Najib Razak masih enggan berundur. Ini berita amat buruk untuk rakyat Malaysia. Sabar dahulu. Berita buruk Najib Razak enggan berundur ini juga adalah berita yang amat baik.
Dalam ilmu falsafah perkara sedemikian dipanggil “kesatuan yang bertelagah” atau “unity of the opposite’.
Dalam tulisan ini saya akan beri pencerahan untuk memahami bagaimana berita buruk ini boleh menjadi baik. Ini samalah seperti kita memahami bagaimana tahi lembu atau najis manusia boleh membantu manusia.
Bersih berjaya menghasut 500,000 orang rakyat Malaysia turun ke jalan raya. Ini adalah tanda undi tidak percaya kepada Najib Razak.
Sesudah BERSIH 4, kita terus membaca pelbagai berita yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi gambaran bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak masih enggan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia. Suami Rosmah semakin dilihat degil.
Kenyataan dan tindakan politik Najib saban hari menyakinkan saya dan meyakinkan warga Malaysia bahawa suami Rosmah ini ingin terus berkuasa sampai hari kiamat. Suami Rosmah mahu terus memimpin parti United Malays National Organisation dalam PRU14.
Buktinya, paling baru ialah kenyaatan Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB). Bekas pegawai polis ini membocorkan berita di mana si Rosmah Mansor turut hadir dalam satu “mesyuarat tergempar”.
Mesyuarat tergempar kerajaan ini didakwa dipengerusikan oleh Najib sendiri. Turut hadir ialah Zahid Hamidi dan pegawai tinggi kerajaan.
KUASA BOMOH
Apa ke jadahnya Rosmah Mansor berada dalam mesyuarat tergempar kerajaan? Ini satu pertanyaan tapi dalam masa yang sama ianya juga satu kenyataan. Ini yang dikatakan dalam ilmu falsafah – “kesatuan yang bertelagah”.
Laporan bahawa Rosmah berada dalam mesyuarat kerajaan sebenarnya tidak lagi memeranjatkan Malaysia. Malah berita ini memperkuatkan lagi keyakinan umum bahawa sebenarnya Najib Razak ini telah menjadi bangkai bernyawa yang berlakon mengikut arahan telunjuk Rosmah Mansor.
Justeru, pembocoran berita dari bekas pegawai Cawangan Khas ini mensahih dan memperkuatkan satu lagi berita yang telah dibocorkan oleh Mahathir Muhamad.
Mengikut Mahathir, si Rosmah ini sedang menggunakan kuasa bomoh untuk mempertahankan suaminya. Menurut Mahathir, si Rosmah ini menggunakan khidmat bomoh dari India dan Jawa.
Awas, ini bukan fitnah. Ini kata-kata dari Mahathir Muhamad. Mahathir Muhamad ini bukan tukang kebun sekolah. Mahathir bukan pakcik warung. Mahathir ialah bekas perdana menteri Malaysia.
Jadi persoalan timbul – apakah ini bermakna 30 juta rakyat Malaysia sedang bertempur dengan Guru Ji – bomoh Rosmah dari India?
Sekali pandang, kesemua berita ini kelihatan seperti berita buruk. Tetapi hakikatnya semua berita ini adalah berita baik. Semua sedang membantu rakyat Malaysia untuk membenci parti United Malays National Organisation.
Kedegilan suami Rosmah ini semakin jelas dilihat. Kritikan dan tuntutan agar suami Rosmah ini melepaskan jawatan telah datang dari pelbagai sudut.
NAJIB DITIBAI KIRI DAN KANAN
Beberapa bahagian parti United Malays National Organisation telah meluluskan resolusi menuntut suami Rosmah berundur. Ini berlaku dalam mesyuarat tahunan parti.
Tidak cukup dengan ini – suami Rosmah yang juga presiden parti ini telah disaman oleh ahli parti sendiri. Saman-saman ini bersangkutan dengan kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.
Kes putar alam duit derma Tok Arab suami Rosmah ini bukan hanya ditimbulkan oleh parti pembangkang. Kes rasuah suami Rosmah ini telah menjadi kes antarabangsa.
Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa baru sahaja selesai. Malaysia dan SPRM telah menjadi tuan rumah. Dalam persidangan ini suami Rosmah telah ditibai kiri dan kanan.
Seorang demi seorang delegasi antarabangsa telah bangun bertanya tentang hal duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.
Bayangkan, dalam satu persidangan dunia seramai lebih 1,000 delegasi antarabangsa telah ketawa berdekah-dekah apabila seorang ahli Parlimen dari Kenya bertanyakan tentang duit ‘derma’ dari Tok Arab kepada suami Rosmah.
Soalan dari Kenya ini satu gambaran yang amat berat. Apabila kayu sudah condong bukan sahaja kura-kura datang memanjat malah Mat Bangla sudah berani bergayut dan berak.
Sekali lagi saya nyatakan bahawa semua ini kelihatan amat amat buruk untuk imej Malaysia. Tetapi di sebalik keburukan ini ada hikmahnya. Seperti membuat tapai, kita memerlukan masa agar ragi dan pulut betul-betul masam sebelum nikmat tapai dapat dirasakan.
MAHATHIR JADI MAHAZALIM
Masa dan waktu kedegilan suami Rosmah ini wajib dijadikan masa dan waktu untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa masanya telah sampai untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan suami Rosmah Mansor.
Rosmah Mansor dan Najib Razak kini telah menjadi ikon kebencian rakyat. Maka secara terancang, secara tersusun, orang ramai, anak-anak muda dan bakal pengundi boleh dihasut dengan menggunakan nama Rosmah Mansor.
Sekitar tahun 1998/99, saya pernah menulis bahawa Mahathir Muhamad wajib digambarkan sebagai susuk yang zalim di media. Ini merupakan pencerahan dari segi strategi politik. Kezaliman ini menjadi bahan hasutan kepada anak-anak muda untuk turun ke jalan raya.
Gerakan Reformasi berjaya – Mahathir Muhamad dinobatkan sebagai Mahazalim.
Sesudah Mahathir letak jawatan, strategi media juga beralih dari Mahathir yang zalim kepada Dolah Badawi yang bebal. Dolah digambarkan selalu tidur. Sering dolak-dalik, sering tak tahu kiri atau kanan. Sering terlupa. Malah saya mementaskan teater Tok Sloo untuk menyebarkan hasutan.
Akhirnya usaha ini berjaya – Abdullah Ahmad Badawi dinobat sebagai Mat Bebal atau Tok Sloo.
Tetapi apabila melihat ke belakang saya sedar saya telah melakukan kesilapan yang amat besar ketika itu. Kempen Mat Bebal aka Tok Sloo ini berjalan cepat.
Belum sempat ranum Dolah Badawi telah diturunkan dari takhta. Dari segi strategi politik jangka panjang, adalah amat molek jika Dolah Badawi terus berkuasa agar ‘tapai’ betul-betul ranum untuk dilingkupkan.
TUNGGU MASA
Sayang, tetapi dari kesilapan ini kita wajib mengumpul pengalaman dan jadikan kesilapan sebagai ilmu pedoman.
Justeru, pada tahap ini kempen menghasut orang ramai wajib menggunakan imej Rosmah Mansor. Ini sama saperti yang sedang dilakukan oleh Zunar dalam karikaturnya.
Imej Rosmah digunakan kerana umum sedar bagaimana Najib kini telah dibomoh dan dikontrol oleh Rosmah. Budaya bomoh dan budaya ‘nasi kangkang’ ini wujud dalam pandangan dunia alam Melayu. Justeru ianya menjadikan kerja propaganda politik senang dan ampuh.
Strategi politik berjangka panjang kita ialah agar suami Rosmah ini terus berdegil seperti perangainya hari ini. Kita harapkan Tok Bomoh yang ditaja oleh Rosmah akan sentiasa membakar kemenyan dan Guru Ji dari India akan terus membawa api sembahyang mengelilingi Putra Jaya.
Kita sedar kedegilan suami Rosmah ini sedang mengharu-birukan United Malays National Organisation. Parti ini sedang dihantui oleh krisis.
Dua kumpulan sedang mengumpul kekuatan. Satu berkumpul di belakang Muhyiddin dan satu lagi sedang dipayungi oleh Tok Bomoh Rosmah.
Ketika musuh kita huru-hara berkrisis kita juga wajib berkempen secara terbuka menuntut suami Rosmah ini meletakkan jawatan. Dari segi mengolah persetujuan politik, kita akan dilihat bebal jika tidak menuntut suami Rosmah berundur.
Tuntutan agar Najib berundur ini kita lakukan khusus untuk media dunia. Kita juga akan dilihat bebal oleh media antarabangsa jika kita tidak bangun melawan dan menuntut suami Rosmah mengundur. Justeru BERSIH 4 adalah sebahagian dari taktik untuk mengolah persetujuan media dunia.
DEMI TUJUAN SAMA
Setakat ini apa yang kita lakukan telah berjaya. CNN, BBC, NBC, RT – The Guardian, The Age, Sydney Morning Herald, South China Morning Post, The New York Times, Boston Globe, Wall Street Journal, Jakarta Post, The Times of London.. dan dan dan.... Hampir seluruh media dunia telah bersama memerangi suami Rosmah. Ini satu kejayaan.
Taktik mengolah persetujuan media barat ini digunakan oleh anak-anak muda ketika menjatuhkan Marcos. Taktik yang sama telah dijalankan ketika anak muda ke jalan raya menjatuhkan Suharto. Malah Hosni Mubarak dari Mesir jatuh terlungkup melalui gerakan jalan raya yang disadur dengan laporan media barat.
Jangan merasa segan dan malu apabila menggunakan media barat. Kita secara sedar menggunakan media barat kerana media barat ini mempengaruhi suasana pelaburan.
Kita sedar tugas utama media barat saperti New York Times, The Economist, Wall Street Journal bukan untuk memperkukuh demokrasi, hak asasi atau keadilan.
Media barat juga sama hampeh macam Utusan. Kalau Utusan menjaga kepentingan United Malays National Organisation, media barat menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.
Dalam kes suami Rosmah kita bertemu dan bekerjasama. Ini yang saya katakan “kesatuan yang bercanggah”. Kali ini kepentingan kita yang mahu menjatuhkan rejim United Malaya Nayional Organisation selari dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa.
Jangan anggap Hishamuddin Rais tidak kenal siapa di belakang CNN, atau BBC atau New York Times atau Wall Street Journal. Tetapi pada ketika ini kepentingan kita bertemu di lorong yang sama. Maka saya ucapkan ah lan wa sahlan. Lagi banyak laporan mengutuk Malaysia atau suami Rosmah lagi baik untuk warga Malaysia.
Semalam Majlis Tertinggi United Malays National Organisation bersidang. Apa yang menjadi perhatian adalah persoalan sama ada Muhyiddin dibuang atau tidak. Tetapi, jika Muhyiddin diterajang, ianya baik untuk kita. Muhyiddin tidak diterajang pun baik untuk kita.
Apa yang saya tidak mahu ialah tapai belum ranum dan suami Rosmah kena terajang. Jika ini berlaku bermakna Tok Bomoh dari India dan Jawa telah lembik. Ini sahih satu berita buruk.