Showing posts with label Tradisional. Show all posts
Showing posts with label Tradisional. Show all posts

Thursday, 11 May 2017

RUMAH TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN MASIH GAH PADA USIA 100 TAHUN

KUALA PILAH – Rumah tradisional Negeri Sembilan sememangnya mempunyai identitinya yang tersendiri apabila setiap perincian seni binanya memiliki maksud tersirat. Sebuah rumah di Kampung Bukit Tempurung Seri Menanti di sini, dilihat masih utuh meskipun terdapat beberapa bumbungnya sudah usang berikutan usianya hampir mencecah 100 tahun. Rumah itu adalah warisan milik Allahyarham Salleh Abd Wahab yang kini dipelihara cucunya, Norasiah Pilus, 74.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Kata Norasiah, rumah itu dibina sekitar tahun 1920-an oleh seorang tukang Melayu.
“Arwah datuk seorang guru agama dan pernah mengajar di Gunung Pasir dan Tanjung Ipoh. Secara keseluruhan, rumah ni diperbuat daripada kayu Penak diambil dari hutan berhampiran. Hingga kini ia masih utuh, malah seni binanya dikekalkan macam mula-mula dibina. Walaupun ada sebahagian ruang rumah dah usang, tapi ia masih cantik. Ada sesetengah orang cakap rumah kayu agak ketinggalan zaman, tapi Wan masih berpegang teguh dengan amanat supaya jaga rumah ni untuk diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, bentuk rumah ini adalah rumah tradisional Negeri Sembilan dan bumbungnya pula sama seperti rumah tradisional yang lain.

“Identiti utama yang mencerminkan Negeri Sembilan adalah seni bina bumbung rumah yang panjang serta melentik di hujungnya. Begitu juga ruang serambi Negeri Sembilan yang mempunyai bentuk memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai. Bahagian hujung selalunya di kedudukan hilir sungai, manakala pangkal di sebelah hulu. Malah rumah ini terdapat juga ruang serambi berbentuk kotak yang dibina sebagai pintu utama rumah ni. Ruang ni dibina untuk ahli keluarga ambil angin dan berehat pada waktu petang,” katanya.

Ujar Norasiah, turut dibina sebuah kolah air berhampiran tangga naik ke rumah untuk digunakan sebagai menyimpan air serta membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

“Rumah ni turut memiliki 24 batang tiang yang diperbuat daripada kayu serta dilapik dengan konkrit. Bermula dari tiang utama yang berperanan sebagai tunjang utama sebuah rumah bagi membentuk sebuah kediaman yang berperanan bukan saja sebagai tempat berteduh, malah jadi tempat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keraian,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, Norasiah tidak mendiami rumah pusaka itu, sebaliknya tinggal di rumahnya sendiri.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Sementara itu, Penolong Kurator Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, rumah Negeri Sembilan masih gah bertahan sehingga hari ini walaupun sudah dibina puluhan tahun dahulu.

“Rentetan itulah, telah menarik ramai pihak untuk mengkaji kelebihan seni bina rumah dan ciri yang menampilkan keunikan serta identiti rumah tersebut. Ini termasuk mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang konservasi warisan yang sedang menjalani latihan praktikal di LMNS,” katanya.

Mahasiswa, Siti Amrah Nasri, 24, yang berasal dari Perak akui teruja apabila berpeluang mengkaji rumah tradisional Negeri Sembilan.

“Jika diperhalusi, rekaan yang terdapat di rumah ini masih lagi menggunakan teknologi tradisional tukang Melayu iaitu teknik tanggam. Malah motif ukiran yang terdapat di rumah ini sangat halus buatannya dan perlu dipertahankan kerana melalui seni ukiran tersebut kita dapat mengetahui tahun bila ia dibuat dan siapa pengukirnya,” katanya. – Sumber Sinar Harian

Friday, 21 April 2017

PERSAMAAN ANTARA MAJLIS RAJA-RAJA DAN DEWAN KEADILAN DAN UNDANG NEGERI SEMBILAN

Seperti yang ramai sedia maklum, pembentukan dan peranan Majlis Raja-Raja di dalam Perlembagaan Persekutuan yang kita kenal hari ini dibentuk pada 1948 berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan
Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Majlis Raja-Raja juga memiliki beberapa persamaan dengan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Penubuhan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan ini pula adalah berdasarkan versi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan semasa Yamtuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah dipertuankan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan (SPBYDPBNS).

Versi terkini ditulis berdasarkan pindaan 1959, namun Undang-Undang Tubuh ini telah wujud seawal 1896, malah sebahagian besar peraturannya mengambil asas kerajaan-kerajaan kecil (Luak) di dalamnya seperti Kerajaan Rembau dan Sungai Ujong, lama sebelum Negeri Sembilan wujud.

Dari Perlembagaan Persekutuan tertulis;
“Perkara 38. Majlis Raja-Raja; (1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang hendaklah ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.” Majlis Raja-Raja, atau Council of Rulers yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah turut mengambil contoh asas penubuhan Dewan Keadilan dan Undang yang dimaktubkan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Rujuk gambar 1 atau 2)
Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan

Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan
Persamaan juga wujud dalam perkara berikut di dalam Perlembagaan Persekutuan;”(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.”Jika Majlis Raja-Raja menjadi rujukan utama Kerajaan Persekutuan sekiranya memerlukan nasihat berkaitan adat istiadat Melayu dan Islam, Dewan Keadilan dan Undang pula menjadi rujukan utama Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri berkenaan hal yang sama. (Rujuk gambar 2)

Malah, jika merujuk kepada Jadual Ketiga (Perkara 32 dan 33) di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan Bahagian 1, iaitu pemilihan Yang di-Pertuan Agong berkaitan tugas memilih, menentukan kelayakan, memasyhurkan, menabal malah memecat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (SPBYDPA) juga mengambil contoh pelaksanaan yang sama oleh Undang Luak Yang Empat (selaku ahli di dalam Dewan Keadilan dan Undang) terhadap SPBYDBNS. (Rujuk Gambar 3 atau 4).
Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan

Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan
Namun demikian, pembentukan Majlis Raja-Raja, peranan serta amalan di dalam MRR berdasarkan Perlembagaan Persekutuan masih lagi hasil daripada persetujuan kesemua Raja-Raja Melayu.

Sekalipun ia mengambil contoh asas dari Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, banyak lagi rujukan-rujukan lain yang perlu diambil sebagai panduan dan memastikan peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja benar-benar mematuhi dan dipelihara haknya di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Persamaan Antara Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan
Inilah antara keunikan Sistem Raja Berpelembagaan, hanya satu seumpamanya di dunia. Kedaulatan Raja-Raja Melayu terpelihara haknya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Semuanya demi memastikan dengan rahmat dan inayahNya, diizinkan Raja-Raja Melayu ini terus memayungi rakyat. – Sumber Khairul Ashraf Muhamad (KAM)


ISTIADAT KERJAN UNDANG LUAK JOHOL KE-15

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah, sejak tahun 1723, inilah kali pertama Undang Luak Johol dilantik bukan atas sebab kematian tetapi atas sebab perlucutan jawatan Undang yang terdahulu. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15, menggantikan Dato’ Muhd Jan bin Abdul Ghani yang dipecat atas kesalahan melanggar salah laku adat.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 dan menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dilangsungkan di Istana Besar Seri Menanti pada 15 Disember tahun lalu.

Uniknya sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, di mana institusi undang yang empat iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan jajahan masing-masing. Undang yang empat juga bertanggung jawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Selepas perlantikan Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan permasyhurannya diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, satu istiadat pertabalan akan dilakukan. Istiadat pertabalan ini dinamakan sebagai kerjan.

Apa Itu Kerjan?

Kerjan adalah satu sebutan adat yang bermaksud pertabalan. Kerjan diadakan selepas seseorang itu dimasyhur atau ditabalkan sebagai undang. Sistem undang yang diguna pakai sekarang ini merupakan satu sistem demokrasi penuh yang unik.

Segala perlantikan dan keputusan adalah mengikut keputusan majoriti. Anak buah melantik Buapak. Buapak melantik Lembaga. Lembaga melantik Dato’ Undang. Kemuafakatan Dato’ Undang inilah akan melantik Yang Dipertuan Besar. Sistem ini telah digunakan sejak zaman-berzaman.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Istiadat kerjan ini dimulakan dengan menurunkan alat kebesaran. Penurunan alat kebesaran adalah satu tanda kebesaran bagi setiap penyandang undang luak. Alat kebesaran ini diwarisi daripada undang luak pertama, Dato’ Setiawan.

Yang Teramat Mulia Dato’ Undang beserta datuk-datuk adat yang berkenaan berangkat ke perigi godang untuk melaksanakan istiadat Mandi Berlangir atau bersiram. Mandi Berlangir adalah satu tradisi wajib bagi istiadat kerjan kepada sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Selepas itu Yang Teramat Mulia Dato’ Undang berangkat pula ke makam Gobah. Di Makam Gobah ini akan diadakan Istiadat Menaikkan Daulat. Gobah adalah Undang Luak Johol yang ke-6 dan telah memerintah selama 20 tahun (1820 –1840). Adat kebiasaan yang dijalankan ialah istiadat tahlil dan menepung tawar kepada sesiapa juga penyandang Dato’ Undang.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Kemudian Yang Teramat Mulia Dato’ Undang pulang semula ke rumah Telapakan Ibu Waris Johol di Kampung Tanggai dengan menaiki kereta kuda. Pada petangnya, satu istiadat menjunjung kasih dijalankan, yang mana semua datuk adat akan menghadap dan menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Johol.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Dengan berakhirnya istiadat kerjan itu, maka terzahirlah sudah Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15.
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15
Sambutan yang dirancang selama lima hari lima malam melibatkan pelbagai pihak termasuk anggota penguatkuasa, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan banyak lagi. Paling mengujakan apabila kenduri rakyat dengan hidangan istimewa iaitu daging kerbau dijamu kepada seluruh penduduk sekitar selama lima hari. – Sumber mingguanwanita.my



APAM JOHOL KUIH TRADISI TERKENAL DI NEGERI SEMBILAN

Apam merupakan sejenis kuih gebu yang biasanya diperbuat daripada tepung beras dan dicampur ragi, santan serta gula, memang kuih yang digemari ramai. Antara yang popular ialah Apam putih, Apam Berkuah, Apam Pelangi, Apam Malaysia dan Apam Polkadot. Tetapi Negeri Sembilan khususnya di Johol, sejenis apam yang dinamakan Apam Johol, turut menjadi kegemaran ramai kerana keunikannya dan cara tradisional untuk proses penyediaannya.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Apam Johol dahulunya dikenali sebagai Apam Daun Rambai, kerana proses pembuatannya menggunakan daun pokok itu. Ia dikatakan berasal dari Johol kerana terdapat banyak pengusaha dan pembuat makanan itu tinggal di kawasan ini.

Pada mulanya kuih ini selalu dihidangkan pada majlis jamuan sekitar kawasan Johol dan daerah Kuala Pilah sahaja. Tetapi setelah ada pihak yang ingin mengadakan majlis atau keraian, kuih apam akan ditempah dari beberapa orang pengusahanya (pembuat kuih) di Johol.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Keenakan apam Johol juga pernah mendapat perhatian oleh anggota Dewan Undangan Negeri Johol, Allahyarham Datuk Roslan Md Yusof semasa beliau dihidangkan dengan kuih tradisi tersebut. Beliau telah mempopularkan kuih tradisi itu dengan memperkenalkannya semasa ucapan penangguhan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan tahun 2005 ketika menyentuh perkara berkaitan pelancongan dan makanan tradisional Negeri Sembilan.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan

Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan

Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Dalam ucapan itu, beliau telah menerangkan ciri-ciri tradisional yang perlu ada pada kuih apam itu dan menggelarkannya dengan nama apam Johol. Sejak daripada itu, dikatakan kuih ini mula mendapat tempat malah di luar pasaran Johol dan sehingga sekarang ia lebih dikenali dengan Apam Johol berbanding Apam Daun Rambai.

Ciri-ciri tradisi yang terdapat pada Apam Johol atau Apam Daun Rambai ini ialah pembungkusannya menggunakan daun rambai, warnanya coklat muda, tepung yang digunakan tepung gandum dan gulanya pula gula merah atau gula Melaka. Ia juga perlu diadun dengan teliti supaya mampu mengeluarkan aromanya tersendiri apatah lagi ia dibungkus dengan daun rambai. Apam yang dihasilkan juga tidak terlalu manis, tidak melekit dan dibuat pejal serta mampu tahan lama sekurang-kurangnya tiga hari.
Apam Johol Kuih Tradisi Terkenal Di Negeri Sembilan
Selain itu, kalau diperhatikan apam ini juga mempunyai sedikit rekahan di bahagian atas dan sangat enak sekiranya dimakan bersama kuah sambal, rendang, bubur kacang, kuah daging dan kuah durian.