Showing posts with label Bahaya. Show all posts
Showing posts with label Bahaya. Show all posts

Monday, 28 August 2017

HANNIBAL BARCA: MIMPI NGERI NGERI ROM

Bila kita berbicara tentang Hannibal, saya percaya perkara pertama timbul dalam minda anda ialah Dr. Hannibal Lecter, pembunuh bersiri fiksyen terkenal ciptaan penulis novel, Thomas Harris. Dan saya takkan terkejut jika nama ini disebut, anda bayangkan Lecter versi Sir Anthony Hopkins atau versi Mads Mikkelsen muncul dalam imaginasi anda. Saya tak berminat dengan Hannibal itu, saya hendak bercerita tentang Hannibal Barca, seorang jeneral Carthage dan salah seorang komander tentera paling berjaya dalam sejarah. Kebijaksanaannya dalam berstrategi bukan saja membuatkan Rom hampir berputih mata malah mendorong mereka menggunakan strategi-strategi Hannibal dalam kempen-kempen ketenteraan seterusnya. Di sebalik kebijaksanaan dan ketokohan beliau, ada banyak perkara menarik tentang Hannibal yang tidak diketahui umum.

1. Barca – Sepantas Kilat

Bapa Hannibal, Jeneral Hamilcar Barca seorang jeneral Carthage yang licik dan dinamik. Ketokohan beliau sudah diketahui umum terutama semasa Perang Punic Pertama di mana antara 247-241 Sebelum Masihi, Hamilcar menggerakkan kempen perang gerila ke atas tentera Rom sehinggalah mereka dihalau keluar dari Sicily. Dan atas jasa beliau, Carthage berjaya mengembangkan wilayah mereka ke Semenanjung Iberia (Sepanyol moden). Ini dilakukan dengan kempen serangan kilat terutama satu insiden serangan pantas di selatan Itali. Berikutan kejayaannya dengan taktik sebegini, askar-askar yang berjuang bersama Hamilcar memberi gelaran Baraq atau Barca. Dalam Bahasa Semitik, Baraq diterjemahkan sebagai sepantas kilat. Dan Hannibal bukan saja berterusan menggunakan nama gelaran bapanya malah turut meneruskan taktik sama yang memberi kejayaan kepada Hamilcar semasa hayatnya. Annaeus Florus, seorang sejarawan Rom abad kedua Masihi menyamakan Hannibal dan bala tenteranya dengan panahan kilat seperti yang tercatat dalam buku Epitome of the Histories.

2. Sumpah Kebencian Rom Mungkin Satu Rekaan

Semasa Hannibal masih kecil, beliau berkeinginan mengikuti bapanya, Hamilcar yang sedang sibuk melancarkan kempen perluasan wilayah Carthage di Iberia. Terdapat pelbagai versi cerita tentang sumpah ini. Satu versi menyatakan bila mana beliau menyatakan hasrat kepada bapanya untuk ikut sama dalam kempen perang di Iberia, Hamilcar bersetuju dan memaksanya bersumpah untuk menjadi musuh Rom selama-lamanya. Satu lagi versi seperti yang dipaparkan dalam dokumentari saluran History, Barbarians Rising ialah Hamilcar membawanya ke satu kamar pengorbanan. Di hadapan nyalaan api kamar tersebut, beliau memaksa Hannibal bersumpah untuk tidak menjadi sekutu Rom selamanya. Sejarawan Rom, Polybius dan Livy menyatakan versi sama tetapi mengubah cara Hannibal bersumpah dengan membasahkan tangannya dengan darah dan melafazkan sumpah sama. Sumber lain menyatakan sumpah Hannibal seperti mana yang dinyatakan George C. Scott sebagai Jeneral George S. Patton dalam filem Patton, “Aku bersumpah bila mana umurku mengizinkan, aku akan menggunakan api dan besi untuk menahan takdir Rom.” Walaupun ada sesetengah versi dipertikai kesahihannya, namun kebencian Carthage terhadap Rom benar-benar wujud dan atas sebab kukuh seperti kehilangan dominasi Laut Mediterranean pada Rom.

3. Operasi Menyeberangi Gunung Bukanlah Segila Seperti Yang Disangka
Figure 1: Gambaran bala tentera Hannibal menyeberangi Alps untuk menyerang Rom.

Bila mana kita berbicara tentang kejayaan Hannibal, pencapaian paling menonjol bagi beliau ialah serangan mengejut Carthage ke atas Rom pada 218 Sebelum Masihi. Sesiapapun menyangka tindakan menyeberangi Pergunungan Pyrennes, Pergunungan Alps dan sungai-sungai pada musim sejuk dengan bala tentera yang besar ialah satu tindakan gila dan boleh memakan diri. Hakikatnya, operasi ketenteraan sebegini sudah dirancang bertahun-tahun sebelum serangan tersebut dilancarkan. Semua aspek bersifat pro dan kontra sudah dipertimbangkan bukan saja oleh Hannibal tetapi juga oleh abang iparnya, Hasdrubal Si Cerah (Hasdrubal The Fair) dan bapanya, Hamilcar. Sebelum Hannibal, Hasdrubal sudah melihat serangan ke atas Rom melalui jalan darat sebagai munasabah. Justeru, jika ada mengatakan pihak Rom tidak tahu langsung berkenaan rancangan ini, ianya sebenarnya salah dan ini dibuktikan dengan pembunuhan Hasdrubal oleh seorang askar upahan berbangsa Celtic pada 221 Sebelum Masihi.

Bila mana Hannibal mengambil alih kepimpinan tentera selepas kematian Hasdrubal, objektifnya sentiasa berkait dengan menyeberangi kawasan pergunungan dan memanfaatkan kelebihan konflik atas daratan. Beliau sedar sebarang cubaan untuk menyerang Rom dari laut adalah mustahil berikutan kekalahan Carthage dalam Perang Punic Pertama, lebih spesifik Pertempuran Mylae dan Pertempuran Cape Economus.

Berikutan itu, pada tahun 220 Sebelum Masihi, beliau mula mengekalkan hubungan baik dengan Padane Gauls di Lembah Po (moden utara Itali). Hasil daripada hubungan tersebut, wujud persetujuan membabitkan pengagihan makanan, duit dan penginapan. Namun, Hannibal tidak mahu bergantung kepada diplomasi semata-mata. Bagi memastikan serangan yang dilakukan benar-benar berhasil, beliau turut menghantar pengintip di setiap laluan bagi mendapatkan laluan terbaik menyeberangi Pergunungan Alps. Perkara terakhir yang mahu dibimbangi beliau ialah tatkala askar-askarnya keletihan melalui jalan yang dipilih tapi terpaksa berhadapan dengan ketumbukan tentera Rom yang sedia menanti. Dengan langkah tersebut, Hannibal bukan saja menghantar mesej jelas kepada Rom tentang kekuatan Carthage tetapi juga merampas sebarang kelebihan strategik daripada memihak musuhnya. Dan Polybius menyatakan secara jelas dalam catatannya bahawa Hannibal sentiasa mempertimbangkan semua pilihan, melihat keadaan semulajadi sesebuah kawasan, memanipulasi sentimen kebencian rakyat tempatan pada Rom dan mempunyai pemandu-pemandu yang dapat membantu mereka melepasi kawasan pergunungan.

4. Senang Sama-Sama, Susah Pun Sama-Sama

Semua komander tentera ada perwatakan berbeza-beza. Sesetengah mempunyai keyakinan diri yang tinggi seperti Iskandar Agung (Alexander The Great), Patton dan Field Marshall Erwin Rommel. Sementara ada mempunyai personaliti berkarisma kepada tentera-tentera mereka seperti Rasulullah s.a.w, Khalid ibnu Walid r.a dan Hannibal sendiri. Dalam catatannya, antara bukti karisma Hannibal menurut Livy ialah kemampuannya menyatukan semua askarnya di bawah satu pasukan walaupun datang dari pelbagai latar belakang berbeza tapi boleh memenangi siri pertempuran dengan Rom selama 15 tahun. Satu ironi semua tentera upahan ini yang dahulunya berjuang atas nama duit dan rampasan perang, boleh bersatu dan melakukan perkara-perkara yang memerlukan pengorbanan yang tak terkira untuk pemimpin mereka.

Selain karisma, ada sisi sensitif di sebalik pengurusan beliau. Teks-teks klasik menunjukkan Hannibal tidur bersama tentera-tentera biasa di luar dalam keadaan kesejukan. Ada teks turut menunjukkan beliau sanggup berlapar bersama mereka bila mana bekalan makanan mereka semakin berkurangan. Namun paling penting, askar-askar ini mempercayai sepenuhnya pertimbangan Hannibal semasa dalam pertempuran. Pendek kata, sebarang arahan yang diberi akan dipatuhi dan diikuti atas dasar percaya kepada jeneral Carthage yang berkaliber ini.

5. Pelontar, Bukan Pemanah Sebagai Pilihan
Figure 2: Tentera berkuda Numidia menjadi mimpi ngeri Rom dalam kempen perang Hannibal.

Sejarah menunjukkan lewat abad ketiga Sebelum Masihi, Rom dikenali dengan maniples, subbahagian tentera dalam legion mereka di mana anggotanya ialah askar-askar infantri berat. Berikutan itu, taktik mereka mudah saja kerana ketika itu lawan mereka hanyalah askar-askar musuh yang tidak berdisiplin dan mudah ditundukkan dengan disiplin yang tinggi dan pergantian semasa di medan perang. Menyedari taktik perang biasa tidak akan mengalahkan maniples ini, Hannibal memilih askar-askar yang punya latar belakang melontar yang mantap dari Afrika dan Sepanyol. Beliau memilih askar-askar ini kerana mereka berkemampuan melastik atau melontar dengan ketepatan yang mengagumkan mengikut jarak yang diberi. Ketepatan mereka amat menakutkan ke atas tentera Rom sehinggakan pemanah biasa digantikan dengan pelastik atau pelontar lembing ini.

Selain menggunakan pelontar atau pelastik, Hannibal turut memanfaatkan keupayaan tentera berkuda berbangsa Numidia melontar lembing semasa menunggang kuda. Mereka amat berani menunggang kuda tanpa menggunakan tali kekang, hanya menggunakan tali sekeliling leher kuda dan kayu ranting semasa beri arahan. Adakalanya semasa pertempuran terutama Pertempuran Trebbia, tentera berkuda ini diberi arahan bergerak bengkang-bengkok dan pantas dengan tujuan menarik perhatian dan menimbulkan perasan tidak puas hati legion-legion Rom. Ditambah pula dengan penghinaan dan celaan yang dilempar mereka pada tentera-tentera Rom ini, lama-kelamaan walaupun dengan disiplin dan kelengkapan yang dimiliki, mereka terpaksa berundur atau mati dibunuh.

6. Cannae Dipilih Atas Sebab Makanan dan Provokasi
Figure 3: Gambaran pertempuran sengit antara Rom dengan Hannibal dalam Pertempuran Cannae.

Bila kita menyebut Pertempuran Cannae, sejarawan menyifatkan pertempuran tersebut sebagai satu insiden yang menconteng arang Rom. Manakan tidak, Rom kehilangan ramai askar semasa berlawan dengan Hannibal dengan bilangan tentera yang terkorban atau tertawan berbeza-beza mengikut kiraan sejarawan. Livy menyatakan 50 ribu terbunuh sementara Polybius meletakkan angka 70 ribu tentera terkorban. Dan Hannibal ada sebab tersendiri memilih kawasan ini. Cannae pada ketika itu merupakan antara kawasan pengeluar makanan penting untuk Rom. Walaupun Rom mencari alternatif dengan mendapatkan bekalan makanan dari Pulau Sicily, pengeluaran makanan di utara Itali terutama di wilayah Apunia di mana Cannae terletak masih memainkan peranan penting. Bila mana Hannibal mara bersama bala tenteranya ke Cannae pada Jun 216 Sebelum Masihi, ia sebenarnya satu provokasi beliau kepada Rom untuk melawannya secara berhadapan. Dan bila mereka mendirikan khemah, khemah mereka berhampiran dengan tanaman-tanaman yang sedia dituai. Ini bukan saja memberi akses makanan secara berterusan kepada tentera Carthage tetapi juga menyuntik moral mereka yang berjuang pada ketika itu.

7. Karisma dan Keterampilan

Semasa Pertempuran Cannae, bilangan kedua-dua tentera Rom dan Carthage amat ramai dengan Polybius meletakkan anggaran 80 ribu tentera Rom melawan 50 ribu tentera Carthage. Walau bagaimanapun, sejarawan moden hari ini menganggarkan bilangan mereka sebenarnya tidaklah setinggi anggaran Polybius. Apapun anggaran yang diberi, yang pasti, kelibat tentera Rom yang ramai menggusarkan sesetengah anggota tentera Rom. Dan seorang pegawai tentera bernama Gisgo tampil ke hadapan dan menyuarakan kebimbangannya pada Hannibal.

Sebagai seorang pemimpin dan komander tentera, Hannibal boleh saja menghukum atau menyelar komen yang menjahanamkan moral sebegini. Tetapi sebaliknya, beliau berpusing kepada pegawai tersebut dan berkata, “Ada satu perkara yang kamu tidak perasan.” Gisgo bertanya, “Apa dia, tuan?” Hannibal menjawab, “Dalam semua askar musuh yang ramai itu, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang ada nama Gisgo.” Mendengar jawapan beliau, semua pegawai dan tentera ketawa terbahak-bahak pada ketika itu, sekaligus menenangkan kegelisahan yang dialami mereka.

8. Ironi Cannae

Ironi di sebalik kemenangan dalam Pertempuran Cannae, ia turut menandakan bermulanya kejatuhan Hannibal. Walaupun mendapat sokongan daripada sekutu dan koloni yang berpaling tadah daripada Rom, ini memaksa beliau menyediakan garison untuk menjaga kota dan koloni yang bersumpah setia kepadanya. Dan ini menjadi satu masalah kepada beliau kerana askar-askar upahan yang berjuang tidak ada pengalaman dalam soal pengepungan kota atau menjaga sempadan baru. Dan ini mendorong mereka ini untuk meninggalkan Hannibal secara beramai-ramai.

Bukan itu saja, berikutan kekalahan Rom dalam Pertempuran Cannae mendorong mereka mengubah taktik kepada perang gerila dan komunikasi terhad atau taktik Fabian yang diperkenalkan Quintus Fabius Maximus Verrucosus. Rom sedar taktik perang konvensional tidak akan dapat mengalahkan Hannibal lalu mereka mengerahkan tentera Rom melancarkan taktik serang dan lari tatkala mereka keluar mencari keperluan penting seperti makanan dan air. Ini menambah lagi tekanan pada bala tentera Hannibal sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan lemah. Walaupun Carthage cuba menghantar bantuan ketenteraan diketuai adik Hannibal, Hasdrubal tetapi mereka berjaya disekat oleh tentera Rom yang diketuai Publius Cornelius Scipio (Africanus) di utara Itali pada tahun 208 Sebelum Masihi.
Figure 4: Gambaran Pertempuran Zama yang menamatkan Perang Punic Kedua dan penentangan Carthage di bawah pimpinan Hannibal.

Setelah berjaya menghalang bantuan tiba pada Hannibal, Scipio mengetuai bala tentera Rom untuk menyerang Iberia dan New Carthage (bandar moden Cartagena), sekaligus memotong talian bantuan pada Hannibal di Itali dan menghalau saki-baki tentera Carthage kembali ke tempat asal mereka. Setelah Iberia berjaya ditawan, beliau menyerang pula Afrika Utara, memaksa Hannibal dan saki-baki askar yang setia dengan beliau kembali ke Carthage untuk berhadapan dengan Scipio. Walaupun yakin dengan keupayaan unit gajah dan veteran perang yang baru saja kembali dari Itali, Hannibal kehilangan sokongan tentera berbangsa Numidia berikutan tindakan raja mereka, Masinissa yang berpaling tadah dan menyokong Rom pula. Akibatnya, Carthage mengalami kekalahan besar dengan 20 ribu askar terbunuh sementara 20 ribu lagi jadi tawanan perang. Hannibal bersama ribuan tentera Carthage lain berjaya melarikan diri sekaligus menamatkan terus Perang Punic Kedua.

9. Negarawan dan Ahli Reformasi

Walaupun mengalami kekalahan teruk dalam Pertempuran Zama, ini bukan bermakna pengakhiran kepada Hannibal. Sebaliknya, disebabkan imej popular beliau sebagai jeneral perang Carthage terbilang, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada dua ketua majistret (suffete/shophet) Carthage. Walaupun jawatan tersebut nampak tidak penting tetapi ia menjadi platform kepada beliau mengembalikan semula kemakmuran Carthage. Cabaran besar menanti beliau; Carthage bukan lagi empayar gah seperti pada zaman kegemilangannya dan dibebani dengan hutang perang yang dikenakan Rom berikutan kekalahan dalam Perang Punic Kedua.

Antara reformasi yang dilaksanakan Hannibal ialah:

i) Meminda perlembagaan dan mendapatkan persetujuan majoriti untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan ahli majlis pemerintah kepada dua penggal berbanding seumur hidup sebelum ini. Melalui pindaan yang dibuat, majlis dapat mengekang penggunaan kuasa tanpa had yang digunakan ahli-ahli majlis Carthage sebelum ini.

ii) Mengubah sistem pentadbiran sedia ada menjadi lebih cekap dan berkesan. Hannibal sedar sistem sedia ada dimanipulasi oleh kelompok tertentu termasuk golongan bangsawan dan terdedah kepada unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan individu yang enggan membayar cukai. Melalui perubahan yang dibuat, ketirisan dana Carthage dapat dikurangkan dan menambah lagi pendapatan dalam kantung tahunan mereka.

iii) Melatih askar-askar Carthage menjadi petani dan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan. Peningkatan aktiviti sebegini ditambah dengan reformasi Hannibal menyebabkan Carthage kembali makmur dan kaya semula. Kekayaan Carthage sangat banyak sehinggakan mereka boleh saja menyelesaikan hutang perang yang dikenakan Rom dalam satu pembayaran saja iaitu lapan ribu talent (unit pemberat pada zaman Yunani dan Rom) dengan tempoh pembayaran 40 tahun yang dianggap mustahil.

Namun langit tidak selalu cerah bagi Hannibal. Walaupun menjadi pujaan rakyat jelata, tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua majistret bakal berakhir dan kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Berikutan reformasinya itu, Hannibal mencipta ramai musuh dalam kalangan ahli politik dan golongan bangsawan. Ini ditambah pula dengan kecurigaan Rom dengan populariti beliau dan kemakmuran Carthage. Susulan itu, pihak Senat Rom menghantar satu suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan (dakwaan palsu) yang mendakwa Hannibal berhubung dengan Raja Anthiochus III dari Empayar Seleucid, musuh ketat Rom di sebelah bahagian Anatolia (Turki). Sedar akan rancangan mereka dan tidak mempercayai orang sebangsanya sendiri, beliau bersara dan berangkat secara senyap-senyap ke Ephesus, istana Anthiochus III dan meneruskan penentangan pada Rom.

10. Periuk Ular

Walaupun diburu Rom pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, ini tidak menghalang Hannibal daripada bersekutu dengan pemerintah-pemerintah yang menentang Rom. Selepas terpaksa melarikan diri berikutan kekalahan Raja Anthiochus III, beliau mendapat perlindungan pemerintah Bithynia, Prusias I. Pada ketika itu, Prusias I sedang berperang dengan pemerintah Pergamon, Eumenes II. Berikutan kekalahan berterusan Bithynia dalam konflik perang darat, baginda memberi peluang kepada Hannibal mengetuai angkatan laut Bithynia menghadapi ancaman angkatan laut Pergamon. Walaupun bilangan kapal Pergamon melebihi bilangan kapal pimpinan beliau, ini tidak menghalang Hannibal merancang satu taktik licik untuk memberi kemenangan kepada angkatan beliau. Beliau mengarahkan semua kapal mengisi periuk mereka dengan pelbagai jenis ular berbisa. Walaupun taktik sebegini nampak pelik, semua anggota tentera laut Bithynia segera melakukannya. Angkatan laut Pergamon yang melihat tindakan pelik ini mengetawakan mereka dan mencabar mereka berlawan dengan pedang bukan periuk. Bila mana periuk-periuk tersebut dilancarkan ke kapal-kapal Pergamon, kapal-kapal mereka dipenuhi dengan pelbagai jenis ular berbisa. Tidak diketahui sama ada perkara ini benar-benar berlaku atau sekadar taktik psikologi Hannibal untuk menakutkan mereka. Apapun, ia berhasil membantu Bithynia menang dalam pertempuran tersebut. Dan pada dua siri pertempuran laut seterusnya, beliau berjaya mengakali Eumenes II dan menang dalam kedua-dua siri pertempuran tersebut.

11. Sang Jeneral Sebenarnya Seorang Penulis

Siapa sangka di sebalik keberanian dan kebijaksanaannya mengakali permainan Rom, Hannibal sebenarnya turut menulis tentang pengalamannya semasa perang dan strategi yang digunakan musuh-musuhnya. Ini tidak menghairankan kerana semasa beliau membesar terutama semasa bapanya berperang di Sicily semasa Perang Punic Pertama, beliau mendapat pendidikan menyeluruh. Bukan itu saja, kejayaan jeneral-jeneral Yunani seperti Iskandar Agung dan Pyrrhus dari Epirus turut mendorong beliau membawa tutornya dalam kempen ketenteraannya. Contohnya, semasa melancarkan serangan mengejut ke atas Rom melalui Pergunungan Alps, Hannibal membawa seorang sejarawan Spartan bernama Sosylos.

Dan ianya tidak terhenti di situ saja. Semasa duduk dalam buangan selepas tamat Perang Punic Kedua, beliau menulis buku dalam Bahasa Yunani di mana satu buku menceritakan kempen musuhnya di Asia Kecil, Gnaeus Manlius Vulso. Buku itu merupakan panduan ketenteraan dalam menghadapi serangan Rom pada penduduk Pulau Rhodes. Livy dalam catatannya menceritakan semasa berada di Itali, Hannibal turut mengarahkan kempen ketenteraan beliau diabadikan dalam bentuk tablet-tablet gangsa di sebuah kuil di Crotone, selatan Itali. Bagaimanapun, kuil tersebut musnah kerana perang dan gempa bumi.

Sumber:

1. Mandal, Dattatreya. (2016). Realm of History. 10 Fascinating Things You Should Know About Hannibal Barca. https://www.realmofhistory.com/2016/01/15/10-fascinating-things-you-should-know-about-hannibal/

2. Mandal, Dattatreya. (2015). Realm of History. 10 Amazing Facts About The Roman Army of Early Republic. https://www.realmofhistory.com/2015/09/06/10-facts-you-should-know-about-the-roman-army-of-the-early-republic/



5. ReverseSpins.com. Patton, The Second Coming of Hannibal. http://www.reversespins.com/patton.html

6. Nepos, Cornelius. Hannibal.


Friday, 9 June 2017

APA ITU NARCISSISM?

Hasil carian imej untuk Narcissism
Idea Narcissism berasal daripada mitos Yunani. Dalam mitos tersebut, terdapat seorang pemuda bernama Narcissus yang sedang mencari cinta hatinya. Pada suatu hari, dia melihat pantulan wajahnya di sebatang sungai. Lalu, dia jatuh cinta pada dirinya sendiri. Disebabkan dia tak mahu ‘cintanya hilang’, dia mati lemas. Sekuntum bunga diletakkan pada tempat dia mati, dan bunga itu dinamakan Narcissus.

Jadi, definisi narcissism adalah berasa megah pada diri sendiri. Sampai satu tahap, dia rasa dia kacak, genius dan lebih penting daripada orang lain. Ahli psikologi membahagikan narcissism pada dua jenis, pertama ‘megah diri’. Keduanya, vulnerable narcissism (tak tahu apa dia dalam BM).
Hasil carian imej untuk Narcissism
Jenis pertama adalah yang paling biasa kita lihat. Jenis yang mahukan perhatian umum dan dominan. Selalunya, berkelompok dalam kalangan selebriti, para pemimpin persatuan, artis (penggiat seni. Haha), ahli politik dan yang seangkatan yang mahukan kuasa dan pengaruh untuk perhatian dan status semata-mata. Tentulah, tidak semua kelompok yang aku sebut mencari perhatian semata, ada juga dengan tujuan yang lebih positif. Jenis kedua pula lebih senyap, mempunyai perasaan ‘rasa istimewa dan penting’, tetapi mudah diancam.

Tidak kisah apa jenis sekalipun, seorang narcissis selalunya bertindak hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Apabila ‘popularitinya’ terancam, dia mudah agresif dan marah. Ah, rasa macam ramai di Facebook macam ini dalam mempertahankan pendapat, lebih-lebih lagi kalau dah popular. Rileks sudah. Populariti tidak menjadi tanda anda benar dan betul.

Kita pergi lebih jauh, narcissism juga dikaitkan dengan penyakit dalam psikologi yang dihidap seramai 2% purata populasi, dan selalunya dalam kalangan lelaki, iaitu narcissistic personality disorder. Dalam sebuah buku manual psikatri di Amerika, penyakit ini dapat dikenalpasti melalui beberapa ciri.
Pertamanya, rasa megah pada diri sendiri. Keduanya, mempunyai masalah dengan perasaan empati. Ketiganya, rasa dirinya penting dan berhak memiliki sesuatu. Keempatnya, memerlukan perhatian dan sanjungan. Kelimanya, ciri yang paling kronik adalah dia mengawal kehidupan orang lain dan menimbulkan banyak masalah tersebut pada hidup orang tersebut, ahli politik? Haha.

Ciri kelima ini, contoh mudahnya, kau gunakan orang lain untuk tujuan perhatian semata-mata.

Jadi, puncanya apa? Dalam kajian, punca daripada genetik ada juga, tetapi masih tidak dapat dikenal pasti genes mana yang terlibat. Punca daripada persekitaran pun ya juga. Memanjakan anak berlebih-lebihan boleh jadi punca narcissism. Menjadi ibu bapa yang terlalu mengongkong juga boleh menjadi punca. Dalam skala budaya yang lebih besar, rancangan personaliti tv macam nyanyi, joget, imam muda itu semua yang menjurus ke arah mempromosi diri (self-promotion) boleh menjadi punca yang kuat.
Hasil carian imej untuk Narcissism
Walaupun tiada bukti yang kuat, media sosial seperti Twitter dan Facebook yang boleh menjadi lubuk populariti dengan like yang bersepah-sepah juga boleh menjadi punca narcissism. Aku dah sebut, kadang sebab populariti kita susah nak mengaku salah dan rasa kita saja yang betul. Kadang, kita update sesuatu hanyalah untuk perhatian dan like semata-mata.


Tuesday, 23 May 2017

CERITA-CERITA RAKYAT YANG TERKENAL DALAM KALANGAN MELAYU

Cerita Rakyat adalah salah satu bentuk sastera rakyat Melayu yang tertua. Utley (1965) menyatakan sastera rakyat adalah bercorak lisan yang dituturkan. Ianya bermaksud diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Kebanyakan cerita-cerita rakyat berasaskan keadaan persekitaran dan budaya ketika itu (Othman Puteh 1984). Menurutnya lagi cerita rakyat mengandungi pengajaran, komedi dan nilai murni dan sebagainya. Menurut Normaliza Abdul Rahim (2014) Sastera rakyat boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Antaranya cerita keperwiraan, haiwan, hantu dan mistik, epik dan dongeng, mitos dan komedi. Antara cerita rakyat popular;

Si Tanggang
Imej yang berkaitan
Cerita rakyat yang popular hingga dibukukan dan divisualkan. Pada zaman kegemilangan filem Melayu, Si Tanggang telah difilemkan pada tahun 1961 dan diarahkan oleh Jamil Sulong. Filem ini dibintangi oleh Jins Shamsuddin dan Zaiton. Kisah mengenai Tanggang yang hidupnya merempat bersama ibunya dan sering dibuli dan diejek oleh penduduk kampung. Akhirnya Si Tanggang berhijrah. Pada mulanya dia menjadi kuli sebuah kapal. Atas kerajinan dia telah berjaya menjadi Nakhoda kapal hingga memikat anak gadis orang kaya pemilik kapal lalu berkahwin.
Hasil carian imej untuk si tanggang anak derhaka
Akhirnya suami isteri itu berlayar ke pelabuhan di mana tanggang berasal. Penduduk kampung yang terlihatkan Tanggang telah memberitahu ibunya yang merindukan anaknya. Ibunya yang berasa gembira dengan kepulangan anaknya lalu ke pelabuhan memanggil anaknya yang berada di dek. Si tanggang berasa malu dengan keadaan ibunya berbanding kecantikan dan kemasyuran yang di ada. Dia tidak mengakui ibunya dan menolak ibunya dari kapal.

Ibunya berasa sangat sedih. Lalu dia berdoa agar Si Tanggang mendapat balasan. Maka Si tanggang dan seluruh isinya disumpah menjadi batu.


Pak Pandir dan rakan-rakan

Sebenarnya cerita Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Belalang dan Si Luncai adalah satu kumpulan cerita jenaka yang dikumpulkan di dalam sebuah buku yang bertajuk “Cherita Jenaka” yang diterbitkan pada tahun 1908. Pengarangnya adalah Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock yang mengumpulkan cerita rakyat komedi dalam satu buku.
Hasil carian imej untuk pak pandir
Pak Pandir digambarkan seorang susuk yang lurus bendul. Dia mempunyai seorang isteri iaitu Mak Andeh yang pening dengan teletah Pak Pandir. Ceritanya berkaitan apa yang berlaku menimpa keluarga dan dirinya. Lebai Malang pula ada cerita mengenai seorang lebai yang telah diundang untuk ke kenduri dia dua buah kampung. Di dalam perjalanan dia berfikir makanan atau habuan apa yang paling terbaik. Akhirnya dia kempunan kerana asyik berfikir dan selalu berpatah balik.

Hikayat Sang Kancil
Hasil carian imej untuk hikayat sang kancil
Ini antara yang popular dan telah dikomersilkan dalam bentuk visual pada zaman moden (1980an). Hikayat Sang Kancil yang mengandungi kira-kira 20 cerita. Cerita ini mengisahkan mengenai sang kancil yang memperdayakan binatang lebih besar yang bersifat sombong dengan menggunakan kebijaksanaan yang ada padanya. Cerita binatang tujuannya bukan sekadar untuk menghibur tetapi juga untuk memberi pengajaran yang baik supaya dapat diambil oleh para pembacanya. Ajaibnya penglipur lara akan mengatakan sang kancil ini boleh bercakap seperti manusia biasa.

Batu Belah Batu Bertangkup
Hasil carian imej untuk batu belah batu bertangkup
Ia meceritakan tentang kisah sepasang suami isteri yang miskin, Si Kantan (suami) dan Si Tanjung (isteri) yang dipercayai menetap di Bukit Berapit, kira-kira sebatu dari Pangkalan Kapar, Klang. Mereka berdua menyara hidup dengan mengambil upah menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan sebagainya sehinggalah berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.
Hasil carian imej untuk batu belah batu bertangkup 
Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. ketika sedang asyik memetik daun cemperai, mereka terdengar akan suara yang kuat lagi menggerunkan. Si Kantan memberitahu kepada isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya suatu ketika dahulu. Selang beberapa tahun kemudian, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata, seorang anak perempuan Si Bunga Melur namanya dan seorang lagi anak laki-laki Si Pekan gerangannya. Namun, sayang Si Kantan telah meninggal dunia sewaktu anak-anak mereka masih kecil, ini menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.

Pada suatu hari, Si Tanjung telah berjaya mengail seekor ikan tembakul sementelah dia mengidam telur ikan tersebut. Disuruhnya Si Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Si Melur mendapat sebiji telur ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya.
Hasil carian imej untuk ikan tembakul
Perbuatan Si Pekan membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan amat terkecil hati. Tanpa memikir panjang dan membuat keputusan terburu-buru, Si Tanjung akhirnya lari meninggalkan rumah, sambil memanggil-manggil nama “Batu Belah Batu Bertangkup” untuk memakan dan menelannya. Walaupun dirayu belas kasihan dengan tangisan oleh Si Bunga Melur yang terus berlari sambil mendukung Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Si Melur pun jatuh pengsan.

Bawang Putih Bawang Merah
Hasil carian imej untuk bawang putih bawang merah
Menceritakan dua orang anak perempuan sama bapa dan berlainan ibu, Putih, anak perempuan yang bersikap lemah-lembut dan bersopan-santun kepada orang tua dan Merah, anak perempuan yang bersikap kurang ajar dan tiada sopan-santun. Cerita ini mengajar supaya anak-anak sekarang bersabar apabila menghadapi rintangan, lebih menghormati orang tua dan tidak tamakkan harta. Selain itu, cerita ini turut mengajar bahawa perbuatan jahat akan dibalas jahat. Antara cerita rakyat yang divisualkan dalam bentuk filem dan drama.

Puteri Santubong Dan Puteri Sejenjang
Hasil carian imej untuk puteri santubong dan puteri sejinjangHasil carian imej untuk puteri santubong dan puteri sejinjang
Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat. Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu. Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang.

Sumber:

Cerita Rakyat Membentuk Moral Positif Melalui Nilai Murni. Mohd Firdaus Dan Normaliza.2014. UMT.

THE NEARLY FORGOTTEN MALAY FOLKLORE: SHALL WE START WITH THE SOFTWARE? Normaliza Abdul Rahim. 2014. Tojet Online.

Cherita Jenaka, iaitu Pa’ Kadok, Pa’ Pandir, Lebai Malang, Pa’ Belalang, Si-Lunchai, ed. R.O. Winstedt & A.J. Sturrock, Singapura: Malayan Publishing House, 1908.



Friday, 12 May 2017

LEGENDA 4 WANITA MENINGGAL YANG MENJADI HANTU TERKENAL

Hantu merupakan kisah mistik yang sangat dipercayai oleh sebahagian orang timur namun ada juga orang barat yang percaya kewujudan hantu yang sering menampakan diri.

Berikut ini ada beberapa kisah hantu wanita yang menjadi cerita yang menakutkan akibat dari kematian mereka sangat tragis dan menyeramkan.

Elva Zona Shue

Elva Zona Shue dikenali sebagai Hantu Greenbrier di Virginia Barat, Amerika Syarikat. Dia tersohor kerana ‘hantu’nya telah menceritakan sendiri sebab kematiannya. Wanita ini dibunuh oleh suaminya sendiri kerana tidak membuat masakan yang disukainya.

Hanya ibu Zona, Mary Jane Heaster, curiga menantunya membunuh puteri kesayangannya. Tetapi Mary Jane tidak mempunyai bukti. Mary telah didatangi hantu Zona selama empat malam berturut-turut yang menceritakan perbuatan suaminya yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap dirinya.

Dari peristiwa itu, Mary Jane meminta bantuan masyarakat setempat untuk menyiasat punca kematian puterinya itu. Selepas siasatan secara terperinci, akhirnya suami Zona ditahan atas tuduhan pembunuhan isterinya sendiri.

Sejak suaminya ditangkap, hantu Zona tidak datang lagi. Sehingga hari ini kisahnya terus diceritakan kembali oleh masyarakat dunia.

Marie Laveau

Marie Laveau dikenali kerana kononnya menjadi pengamal Voodoo dan ilmu hitam. Dia sangat tersohor di pertengahan tahun 1800-an. Laveau dukun yang sangat kuat dan mampu memerintahkan alam ghaib di bawah kuasanya. Makam perempuan ini merupakan tempat paling seram di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat.

Hantu Laveau kononnya akan muncul di hadapan mereka yang berani mengetuk ruang bawah tanah di sebuah toko menjual barang-barang perdukunan. Toko ini pernah menjadi tempat tinggal ahli sihir wanita ini.

Kate Morgan

Kate Morgan merupakan hantu wanita muda yang menghuni ruangan Picturesque, Hotel Beachside del Coronado, di California, Amerika Syarikat. Pada 1892, Morgan ditemui mati dengan peluru bersarang di kepalanya. Tangannya menggenggam pistol ketika itu.

Pada mulanya, semua orang merasakan yang dia membunuh diri. Namun selepas disiasat, pistol dan peluru tidak sepadan. Pembunuhan Morgan hingga kini belum berjaya diselesaikan.

Para pekerja hotel dan tetamu sering melihat hantu Morgan. Kehadirannya boleh dirasakan apabila kadang-kadang buku terselak dengan sendirinya tanpa seorang pun menyentuhnya atau pam air di tandas berfungsi sendiri.

Dolly Madison

Dolly Madison merupakan isteri Presiden Amerika Syarikat keempat James Madison. Dia enggan berpindah dari Rumah Putih lantaran tamannya yang sangat indah. Dolly memang memiliki hobi terhadap taman bunga. sehingga dia meninggal dunia.

Ketika Woodrow Wilson menjadi presiden, dia dan isterinya Edith hendak menghias semula kebun milik Dolly. Hantu Dolly rupanya tidak dapat merima jika ada orang yang hendak merosakkan tamannya. Hantunya muncul dan menyebabkan semua tukang kebun lari ketakutan. Akhirnya rombakan itu dihentikan.

Hingga kini, Dolly masih menjaga tanamannya. Sesekali dia akan menampakkan diri berjalan melihat kebun bunga yang dibangunkan sendiri olehnya. Ini sekaligus menjawab kenapa. Rumah Putih tidak pernah merubah hiasan halamannya.


Thursday, 11 May 2017

10 TANGGA YANG PALING MENGGERUNKAN DI DUNIA, MALAYSIA TERSENARAI!

Kalau kita tengok 10 tangga tertinggi di dunia yang dicatat portal Travel and Leisure ini, kita yang tak fobia ni pun lemah semangat nak daki. Memang menguji keberanian kita!

Kenapa? Jom tengok sebabnya.

1. Angkor Wat, Kemboja
Candi Angkor Wat yang dibina untuk agama Hindu di Kemboja ini terkenal dengan tangganya yang curam. Jadi tak hairanlah tali dipasang bagi membantu pengunjung ketika mendaki tangganya. Menurut pemandu pelancong Angkor Wat, tangga di situ sengaja dibina curam sebagai peringatan bahawa syurga itu sukar dicapai.

2. Verruckt, Kansas, Amerika Syarikat (AS)
Kengerian berganda! Gelongsor air tertinggi di dunia ini pernah menyaksikan kematian seorang budak lelaki berusia 10 tahun selepas tercampak dari gelongsor berkenaan dan jatuh pada ketinggian 50 kaki. Gelongsor itu mempunyai ketinggian 168 kaki dengan 264 anak tangga. Berani naik?

3. Air Terjun Pailon del Diablo, Ecuador
Percayalah, anda pasti akan terpedaya dengan seni bina tangga serta keindahan pemandangan air terjun di sini! Bukan mudah ya mahu mendaki tangga batu licin berdekatan air terjun itu.

4. Laluan Kabel Half Dome, California 
Half Dome terkenal di kalangan pendaki. Pengunjung perlu mendaki 400 anak tangga vertikal yang hampir menegak 90 darjah dengan bantuan kabel logam. kecuraman tangga ini betul-betul ekstrim! Mereka yang memiliki masalah jantung tak digalakkan mendaki kubah ini ya.

5. Tangga Inca, Machu Picchu, Peru
Tangga ini dibina suku Inca lebih 500 tahun lalu. Tangga yang kelihatan seperti jurang ini memiliki 600 anak tangga dibuat daripada batu granit.

6. Patung Liberty, New York
Nak jejakkan kaki ke atas mahkota Statue of Liberty? Anda harus mengharungi 377 anak tangga berbentuk lingkaran sebelum boleh menjejaki ke puncak patung itu.

7. Stesen Janakuasa Florli, Norway
Bukan sahaja gayat kerana memiliki 4,444 anak tangga, malah pengunjung boleh mendengar bunyi kayu retak ketika mendakinya.

8. Gunung Huashan, China
Tangga curam dibina mengelilingi gunung itu menyebabkan ia digelar sebagai ‘Tangga Syurga’. Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan jumlah anak tangga di gunung setinggi 2,154 meter ini. Apa yang menarik, di puncaknya terdapat kedai teh di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan sambil bersantai-santai.

9. Balai Cerap Janssen, Mont Blanc, Perancis
Tak mencabar sangat pun nak panjat ke balai cerap ini, apa yang menakutkan adalah lokasinya yang terletak di gunung tertinggi Pegunungan Alp!

10. Batu Caves, Malaysia
Malaysia pun ada tangga tinggi melangit juga tau! Gua ibadat bagi penganut agama Hindu ini memiliki 227 anak tangga dengan ketinggian 100 meter.

Selalunya nak panjat tempat-tempat tinggi ni, tidaklah sesusah ketika mahu turun semula. Betul tak?