Friday, 21 March 2014

KOREKSI POLITIK ANTARABANGSA SYIAH IRAN DAN SADIWARA AMERIKA

1.   Pada 31 Julai 2006, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 1696 dan diikuti Resolusi 1737 (23 Disember 2006), Resolusi 1747 (24 Mac 2007), Resolusi 1803 (3 Mac 2008), Resolusi 1835 (2008) dan Resolusi 1929 (9 Jun 2010) yang mengenakan sekatan ke atas Iran. Semua resolusi-resolusi ini diluluskan tanpa bangkangan kuasa veto Rusia mahupun China. Justeru, pandangan sesetengah pihak bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak mungkin menyerang Iran kerana negara itu dilindungi oleh Rusia dan China adalah tidak benar. Apatah lagi, AS pernah mengambil tindakan unilateral tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB apabila menyerang dan menakluk Afghanistan (2001) dan Iraq (2003) atas alasan untuk memerangi keganasan.


2.  Sejak Revolusi Iran 1979, AS telah dilihat memimpin usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Iran bagi mempengaruhi polisi negara tersebut, termasuk dengan cara mewujudkan persepsi negatif terhadap program pengkayaan uranium oleh Iran. Ia telah dibayangi dengan kebimbangan program tersebut bertujuan untuk membangunkan keupayaan membina senjata nuklear. 
   
Propaganda Senjata Nuklear Iran 


3.   Hakikatnya pada 2009, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ketika itu, Mohamed El Baradei yang mengetuai siasatan antarabangsa telah mengesahkan tiada bukti kukuh menunjukkan Iran membangunkan senjata nuklear.  Menurut El Baradei, dakwaan terhadap Iran oleh Barat bahawa negara tersebut sedang membangunkan senjata nuklear satu perkara yang sengaja diperbesarkan tanpa disandarkan kepada fakta. Kenyataan ini turut disokong oleh Ketua Pengarah IAEA sekarang, Yukiya Amano. Bekas Ketua Pengarah IAEA sebelum El Baradei, Dr. Hans Blix juga pernah menyatakan bahawa Iran tidak pernah melanggar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan tiada sebarang bukti menunjukkan Iran sedang membangunkan senjata nuklear. Realiti ini juga telah diakui oleh Pengarah Perisikan Kebangsaan AS sendiri, James Clapper yang pernah memberi keterangan pada Mac 2011 bahawa beliau mempunyai yakin bahawa Iran tidak pernah mengusahakan pembangunan senjata nuklear, walaupun dia berkata pihak perisikan tidak tahu sama ada Iran mempunyai tujuan ke arah itu.   


4.   Saya tidak pernah mengatakan bahawa Iran hanya berpura-pura menjadi musuh kepada AS atau Israel. Sebaliknya, saya berpendapat bahawa hubungan dan tindak-tanduk AS (baca bersama Israel) terhadap Iran adalah suatu bentuk retorik, propaganda dan ‘permainan wayang’ semata-mata. Pendapat saya ini adalah menjurus dalam konteks strategi geo-politik (termasuk yang paling utama ialah tujuan AS untuk memastikan keselamatan Israel, mengekalkan hegemoni mereka di rantau Arab, serta menghalang kemaraan Islam – baca Sunni di Barat) di kepentingan ekonomi mereka.

Peranan Kuasa Besar Dunia AS, Rusia dan China 


5.   Untuk pengetahuan saudara, Rusia hari ini adalah berbeza dengan Kesatuan Soviet. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Perang Dingin yang bermula sejak 1947 telah pun berakhir. Pengaruh Rusia tidak lagi segah semasa Kesatuan Soviet dulu. Sebaliknya, China dilihat paling berpotensi untuk mengambil alih pengaruh yang pernah mereka miliki itu, malah tidak mustahil China mampu menggantikan kedudukan AS yang menunggu masa untuk tumbang. Adapun sesetengah tindakan Rusia dan China yang dilihat cenderung memihak kepada Iran, ia bukanlah bermakna mereka secara mutlak sentiasa mempertahankan negara Parsi tersebut. Sebaliknya, persepsi yang mengatakan Rusia dan China akan menghalang sebarang usaha menyerang Iran melalui penggunaan kuasa veto adalah sebahagian dari perang saraf kuasa-kuasa besar itu sendiri untuk memperkuatkan pengaruh mereka di rantau Asia dan dunia.
Wakil Tetap Rusia, Vitaly Churkin dan Wakil Tetap China, Zhang Yesui di Majlis Keselamatan PBB

6.   Realitinya, Rusia dan China, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak pun menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang resolusi-resolusi yang meluluskan sekatan terhadap Iran. Sekali lagi saya ulangi, berdasarkan sejarah, AS sebenarnya tidak memerlukan mandat antarabangsa untuk melakukan sebarang tindakan ketenteraan terhadap mana-mana negara, dan mereka banyak kali melakukan tindakan unilateral terhadap negara lain termasuk negara yang mempunyai hubungan baik dengan Rusia iaitu Iraq pada tahun 2003.

Mengapa AS tidak menyerang Iran? 

7.   Jika AS benar-benar berpendirian bahawa Iran merupakan negara yang sangat berbahaya dan digambarkan sebagai Paksi Kejahatan (Axis of Evil) selain Iraq dan Korea Utara oleh bekas Presidennya, George W. Bush, maka AS sepatutnya telah melakukan tindakan ketenteraan di negara Syiah tersebut. Berbeza dengan Korea Utara, AS khuatir dengan ancaman perang nuklear bakal berlaku sekiranya negara itu diserang. Kewujudan senjata nuklear Korea Utara telah disahkan oleh Barat melalui bukti imej satelit dan ia turut diakui secara terbuka oleh pemerintah Korea Utara. Negara sosialis itu turut mempunyai hubungan baik dengan dua kuasa besar iaitu Rusia dan China yang bersempadan dengannya. Keupayaan peluru berpandu antara benua (ICBM) Korea Utara dikatakan mampu menjangkau ke wilayah pantai barat AS termasuk Kepulauan Hawaii. Faktor-faktor inilah menjadi penyebab utama, AS sehingga kini tidak berani mengambil tindakan ketenteraan ke atas Korea Utara. Hal yang sama berlaku ke atas Iran juga berlaku dalam kes Korea Utara, kuasa veto Rusia dan China juga tidak digunakan untuk menghalang resolusi-resolusi sekatan terhadap negara sosialis Korea itu. Justeru, alasan bahawa Rusia dan China pasti akan mempertahankan Iran dan Korea Utara di Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB adalah tertolak.

8.   Jika dalam kes Korea Utara, AS tidak berani menyerang negara terbabit kerana Korea Utara sememangnya mempunyai senjata nuklear, alasan yang sama tidak releven untuk Iran.  Dalam kes Iran ini, seperti dinyatakan sebelum ini hasil penyiasatan-penyiasatan IAEA dan PBB (malah pernah diakui Pengarah Perisikan Keselamatan AS sendiri) telah disimpulkan bahawa tidak wujud program pembangunan senjata nuklear di negara tersebut.   
                
9.   Saya konsisten dalam pendirian saya sebelum ini bahawa situasi yang berlaku di rantau Arab, Timur Tengah dan Teluk dalam beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih melibatkan strategi politik kuasa besar dunia (AS, Rusia dan China), kerajaan negara-negara Arab dan kebangkitan kumpulan Syiah. Di samping itu faktor ekonomi juga menjadi antara elemen penting dalam rangka kerja kuasa besar di situ yang mana memiliki simpanan sumber minyak terkaya di dunia.

Kemaraan Syiah perlu dikekang di Semenanjung Arab 

10.   Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerajaan-kerajaan Arab dengan pemerintahan beraja di rantau Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai kebimbangan yang munasabah dan mereka memikirkan langkah perlu diambil bagi menyekat kemaraan kumpulan pemberontak dan penentang terutama dari minoriti Syiah (kecuali di Bahrain, Syiah merupakan majoriti). Ketidak stabilan politik di negara mereka akan menggugat kedudukan kuasa raja-raja Arab tersebut. Bukan sahaja ia menjejaskan politik negara, ia secara langsung juga akan memusnahkan ekonomi negara-negara teluk yang kaya itu dan merubah landskap sosial dan agamanya. Lebih parah, Teori Domino kejatuhan mana-mana kerajaan beraja di rantau itu pasti akhirnya akan menumbangkan pemerintahan beraja lain termasuk Keluarga Diraja Saud di Arab Saudi. Kekacauan dan pertumpahan darah di negara yang terletaknya dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah itu pastinya akan merugikan umat Islam. Bukan sahaja ia mengganggu ibadah haji dan umrah jutaan umat Islam setiap tahun tetapi juga mengakibatkan kematian mungkin ratusan ribu rakyat tidak berdosa, selain menimbulkan persepsi negatif bukan Islam terhadap umat Islam di Semenanjung Arab, tempat kelahiran Islam dan dua kota suci itu.

11.   Oleh sebab itulah, negara-negara Arab di rantau Teluk dilihat mempunyai hubungan baik dengan AS, malah mereka sanggup membenarkan penempatan tentera AS di negara mereka. Beberapa faktor yang menatijahkan dasar luar mereka itu ialah disebabkan tidak mahu berkonfrontasi dengan kuasa besar demi kelangsungan pemerintahan mereka. Mereka khuatir AS bertindak melakukan regime change (perubahan rejim) seperti mana berlaku di banyak negara yang berkonfrontasi dengan negara Uncle Sam sama ada melalui dukungan politik, sekatan ekonomi atau tindakan ketenteraan.   

12.   Saya membangkitkan persoalan di mana tindakan Syria, Iran dan Hizbullah semasa penduduk Palestin diserang bagi mengenepikan persepsi yang ditonjolkan oleh pihak tersebut dan penyokong mereka, bahawa Syiahlah sebenar-benar pejuang Islam sejati yang berani mempertahankan umat Islam dan melawan AS serta Israel. Hakikatnya, ia adalah sebaliknya. Mereka sibuk mempromosikan Hari Al-Quds Sedunia yang digagaskan oleh Khomeini tetapi fakta menunjukkan terlalu sedikit yang mereka lakukan untuk membantu rakyat dan bumi Palestin. Seteruk-teruk raja-raja Arab, merekalah yang menjuarai bantuan kemanusiaan dan dukungan politik kepada Palestin termasuk Hamas dan Fatah. Sunnilah yang berjuang mempertahankan bumi Palestin dan berusaha mengembalikan penguasaan di kota ketiga tersuci umat Islam iaitu Baitulmuqqadis.

13.  Presiden Iraq yang berfahaman Sunni dari Parti Sosialis Ba’ath, Saddam Hussein mungkin dipandang buruk oleh sebahagian pihak. Namun demikian, beliaulah pemimpin Arab yang berani bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu Scud milik Iraq ke negara haram Israel apabila rakyat Palestin diserang oleh tentera zionis. Ironinya, pemimpin Syiah dari Parti Sosialis Ba’ath seperti Hafez Al-Assad dan kemudian anaknya Bashar Al-Assad yang memimpin Syria, negara jiran kepada Israel dan Palestin serta mempunyai kekuatan ketenteraan yang seimbang seperti Iraq tidak pernah mengambil sebarang tindakan ketenteraan untuk menyokong rakyat Palestin seperti mana dilakukan oleh Saddam. Begitu juga Iran yang kononnya digambarkan paling berani di kalangan dunia Islam, juga tidak seberani Iraq di bawah Saddam Hussein.

14.   Saya tidak menafikan bahawa Saddam Hussein bukanlah pemimpin yang mempunyai rekod bersih atau baik dalam pemerintahannya. Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah bagi membuka minda sesetengah pihak yang dimomok-momokkan bahawa Syiah Iran adalah negara Islam sebenar dan dalam konfrontasi Iran dengan negara-negara Islam lain, Iran sentiasa di pihak yang benar kerana keluhuran dasar luar mereka.






15.   Mesej yang ingin disampaikan di sini ialah sebarang ugutan AS mahu menyerang Iran hanya satu gimik dan aktiviti dasar luarnya yang agresif ke atas Iran ketika ini lebih bersifat retorik dan propaganda. Ia diambil untuk mengekalkan hegemoni mereka di rantau Timur Tengah dan Teluk. Saya percaya bahawa AS tidak akan menyerang Iran kerana kewujudan Kerajaan Syiah Iran penting dalam menimbulkan kebimbangan dan Syiahofobia di kalangan negara-negara Arab terutama negara yang diperintah oleh dinasti raja. Kelompok minoriti Syiah memang diketahui dan terbukti dalam sejarah Islam sentiasa mewujudkan pertelagahan dengan kerajaan yang dipimpin oleh Sunni. Pertumpahan darah tidak dapat dielakkan apabila kehadiran mereka dalam jumlah yang besar dalam wilayah Sunni.

16.   Keadaan ini berlaku kerana akidah dan amalan ritual Syiah itu sendiri bersifat sensitif kepada umat Islam apabila mereka mencerca dan mengkafirkan para isteri dan sahabat Nabi r.a. seperti A’isyah, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, ‘Uthman Ibnu ‘Affan dan lain-lain. Umat Islam mana tidak marah atau tersinggung apabila tokoh terbilang Islam diperlakukan sebegitu rupa. Ditambah lagi ‘fatwa-fatwa’ songsang dan keterlaluan ulama Syiah seperti Khomeini dalam kitabnya, Al-Thaharah yang menulis A’isyah, Zubair, Thalhah dan Muawiyyah lebih kotor dan keji daripada anjing dan babi!

Bahaya Syiah kepada umat Islam 

17.   Benar kata-kata yang menyebut bahawa di mana ‘ada’ Syiah di situ akan berlaku konflik dan perpecahan ketara antara umat Islam. ‘Ada’ di sini adalah merujuk kepada kehadiran mereka dalam bilangan yang agak besar dalam kawasan majoriti umat Islam.

18.   Pengkafiran antara Sunni dan Syiah akan melahirkan pertumpahan darah, apabila darah akan dianggap halal oleh kedua-dua pihak yang bertelagah terutama apabila ‘sarang tebuan dijolok’ dengan penghinaan yang keterlaluan terhadap Ummahat Al-Mukminin dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Sebaliknya, Sunni tidak pernah menghina mana-mana tokoh agung Syiah dari kalangan Ahli Al-Bait serta keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Malah Sunni menyanjung dan menganggap nama-nama seperti Imam Zaid bin 'Ali dan Imam Ja'afar Ash-Shoodiq juga sebenarnya adalah merupakan tokoh berwibawa dari kalangan mereka, bukannya tokoh Syiah Rafidhah seperti didakwa.

19. Dalam saling berbunuhan dan saling berbalas serangan ini, saya tidak hanya menyandarkan kepada keganasan oleh puak Syiah semata-mata tetapi keganasan itu turut dilakukan oleh orang Sunni. Halnya berlaku seperti apa yang saya nyatakan sebelum ini, mereka berbalas dendam bermula dengan provokasi melampau dan tindakan Syiah yang ‘menjolok sarang tebuan’ dengan isu-isu sensitif umat Islam. Isu-isu itu melibatkan penghinaan ke atas umat Islam dan nyata bercanggah dengan akidah yang benar iaitu akidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Kekarutan dan tokok-tambah dalam akidah seperti mewajibkan beriman kepada rukun tambahan, Usūl al-Dīn mereka iaitu Al-Imāmah. Sesiapa yang tidak menurut dan beriman kepada akidah mereka itu dianggap kafir, wajib dimusuhi dan akan dihumban ke neraka. Walaupun ulama Sunni telah menghukum bahawa Syiah adalah sesat dan menyeleweng, tetapi mereka tidak sepakat dalam mengkafirkan Syiah kerana Syiah juga mengucap kalimah syahadah. Hadith-hadith shahih yang dipegangi Sunni menatijahkan ketetapan sebahagian ulama Sunni bahawa sesiapa yang mengucap kalimah syahadah tetap dianggap sebagai saudara seagama walaupun mereka menyeleweng akidah (tetapi menyembunyikannya secara zahir). Seseorang boleh dihukum kafir hanya apabila tiada lagi hujah menjustifikasi keIslaman dan keimanan mereka.

20.   Kelicikan Syiah ialah mereka dapat meneruskan kelangsungan fahaman mereka dalam masyarakat Islam melalui senjata taqiyyah. Amalan taqiyyah menjadi satu syariat dan kewajipan bagi penganut Syiah apabila berhadapan dengan Sunni. Mereka secara nyata mengkafirkan Sunni seperti mana dijelaskan dalam kitab-kitab muktabar pegang mereka tetapi kerana taqiyyah bagi mendekatkan (usaha taqrib) Sunni-Syiah, mereka berpura-pura menerima Sunni sebagai saudara mereka. Hakikat ini telah disedari oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sendiri yang dahulu pernah menjuarai usaha taqrib Sunni-Syiah di peringkat antarabangsa.


Ayatollah Seyyed Ali Hosseini Khamenei merupakan pemimpin agung Iran kini yang menggantikan Imam Ruhollah Khomeini

21.   Tanpa kewujudan negara Syiah yang kuat seperti Iran, kelompok Syiah di rantau Arab terutama negara-negara Arab beraja tidak mampu berpaut dan dibantu sama ada dari sudut dana kewangan, psikologi dan sokongan antarabangsa. Keresahan mereka tentang ancaman kelompok ini akan hilang, maka kerajaan-kerajaan beraja di rantau Teluk mungkin tidak lagi memerlukan kehadiran AS dalam mengekang ancaman negara Iran dan Syiah. Inilah antara strategi geo-politik AS dan negara-negara Arab.

22.   Rumusannya ialah AS masih memerlukan kehadiran negara Iran bagi mewujudkan kebergantungan negara-negara Teluk yang diperintah oleh raja-raja Arab terhadap ancaman kebangkitan kelompok Syiah yang mula mendapat kembali nafas selepas Revolusi Iran pimpinan Khomeini. Tidak boleh dinafikan lagi, Syiah dianggap ancaman besar kepada negara-negara Teluk dengan pemerintahan beraja seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. Enam buah negara ini telah membentuk satu pakatan bersama melalui Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC). Ancaman kelompok Syiah bukan perkara baru dalam dunia Islam, bahkan ia telah tercatat dalam sejarah lampau kerajaan Islam sejak zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin lagi yang mengakibatkan pertumpahan darah banyak berlaku kerana konfrontasi Syiah dan pemerintah. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan tentera Mongul Tartar juga berpunca dari pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah bernama Alauddin Ibnu Al-Alqami dan seorang menteri Syiah bernama Nashiruddin Ath-Thusi. Di era moden ini, Iraq dan Afghanistan menjadi contoh bagaimana kerjasama di sebalik tabir dan terbuka antara Syiah dan Amerika Syarikat telah berjaya menumbangkan Kerajaan Saddam Hussein di Iraq dan Kerajaan Taleban di Afghanistan.  Sememangnya jelas kekhuatiran mereka ketika ini adalah berasas jika dilihat kepada kegiatan-kegiatan anti-kerajaan yang digerakkan oleh kumpulan Syiah terutama di Bahrain dan Arab Saudi beberapa tahun kebelakangan ini.

Politiking Raja-Raja Arab di Negara Teluk 

23.   Pada masa yang sama AS bersama negara-negara Barat lain memanipulasikan kesempatan ini untuk mengaut sebahagian kekayaan dan mengekploitasi hasil minyak negara-negara Teluk terbabit. Selain itu, perlumbaan untuk membeli kelengkapan persenjataan juga menguntungkan mereka, kerana negara-negara Teluk yang kaya sanggup berbelanja berbilion dolar AS setiap tahun untuk tujuan menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan termasuk dari Iran dan Al-Qaeda. Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, walaupun mempunyai hubungan diplomatik dengan Iran, tetapi hubungan itu dianggap umpama ‘api dalam sekam’. Kehadiran AS di rantau itu sebagai kuasa besar dengan mempunyai pangkalan tentera juga turut mempengaruhi dasar luar kerajaan-kerajaan negara Teluk yang pro-Barat.
Enam pemimpin Sunni dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE bersidang di Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2012

24.   Justeru, saya berpendirian bahawa perkembangan politik antara AS dan Iran yang agresif seolah-olah AS konon terlalu ingin menghapuskan Iran dalam peta dunia adalah suatu ‘permainan wayang’ kuasa dunia itu, dan kebanyakan perang mulut antara kedua-dua negara terbabit adalah bersifat retorik semata-mata. Saya tidak menolak kemungkinan, Iran mungkin akan dikenakan tindakan ketenteraan suatu hari nanti sekiranya sebuah negara Syiah baru yang kuat berdiri di rantau tersebut, sebagai contoh Iraq.

25.   AS, Israel dan Barat mendapat keuntungan dari pertelagahan Sunni-Syiah, dan mereka pasti tidak bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan salah satu pihak tersebut, melainkan membiarkan mereka sendiri bertelagah yang akhirnya melemahkan kekuatan Islam sendiri. Perang saudara berasaskan agama antara Sunni-Syiah lebih sukar ditamatkan berbanding perang konvensional antara negara. Demikianlah realiti yang perlu difahami dan telah pun difahami oleh musuh Islam sebagai senjata mereka menghadapi kemaraan Islam di dunia.

26.   ‘The enemy of my enemy is my friend’ (musuh kepada musuhku adalah temanku) atau dalam Bahasa Arabnya “عدو عدوي هو صديقي” pernah menjadi ungkapan popular yang digunakan oleh wartawan kanan Barat semasa Perang Teluk 1 dahulu. Ungkapan yang berasal dari pepatah Arab "أنا وأخي على ابن عمي وأنا وابن عمي على الغريب" merupakan kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi politik negara Teluk ketika ini. Negara Syiah Iran walaupun dilihat bermusuh dengan AS, tetapi pada masa yang sama mereka boleh menjadi rakan subahat antara satu sama lain apabila ‘menganyang’ Sunni seperti mana telah berlaku di Iraq. Begitu juga sebaliknya berlaku kepada negara-negara Teluk di bawah pemerintahan Sunni, mereka juga dilihat sanggup bersekongkol dengan AS untuk menghalang kemaraan Syiah yang mengancam pemerintahan dan negara Sunni.


Nota kaki:

Umumnya, para ulama telah membahagikan Syiah kepada tiga kelompok yang terbesar. Antara kelompok Syiah tersebut adalah Syiah yang melampau (al-Ghaliyah), Syiah Al-Imamiyyah dan Syiah Al-Zaidiyyah. Daripada tiga kelompok tersebut, terdapat banyak lagi kelompok Syiah yang terpecah daripadanya. Syiah Al-Imamiyyah mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah penganut Syiah di seluruh dunia. Mereka menjadi kumpulan majoriti di Iran, Iraq, Azerbaijan dan Bahrain serta membentuk 27 peratus penduduk Lubnan. Pengikut Alevi di Turki dan Albania serta Alawi di Syria, turut menisbahkan diri mereka sebagai Syiah Al-Imamiyyah, walaupun mereka mempunyai perbezaan ketara daripada Syiah Al-Imamiyah arus perdana. Penganut Syiah Al-Imamiyyah membentuk kumpulan minoriti di India, Pakistan, Afghanistan, Kuwait, Qatar, UAE dan Arab Saudi. Menurut al-Asy`ari, gelaran “al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk kelompok Syiah Al-Imamiyyah disebabkan mereka mendakwa bahawa kepimpinan Sayyidina Ali merupakan suatu perkara yang telah dinaskan. Mereka juga telah dinamakan sebagai Syiah Al-Rafidhah kerana mereka menolak kepimpinan (imamah) Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Selain itu, menurut Ibn Khaldun, perkataan “Al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk golongan Syiah al-Imamiyyah kerana mereka memasukkan keyakinan terhadap imam sebagai salah satu daripada syarat keimanan.

Penganut Syiah al-Zaidiyyah pula ramai terdapat di Yaman. Golongan ini merupakan pengikut Zaid bin `Ali bin Al-Husain bin `Ali bin Abi Talib. Mereka merupakan golongan Syiah yang paling hampir dengan Ahlus Sunnah Wa Jama’ah dan tidak mengkafirkan para sahabat. Ini adalah kerana, mereka berpegang dengan konsep جواز إمامة المفضول مع قيام الأفضل. Berdasarkan pegangan ini juga, mereka tidak mengkafirkan dan tidak melaknat Abu Bakr dan Umar. Selain berpegang dengan konsep Al-Taqiyyah, mereka tidak mendakwa imam-imam mereka maksum dan tidak juga mendakwa bahawa imam-imam mereka mampu menghilangkan diri seperti mana yang telah diiktiqadkan oleh golongan Isma`iliyyah. Golongan ini terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu; Al-Jarudiyyah (pengikut Abi Al-Jarud), Al-Sulaymaniyyah (pengikut Sulaiman bin Jarir al-Zaidi) – turut dikenali sebagai Al-Jaririyyah- dan Al-Butriyyah pengikut Al-Hasan bin Saleh bin Hayy).  Menurut Al-Baghdadi, golongan Al-Butriyyah dan Al-Sulaimaniyyah menghukum kafir terhadap golongan Al-Jarudiyyah disebabkan golongan Al-Jarudiyyah mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar, manakala Al-Jarudiyyah pula telah menghukum kafir terhadap golongan Al-Sulaimaniyyah dan Al-Butriyyah disebabkan mereka tidak mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan Syiah ini bersepakat dalam mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Dalam hal ini, pendapat mereka tersebut didapati selari dengan golongan Khawarij. Menurut Abu Zuhrah,  Al-Zaidiyyah terbahagi kepada dua; aliran Al-Mutaqaddimin dan Al-Muta’akhkhirin. Golongan Syi`ah aliran Al-Mutaqaddimin tidak termasuk dalam kelompok Rafidah kerana mereka masih mengiktiraf imamah Abu Bakr dan Umar. Manakala golongan Syiah aliran Al-Muta’akhkhirin termasuk dalam kelompok Rafidhah kerana mereka menolak imamah kedua-dua tokoh tersebut. Menurutnya lagi, Syiah Al-Zaidiyyah yang kini berada di Yaman lebih hampir kepada Syiah al-Zaidiyyah aliran Al-Mutaqaddimin. Untuk huraian lanjut, rujuk Ahmad Amin (1978), Duha al-Islam, j. 3, c. 12, Kaherah : Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, hlm. 275-276; al-Baghdadi, `Abd al-Qahir b. Tahir b. Muhammad (t.t), al-Farq bayn al-Firaq, Mesir : al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, hlm. 31; Muhammad Abu Zuhrah (1996), op.cit., hlm. 46.

Golongan Syiah yang melampau (Al-Ghaliyah) pula dikatakan telah pupus. Syiah Al-Ghaliyah merupakan golongan Syi`ah yang melampau dalam membesarkan Sayyidina Ali. Selain mengangkat darjat Sayyidina Ali melebihi darjat kenabian, mereka turut berpegang dengan iktikad Al-hulul dan Tanasukh Al-Arwah dengan mendakwa bahawa Allah menyerap masuk ke dalam jasad Nabi Muhammad, Ali, Al-Hasan, Al-Husain dan Fatimah. Mereka turut mendakwa bahawa imam-imam mereka adalah tuhan dan menyembahnya, manakala para pengikutnya adalah hamba bagi tuhan tersebut. Di samping itu, mereka mengingkari hari kiamat, syurga dan neraka dan berkeyakinan bahawa dunia ini tidak akan binasa. Mereka juga telah menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti perempuan-perempuan ajnabi, daging khinzir, arak dan judi. Menurut al-Asy`ari, kelompok Syiah Al-Ghaliyah ini terpecah kepada lima belas kelompok iaitu; al-Bayaniyyah, Al-Janahiyyah, Al-Harbiyyah, Al-Mughiriyyah, Al-Mansuriyyah, Al-Khattabiyyah, Al-Ma`mariyyah, Al-Bazighiyyah, Al-`Umayriyyah, Al-Mufaddaliyyah, 11 (tiada nama), 12 (tiada nama), al-Syari`iyyah, al-Saba‟iyyah dan 15 (tiada nama). Untuk keterangan lanjut, rujuk; al-Asy`ari (1969), op.cit., hlm. 66-88.

Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdfpemimpin Sunni dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE bersidang di Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2012.

Sumber  : http://www.mfundamentalist.blogspot.com/2013/08/koreksi-politik-antarabangsa-syiah-iran.html





No comments:

Post a Comment