Showing posts with label Dongeng. Show all posts
Showing posts with label Dongeng. Show all posts

Thursday, 24 May 2018

HISHAMUDDIN RAIS : "MERAKAM SEJARAH - FAKTOR MAHATHIR"

Image result for hishamuddin rais
Anak semua bangsa, bangsa semua agama, warga Malaysia telah berjaya menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Ini satu kemenangan. Justeru saya wajib menulis untuk merakamkan detik-detik kemenangan ini.

Parti United Malays National Organisation (UMNO) yang ditubuh pada 11 Mei 1946 dan didukung oleh Inggeris akhirnya telah dapat ditumpaskan dan dinyahkan dari kuasa oleh gerakan anak semua bangsa - bangsa semua agama.

Saya amat gembira apabila melihat Najib dan Rosmah tidak melarikan diri pada 12 Mei 2018. Pesawat jet peribadi yang dikatakan dihantar dari Jakarta telah dikepung oleh anak anak muda di lapangan terbang Subang.

Saya akan dituduh munafik jika saya tidak mengakui betapa gembiranya saya apabila melihat Razak Baginda, Arul Kanda, Habibul Rahman dan puluhan orang-orang jahat suku sakat Najib yang didakwa cuba menghilangkan diri, atau mula menenggelamkan diri dari diketahui orang ramai.

Saya amat amat gembira bila musuh saya dalam kesusahan. Saya gembira bila musuh saya dalam kesakitan. Saya gembira bila musuh saya masuk ke dalam penjara. Jangan salah baca, pilihan raya ialah perang tanpa senjata. Perang bersenjata berlaku apabila politik undi mengundi gagal.

Kegembiraan dari saya ini bukan dendam. Saya tidak memiliki sifat dendam. Gembira melihat Najib masuk penjara bukan bermakna berdendam.

Pada hemat saya hidup membawa dendam pasti satu hidup yang amat berat - mengheret dendam ke hulu ke hilir. Hishamuddin Rais tidak berdendam. Hishamuddin Rais hanya gembira apabila Najib dan Rosmah masuk penjara. Amin.

Para pembaca akan menipu diri sendiri apabila tidak mengakui bahawa kita semuanya bergembira apabila Najib dan Rosmah ditangkap, didakwa dan akhirnya masuk penjara.
Kegembiraan yang lahir ini adalah watak dan ciri-ciri gerakan politik. Di mana-mana pun dalam dunia ini apabila berlalu perubahan sosial ciri yang sama berlaku. Apabila yang zalim dijatuhkan, ppabila yang jahat dapat ditewaskan, apabila penyamun dapat ditangkap, maka kegembiraan adalah jawapannya.

Ketika Czar Nicholas dibunuh dalam Revolusi Bolshevik pada tahun 1917 warga kota Moscow gembira. Ketika kepala Louise ke14 dipenggal kepalanya di Paris pada 21 Januari 1793, ramai warga kota Paris menari, bertandak dan menyanyi mabuk gembira.

Saya amat yakin warga Indonesia pasti gembira melihat Suharto jatuh pada tahun 1998. Saya amat yakin warga Iran gembira apabila melihat Shah Reza Pahlavi melarikan diri dari Tehran pada 16 Januari 1979.

Di Tanah Melayu semenjak Inggeris mengangkat United Malays National Organisation, semenjak gerombolan Ketuanan Melayu ini mengambil alih kuasa dari British, Tanah Melayu telah dilanggar malapetaka.

Pada Rabu, 9 Mei 2018, malapetaka atau nakba dalam bahasa Arab telah dinyahkan. Menyahkan Najib dan Rosmah bermakna warga Malaysia telah berjaya menyahkan malapetaka yang selama 60 tahun ini telah menghempap berat kehidupan anak semua bangsa di Tanah Melayu.

09 MEI 2018 MALAPETAKA TERCABUT

Rabu 9 Mei 2018 malapetaka tercabut. Malaysia menjadi ringan. Udara menjadi nyaman. Hidup menjadi aman. Tanah Melayu membuka sejarah baru. Sabah dan Sarawak membuka sejarah baru. Maka kita - anak semua bangsa di Malaysia berhak untuk terus bergembira.

Saya sering menulis bahawa detik sejarah itu juga memiliki sejarah dan latar. Saya juga pernah menulis untuk menolak dan mengenepikan pandangan yang sering mengatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang yang menang.

Untuk saya sejarah ditulis oleh orang yang rajin menulis. Jika kita malas menulis walaupun menang ia tidak memiliki makna.

Saya telah merakamkan semua babak babak sebelum PRU14. Menolak pelbagai bentuk pandangan bodoh yang tak masuk akal. Dan mengajukan garis dan taktik untuk membawa pencerahan.

Dua bulan sebelum PRU14 saya membuat ramalan kemenangan.

Dalam masa yang sama saya juga ada menulis beberapa pandangan yang pada hari ini dilihat salah, pandangan yang silap, pandangan yang terbukti melanggar apa yang berlaku ada 9 Mei.

Pada hemat saya ini lumrah. Kerana mustahil saya dapat melihat kesemua hasil politik masa depan dengan jelas dan tuntas.
Walau apa pun akhirnya kita semua dapat melihat Najib dan Rosmah terkurung dalam rumah sendiri. Yang ini telah saya nujumkan berbulan bulan lebih awal.

Dalam suasana kegembiraan, ketika melihat kembali apa yang pernah saya tulis – yang tepat dan yang salah. Maka ada beberapa perkara yang wajib saya tuntaskan. Perkara yang wajib saya rakamkan untuk rujukan sejarah, babak-babak yang wajib diumumkan secara hitam putih untuk bahan sejarah.

Seratus tahun dari hari ini jika ada anak pelajar yang menggali sejarah kejatuhan United Malays National Orgnisation pada Rabu 9 Mei 2018, maka apa yang saya tulis ini akan menjadi bahan.

PERTAMA: Kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan pada Rabu 9 Mei 2018 adalah kerana faktor Mahathir. Dalam BI - The Mahathir factor.
Mahathir adalah penyebab utama yang telah berjaya - mengumpul semua tenaga anak semua bangsa - untuk mengalahkan gerombolan Najib dan konco-konconya.

Jika di zaman REFORMASI dahulu faktor Anwar Ibrahim menjadi juragan dan jurumudi. Anwar menjadi ikon yang berjaya mengumpul gerakan jalan raya untuk menjatuhkan Mahathir.

Dalam PRU14 juragan dan jurumudi ialah Mahathir.

The Mahathir factor ini memerlukan kajian yang lebih rapi. Kenapa dan mengapa anak semua bangsa mahu beralih memilih Pakatan apabila Mahathir meneraju pucuk pimpinan.

LANGKAH BUNUH DIRI

Kajian ini penting untuk kita sesama kita terus bergembira.

Tiga bulan sebelum hari mengundi kita terdengar bagaimana kemungkinan DAP disingkir dari pendaftaran. Jabatan Pendaftaran telah memberi pelbagai masalah kepada DAP. Kemudian kita dengar pula BERSATU menghadapi perkara yang sama.

Segala jentera kerajaan - SPR, SPRM, PDRM, Peguam Negara, Mahkamah dan, dan, dan…telah digunakan untuk memupuk kekuatan kuasa dirinya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga tidak ada bezanya. Ketika ini Jabatan Pendaftaran menjadi aparacik setia yang memperkukuh kuasa Najib dan Rosmah. Secara bijak pendaftaran parti BERSATU dibatalkan.
Sekali imbas langkah ini dilihat bijak. Tetapi sebenarnya ini adalah langkah membunuh diri. Kerana jawapan dari Mahathir menggegarkan politik Malaysia.

Tup-tup, langkah paling radikal telah diambil oleh empat parti gabungan Pakatan. Semua bersetuju untuk menggunakan satu logo.

Inilah bukti faktor Mahathir yang mungkin ramai terlepas pandang. Tetapi inilah pencapaian politik paling unggul dalam sejarah 60 tahun politik Malaysia. Fakta ini ialah: Penggunaan satu logo.

Menggunakan satu logo ini - persetujuan menggunakan satu logo ini - hanya dapat dilakukan bawah kepimpinan Mahathir. Saya yakin Anwar Ibrahim pun tidak ada keupayaan untuk menuntaskan perkara ini. Satu logo ini adalah faktor Mahathir yang membawa pukulan maut kepada Najib dan Rosmah.

KEDUA: Mahathir Muhamad sebagai agen komunikasi yang cukup baik. Ucapan ceramah Mahathir tidak beretorik. Tidak menaikkan semangat untuk turun ke jalan raya. Dalam ceramah si Mahathir tidak pernah bercerita yang dia kenal dengan Putin atau kenal Tony Blair. Atau pernah ke Universiti Havard. Atau pernah membaca buku itu dan ini.

Malah ceramah Mahathir agak mendatar. Tetapi Mahathir telah berjaya menyampaikan maklumat dengan cemerlang kepada orang ramai.

Mahathir TIDAK menggunakan perkataan yang besar-besar, yang susah untuk disebut. Dan susah untuk dieja. Mahathir TIDAK menggunakan perkataan Inggeris atau Arab. Dalam ceramah Mahathir tidak berselindung dengan ayat Quran atau hadis nabi untuk memperkukuh hujah.

Perkataan curi, samun , tipu senang difahami maknanya oleh mak cik dan pak cik Felda. Disinilah kejayaan Mahathir menterjemahkan konsep politik yang kompleks dengan penerangan yang senang untuk difahami.

Kepada Mahathir Najib ialah pencuri. Perkataan pencuri ini difahami oleh mak cik Felda. Berbeza dengan menggunakan perkataan kleptokrasi. Satu habuk pun orang tak faham. Dalam ceramah Mahathir memilih pencuri, lanun atau penyangak untuk menerangkan siapa si Najib ini.

KETIGA: Perubahan sosial akan berlaku apabila elit politik, elit ekonomi dan jentera daulah mula pecah.

CUKONG LARI DARI NAJIB

Sama ada cukong yang bernama Robert Kuok memberi dana kepada pembangkang atau tidak satu persoalan lain. Apa yang tersirat dari berita Robert Kuok (bawah) ialah gambaran tentang elit ekonomi, para cukong telah mula melarikan diri dari Najib. Ini adalah faktor Mahathir.
Kesampaian Rafidah Aziz dan Rais Yatim masuk ke dalam saf Mahathir adalah salah satu tanda bahawa elit politik juga telah pecah. Apabila Rais dan Rafidah dibuang dari parti maka jelas elit politik sedang beramuk.

Kemudian saf Mahatir di masuki oleh Daim Zainudin dan Syed Hamid Albar. Semua ini adalah faktor Mahathir yang berjaya memecahkan elit politik

Kemudian Mahathir menulis surat surat terbuka kepada PDRM, tentera laut, darat dan udara. Hanya Mahathir yang memiliki wibawa sedemikian. Hanya Mahathir yang berupaya menulis surat ini.

Apabila Laksamana Angkatan Laut menjawab dan menerangkan kepada anak semua bangsa bahawa angkatan tentera laut tidak menyebelahi parti sesiapa pun. Jawapan ini tidak membolehkan Najib melakukan huru-hara untuk mempertahan kuasa. Satu cabang tentera telah enggan jadi alat Najib.

Sebelum Mahathir menulis surat, seorang pemimpin tentera darat didakwa menyatakan soldadu menyokong kerajaan. Ini bermakna tentera darat akan mempertahankan Najib.

Perbuatan bangang ini telah ditibai oleh rakyat kiri dan kanan. Jeneral kaki bodek Najib ini terduduk dan membuat kenyataan baru.

Semua ini petanda yang jentera kerajaan tidak lagi menyebelahi Najib. Hanya PDRM yang tidak bersuara. Hingga ke saat kemenangan tercapai maka barulah ketua PDRM menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan ialah kerajaan baru.

Dalam kita merayakan kemenangan ini. Dalam kita bergembira. Maka jangan lupa kita wajib terus berwaspada. Orang-orang jahat wajib terus diburu, ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.

Kalau di zaman kerajaan Melayu Melaka, orang jahat akan disula.

Saya tidak mencadangkan mereka disula kerana ini akan mengotorkan buluh.

Tetapi hakikatnya, meminta mereka disula ini tidak mungkin saya tulis satu bulan dahulu. Kini saya boleh menulis dengan hati terbuka kerana kemenangan yang telah dibawa oleh faktor Mahathir. END

NOTA:

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Thursday, 5 October 2017

THE LITTLE PRINCE - TEMA DAN PENGAJARAN

Le Petit Prince atau The Little Prince merupakan sebuah novel berbahasa Perancis yang diterbitkan pada tahun 1943, karya seorang juruterbang, penulis, penyajak dan Aristokrat Perancis iaitu Antoine de Saint-Exupéry. Novel ini merupakan di antara novel yang paling banyak diterjemah dan dinobatkan sebagai novel terbaik pada abad ke 20 di Perancis. Novel ini juga sangat lah laris dijual, sehingga mencapai 140 juta terbitan yang dijual di seluruh dunia sekali gus menjadikan ia di antara buku-buku best-sellers yang pernah diterbitkan. Para bibliophile di luar sana pasti pernah membaca apatah lagi mendengar tentang novel The Little Prince ini, yang merupakan di antara novel-novel yang digalakkan untuk dibaca oleh setiap orang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pada tahun 1974 dan 2015, novel The Little Prince telah diadaptasi sebagai filem dengan tajuk yang sama. Filem animasi yang ditayangkan pada tahun 2015, yang berdurasi hampir 2 jam itu, mempunyai jalan cerita yang hampir serupa, dilengkapi dengan kesinambungan kisah daripada novel asal di samping fokus dan mesej utama yang cuba diketengahkan adalah sama.

Melihatkan tajuk novel/filem The Little Prince ini, pembaca akan berfikir bahawa penceritaannya menyebelahi ‘fairy-tale’ ataupun cerita dongeng yang sememangnya terkenal dengan watak putera atau Prince, yang lebih sesuai diceritakan kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, The Little Prince jauh berbeza bahkan lebih baik dan bermakna daripada cerita dongeng tipikal yang disuapkan pada kanak-kanak mahupun yang menjadi angan-angan orang dewasa.

Novel ini pada asalnya merupakan karya penulis, Antoine de Saint-Exupéry kepada rakannya yang bernama Leon Werth. Novel tersebut didedikasikan kepada Werth bersama satu petikan yang berbunyi:

“TO LEON WERTH

I ask the indulgence of the children who may read this book for dedicating it to a grown-up. I have a serious reason: he is the best friend I have in the world. I have another reason: this grown-up understands everything, even books about children. I have a third reason: he lives in France where he is hungry and cold. He needs cheering up. If all these reasons are not enough, I will dedicate the book to the child from whom this grown-up grew. All grown-ups were once children–although few of them remember it. And so I correct my dedication:

TO LEON WERTH

WHEN HE WAS A LITTLE BOY”

Dengan dedikasi tersebut, jelaslah bahawa novel The Little Prince ini tidaklah terlimitasi sebagai bacaan kanak-kanak sahaja bahkan juga memberi pengajaran yang besar bagi orang dewasa yang membacanya. Oleh itu, novel ini merupakan di antara novel yang terbaik yang perlu dibaca oleh kanak-kanak dan juga orang dewasa yang dahulunya juga adalah seorang kanak-kanak.

The Little Prince merupakan sebuah penceritaan oleh Antoine de Saint-Exupéry sendiri yang diinspirasikan semasa beliau berkhidmat sebagai seorang juruterbang sebaik sahaja tercetusnya Perang Dunia Ke-2, di mana kapal terbang yang dikendalikan beliau terhempas di tengah-tengah padang pasir Sahara. Di situlah beliau berjumpa dengan The Little Prince yang berasal dari sebuah planet yang hanya dikenali sebagai Asteroid B-612. Pertemuan di antara seorang juruterbang dewasa yang terkandas bersama seorang putera cilik mempamerkan kepada pembaca tentang perbezaan perspektif di antara kanak-kanak dan juga orang dewasa tentang persahabatan (friendship), kesunyian (loneliness), kasih sayang (love) dan yang paling penting, kenaifan dan sikap ingin tahu seorang kanak-kanak yang dilupakan apabila meningkat dewasa (the innocence and curiosity of children that are lost as we grow up).

Tema

1. Persahabatan

Menerusi kisah The Little Prince ini, tema persahabatan dapat dilihat melalui hubungan di antara juruterbang (The Aviator) dengan putera cilik (The Little Prince) yang bertemu di padang pasir Sahara. Juruterbang yang pada awalnya merasa aneh melihat seorang kanak-kanak yang menggelarkan dirinya putera dari planet lain di tengah padang pasir akhirnya melayan kerenah putera tersebut. Mereka akhirnya menjadi sahabat di mana putera tersebut memperlihatkan kepada juruterbang, pandangannya tentang orang dewasa yang dianggap tidak masuk akal. Kerenah dan persoalan-persoalan yang diajukan oleh putera cilik itu pula mengingatkan juruterbang kepada zaman kanak-kanaknya sendiri.
Putera cilik juga menjalinkan persahabatan dengan seekor musang liar (the Fox) yang akhirnya berjaya dijinakkan. Menurut musang tersebut, menjinakkan ataupun to tame adalah untuk menjalinkan hubungan ataupun to establish ties. Oleh itu, dengan menjinakkan musang tersebut, mereka berdua menjadi sahabat.

Menerusi filem The Little Prince pula, penonton dipamerkan dengan persahabatan di antara seorang kanak-kanak perempuan dengan jirannya, yang merupakan juruterbang yang sama, namun telah lanjut usia. Menerusi babak filem, juruterbang menceritakan semula pertemuannya dengan putera cilik di padang pasir kepada kanak-kanak perempuan tersebut. Kanak-kanak perempuan yang hidupnya telah ‘dijadualkan’ oleh ibunya sendiri supaya dia menjadi orang dewasa yang berguna atau ‘a wonderful grown up’ merupakan sebuah watak tipikal seorang kanak-kanak yang penuh sifat ingin tahu dan tidak takutkan kegagalan. Penceritaan tentang The Little Prince yang ditulis oleh jirannya menarik minatnya untuk mengetahui lebih lanjut tentang keseluruhan cerita tersebut walaupun baginya kurang logik. Dia akhirnya mengembara mencari putera cilik bagi pihak juruterbang yang terlantar di hospital.

2. Kasih sayang

Penceritaan The Little Prince mengetengahkan elemen kasih sayang di antara putera cilik (The Little Prince) dengan sekuntum bunga mawar (the Rose). Di Asteroid B-612, putera cilik tertarik dengan sekuntum bunga mawar yang tumbuh secara tiba-tiba pada suatu hari. Bunga Mawar tersebut dijaga dengan rapi, diberi siraman air dan sebagainya oleh putera cilik. Namun, mereka akhirnya bergaduh kerana putera cilik yang masih kanak-kanak tidak memahami permintaan bunga mawar yang sering memerlukan perhatian. Oleh kerana ingin mencari jalan menyelamatkan planetnya yang diserang oleh tumbuhan Baobab yang tumbuh meliar, putera cilik membawa dirinya pergi melawat planet-planet lain termasuklah Bumi sekali gus meninggalkan bunga mawar yang amat disayanginya.
Namun apabila tiba di Bumi, putera cilik tersebut bertemu dengan sebuah taman yang terdapat banyak tumbuhan bunga mawar yang sama. Putera tersebut terus merasa sedih kerana bunga mawar di planetnya yang amat disayangi tidaklah seunik yang dianggap olehnya selama ini.

3. Kesunyian

Kisah The Little Prince membawa pembaca menyusuri pengembaraan putera cilik dari satu planet ke planet yang lain untuk mencari penawar kepada tumbuhan Baobab yang meliar di Asteroid B-612. Kehidupannya berseorangan sebelum kemunculan bunga mawar. Namun, setelah putera tersebut mengembara, dia menyedari bahawa kasih sayangnya terhadap bunga mawar yang telah dijaga dengan rapi setelah sekian lama tidak pernah luntur malah kesunyiannya hanya terubat apabila bersama bunga mawar tersebut. Oleh itu, putera cilik berazam untuk pulang kembali ke Asteroid B-612, di mana bunga mawar yang disayanginya berada.

Menerusi animasi The Little Prince pula, watak kanak-kanak perempuan diperkenalkan sebagai seorang kanak-kanak yang dijaga oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal. Bapanya tidak dipertontonkan namun menurut kanak-kanak tersebut, bapanya terlalu sibuk bekerja dan cuma mampu mengirimkan hadiah hari jadinya sahaja. Ibunya juga sibuk bekerja dan hanya tahu menentukan jadual hidupnya ataupun The Life Plan bagi memastikan dia menjadi seorang dewasa yang berjaya. Demi menuruti jadual hidup yang telah ditentukan oleh ibunya, kanak-kanak itu dilarang sama sekali menggunakan masa untuk berkawan kerana bagi ibunya, itu merupakan aktiviti yang membazirkan masa. Oleh itu, kanak-kanak perempuan tersebut menjadi sunyi dan seterusnya menjalinkan persahabatan dengan jirannya yang juga merupakan juruterbang (the Aviator) demi mengubati kesunyiannya.
Menurut penceritaan novel The Little Prince, juruterbang juga hidup berseorangan sehinggalah dia bertemu dengan putera cilik di padang pasir Sahara. Melalui novel The Little Prince, beliau menyatakan bahawa beliau hidup berseorangan kerana tidak minat bergaul dengan orang dewasa yang hanya berfikir bahawa pandangan mereka sentiasa betul.

“Then I would never talk to that person about boa constrictors, or primeval forests, or stars. I would bring myself down to his level. I would talk to him about bridge, and golf, and politics, and neckties. And the grown-up would be greatly pleased to have met such a sensible man. So I lived my life alone, without anyone that I could really talk to, until I had an accident with my plane in the Desert of Sahara, six years ago.”

Pengajaran

1. Lihatlah dunia dengan mata hati.

“And now here is my secret, a very simple secret: It is only with the heart that one can see rightly; what is essential is invisible to the eye.” – the Fox

Menerusi kisah The Little Prince ini, pembaca dan penonton akan tertarik dengan kebenaran kata-kata musang tersebut. Ini kerana, kita sememangnya tidak dapat menilai dengan baik melalui mata kasar. Namun melalui hati yang dipenuhi sifat kasih sayang dan memahami, kita akan mampu melihat dengan jelas dan membezakan di antara baik dan buruk dan di antara sesuatu yang benar-benar penting mahupun tidak dalam kehidupan kita.

Dengan erti kata lain, walaupun sesuatu ataupun seseorang itu tidak terlihat di hadapan mata, ianya tidak menjadi masalah jika kita mempercayai kewujudan mereka di dalam hati.

Seperti mana juruterbang percaya bahawa putera cilik itu selamat tiba di Asteroid B-612 dan sedang berada di samping bunga mawar kesayangannya. Seperti mana sang musang berjaya mententeramkan putera yang bersedih apabila mereka terpaksa berpisah. Seperti mana juga juruterbang meyakinkan kanak-kanak perempuan bahawa dia akan sentiasa ada bersama jika kanak-kanak tersebut memilih untuk melihat dengan mata hati.

“The stars are beautiful, because of a flower that cannot be seen.”

“What makes the desert beautiful,” said the little prince, “is that somewhere it hides a well . .”

Di samping itu juga, kadang kala kita tidak mampu melihat sesuatu dengan jelas kerana tidak menyedari kepentingannya. Kita hanya mampu melihat keindahan sesuatu peristiwa apabila kita menemui kepentingannya.

2. Perangai orang dewasa yang membawa kepada kemudaratan.

Pengembaraan putera cilik menerusi planet berbeza membawa pembaca dan penonton mengenali 7 karakter orang dewasa yang sememangnya mementingkan diri dan tidak pernah puas.

Planet 325: The King

‘To them, all men are subjects.’

Menerusi pertemuan putera cilik dengan seorang Raja, watak Raja tersebut diperkenalkan sebagai seorang yang berkuasa. Namun, sikap Raja yang berfikir bahawa dia sahaja yang paling berkuasa ke atas orang lain walaupun hakikatnya sebaliknya memaparkan sikap orang dewasa yang kita dapat lihat sesama masyarakat kita sendiri. Sikap orang dewasa yang mementingkan kuasa lebih dari segala-galanya membawa kepada peperangan dan kemudaratan yang lain.

Planet 326: The Conceited Man

‘For, to the conceited man, all other men are admirers.’

Beralih pada planet seterusnya, putera cilik berjumpa dengan seorang pemuda yang amat mementingkan dan dahagakan pujian. Pemuda tersebut juga berfikir bahawa dia lah manusia yang paling hebat dan kacak dan merasakan bahawa dia berhak dipuji oleh semua orang. Watak ini mempamerkan sikap orang dewasa yang meninggi diri dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan pujian dan perhatian orang lain.

Planet 327: The Tipplers/Drunkard

“Ashamed of drinking!”

Putera cilik berasa aneh apabila bertemu dengan seorang alkoholik di Planet Ketiga, di mana apabila ditanya tentang sebab dia meminum arak, dia menjawab bahawa dia ingin melupakan perasaan malunya kerana meminum arak. Jawapan yang tidak masuk akal itu memaparkan karakter orang dewasa yang hakikatnya seringkali tidak memahami logik perbuatan dan percakapan mereka sendiri. Perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir dengan teliti terlebih dahulu juga merupakan sikap orang dewasa.

Planet 328: The Businessman.

“As for me, I am concerned with matters of consequence. There is no time for idle dreaming in my life.”

Di Planet seterusnya, putera cilik bertemu dengan seorang businessman yang terlalu khusyuk bekerja untuk mengejar kekayaan semata-mata. Baginya, segala kekayaannya tidak akan pernah cukup. Selagi mana di a mampu memiliki segala kekayaan di muka bumi, termasuklah bintang-bintang yang tidak mungkin dimiliki, selagi itu lah businessman itu tidak akan merasa kekayaannya mencukupi. Watak ini menggambarkan sikap orang dewasa yang terlalu mengejar kekayaan material tanpa mengambil kira kepentingan orang sekeliling.

Planet 329: The Lamplighter

“As the little prince watched him, he felt that he loved this lamplighter who was so faithful to his orders.”

Apabila tiba di Planet ini, putera cilik bertemu dengan seorang penjaga lampu yang terus menerus menyalakan dan memadamkan lampu, tanpa henti. Ini kerana, saiz planet yang begitu kecil menyebabkan kejadian siang dan malam yang silih berganti dalam masa yang begitu pantas. Oleh itu, si penyala lampu terpaksa bekerja berterusan tanpa rehat. Watak penyala lampu di Planet ini menggambarkan watak orang dewasa yang menurut perintah secara melulu.

Planet 330: The Geographer

“A geographer is a scholar who knows the location of all the seas, rivers, towns, mountains, and deserts.”

Putera cilik bertemu dengan seorang ahli Geografi di planet keenam. Ahli Geographer tersebut menyatakan bahawa dia seorang yang arif di dalam bidangnya. Namun apabila putera cilik bercerita tentang keunikan bunga mawar di Asteroid B-612, ahli geografi tersebut tidak berminat untuk mengambil tahu kerana baginya bunga-bungaan hanya lah bersifat sementara dan mudah berubah-ubah manakala pergunungan tidak mudah berubah dan bergerak. Watak ahli geografi yang hanya mementingkan apa yang diinginkan sahaja dan menepis segala kemungkinan lain menggambarkan karakter orang dewasa yang sering menekankan kepentingan yang diingini tanpa mengambil kira kepentingan lain yang dianggap kecil dan trivial.

Planet Earth

“The Earth is not just an ordinary planet! One can count, there, 111 kings (not forgetting, to be sure, the Negro kings among them), 7000 geographers, 900,000 businessmen, 7,500,000 tipplers, 311,000,000 conceited men–that is to say, about 2,000,000,000 grown-ups.”

Di Bumi, putera cilik melihat orang dewasa yang menaiki keretapi tanpa arah tuju yang tetap. Dia juga bertemu dengan seorang penjual yang menjual pil yang dicipta untuk menahan rasa dahaga, di mana sebutir pil mampu menahan dahaga selama seminggu. Pil itu mampu menjimatkan masa selama 53 minit/minggu yang digunakan bagi menghilangkan rasa dahaga. Namun, bagi putera cilik tersebut, dia lebih rela menggunakan masa 53 minit itu untuk berjalan ke arah punca air jernih sekali gus menggambarkan sikap orang dewasa yang malas dan hanya berharap mendapatkan sesuatu tanpa berusaha.

3. Kesetiaan Dalam Hubungan

“You are beautiful, but you are empty,” he went on. “One could not die for you. To be sure, an ordinary passerby would think that my rose looked just like you–the rose that belongs to me. But in herself alone she is more important than all the hundreds of you other roses: because it is she that I have watered; because it is she that I have put under the glass globe; because it is she that I have sheltered behind the screen; because it is for her that I have killed the caterpillars (except the two or three that we saved to become butterflies); because it is she that I have listened to, when she grumbled, or boasted, or ever sometimes when she said nothing. Because she is my rose." – The Little Prince
Apabila putera cilik bertemu dengan lambakan bunga mawar di bumi yang menyerupai bunga mawar kesayangannya, dia merasa tertipu dan sedih kerana menganggap bunga mawarnya sama sahaja seperti lambakan bunga mawar yang lain. Hakikatnya, persahabatan dan masa yang diluangkan bersama bunga mawarnya itu yang paling penting dan menjadi bukti keunikan bunga mawar kesayangannya di Asteroid B-612.

 “Men have forgotten this truth,” said the fox. “But you must not forget it. You become responsible, forever, for what you have tamed. You are responsible for your rose . . .”

Seringkali manusia terlupa bahawa kita bertanggungjawab ke atas setiap hubungan yang kita jalinkan di antara satu sama lain. Oleh itu, seharusnya kita menjaga dan menghargai hubungan yang telah terjalin dengan penuh kasih sayang baik hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan.

4. Biarkan Kanak-Kanak Menjadi Kanak-Kanak

“The grown-ups’ response, this time, was to advise me to lay aside my drawings of boa constrictors, whether from the inside or the outside, and devote myself instead to geography, history, arithmetic, and grammar. That is why, at the age of six, I gave up what might have been a magnificent career as a painter. I had been disheartened by the failure of my Drawing Number One and my Drawing Number Two. Grown-ups never understand anything by themselves, and it is tiresome for children to be always and forever explaining things to them.”
Kanak-kanak terkenal dengan sikap yang sentiasa mempersoalkan segala ketidak-fahaman mereka, sikap ingin tahu yang menebal di samping imaginasi yang tinggi. Perspektif seorang kanak-kanak mungkin berbeza dengan perspektif seorang dewasa. Namun begitu, itu tidak bermakna bahawa kanak-kanak itu salah dan orang dewasa itu betul. Kadangkala, kita perlu melihat setiap sesuatu dari pandangan yang berbeza untuk memahami setiap perkara.

Malangnya, sikap orang dewasa yang acuh tidak acuh dalam melayani kerenah kanak-kanak dan memaksa pandangan mereka ke atas setiap sesuatu membantutkan tumbesaran kanak-kanak yang seharusnya membesar melihat dunia dengan cara dan kreativiti mereka yang tersendiri.

5. Kanak-Kanak Dalam Dewasa

“Growing up is not the problem. Forgetting is.”- The Aviator

Dalam kita menjadi dewasa, kita selalu terlupa bahawa kita juga pernah menjadi kanak-kanak suatu ketika dahulu. Kanak-kanak yang penuh dengan persoalan, kanak-kanak yang sentiasa mampu bermain gembira bersama rakan-rakan, kanak-kanak yang punya cita-cita dan impian.

Kita membesar dan meningkat dewasa menjadi manusia yang dibelenggu masalah dan sukar gembira. Kita hanya mampu menurut perintah orang atasan tanpa sebarang pertanyaan kerana pertanyaan telah menjadi sesuatu yang menjengkelkan. Adakah kita masih ingat tentang segala cita-cita dan impian semasa zaman persekolahan?

Adakah kita termasuk di kalangan the Kings, conceited men, drunkards, lamplighters, geographers dan businessmen yang hanya mementingkan kepentingan peribadi? Adakah seperti The Little Prince yang meningkat dewasa, kita terperangkap di dalam sebuah ‘planet’ di mana kewujudan kanak-kanak langsung tidak diiktiraf (semua menurut perintah tanpa sebarang persoalan), di mana tiada satu pun bintang (harapan) di angkasa kerana semuanya telah dipegang oleh businessman yang hanya mementingkan kekayaan semata-mata, dan yang paling parah, adakah kita telah lupa makna sebenar menjadi ‘a wonderful grown-up’, orang dewasa yang berguna?
Jika jawapan kita adalah Ya, kisah The Little Prince ini mampu memberi kesedaran sewajarnya pada kita. Kisah yang penuh pengajaran ini bukan sahaja akan membuka mata, hati dan minda kita, bahkan mampu membuatkan kita merasa sebak. Seperti mana kata-kata penulis yang berbunyi,

“One runs the risk of weeping a little if one allows himself to be tamed.”

References:

Antoine de Saint-Exupéry. The Little Prince, New York City: Reynal & Hitchcock, 1943.


Monday, 28 August 2017

HANNIBAL BARCA: MIMPI NGERI NGERI ROM

Bila kita berbicara tentang Hannibal, saya percaya perkara pertama timbul dalam minda anda ialah Dr. Hannibal Lecter, pembunuh bersiri fiksyen terkenal ciptaan penulis novel, Thomas Harris. Dan saya takkan terkejut jika nama ini disebut, anda bayangkan Lecter versi Sir Anthony Hopkins atau versi Mads Mikkelsen muncul dalam imaginasi anda. Saya tak berminat dengan Hannibal itu, saya hendak bercerita tentang Hannibal Barca, seorang jeneral Carthage dan salah seorang komander tentera paling berjaya dalam sejarah. Kebijaksanaannya dalam berstrategi bukan saja membuatkan Rom hampir berputih mata malah mendorong mereka menggunakan strategi-strategi Hannibal dalam kempen-kempen ketenteraan seterusnya. Di sebalik kebijaksanaan dan ketokohan beliau, ada banyak perkara menarik tentang Hannibal yang tidak diketahui umum.

1. Barca – Sepantas Kilat

Bapa Hannibal, Jeneral Hamilcar Barca seorang jeneral Carthage yang licik dan dinamik. Ketokohan beliau sudah diketahui umum terutama semasa Perang Punic Pertama di mana antara 247-241 Sebelum Masihi, Hamilcar menggerakkan kempen perang gerila ke atas tentera Rom sehinggalah mereka dihalau keluar dari Sicily. Dan atas jasa beliau, Carthage berjaya mengembangkan wilayah mereka ke Semenanjung Iberia (Sepanyol moden). Ini dilakukan dengan kempen serangan kilat terutama satu insiden serangan pantas di selatan Itali. Berikutan kejayaannya dengan taktik sebegini, askar-askar yang berjuang bersama Hamilcar memberi gelaran Baraq atau Barca. Dalam Bahasa Semitik, Baraq diterjemahkan sebagai sepantas kilat. Dan Hannibal bukan saja berterusan menggunakan nama gelaran bapanya malah turut meneruskan taktik sama yang memberi kejayaan kepada Hamilcar semasa hayatnya. Annaeus Florus, seorang sejarawan Rom abad kedua Masihi menyamakan Hannibal dan bala tenteranya dengan panahan kilat seperti yang tercatat dalam buku Epitome of the Histories.

2. Sumpah Kebencian Rom Mungkin Satu Rekaan

Semasa Hannibal masih kecil, beliau berkeinginan mengikuti bapanya, Hamilcar yang sedang sibuk melancarkan kempen perluasan wilayah Carthage di Iberia. Terdapat pelbagai versi cerita tentang sumpah ini. Satu versi menyatakan bila mana beliau menyatakan hasrat kepada bapanya untuk ikut sama dalam kempen perang di Iberia, Hamilcar bersetuju dan memaksanya bersumpah untuk menjadi musuh Rom selama-lamanya. Satu lagi versi seperti yang dipaparkan dalam dokumentari saluran History, Barbarians Rising ialah Hamilcar membawanya ke satu kamar pengorbanan. Di hadapan nyalaan api kamar tersebut, beliau memaksa Hannibal bersumpah untuk tidak menjadi sekutu Rom selamanya. Sejarawan Rom, Polybius dan Livy menyatakan versi sama tetapi mengubah cara Hannibal bersumpah dengan membasahkan tangannya dengan darah dan melafazkan sumpah sama. Sumber lain menyatakan sumpah Hannibal seperti mana yang dinyatakan George C. Scott sebagai Jeneral George S. Patton dalam filem Patton, “Aku bersumpah bila mana umurku mengizinkan, aku akan menggunakan api dan besi untuk menahan takdir Rom.” Walaupun ada sesetengah versi dipertikai kesahihannya, namun kebencian Carthage terhadap Rom benar-benar wujud dan atas sebab kukuh seperti kehilangan dominasi Laut Mediterranean pada Rom.

3. Operasi Menyeberangi Gunung Bukanlah Segila Seperti Yang Disangka
Figure 1: Gambaran bala tentera Hannibal menyeberangi Alps untuk menyerang Rom.

Bila mana kita berbicara tentang kejayaan Hannibal, pencapaian paling menonjol bagi beliau ialah serangan mengejut Carthage ke atas Rom pada 218 Sebelum Masihi. Sesiapapun menyangka tindakan menyeberangi Pergunungan Pyrennes, Pergunungan Alps dan sungai-sungai pada musim sejuk dengan bala tentera yang besar ialah satu tindakan gila dan boleh memakan diri. Hakikatnya, operasi ketenteraan sebegini sudah dirancang bertahun-tahun sebelum serangan tersebut dilancarkan. Semua aspek bersifat pro dan kontra sudah dipertimbangkan bukan saja oleh Hannibal tetapi juga oleh abang iparnya, Hasdrubal Si Cerah (Hasdrubal The Fair) dan bapanya, Hamilcar. Sebelum Hannibal, Hasdrubal sudah melihat serangan ke atas Rom melalui jalan darat sebagai munasabah. Justeru, jika ada mengatakan pihak Rom tidak tahu langsung berkenaan rancangan ini, ianya sebenarnya salah dan ini dibuktikan dengan pembunuhan Hasdrubal oleh seorang askar upahan berbangsa Celtic pada 221 Sebelum Masihi.

Bila mana Hannibal mengambil alih kepimpinan tentera selepas kematian Hasdrubal, objektifnya sentiasa berkait dengan menyeberangi kawasan pergunungan dan memanfaatkan kelebihan konflik atas daratan. Beliau sedar sebarang cubaan untuk menyerang Rom dari laut adalah mustahil berikutan kekalahan Carthage dalam Perang Punic Pertama, lebih spesifik Pertempuran Mylae dan Pertempuran Cape Economus.

Berikutan itu, pada tahun 220 Sebelum Masihi, beliau mula mengekalkan hubungan baik dengan Padane Gauls di Lembah Po (moden utara Itali). Hasil daripada hubungan tersebut, wujud persetujuan membabitkan pengagihan makanan, duit dan penginapan. Namun, Hannibal tidak mahu bergantung kepada diplomasi semata-mata. Bagi memastikan serangan yang dilakukan benar-benar berhasil, beliau turut menghantar pengintip di setiap laluan bagi mendapatkan laluan terbaik menyeberangi Pergunungan Alps. Perkara terakhir yang mahu dibimbangi beliau ialah tatkala askar-askarnya keletihan melalui jalan yang dipilih tapi terpaksa berhadapan dengan ketumbukan tentera Rom yang sedia menanti. Dengan langkah tersebut, Hannibal bukan saja menghantar mesej jelas kepada Rom tentang kekuatan Carthage tetapi juga merampas sebarang kelebihan strategik daripada memihak musuhnya. Dan Polybius menyatakan secara jelas dalam catatannya bahawa Hannibal sentiasa mempertimbangkan semua pilihan, melihat keadaan semulajadi sesebuah kawasan, memanipulasi sentimen kebencian rakyat tempatan pada Rom dan mempunyai pemandu-pemandu yang dapat membantu mereka melepasi kawasan pergunungan.

4. Senang Sama-Sama, Susah Pun Sama-Sama

Semua komander tentera ada perwatakan berbeza-beza. Sesetengah mempunyai keyakinan diri yang tinggi seperti Iskandar Agung (Alexander The Great), Patton dan Field Marshall Erwin Rommel. Sementara ada mempunyai personaliti berkarisma kepada tentera-tentera mereka seperti Rasulullah s.a.w, Khalid ibnu Walid r.a dan Hannibal sendiri. Dalam catatannya, antara bukti karisma Hannibal menurut Livy ialah kemampuannya menyatukan semua askarnya di bawah satu pasukan walaupun datang dari pelbagai latar belakang berbeza tapi boleh memenangi siri pertempuran dengan Rom selama 15 tahun. Satu ironi semua tentera upahan ini yang dahulunya berjuang atas nama duit dan rampasan perang, boleh bersatu dan melakukan perkara-perkara yang memerlukan pengorbanan yang tak terkira untuk pemimpin mereka.

Selain karisma, ada sisi sensitif di sebalik pengurusan beliau. Teks-teks klasik menunjukkan Hannibal tidur bersama tentera-tentera biasa di luar dalam keadaan kesejukan. Ada teks turut menunjukkan beliau sanggup berlapar bersama mereka bila mana bekalan makanan mereka semakin berkurangan. Namun paling penting, askar-askar ini mempercayai sepenuhnya pertimbangan Hannibal semasa dalam pertempuran. Pendek kata, sebarang arahan yang diberi akan dipatuhi dan diikuti atas dasar percaya kepada jeneral Carthage yang berkaliber ini.

5. Pelontar, Bukan Pemanah Sebagai Pilihan
Figure 2: Tentera berkuda Numidia menjadi mimpi ngeri Rom dalam kempen perang Hannibal.

Sejarah menunjukkan lewat abad ketiga Sebelum Masihi, Rom dikenali dengan maniples, subbahagian tentera dalam legion mereka di mana anggotanya ialah askar-askar infantri berat. Berikutan itu, taktik mereka mudah saja kerana ketika itu lawan mereka hanyalah askar-askar musuh yang tidak berdisiplin dan mudah ditundukkan dengan disiplin yang tinggi dan pergantian semasa di medan perang. Menyedari taktik perang biasa tidak akan mengalahkan maniples ini, Hannibal memilih askar-askar yang punya latar belakang melontar yang mantap dari Afrika dan Sepanyol. Beliau memilih askar-askar ini kerana mereka berkemampuan melastik atau melontar dengan ketepatan yang mengagumkan mengikut jarak yang diberi. Ketepatan mereka amat menakutkan ke atas tentera Rom sehinggakan pemanah biasa digantikan dengan pelastik atau pelontar lembing ini.

Selain menggunakan pelontar atau pelastik, Hannibal turut memanfaatkan keupayaan tentera berkuda berbangsa Numidia melontar lembing semasa menunggang kuda. Mereka amat berani menunggang kuda tanpa menggunakan tali kekang, hanya menggunakan tali sekeliling leher kuda dan kayu ranting semasa beri arahan. Adakalanya semasa pertempuran terutama Pertempuran Trebbia, tentera berkuda ini diberi arahan bergerak bengkang-bengkok dan pantas dengan tujuan menarik perhatian dan menimbulkan perasan tidak puas hati legion-legion Rom. Ditambah pula dengan penghinaan dan celaan yang dilempar mereka pada tentera-tentera Rom ini, lama-kelamaan walaupun dengan disiplin dan kelengkapan yang dimiliki, mereka terpaksa berundur atau mati dibunuh.

6. Cannae Dipilih Atas Sebab Makanan dan Provokasi
Figure 3: Gambaran pertempuran sengit antara Rom dengan Hannibal dalam Pertempuran Cannae.

Bila kita menyebut Pertempuran Cannae, sejarawan menyifatkan pertempuran tersebut sebagai satu insiden yang menconteng arang Rom. Manakan tidak, Rom kehilangan ramai askar semasa berlawan dengan Hannibal dengan bilangan tentera yang terkorban atau tertawan berbeza-beza mengikut kiraan sejarawan. Livy menyatakan 50 ribu terbunuh sementara Polybius meletakkan angka 70 ribu tentera terkorban. Dan Hannibal ada sebab tersendiri memilih kawasan ini. Cannae pada ketika itu merupakan antara kawasan pengeluar makanan penting untuk Rom. Walaupun Rom mencari alternatif dengan mendapatkan bekalan makanan dari Pulau Sicily, pengeluaran makanan di utara Itali terutama di wilayah Apunia di mana Cannae terletak masih memainkan peranan penting. Bila mana Hannibal mara bersama bala tenteranya ke Cannae pada Jun 216 Sebelum Masihi, ia sebenarnya satu provokasi beliau kepada Rom untuk melawannya secara berhadapan. Dan bila mereka mendirikan khemah, khemah mereka berhampiran dengan tanaman-tanaman yang sedia dituai. Ini bukan saja memberi akses makanan secara berterusan kepada tentera Carthage tetapi juga menyuntik moral mereka yang berjuang pada ketika itu.

7. Karisma dan Keterampilan

Semasa Pertempuran Cannae, bilangan kedua-dua tentera Rom dan Carthage amat ramai dengan Polybius meletakkan anggaran 80 ribu tentera Rom melawan 50 ribu tentera Carthage. Walau bagaimanapun, sejarawan moden hari ini menganggarkan bilangan mereka sebenarnya tidaklah setinggi anggaran Polybius. Apapun anggaran yang diberi, yang pasti, kelibat tentera Rom yang ramai menggusarkan sesetengah anggota tentera Rom. Dan seorang pegawai tentera bernama Gisgo tampil ke hadapan dan menyuarakan kebimbangannya pada Hannibal.

Sebagai seorang pemimpin dan komander tentera, Hannibal boleh saja menghukum atau menyelar komen yang menjahanamkan moral sebegini. Tetapi sebaliknya, beliau berpusing kepada pegawai tersebut dan berkata, “Ada satu perkara yang kamu tidak perasan.” Gisgo bertanya, “Apa dia, tuan?” Hannibal menjawab, “Dalam semua askar musuh yang ramai itu, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang ada nama Gisgo.” Mendengar jawapan beliau, semua pegawai dan tentera ketawa terbahak-bahak pada ketika itu, sekaligus menenangkan kegelisahan yang dialami mereka.

8. Ironi Cannae

Ironi di sebalik kemenangan dalam Pertempuran Cannae, ia turut menandakan bermulanya kejatuhan Hannibal. Walaupun mendapat sokongan daripada sekutu dan koloni yang berpaling tadah daripada Rom, ini memaksa beliau menyediakan garison untuk menjaga kota dan koloni yang bersumpah setia kepadanya. Dan ini menjadi satu masalah kepada beliau kerana askar-askar upahan yang berjuang tidak ada pengalaman dalam soal pengepungan kota atau menjaga sempadan baru. Dan ini mendorong mereka ini untuk meninggalkan Hannibal secara beramai-ramai.

Bukan itu saja, berikutan kekalahan Rom dalam Pertempuran Cannae mendorong mereka mengubah taktik kepada perang gerila dan komunikasi terhad atau taktik Fabian yang diperkenalkan Quintus Fabius Maximus Verrucosus. Rom sedar taktik perang konvensional tidak akan dapat mengalahkan Hannibal lalu mereka mengerahkan tentera Rom melancarkan taktik serang dan lari tatkala mereka keluar mencari keperluan penting seperti makanan dan air. Ini menambah lagi tekanan pada bala tentera Hannibal sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan lemah. Walaupun Carthage cuba menghantar bantuan ketenteraan diketuai adik Hannibal, Hasdrubal tetapi mereka berjaya disekat oleh tentera Rom yang diketuai Publius Cornelius Scipio (Africanus) di utara Itali pada tahun 208 Sebelum Masihi.
Figure 4: Gambaran Pertempuran Zama yang menamatkan Perang Punic Kedua dan penentangan Carthage di bawah pimpinan Hannibal.

Setelah berjaya menghalang bantuan tiba pada Hannibal, Scipio mengetuai bala tentera Rom untuk menyerang Iberia dan New Carthage (bandar moden Cartagena), sekaligus memotong talian bantuan pada Hannibal di Itali dan menghalau saki-baki tentera Carthage kembali ke tempat asal mereka. Setelah Iberia berjaya ditawan, beliau menyerang pula Afrika Utara, memaksa Hannibal dan saki-baki askar yang setia dengan beliau kembali ke Carthage untuk berhadapan dengan Scipio. Walaupun yakin dengan keupayaan unit gajah dan veteran perang yang baru saja kembali dari Itali, Hannibal kehilangan sokongan tentera berbangsa Numidia berikutan tindakan raja mereka, Masinissa yang berpaling tadah dan menyokong Rom pula. Akibatnya, Carthage mengalami kekalahan besar dengan 20 ribu askar terbunuh sementara 20 ribu lagi jadi tawanan perang. Hannibal bersama ribuan tentera Carthage lain berjaya melarikan diri sekaligus menamatkan terus Perang Punic Kedua.

9. Negarawan dan Ahli Reformasi

Walaupun mengalami kekalahan teruk dalam Pertempuran Zama, ini bukan bermakna pengakhiran kepada Hannibal. Sebaliknya, disebabkan imej popular beliau sebagai jeneral perang Carthage terbilang, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada dua ketua majistret (suffete/shophet) Carthage. Walaupun jawatan tersebut nampak tidak penting tetapi ia menjadi platform kepada beliau mengembalikan semula kemakmuran Carthage. Cabaran besar menanti beliau; Carthage bukan lagi empayar gah seperti pada zaman kegemilangannya dan dibebani dengan hutang perang yang dikenakan Rom berikutan kekalahan dalam Perang Punic Kedua.

Antara reformasi yang dilaksanakan Hannibal ialah:

i) Meminda perlembagaan dan mendapatkan persetujuan majoriti untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan ahli majlis pemerintah kepada dua penggal berbanding seumur hidup sebelum ini. Melalui pindaan yang dibuat, majlis dapat mengekang penggunaan kuasa tanpa had yang digunakan ahli-ahli majlis Carthage sebelum ini.

ii) Mengubah sistem pentadbiran sedia ada menjadi lebih cekap dan berkesan. Hannibal sedar sistem sedia ada dimanipulasi oleh kelompok tertentu termasuk golongan bangsawan dan terdedah kepada unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan individu yang enggan membayar cukai. Melalui perubahan yang dibuat, ketirisan dana Carthage dapat dikurangkan dan menambah lagi pendapatan dalam kantung tahunan mereka.

iii) Melatih askar-askar Carthage menjadi petani dan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan. Peningkatan aktiviti sebegini ditambah dengan reformasi Hannibal menyebabkan Carthage kembali makmur dan kaya semula. Kekayaan Carthage sangat banyak sehinggakan mereka boleh saja menyelesaikan hutang perang yang dikenakan Rom dalam satu pembayaran saja iaitu lapan ribu talent (unit pemberat pada zaman Yunani dan Rom) dengan tempoh pembayaran 40 tahun yang dianggap mustahil.

Namun langit tidak selalu cerah bagi Hannibal. Walaupun menjadi pujaan rakyat jelata, tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua majistret bakal berakhir dan kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Berikutan reformasinya itu, Hannibal mencipta ramai musuh dalam kalangan ahli politik dan golongan bangsawan. Ini ditambah pula dengan kecurigaan Rom dengan populariti beliau dan kemakmuran Carthage. Susulan itu, pihak Senat Rom menghantar satu suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan (dakwaan palsu) yang mendakwa Hannibal berhubung dengan Raja Anthiochus III dari Empayar Seleucid, musuh ketat Rom di sebelah bahagian Anatolia (Turki). Sedar akan rancangan mereka dan tidak mempercayai orang sebangsanya sendiri, beliau bersara dan berangkat secara senyap-senyap ke Ephesus, istana Anthiochus III dan meneruskan penentangan pada Rom.

10. Periuk Ular

Walaupun diburu Rom pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, ini tidak menghalang Hannibal daripada bersekutu dengan pemerintah-pemerintah yang menentang Rom. Selepas terpaksa melarikan diri berikutan kekalahan Raja Anthiochus III, beliau mendapat perlindungan pemerintah Bithynia, Prusias I. Pada ketika itu, Prusias I sedang berperang dengan pemerintah Pergamon, Eumenes II. Berikutan kekalahan berterusan Bithynia dalam konflik perang darat, baginda memberi peluang kepada Hannibal mengetuai angkatan laut Bithynia menghadapi ancaman angkatan laut Pergamon. Walaupun bilangan kapal Pergamon melebihi bilangan kapal pimpinan beliau, ini tidak menghalang Hannibal merancang satu taktik licik untuk memberi kemenangan kepada angkatan beliau. Beliau mengarahkan semua kapal mengisi periuk mereka dengan pelbagai jenis ular berbisa. Walaupun taktik sebegini nampak pelik, semua anggota tentera laut Bithynia segera melakukannya. Angkatan laut Pergamon yang melihat tindakan pelik ini mengetawakan mereka dan mencabar mereka berlawan dengan pedang bukan periuk. Bila mana periuk-periuk tersebut dilancarkan ke kapal-kapal Pergamon, kapal-kapal mereka dipenuhi dengan pelbagai jenis ular berbisa. Tidak diketahui sama ada perkara ini benar-benar berlaku atau sekadar taktik psikologi Hannibal untuk menakutkan mereka. Apapun, ia berhasil membantu Bithynia menang dalam pertempuran tersebut. Dan pada dua siri pertempuran laut seterusnya, beliau berjaya mengakali Eumenes II dan menang dalam kedua-dua siri pertempuran tersebut.

11. Sang Jeneral Sebenarnya Seorang Penulis

Siapa sangka di sebalik keberanian dan kebijaksanaannya mengakali permainan Rom, Hannibal sebenarnya turut menulis tentang pengalamannya semasa perang dan strategi yang digunakan musuh-musuhnya. Ini tidak menghairankan kerana semasa beliau membesar terutama semasa bapanya berperang di Sicily semasa Perang Punic Pertama, beliau mendapat pendidikan menyeluruh. Bukan itu saja, kejayaan jeneral-jeneral Yunani seperti Iskandar Agung dan Pyrrhus dari Epirus turut mendorong beliau membawa tutornya dalam kempen ketenteraannya. Contohnya, semasa melancarkan serangan mengejut ke atas Rom melalui Pergunungan Alps, Hannibal membawa seorang sejarawan Spartan bernama Sosylos.

Dan ianya tidak terhenti di situ saja. Semasa duduk dalam buangan selepas tamat Perang Punic Kedua, beliau menulis buku dalam Bahasa Yunani di mana satu buku menceritakan kempen musuhnya di Asia Kecil, Gnaeus Manlius Vulso. Buku itu merupakan panduan ketenteraan dalam menghadapi serangan Rom pada penduduk Pulau Rhodes. Livy dalam catatannya menceritakan semasa berada di Itali, Hannibal turut mengarahkan kempen ketenteraan beliau diabadikan dalam bentuk tablet-tablet gangsa di sebuah kuil di Crotone, selatan Itali. Bagaimanapun, kuil tersebut musnah kerana perang dan gempa bumi.

Sumber:

1. Mandal, Dattatreya. (2016). Realm of History. 10 Fascinating Things You Should Know About Hannibal Barca. https://www.realmofhistory.com/2016/01/15/10-fascinating-things-you-should-know-about-hannibal/

2. Mandal, Dattatreya. (2015). Realm of History. 10 Amazing Facts About The Roman Army of Early Republic. https://www.realmofhistory.com/2015/09/06/10-facts-you-should-know-about-the-roman-army-of-the-early-republic/



5. ReverseSpins.com. Patton, The Second Coming of Hannibal. http://www.reversespins.com/patton.html

6. Nepos, Cornelius. Hannibal.