Monday 10 November 2014

KENYATAAN MEDIA; PEMBELA - KERAJAAN NEGERI SEMBILAN DAN SEMUA HALI PARLIMEN PERLU BERTINDAK SEGERA!

Pihak kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ingin menyatakan kerisauan pihak kami dengan trend perkembangan terkini di dalam negara.

Prinsip-Prinsip Keluhuran Perlembagaan kini sering diserang dari segenap arah oleh pihak-pihak tertentu dengan kepentingan tertentu melalui jalan pendanaan tertentu.

Semuanya dilihat bertujuan untuk mengubah demografi Agama Negara ini daripada Islam kepada sistem sekular sepenuhnya.

Kerap kali kami telah melihat, bagaimana Artikel-Artikel penting di dalam Perlembagaan cuba dipadamkan atau dihapuskan tanpa mendapat sokongan majoriti di Dewan Parlimen. Melalui beberapa jalan semakan kehakiman, beberapa peruntukan Perlembagaan telah dinyahfungsi serta dimatikan tanpa melalui proses demokrasi yang tepat dan betul.

Terbaharu, beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan telah dianggap seolah-olah tidak pernah wujud dan tidak mempunyai apa-apa fungsi sama sekali di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan
Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Islam adalah Agama Negara. Justeru itu, setiap aspek kewujudan apa sahaja perkara di dalam negara ini, haruslah berada di dalam kerangka yang tidak terkeluar dari kerangka Islam untuk negara ini.

Apa sahaja perkara, perlakuan  atau perbuatan yang boleh mencemarkan imej serta status negara ini sebagai sebuah negara yang Islam haruslah dilarang serta disekat sebagai menghormati prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Kompromi  sumpah Yang Di-Pertuan Agong Dalam Artikel 37 (1)
Kepala Pemerintah Utama Negara ialah Yang Di-Pertuan Agong. Setiap Raja atau Sultan yang dilantik sebagai Kepala Pemerintah Utama negara diwajibkan bersumpah dengan sumpah berikut :
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.

Yang Di-Pertuan Agong telah diwajibkan oleh Perlembagaan ini untuk bersumpah bahawa baginda perlu memelihara Agama Islam pada setiap masa. Apa sahaja tindak tanduk mana-mana majlis eksekutif atau legislatif yang membuatkan kedudukan Islam dipandang hina, dirosakkan serta diancam, maka perbuatan tersebut dilihat dengan sengaja mahu mencetuskan masalah dengan membuat kompromi kepada sumpah YDP Agong.

Hak Asasi Beragama Mestilah Tidak Bercanggah Dengan Prinsip Moral 

Artikel 11 (5) menyatakan dengan jelas bahawa hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan adalah tidak termasuk kebebasan untuk melanggar prinsip-prinsip moral. Artikel 11 (5) seperti di bawah :

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Artikel 121 1(A)

Artikel 121 1(A) hanya menyekat Mahkamah Tinggi sivil dan Mahkamah yang lebih rendah daripadanya daripada mencampuri urusan keadilan di dalam Mahkamah Syariah. 

Kes Lelaki Transgender
Kelmarin  Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Pihak PEMBELA ingin merakamkan perasaan dukacita berikutan perkembangan ini dan sekaligus ingin mendesak Kerajaan Negeri Sembilan serta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk bertindak segera memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang membenarkan rayuan tiga orang lelaki Islam transgender untuk bebas berpakaian seperti wanita.

Jika ini tidak dilakukan dalam tempoh segera, keputusan ini akan menjadi satu precedent (keputusan yang mengikat) terhadap mana-mana kes serupa yang mungkin timbul pada masa akan datang.

Malah pihak PEMBELA juga ingin mendesak ahli-ahli Parlimen Islam untuk kembali melihat kepada keperluan memperkasakan Artikel 121 1 (A) dengan memasukkan semua peringkat sistem Mahkamah di dalam perundangan sivil supaya tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

Sistem Kehakiman Syariah Bakal Pupus Jika Tiada Tindakan Segera Diambil

Pihak kami gusar bahawa trend menggunakan Mahkamah Rayuan untuk mencabar setiap aspek perundangan syariah akan dilakukan sehingga sistem Kehakiman Syariah itu akan terhapus dengan sendirinya melalui semakan demi semakan kehakiman yang dilakukan.

Pihak kami kesal kerana hal ehwal mengenai pentadbiran serta sistem kehakiman Islam dalam perundangan Islam kini sudah mula ditentukan oleh pihak-pihak yang bukan Islam, tidak memahami Islam, malah tidak mempunyai kelayakan yang sepatutnya untuk memahami serta membuat keputusan dalam perundangan Islam.

Pihak kami ingin merafak sembah memohon kepada Yang Di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk mempertimbangkan campurtangan di dalam hal ini supaya sumpah perjawatan YDP Agong untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa tidak terkompromi.

Pihak Kerajaan Negeri Sembilan harus segera mengambil tindakan memfailkan rayuan tanpa bertangguh lagi.

Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara

Ustaz Mohamed Hafiz Bin Mohamed Nordin
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) 

SUMBER : www.bangkit.info/2014/11/kenyataan-media-pembela-kerajaan-negeri.html

No comments:

Post a Comment