Thursday, 10 August 2017

SERANGAN PEARL HARBOR: JEPUN MEMBANGKITKAN GERGASI YANG SEDANG TIDUR

Pada 7 Disember 1941 (waktu tempatan), Tentera Laut Imperial Jepun melancarkan serangan udara mengejut ke atas Tentera Laut Amerika Syarikat (US) yang berpangkalan di Pearl Harbor, Hawaii. 414 pesawat Jepun berjaya menenggelamkan 12 kapal perang dan memusnahkan 188 kapal terbang US. Tujuan serangan Jepun adalah untuk mematahkan keupayaan US untuk campur tangan dalam rancangan penaklukan Jepun terhadap Asia Tenggara. Sejam sebelum permulaan serangan iaitu pada subuh 8 Disember 1941 (waktu tempatan), Tentera Darat Imperial Jepun juga melancarkan serangan serentak ke atas Asia Tenggara dengan memasuki sempadan Tanah Melayu melalui Singora dan Pattani di Thailand dan mendarat di Kota Bharu. Tentera Jepun memasuki Kuala Lumpur pada 11 Januari 1942 dan tentera British menyerah kalah pada 15 Februari 1942.
Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Dalam masa hanya 2 bulan, Jepun berjaya mengalahkan Britain (yang menjajah Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara), Belanda (yang menjajah Hindia Timur) dan US (yang menjajah Filipina). Jepun menampilkan diri sebagai pembebas penduduk Asia dari penjajahan Barat melalui propaganda 3A yang berbunyi “Jepun Cahaya Asia, Jepun Pemimpin Asia, Jepun Pelindung Asia”. Tujuan sebenar Jepun adalah untuk menjadikan negara-negara di Asia Tenggara naungan Jepun di bawah Lingkungan Sekemakmuran Asia Timur Raya (Greater East Asia Co-Prosperity Sphere), imperialisme baru untuk mendapatkan sumber ekonomi seperti getah dan minyak.
Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Serangan Pearl Harbor telah mengorbankan 2,403 askar US. Namun ia berjaya menukar sikap orang awam terhadap Perang Dunia Kedua. Ahli-ahli politik dan rakyat US yang pada asalnya menentang penglibatan US dalam perang dunia atas sebab ketiadaan kepentingan US telah menukar pendirian 180 darjah. Kongres dengan sebulat suara (undian 82-0 di Senat dan 388-1 di Dewan Perwakilan) memberi autoriti kepada Presiden Franklin Roosevelt untuk mengisytiharkan perang ke atas Jepun dan kemudian ke atas sekutunya Jerman. Winston Churchill, perdana menteri Britain ketika itu, meluahkan perasaan “gembira” dengan tragedi ke atas US kerana tragedi tersebut memaksa US memasuki Perang Dunia Kedua. Churchill makin yakin beliau mampu mengalahkan Adolf Hitler di Eropah dengan bantuan kekuatan ketenteraan dan ekonomi US.
Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Pada asalnya, di kalangan tentera Jepun terdapat perbezaan pendapat mengenai strategi imperialis Jepun. Pemimpin Tentera Laut seperti Laksamana Isoroku Yamamoto berpandangan bahawa Jepun yang telah menguasai Manchuria sepatutnya meluaskan kuasa ke Soviet Union (doktrin perluasan ke utara atau “Hokushin-ron”), namun pemimpin Tentera Darat seperti Hideki Tojo (perdana menteri) berpendapatan Jepun seharusnya menakluk China dan Asia Tenggara (doktrin perluasan ke selatan atau “Nanshin-ron”). Keputusan untuk menakluk Asia memaksa Jepun untuk berhadapan dengan US. Dengan kata lain, “kejayaan” Jepun dalam Serangan Pearl Harbor sebenarnya bermaksud kekalahan Empayar Jepun kerana ia umpama mengejutkan gergasi yang sedang tidur lena.
 Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Tujuan Jepun menyerang Pearl Harbor hanyalah untuk melumpuhkan kuasa laut US untuk seketika, supaya Jepun dapat menguasai Asia Tenggara tanpa gangguan US. Laksamana Yamamoto sedar bahawa Jepun tidak mampu mengalahkan US dalam perang yang berkelanjutan kerana US adalah terlalu kuat dari segi sumber ketenteraan dan ekonomi. Rancangan jangka panjang Jepun adalah untuk berunding damai dengan US seusai menguasai Asia Tenggara.
Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Namun peristiwa Pearl Harbor berjaya memobilisasi semangat juang rakyat US. US kini nekad untuk “finished off the Japs”. Pada Jun 1942 (6 bulan selepas kejadian Pearl Harbor) berlaku Pertempuran Midway (Battle of Midway) di antara US dan Jepun. Dalam pertempuran tersebut US berjaya merampas penguasaan laut di Pasifik dari Jepun dengan memusnahkan 4 buah kapal induk (aircraft carrier) Jepun. 2 bulan kemudian, US mula mengambil tindakan menyerang melalui Guadalcanal di Kepulauan Solomon berhampiran Australia. US mengguna strategi “lompat katak” (leapfrogging) untuk menguasai pulau-pulau kecil strategik (Saipan, Iwo Jima, Guam, Okinawa) untuk memukul undur Jepun. US menjadikan pulau-pulau tersebut sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan udara dan sekatan laut ke atas Jepun. Kesannya, tentera Jepun telah kekurangan bahan api dan rakyat dalam keadaan kebuluran. Akhirnya, Jepun menyerah kalah dan Perang Dunia Kedua tamat pada 15 Ogos 1945, selepas US menjatuhkan bom nuklear di Hiroshima (6 Ogos) dan Nagasaki (9 Ogos).
Hasil carian imej untuk serangan pearl harbor
Peristiwa Pearl Harbor telah mengubah pemikiran strategi US sehingga hari ini dengan menyedarkan US bahawa keselamatan US hanya dapat dijamin melalui pertahanan ke depan (forward defense) di luar sempadan US, bukan menerusi dasar isolasi yang diamalkan sebelum Perang Dunia Kedua. Kini, US menjadi kuasa laut yang terunggul di Lautan Pasifik dengan menguasai Rantaian Pulau Pertama (First Island Chain) yang terdiri daripada Jepun, Taiwan, Filipina dan Rantaian Pulau Kedua (Second Island Chain) yang terdiri daripada Guam dan Kepulauan Mariana Utara. Roosevelt dalam ucapannya selepas kejadian Pearl Harbor menyifatkan 7 Disember sebagai “day of infamy” (hari yang memalukan) US; namun, ia lebih tepat disifatkan sebagai “day of destiny” yang mempersiapkan US menjadi adikuasa dunia.


No comments:

Post a Comment