Tuesday 29 September 2015

27 KESALAHAN DALAM MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

1. Sebutan huruf ﺏ berbaris bawah tidak kedengaran. Seolah-olah kita menyebut “Ismillah…”.
 
2. Sabdu pada kalimah ﭐﷲ tidak dijelaskan. Huruf yang bersabdu ibarat huruf itu mempunyai dua huruf yang sama, tetapi ia disatukan menjadi sabdu (faham tak ni? Selain itu, kalimah Allah disebut dengan lafzhul-jalalah (lafaz yang besar). Ini adalah sebutan yang salah kerana ‘Bismillah’ hendaklah disebut dengan ‘lam tarqiq’ (lam nipis)kerana huruf ﻡ pada kalimah ini adalah berbaris bawah.

3&4. Huruf ﺭ tidak disabdukan dan sebutannya menjadi “BismilahiRahmaan…”, yang sepatutnya “BismillahiRRahmaan…”. Begitu juga dengan kesalahan pada nombor 3. Huruf ﺭ tidak disabdukan dan sebutannya menjadi “BismilillahirrahmaaniRahiim”, yang sepatutnya “BismillahirrahmaaniRRahiim”

5. Sebutan huruf ﻱ tidak dipanjangkan. Ia wajib dipanjangkan harakatnya sama ada 2/4/6 harakat kerana ia adalah huruf mad yang diwaqafkan. Hukumnya Mad ‘Aridh Lissukun.

6. Bacaan/Sebutan huruf ﺡ digantikan dengan huruf ﻩ

7. Kalimah ﭐﷲ seolah-olah tiada sabdu dan disebut “al-hamdulilah”. Sebutan yang betul adalah “Al-hamdulillah…”.

8. Sabdu pada huruf ﺏ ditinggalkan sabdunya dan sebutan berbunyi “Rabil” yang sepatutnya “Rabbil”.

9. Huruf ﻉ ditukar menjadi huruf ﺃ.

10. Sabdu ditinggalkan. Sebutan menjadi “Iyaka”. Sebutan yang betul adalah “Iyyaka”.

11. Sebutan huruf ﻉ tidak jelas.

12. Kesalahan sama seperti nombor 10.

13. Huruf ﻉ ditukar menjadi huruf ﺃ.

14. Tidak memuncungkan bibir. Apabila sesuatu huruf diwaqafkan berbaris hadapan, kita hendaklah memuncungkan bibir. Hukum ini dipanggil ‘isymam’.

15. Menyebut “Ehdina…”. Sepatutnya “Ihdina…”.

16. Huruf ﺹ tidak disabdukan.

17. Huruf ﻁ ditukar menjadi huruf ﺕ.

18. Huruf ﻕ ditukar menjadi huruf ﻙ. Apabila huruf ﻕ berbaris bawah, sifatnya menjadi kurang tebal, bukan nipis.

19. Menukar huruf ﺫ kepada huruf ﺯ. Ini merupakan kesalahan yang paling biasa dilakukan. Ramai yang masih tidak dapat membezakan perbezaan huruf-huruf ini.

20. Huruf ﺃ dulu, baru huruf ﻉ. Ramai yang membunyikan ﺃ , kemudian ﺃ. Ada juga membunyikan ﻉ, kemudian ﺃ. Tak kurang juga ada yang membunyikan ﻉ kemudian ﻉ

21. Huruf ﻉ ditukar menjadi huruf ﺃ.

22. Huruf ﺭ berbaris bawah disebut “Rel”, sepatutnya disebut “Ril”.

23. Huruf ﻍ disebut dengan qalqalah.

24. Huruf ﺽ tidak ditebalkan sebutannya.

25. Huruf ﻉ ditukar menjadi huruf ﺃ.

26. Huruf ﺽ tidak disabdukan.

27. Apabila huruf mad bertemu dengan huruf bersabdu dalam satu kalimah, maka harakatnya wajib 6 harakat. Hukumnya adalah Mad Lazim Musaqqal Kalimi. Ramai yang melafaz kurang daripada 6 harakat.
 
Semoga menjadi panduan kita bersama, andai ada kesilapan untuk keterangan di atas, mohon teguran.
 

Thursday 17 September 2015

KENAL PASTI MASJID AL-AQSA

Kami seringkali ditanya berkenaan struktur bangunan yang mana satu adalah Masjidil Aqsa. Ada yang mengatakan Masjidil Aqsa adalah Kubah As-Sakhra (Dome of Rock), yang berkubah emas, masjid yang berwarna kelabu, Masjdil Qibli dan Masjid Umar. Kami memuji para pengunjung yang memahami bahawa Masjidil Aqsa adalah keseluruhan struktur yang berada di dalam kotak merah itu, atau lebih dikenali sebagai Haram As-Syariff. Mari kita tatapi gambar tersebut, persaamaan dan perbezaan yang boleh didapati pada ketiga-tiga masjid tersebut. Agak menghairankan soalan-soalan yang begitu prihatin ini hanya berlaku kepada Masjidil Aqsa sahaja dan tidak timbul pula pada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Alhamdulillah, tuntutan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan, diiringi niat dan keinginan yang suci, persediaan yang benar dan mencukupi, perancangan yang rapi dengan menyertai kursus-kursus yang disediakan, serta ceramah-ceramah yang dihadiri membuatkan kita begitu mengenali Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Berbekalkan usaha-usaha di atas, tidak timbul isu kita mengatakan hanya Kaabah itu sahaja adalah Masjidil Haram, kerana kita telah memahami dengan usaha kita bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#2) adalah Masjidil Haram. Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan projek naik taraf terbesar dalam sejarah. Dan sudah pasti ia masih dipanggil Masjidil Haram walaupun kawasannya semakin luas.

Kita lihat pula Masjidil Nabawi. Masjid Hijau itu tidak dikatakan sebagai Masjidil Nabawi kerana kita memahami bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#3) adalah Masjidil Nabawi. Hakikatnya, Masjidil Nabawi telah mengalami beberapa fasa projek menaik taraf bermula daripada rumah Rasulallah s.a.w dan masjid berhampiran rumah baginda sehingga struktur sekarang bagi menampung ahli jemaah yang lebih ramai sama seperti Masjidil Haram.

Alhamdulillah. Syukur, kita semua jelas berkenaan status fizikal Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mari kita bandingkan dengan Masjidil Aqsa.

Mari kita lihat gambar (#1). Lingkungan merah tersebut adalah Masjidil Aqsa, sama seperti lingkungan kawasan bagi Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mudah untuk difahami. Didalamnya terdapat 6 buah masjid atau surau yang dinamakan Masjid al-Qibli, Masjid al-Qadim, Musolla al-Marwani, Masjid al-Buroq, Masjid al-Maghribah, dan Masjid an-Nisa'. Kubah as-Sakhra juga merupakan tempat para sahabat pernah menunaikan solat, dan hakikatnya mereka pernah solat di seluruh kawasan tersebut.

Pertambahan bilangan struktur bangunan atau masjid itu berlaku kerana beberapa zaman pemerintahan oleh para sahabat, tetapi kemudian terhenti kerana Masjidil Aqsa ditawan semasa Perang Ramadhan 1967, iaitu hampir 19 tahun selepas negara haram Israel ditubuhkan.

Jika kita lihat wajah Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi ditambah baik untuk menampung kunjungan jemaah dari serata dunia, mengapa tidak perkara yang sama berlaku pada Masjidil Aqsa? Bukankah ia tempat yang suci juga? Sedarlah kita bahawa penaik tarafan Masjidil Aqsa tidak dilakukan seperti Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Jawapannya mudah, iaitu kerana rejim zionis tidak akan membiarkan perkara itu berlaku! Dan ummah sekarang hanya sibuk membincangkan istilah berbanding perjuangan!

Marilah kita beralih kepada usaha yang lebih besar, mengenali Masjidil Aqsa sepatutnya bukan isu lagi bagi rakyat Malaysia selepas ini, tetapi usaha untuk membebaskan Palestin daripada rejim Israel, itulah yang kita sama-sama harus perjuangkan!

Kepada yang bertanya lagi soalan yang sama, kami berharap anda membantu kami dengan 'copy paste' atau 'share' artikel ringkas ini di mana-mana ruangan komen. Sumbangan ini begitu besar, iaitu kita berjuang membetulkan kefahaman orang ramai. 

SUMBER : https://www.facebook.com/hashtag/aqsasyarif?source=feed_text&story_id=10205049126690635

Tuesday 15 September 2015

BERITA BURUK YANG BAIK (?) TENTANG NAJIB DAN ROSMAH...!!!

Najib Razak masih enggan berundur. Ini berita amat buruk untuk rakyat Malaysia. Sabar dahulu. Berita buruk Najib Razak enggan berundur ini juga adalah berita yang amat baik.

Dalam ilmu falsafah perkara sedemikian dipanggil “kesatuan yang bertelagah” atau “unity of the opposite’.

Dalam tulisan ini saya akan beri pencerahan untuk memahami bagaimana berita buruk ini boleh menjadi baik. Ini samalah seperti kita memahami bagaimana tahi lembu atau najis manusia boleh membantu manusia.

Bersih berjaya menghasut 500,000 orang rakyat Malaysia turun ke jalan raya. Ini adalah tanda undi tidak percaya kepada Najib Razak.

Sesudah BERSIH 4, kita terus membaca pelbagai berita yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi gambaran bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak masih enggan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia. Suami Rosmah semakin dilihat degil.

Kenyataan dan tindakan politik Najib saban hari menyakinkan saya dan meyakinkan warga Malaysia bahawa suami Rosmah ini ingin terus berkuasa sampai hari kiamat. Suami Rosmah mahu terus memimpin parti United Malays National Organisation dalam PRU14.

Buktinya, paling baru ialah kenyaatan Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB). Bekas pegawai polis ini membocorkan berita di mana si Rosmah Mansor turut hadir dalam satu “mesyuarat tergempar”.

Mesyuarat tergempar kerajaan ini didakwa dipengerusikan oleh Najib sendiri. Turut hadir ialah Zahid Hamidi dan pegawai tinggi kerajaan.

KUASA BOMOH

Apa ke jadahnya Rosmah Mansor berada dalam mesyuarat tergempar kerajaan? Ini satu pertanyaan tapi dalam masa yang sama ianya juga satu kenyataan. Ini yang dikatakan dalam ilmu falsafah – “kesatuan yang bertelagah”.

Laporan bahawa Rosmah berada dalam mesyuarat kerajaan sebenarnya tidak lagi memeranjatkan Malaysia. Malah berita ini memperkuatkan lagi keyakinan umum bahawa sebenarnya Najib Razak ini telah menjadi bangkai bernyawa yang berlakon mengikut arahan telunjuk Rosmah Mansor.

Justeru, pembocoran berita dari bekas pegawai Cawangan Khas ini mensahih dan memperkuatkan satu lagi berita yang telah dibocorkan oleh Mahathir Muhamad.

Mengikut Mahathir, si Rosmah ini sedang menggunakan kuasa bomoh untuk mempertahankan suaminya. Menurut Mahathir, si Rosmah ini menggunakan khidmat bomoh dari India dan Jawa.

Awas, ini bukan fitnah. Ini kata-kata dari Mahathir Muhamad. Mahathir Muhamad ini bukan tukang kebun sekolah. Mahathir bukan pakcik warung. Mahathir ialah bekas perdana menteri Malaysia.

Jadi persoalan timbul – apakah ini bermakna 30 juta rakyat Malaysia sedang bertempur dengan Guru Ji – bomoh Rosmah dari India?

Sekali pandang, kesemua berita ini kelihatan seperti berita buruk. Tetapi hakikatnya semua berita ini adalah berita baik. Semua sedang membantu rakyat Malaysia untuk membenci parti United Malays National Organisation.

Kedegilan suami Rosmah ini semakin jelas dilihat. Kritikan dan tuntutan agar suami Rosmah ini melepaskan jawatan telah datang dari pelbagai sudut.

NAJIB DITIBAI KIRI DAN KANAN

Beberapa bahagian parti United Malays National Organisation telah meluluskan resolusi menuntut suami Rosmah berundur. Ini berlaku dalam mesyuarat tahunan parti.

Tidak cukup dengan ini – suami Rosmah yang juga presiden parti ini telah disaman oleh ahli parti sendiri. Saman-saman ini bersangkutan dengan kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Kes putar alam duit derma Tok Arab suami Rosmah ini bukan hanya ditimbulkan oleh parti pembangkang. Kes rasuah suami Rosmah ini telah menjadi kes antarabangsa.

Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa baru sahaja selesai. Malaysia dan SPRM telah menjadi tuan rumah. Dalam persidangan ini suami Rosmah telah ditibai kiri dan kanan.

Seorang demi seorang delegasi antarabangsa telah bangun bertanya tentang hal duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Bayangkan, dalam satu persidangan dunia seramai lebih 1,000 delegasi antarabangsa telah ketawa berdekah-dekah apabila seorang ahli Parlimen dari Kenya bertanyakan tentang duit ‘derma’ dari Tok Arab kepada suami Rosmah.

Soalan dari Kenya ini satu gambaran yang amat berat. Apabila kayu sudah condong bukan sahaja kura-kura datang memanjat malah Mat Bangla sudah berani bergayut dan berak.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa semua ini kelihatan amat amat buruk untuk imej Malaysia. Tetapi di sebalik keburukan ini ada hikmahnya. Seperti membuat tapai, kita memerlukan masa agar ragi dan pulut betul-betul masam sebelum nikmat tapai dapat dirasakan.

MAHATHIR JADI MAHAZALIM

Masa dan waktu kedegilan suami Rosmah ini wajib dijadikan masa dan waktu untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa masanya telah sampai untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan suami Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor dan Najib Razak kini telah menjadi ikon kebencian rakyat. Maka secara terancang, secara tersusun, orang ramai, anak-anak muda dan bakal pengundi boleh dihasut dengan menggunakan nama Rosmah Mansor.

Sekitar tahun 1998/99, saya pernah menulis bahawa Mahathir Muhamad wajib digambarkan sebagai susuk yang zalim di media. Ini merupakan pencerahan dari segi strategi politik. Kezaliman ini menjadi bahan hasutan kepada anak-anak muda untuk turun ke jalan raya.

Gerakan Reformasi berjaya – Mahathir Muhamad dinobatkan sebagai Mahazalim.

Sesudah Mahathir letak jawatan, strategi media juga beralih dari Mahathir yang zalim kepada Dolah Badawi yang bebal. Dolah digambarkan selalu tidur. Sering dolak-dalik, sering tak tahu kiri atau kanan. Sering terlupa. Malah saya mementaskan teater Tok Sloo untuk menyebarkan hasutan.

Akhirnya usaha ini berjaya – Abdullah Ahmad Badawi dinobat sebagai Mat Bebal atau Tok Sloo.

Tetapi apabila melihat ke belakang saya sedar saya telah melakukan kesilapan yang amat besar ketika itu. Kempen Mat Bebal aka Tok Sloo ini berjalan cepat.

Belum sempat ranum Dolah Badawi telah diturunkan dari takhta. Dari segi strategi politik jangka panjang, adalah amat molek jika Dolah Badawi terus berkuasa agar ‘tapai’ betul-betul ranum untuk dilingkupkan.

TUNGGU MASA

Sayang, tetapi dari kesilapan ini kita wajib mengumpul pengalaman dan jadikan kesilapan sebagai ilmu pedoman.

Justeru, pada tahap ini kempen menghasut orang ramai wajib menggunakan imej Rosmah Mansor. Ini sama saperti yang sedang dilakukan oleh Zunar dalam karikaturnya.

Imej Rosmah digunakan kerana umum sedar bagaimana Najib kini telah dibomoh dan dikontrol oleh Rosmah. Budaya bomoh dan budaya ‘nasi kangkang’ ini wujud dalam pandangan dunia alam Melayu. Justeru ianya menjadikan kerja propaganda politik senang dan ampuh.

Strategi politik berjangka panjang kita ialah agar suami Rosmah ini terus berdegil seperti perangainya hari ini. Kita harapkan Tok Bomoh yang ditaja oleh Rosmah akan sentiasa membakar kemenyan dan Guru Ji dari India akan terus membawa api sembahyang mengelilingi Putra Jaya.

Kita sedar kedegilan suami Rosmah ini sedang mengharu-birukan United Malays National Organisation. Parti ini sedang dihantui oleh krisis.

Dua kumpulan sedang mengumpul kekuatan. Satu berkumpul di belakang Muhyiddin dan satu lagi sedang dipayungi oleh Tok Bomoh Rosmah.

Ketika musuh kita huru-hara berkrisis kita juga wajib berkempen secara terbuka menuntut suami Rosmah ini meletakkan jawatan. Dari segi mengolah persetujuan politik, kita akan dilihat bebal jika tidak menuntut suami Rosmah berundur.

Tuntutan agar Najib berundur ini kita lakukan khusus untuk media dunia. Kita juga akan dilihat bebal oleh media antarabangsa jika kita tidak bangun melawan dan menuntut suami Rosmah mengundur. Justeru BERSIH 4 adalah sebahagian dari taktik untuk mengolah persetujuan media dunia.

DEMI TUJUAN SAMA

Setakat ini apa yang kita lakukan telah berjaya. CNN, BBC, NBC, RT – The Guardian, The Age, Sydney Morning Herald, South China Morning Post, The New York Times, Boston Globe, Wall Street Journal, Jakarta Post, The Times of London.. dan dan dan.... Hampir seluruh media dunia telah bersama memerangi suami Rosmah. Ini satu kejayaan.

Taktik mengolah persetujuan media barat ini digunakan oleh anak-anak muda ketika menjatuhkan Marcos. Taktik yang sama telah dijalankan ketika anak muda ke jalan raya menjatuhkan Suharto. Malah Hosni Mubarak dari Mesir jatuh terlungkup melalui gerakan jalan raya yang disadur dengan laporan media barat.

Jangan merasa segan dan malu apabila menggunakan media barat. Kita secara sedar menggunakan media barat kerana media barat ini mempengaruhi suasana pelaburan.

Kita sedar tugas utama media barat saperti New York Times, The Economist, Wall Street Journal bukan untuk memperkukuh demokrasi, hak asasi atau keadilan.

Media barat juga sama hampeh macam Utusan. Kalau Utusan menjaga kepentingan United Malays National Organisation, media barat menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Dalam kes suami Rosmah kita bertemu dan bekerjasama. Ini yang saya katakan “kesatuan yang bercanggah”. Kali ini kepentingan kita yang mahu menjatuhkan rejim United Malaya Nayional Organisation selari dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Jangan anggap Hishamuddin Rais tidak kenal siapa di belakang CNN, atau BBC atau New York Times atau Wall Street Journal. Tetapi pada ketika ini kepentingan kita bertemu di lorong yang sama. Maka saya ucapkan ah lan wa sahlan. Lagi banyak laporan mengutuk Malaysia atau suami Rosmah lagi baik untuk warga Malaysia.

Semalam Majlis Tertinggi United Malays National Organisation bersidang. Apa yang menjadi perhatian adalah persoalan sama ada Muhyiddin dibuang atau tidak. Tetapi, jika Muhyiddin diterajang, ianya baik untuk kita. Muhyiddin tidak diterajang pun baik untuk kita.

Apa yang saya tidak mahu ialah tapai belum ranum dan suami Rosmah kena terajang. Jika ini berlaku bermakna Tok Bomoh dari India dan Jawa telah lembik. Ini sahih satu berita buruk.

SERUAN TUN DR. MAHATHIR BUAT AHLI UMNO : "WAHAI AHLI UMNO..."

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyeru ahli UMNO yang sayangkan UMNO agar menolak Najib Razak.

Menerusi satu artikel yang bertajuk "Wahai Ahli UMNO" yang disiarkan di blog rasmi beliau, Chedet.cc , Mahathir turut menulis BN akan ditolak oleh Melayu, Cina dan India dek kerana kepimpinan Najib.

"Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi.", tulis beliau.

Artikel yang mempunyai 14 point itu juga turut menyentuh isu RM2.6 billion dan juga isu kejatuhan matawang ringgit, GST dan lain-lain.

Penulisan Penuh Artikel :

"Wahai Ahli UMNO"

1. Najib mendesak supaya kamu menyokong dirinya untuk kemenangan PRU14.

2. ​Malangnya menyokong Najib sebagai Ketua UMNO lebih menentukan kekalahan UMNO dan bukan kemenangan.

3.​ UMNO tidak pernah menang semata-mata kerana sokongan ahli-ahlinya. Jumlah ahli dalam mana-mana kawasan tidak mencukupi untuk memberi kemenangan bagi calon UMNO. Tidak pernah ahli UMNO melebihi separuh dari jumlah pengundi dalam mana-mana kawasan.

4.​ Yang memberi kemenangan kepada calon UMNO ialah orang Melayu, yang percaya kepada perjuangan UMNO, tetapi tidak menyertai UMNO. Orang Cina dan India juga menyumbang kepada kemenangan calon UMNO.

5. ​Sekarang semua mereka ini sudah tidak percaya lagi kepada UMNO. Mereka benci Najib dan mereka percaya Najib mengguna wang untuk membeli sokongan pemimpin-pemimpin UMNO. Ini diakui oleh beberapa Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen secara terbuka. Apabila pembangkang menamakan pemimpin UMNO yang telah disogok, tidak ada penafian dibuat oleh sesiapa.

6.​ Tindakan Najib menghalang siasatan keatas wang 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram. Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan.

7. ​Pentadbiran Najib menyebabkan nilai Ringgit jatuh sehingga harga barang semua naik, inflasi tinggi, dan saham jatuh harga. Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok dengan GST yang menyebabkan harga barangan dan khidmat naik lagi.

8.​ Mereka yang ada anak belajar di luar negari terpaksa tambah Ringgit yang merosot nilai dari 4 Ringgit bagi 1 Pound kepada hampir 7 Ringgit 1 Pound.

9. ​Pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak RM42 billion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbillion Ringgit sudah tidak dapat dikesan. Yang diketahui ialah Najib memiliki wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian. Sekarang wang ini telah dipindah entah kemana. Apabila siasatan dibuat oleh badan Kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini.

10.​ Sesungguhnya majoriti rakyat menolak dan benci Najib sebagai Perdana Menteri. Mereka tidak dapat terima dakwaan Najib bahawa 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaunnya adalah derma orang Arab.

11.​ Dalam PRU14 mereka semua, Melayu, Cina dan India akan tolak BN kerana kepimpinan Najib. UMNO akan hancur kerana ramai dari ahli UMNO tidak dapat terima Najib dan perbuatannya. Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi.

12. ​Sebaliknya jika Najib tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan memimpin BN, besar kemungkinan BN dan UMNO akan menang. Perasaan benci rakyat tidak tertumpu kepada UMNO atau BN. Mereka tidak terima Najib dan kemarahan mereka hanyalah kepada Najib dan beberapa pemimpin UMNO yang membodek kerana hendak jawatan atau lain-lain.

13. ​Ahli-ahli UMNO yang sayang dan ingin UMNO kekal dan berkuasa perlu tolak Najib sebelum pilihanraya. Jika penolakan ini dibuat terlalu lewat, masa untuk pemulihan UMNO tidak mencukupi.

14.​ Jika sayang UMNO tolak Najib sekarang. Jika sayang Najib, UMNO akan hilang kuasa dan berkecai. ​