Perang Dunia Kedua (WWII) ialah perang paling berdarah dalam sejarah manusia. Dalam tempoh tersebut, banyak kota musnah dan bilangan manusia yang terkorban sama ada tentera dari pihak Bersekutu atau Axis atau orang awam mencecah sehingga jutaan orang. Namun di sebalik konflik yang berlaku di medan perang, perang antara kedua-dua belah pihak ini turut dilaksanakan secara rahsia. Walaupun ianya tidaklah sehebat pertempuran di medan terbuka tetapi sekiranya ia berlaku, ia boleh mengubah perjalanan perang itu sendiri dan sejarah negara terlibat selama-lamanya. Bagi Adolf Hitler dan Nazi Jerman, ia satu peluang yang tidak akan dilepaskan begitu saja.
1. BOM COKLAT
Seperti yang kita ketahui, dengan kejayaan tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman pada tahun 1943, Hitler sedia menerima cadangan mana-mana pihak selagi mana ia membantu mereka mengalahkan pihak Bersekutu. Dan pada tahun tersebut, pembuat bom Nazi mencadangkan mereka membunuh Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dengan memasukkan bom dalam coklat. Ini didedahkan dalam satu koresponden surat antara Lord Victor Rothschild, salah seorang ketua Perkhidmatan Keselamatan (MI5) dengan seorang artis, Laurence Fish bertarikh 4 Mei 1943 dan ditulis dari bunker rahsianya di Parliament Street, London. Dalam surat tersebut, Rothschild meminta Fish melakar bom coklat yang dicipta pihak Nazi Jerman.
Menurut keterangan surat tersebut, bom itu dibuat dari besi, disaluti dengan salutan nipis coklat, dilengkapi bahan letupan berkuasa tinggi dan mengandungi mekanisme penangguhan selama tujuh saat. Bom coklat tersebut boleh diaktifkan apabila coklat itu ditarik dengan laju. Pihak Nazi Jerman merancang menyelitkan bom coklat tersebut dalam ruang makan di mana Churchill dan barisan Kabinet mengadakan mesyuarat. Berikutan itu, pihak MI5 mengeluarkan lakaran Fish untuk dihebahkan pada orang ramai dan menggesa mereka melaporkan sebarang item yang mencurigakan termasuk coklat kepada pihak berkuasa.
2. PLOT PEMBUNUHAN POPE PIUS XII
Figure 1: Pope Pius XII merupakan antara pengkritik keras dasar-dasar kerajaan Nazi Jerman.
Bukanlah satu kejutan hubungan pihak gereja terutama Vatican dengan Nazi Jerman dingin. Dan ini diburukkan lagi dengan kritikan keras Pope Pius XII ke atas kerajaan pimpinan Hitler. Bagi Nazi Jerman, tiada siapa boleh menghalang mereka untuk menguasai dunia termasuk pihak Vatican.
Justeru, satu operasi dipanggil Operasi Rabat dirancang pada tahun 1943. Berdasarkan maklumat, sepasukan komando Schutzstaffen (SS) menyamar sebagai tentera Itali akan menyerang Vatican pada waktu malam dan menculik beliau. Pasukan Wehrmacht yang tidak tahu-menahu rancangan ini akan menyerbu masuk dan membunuh ‘komando’ yang bertindak liar ini. Pada ketika itu, semasa pertempuran berlaku, Pope Pius XII dibunuh dan kematiannya akan disembunyikan sebagai kemalangan. Sekiranya beliau terselamat, beliau dibawa ke Jerman atas sebab keselamatan. Ini membolehkan pihak Nazi Jerman menghapuskan ancaman Vatican sambil menyalahkan pihak Itali atas insiden tersebut.
Atas sebab itu, Hitler mengarahkan jeneral SS di Itali, Karl Friedrich Otto Wolf untuk melaksanakan rancangan tersebut. Namun, Wolf tidak melaksanakan rancangan tersebut sebaliknya mengatur satu pertemuan rahsia dengan Pope Pius XII. Dengan bantuan seorang paderi dan memakai pakaian biasa, beliau bertemu dengan Pope Pius pada waktu malam dan mendedahkan maklumat Operasi Rabat. Wolf turut memberi jaminan beliau sama sekali tidak berminat melaksanakan arahan Fuhrer itu namun menyatakan situasi di Rom agak mengelirukan dan merbahaya pada ketika itu. Berikutan itu, Pope Pius meminta Wolf melepaskan dua pemimpin penentang Itali yang akan dihukum mati, satu permintaan yang ditunaikan oleh beliau. Pendedahan maklumat ini dibuat oleh satu akhbar Roman Katolik Itali yang terkemuka, Avvenire.
3. MERAMPAS PESAWAT HITLER.
Figure 2: Hitler bersama juruterbangnya, Hans Baur. Sumber: http://www.express.co.uk/news/uk/226234/RAF-plot-to-grab-Hitler-by-making-his-pilot-a-secret-agent
Bukanlah satu kejutan banyak rancangan untuk membunuh atau menahan Hitler dari plot 20 Julai hingga cubaan penahanan oleh Field Marshall Erwin Rommel. Satu dokumen Tentera Udara Diraja Britain (RAF) mendedahkan rancangan mereka untuk melencongkan pesawat Hitler ke Britain selepas berjaya menyakinkan juruterbang beliau, Hans Baur untuk berpaling tadah. Berdasarkan dokumen tersebut, pesawat itu akan mendarat di Padang Terbang Lympne di Kent di mana Hitler akan dibawa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke London untuk disoal siasat. Dan berdasarkan dokumen itu juga, askar-askar yang mengawal meriam-meriam anti-pesawat diberi arahan tegas untuk tidak menembak pesawat tersebut. Rancangan tersebut diaturkan selepas pihak perisikan mendapat maklumat Baur mahu berpaling tadah menerusi maklumat menantunya, Kiroff kepada Atase Pejabat Ketenteraan Britain di Sofia, Bulgaria. Kepimpinan tertinggi RAF mengetahui rancangan ini termasuk Sir Arthur ‘Bomber’ Harris. Pesawat dijangka mendarat pada 25 Mac 1941 dan RAF turut mengaturkan bilangan tentera yang ramai dan persenjataan lengkap untuk menyambut ‘High Value Individual’ (HVI) ini. Namun, penerbangan tersebut tidak pernah sampai dan Baur terus kekal setia dengan Hitler.
4. CUBAAN BUNUH ERWIN ROMMEL.
Figure 3: Rommel menjadi sasaran dua cubaan bunuh oleh pihak Britain.
Seperti kita ketahui, kehebatan dan kewibawaan Erwin Rommel bukan saja disanjungi kawan bahkan dihormati dan digeruni oleh pihak lawan. Britain sedar mereka boleh memberi pukulan psikologi pada moral tentera Jerman dengan membunuh atau menculik Rommel. Pada 10 November 1941, 53 komando elit Pasukan Khas Udara (SAS) yang dibawa dua kapal selam iaitu HMS Torbay dan HMS Talisman mendarat di Pantai Khashm al-Kalb, berhampiran dengan lokasi markas pusat Rommel. Berikutan cuaca buruk, hanya 30 komando dan pegawai saja berjaya mendarat. Matlamat operasi ialah:
i. membunuh Rommel di Sidi Rafa;
ii. memusnahkan rangkaian komunikasi dan markas pusat Itali berhampiran;
iii. mensabotaj Pejabat Perisikan Itali di Appolonia dan rangkaian komunikasi antara Faidia dan Lamdula; DAN
iv. mensabotaj bahagian belakang pergerakan pasukan Axis.
Operasi Flipper gagal mencapai matlamat yang ditetapkan dengan dua komando terbunuh, 3 orang tercedera dan 25 lagi ditawan unit Afrika Korp. Hanya dua komando saja berjaya melarikan diri iaitu Leftenan Kolonel Robert Laycock dan Sarjan Jack Terry. Pihak Jerman pula kehilangan empat anggota. Sasaran utama SAS iaitu Rommel tiada semasa serangan berlaku berikutan lewat tiba dari Rom akibat cuaca buruk. Apabila mendapat tahu tentang operasi tersebut, beliau berkata, “Ia satu operasi bagus dan dengan penuh keberanian.”
Satu lagi operasi dirancang sejurus selepas peristiwa D-Day. Kali ini di Perancis menerusi Operasi Gaff, komando-komando SAS akan mendarat berhampiran sebuah villa yang menjadi markas pusat Rommel. Namun setibanya mereka di villa tersebut, Rommel tidak kelihatan atas sebab yang tidak disengajakan. Beberapa jam sebelum itu, kenderaan Rommel ditembak bertubi-tubi oleh sebuah pesawat RAF yang menyebabkan kenderaan beliau kemalangan dan beliau mengalami keretakan di bahagian tengkorak. Akibat insiden tersebut, Rommel terpaksa dibawa ke hospital. Bagi komando-komando SAS ini pula, mereka diberi arahan menyerang hendap kereta api dan unit-unit tentera Jerman termasuk markas mereka di Mantes sepanjang perjalanan bergabung dengan tentera Amerika Syarikat.
5. MENCULIK PUTERA EDWARD.
Figure 4: Nazi Jerman mahu menjadikan Putera Edward VIII sebagai raja boneka mereka di Britain sekiranya berjaya mengalahkan Britain.
Putera Edward, sebelumnya dikenali sebagai Raja Edward VIII sebelum turun takhta untuk berkahwin dengan Wallis Simpson pada tahun 1936. Bagi pihak Nazi Jerman, sekiranya mereka berjaya menawan Britain, mereka merancang menabalkan Putera Edward sebagai raja baru Britain sebagai tukaran kepada sokongan baginda pada mereka. Ini berdasarkan satu telegram di mana pihak Nazi mahu menculik baginda dan isterinya semasa mereka tiba di Portugal selepas melarikan diri dari kediaman mereka di Paris selepas kejatuhan Perancis pada tahun 1940. Telegram tersebut turut mendakwa kedua-dua Duke dan Duchess of Windsor tidak menolak cadangan yang diutarakan pihak Jerman itu. Bagi mengelak kedua-duanya terpengaruh dengan pihak Nazi, kerajaan Britain menghantar mereka untuk tugasan diplomatik di Bahamas. Bagi telegram-telegram ini pula, Churchill berusaha memadamkan sebarang jejak membabitkan telegram tersebut termasuk merayu kepada Dwight Eisenhower untuk tidak memasukkan telegram tersebut dalam sejarah senarai konflik Amerika Syarikat. Ini kerana berdasarkan maklumat, Putera Edward tidak tahu-menahu mengenai rancangan tersebut. Churchill merancang untuk tidak mendedahkan dokumen tersebut selama 10 atau 20 tahun tetapi ia akhirnya timbul pada tahun 1957. Putera Edward menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam plot tersebut dan menganggap ia satu penipuan.
6. CUBAAN BUNUH STALIN.
Figure 5: Hitler mahu Stalin dibunuh bagi melemahkan moral tentera Soviet yang berjuang di Barisan Timur.
Seperti Hitler, Josef Stalin tidak terlepas dari menjadi sasaran pembunuhan ramai pihak termasuk bekas sekutunya itu. Dan ini direalisasikan pada tahun 1939 apabila Nazi Jerman dan Jepun bekerjasama menghantar beberapa pembunuh berketurunan Rusia menyusup masuk dalam resort percutian peribadi Stalin di Sochi. Namun, rancangan tersebut gagal apabila pengawal sempadan menembak mati pembunuh-pembunuh ini semasa cuba menyusup masuk ke dalam sempadan Rusia.
Pada tahun 1944, Hitler yang semakin terdesak melancarkan Operasi Zeppelin. Pada Mei 1942, seorang tentera Rusia bernama Shilo/Polito/Polikov berpaling tadah kepada Nazi Jerman dan mula bercakap besar tentang pingat-pingat yang diterimanya dan hubungan dengan kepimpinan tertinggi ketenteraan Rusia atau Stavka. Ejen ini menggunakan nama Pyotr Ivanovich Tavrin iaitu identiti seorang mejar tentera Rusia yang cedera dan diberi latihan menyeluruh oleh pihak Jerman. Rancangan operasi ini ialah membawa Tavrin dan isterinya, Lidia Yakovlena Shilova iaitu seorang operator radio ke padang terbang di wilayah Moscow. Dari situ, mereka akan dibawa ke Moscow untuk membunuh Stalin atau mana-mana pegawai tinggi Soviet pada 25 Oktober iaitu tarikh ulang tahun Revolusi Oktober.
Pada malam 3-4 Disember, sebuah pesawat Luftwaffe berlepas dari Riga, Latvia dan ditembak oleh krew anti-pesawat Rusia. Ini memaksa pesawat membuat pendaratan cemas di Smolensk. Pihak perisikan Rusia (SMERSH) menjumpai pesawat tersebut dan menemui pelan rancangan tersebut. SMERSH mengambil keputusan menunggu di tempat pendaratan kumpulan tersebut dan mengarahkan pos-pos kawalan berjaga-jaga. Tavrin dan isterinya mengambil sebuah motosikal dan memulakan perjalanan ke Moscow. Setibanya mereka di sebuah pos kawalan, pengawal pos mendapati mereka berdua dilihat mencurigakan berikutan pakaian mereka yang kering sedangkan pada ketika itu, hujan turun membasahi bumi. Tavrin dan isterinya segera ditahan bersama krew penerbangan mereka. Krew Luftwaffe ini dihukum bunuh pada Ogos 1945 sementara Tavrin dan isterinya dihukum bunuh pada Mac dan April 1952.
7. CUBAAN BUNUH ‘BIG THREE’
Figure 6: Big Three yang menjadi sasaran Hitler iaitu Franklin D. Roosevelt, Josef Stalin
dan Sir Winston Churchill.
Bila berbicara tentang Operasi Long Jump iaitu cubaan bunuh ke atas Franklin D. Roosevelt, Stalin dan Churchill pada tahun 1943, ramai sejarawan dan cendekiawan berdebat tentang kesahihan dan kewujudan operasi ini. Ini kerana pihak bertanggungjawab yang mendedahkan plot tersebut ialah pihak Rusia. Berdasarkan rancangan, sepasukan perisik menjejak ketiga-tiga pemimpin ini sebelum membunuh mereka secara serentak. Operasi ini dijalankan semasa Persidangan Big Three di Tehran, Iran. Persidangan ini ialah satu persidangan rahsia di mana semua pemimpin berusaha menyembunyikan kehadiran mereka. Namun, ketibaan Churchill di Tehran disambut meriah oleh tuan rumah mendedahkan mereka kepada kesukaran untuk berahsia.
Setibanya di Iran, pasukan pembunuh ini akan menuju ke rumah selamat mereka di Tehran. Salah seorang anggota terlibat ialah seorang pengkhianat dari Rusia yang akan menyamar sebagai sebahagian unit keselamatan Tentera Merah untuk Stalin. Peranan ejen ini ialah membekalkan maklumat perisikan dan mencari peluang bagi ejen-ejen Jerman untuk membunuh ketiga-tiga tokoh ini. Pihak Jerman tahu akan persidangan ini berdasarkan koresponden surat antara London, Moscow dan Washington D.C yang dibocorkan seorang valet yang berkhidmat di Kedutaan Britain di Ankara, Turki.
Namun operasi ini digagalkan oleh dua individu iaitu ejen talam dua muka dari Switzerland, Ernst Merser dan salah seorang anggota pasukan pembunuh, Hans Ulrich von Ortel. Merser yang berkhidmat untuk Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI6) membocorkan tugasannya untuk mengangkut bekalan-bekalan Jerman ke Tehran kepada pengendalinya. Sementara bagi von Ortel pula, kesilapannya ialah terlalu asyik untuk mengorat sampai terlepas cakap maklumat penting berkenaan pasukannya. Orang yang cuba digodanya ialah Lydiya Lissovskaya, kekasih kepada ejen talam dua muka dari Rusia, Nikolai Kuznetsov. Von Ortel mendedahkan kepada Kuznetsov bahawa beliau menerima tugasan penting tetapi bila bersama dengan Lissovskaya, beliau terlepas cakap keinginannya membawa pulang permaidani Parsi selepas menyelesaikan misi berikutnya. Ini diburukkan lagi dengan tindakan pihak SMERSH menyusup masuk dalam pasukan tersebut sekaligus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan mereka. Belum campur lagi hakikat ketiga-tiga pemimpin ini dilindungi oleh 3,000 ejen Soviet.
RUJUKAN:
1. Pullella, Philip. (2005). Boston Globe. Hitler plot to kidnap Pope Pius XII revealed. http://archive.boston.com/news/world/europe/articles/2005/01/16/hitler_plot_to_kidnap_pope_pius_xii_detailed/
2. Dixon, Cyril. (2011). Daily Express. RAF plot to grab Hitler by making his pilot a secret agent. http://www.express.co.uk/news/uk/226234/RAF-plot-to-grab-Hitler-by-making-his-pilot-a-secret-agent
3. Silverman, Rosa. (2012). The Telegraph. ‘Death by chocolate’ plot to kill Sir Winston Churchill. http://www.telegraph.co.uk/history/9405919/Death-by-chocolate-plot-to-kill-Sir-Winston-Churchill.html
4. Marc V. (2013). Listverse. 10 Bizarre WWII Kidnap And Assassination Attempts. https://listverse.com/2013/12/13/10-bizarre-wwii-kidnap-and-assassination-attempts/
5. Linning, Stephanie. (2015). Daily Mail. Operation Long Jump: New book claims Hitler plotted to assassinate Churchill, Stalin and Roosevelt in one go at Tehran summit. http://www.dailymail.co.uk/news/article-3343871/Operation-Long-Jump-New-book-claims-Hitler-plotted-assassinate-Churchill-Stalin-Roosevelt-Iranian-summit.html
6. Travis, Alan. (2017). The Guardian. Churchill tried to suppress Nazi plot to restore Edward VIII to British throne. https://www.theguardian.com/uk-news/2017/jul/20/winston-churchill-nazi-telegrams-uk-royals-edward-cabinet-papers