung beras dan dicampur ragi, santan serta gula, memang kuih yang digemari ramai. Antara yang popular ialah Apam putih, Apam Berkuah, Apam Pelangi, Apam Malaysia dan Apam Polkadot. Tetapi Negeri Sembilan khususnya di Johol, sejenis apam yang dinamakan Apam Johol, turut menjadi kegemaran ramai kerana keunikannya dan cara tradisional untuk proses penyediaannya.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Apam Johol dahulunya dikenali sebagai Apam Daun Rambai, kerana proses pembuatannya menggunakan daun pokok itu. Ia dikatakan berasal dari Johol kerana terdapat banyak pengusaha dan pembuat makanan itu tinggal di kawasan ini.

Pada mulanya kuih ini selalu dihidangkan pada majlis jamuan sekitar kawasan Johol dan daerah Kuala Pilah sahaja. Tetapi setelah ada pihak yang ingin mengadakan majlis atau keraian, kuih apam akan ditempah dari beberapa orang pengusahanya (pembuat kuih) di Johol.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Keenakan apam Johol juga pernah mendapat perhatian oleh anggota Dewan Undangan Negeri Johol, Allahyarham Datuk Roslan Md Yusof semasa beliau dihidangkan dengan kuih tradisi tersebut. Beliau telah mempopularkan kuih tradisi itu dengan memperkenalkannya semasa ucapan penangguhan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan tahun 2005 ketika menyentuh perkara berkaitan pelancongan dan makanan tradisional Negeri Sembilan.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan

Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan

Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Dalam ucapan itu, beliau telah menerangkan ciri-ciri tradisional yang perlu ada pada kuih apam itu dan menggelarkannya dengan nama apam Johol. Sejak daripada itu, dikatakan kuih ini mula mendapat tempat malah di luar pasaran Johol dan sehingga sekarang ia lebih dikenali dengan Apam Johol berbanding Apam Daun Rambai.

Ciri-ciri tradisi yang terdapat pada Apam Johol atau Apam Daun Rambai ini ialah pembungkusannya menggunakan daun rambai, warnanya coklat muda, tepung yang digunakan tepung gandum dan gulanya pula gula merah atau gula Melaka. Ia juga perlu diadun dengan teliti supaya mampu mengeluarkan aromanya tersendiri apatah lagi ia dibungkus dengan daun rambai. Apam yang dihasilkan juga tidak terlalu manis, tidak melekit dan dibuat pejal serta mampu tahan lama sekurang-kurangnya tiga hari.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Selain itu, kalau diperhatikan apam ini juga mempunyai sedikit rekahan di bahagian atas dan sangat enak sekiranya dimakan bersama kuah sambal, rendang, bubur kacang, kuah daging dan kuah durian.