Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

Wednesday, 3 May 2017

AKHIRNYA...JENAZAH NGAH IBRAHIM DIBAWA PULANG KE PERAK SELEPAS 129 TAHUN

Dua pahlawan Melayu yang pernah membantu Datuk Maharajalela menentang British dalam Perang Perak pada tahun 1891 yang dikebumikan di Singapura setelah dijatuhi hukuman dibuang negeri telah dibawa pulang ke Perak pada 9 September 2006 yang lalu. Mereka adalah Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim Jaafar dan Laksamana Mohamad Amin. Jenazah Ngah Ibrahim telah dikebumikan semula di Kota Ngah Ibrahim yang terletak berhampiran dengan Masjid Matang, Taiping manakala jenazah Mohamad Amin telah disemadikan di Makam Diraja, Bukit Chandan.
ngah ibrahim
Kedua-dua jenazah pahlawan Perak dari Singapura telah dibawa pulang dengan menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan usaha membawa balik jenazah kedua-dua pahlawan itu telah disusun dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara dan beberapa badan sejarah termasuk kerajaan negeri Perak.

Kubur pahlawan Ngah Ibrahim Jaafar dan Laksamana Mohamad Amin digali semula dan kedua-dua jenazah telah dimasukkan ke dalam dua keranda berasingan yang ditutup dengan Jalur Gemilang dan bendera Perak serta diberikan penghormatan pengebumian semula dengan penuh istiadat.
ngah ibrahim
Siapakah sebenarnya Ngah Ibrahim? Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin bersama Datuk Maharajalela, Pandak Endut, Sipuntum dan ramai lagi pahlawan Melayu Perak ketika itu berganding bahu menentang penjajahan British. Ekoran dari pembunuhan Birch, Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada 1877 dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke Perak pada 9 September 2006.


Friday, 28 April 2017

PERAK MEMPUNYAI WARISAN TENGKOLOK PALING CANTIK

Tengkolok juga dikenali sebagai destar, setanjak/tanjak, bulang hulu dan setangan kepala. Ia merupakan sejenis alas kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki. Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu. Pada zaman sekarang, tengkolok lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan.

Dikatakan bahawa tengkolok dicipta sejak pada zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sebelum zaman itu, sudah menjadi kewajipan rakyat jelata untuk menutup kepala atau mengikat rambut panjang supaya kelihatan kemas apabila apabila menghadap raja. Masyarakat Melayu Melaka mendapat ikhtiar untuk menggunakan kain panjang berbentuk segi empat untuk dilipat-lipat dan diikat menjadi sejenis alas kepala yang kemas untuk dipakai dalam urusan rasmi.
Perak Punyai Warisan Tengkolok Paling Cantik
Ikatan kain ini lama-kelamaan makin lama makin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubah suai mengikut taraf pemakainya. Sepertimana kita semua tahu di semenanjung Tanah Melayu amat terkenal dengan tengkolok yang merupakan antara jenis pakaian lelaki tradisional yang mengandungi falsafah dan menjadi lambang kedudukan sosial seseorang dalam masyarakat Melayu. Hal ini juga berlaku di Perak dan tengkolok Perak adalah antara ikatan warisan tengkolok yang paling cantik.
alang iskandar
Alang Iskandar

Antara nama tengkolok lebih dikenali berbanding yang lain ialah Dendam Tak Sudah. Nama ini mempunyai beberapa gaya dan bentuk ikatan berbeza mengikut negeri. Terdapat lapan bentuk ikatan tengkolok negeri Perak yang dapat direkodkan dalam sebuah kajian dijalankan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jenis-jenis tengkolok yang digunakan di Perak ialah seperti Anak Gajah Menyusu, Dendam Tak Sudah, Ayam Patah Kepak, Alang Iskandar, Helang Menyusur Angin, Pucuk Pisang Patah, Balong Ayam dan Getam Pekasam.
anak gajah menyusu
Anak Gajah Menyusu

Lipatan tengkolok yang digunakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah boleh digunakan oleh rakyat dengan perkenan baginda dan tengkolok yang diikat untuk rakyat mempunyai saiz lebih kecil terutama sekali di bahagian pucuk rebung. Lipatan tengkolok raja mempunyai bahagian pucuk rebung yang tinggi. Tengkolok Helang Menyusur Angin digunakan oleh Sultan Perak sebagai tengkolok rasmi selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke 35.
ayam patah kepak
Ayam Patah Kepak

Sebelum baginda, dua lagi ikatan tengkolok digunakan oleh Sultan Perak ialah ikatan tengkolok Alang Iskandar yang digunakan oleh Almarhum Sultan Idris dan ikatan tengkolok Ayam Patah Kepak digunakan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah. Antara lapan ikatan berikut, empat daripadanya telah semakin dilupakan. Berikut adalah antara nama tengkolok negeri Perak yang semakin dilupakan, Anak Gajah Menyusu, Pucuk Pisang Patah, Dendam Tak Sudah dan Balong Ayam.
balung ayam
Balung Ayam

Tidak semua pengikat tengkolok boleh mengikat semua jenis tengkolok dan lipatannya. Kebanyakan lipatan tengkolok akan hilang setelah pengikatnya meninggal dunia. Ikatan tengkolok merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Namun, permintaan lipatan dan penggunaan yang semakin berkurangan menjadikan beberapa gaya ikatan dilupakan, sekali gus akan hilang ditelan zaman.
pucuk pisang patah
Pucuk Pisang Patah

Usaha menjejaki, merekod dan menghidupkan semula warisan tradisi ikatan dan lipatan ini adalah perlu supaya warisan kesenian Islam khususnya dunia Melayu tidak pupus selamanya. Kenali dan sayangi warisan kesenian Islam tempatan.