Wednesday 19 July 2017

PENGASAS EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH

Osman Bin Ertugrul merupakan pengasas Empayar Turki Uthmaniyyah yang pertama. Empayar Turki Uthmaniyyah diasaskan pada tahun 1299 masihi dan berakhir pada tahun 1923 masihi apabila Mustafa Kemal Ataturk telah mengisytiharkan Republik Turki. Pada mulanya penguasa Empayar Turki Uthmaniyyah hanyalah menggunakan gelaran “bey” yang bermaksud Gabenor dalam bahasa Turki disebabkan wilayah Anatolia yang diperintah oleh Osman Bey masih dibawah kekuasaan Kesultanan Rum Seljuk yang diperintah oleh Sultan Alauddin Kaykubad.

Osman Bin Ertugrul berasal daripada suku Kayi yang merupakan salah satu cabang puak Turki Oghuz yang merupakan keturunan Qghuz Khan. Mereka juga berasal dari Asia Kecil. Suku Kayi datang ke wilayah Anatolia yang dipimpin oleh Suleyman Shah (datuk kepada Osman Bin Ertugrul). Tujuan kedatangan suku Kayi ke wilayah Anatolia adalah disebabkan serangan Mongol di Asia Kecil memaksa mereka terpaksa memohon perlindungan daripada Sultan Seljuk iaitu Sultan Alauddin Kaykubad. Walaubagaimanapun, kepimpinan suku Kayi diserahkan kepada Ertugrul Bin Suleyman Shah (bapa kepada Osman Bin Ertugrul) apabila Suleyman Shah meninggal dunia dalam perjalanan ke wilayah Anatolia.

Ertugrul Bin Suleyman Shah telah dianugerahi oleh Sultan Alauddin Kaykubad dengan sebuah wilayah Karaca Dag, sebuah pergunungan yang berhampiri dengan Angora (sekarang dikenali sebagai Ankara, ibu negara Republik Turki) atas jasa beliau berjaya membantu Kesultanan Rum Seljuk menghapuskan ancaman Empayar Byzantine. Ertugrul Bin Suleyman Shah juga dilantik sebagai Gabenor Seljuk di wilayah tersebut dengan harapan supaya Ertugrul Bin Suleyman Shah mempertahankan wilayah Anatolia daripada ancaman Empayar Byzantine. Ertugrul Bin Suleyman Shah juga berjaya menakluki Sogut dimana Sogut menjadi pusat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah yang pertama. Ertugrul Bin Suleyman Shah telah meninggal dunia pada tahun 1299 masihi dan kedudukan ketua puak Turki Kayi telah diganti oleh anak Ertugrul Bin Suleyman Shah iaitu Osman Bin Ertugrul (Osman Bey).
Osman Bin Ertugrul merupakan salah seorang ketua puak Turki yang paling berkarisma dan bersemangat untuk menentang Empayar Byzantine. Disebabkan karisma Osman Bin Ertugrul telah berjaya menarik ghazi – ghazi (Mujahiddin Islam) untuk menyertai beliau untuk menentang Empayar Byzantine. Karismatik Osman Bin Ertugrul bukan sahaja menarik minat dikalangan para ghazi, bahkan dikalangan kaum Greek yang beragama Kristian juga turut menyertai Osman Bin Erturgrul seperti Kose Mihal, yang dikatakan Putera Greek dari wilayah Harmankaya telah menyertai pasukan tentera Osman Bin Ertugrul dan bersama dengan Osman, beliau dan pengikutnya berjaya menakluki  Lefke, Meceke dan Akhisar.Osman Bin Ertugrul juga berjaya meniup semangat jihad dikalangan ghazi – ghazi Islam dan beliau akhirnya berjaya menakluki kota Yenisehir pada tahun 1299 masihi.

Osman Bin Ertugrul telah memindahkan pusat pemerintahan dari Sogut ke Yenisehir pada tahun 1299 masihi. Kejayaan Osman Bin Ertugrul telah menakluki kota Yenisehir telah menyebabkan Empayar Byzantine sukar untuk berhubung dengan kota Nicea dari kota Bursa yang merupakan tempat yang paling penting dan strategik untuk pertahanan Empayar Byzantine.
Osman Bin Ertugrul juga berjaya meluaskan kekuasaan di wilayah – wilayah di sekitar Anatolia seperti Bursa, Karatekin, Ebesuyu, Tuzpazarı, Kapucuk, Keresteci, Akcakoca dan Kocaeli. Beliau juga berjaya menewaskan tentera – tentera Byzantine berhampiran dengan Nicomedia yang merupakan pusat perdagangan yang paling strategik di mana kota tersebut melindungi perjalanan perdagang di laut yang menghubung ke kota Konstantinopel.

Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi oleh Osman Bin Ertugrul telah mengukuhkan kekuasaan beliau di wilayah Anatolia. Menurut lagenda, selepas kemenangan pertama Osman Bin Ertugrul menentang gabenor Byzantine, beliau telah bermimpi yang bulan yang terang muncul daripada dada Sheikh Edebali lalu bulan tersebut telah masuk ke dalam dada Osman Bin Ertugrul. Selepas itu, terdapat pusaran daripada pusat Osman Bin Ertugrul telah tumbuhnya pokok yang besar dan subur.

Disebalik dahan – dahan pokok tersebut, terdapat gunung – gunang yang telah mengalir air sungai yang jernih. Aliran sungai tersebut telah menjadi tempat minuman untuk orang yang dahaga. Osman Bin Ertugrul telah menceritakan kepada Sheikh Edebali (guru tarekat beliau) mengenai mimpi yang dialaminya.

Sheikh Edebali menafsir mimpi tersebut dengan mengatakan bahawa mimpi mengenai bulan bahawa Osman Bin Ertugrul akan berkahwin dengan anak perempuan Sheikh Edebali, Rabia Bala Hatun. Selanjut itu, Sheikh Edebali menafsirkan mimpi Osman Bin Ertugrul mengenai pokok dan aliran sungai yang jernih bahawa keturunan beliau akan menjadi pelindung kepada seluruh umat Islam kepada seluruh dunia dengan kata lain, Allah S.W.T telah mentakdirkan beliau dan keturunan beliau untuk menjadi Khalifah umat Islam di seluruh dunia.

Sheikh Edebali telah menasihatkan Osman Bin Ertugrul agar supaya berlaku adil dalam pemerintahan dan sentiasa berada di jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Selain itu, nasihat yang lain oleh Sheikh Edebali kepada Osman Bin Ertugrul yang berbunyi: Wahai Osman! Barangsiapa yang tidak mempelajari kesilapan masa lalu bahawa akan pasti kecundang di masa akan datang. Mempelajari kesilapan masa yang lalu supaya kamu akan sentiasa tabah dan teguh di masa hadapan. Jangan sesekali lupa akan asal – usulmu daripada kamu datang walau di mana jua kamu berada”.

Apabila Osman Bin Ertugrul berjaya menubuhkan kerajaan sendiri dan kekuasaan Turki Seljuk semakin merosot, beliau telah memperkenalkan dasar undang – undang berasaskan Islam dan bersumberkan undang – undang Turki Seljuk. Selain itu, beliau juga memperkenalkan cukai yang dikenakan ke atas barang dagangan di pasar dan bazaar yang dikenali sebagai “bac”. Selain itu, Osman Bin Ertugrul juga mengekalkan sistem Timar yang biasa digunakan pemerintah Turki Seljuk. Sistem Timar adalah sistem pembayaran upah kepada satu trup (unit) askar dalam bentuk penganugerahan pengutipan cukai daripada sebuah kawasan atas balasan untuk menjaga keamanan daripada ancaman musuh. Sebagai contoh, satu trup (unit) askar akan mengutip cukai timar daripada penduduk kampung tersebut dalam bentuk emas, perak, pedang, busur, baju kebal perang, kuda perang dan apa sahaja yang berguna untuk peperangan.

Bursa merupakan kota yang paling penting bagi Osman Bin Ertugrul kerana penaklukan kota Bursa akan memudahkan Osman Bin Ertugrul untuk menakluki kota Konstantinopel, pusat pemerintahan Empayar Byzantine. Bagi memudahkan beliau untuk menakluki Bursa, beliau telah menawan Sungai Sakarya dan Sungai Marmara pada tahun 1308 masihi. Walaubagaimanapun, kota Bursa masih menerima bantuan ketenteraan dari Empayar Byzantine dan pertahanan kubu kota Bursa amatlah kukuh dan sukar untuk ditembusi oleh bala tentera Osman Bin Ertugrul. Pada tahun 1321 masihi, beliau berjaya menawankan pelabuhan Mundaya dan ini telah menambah lagi lebih tekanan ke atas Bursa. Walaubagaimanapun, Osman Bin Ertugrul telah meninggal dunia pada tahun 1324 masihi dan usaha penaklukan telah diteruskan oleh pengganti beliau, Sultan Orhan. Kota Bursa akhirnya berhasil jatuh ke tangan bala tentera Turki Uthmaniyyah dan Sultan Orhan telah menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Sebelum meninggal dunia, Osman Bin Ertugrul pernah berpesan kepada penggantinya agar sentiasa berhati – hati dalam urusan yang melibatkan agama Islam kerana kekuatan sesebuah kerajaan bergantung dengan kekuatan iman dan taqwa penguasa. Beliau juga berpesan agar sentiasa berlaku adil dengan rakyat dan jangan sesekali berlaku kezaliman dan menindas rakyat. Osman Bin Ertugrul juga menekankan betapa pentingnya hubungan dengan rakyat dan lindungilah agama Islam dengan sentiasa mengikuti jalan Rasulullah s.a.w.
Rujukan:

Heath W. Lowry (2003), The Nature of the Early Ottoman State, SUNY Press, 17 Mar 2003.

Ahmed Akgunduz, Said Ozturk (2011), Ottoman History – Misperceptions and Truths, IUR Press, 1 Jan 2011.

Langer, W., & Blake, R. (1932). The Rise of the Ottoman Turks and Its Historical Background. The American Historical Review, 37(3), 468-505. doi:10.2307/1837961

Osman, I. “Biography of Osman I.”

Thomas A. Emmert, Primary Sources: The Battle of Kosovo: Early Reports of Victory and Defeat from Kosovo: Legacy of a Medieval Battle, https://cmes.arizona.edu/sites/cmes.arizona.edu/files/Background%20-Battle%20of%20Kosovo%20poetry.pdf


Leslie P. Peirce (1993), The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire, Oxford University Press, 1993.

Muhsin Soyudogan (2012), Reassessing the Timar System: The Case Study of Vidin (1455-1693), Department of History, İhsan Doğramacı Bilkent University Ankara, June 2012.

Osman Nuri Topbaş (2009), SOME ADVICE FROM EDEBALI, From the unique advice of Sheikh Edebali to Othman Ghazi, October 2009, https://en.osmannuritopbas.com/some-advice-from-edebali.html

ISLAM AND THE OTTOMAN EMPIRE, Lost Islamic History Website, http://lostislamichistory.com/islam-and-the-ottoman-empire/

THE BIRTH OF THE OTTOMAN EMPIRE, Lost Islamic History Website, http://lostislamichistory.com/the-birth-of-the-ottoman-empire/


No comments:

Post a Comment