Thursday 29 September 2016

ASAL-USUL BANGSA MELAYU

SEJARAH ASAL USUL BANGSA MELAYU


Dalam buku Sejarah Melayu disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir di sekitar bukit Si Guntang dekat Palembang. Si Guntang merupakan tempat pemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal daripada keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Sejarah Melayu (Malay Annals) merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber yang autentik untuk informasi mengenai ke-Melayu-an. Disusun semula sekitar tahun 1612 tetapi berdasarkan catatan-catatan yang lebih tua. Disebut juga bahawa anggota kerajaan Melaka menyebut diri mereka keturunan Melayu dari daerah Palembang. Seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan iaitu Yang Dipertuan Ali Alamsyah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir. Pada waktu itu sebutan Melayu merujuk pada keturunan sekelompok kecil orang Sumatera pilihan. Seiring dengan berjalannya waktu definisi Melayu berdasarkan ras ini mulai ditinggalkan.

Definisi Melayu menjadi berdasarkan budaya dan adat, di mana orang Melayu adalah orang yang mempunyai etika, tingkah laku dan adat Melayu. Pada waktu Islam mulai dianut di daerah Sumatera dan Melaka, keyakinan dan ketaatan terhadap agama Islam menjadi salah satu ciri khas diri orang Melayu. Pada abad ke-18, William Marsden menyebutkan bahawa dalam percakapan sehari-hari, penyebutan bangsa Melayu adalah sama dengan sebutan bangsa Moor di India dalam erti kata ketaatannya terhadap agama Islam. Jadi, untuk mengetahui asal usul bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal-usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. 
Pada ketika ini, boleh dikatakan bahawa asal-usul bangsa Melayu  masih kabur dan sesuatu yang sukar ditentukan. Akan tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert Von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara. 

Beberapa kajian telah dan sedang dijalankan untuk menjelaskan pekara ini, tetapi kata sepakat antara sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat dua (2) teori mengenai asal usul bangsa Melayu iaitu:- 
  • Teori Yunnan - bangsa Melayu berasal dari Yunnan.
  • Teori Nusantara - bangsa Melayu berasal dari Nusantara.
Sebagai info tambahan, ada pengkaji berpendapat bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana R.H.Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhan, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti:-
  • Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah di Kepulauan Melayu. Ini menunjukkan adanya migrasi penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  • Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar). 
  • Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di kemboja. Lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal dari dataran Yunnan dengan menyusuri sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunnan. 
Teori di atas merupakan teori yang popular yakni diterima umum, contohnya dalam buku Teks Pengajian Malaysia ada menyatakan bahawa "nenek moyang" orang Melayu itu berasal dari Yunnan. Berdasarkan teori ini juga, kedatangan orang Melayu ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama iaitu:- 
  • Orang Negrito
  • Melayu Proto
  • Melayu Deutro
Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu Proto yang berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi, kira-kira 1000 tahun selepas itu, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan pedalaman. Justeru itu, Melayu Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu, dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunnan. Mereka dikatakan berada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada Orang Negrito ini telah diperturunkan ciri-ciri fizikal orang Semang yang berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh ,serta saiz badan yang pendek; keturunannya orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Menurut pendapat  pengkaji; Asmah Haji Omar, sebelum perpindahan penduduk dari Asia berlaku, Kepulauan Melayu (Nusantara) ini telah ada penghuninya yang kemudian di namai sebagai penduduk asli, ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa mereka yang tinggal di semenanjung Tanah Melayu ini dikenali sebagai orang Negrito. Orang Negrito ini diperkirakan telah ada sejak tahun 8000 SM (sebelum masihi). Mereka tinggal di dalam gua dan mata pencarian mereka memburu binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan zaman ini di sebut sebagai zaman Batu Pertengahan. Di Kedah sebagai contoh, pada tahun 5000SM, iaitu pada zaman Paleolitik dan Mesolitik, telah di diami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negerito, Sakai, Semai dan sebagainya.

Melayu Proto

Asal yang kedua ialah Melayu-Proto,Berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu ini berasal dari Asia Tengah, perpindahan tersebut (yang pertama) diperkirakan pada tahun 2500SM, mereka ini kemudian dinamai sebagai Melayu-Proto, peradaban orang Melayu Proto ini lebih maju sedikit daripada orang Negrito. Orang Melayu Proto telah pandai membuat alat bercucuk tanam, membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan kehidupan mereka berpindah randah. Zaman mereka ini dinamai Neolitik atau Zaman Batu Baru. Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto yang dikenali sebagai Melayu Negosiddek kerana kebanyakan terdapat di sebuah pulau yang dikenali sebagai Pinang. Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.

Melayu Deutro

Kumpulan ketiga dikenali sebagai Melayu Deutro. Perpindahan penduduk yang kedua dari Asia yang dikatakan dari daerah Yunan diperkirakan berlaku pada tahun 1500SM. Mereka dinamai Melayu Deutro dan telah mempunyai peradaban yang lebih maju daripada Melayu Proto. Melayu Deutro telah mengenal kebudayaan logam. Mereka telah menggunakan alat perburuan dan pertanian daripada besi. Zaman mereka ini dinamai Zaman Logam, mereka hidup di tepi pantai dan menyebar hampir di seluruh kepulauan Melayu ini. Kedatangan orang Melayu Deutro ini dengan sendirinya telah mengakibatkan perpindahan orang Melayu Proto ke pndalaman sesuai dengan cara hidup mereka yang berpindah randah. Berlainan dengan Melayu Proto, Melayu Deutro ini hidup secara berkelompok dan tinggal menetap di sesuatu tempat. Mereka yang tinggal tepi pantai hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran sungai dan lembah yang subur. Hidup mereka sebagai petani dan memburu binatang. Orang Melayu Deutro ini telah pandai bermasyarakat. Mereka biasanya memilih seorang ketua yang tugasnya sebagai ketua pemerintahan dan sekaligus ketua agama. Agama yang mereka anuti pada zaman itu ialah animisme. Keturunan Melayu Deutro ini dikatakan lebih bijak, mahir dan berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti pelayaran, pertanian, malah dalam bidang astronomi juga. Bilangan Melayu Deutro lebih banyak daripada Melayu Proto dan menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


Teori Nusantara

Teori ini disokong oleh sarjana-sarjana seperti J. Crawfurd, K. Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:-
  • Bangsa Melayu dan Bangsa Kawa mempunyai tamadun yang tinggi.
  • Pada abab ke 19, taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  • K. Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa. Menurut beliau, persamaan yang berlaku pada kedua-dua bahasa adalah satu fenomena yang dinamakan "ambilan". 
  • Manusia Kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
  • Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Teori Lain Tentang Asal-Usul Bangsa Melayu

Bangsa Melayu menurut ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah, berasal daripada isteri ketiga Nabi Ibrahim A.S. yang bernama Siti Qanturah. Namun lebih disebut dalam sejarah atau bahasa lama, Keturah yang bererti harum, wangi baik budi pekerti. Jika Bani Israil adalah dari Nabi Ishaq, dan bangsa Arab adalah dari Nabi Ismail, bangsa Melayu adalah dari Siti Qanturah atau lebih dikenali sebagai Bani JAWI. Disebut di dalam kitab Ibnu Kathir, JAWI ini bererti yang meyakini Tuhan yang Esa, dan erti lainnya ialah jauh. Jawi yang dikatakan jauh itu berasal dari kalimah Arab yang bermakna, 'angin' (jawwu). Ini merujuk kepada betapa jauhnya kedudukan mereka dengan bani Israel dan bangsa arab di sekitar Timur Tengah ini. Bangsa Melayu, juga dikenali sebagai Jawi (yang kemudian bertukar/terkenal dengan Jawa) adalah bangsa yang disimpan. Bagi Yahudi, mereka lebih dikenali sebagai bangsa yang hilang. 'Hilang' kerana 'saudara' mereka dari ibu ketiga ini tidak dapat dihubungi, tidak tahu di mana berada. 'Hilang' juga kerana mereka mahu menyembunyikan bahawa saudara mereka ini akan menerajui empayar dan menguasai bumi atas nama Islam. Jadi, apa kaitan Jawi, bangsa yang hilang, bangsa yang disimpan, bangsa dari timur, yang berhidung peset ini dengan kebangkitan Islam? Sebenarnya, bangsa ini adalah bangsa yang disebut di dalam hadis Nabi S.A.W.; 

“Satu kaum dari Timur (Pemuda Bani Tamim dan Ikhwan) akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada Al-Mahdi.” 

Menurut ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, kaum dari timur yang dimaksudkan ialah, bangsa Melayu dari Tanah Melayu. Ini tidak menghairankan, kerana mereka memang dipersiapkan. Bukan sahaja mereka dari keturunan Jawi yang hilang itu, bahkan mereka adalah keturunan Ahlul Bait dan para sahabat. Ini juga adalah doa Nabi Ibrahim kepada keturunannya yang tidak diberikan Nabi atau Rasul dalam kalangan mereka, namun cahaya Nabi dan Rasul ada bersama mereka. 

“Ya Tuhan kami, utuskanlah di kalangan mereka seorang Rasul yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar mereka kitab dan hikmah dan menyucikan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Mulia lagi Maha Bijaksana. Ya Tuhan kami kurniakanlah dari isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami seorang penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin dari orang-orang yang bertakwa.” 

Doa Nabi Ibrahim diperkenankan Tuhan, lalu baginda mengarahkan anak-anaknya dari Siti Qanturah ini menetap di timur. Baginda dikhabarkan bahawa walaupun tiada Nabi atau Rasul dalam kalangan mereka, Tuhan akan mengutuskan pemimpin yang bertaraf Nabi dan Rasul, yang membawa cahaya Nabi dan Rasul, namun dia bukanlah Nabi atau Rasul. Maka sesuailah dengan hadis-hadis Rasulullah S.A.W. tentang Imam Mahdi dan Putra Bani Tamim bahawa mereka bukanlah Nabi dan Rasul, namun tanggungjawab dan tugas Nabi dan Rasul itulah yang ditanggung mereka. 

..........................................................................................

Salah faham mengenai rumpun ini masih lagi berleluasa mungkin kerana kurangnya pembacaan dan pendedahan di kalangan rakyat kita. Yang paling sedih sekali ialah ada individu yang menyangka bahawa BUGIS, BANJAR, BAJAU, SULUK, CHAM, KERINCHI, ACHEH, AMBON, MINANG, JAWA dan sebagainya sebagai bukan salah satu daripada rumpun Melayu.

Kelihatannya salah faham yang wujud di sini semakin melebar. Mereka menyempitkan fahaman bangsa itu dalam suku bangsa. Hal ini sangat-sangat menyedihkan. Sedangkan orang Cina dari pelbagai suku seperti Han, Min, Wu, Tanka dan Hui boleh bersatu di bawah rumpun Cina (Sino-Tibetian). Ya, ada sebahagian suku kaum yang berasal daripada suku Sino-Tibetian ini seperti Viet (orang Vietnam), Thai (bukan Siam kerana Siam berbeza dengan Thai) yang tidak mengaku asal-usul mereka daripada Sino-Tibetian ini kerana proses semangat KENEGARAAN seperti mana yang berlaku di Indonesia untuk kategori RUMPUN MELAYU A.K.A AUSTRONESIAN ini.

Kalau orang India pula, suku seperti Tamil, Telegu, Malayam ialah sebahagian daripada rumpun India. Suku bangsa Aryan yang selalunya menduduki kasta tertinggi dalam masyarakat India terasing daripada suku bangsa itu kerana mereka lebih kepada bangsa Indo-Eropah. Itu sekadar pengenalan kepada BANGSA dan SUKU BANGSA agar kita tidak salah faham.

Namun, yang ingin disentuh di sini ialah salah faham yang melibatkan MELAYU itu. Salah faham ini timbul apabila di KEPULAUAN MELAYU ini, bangsa ini terpecah kepada tiga buah negara iaitu MALAYSIA, INDONESIA dan FILIPINA. Ada juga sebahagian daripada orang melayu yang terdiri daripada suku Siam terperangkap di selatan Thai. Orang melayu siam ini ialah pembina kerajaan melayu di Thailand seperti Sri Dharmaraja. Berbeza dengan orang Thai yang merupakan pendatang dari China yang lari daripada peperangan di sana lalu menubuhkan Kerajaan Ayutthayya di Indochina.
 asal usul nenek moyang bangsa indonesia di nusantara berdasarkan peta persebarannya menurut para ahli dibagi menjadi 2 yaitu proto melayu dan deutro melayu. Mari simak ulasan lengkapnya disini.
Fantasi Yunnan masih menjadi pegangan mereka yang bertuankan teori bahawa melayu itu asalnya daripada Yunnan. Mengikut perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu , Melayu ditakrifkan sebagai orang di Tanah Melayu yang mengamalkan kebudayaan Melayu danberagama Islam. Takrif ini bukan sahaja kabur, tetapi juga menyempitkan makna Melayu yang asalnya bukan sahaja merujuk kepada orang Melayu di Tanah Melayu,tetapi juga orang Melayu serumpun di luar Tanah Melayu.

Orang yang serumpun dengan orang Melayu di Tanah Melayu dan berada di tanah, tetapi bukan Islam dengan serta-merta menjadi orang bukan Melayu sehingga istilah Bumiputera diperkenalkan bagi merangkumi Melayu yang tidak Islam, seperti Orang Asli. Perlembagaan ini diperluaskan kepada Perlembagaan Malaysia apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bercantum dengan Tanah Melayu menjadi Malaysia pada 1963, dengan mengusutkan lagi makna Melayu. Mungkin ini yang menjadi punca kenapa suku kaum pribumi Sabah dan Sarawak hilang asal-usulnya.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah benarkah Melayu itu asalnya daripada Yunnan? Pendapat ini lahir kerana teori evolusi kononnya orang tertua di dunia ialah ialah ‘Orang Peking’. Daripada orang Peking inilah, manusia mula berevolusi dari zaman ke zaman. Pandangan ini tersangkal dan tidak sahih apabila terbukti fosil ‘Orang Peking’ itu adalah palsu. 

Daripada segi bahasa juga terdapat perbezaan ketara antara bahasa Melayu Purba dengan bahasa Yunan sehingga teori ini tidak dapat dipertahankan lagi. Bahasa Melayu tidak ada kesamaan langsung dengan bahasa Yunan tetapi lebih dekat dengan bahasa penduduk kepulauan Pasifik dan pribumi Sabah dan Sarawak. Malah ada yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu dekat dengan Bahasa Sanskrit, bahasa penduduk Aryan yang datang daripada Iran ke utara India untuk menyebarkan agama Hindu.

Kalau diselusuri dengan lebih dalam, Ibnu Attir dengan beraninya mengangkat Melayu ini datangnya daripada keturunan Nabi Ibrahim, daripada isterinya Keturah. Daripada keturunan Keturah ini juga diketahui bahawa lahirnya bangsa pembina tamadun hebat seperti bangsa Median. Jika mahu mengupas topik ini, ia pastinya mengambil sebuah lagi artikel kerana sejarah yang melibatkan orang melayu dan Nabi Ibrahim sangat panjang.

Melayu dan Austronesia

Berdasarkan buku kajian Walace, seorang pakar Antropologi dan Sejarah dunia daripada Universiti Oxford (1863), bukunya yang bertajuk The Malay Archipelago, beliau menakrifkan penduduk gugusan Kepulauan Melayu sebagai rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga, bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut ke Pulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau Timor di selatan. Kawasan yang luas itu dibahaginya kepada lima kumpulan; Kepulauan Indo-Malaya, Kepulauan Timor, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua. 
 asal usul nenek moyang bangsa indonesia menurut para ahli
Pada tahun 1879, untuk pengetahuan semua, parlimen Haiwaii dengan bantuan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor pada ketika itu telah mengusulkan satu usul yang bertajuk, “Penyatuan Dunia Melayu.” King Kalākaua, seorang raja kerajaan Hawaii yang bebas pada ketika itu, merupakan antara orang yang mencadangkan penyatuan tersebut. Katanya. Bangsa Melayu yang meliputi daripada Kepulauan Pasifik sehinggalah ke Kepulauan Melayu di Asia Tenggara haruslah bersatu membentuk Pan-Malay Unity, dan kesatuan itu diharap mampu mengelak daripada penjajahan. Tambah mengagumkan, ketika itu Maharaja Abu Bakar sempat menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada King Kalakua dan isterinya serta anak perempuannya, Queen Emma dan Princess Pauahi. Penyatuan bangsa Melayu ini turut dikuatkan dengan kebangkitan revolusi di Filipina yang diketuai oleh Jose Rizal. Ketika itu, orang Filipina belum disepanyolkan oleh bangsa Sepanyol. Mereka masih mengenali diri mereka sebagai Melayu. Jose Rizal diberi jolokan oleh orang Filipna sebagai “PRIDE OF MALAY RACE” dan “The Great Malayan”. Jose Rizal pernah menulis di dalam bukunya seharusnya bangsa Filipina di masukkan dalam kesatuan Nusantara dan Bangsa Melayu yang ketika itu kuat bertiup di Tanah Melayu dan Indonesia. Katanya, mereka bangsa Filipina adalah serumpun dan seharusnya dimasukkan ke dalam kategori tersebut.. Kemudian munculnya Apolinario Mabini di Manila mencadangkan “Federation Malaya.”

Melayu sememangnya terkenal dengan pembinaan kerajan-kerajaan agung mereka. Srivijaya misalnya telah berjaya menyatukan seluruh alam melayu ini daripada Madagascar hingga ke selatan Taiwan berdasarkan catatan Nehru (1963) yang merupakan seorang sejarahwan India.

Hanya Majapahit yang diperintah oleh suku Jawa sahaja merupakan kerajaan melayu yang terasing daripada empayar Sriwijaya. Namun, jatuh sahaja empayar Sriwijaya, Majaphit menuntut hampir 1/3 empayar Sriwijaya yang pernah terbentang luas.
 Asal Usul nenek moyang bangsa Indonesia
Champa dan Funan di Indochina misalnya merupakan kerajaan Melayu yang pernah menguasai wilayah itu sebelum orang Viet, Khmer dan Thai yang merupakan pelarian daripada selatan China datang dan menghambat mereka ini hingga ke tanah melayu. Oleh sebab itu, lahirlah teori bahawa orang Kelantan dan Jawa itu asalnya merupakan pendiri Kerajaan Champa. Oleh sebab itu juga, orang Kelantan dan Jawa berkongsi budaya melayu yang sama seperti BATIK dan WAYANG KULIT.

Terdapat juga kerajaan melayu Purba lain yang tercatat dalam catatan China seperti Langkasuka pada abad ke-2 Masehi, Pan Pan (utara Segenting Kera) pada abad ke-5 Masihi, Senggora (Tanah Merah, sekarang di Thailand Selatan) dan Zhu Bo (yang terletak Pulau Jawa sekarang. Kesemua catatan di atas membuktikan bahawa kerajaan orang Melayu sebenarnya telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak sekian lamanya. 

Boleh dikatakan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tetapi telah lama wujud di Tanah Melayu ini. Kajian daripada UKM misalnya menunjukkan bahawa orang Melayu telah berada di Tanah Melayu ini sejak 40,000 tahun lampau dan bukannya berhijrah daripada China menurut sesetengah teori. Dikatakan bahawa Melayu Kelantan dan Minang adalah keturunan Melayu yang paling asli.

Rujukan:

1. Shaharir Mohd Zain. BUII. Malaysian Math. Sc. Soc. (Second Series) 23 (2000) IBZ-220: Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam . pg 187

2. Shaharir Mohd Zain. BUII. Malaysian Math. Sc. Soc. (Second Series) 23 (2000) IBZ-220: Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam . pg 187

3. Mazlan Nordin. Artikel Utusan: Sejarah Kesatuan Dunia Berbahasa Melayu. 18/09/2011

4. Shaharir Mohd Zain. BUII. Malaysian Math. Sc. Soc. (Second Series) 23 (2000) IBZ-220: Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam . pg 192.

5. Adli Shahar. Artikel Berita Harian: Melayu Bukan Pendatang. 2010/07/15

SUMBER: