Tuesday, 15 September 2015

BERITA BURUK YANG BAIK (?) TENTANG NAJIB DAN ROSMAH...!!!

Najib Razak masih enggan berundur. Ini berita amat buruk untuk rakyat Malaysia. Sabar dahulu. Berita buruk Najib Razak enggan berundur ini juga adalah berita yang amat baik.

Dalam ilmu falsafah perkara sedemikian dipanggil “kesatuan yang bertelagah” atau “unity of the opposite’.

Dalam tulisan ini saya akan beri pencerahan untuk memahami bagaimana berita buruk ini boleh menjadi baik. Ini samalah seperti kita memahami bagaimana tahi lembu atau najis manusia boleh membantu manusia.

Bersih berjaya menghasut 500,000 orang rakyat Malaysia turun ke jalan raya. Ini adalah tanda undi tidak percaya kepada Najib Razak.

Sesudah BERSIH 4, kita terus membaca pelbagai berita yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi gambaran bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak masih enggan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia. Suami Rosmah semakin dilihat degil.

Kenyataan dan tindakan politik Najib saban hari menyakinkan saya dan meyakinkan warga Malaysia bahawa suami Rosmah ini ingin terus berkuasa sampai hari kiamat. Suami Rosmah mahu terus memimpin parti United Malays National Organisation dalam PRU14.

Buktinya, paling baru ialah kenyaatan Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB). Bekas pegawai polis ini membocorkan berita di mana si Rosmah Mansor turut hadir dalam satu “mesyuarat tergempar”.

Mesyuarat tergempar kerajaan ini didakwa dipengerusikan oleh Najib sendiri. Turut hadir ialah Zahid Hamidi dan pegawai tinggi kerajaan.

KUASA BOMOH

Apa ke jadahnya Rosmah Mansor berada dalam mesyuarat tergempar kerajaan? Ini satu pertanyaan tapi dalam masa yang sama ianya juga satu kenyataan. Ini yang dikatakan dalam ilmu falsafah – “kesatuan yang bertelagah”.

Laporan bahawa Rosmah berada dalam mesyuarat kerajaan sebenarnya tidak lagi memeranjatkan Malaysia. Malah berita ini memperkuatkan lagi keyakinan umum bahawa sebenarnya Najib Razak ini telah menjadi bangkai bernyawa yang berlakon mengikut arahan telunjuk Rosmah Mansor.

Justeru, pembocoran berita dari bekas pegawai Cawangan Khas ini mensahih dan memperkuatkan satu lagi berita yang telah dibocorkan oleh Mahathir Muhamad.

Mengikut Mahathir, si Rosmah ini sedang menggunakan kuasa bomoh untuk mempertahankan suaminya. Menurut Mahathir, si Rosmah ini menggunakan khidmat bomoh dari India dan Jawa.

Awas, ini bukan fitnah. Ini kata-kata dari Mahathir Muhamad. Mahathir Muhamad ini bukan tukang kebun sekolah. Mahathir bukan pakcik warung. Mahathir ialah bekas perdana menteri Malaysia.

Jadi persoalan timbul – apakah ini bermakna 30 juta rakyat Malaysia sedang bertempur dengan Guru Ji – bomoh Rosmah dari India?

Sekali pandang, kesemua berita ini kelihatan seperti berita buruk. Tetapi hakikatnya semua berita ini adalah berita baik. Semua sedang membantu rakyat Malaysia untuk membenci parti United Malays National Organisation.

Kedegilan suami Rosmah ini semakin jelas dilihat. Kritikan dan tuntutan agar suami Rosmah ini melepaskan jawatan telah datang dari pelbagai sudut.

NAJIB DITIBAI KIRI DAN KANAN

Beberapa bahagian parti United Malays National Organisation telah meluluskan resolusi menuntut suami Rosmah berundur. Ini berlaku dalam mesyuarat tahunan parti.

Tidak cukup dengan ini – suami Rosmah yang juga presiden parti ini telah disaman oleh ahli parti sendiri. Saman-saman ini bersangkutan dengan kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Kes putar alam duit derma Tok Arab suami Rosmah ini bukan hanya ditimbulkan oleh parti pembangkang. Kes rasuah suami Rosmah ini telah menjadi kes antarabangsa.

Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa baru sahaja selesai. Malaysia dan SPRM telah menjadi tuan rumah. Dalam persidangan ini suami Rosmah telah ditibai kiri dan kanan.

Seorang demi seorang delegasi antarabangsa telah bangun bertanya tentang hal duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.

Bayangkan, dalam satu persidangan dunia seramai lebih 1,000 delegasi antarabangsa telah ketawa berdekah-dekah apabila seorang ahli Parlimen dari Kenya bertanyakan tentang duit ‘derma’ dari Tok Arab kepada suami Rosmah.

Soalan dari Kenya ini satu gambaran yang amat berat. Apabila kayu sudah condong bukan sahaja kura-kura datang memanjat malah Mat Bangla sudah berani bergayut dan berak.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa semua ini kelihatan amat amat buruk untuk imej Malaysia. Tetapi di sebalik keburukan ini ada hikmahnya. Seperti membuat tapai, kita memerlukan masa agar ragi dan pulut betul-betul masam sebelum nikmat tapai dapat dirasakan.

MAHATHIR JADI MAHAZALIM

Masa dan waktu kedegilan suami Rosmah ini wajib dijadikan masa dan waktu untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa masanya telah sampai untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan suami Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor dan Najib Razak kini telah menjadi ikon kebencian rakyat. Maka secara terancang, secara tersusun, orang ramai, anak-anak muda dan bakal pengundi boleh dihasut dengan menggunakan nama Rosmah Mansor.

Sekitar tahun 1998/99, saya pernah menulis bahawa Mahathir Muhamad wajib digambarkan sebagai susuk yang zalim di media. Ini merupakan pencerahan dari segi strategi politik. Kezaliman ini menjadi bahan hasutan kepada anak-anak muda untuk turun ke jalan raya.

Gerakan Reformasi berjaya – Mahathir Muhamad dinobatkan sebagai Mahazalim.

Sesudah Mahathir letak jawatan, strategi media juga beralih dari Mahathir yang zalim kepada Dolah Badawi yang bebal. Dolah digambarkan selalu tidur. Sering dolak-dalik, sering tak tahu kiri atau kanan. Sering terlupa. Malah saya mementaskan teater Tok Sloo untuk menyebarkan hasutan.

Akhirnya usaha ini berjaya – Abdullah Ahmad Badawi dinobat sebagai Mat Bebal atau Tok Sloo.

Tetapi apabila melihat ke belakang saya sedar saya telah melakukan kesilapan yang amat besar ketika itu. Kempen Mat Bebal aka Tok Sloo ini berjalan cepat.

Belum sempat ranum Dolah Badawi telah diturunkan dari takhta. Dari segi strategi politik jangka panjang, adalah amat molek jika Dolah Badawi terus berkuasa agar ‘tapai’ betul-betul ranum untuk dilingkupkan.

TUNGGU MASA

Sayang, tetapi dari kesilapan ini kita wajib mengumpul pengalaman dan jadikan kesilapan sebagai ilmu pedoman.

Justeru, pada tahap ini kempen menghasut orang ramai wajib menggunakan imej Rosmah Mansor. Ini sama saperti yang sedang dilakukan oleh Zunar dalam karikaturnya.

Imej Rosmah digunakan kerana umum sedar bagaimana Najib kini telah dibomoh dan dikontrol oleh Rosmah. Budaya bomoh dan budaya ‘nasi kangkang’ ini wujud dalam pandangan dunia alam Melayu. Justeru ianya menjadikan kerja propaganda politik senang dan ampuh.

Strategi politik berjangka panjang kita ialah agar suami Rosmah ini terus berdegil seperti perangainya hari ini. Kita harapkan Tok Bomoh yang ditaja oleh Rosmah akan sentiasa membakar kemenyan dan Guru Ji dari India akan terus membawa api sembahyang mengelilingi Putra Jaya.

Kita sedar kedegilan suami Rosmah ini sedang mengharu-birukan United Malays National Organisation. Parti ini sedang dihantui oleh krisis.

Dua kumpulan sedang mengumpul kekuatan. Satu berkumpul di belakang Muhyiddin dan satu lagi sedang dipayungi oleh Tok Bomoh Rosmah.

Ketika musuh kita huru-hara berkrisis kita juga wajib berkempen secara terbuka menuntut suami Rosmah ini meletakkan jawatan. Dari segi mengolah persetujuan politik, kita akan dilihat bebal jika tidak menuntut suami Rosmah berundur.

Tuntutan agar Najib berundur ini kita lakukan khusus untuk media dunia. Kita juga akan dilihat bebal oleh media antarabangsa jika kita tidak bangun melawan dan menuntut suami Rosmah mengundur. Justeru BERSIH 4 adalah sebahagian dari taktik untuk mengolah persetujuan media dunia.

DEMI TUJUAN SAMA

Setakat ini apa yang kita lakukan telah berjaya. CNN, BBC, NBC, RT – The Guardian, The Age, Sydney Morning Herald, South China Morning Post, The New York Times, Boston Globe, Wall Street Journal, Jakarta Post, The Times of London.. dan dan dan.... Hampir seluruh media dunia telah bersama memerangi suami Rosmah. Ini satu kejayaan.

Taktik mengolah persetujuan media barat ini digunakan oleh anak-anak muda ketika menjatuhkan Marcos. Taktik yang sama telah dijalankan ketika anak muda ke jalan raya menjatuhkan Suharto. Malah Hosni Mubarak dari Mesir jatuh terlungkup melalui gerakan jalan raya yang disadur dengan laporan media barat.

Jangan merasa segan dan malu apabila menggunakan media barat. Kita secara sedar menggunakan media barat kerana media barat ini mempengaruhi suasana pelaburan.

Kita sedar tugas utama media barat saperti New York Times, The Economist, Wall Street Journal bukan untuk memperkukuh demokrasi, hak asasi atau keadilan.

Media barat juga sama hampeh macam Utusan. Kalau Utusan menjaga kepentingan United Malays National Organisation, media barat menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Dalam kes suami Rosmah kita bertemu dan bekerjasama. Ini yang saya katakan “kesatuan yang bercanggah”. Kali ini kepentingan kita yang mahu menjatuhkan rejim United Malaya Nayional Organisation selari dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Jangan anggap Hishamuddin Rais tidak kenal siapa di belakang CNN, atau BBC atau New York Times atau Wall Street Journal. Tetapi pada ketika ini kepentingan kita bertemu di lorong yang sama. Maka saya ucapkan ah lan wa sahlan. Lagi banyak laporan mengutuk Malaysia atau suami Rosmah lagi baik untuk warga Malaysia.

Semalam Majlis Tertinggi United Malays National Organisation bersidang. Apa yang menjadi perhatian adalah persoalan sama ada Muhyiddin dibuang atau tidak. Tetapi, jika Muhyiddin diterajang, ianya baik untuk kita. Muhyiddin tidak diterajang pun baik untuk kita.

Apa yang saya tidak mahu ialah tapai belum ranum dan suami Rosmah kena terajang. Jika ini berlaku bermakna Tok Bomoh dari India dan Jawa telah lembik. Ini sahih satu berita buruk.

SERUAN TUN DR. MAHATHIR BUAT AHLI UMNO : "WAHAI AHLI UMNO..."

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyeru ahli UMNO yang sayangkan UMNO agar menolak Najib Razak.

Menerusi satu artikel yang bertajuk "Wahai Ahli UMNO" yang disiarkan di blog rasmi beliau, Chedet.cc , Mahathir turut menulis BN akan ditolak oleh Melayu, Cina dan India dek kerana kepimpinan Najib.

"Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi.", tulis beliau.

Artikel yang mempunyai 14 point itu juga turut menyentuh isu RM2.6 billion dan juga isu kejatuhan matawang ringgit, GST dan lain-lain.

Penulisan Penuh Artikel :

"Wahai Ahli UMNO"

1. Najib mendesak supaya kamu menyokong dirinya untuk kemenangan PRU14.

2. ​Malangnya menyokong Najib sebagai Ketua UMNO lebih menentukan kekalahan UMNO dan bukan kemenangan.

3.​ UMNO tidak pernah menang semata-mata kerana sokongan ahli-ahlinya. Jumlah ahli dalam mana-mana kawasan tidak mencukupi untuk memberi kemenangan bagi calon UMNO. Tidak pernah ahli UMNO melebihi separuh dari jumlah pengundi dalam mana-mana kawasan.

4.​ Yang memberi kemenangan kepada calon UMNO ialah orang Melayu, yang percaya kepada perjuangan UMNO, tetapi tidak menyertai UMNO. Orang Cina dan India juga menyumbang kepada kemenangan calon UMNO.

5. ​Sekarang semua mereka ini sudah tidak percaya lagi kepada UMNO. Mereka benci Najib dan mereka percaya Najib mengguna wang untuk membeli sokongan pemimpin-pemimpin UMNO. Ini diakui oleh beberapa Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen secara terbuka. Apabila pembangkang menamakan pemimpin UMNO yang telah disogok, tidak ada penafian dibuat oleh sesiapa.

6.​ Tindakan Najib menghalang siasatan keatas wang 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram. Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan.

7. ​Pentadbiran Najib menyebabkan nilai Ringgit jatuh sehingga harga barang semua naik, inflasi tinggi, dan saham jatuh harga. Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok dengan GST yang menyebabkan harga barangan dan khidmat naik lagi.

8.​ Mereka yang ada anak belajar di luar negari terpaksa tambah Ringgit yang merosot nilai dari 4 Ringgit bagi 1 Pound kepada hampir 7 Ringgit 1 Pound.

9. ​Pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak RM42 billion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbillion Ringgit sudah tidak dapat dikesan. Yang diketahui ialah Najib memiliki wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian. Sekarang wang ini telah dipindah entah kemana. Apabila siasatan dibuat oleh badan Kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini.

10.​ Sesungguhnya majoriti rakyat menolak dan benci Najib sebagai Perdana Menteri. Mereka tidak dapat terima dakwaan Najib bahawa 2.6 billion Ringgit yang ada dalam akaunnya adalah derma orang Arab.

11.​ Dalam PRU14 mereka semua, Melayu, Cina dan India akan tolak BN kerana kepimpinan Najib. UMNO akan hancur kerana ramai dari ahli UMNO tidak dapat terima Najib dan perbuatannya. Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi.

12. ​Sebaliknya jika Najib tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan memimpin BN, besar kemungkinan BN dan UMNO akan menang. Perasaan benci rakyat tidak tertumpu kepada UMNO atau BN. Mereka tidak terima Najib dan kemarahan mereka hanyalah kepada Najib dan beberapa pemimpin UMNO yang membodek kerana hendak jawatan atau lain-lain.

13. ​Ahli-ahli UMNO yang sayang dan ingin UMNO kekal dan berkuasa perlu tolak Najib sebelum pilihanraya. Jika penolakan ini dibuat terlalu lewat, masa untuk pemulihan UMNO tidak mencukupi.

14.​ Jika sayang UMNO tolak Najib sekarang. Jika sayang Najib, UMNO akan hilang kuasa dan berkecai. ​


Wednesday, 26 August 2015

“SAYA SANGGUP MATI UNTUK PERTAHANKAN KEBENARAN DEMI NEGARA TERCINTA"

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador mendakwa ada kumpulan sulit yang cuba menutup isu 1MDB.

Menggelarkan kelompok itu sebagai Geng Hang Tuah, Abdul Hamid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.

Beliau menyebut nama kumpulan itu ketika Malaysiakini bertanya mengenai kemunculan mesej WhatsApp palsu mendakwa dia akan memfailkan aduan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Geng Hang Tuah menyebarkan mesej palsu yang mendakwa dia akan mengadakan sidang media di Bukit Aman untuk mendedahkan pembabitan Dr Mahathir dengan Sarawak Report mendedahkan maklumat 1MDB demi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Hamid juga mendakwa kumpulan rahsia itu diketuai Si Kitol.

Katanya, beliau berjanji akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai dalang kumpulan itu selepas ini.

"Saya pasti mereka daripada kumpulan Hang Tuah yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah.

"Saya akan dedahkan nama Si Kitul tak lama lagi," katanya.

Si Kitol merujuk kepada nama pengkhianat yang membocorkan rahsia
Melaka kepada Portugis pada abad ke-16 sehingga menyebabkan kerajaan Melayu itu runtuh.

Ditanya lebih lanjut Abdul Hamid berkata, mereka mahu mengelak isu 1MDB dipersoalkan.

"Kumpulan ini cium tangan pun mahu demi melindungi kepentingan peribadi," katanya.

Sementara itu Abdul Hamid berkata sehingga kini beliau menerima pelbagai panggilan telefon yang menasihatinya agar berhati-hati.

Kata Abdul Hamid, pihak tersebut mendakwa ada kelompok sudah "gelap mata" dan sanggup mengambil tindakan luar biasa terhadapnya.

Meskipun pasrah dengan apa yang terjadi, beliau yang berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun itu tegas dengan ikrar janji yang dibuat sebelum ini.

Katanya ketika menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Mei 1980, anggota PDRM berikrar untuk mempertahankan kebenaran walaupun nyawa menjadi galang gantinya.

“Saya pasrah. Saya hanya takutkan kemurkaan Allah. Saya tetap memegang kepada sumpah ikrar tamat latihan asas polis di Pulapol pada Mei 1980 dulu.

“(Saya) sanggup mati untuk pertahankan kebenaran demi negara tercinta. Pada lambang polis tersemat pada topi polis itu ada tertera kalimah Allah (dan) Muhammad.

“Itulah yang dijunjung oleh lebih 100 ribu warga PDRM selama ini. (Lagi pun) mati itu sekali saja.

Beliau turut berkata jika ada mana-mana pihak membunuhnya, ia tetap tidak dapat menutup jenayah yang dilakukan.

“Membunuh saya tidak akan dapat menutup jenayah yang dilakukan,” katanya.

Friday, 24 July 2015

20 ORANG TERKAYA DI DUNIA SEPANJANG ZAMAN!

#20 – Friedrich Weyerhaeuser (USD80 Billion)
Friedrich dilahirkan di Jerman tetapi meninggal dunia di Pasadena, California pada tahun 1914. Sebelum beliau meninggal dunia ini, beliau telah mengumpulkan sejumlah besar wang dari syarikatnya, yang dinamakan sebagai Weyerhaeuser. Syarikat beliau tidak menjalankan urusan yang luar biasa, ia hanya perniagaan  kilang papan dan perniagaan yang berkaitan kayu yang lain. Friedrich mahu menjadi usahawan bir ketika memulakan perniagaan di Amerika, namun akhirnya beliau tetap mengaut keuntungan dengan perniagaan asal. Beliau mula menceburi bidang pembalakan dan semakin dikenali sebagai "Raja Balak" pada zaman kegemilangan beliau, nama beliau pernah terpahat dalam rekod majalah US Business Hall of Fame. Friedrich dan keluarganya terus menetap di Illinois di mana kekayaan keluarganya masih terkumpul dan banyak.

#19 – Henry Duke Of Lancaster (USD85.1 Billion)
Terdapat kira-kira sedozen NFL francais yang digabungkan tidak mempunyai banyak gelaran sepertimana Henry. Nama penuh yang rasmi beliau ketika digelar sebagai Henry Gosmont ialah "1st Duke of Lancaster & 4th Earl of Leicester and Lancaster" tetapi anda hanya boleh memanggil beliau Hank. Henry hidup pada 1300-an dan dilahirkan dalam golongan bangsawan. Apabila beliau menjadi Earl of Lancaster, beliau menggunakan kedudukan itu sebagai seorang ahli politik dan diplomat untuk mula membuat  wang dengan serius. Walaupun beliau merupakan orang yang paling kaya di England pada masa itu, dia masih mendapat layanan dan tanggapan buruk Raja Edward II yang mana akhirnya Henry dihukum bunuh pada tahun 1322. Sekarang, kedudukan orang kaya selamat berbanding 700 tahun lalu.

#18 – A.T. Stewart (USD90 Billion)
Jika anda membuat lebih daripada USD1 juta setiap tahun pada zaman ini, itu hanya biasa-biasa sahaja. Namun, bolehkah anda bayangkan membuat wang sebegitu pada tahun 1869? Itulah yang Alexander Turney Stewart (A.T, Stewart) lakukan di Ireland. Pada ketika itu, beliau merupakan peruncit terbesar barangan kering di dunia. Jika anda tidak tahu apa barang-barang kering, ia pada dasarnya hanya pakaian, selimut dan yang seangkatan dengannya. Pada mulanya, ibu bapa AT mahukan anak mereka mejadi seorang ahli politik atau menteri. Tapi setelah mereja melihat berapa banyak wang yang telah A,T, buat di New York, mereka gembira dan melihat ia daripada sudut yang berbeza. A.T. begitu kaya hingga hampir dilantik sebagai orang yang bertanggungjawab bagi Jabatan Perbendaharaan AS.

#17 – Stephen Girard (USD105 Billion)
Anda jangan keliru antara tokoh ini dengan pemain bola sepak terkenal Steven Gerrard walaupun kedua-duanya merupakan jutawan. Ketika Stephen Girard meninggal dunia pada tahun 1831, beliau mempunyai kira-kira 0.75% daripada wang seluruh Amerika Syarikat. Urusan perbankan  di peringkat awal di Amerika memerlukan seorang bintang dan Girardlah orang itu. Piagam untuk Bank Pertama Amerika Syarikat bakal tamat tempoh dan berakhir tetapi Girard memutuskan mahu menduduki dan membeli sebahagian besar saham bank tersebut dan menamakannya sebagai Bank Girard, Bank ini pembiaya terbanyak  Perang 1812.  Bon Kerajaan yang melindungi bank ini membuatkan Girard sangat kaya, kerana perniagaan peperangan sentiasa menguntungkan.

#16 – John of Gaunt (USD110 Billion)
John of Gaunt bukan sebarang Duke, beliau merupakan "1st Duke of Lancaster". King Edward III hidup dengan tiga anak lelaki dan John adalah merupakan salah seorang daripadanya. Ketika John dilahirkan, King Edward III tidak ada di situ dan ramai yang percaya bahawa John hanyalah anak seorang pemotong daging dan bukan anak raja. Apapun, John menjalani kehidupannya sebagai kerabat raja dan amat menyukai jalan hidup yang pantas. Beliau telah berkahwin tiga kali dan mempunyai seorang perempuan simpanan semasa ketiga-tiga perkahwinan beliau. Seperti yang anda mungkin telah lihat, keluarga diraja di Eropah sememangnya sangat kaya, hinggalah yang terkini. Namun, John of Gaunt adalah salah seorang yang paling kaya dalam sejarah.

#15 – Richard FitzAlan 10th Earl Of Arundel (USD118.6 Billion)
Richard merupakan seorang lagi lelaki budiman yang juga seorang Ketua Tentera Inggeris. Richard ialah anak Edmund, yang bergelar "The 9th Earl Of Arundel". Beliau hampir kehilangan banyak wang ketika berkahwin dengan salah seorang ahli keluarga Despenser yang kebetulan mempunyai banyak tarikan hutang. Keluarga Despenser akhirnya memberontak dan menentang keluarga Richard yang mana ayah Richard telah terbunuh (dihukum bunuh). Satu kelebihan Richard ialah beliau mempunyai ikatan kekeluargaan yang baik dengan pihak tentera namun keputusan beliau untuk menjadi "The Earl of Surrey" telah menambahkan kekayaan beliau. Malahan King Edward III sendiri telah berhutang wang dengan beliau.

#14 – John Jacob Astor (USD121 Billion)
John Jacob Astor mempunyai prestij yang tinggi ketika menjadi multi-millionaire pertama dalam sejarah Amerika. Beliau dilahirkan di Jerman, dan berhijrah ke Amerika ketika tahun-tahun pertama. Pada ketika itu, perniagaan bulu binatang dilihat begitu menguntungkan dan Astor mula memonopoli perniagaan ini di Amerika. Setelah menerajui perniagaan bulu binatang ini, Astor membuat keputusan untuk menghentikannya dan memulakan perniagaan hartanah dan perladangan di New York. Dan kerana bidang baharu inilah Astor semakin bertambah kaya dan kaya.

#13 – William de Warenne (USD147.13 Billion)
William de Warenne adalah "The 1st Earl Of Surrey", diangkat pada tahun 1088. Beliau memegang jawatan itu tidak lama kerana beliau terbunuh semasa pemberontakan yang dinamakan Pengepungan Pertama Istana Pevensey. Sebelum perniagaan hartanah dan perladangan menjadi bidang utama perniagaan, William de Warenne manusia yang bertanggungjawab menyempurnakan. William mempunyai pegangan tanah di seluruh Eropah, yang mendapat nilai keuntungan sepanjang hidupnya. Dari segi aset cair beliau sahaja telah menjadikan beliau salah seorang manusia terkaya sepanjang zaman. William selamat pada ketika itu kerana beliau datang daripada golongan bangsawan tetapi setelah memegang gelaran "Earl", ia pasti tidak berkesudahan dengan baik.

#12 – Bill Gates (USD136 Billion)
Bill Gates telah menjadi senarai tetap majalah Forbes untuk "400 Orang terkaya di Amerika Syarikat” (dari tahun 1993 sehingga 2006; dan mendapat tempat nombor 1 untuk senarai orang terkaya di dunia dari 1995 sehingga 2007 (kecuali 1997). Selain dari Microsoft, Bill Gates juga ada membuat pelaburan di dalam syarikat lain. Bill Gates bertanggungjawab keatas strategi syarikat dan pemasaran. Beliau secara agresifnya telah memperluaskan peluang pemasaran produk-produk Microsoft dan mengembangkan syarikat itu sehingga dikenali sebagai syarikat perisian gergasi. Beliau juga adalah seorang yang bertanggungjawab meluluskan hampir semua keputusan besar syarikat itu yang menyebabkan beliau kerap ditarik ke mahkamah untuk memberi penjelasan terhadap tindakan -tindakan pemasaran beliau yang dikatakan berlaku tidak adil terhadap syarikat lawannya. Beliau membuka syarikat Corbis, syarikat imej digital pada tahun 1989. Pada tahun 2004, beliau menjadi pengarah di Berkshire Hathaway, syarikat pelaburan yang diketuai oleh rakannya Warren Buffett. Menurut senarai Forbes orang-orang paling kaya dalam dunia.  

#11 – Alan Rufus (USD178.65 Billion)
Alan Rufus adalah salah seorang daripada para sahabat William The Conqueror (William Si Penakluk) yang akan diceritakan kemudian. Rufus dianggarkan hidup pada tahun 1040 hingga 1093. Memulakan perniagaan dalam bidang hartanah sama seperti lelaki Inggeris yang lain. Selain hartanah, Rufus juga terlibat dalam perniagaan bulu binatang dan garam. Memulakan perniagaan di tempat sendiri iaitu di North Yorkshire. Berketurunan Counts, Dukes, Bishops dan lain-lain yang mana mungkin agak asing bagi rakyat Amerika.

#10 – Cornelius Vanderbilt (USD185 Billion)
Cornelius tidak bermula sangat kaya, beliau berhenti sekolah pada usia 11 tahun untuk membantu perusahaan feri bapanya. Lima tahun kemudian, dia membuka perniagaan feri sendiri. Keluarga Vanderbilts ini agak ganjil, dan terbukti apabila Cornelius berkahwin sepupu pertamanya iaitu Sophia dan mempunyai 13 orang anak.Nama Vanderbilt masih relevan kerana beliau merupakan pengasas Universiti Vanderbilt di Tennessee. 

#9 – Henry Ford (USD199 Billion)
Henry Ford (30 Julai, 1863 – 7 April, 1947) merupakan pengasas Syarikat Ford Motor (Ford Motor Company) dan Syarikat Henry Ford (Henry Ford Company) (yang kemudiannya menjadi Cadillac). Beliau telah dikenali sebagai "Bapa Teknologi Kereta" kerana menggunakan rangkaian pemasangan untuk mengeluarkan kereta secara besar-besaran. Pencapaian Ford bukan sahaja merevolusikan pengeluaran perindustrian di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, tetapi juga amat mempengaruhi kebudayaan moden secara. Ahli teori sosial telah menggelarkan fasa sejarah ekonomi dan sosial ini sebagai "Fordisme". Ada juga yang memberi penghargaan kepadanya untuk mencipta kelas menengah di masyarakat Amerika Syarikat.

#8 – Muammar Gaddafi (USD200 Billion)
Muammar Muhammad Abdul Salam Abu Minyar al-Gaddafi (Bahasa Arab: معمر محمد عبدالسلام احميد بومنيار القدافى) (Jun 1942- 20 Oktober 2011) lebih dikenali sebagai Muammar Gaddafi ialah seorang pemimpin politik dan revolusi Libya. Beliau telah menjadi Presiden Libya semenjak menggulingkan Raja Idris dalam rampasan kuasa tidak berdarah pada 1969 dan menjadi pengasas Republik Sosialis Arab Libya. Tempoh pemerintahan yang kini hampir mencecah 42 tahun membuatkan beliau antara pemimpin terlama memerintah dalam sejarah. Ideologi Gaddafi dipanggil Teori Antarabangsa Ketiga dan dihuraikan dalam Buku Hijau. Buku ini disebar ke seluruh dunia secara percuma. Gaddafi dikatakan pernah menaja beberapa kumpulan pemberontak termasuk Gerakan Moro di selatan Filipina. Enam hari selepas Amerika berjaya menangkap Saddam Hussein , Gaddafi berikrar memusnahkan senjata pemusnah WMD. Ekoran komitmen itu, pada 15 Mei 2006, Setiausaha AS, Condoleezza Rice mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik AS-Libya. Pada awal Februari 2011, bantahan politik besar, yang didorong bantahan di Tunisia, Mesir dan bahagian lain dunia Arab, meletus di Libya menentang kerajaan Gaddafi dan dengan cepat bertukar menjadi perang saudara. Gaddafi berikrar "mati syahid" jika perlu dalam perjuangannya menentang pemberontak dan kuasa luar, menyatakan yang mereka yang memberontak terhadap kerajaannya berhak mati. Pada 17 Mei 2011 Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan permohonan waran tangkap terhadap Gaddafi atas sebab jenayah terhadap kemanusiaan; pada 27 Jun, pernohonan ini diterima dan waran dikeluarkan terhadap Gaddafi dan anaknya Saif al-Islam. Pada Ogos 2011, Gaddafi terus diburu oleh pemberontak tetapi beliau dan tujuh anak lelakinya berjaya melarikan diri.Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011, Gaddafi berjaya dikesan di kampung asalnya di Sirte dan berjaya ditembak mati.

#7 – William The Conqueror (USD229.6 Billion)
William dari Normandie (bahasa Perancis: Guillaume de Normandie; k.k. 1028 – 9 September 1087) memerintah sebagai Duke Normandie dari tahun 1035 hingga tahun 1087 dan menjadi Raja England dari tahun 1066 hingga tahun 1087. William memenangi Perang Hastings pada tahun 1066 ketika menyerang England, dan menumpaskan pemberontakan-pemberontakan Inggeris yang menyusul dalam apa yang kini dikenali sebagai Penaklukan Normandie. Tiada potret tulen William pernah ditemui. Baginda digambarkan sebagai seorang lelaki yang besar dan tegap, kuat dalam semua erti kata, sudah mula botak di depan, dan mempunyai gaya raja. Dalam tatanama kini, William ialah Duke Normandie sebagai William II, dan Raja England sebagai William I. Baginda juga dikenali sebagai William si Penakluk (Guillaume le Conquérant) dan William si Anak Haram (Guillaume le Bâtard).

#6 – Mir Osman Ali Khan (USD230 Billion)
Mir Osman Ali Khan adalah Nizam (Raja/Sultan) terakhir dalam sejarah Hyderabad dan Berar. Sebab pemerintahannya berakhir kerana India menakluk Hyderabad dan beliau kehilangan sebahagian besar kuasa di rantau itu. Sebelum itu, Ali Khan memegang sejumlah besar kekayaan dalam keluarga diraja kerana kedudukannya dalam tempoh yang panjang namun berakhir dengan agak menyedihkan kerana selepas kemangkatannya, harta bernilai kira-kira USD1,000,000,000  menjadi pertikaian. Pertikaian undang-undang dan perebutan dalam kalangan keluarga telah memecah-belahkan keluarga besar ini namun kekayaan mereka tidak pernah berkurangan tetapi semakin susut dalam tempoh peperangan.

#5 – Nikolai Alexandrovich Romanov (USD300 Billion)
Nicholas II merupakan Maharaja terakhir dalam sejarah Rusia. Nicholas II atau nama sebenar beliau Nikolai Alexanderovich Romanov memperoleh gelaran Grand Duke of Finland dan raja pemerintah Poland. Beliau juga sering dinamakan sebagai Tsar; juga bukan lelaki yang paling baik di dunia. Beliau memperoleh kekayaan melalui peperangan. Nicholas II telah dipaksa keluar dari pejabat pada tahun 1917 selepas Rusia kalah dalam peperangan. Beliau agak menyukai peperangan namun tidak mendapat sokongan setelah kekayaan beliau semakin susut. Walau bagaimanapun beliau tetap berada di kedudukan 5 teratas terkaya di dunia sepanjang zaman.

#4 – Andrew Carnegie (USD310 Billion)
Andrew Carnegie adalah seorang usahawan Scotland-Amerika, usahawan, ahli perniagaan dan dermawan besar. Beliau  salah seorang pemimpin yang paling terkenal dari industri akhir abad 19 dan awal 20. Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat dengan orang tuanya. Pekerjaan pertamanya di Amerika Syarikat adalah sebagai pekerja kilang di sebuah kilang bobin, kemudian ia menjadi pemilik syarikat balak. Dia membina Pittsburgh Carnegie Steel Company, yang kemudian bergabung dengan Elbert Gary H. 's Steel Federal Syarikat dan beberapa syarikat kecil untuk membuat US Steel. Dengan kekayaan melalui perniagaan, ia kemudian beralih ke bidang pendidikan dengan mendirikan Carnegie Corporation New York, Carnegie Endowment for International Peace, Carnegie Mellon University dan Carnegie Museum of Pittsburgh. Dia memperoleh sebahagian besar kekayaannya dalam industri baja. Pada 1870, ia mendirikan Carnegie Steel Company, dan mula dikenali sebagai "Kapten dari Industri". Pada 1890-an, syarikat itu menjadi syarikat industri terbesar dan paling menguntungkan di dunia. Carnegie menjualnya kepada JP Morgan pada 1901, yang membuat US Steel. Carnegie menumpukan sisa hidupnya sebagai budiman dan dermawan berskala besar, dengan penekanan khusus pada perpustakaan tempatan, perdamaian dunia, pendidikan, dan kajian ilmiah. .

#3 – John D. Rockefeller (USD340 Billion)
John Davison Rockefeller (8 Julai 1839 - 23 Mei 1937) adalah seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat. Beliau mempunyai syarikat minyak yang disebut Standard Oil, yang menjual minyak di Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Beliau merupakan jutawan pertama dalam sejarah dunia dan dianggap sebagai orang terkaya dalam sejarah Amerika, dan mungkin orang terkaya dalam sejarah dunia. Kini, wang yang beliau hasilkan bernilai trilion dollar. Beliau menggunakan wangnya untuk melakukan pelbagai perkara, seperti mendirikan Universiti Chicago, membiayai kajian perubatan, dan memberikan tanah untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

#2 – The Rothschild Family (USD350 Billion)
Keluarga Rothschild (atau Kerabat Rothschild atau lebih ringkas sebagai Rothschilds) adalah sebuah keluarga Eropah yang berasal dari Yahudi Jerman yang mengasaskan syarikat-syarikat perbankan dan kewangan di Eropah pada akhir kurun ke-18. Lima garis cabang keluarga dari Austria ini telah diangkat menjadi bangsawan Austria, dan diberi warisan sebagai baron oleh Maharaja Francis II dari Empayar Habsburg pada tahun 1816. Cabang keluarga di Britain pula diangkat menjadi bangsawan dengan permintaan dari Ratu Victoria. Adalah dipercayai semasa kurun ke-19, keluarga ini memiliki harta kekayaan peribadi terbesar di dunia dan juga terbesar di dalam dunia moden pada hari ini.

#1 – Mansa Musa I (USD400 Billion)
Musa I adalah Mansa (asasnya Maharaja) Mali selama 25 tahun dalam era 1300-an. Empayar Mali mempunyai sejumlah besar kekayaan pada masa itu, dan Musa I merupakan dermawan yang terbesar. Keluarga itu mempunyai hampir setiap aset berharga dalam kawasan mereka di dunia untuk masa yang sangat lama, jadi Musa I cukup banyak masa untuk mengawal segala-galanya. Musa I atau Mansa merupakan Maharaja terakhir dan gelaran itu telah lama pupus. Musa I membina sebuah empayar yang sangat kaya, dan seterusnya, menjadikan dirinya seorang lelaki terkaya yang pernah hidup. Apa yang diketahui tentang raja-raja Empayar Mali diambil daripada tulisan-tulisan ulama Arab, termasuk Al-Umari, Abu Sa'id Uthman ad-Dukkali, Ibn Khaldun dan Ibn Battuta. Menurut sejarah komprehensif Ibn Khaldun raja-raja Mali, datuk Mansa Musa adalah Abu Bakar Keita (bersamaan Arab untuk Bakari atau Bogari, nama asal tidak diketahui - bukan sahabiyy Abu Bakr), saudara Sundiata Keita, pengasas Empayar Mali seperti yang dicatatkan melalui sejarah lisan. Abu Bakar tidak naik takhta, dan anaknya, bapa Musa, Faga Laye, tidak mempunyai kepentingan dalam Sejarah Mali.

Nota Kaki : Mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam info di atas.


SUMBER : myfirstclasslife.com

Thursday, 23 July 2015

BACALAH SEBELUM AJAL!

Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali.

Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: “Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300 kali tetakan pedang.”

Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.

Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya.

Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu.

Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-

Sebelum tidur:
  • Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali;
  • Selawat ke atas Nabi SAW; DAN
  • Bertasbih.

Amalan harian:
  • Sentiasa membaca Al-Quran;
  • Memelihara solat terutama solat fardu;
  • Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan;
  • Memperbanyakkan zikir;
  • Memperbanyakkan sedekah; DAN
  • Sentiasa berzikir menyebut Allah SWT.

Amalan yang perlu dijauhi:
  • Dusta;
  • Khianat;
  • Mengadu domba; DAN
  • Kencing berdiri.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”

Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris a.s. lalu baginda meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah SWT menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris a.s. mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah SWT memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa Nabi Idris a.s. dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah SWT supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris a.s. lalu dimakbulkan-Nya.

Setelah di dapati Nabi Idris a.s. sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: “Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?” Jawab Nabi Idris a.s.: “Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.” Kata malaikat maut: “Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa a.s. telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah SWT. Maka sebahagian orang kafir berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.”

Kata Nabi Isa a.s.: “Cubalah kamu pilihkan?” Mereka berkata: "Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).”

Maka Nabi Isa a.s. pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban.

Nabi Isa a.s. hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: “Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat." Berkata Nabi Isa a.s.: “Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?” Kata Sam: “Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”

Betapa kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail. Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang, riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya.

Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa.” Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati.

Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja.

Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya. Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta’un dan sebagainya.

Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, “sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah? “.

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan mala petaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya.

Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna. Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang antara lain menjelaskan bahawa "Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solihin."

Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka.

Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat mala petaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu.

Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar. Firman Allah Taala Yang bermaksud:

“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. “(Surah Al-A’raf: ayat 34)

Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak. – Halaqah.


Nota Kaki : Mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam info di atas.


SUMBER : ohterbaiik.blogspot.com