Wednesday 9 January 2013

~ BELASUNGKAWA : BAYU (MOHD HAFIZ UNTUNG) ~


Allahyarham Mohd. Hafiz bin Untong

Tanggal 16 Mei 2012; aku dan beberapa orang lagi melapor diri di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sebagai Pegawai Kebudayaan. Pada hari yang sama aku kembali bertemu dengan teman lamaku, Mohd. Hafiz bin Untong. Kami berkenalan sejak tahun 2000 ketika sama-sama terlibat dalam program Citrawarna anjuran Kementerian Pelancongan. Ketika itu, Mohd. Hafiz lebih dikenali dengan nama glamornya iaitu Sonia.


Setelah selesai urusan melapor diri, kami ditempatkan di jabatan dan agensi yang berbeza. Namun, tidak beberapa lama kemudian Mohd Hafiz  ditukarkan ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Kami bertemu kembali dan berkhidmat di bawah satu bumbung. Ketika ini, beliau lebih dikenali sebagai Bayu. Aku pernah berkata padanya, “aku takkan panggil kau dengan nama-nama tu, Sonia ke…Bayu ke..Bonia ke..sebab aku lebih suka nama Hafiz tu…” Lantas beliau menjawab “memang kau sorang je kawan yang panggil aku dengan nama Hafiz tu, tapi aku tak kisah..asalkan kau panggil dengan nama…” Begitulah perbualan antara aku dengan dia yang tidak akan aku lupa… Seingat aku, aku juga pernah menegur potongan rambut dia, “Hafiz, rambut kau ni kena potong kemas..sebab masa induksi nanti pasti kau akan diarah keluar untuk potong dan hitamkan rambut kau tu semula.” Jawabnya, “oh ye ke..alamak..macam mana ni..?” Selang beberapa hari kemudian aku lihat beliau telah memotong kemas rambutnya. Aku tersenyum sendirian mengenangkan tingkah lakunya.


Pada hari Selasa, 02 Januari 2013, ketika sedang leka menyiapkan kerja-kerja yang tertunggak, aku mendapat panggilan telefon daripada Setiausaha Pejabat Pengarah Kanan, Sektor Kebudayaan dan Kesenian. Dengan suara yang perlahan, beliau meminta aku untuk mendapatkan kepastian tentang berita bahawa temanku itu, Mohd Hafiz bin Untong telah meninggal dunia. Aku benar-benar terkejut. Pada mulanya aku sangka ia sekadar gurauan namun entah mengapa hati ini menjadi tidak keruan. Lantas aku hubungi telefon bimbit Mohd Hafiz namun setelah dua kali aku dail, tiada sebarang jawapan. Aku terus berusaha dan kali ini, aku menghubungi ibu kepada Mohd Hafiz, Puan Noraini Yamat yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan di JKKN Sabah. Daripada getar suara, intonasi yang lemah dan sebak diselang-seli tangisan yang ditahan, aku dimaklumkan bahawa berita itu adalah benar. Mohd Hafiz bin Untong meninggal dunia akibat kemalangan. Ya Allah, apakah semua ini benar? Seorang ibu tidak akan sesekali berbohong berkaitan hal kematian anaknya. Segera aku dan beberapa orang teman bergegas ke lokasi yang dinyatakan oleh Puan Noraini Yamat; Hospital Selayang. 
Sesampai di ruang menunggu berhadapan bilik mayat, kelihatan YBhg. Dato’ Norliza Rofli duduk di suatu sudut dengan wajah yang begitu sugul. Tapi hati ini selagi boleh ingin menafikan berita yang diterima, namun setelah menatap wajah Allahyarham di bilik mayat…air mata terus mengalir di pipiku. Aku tak sanggup terus menatap wajah Allahyarham, sedih benar rasanya. Rakan-rakan lain yang turut berada di hospital juga merasakan yang sama. Pemergiannya begitu mendadak, tiada sebarang petanda mahupun sebarang pesan. Masih terbayang kegigihan Allahyarham sewaktu bertugas sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia, Krismas di Dataran Merdeka. Namun apakan daya, Allah SWT lebih menyayanginya. Selesai segala urusan berkaitan di Hospital Selayang, jenazah Allahyarham dibawa kembali ke Kelantan untuk urusan pengkebumian.

Mohd Hafiz bin Untong atau lebih sebagai Bayu telah meninggalkan kita, meninggalkan kedua-dua ibu bapanya, meninggalkan adik-beradik serta rakan-rakan yang dikasihi.



Sepanjang perkenalan kami, Allahyarham seorang yang ceria, suka menceriakan suasana, kreatif, agresif dan sentiasa bersemangat. Mula berjinak-jinak dalam bidang tari ketika masih bersekolah, sebelum meneruskan pembelajaran di Indonesia dalam bidang tari. Setelah kembali ke Malaysia, Allahyarham aktif menari sebelum kembali menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). 
Allahyarham pernah menjadi koreografer kepada pasangan Sein dan Nana bagi program Sehati Berdansa 3 anjuran ASTRO, malah menjadi juara bagi program tersebut. 
Seterusnya Allahyarham dilantik sebagai Artis Budaya (Kontrak) B27/koreografer dan berkhidmat di JKKN Sarawak sebelum dilantik secara tetap untuk jawatan Pegawai Kebudayaan Gred B27.
  01 Januari 2013 bersamaan 18 Safar 1434 Hijrah, Allahyarham Mohd Hafiz bin Untong telah pergi menghadap Yang Maha Esa, meninggalkan semua yang dikasihi. Sebagai teman, aku begitu terasa dengan pemergiannya dan semoga Puan Noraini Yamat serta keluarga tabah menempuh dugaan-Nya. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat besar buat semua warga JKKN dan para aktivis seni tari. Al-Fatihah buat Allahyarham dan semoga roh arwah dihimpunkan bersama-sama umat Islam yang soleh lagi beriman. Amin.
 Gambar yang dirakamkan pada 31 Disember 2012 di atas merupakan gambar terakhir Allahyarham ketika bertugas sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia:Krismas dan Ambang Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka. 

Al~Fatihah






No comments:

Post a Comment