1. Saya tahu tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang yang menghukum saya sebagai anti-hadis. Orang lain juga akan dilarang membaca tulisan ini. Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau hukuman mereka dipersoal. Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima seperti firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran.
2. Orang yang benar, berani. Orang yang takut, takut kerana salah atau mungkin didapati salah.
3. Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah. Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini kononnya dilarang oleh agama Islam.
4. Saya sekarang dilabel, iaitu diberi gelaran atau dicap anti-hadis kerana kononnya saya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang telah diberi gelaran yang sama.
5. Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam.
6. Hari ini kita lihat ummat Islam berpecah, bermusuh sesama mereka, berperang dan membuat kerja orang Yahudi dan Nasrani. Siapakah yang membawa malapetaka ini kepada orang Islam dan Negara-negara mereka. Bukankah mereka fasih dalam bahasa Arab bahkan penasihat dan pemimpin mereka terpelajar dengan dalamnya ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Saya sendiri sering mendengar mereka dari kedua-dua belah, mengeluarkan ayat Quran dan hadis bagi menghalalkan perbuatan mereka.
7. Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru itu saya terpaksa terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai ajaran Islam. Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu maka ia bukan Islam. Apakah saya tidak Islam. Apakah lafaz dua kalimah syahadat oleh saya tidak boleh diterima.
8. Selain dari khatam Quran semasa umur belasan tahun, saya baca terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ya, memang terjemahan Quran bukan Quran. Tetapi bolehkah kita kata terjemahan ajaran Islam yang diajar kepada kita dalam bahasa Melayu bukan Islam? Jika apa yang disampaikan dlam bahasa Melayu berkenaan agama Islam bukan Islam, majoriti orang Melayu bukanlah Islam.
9. Saya dan rakan-rakan saya pernah dihukum kafir kerana sebagai ahli parti tertentu telah bekerjasama dengan orang kafir. Tidak ada siapa yang fasih berbahasa Arab dan mendalami ajaran Islam yang mempertahankan saya apabila dituduh kafir. Mungkin sebabnya ialah mereka bersetuju saya kafir.
10. Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir. Tetapi tidak ada orang yang mendalami agama Islam yang fasih berbahasa Arab mendakwa mereka ini kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka maksum?
11. Orang yang fasih berbahasa Arab dan mengenal diri sendiri sebagai ulama Islam dan mursyid telah berkata ia sanggup bekerjasama dengan syaitan jika syaitan menyokongnya. Orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu larangan dalam Al-Quran terhadap bekerjasama dengan syaitan, tidak membuat tuduhan apa-apa, jauh sekali dari memberi apa-apa label kepadanya. Kenapa?
12. Bukan sahaja orang Arab yang fasih bahasa Arab yang berpecah dan bermusuh sesama Islam, tetapi di Malaysia juga perpecahan berlaku apabila orang yang digelar ulama dan fasih dalam bahasa Arab memisahkan diri dan memecahkan perpaduan orang Islam kerana tidak dapat tempat di dunia, tidak dipilih jadi Yang Berhormat. Sehingga sekarang perpecahan ini berlaku. Maka lemahlah orang Islam dan terpaksalah mereka mengemis untuk mendapat sokongan orang bukan Islam. Maka berpeluk-peluklah mereka. Tidak ada ulama yang berkecuali yang mendesak supaya semua orang Islam bersatupadu dan bersaudara semula.
13. Orang yang sama juga mendakwa bahawa Allah s.w.t. mencarut. Tiada siapa dari orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu secara mendalam ajaran Islam yang menyangkal dakwaan ini. Mungkin ada hadis yang berkata demikian. Saya belum jumpa. Sila tunjuk kepada saya hadis yang berkata Tuhan mencarut.
14. Dalam ajaran Islam, ada yang wajib dan ada yang sunnat. Kita diberitahu yang sunnat boleh kita terima dan tunaikan tetapi tidaklah kita bersalah jika kita tidak tunaikan. Tetapi ada gesaan bahawa yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan walaupun bercanggah dengan firman Tuhan dalam Al-Quran.
15. Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu samada hadis wajib dan mesti diterima. Betulkan saya.
16. Apa pula dengan orang yang utamakan hadis dari firman Allah s.w.t. yang terdapat dalam Al-Quran yang kita terima sebagai wahyu dari Allah s.w.t. Berkenaan dengan zina, apakah hukum yang terdapat dalam Al-Quran. Dan apakah yang terdapat dalam hadis. Yang manakah lebih utama, wahyu dan firman Allah s.w.t. atau hadis yang diriwayatkan oleh beberapa keturunan manusia biasa, yang dikaji, disah atau ditolak oleh pakar hadis yang juga manusia biasa 200 tahun kemudian. Salahkah jika kita pilih Al-Quran yang jelas dan satu yang tidak berbeza-beza dan oleh itu tidak merejam dan menembak mati dengan mesingun perempuan yang dituduh berzina.
17. Bukankah Allah s.w.t. telah berpesan berpuluh kali bahawa “apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil”. Allah s.w.t. juga sebut sebagai tidak suka akan kezaliman.
18. Apakah melabel iaitu menghukum seseorang selepas membaca akhbar atau mendengar lapuran T.V. mencerminkan keadilan yang dituntut dalam Islam. Apakah tanpa memberi peluang kepada yang tertuduh untuk mempertahankan diri, adil di sisi agama Islam. Apakah tanpa membincang dan membahas oleh badan yang dipertanggungjawabkan seperti mahkamah, yang terdiri dari orang yang tidak berkepentingan, adalah cara Islam mengadil.
19. Kita lihat akan betapa buruknya keadaan umat Islam sekarang. Apakah ini kerana sudah ditakdirkan bahawa orang Islam akan ditindas dan agama Islam dihina.
20. Tidakkah Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan menukar nasib sesiapa jika ia tidak berusaha menukar nasibnya sendiri.
21. Jika kita ingin menukar nasib dan kita berusaha sehingga terselamat diri kita, bolehkah kita kata ini bukan takdir, atau ini bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.
22. Kita tahu adanya hadis yang sahih dan yang lemah Apabila hadis berbeza atau bertentangan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, yang mana satukah yang kita harus terima? Jika kita pegang kepada Al-Quran, apakah ini salah.
23. Apakah kita wajib terima apa saja yang disampaikan oleh orang yang berbahasa Arab yang mempelajari agama walaupun jelas bertentangan dengan ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis. Apakah kita mesti iktiraf siapa sahaja yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Apakah semua ahli persatuan ulama benar-benar ulama.
24. Amatlah merbahaya dan mengelirukan apabila sesiapa sahaja, hanya kerana fasih dalam bahasa Arab dan mendapat ijazah sarjana dalam bidang agama Islam, diberi gelaran ulama.
25. Perpecahan umat Islam kepada berbagai mazhab adalah disebabkan oleh orang seperti ini. Pengikut mereka turun temurun bermusuh dan membunuh. Tidak ada toleransi di kalangan mereka sedangkan Al-Quran tidak suruh kita bermusuh walaupun dengan penganut agama lain, melainkan mereka bermusuh dengan kita. Kepada mereka agama mereka. Lemahnya umat Islam dan terhinanya agama Islam ialah kerana ajaran mereka yang tidak boleh ditegur, yang tuntut kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi hanya kepada mereka.
26. Saya tahu bahawa jawapan kepada tulisan saya ini ialah saya anti-hadis, anti Al-Quran bahkan kafir.
27. Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah s.w.t. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah s.w.t. tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya.
Sumber : www.gerakan-anti-pkr.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment