Kami seringkali ditanya berkenaan struktur bangunan yang mana satu adalah Masjidil Aqsa. Ada yang mengatakan Masjidil Aqsa adalah Kubah As-Sakhra (Dome of Rock), yang berkubah emas, masjid yang berwarna kelabu, Masjdil Qibli dan Masjid Umar. Kami memuji para pengunjung yang memahami bahawa Masjidil Aqsa adalah keseluruhan struktur yang berada di dalam kotak merah itu, atau lebih dikenali sebagai Haram As-Syariff. Mari kita tatapi gambar tersebut, persaamaan dan perbezaan yang boleh didapati pada ketiga-tiga masjid tersebut. Agak menghairankan soalan-soalan yang begitu prihatin ini hanya berlaku kepada Masjidil Aqsa sahaja dan tidak timbul pula pada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.
Alhamdulillah, tuntutan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan, diiringi niat dan keinginan yang suci, persediaan yang benar dan mencukupi, perancangan yang rapi dengan menyertai kursus-kursus yang disediakan, serta ceramah-ceramah yang dihadiri membuatkan kita begitu mengenali Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.
Berbekalkan usaha-usaha di atas, tidak timbul isu kita mengatakan hanya Kaabah itu sahaja adalah Masjidil Haram, kerana kita telah memahami dengan usaha kita bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#2) adalah Masjidil Haram. Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan projek naik taraf terbesar dalam sejarah. Dan sudah pasti ia masih dipanggil Masjidil Haram walaupun kawasannya semakin luas.
Kita lihat pula Masjidil Nabawi. Masjid Hijau itu tidak dikatakan sebagai Masjidil Nabawi kerana kita memahami bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#3) adalah Masjidil Nabawi. Hakikatnya, Masjidil Nabawi telah mengalami beberapa fasa projek menaik taraf bermula daripada rumah Rasulallah s.a.w dan masjid berhampiran rumah baginda sehingga struktur sekarang bagi menampung ahli jemaah yang lebih ramai sama seperti Masjidil Haram.
Alhamdulillah. Syukur, kita semua jelas berkenaan status fizikal Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mari kita bandingkan dengan Masjidil Aqsa.
Mari kita lihat gambar (#1). Lingkungan merah tersebut adalah Masjidil Aqsa, sama seperti lingkungan kawasan bagi Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mudah untuk difahami. Didalamnya terdapat 6 buah masjid atau surau yang dinamakan Masjid al-Qibli, Masjid al-Qadim, Musolla al-Marwani, Masjid al-Buroq, Masjid al-Maghribah, dan Masjid an-Nisa'. Kubah as-Sakhra juga merupakan tempat para sahabat pernah menunaikan solat, dan hakikatnya mereka pernah solat di seluruh kawasan tersebut.
Pertambahan bilangan struktur bangunan atau masjid itu berlaku kerana beberapa zaman pemerintahan oleh para sahabat, tetapi kemudian terhenti kerana Masjidil Aqsa ditawan semasa Perang Ramadhan 1967, iaitu hampir 19 tahun selepas negara haram Israel ditubuhkan.
Jika kita lihat wajah Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi ditambah baik untuk menampung kunjungan jemaah dari serata dunia, mengapa tidak perkara yang sama berlaku pada Masjidil Aqsa? Bukankah ia tempat yang suci juga? Sedarlah kita bahawa penaik tarafan Masjidil Aqsa tidak dilakukan seperti Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.
Jawapannya mudah, iaitu kerana rejim zionis tidak akan membiarkan perkara itu berlaku! Dan ummah sekarang hanya sibuk membincangkan istilah berbanding perjuangan!
Marilah kita beralih kepada usaha yang lebih besar, mengenali Masjidil Aqsa sepatutnya bukan isu lagi bagi rakyat Malaysia selepas ini, tetapi usaha untuk membebaskan Palestin daripada rejim Israel, itulah yang kita sama-sama harus perjuangkan!
Kepada yang bertanya lagi soalan yang sama, kami berharap anda membantu kami dengan 'copy paste' atau 'share' artikel ringkas ini di mana-mana ruangan komen. Sumbangan ini begitu besar, iaitu kita berjuang membetulkan kefahaman orang ramai.
SUMBER : https://www.facebook.com/hashtag/aqsasyarif?source=feed_text&story_id=10205049126690635
No comments:
Post a Comment