Empayar Rom merupakan antara peradaban yang pernah melakar kegemilangan di pentas dunia. Selama 1,000 tahun, mereka mendominasi kawasan Laut Mediterranean dengan undang-undang dan budaya mereka memberi kesan besar kepada dunia sehingga ke hari ini. Dan maharaja-maharaja Rom yang kita kenali hari ini tak kiralah sama ada jasa mereka membina empayar atau beri nama buruk seperti Julius Caesar, Augustus, Caligula dan Nero. Tetapi selepas pemerintahan 12 Caesar ini, ada anekdot berkenaan maharaja-maharaja yang menduduki takhta ini.
1. DIDIUS JULIANUS (193 MASIHI) - 9 MINGGU PEMERINTAHAN
Figure 1: Didius Julianus |
Didius Julianus menjadi maharaja selama sembilan minggu saja dan atas sebab menarik. Tahun 193 Masihi merupakan tahun berdarah bagi Empayar Rom kerana pada tahun itu ada lima maharaja yang memerintah termasuk Didius. Sebelum baginda menduduki takhta, maharaja sebelumnya ialah Pertinax. Dan Pertinax membayar harga mahal dengan nyawanya apabila tidak membayar upah lumayan kepada Pengawal Praetornya.
Selepas baginda dibunuh, Pengawal Praetor mengumumkan kepada orang ramai bahawa maharaja telah mati dan sesiapa yang dapat membayar pengawal-pengawal tersebut dengan harga paling tinggi, orang tersebut akan diangkat sebagai maharaja. Menurut sumber, pada awalnya, Didius enggan membida tetapi akhirnya mengalah selepas dipujuk oleh isterinya. Selepas melawan bidaan seorang lagi pembida iaitu Sulpicianus, Didius diisytiharkan pemenang dan diangkat sebagai maharaja yang baru. Malangnya, perlantikan ini tidak mendapat sokongan Senat dan wilayah-wilayah Rom, mengakibatkan berlakunya pemberontakan yang membawa kepada pembunuhan baginda. Pengasas Dinasti Severus, Septimus Severus menduduki takhta sebagai maharaja yang baru.
2. CARACALLA (198-217 MASIHI) - 19 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 2: Caricalla |
Figure2A: Geta |
Caracalla dan saudaranya, Geta merupakan antara contoh terbaik persaingan adik-beradik. Kedua-duanya merupakan putera Maharaja Septimius, pengasas Dinasti Severan. Baginda sentiasa mengingatkan putera-puteranya itu untuk bekerjasama dan memerintah secara bersama. Tetapi malangnya, kebencian yang meluap-luap antara satu sama lain menyukarkan hasrat baginda itu tercapai. Dan pada satu masa, mereka membahagikan kawasan istana sehingga ke bahagian tengah dengan setiap bahagian diduduki oleh dua putera raja tersebut. Dan idea ini turut dipertimbangkan selepas kemangkatan ayahanda mereka iaitu membahagikan empayar kepada timur dan barat dengan Caracalla memerintah di sebelah barat sementara Geta memerintah di sebelah timur. Namun idea tersebut ditolak oleh bonda mereka, Julia Domna yang enggan melihat empayar Rom berpecah.
Bagi memulihkan hubungan dua saudara tersebut, Domna mengaturkan satu pertemuan pada 26 Disember 211. Namun apabila Geta tiba, baginda dibunuh oleh Pengawal Praetor yang setia dengan Caracalla di hadapan bonda mereka sendiri. Selepas berjaya menguasai takhta, Caracalla mengeluarkan arahan kepada Senat untuk memadam semua bentuk rekod yang menyebut berkenaan Geta. Akibatnya semua imej Geta dibuang dari lukisan, syiling dicairkan, patung-patungnya dimusnahkan dan namanya dibuang dari rekod papirus. Sesiapa yang menyebut atau menulis nama Geta akan dihukum bunuh. Selepas insiden tersebut, 20,000 orang dibunuh terdiri daripada pengawal, penasihat, rakan-rakan dan pegawai tentera yang berkhidmat di bawah Geta.
Caracalla sememangnya seorang pemerintah yang kejam dan bagi mengekalkan kesetiaan tenteranya, mereka dibayar dengan upah lumayan. Sementara musuh-musuhnya pula termasuk orang yang mengkritiknya akan diseksa dan dibunuh. Antara polisi kontroversi yang diperkenalkan semasa eranya ialah memberi kerakyatan Rom kepada semua warga empayar. Cassius Dio menyifatkan langkah tersebut untuk membantu Caracalla mengutip lebih banyak cukai tetapi langkah ini dilihat cuba menggembirakan dewa-dewi Rom dan langkah logik dalam proses pengembangan empayar. Kekejaman Caracalla menyebabkan baginda dibunuh oleh seorang askar bernama Justin Martialis semasa mahu membuang air. Selepas kemangkatan Caracalla, baginda digantikan oleh Macrinus.
3. MACRINUS (217-218 MASIHI) - 3 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 3: Macrinus |
Satu anekdot menarik berkenaan Macrinus ialah baginda satu-satunya maharaja yang menduduki takhta tanpa menjadi senator dahulu. Walaupun Senat sudah kehilangan kuasa kepada Maharaja Augustus selepas baginda mengambil alih pemerintahan, kebanyakan anggota Senat datang dari keluarga yang berkuasa termasuk hartawan, pegawai-pegawai tentera dan anggota kerabat diraja Rom.
Dan cara baginda menaiki takhta juga amat menarik. Sebagai ketua Pengawal Praetor, antara tugas baginda ialah membaca surat-surat maharaja. Pada satu hari, baginda membaca satu surat ramalan yang dihantar kepada Caracalla. Dalam surat tersebut, si peramal meramalkan bahawa Caracalla akan dibunuh dan digantikan oleh ketua pengawalnya. Bagi Macrinus, baginda sudah merasa tidak selamat. Dan bagi Caracalla yang memang terlalu paranoid, pasti akan mengarahkan Macrinus dibunuh. Untuk mengelak dibunuh oleh Caracalla, Macrinus mengupah seorang askar bernama Justin Martialis untuk membunuh maharaja tersebut semasa baginda mahu membuang air.
Selepas berjaya mendapat kesetiaan tenteranya dan kelulusan Senat, Macrinus mengisytiharkan dirinya maharaja. Namun baginda tidak bertahan lama di atas takhta kerana plot rampasan kuasa yang dirancang oleh kakak Julia Domna, Julia Maesa, tentera yang tidak berpuas hati dengan tindakan mengurangkan gaji rekrut baru dan enggan berpindah dari Antioch ke Rom. Selepas berjaya merampas takhta dari Macrinus dan menabalkan cucunya, Elagabalus sebagai maharaja baru, Julia Maesa mengarahkan Macrinus diburu. Selepas beberapa lama, baginda dan puteranya, Diadumenianus ditangkap dan kedua-duanya dipenggal. Kepala mereka berdua kemudian diserahkan kepada Elagabalus sebagai trofi. Pihak Senat turut menyenaraikan kedua-duanya sebagai musuh di mana semua hasil seni dan rekod berkaitan mereka berdua dimusnahkan atau dipadam dari rekod.
4. ELAGABALUS (218-222 MASIHI) - 4 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 4: Elagabalus |
Sepupu Alexander Severus, Elagabalus merupakan salah seorang maharaja dari Dinasti Severus yang menaiki takhta pada usia 14 tahun selepas Macrinus digulingkan oleh kaum kerabat baginda. Namun kebanyakan anekdot sejarah memperlihatkan baginda sebagai seorang penganut agama pelik dan kecenderungan seksualnya juga dianggap jelik menurut standard hari ini. Walaupun kita semua tahu sesetengah anekdot ini hanyalah rekaan semata-mata untuk memperlihatkan bahawa seseorang maharaja itu lemah atau korup, kita masih tertanya-tanya apakah ianya memang sekadar fitnah atau kisah sebenar yang memang berlaku.
Sumber sejarah melaporkan baginda suka berpakaian seperti wanita, berkahwin sebanyak lima kali dan mempunyai ramai kekasih lelaki. Tidak seperti dakwaan Caligula menjadikan istananya sebagai rumah pelacuran, Elagabalus juga dikatakan pernah melacurkan dirinya di istana diraja. Jika Elagabalus masih hidup, baginda boleh dianggap sebagai transgender. Satu khabar angin menyatakan baginda juga membunuh kekasih-kekasihnya dengan kelopak-kelopak bunga seperti dipaparkan dalam lukisan abad ke-19 yang dilukis oleh Sir Lawrence Alma-Tadema. Elagabalus juga merupakan ketua kuil dewa matahari El-Gabal dan menukar namanya bagi menunjukkan kedudukan baginda. Elagabalus turut memaksa senator-senator menyembah dewa tersebut dalam majlis-majlis keagamaan.
Julia Maesa, nendanya melihat baginda sebagai alat untuk memerintah Rom tetapi lama-kelamaan melihat Elagabalus sebagai liabiliti. Akhirnya, Maesa mengarahkan Elagabalus dibunuh dan baginda digantikan oleh Alexander Severus.
5. ALEXANDER SEVERUS (222-235 MASIHI) - 13 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 5: Alexander Severus |
Selepas Elagabalus dibunuh pada 222 Masihi, sepupunya, Alexander Severus dipilih untuk menaiki takhta pada usia 13 tahun. Pemerintahan baginda bertahan selama 13 tahun di mana kebanyakan polisi dipengaruhi oleh bonda baginda, Julia Mamaea. Dio menulis, “Baginda mengisytiharkan bondanya Augusta dan mengambil alih urusan pemerintahan serta mengumpul orang bijak berkenaan anaknya itu agar dapat memupuk tabiat yang baik dalam dirinya. Baginda turut memilih orang-orang terbaik di senat dan memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan.”
Antara reformasi yang dijalankan oleh Severus ialah pengurangan cukai, perkembangan ilmu sastera, seni dan sains serta keterbukaan dalam soal keagamaan. Walaupun Rom masih lagi mengamalkan agama pagan tetapi itu tidak menghalang baginda meluluskan pembinaan sebuah kuil Yahudi dan mahu membina sebuah gereja untuk penganut agama Kristian. Baginda juga cuba mendapatkan sokongan pihak tentera dengan menamakan sesiapa sebagai waris dan membebaskan hamba mereka dalam wasiat mereka. Dan sekiranya mereka berada di perbatasan, mereka masih dapat mengekalkan hak pemilikan harta mereka.
Walaupun dasar domestik Severus menyebabkan baginda disayangi, itu tidak boleh dikatakan berkenaan dasar ketenteraannya. Boleh dikatakan dasar baginda banyak dipengaruhi oleh Julia Mamaea sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka. Ini ditambah dengan kekalahan baginda semasa cuba melawan bala tentera Parsi di bawah pimpinan Ardashir I. Bukan itu saja, mereka tidak mempunyai disiplin yang menjadi antara ciri terhormat tentera Rom. Ini yang membawa kepada pembunuhan Severus oleh salah seorang jeneralnya dan pengganti baginda, Maximinus Thrax.
6. MAXIMINUS THRAX (235-238 MASIHI) - 3 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 6: Maximinus Thrax |
Jika Macrinus dikenali sebagai maharaja pertama yang dilantik bukan dari kalangan senator, Maximinus pula dikenali kerana diberi gelaran orang gasar oleh pihak Senat. Pada awalnya, baginda memulakan kerjaya sebagai tentera biasa sebelum berjaya mendapat kenaikan pangkat untuk tahun-tahun berikutnya. Satu anekdot menceritakan Maharaja Alexander Severus tertarik dengan kekuatan Maximus. Berikutan itu, Severus memberi kenaikan pangkat kepada Maximinus sebelum akhirnya diberi peluang mengetuai sebuah legion.
Berikutan usia muda Severus dan tindakan baginda dikawal oleh bondanya, Julia Mamaea, ini menyebabkan Severus tidak popular dalam kalangan pihak tentera. Ini ditambah tindakan baginda lebih suka membayar musuh-musuh Rom daripada memberi peluang kepada pihak tentera untuk memusnahkan mereka terus. Atas sebab itulah, pihak tentera memutuskan untuk membunuh Severus dan Mamaea serta mengangkat Maximus sebagai maharaja. Dengan pihak tentera menyokong Maximinus, Senat tiada pilihan selain menyokong Maximinus. Setelah baginda diangkat sebagai maharaja, Maximinus mengarahkan Senat menyenaraikan Severus sebagai musuh negara dan akibatnya, banyak rekod dan hasil seni membabitkan Severus dimusnahkan.
Memandangkan statusnya sebagai orang gasar dan bukan dari kalangan keluarga bangsawan, bukanlah satu kejutan ramai memutuskan untuk mencabar kekuatan Maxminus sebagai maharaja. Ini memaksa baginda menghabiskan banyak masa menghapuskan siri pemberontakan yang berlaku dalam empayar di mana salah satunya disokong oleh pihak Senat. Apabila pemberontakan tersebut gagal, pihak Senat bimbang Maximinus akan menghapuskan mereka. Baginda berarak ke Rom tetapi kemaraan mereka tersekat di Aquileia. Mereka mengepung bandar tersebut tetapi kebanyakan tentera Maximinus terbunuh akibat kebuluran dan penyakit berjangkit. Dengan moral semakin merudum, pihak tentera membunuh baginda, putera baginda dan menteri-menterinya.
7. AURELIAN (270-275 MASIHI) - 5 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 7: Aurelian |
Aurelian menaiki takhta tatkala Rom mengalami krisis paling hebat iaitu Krisis Abad Ketiga. Krisis ini menyaksikan perang saudara dan pembunuhan sehingga mengakibatkan empayar tersebut tidak stabil. Semasa baginda menaiki takhta, empayar Rom terbahagi kepada tiga iaitu Empayar Gallic yang mengawal Britain dan Gaul, bahagian timur dikawal oleh Ratu Zenobia sementara baki wilayah diancam oleh orang-orang gasar yang semakin menghampiri Itali.
Dalam tempoh lima tahun pemerintahan baginda, Aurelian melakukan sesuatu yang dianggap mustahil iaitu pelbagai siri kejayaan di medan perang. Selepas berjaya menghalau orang-orang gasar dari Germania keluar dari Itali, baginda seterusnya menghalau keluar orang-orang gasar Goth keluar dari Danube dan menubuhkan sebuah wilayah baru di Moesia dengan menjadikan Serdica (Sofia, Bulgaria) sebagai ibu negerinya. Pada tahun 272 Masihi, Aurelian menyerang Empayar Palmyra di mana kebanyakan kota menyerah kalah dengan mudah. Ratu Zenobia dan puteranya ditangkap dan diarak di Rom. Walaupun selepas ratu mereka ditawan, Palmyra masih enggan menyerah memaksa Aurelian dan tenteranya menyerang Palmyra pada 273 Masihi. Baginda kemudiannya membenarkan mereka menjarah bandar tersebut.
Setahun selepas itu, baginda mengalihkan perhatian pada Empayar Gallic. Empayar Gallic mudah tumbang berikutan kesediaan raja mereka, Tetricus untuk turun takhta dan membenarkan semua wilayah Gallic kembali semula kepada Rom. Dalam tempoh empat tahun, Aurelian berjaya menyelamatkan Empayar dan menyatukannya semula. Atas sebab itu, Senat memberi gelaran Restitutor Orbis atau Penyatu Dunia atas jasanya itu.
Namun, Aurelian mangkat kerana konspirasi. Baginda amat dikenali kerana ketegasannya terutama jika kesalahan yang dilakukan itu kecil. Seorang setiausaha diraja berbohong kepada Aurelian tentang satu hal kecil. Namun bimbang jika kesalahannya itu diketahui dan dihukum keras, setiausaha tersebut membuat satu senarai palsu mengandungi nama-nama orang yang akan dihukum bunuh oleh baginda. Setiausaha tersebut menunjukkan senarai tersebut kepada orang yang dimaksudkan. Bimbang akan keselamatan nyawa mereka, individu-individu ini membunuh Aurelian pada September 275 Masihi di Caenophurium, Thrace (Turki). Namun selepas menyedari senarai tersebut palsu, kesemua pembunuh ini merasa tertipu dan menyesal akan tindakan mereka itu.
8. DIOCLETIAN (284-305 MASIHI) - 21 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 8: Diocletian |
Diocletian ialah individu yang bertanggungjawab memastikan Empayar Rom terus berdiri megah sekurang-kurangnya untuk dua abad lagi. Selepas menaiki takhta, baginda mengubah sistem sedia ada dengan mengasaskan sistem Dominate. Sistem ini secara ringkas menyatakan setiap titah Diocletian merupakan undang-undang dan baginda boleh dianggap hampir tarafnya dengan Tuhan. Baginda turut menubuhkan sistem birokrasi berdasarkan subdivisyen sesebuah wilayah dipanggil dioceses, satu sistem yang masih diamalkan pihak gereja hari ini.
Menyedari tugas memerintah kerajaan merupakan satu tugas besar, Diocletian membahagikan kerajaannya kepada empat di mana ia diperintah oleh seorang maharaja bagi setiap wilayah. Sistem tersebut dipanggil Tetrarki di mana ia membenarkan setiap maharaja fokus kepada setiap wilayah dengan lebih berkesan dan boleh menguruskan setiap ancaman di wilayah mereka. Deocletian turut melancarkan reformasi pada mata wang dan pasukan tentera untuk memastikan ketidakstabilan semasa era pemerintahan terdahulu tidak berulang.
Namun pencapaian terhebat Diocletian ialah mangkat kerana sebab semulajadi dan bukan sebab kematian biasa bagi kebanyakan maharaja Rom, dibunuh. Malah, berdasarkan rekod, baginda juga satu-satunya maharaja yang bersara secara sukarela dan turun dari takhta. Selepas turun takhta, Diocletian berangkat ke sebuah istana di Split, Croatia dan menjalani kehidupan sebagai petani kobis. Tak lama selepas itu, ada saja maharaja Rom yang terkemudian datang menziarahi Diocletian dan cuba memujuk baginda kembali semula ke takhta, Diocletian hanya membalas, “Jika kamu lihat saiz kobis yang aku tanam, kamu pasti akan meninggalkan empayar.”
9. JULIAN (361-363 MASIHI) - 2 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 9: Julian |
Satu perkara menarik berkenaan Julian ialah baginda maharaja terakhir yang mengamalkan paganisme. Masalahnya, 30 tahun sebelum itu, Maharaja Constantine mengisytiharkan bahawa agama Kristian merupakan agama rasmi empayar. Dan tradisi ini diteruskan oleh maharaja-maharaja seterusnya. Baginda merupakan satu-satunya waris dari anak terakhir Constantine, Julius Constantius II yang terlibat dalam perang saudara semasa merebut takhta. Baginda disyaki tidak mengamalkan agama Kristian tetapi Constantius mengangkatnya sebagai pewaris takhta bagi meneruskan dinasti Constantine.
Sebagai pewaris takhta, Julian mengetuai askar di Gaul (Perancis) tetapi Constantius yang cemburu mahukan separuh dari angkatannya itu untuk kempen di Timur. Namun pihak tentera enggan memenuhi permintaan Constantius dan mengangkat Julian sebagai maharaja baru. Berang dengan tindakan mereka, Constantius berangkat ke Gaul tetapi mangkat sebelum sempat sampai ke Gaul. Selepas diangkat sebagai maharaja, Julian menarik balik semua bentuk keistimewaan yang diberi kepada agama Kristian. Selain itu, baginda turut melancarkan reformasi dalam pelbagai bidang bagi melicinkan semua urusan pentadbiran. Bagi mendapatkan sokongan pihak tentera, Julian melantik Nevitta sebagai konsul dan terlibat dalam kempen mereka ke atas Parthia. Namun ianya tidak bertahan lama apabila baginda terbunuh kerana ditusuk oleh lembing tentera Parthia.
10. MAJORIAN (457-461 MASIHI) - 4 TAHUN PEMERINTAHAN
Figure 10: Majorian |
Majorian merupakan maharaja terakhir paling baik dari Rom Barat sebelum kerajaan tersebut musnah pada 476 Masihi. Sebelum baginda menaiki takhta, Rom Barat hanya menguasai Itali, sebahagian kawasan di Gaul dan satu kawasan di rantau Balkan. Selepas Majorian mengambil alih pemerintahan, baginda melancarkan kempen ketenteraan untuk mengembalikan semula kegemilangan Rom.
Semasa pemerintahan baginda, kebanyakan kawasan di Gaul dan Hispania (Sepanyol) berjaya ditawan dan diletakkan semula di bawah penguasaan Rom. Selain itu, Majorian turut melaksanakan pelbagai reformasi dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan sosial sehingga menyebabkan Rom kembali makmur. Namun kejayaan Majorian dari segi ketenteraan tidak bertahan lama apabila baginda mengadakan kempen memerangi kerajaan Vandal yang dipimpin raja mereka, Genseric. Semasa angkatan laut Rom berlabuh di Elche, kapal-kapal mereka disabotaj dan dibakar oleh pengkhianat-pengkhianat yang dibayar oleh Vandal. Berikutan insiden tersebut, Majorian membatalkan serangan ke atas kerajaan Vandal dan menerima duta Genseric. Dalam pertemuan itu juga, satu perjanjian damai dicapai dengan Rom mengiktiraf pendudukan Vandal di Mauretania.
Namun pemerintahan Majorian tidak bertahan lama. Pada 2 Ogos 471 Masihi, baginda ditahan oleh Ricimer, salah seorang orang kepercayaannya. Majorian dimalukan apabila pakaian kebesarannya dikoyakkan, dibelasah, diseksa dan dipenggal pada 7 Ogos 471 Masihi. Baginda dibunuh pada usia 40 tahun.
RUJUKAN: Hornigold, Thomas. (2017). Listverse. Top 10 Little-Known But Fascinating Roman Emperors. http://listverse.com/2017/09/16/top-10-little-known-but-fascinating-roman-emperors/
No comments:
Post a Comment