Seluruh rakyat pastinya teruja serta bangga apabila sekali lagi dapat menyaksikan upacara gilang-gemilang menyambut keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong XIV Al-Sultan Al- Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah binti Hamidun ke Istana Negara, Kuala Lumpur.
Yang Di-Pertuan Agong XIV
Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Yang Di-Pertuan Agong XIV oleh Majlis Raja-Raja  dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja  yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang pada 14 Oktober yang lalu. Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Perlantikan tersebut  dibuat bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud yang  tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong XIII. Baginda yang juga merupakan Sultan Terengganu menduduki tahta berkenaan semenjak 13 Disember 2006.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (tiga, kanan) bergambar bersama (dari kiri) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu bagi memilih Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2011.
Perlantikan Sultan Kedah ini telah  mencipta sejarah baru negara kerana  berpeluang menjadi Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali sekaligus Sultan yang tertua pernah ditabalkan. Baginda pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong V iaitu  pada 21 September 1970  – 20 September 1975.
Tuanku Abdul Halim semasa upacara mengangkat sumpah sebagai Yang Di-Pertuan Agong V.
Baginda yang  menjadi Raja Muda Kedah pada tahun 1949 telah menduduki tahta Kedah sejak 15 Julai 1958  dan ditabalkan pada Februari 1959 merupakan Sultan Kedah yang ke-28, menggantikan ayahanda baginda iaitu Sultan Badlishah yang memerintah dari tahun 1943 sehingga tahun 1958.
Tuanku Abdul Halim yang  menyambut Jubli Emas  iaitu ulang tahun pemerintahan baginda ke-50 di Kedah pada 15 Julai 2008,  kini berusia  84 tahun, diputerakan Istana Anak Bukit dekat Alor Star pada  28 November 1927.
Sekarang ini selain menjadi Sultan Kedah,baginda  juga pernah  menjadi Timbalan Yang Di Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Tuanku Abdul Halim ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong V
Kali pertama Tuanku Abdul Halim terpilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah antara 21 September 1965 hingga 20 September 1970 iaitu ketika Sultan TerengganuTuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah menjadi Yang Di-Petuan Agong IV.
Pada November 2006, Tuanku Abdul Halim dipilih buat kali kedua sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bermula 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011 ketika  iaitu semasa Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Baginda merupakan sultan ketiga memegang jawatan ini dua kali, selepas Tuanku Ja’afar dari Negeri Sembilan dan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu.
Sungguh unik serta ironi juga apabila semasa Tuanku Abdul Halim menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada kali pertama pada 21 September 1970  hingga 20 September 1975, Tun Abdul Razak bin Hussein Al-Haj menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu dari 22 September 1970 sehingga 14 Januari 1976.
Kini apabila Tuanku Abdul Halim dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Agong XIV…untuk kali keduanya…memanda Perdana Menteri baginda adalah putera Almarhum Tun Razak iaitu Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang mula menduduki Seri Perdana pada 3 April 2009 menggantikan Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.
TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyerahkan surat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Khas Mesyuarat Raja-Raja Ke-227 di Istana Negara, Kuala Lumpur. BERNAMA
Sultan Muhammad V sedang melafazkan sumpah memegang jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.
Gandingan sempurna...Tuanku Abdul Halim sedang membisikkan sesuatu kepada Timbalannya Sultan Muhammad V.
Begitulah sejarah berulang…semasa Tuanku Abdul Halim menjadi Yang Di-Pertuan Agong V, Sultan Kelantan Tuanku Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim, dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong yangbaharu iaitu Sultan Muhammad V pula merupakan Sultan dan Yang di-Pertuan bagi negeri Kelantan yang baharu dimasyhurkan pada 13 September 2010.
Baginda dimasyhurkan sebagai  Sultan Kelantan yang ke-29 bagi menggantikan ayahanda iaitu Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra  yang  gering.
Baginda yang masih bujang kini berusia 42 merupakan Sultan yang termuda di negara ini. Baginda diputerakan di Kota Bharu, Kelantan  pada 6 Oktober 1969.
Sultan Muhammad V merupakan Sultan Kelantan yang kedua dilantik ke jawatan berkenaan selepas nenda baginda iaitu Tuanku Yahya Petra yang dilantik pada 21 September 1970  hingga 20 September 1975 sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada penggal berikutnya.
Sultan Yahya Petra kemudiannya menjadi Sultan Kelantan yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tuanku Abdul Halim. Baginda   merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-6 yang bermula dari 21 September 1975 hinggalah kepada kemangkatan baginda pada 29 Mac 1979.
Gandingan yang sempurna
Kini selepas hampir 30 berlalu, sejarah kembali berulang…ketikan Tuanku Abdul Halim menjadi Yang Di-Pertuan Agong XIV, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V iaitu cucunda Tuanku Yahya Petra pula menjadi Timbalan baginda.
Cuma persoalannya kini adalah, adakah Sultan Muhammad V juga akan mengulangi jejak nendanya menggantikan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong…semuanya terserah kepada Majlis Raja-Raja untuk memutuskannya serta terserahlah kepada takdir Allah yang menentukannya.
Maka selamat serta sejahteralah  Tuanku Abdul Halim serta Tuanku Permaisuri Haminah bersemayam di atas singgahsana payung negara di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk tempoh 5 tahun  yang berkuatkuasa bermula hari ini 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016.
SEMOGA ALLAH MELIMPAHI RAHMAT, MEMBERIKAN TAUFIK SERTA HIDAYAH-NYA DI SAMPING MELANJUTKAN USIA TUANKU BERDUA.
Semoga seluruh Intitusi Kesultanan di negara ini diberkati, dirahmati dan dilindungi Allah sentiasa.
Singgahsana Negara yang baharu, Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Tuanku Abdul Halim merupakan Agong yang pertama bersemayam di sini.
Semoga dengan perlantikan serta pemasyhuran Yang Di-Pertuan Agong XIV serta Timbalannya ini membawa Malaysia ke arah yang lebih aman dan makmur serta mendapat keberkatan Allah SWT.
Rakyat Kedah dan  Kelantan khususnya, pastinya amat bertuah kerana  memiliki seorang Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang boleh diibaratkan sebagai gandingan seorang nenda serta cucunda…siapalah kita tanpa orang-orang tua kita.
Daulat Tuanku...Allahuakbar...Unik kerana selain mempunyai mempunyai bendera berlatarbelakangkan warna merah saga yang sama, Kedah dan Kelantan juga mewarisi akar sejarah yang sama...keduanya adalah legasi keagungan Empayar Langkasuka dan Kesultanan Patani.