Showing posts with label Wali Allah. Show all posts
Showing posts with label Wali Allah. Show all posts

Wednesday, 18 September 2019

SATU-SATUNYA MANUSIA YANG BUKAN NABI DAN BUKAN PULA RASUL TETAPI KISAH HIDUPNYA DIABADIKAN DALAM QUR’AN

Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an adalah Lukman Al Hakim. Kenapa, tak lain, karena hidupnya penuh hikmah. Suatu hari ia pernah menasihati anaknya tentang hakikat hidup.
luqman hakim
“Anakku, jika makanan telah memenuhi perutmu, maka akan m4tilah pikiran dan kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan malas untuk melakukan ibadah, dan hilang pulalah ketulusan dan kebersihan hati.

Padahal hanya dengan hati bersih manusia bisa menikmati lazatnya berdzikir.”

“Anakku, kalau sejak kecil engkau rajin belajar dan menuntut ilmu. Dewasa kelak engkau akan memetik buahnya dan menikmatinya.”

“Anakku, ikutlah engkau pada orang-orang yang sedang menguruskan jena-zah, jangan kau ikut orang-orang yang hendak pergi ke pesta pernikahan. Karena jenazah akan mengingatkan engkau pada kehidupan yang akan datang. Sedangkan pesta pernikahan akan membangkitkan nafsu duniamu.”

“Anakku, aku sudah pernah memikul batu-batu besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi berat. Tapi tidak pernah kurasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya.”

“Anakku, aku sudah merasakan semua benda yang pahit. Tapi tidak pernah kurasakan yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan.”

“Anakku, aku sudah mengalami penderitaan dan bermacam kesusahan. Tetapi aku belum pernah merasakan penderitaan yang lebih susah daripada menanggung hutang.”

“Anakku, sepanjang hidupku aku berpegang pada delapan wasiat para nabi.

Kalimat itu adalah:

Jika kau beribadah pada Allah, jagalah pikiranmu baik-baik.

Jika kau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandanganmu.

Jika kau berada di tengah-tengah majelis, jagalah lidahmu.

Jika kau hadir dalam jamuan makan, jagalah perangaimu.

Ingatlah Allah selalu.

Ingatlah maut yang akan menjemputmu.

Lupakan budi baik yang kau kerjakan pada orang lain.

Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.

6 Nasihat Luqman Al-Hakim Kepada Puteranya Dalam Surah Luqman.

Pernahkah anda mendengar kisah Luqman Al-Hakim sebelum ini dan siapakah beliau yang sebenarnya ?

Saya pasti ramai di antara kita yang sudah biasa dengan nama Luqman Al-Hakim, dan mungkin juga ada yang baru pertama kali mendengarnya.

“Bermacamlah pendapat ahli Tafsir mengenai sejarah Luqman .Ada yang mengatakan dia Nabi pada masa antara Isa dan Muhammad s.a.w . Ada yang mengatakan kadi pada masa Bani Israil dan lain-lain pendapat. Tapi pendapat yang paling banyak mengatakan, bahawa Luqman bukanlah Nabi, tapi seorang yang diberi allah ‘HIKMAH’ yang hidup pada masa Nabi Daud a.s”.

Menurut Ibnu Kathir, Luqman Al-Hakim adalah seorang hamba yang soleh, kuat beribadat, mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa dan sangat suka berkongsi nasihat sehinggakan terdapat sebuah surah yang khusus di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kisah beliau beserta nasihat yang disampaikan kepada anaknya.

Nasihat Luqman kepada anaknya, tersebut didalam Al-Quran, surah Luqman ayat 13-19. Jom kita lihat apakah nasihat disampaikan kepada anaknya.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, dikala sedang memberinya nasihat, (katanya) :

Hai anakku! Janganlah engaku mempersekutukan allah, kerana sesungguhnya syirik itu adalah suatu penganiayaan yang besar.

Dan kami wajibkan manusia (taat) kepada ibubapa, ibunya yang telah mengandungkannya (dengan menderita) lemah bertambah lemah dan berhenti menyusukannya dalam masa dua tahun (kami perintahkan): “Hendaklah engkau bersyukur kepada ku dan kepada ibubapa mu, kepada kulah tempat kembali.

Dan jika keduanya memaksamu supaya engkau mempersekutukan aku (dengan sesuatu) tanpa ada pengetahuanmu padanya, tapi gantilah keduanya dengan baik dalam (urusan) dunia, turutlah jalan orang yang kembalimu, maka aku akan mengabarkan kepadamu segala apa yang telah kamu kerjakan.

Hai anakku! “Sesungguhnya jika ada (amal-amal) itu sebesar biji sawi (sekalipun), biar adanya didalam batu, atau dilangit, ataupun dibumi, nescaya allah akan tunjukkan (memperlihatkannya).Sesungguhnya allah maha halus lagi maha mengetahui”.

Hai anakku! “Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebajikan dan laranglah dari perbuatan yang mungkar dan sabarlah atas sesuatu (musibah) yang menimpamu.Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari urusan-urusan yang dipastikan (allah).

Dan janganlah engkau memalingkan pipimu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan dimuka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.

Wallahualam…

Anda dah baca,Apa pendapat anda jangan lupa komen dan share ya.Terima kasih.


Wednesday, 19 July 2017

SEJARAH AWAL MERCEDEZ BENZ

Sebelum munculnya teknologi automobil, manusia menggunakan kapal, keretapi stim, basikal, binatang tunggangan dan berjalan kaki untuk mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Di air, manusia ‘berurusan’ dengan menggunakan bot pengayuh yang dijanakan dengan kuasa stim. Di darat, landasan keretapi menjadi penghubung bagi segenap masyarakat kelas sosial untuk mengembara merentasi kampung, daerah dan metropolis bagi menuju tempat yang mereka ingini. Menuju era 1870, kenderaan yang dipacu menggunakan kuda telah digunakan secara meluas bagi membawa barangan mahupun manusia sebelum munculnya teknologi yang dipanggil automobil.

Putar kembali ke tahun 1844, seorang bayi lelaki yang diberi nama Karl Benz dilahirkan di sebuah pekan di Karlsruhe, Baden, Jerman. Dibesarkan dalam keluarga yang mana ayahnya adalah seorang pemandu enjin gasolin, ibubapa Karl Benz begitu mementingkan pendidikan dan ia terbukti apabila Benz berjaya menggengam ijazah daripada Karlsruhe Institute of Technologi (KIT) pada 9 Julai 1864.

Pada tahun 1871 di sebuah bengkel di Manheim, Benz bersama rakannya, August Ritter memulakan idea yang telah lama disimpan ketika beliau di bangku universiti lagi dalam membangunkan enjin dua lejang (two-stroke engine) bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat sekitarnya ketika itu yang menggunakan kuda sebagai kenderaan pembawa barangan.

Kejayaan Benz bermula pada tahun 1881 apabila beliau mula menghasilkan enjin gas menggunakan konsep dan prinsip enjin dua lejang tersebut berbanding paten enjin oleh Otto ketika itu yang mengaplikasikan prinsip enjin empat lejang. Dengan kejayaan ini, Benz mula terinspirasi untuk mencipta satu kenderaan yang lebih ringan dengan dipacu oleh enjin gasolin di mana chasis dan enjin dijadikan sebagai satu unit.

Benz yang pernah bekerja sebagai tukang kunci berjaya menyiapkan sebuah kenderaan dua tempat duduk berkapasiti 0.75 hp (0.55kW) pada tahun 1885. Tanggal 29 Januari 1886, Benz telah berjaya mempatenkan ‘kenderaan dipacu enjin gas’ ini yang diberi nama Benz Patent Motor Car, model nombor 1. Kenderaan ciptaan Benz ini telah melalui satu proses penambahbaikan oleh isterinya sendiri, Bertha Benz apabila Bertha bertindak ‘meminjam’ kenderaan Benz tanpa pengetahuannya bagi melakukan perjalanan sejauh 106km bersama anak mereka dari Manheim untuk melawat ibunya di Pforzheim di mana sepanjang perjalanan jauh  tersebut, Bertha telah melakukan beberapa pengubahsuaian teknikal terhadap Model No.1.

Dalam tahun yang sama di Cannstatt, Gottlieb Daimler bersama rakannya, Wilhelm Maybach melalui syarikat mereka Daimler-Motoren Gesellschaft (DMG) membangunkan prototaip enjin berkelajuan tinggi (yang telah bermula pada tahun 1883) yang dikenali sebagai ‘Grandfather Clock’. Walaupun kedua-dua Benz dan Daimler mempunyai aspirasi yang sama dalam membangunkan automobil, Benz lebih memfokuskan perniagaannya dalam membangunkan kenderaan yang lebih ringan bertemakan ‘kerdil dari segi berat, gagah dari segi kuasa’. Manakala, Daimler pula lebih cenderung dalam menggunakan enjinnya bersifat diversiti untuk digunakan di darat, air dan udara antaranya bot, lokomotif, kenderaan bomba dan trak. Kedua-duanya memacu perkembangan pesat dalam mencorakkan teknologi automobil dunia, tetapi mereka langsung tidak berpeluang untuk bertemu meskipun jarak memisahkan syarikat mereka hanyalah 100 kilometer.

Sukan permotoran ketika itu juga meningkat naik dengan cepat dan menjadi salah satu medium penting bagi para pereka kenderaan memperolehi publisiti terhadap inovasi mereka. Ia juga menjadi antara faktor bagi memperlihatkan keupayaan kenderaan keluaran mereka di kalangan pesaing industri. Salah seorang daripada pelanggan DMG berasal daripada Vienna adalah Emil Jellinek yang juga seorang ahli perniagaan menjual kenderaan DMG bermula daripada tahun 1898. Jellinek ketika ini berkeinginan tinggi untuk memperlihatkan prestasi kenderaan keluaran DMG dalam penglibatan kereta lumba.

Oleh yang demikian, Jellinek memberikan tekanan kepada ketua jurutera DMG, Wilhelm Maybach untuk menghasilkan sebuah kenderaan baharu dengan keupayaan prestasi enjin yang lebih laju. Maybach, tidak mahu menghampakan permintaan Jellinek telah membangunkan sebuah kenderaan lumba yang sama sekali berbeza dengan kenderaan yang dikeluarkan DMG sebelum ini. Pada Mac 1901, kenderaan ciptaan baharu Maybach ini telah menyertai festival lumba di Nice dan memenangi hampir kesemua perlumbaan sekaligus menjadi buah mulut orang ramai. Hasil inovasi baharu ini membuatkan Jellinek menjenamakan kenderaan tersebut kepada Mercedes sempena nama anak perempuannya seterusnya dipatenkan oleh DMG pada tahun 1902.

Bermula daripada itu, DMG tidak menoleh ke belakang lagi dan memulakan penghasilan kenderaan berprestasi tinggi di bawah jenama Mercedes. Logo tiga bintang diperkenalkan pada tahun 1909 sebagai simbol mobiliti di darat, air dan udara. Benz melalui Benz & Cie. meneruskan penghasilan kenderaan komersil walaupun kedua-dua syarikat berhadapan dengan krisis Perang Dunia Pertama ketika itu. Fokus DMG dan Benz & Cie. mula terarah kepada kenderaan bagi tujuan peperangan bagi memenuhi permintaan pemerintah sehingga melibatkan pengambilan ribuan buruh paksa yang bekerja siang dan malam.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat, industri automotif Jerman berdepan cabaran besar untuk pulih. Kejatuhan nilai matawang dan kehilangan pengaruh pasaran luar memberikan kesan negatif kepada kedua-dua syarikat ini. Tambahan pula, ia terpaksa berdepan persaingan sengit di pasaran domestic dengan kemasukan pengeluar asing seperti Ford Motor Company. Bagi menangani cabaran besar ini, kedua-dua syarikat DMG dan Benz & Cie. akhirnya bergabung pada tahun 1926 dengan nama Daimler-Benz berpangkalan di Berlin dan Stuttgart menjadi ibu pejabat pentadbiran mereka. Susulan penggabungan ini, kesemua model kenderaan automobil baharu mereka digelar Mercedes-Benz sebagai penghormatan terhadap model pertama keluaran DMG, Mercedes 35hp.

Karl Benz meneruskan peranan di dalam lembaga pengarah Daimler-Benz dari tahun 1926 hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1929.


TRANSFORMASI MERCEDEZ BENZ 1886 - 2010















Hasil carian imej untuk mercedez benz 2017
Mercedez Benz 2017


Wednesday, 14 June 2017

ROH ITU HAKIKAT DIRI - SAYYIDI SYEKH ABDULQODIR AL JAELANI

Image may contain: 1 person, beard and text
Syeikh Abdul Qodir al-Jailani di dalam kitab "SIRRUL ASRAR" mengatakan;

"Roh adalah haQiQat diri manusia yang sebenar.. Roh adalah Nur Cahaya yang tinggi yang dibaluti dengan beberapa lapisan pakaian sebelum diturunkan ke alam dunia ini agar jasad tidak terbakar"

****

01. Permulaan Penciptaan

Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.

Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya.

Dalam hadis Qudsi Dia berfirman: 
"Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku".

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya 
"Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci". 
"Mula-mula Allah ciptakan qalam". 
"Mula-mula Allah ciptakan akal".

Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah.

Allah Yang Maha Tinggi berfirman: 
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan". (Al-Maaidah, ayat 15)

Dia dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, "Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku".

Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad' adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.

Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.

"Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah". (Surah Tin, ayat 15)

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal).

Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.

"Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi". (Surah Ta Ha, ayat 55)

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk. 
"Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku...". (Surah Shad, ayat 72)

Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka: 
"Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab:Iya, bahkan!."

Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.

"Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah".(Surah Ibrahim, ayat 5)

Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah'.

Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.

Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah.

Allah berfirman: 
"Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)". (Surah Yusuf, ayat 108).

Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, "Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar".

Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.

"Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)". (Surah Kahfi, ayat 65).

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.

Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah.

Allah memerintahkan: 
"Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan". (Surah Imraan, ayat 133 & 134).

Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini.

Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu. Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda, "Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian".

Apa sahaja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau makrifat.

Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya (hakikat).

"Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-duanya tidak mampu melewatinya". (Surah Imraan, ayat 19 & 20).

Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan. Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat.

Allah berfirman tentang ibadat: 
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah Dzaariyat, ayat 56).

Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku'. Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?

Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati.

Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasul-Nya: 
"Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali".

Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.

Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat.

Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.

"Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan roh kudus". (Surah Baqarah, ayat 87).

Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.

Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan.

Nabi s.a.w bersabda, "Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita".

Pada peringkat permulaannya seseorang itu memerlukan pengetahuan syarikat. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di dalam alam sifat-sifat dan nama-nama ini.

Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan kerohanian tentang rahsia-rahsia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala-galanya yang tidak dipersetujui oleh syariat malah, kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang baik mestilah dihapuskan. Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan cara yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi.

Keadaan ini boleh dicapai dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya.

Allah berfirman: 
"Barangsiapa berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Surah Kahfi, ayat 110).

Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana. Di sanalah roh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.

Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama. Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi kalimah "La ilaha illah Llah".

Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.

Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibela dan dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan seperti ibu, melahirkannya, menyusun, memberi makan dan memeliharanya.

Jika anak-anak diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih daripada dosa, bayi hati adalah tulen, bebas daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya menyata dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran syurga sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari syurga didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.

"Dalam kebun-kebun kenikmatan...melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaan mereka".(Surah Waqi'ah, ayat 12 - 17 ).

"Melayani mereka adalah anak-anak muda laksana mutiara yang tersimpan". (Surah Tur, ayat 24).

Mereka adalah anak-anak kepada hati, menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam kewujudan zahir, dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan Pencipta sendiri. Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan. Di dalam kesedarannya tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab, tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.

Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w, "Ada masa aku dengan Allah di mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus".

Maksud ‘nabi' di sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w, kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan menghijabkannya dengan Allah.

Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana demikian, "Ada syurga Allah yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, syurga yang di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci".

Allah s.w.t berfirman: 
"Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang". (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).

Pada suasana atau makam tersebut jika seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya: 
"Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku".

Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan jika dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.