Monday, 20 July 2020

KENALI CAPE MALAY - KAUM MELAYU YANG HIDUP DI AFRIKA SELATAN

Kenali Cape Malay, Kaum Melayu Yang Hidup Di Afrika Selatan

TAHUKAH ANDA DI AFRIKA SELATAN ADANYA KOMUNITI MELAYU?


Kenali Cape Malay, Kaum Melayu Yang Hidup Di Afrika Selatan. Sekiranya anda sebut ‘Melayu’ dan ‘negara’, negara Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia akan terlintas dalam fikiran kita.

Tapi tahukah anda di Afrika Selatan ada juga komuniti Melayu? Malah, moyang mereka merupakan masyarakat pertama membawa Islam ke Afrika Selatan!

KUMPULAN ETNIK DI AFRIKA SELATAN


Nama Cape Malay berasal dari Cape of Hope di Afrika Selatan dan masyarakat Melayu yang berasal dari kepulauan Melayu.

Kebanyakan mereka berasal dari Hindia Belanda (kini Indonesia), yang merupakan koloni Belanda selama beberapa abad, dan Melaka Belanda ketika negeri itu dijajah oleh Belanda dari tahun 1641 hingga 1824.

Anggota masyarakat ini merupakan orang Jawa yang diperhambakan dan diangkut oleh Syarikat Hindia Timur Belanda ke Afrika Selatan. Hal ini kerana penjajah Belanda menggunakan Cape Town sebagai stesen bekalan untuk kapal-kapal yang melakukan perjalanan antara Eropah dan Asia.

Tokoh penting dalam kedatangan Islam adalah pemimpin Muslim yang menentang pemerintahan syarikat berkenaan di Asia Tenggara. Salah seorang, Sheikh Yusuf, dibuang negara oleh syarikat tersebut ke Afrika Selatan, kemudian diikuti oleh hamba-hamba dari berbagai wilayah Asia Tenggara yang lain dan juga pembangkang politik dan pemimpin agama Islam yang menentang kehadiran Belanda di Hindia Belanda (Indonesia).

Pada abad ke-18, bahasa Melayu diguna sebagai bahasa lingua franca orang-orang Muslim yang diperhambakan dan kemudian dibebaskan, walaupun mereka berasal dari Afrika Timur, Madagaskar, India dan Indonesia.

Penggunaan bahasa Melayu turut menjadikan moniker ‘Melayu’ untuk semua umat Islam tanpa mengira asal usul geografinya.

Menjelang abad ke-19, istilah ini digunakan untuk warga Cape Town yang beragama Islam, sementara bahasa Afrikaans menggantikan bahasa Melayu sebagai lingua franca masyarakat ini.

IDENTITI CAPE MALAY


Oleh kerana kebanyakan orang Cape Malay mendapati identiti Muslim mereka lebih menonjol daripada keturunan Melayu mereka, mereka digelar sebagai ‘Cape Malay’ untuk membezakan mereka dari masyarakat Melayu nusantara.

Lama-kelamaan, hamba Indonesia yang asalnya dibawa dari Indonesia ke Afrika Selatan, berkahwin dengan pelbagai kaum lain termasuk hamba-hamba lain dari Selatan Asia dan Asia Tenggara, Madagaskar, dan orang asli Afrika. Perkara ini kemudian mewujudkan masyarakat ‘Melayu’ yang berpelbagaian dalam komuniti mereka.

PEMBAWA ISLAM KE AFRIKA SELATAN


Pengasas komuniti ini adalah yang pertama membawa agama Islam ke Afrika Selatan.

Malah, budaya dan tradisi masyarakat juga meninggalkan kesan yang dapat dirasakan hingga hari ini.

Komuniti Muslim di Cape Town kini sudah besar dan telah berkembang lebih daripada hamba-hamba yang memulakan masjid pertama di Afrika Selatan.

Masyarakat Cape Malay bertutur dalam bahasa Afrikaans dan bahasa Inggeris. Walaupun mereka kini tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa lain yang digunakan oleh nenek moyang mereka, pelbagai perkataan dan frasa bahasa Melayu masih digunakan dalam penggunaan harian.

MAKANAN TRADISIONAL DIPENGARUHI OLEH MAKANAN MASYARAKAT MELAYU NUSANTARA


Pelbagai makanan tradisi Afrika Selatan seperti bredie, bobotie, sosaties, dan koeksisters diasimilisasikan dalam makanan tradisi Cape Malay.

Terdapat juga makanan lain yang dipengaruhi oleh makanan masyarakat Melayu nusantara. Di Indonesia, terdapat sejenis hidangan yang digelar sebagai ‘samosa’ atau ‘kue kering’ iaitu sejenis popiah yang berinti kentang, keju, kari dan mi. Ia dihidang dengan sambal sebagai makanan ringan. Makanan ini juga didapati dalam masyarakat Cape Malay dan digelar sebagai ‘samoosas’.
Samosa (Indonesia) di sebelah kiri, Samoosas (Afrika Selatan) di sebelah kanan.

Salah satu lagi makanan tradisi Cape Malay yang mempunyai pengaruh masyarakat Melayu Malaysia ialah kari ayam dengan sambal. 

HUBUNGAN ANTARA CAPE MALAY DAN MALAYSIA


Ketika Afrika Selatan bergabung semula dengan masyarakat antarabangsa, terjalinnya hubungan antara rakyat Malaysia dan Afrika Selatan.

Kemasukan Afrika Selatan disambut baik oleh kerejaan Malaysia dan juga masyarakat lain di rantau Asia Tenggara.

Malah, kumpulan-kumpulan NGO seperti Federation of Malaysia Writers’ Association telah menjalin hubungan dengan masyarakat Cape Malay.

NEGARA YANG BERBEZA TETAPI BERSATU MELALUI SEJARAH


Walaupun masyarakat ini tidak lagi bertutur dalam bahasa nenek moyang mereka, mereka masih mengamalkan Islam, budaya, makanan dan juga keramahan masyarakat nusantara yang dikenali seluruh dunia.

Bayangkan selama ini anda fikir hanya di nusantara sahaja ada masyarakat Melayu, siapa sangka di Afrika Selatan ada juga masyarakat Melayu. Lagi-lagi mereka masih mengamalkan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu yang dapat dilihat hingga sekarang.
Keluarga Cape Malay

SUMBER: iloveborneo

No comments:

Post a Comment