Wednesday 22 November 2017

KEARIFAN SUKU MELAYU ACHEH DI PULAU PINANG

Pada dasarnya, pantun pengenalan yang disifatkan sebagai pantun alegori oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam pengenalan kajian sejarah yang ditelusuri dalam konteks sejarah dan kearifan dalam makalah ini mengenang kembali sejarah awal negeri Pulau Pinang. Hakikatnya, sejarah awal Pulau Pinang sering dimulakan dengan kedatangan Francis Light yang dilihat sebagai peneroka awal, pengasas bandar, budaya kosmopolitan, dan masyarakat kosmopolitan di negeri Pulau Pinang. Malah, pedagang Eropah dan Cina pula dilihat sebagai pengisi/ penyumbang penting kepada bandar, ekonomi bandar dan ciri kosmopolitan yang wujud di negeri Pulau Pinang. Oleh itu, cebisan dan peninggalan sejarah awal Pulau Pinang dan pensejarahan Pulau Pinang dalam konteks perkembangan sejarah Malaysia ialah kelompok yang berada di luar kumpulan penting yang disebutkan, iaitu kumpulan kolonial yang diwakili oleh Francis Light. Tegasnya, kisah dan sejarah asal usul petempatan orang Melayu Nusantara di Pulau Pinang belum benar-benar dikaji, digali dan ditonjolkan sepenuhnya (Mahani Musa, 2012: 1).

Kedudukan Aceh dan Hubungan Perdagangan Aceh dengan Pulau Pinang

Sebelum pembukaan Pulau Pinang pada tahun 1786, Aceh merupakan pusat perdagangan penting di Selat Melaka. Selepas pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light dan keadaan anarki di Aceh menyebabkan peranan Aceh diambil alih oleh Pulau Pinang yang menjadi stimulus kepada perdagangan Sumatera Timur. Hubungan perdagangan segi tiga ini adalah regional trade Pulau Pinang sehingga mengangkat keunggulan Pulau Pinang sebagai pelabuhan entrepot kepada kawasan-kawasan ini di Utara Selat Melaka (Salina Zainol, 2005: xv)

Pada umumnya, Aceh dan Sumatera Timur merupakan kawasan pertanian dan perdagangan yang penting di utara Pulau Sumatera. Aceh adalah sebuah kerajaan merdeka yang terletak di barat laut pulau tersebut. Aceh terletak di bahagian Kepulauan Melayu yang terdekat dengan benua India dan Asia Barat (John Crawfurd, 1974: 2). Aceh mempunyai pelabuhan yang selamat dan jarak antara pantai-pantainya paling pendek, iaitu tidak lebih daripada 750 batu (John Crawfurd, 1974: 2). Kedudukan pantai-pantainya yang menghadap laut yang penting iaitu Lautan Hindi dan Selat Melaka menjadikan Aceh penting sebagai tempat persinggahan pedagang (H. Mohammad Said, 1981: 17). Kedudukan Aceh di sebuah lembah yang penting untuk tanaman padi sawah, dan bahan-bahan makanan untuk melayani pedagang-pedagang  yang berlabuh di situ, telah memberi peluang kepada Aceh untuk muncul sebagai sebuah pelabuhan penting di Sumatera sebelum  pendudukan Pulau Pinang oleh British. Semasa era kemakmuran Aceh, kawasan pemerintahan Aceh meliputi daerah-daerah pesisir barat dan utara Pulau Sumatera dengan sebilangan sungai yang menghubungkannya dengan daerah-daerah kaya di pedalaman, iaitu tanah Batak dan tanah Minangkabau. Aceh telah menggunakan kelebihan keadaan geografinya membolehkan Aceh untuk meluaskan kawasannya lebih jauh dari lembah-lembah sungainya yang sempit di timur dan barat sehingga Trumon di pantai dan Tamiang di pantai timur.

Sejarah dan Perkembangan Suku Melayu Acheh Di Pulau Pinang

Orang Melayu Nusantara yang berada di Pulau Pinang, khususnya yang berasal dari Aceh sebenarnya merupakan penduduk Aceh yang terdiri daripada suku Aceh dalam daerah pokok; rumpun Melayu terdiri daripada suku Melayu yang mendiami kawasan-kawasan pesisir daripada Sungai Tamiang yang bersempadan dengan  Aceh sehingga ke Asahan dan suku Minangkabau di selatan kawasan Melayu serta di Batu Bara Siak, malah terdapat juga suku-suku lain dari rantau Melayu-Indonesia yang bermastautin di pelabuhan sekitar Aceh yang penting untuk perdagangan itu.

Pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786 sebagai pelabuhan British telah mewujudkan perdagangan dari pelabuhan-pelabuhan tempatan di sekitarnya, khususnya Aceh. Malah, kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah pelabuhan bebas membolehkan pulau ini menyaingi pelabuhan Belanda di Melaka. Dari peringkat awal pembukaan Pulau Pinang, Francis Light telah dinasihatkan agar tidak mengenakan sebarang cukai di Pulau Pinang (K. G. Tregonning, 1965: 111). Namun begitu, titik tolak kepada kedatangan awal orang Aceh ke Pulau Pinang ialah disebabkan Pulau Pinang menjadi ‘transit’ yang penting bagi Aceh, dan  seterusnya mewujudkan perkembangan “regional trade” antara Aceh, Sumatera Timur, dan Pulau Pinang yang turut mempengaruhi perubahan sosial di Pulau Pinang. Salah satu perkara penting yang wujud hasil tumpuan ramai pedagang asing ke Pulau Pinang telah menjadikan masyarakat Pulau Pinang bersifat kosmopolitan seperti yang telah dilaporkan oleh Francis Light  dalam tahun 1788 bahawa: “…[o] ur new town contains  200 houses, Chinese, Malabars and  Malays…”. Setiap keturunan masyarakat lazimnya menduduki kawasan-kawasan tertentu contohnya Acheen Street didiami oleh pedagang-pedagang Aceh yang jelas membuktikan bahawa komuniti pedagang Aceh dan kewujudan pelbagai pedagang berlainan bangsa ini mendiami jalan-jalan atau kawasan-kawasan mengikut bangsa masing-masing, tetapi wujud hubungan antara mereka. Interaksi sesama mereka adalah dalam rangka kelas elit pedagang tanpa prejudis bangsa melalui perkahwinan yang berlaku sesama keluarga pedagang ini yang jelas dibuktikan melalui perkahwinan sesama keluarga pedagang ini, contohnya Sayid Mohamed Al-Attas, iaitu seorang pedagang berketurunan Arab yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Aceh dan Sumatera Timur telah mengahwini anak kepada Khoo Tiang Poh (Khu Poh) yang merupakan pedagang lada hitam di Sumatera Timur (Khoo Su  Nin, 1994: 22-23). Tegasnya, kewujudan Lebuh Aceh di Pulau Pinang jelas membuktikan bahawa Lebuh Aceh sememangnya telah dibuka oleh orang Aceh yang menetap di Pulau Pinang berdasarkan foto-foto berikut yang jelas menyimpulkan bahawa sejarah, kedatangan dan petempatan awal orang Aceh di Pulau Pinang telah memperkukuhkan lagi perkembangan agama Islam di Pulau Pinang melalui kewujudan Masjid Lebuh Aceh sebagai transit dan perhimpunan jemaah haji dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu sebelum bertolak ke Jeddah, Arab Saudi.
Foto ini jelas membuktikan bahawa kewujudan orang Aceh di sekitar Masjid Acheh, Pulau Pinang pada awal abad ke-20. Sumber:www.penangheritagecity.com/influential-muslim.
Foto lama Masjid Acheh sebelum ia dipulihkan. 
Foto Masjid Acheh selepas pemulihan dengan binaan baharu.
Jemaah haji dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang berhimpun di Masjid Lebuh Aceh beratur beramai-ramai dengan menaiki kapal untuk bertolak ke Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji di Mekah.Sumber: www.penangheritagecity.com/influential-muslim
Jemaah haji menaiki kapal yang digunakan untuk bertolak ke Jeddah, Arab Saudi.Sumber: www.penangheritagecity.com/influential-muslim

Kearifan Suku Melayu Acheh Di Pulau Pinang

Pada dasarnya, titik tolak ke arah kearifan Orang Melayu Acheh di Pulau Pinang bermula dari kewujudan orang Aceh dalam konteks orang Melayu Nusantara di Pulau Pinang seiring dengan kewujudan Acheh Street atau Lebuh Aceh sebagi pusat perdagangan dan pusat  perkembangan perniagaan rempah, pakaian, barang kemas, malah wujudnya restoran, kedai percetakan untuk buku-buku agama dan ejen pelancongan untuk perjalanan ke Jeddah sehinggakan Lebuh Aceh digelar sebagai “Jeddah Kedua”. Kesemua jemaah haji yang akan berangkat ke Jeddah, Mekah akan menaiki sebuah kapal yang dimiliki oleh sebuah syarikat British swasta: Mansfield & Co di bawah milik Syeikh Zakaria Basheer sebagai penjamin perusahaan ini, malah salah satu agensi tiket atas pada masa yang dipanggil Jeddah Pilgrims Ticketing Agensi. Agensi itu menggunakan alamat 87, Acheh Street sebagai pejabatnya.
Jenis tiket yang digunakan oleh jemaah haji untuk menunaikan haji di Mekah.Sumber: www.penangheritagecity.com/influential-muslim

Setiap tahun semasa musim haji, kawasan Lebuh Aceh akan dipenuhi dengan jemaah dan saudara-mara mereka. Mereka menunggu dokumen perjalanan mereka untuk diproses dan hal ini demikian telah menyebabkan hampir semua rumah-rumah di sekitar kawasan masjid yang disewakan. Namun begitu, aktiviti perhimpunan seluruh jemaah haji dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu di Masjid Lebuh Aceh dihentikan semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1949. Sehubungan dengan itu, untuk menyelaraskan proses penghantaran haji dengan betul, kerajaan Malaysia menubuhkan satu badan rasmi (LUTH) pada awal 1970-an. Lantaran daripada penubuhan badan rasmi (LUTH) kedudukan dan keunggulan kawasan Acheh Street  telah hilang peranannya sebagai “Jeddah kedua”.  Namun begitu, pada tahun 1984, kewujudan pelbagai masjid Melayu dan kawasan sekitarnya telah diiktiraf oleh  Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia sebagai kawasan warisan yang telah dibaik pulih dengan sewajarnya. Kemudian, Acheh Street telah diiktiraf dalam Zon 5 Bandar Inner George Town sebagai sebahagian dari masjid dan rumah-rumah puak wilayah ini telah membantu dan memperkukuhkan kedudukan George Town untuk diiktiraf sebagai salah satu daripada Bandar Warisan Dunia oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) pada Julai 2008.

Warisan kearifan dan petempatan awal suku Melayu Aceh di Lebuh Aceh dengan tinggalan Masjid Lebuh Aceh sebagai transit bagi seluruh jemaah haji dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang berkumpul di Masjid Lebuh Aceh sebelum berangkat ke Jeddah, Mekah inilah menandakan bukti kearifan suku Melayu Aceh dalam sejarah petempatan awal suku Melayu Aceh di Pulau Pinang setelah membangunkan kawasan Lebuh Aceh, dan membangunkan perkembangan syiar Islam di Pulau Pinang yang terus dimantapkan dalam masyarakat, khususnya masyarakat yang beragama Islam di Lebuh Aceh dan seluruh umat Islam di Pulau Pinang dan umat Islam di Malaysia mengetahui akan keunggulan perkembangan syiar Islam di Lebuh Aceh seiring dengan pembinaan Masjid Lebuh Aceh, pusat perdagangan, pusat perkembangan perniagaan rempah, pakaian, barang kemas, termasuklah pembukaan restoran, kedai percetakan buku-buku agama dan Lebuh Aceh, suatu ketika dahulu berperanan sebagai kawasan ejen pelancongan untuk perjalanan jemaah haji ke Jeddah sehinggakan Lebuh Aceh digelar sebagai “Jeddah Kedua”.
Pemandangan dari udara daripada lokasi No 69, Acheh Street atau Lebuh Aceh, Pulau Pinang www.penangheritagecity.com/influential-muslim
Pengukus yang digunakan untuk mengangkut jemaah haji yang menaiki kapal yang akan berangkat ke Jeddah, Mekah.

Sememangnya terbukti bahawa orang Melayu dan suku Melayu Acheh sememangnya terkenal di Lebuh Acheh. Kawasan ini merupakan kawasan penempatan awal orang Melayu. Menurut Sheikh Omar Basheer pada abad ke-18,  Lebuh Acheh telah pun diduduki oleh pedagang-pedagang Arab dan India Muslim.

Maka, tempat ini dijadikan oleh mereka sebagai pusat penyebaran agama Islam di Gugusan Pulau-Pulau Melayu.Justeru, Salah seorang daripada pedagang-pedagang Arab ini ialah Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang sememangnya sudah terkenal dalam kalangan orang Melayu Pulau Pinang. Pada tahun 1792, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dan puak-puaknya telah berhijrah ke Pulau Pinang.

Rombongan mereka telah menetap di Acheen Street yang kini dikenali sebagai Lebuh Aceh. Kemudiannya, beliau telah membangunkan sebuah pejabat dan gudang untuk menjalankan perniagaannya di kawasan tersebut. Malah, berdasarkan harta yang dimilikinya, Kapten Francis Light turut menegaskan bahawa Tengku Syed Hussain Al-Aidid sebagai salah seorang  hartawan di Pulau Pinang pada ketika itu. Malah, Francis Light melihat kewujudan petempatan orang Melayu dari Nusantara yang sememangnya beragama Islam. Masjid merupakan perkara utama untuk dibangunkan bertujuan untuk menjalankan segala perintah Allah selain memperkembangkan syiar Islam, khususnya di Pulau Pinang.

Oleh itu, sebuah masjid telah dibina oleh Syed Hussain Al-Aidid di kawasan ini di sekitar tahun 1808. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Melayu di Acheen Street. Selain mendirikan sebuah masjid, Syed Hussain Al-Aidid juga memainkan peranan penting dalam menjaga hal-hal kebajikan orang Melayu di Lebuh Acheh. Beliau banyak membantu orang Melayu di kawasan tersebut. Menurut beliau, Syed Hussain Al-Aidid telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1820an. Beliau telah disemadikan berdekatan dengan Masjid tersebut.

Memandangkan Syed Hussain Al-Aidid banyak berjasa kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang, beliau mengharapkan pihak pemerintah hendaklah melakukan sesuatu sebagai tanda menghargai jasa-jasanya dan usahlah dibiarkan segala pengorbanannya yang lalu hanyut ditelan zaman dan generasi mendatang tidak mengenal sejarah Syed Hussain Al-Aidid yang menurut beliau yang pada ketika itu orang Melayu juga memainkan peranan penting dalam usaha mereka menyalurkan maklumat kepada kaum sendiri. Sehubungan dengan itu, wujudlah kegiatan persuratkhabaran Melayu di Pulau Pinang pada ketika itu.

Salah satu daripadanya ialah akhbar Sahabat Pena yang dikeluarkan pada 1938. Pengetuanya ialah S.M. Zainal Abidin. Dengan adanya persuratkhabaran Melayu sedikit sebanyak ia dapat memperkayakan minda orang Melayu pada ketika itu, terutamanya mengenai hal-ehwal Pulau Pinang. Selain itu, untuk menyampaikan mesej kepada orang Melayu, Boria merupakan salah satu daripada saluran yang digunakan. Beliau juga menyatakan bahawa pada ketika itu, pelabuhan di Pulau Pinang juga telah digunakan sebagai tempat perkumpulan bagi orang Islam yang hendak mengerjakan Haji.

Penutup

Secara keseluruhannya, sejarah dan kearifan yang dimiliki oleh suku Melayu Aceh di Pulau Pinang memainkan peranan penting di kawasan bandar. Oleh hal yang demikian golongan ini tidaklah boleh dikatakan sebagai golongan yang tinggal terpencil di kawasan desa sahaja. Dalam mengenang jasa, sejarah, ketokohan dan kearifan tokoh sejarah dan kearifan suku Melayu Aceh Pulau Pinang, iaitu Syed Hussain Al-Aidid, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Arkib Negara Malaysia bersama Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang haruslah memberikan pengiktirafan kepadanya dan sejarah mengenainya haruslah dikembangkan kepada generasi mendatang. Dengan adanya sejarah dan tinggalan kearifan bagi sejarah dan kearifan suku Melayu Aceh Pulau Pinang melambangkan keunggulan suku Melayu Aceh Pulau Pinang juga dalam pembangunan Pulau Pinang suatu masa dahulu, terutamanya berkaitan perdagangan yang dijalankan oleh golongan India Muslim mahupun golongan bukan Islam.

Penulis merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Universiti Sains Malaysia (Minor: Sejarah) dan Penyumbang Karya Ilmiah dan Kreatif untuk Majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bibliografi

Abdul Aziz Ishak. 1987. Katak Keluar Dari Bawah Tempurung. Kuala Lumpur: Karya Bistari.

Ariffin Omar. 1999. Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan

Kerajaan Melayu Sumatera Timur Pada Tahun 1946. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Jelani Harun (ed.) 2004. Ilmu Kesusasteraan Abad Ke-21. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Jelani Harun. 2004. “Kerjaya dalam Pendidikan: Guru Kesusasteraan dan Cabaran Semasa” dlm Jelani Harun (ed.) Ilmu Kesusasteraan Abad Ke-21: Pulau Pinang, Penerbit: Universiti Sains Malaysia.

Mahani Musa. 2003. “Menjejaki Sejarah Pulau Pinang” dlm Jendela Utara April,hlm 4-5.

Mahani Musa. 2012. “Sejarah yang Terpinggir: Petempatan Awal Melayu Pulau Pinang”. Kertas Kerja Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi 26; Arkib Negara

Malaysia dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Salina Haji Zainol.  2005. Hubungan Perdagangan Aceh dengan Pulau Pinang.

Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.

Siti Hajar Che Man. 2014. “Salmah dan Aci Patmabi: Antara Realiti dengan Ilusi Pengarang” dlm. Dewan Sastera Mac hlm 29-30.

Talib Samat. 2013. Penulis dan Penulisan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


No comments:

Post a Comment