Thursday 16 October 2014

MENJAWAB PENIPUAN CHAUVANIS BERKENAAN SEKOLAH VERNAKULAR

Komen yang telah dibuat oleh Pengerusi Biro Keharmonian Beragama MCA, Ti Lian Ker ke atas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, Mohamad Azli Mohemed Saad telah ‘memaksa’ kita semua untuk berfikir sejenak.

Menurut Ti Lian Ker, cadangan untuk membincangkan pemansuhan sekolah vernakular berbahasa Cina pada Perhimpuanan Agung UMNO akan datang, yang dibuat oleh Mohamad Azli telah melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang bukan saja memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara, malah juga melindungi hak untuk sekolah berbahasa Cina dan Tamil diwujudkan untuk mengajar bahasa ibunda kepada kaum minoriti berbangsa Cina dan India, dan ini boleh dikategorikan sebagai menghasut dibawah Akta Hasutan 1948.

Pertama sekali, adalah menjadi keperluan untuk kita memperjelaskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hal ini. Perkara 152(1) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan Malaysia adalah bahasa Melayu.

Walaubagaimanapun, terdapat dua peruntukkan seperti yang terdapat pada Perkara 152(1)(a) dan (b), bahawa, sesiapapun tidak boleh dilarang untuk menggunakan, mengajar dan belajar bahasa-bahasa lain, melainkan untuk urusan rasmi; dan tiada halangan untuk kerajaan Persekutuan atau mana-mana kerajaan Negeri untuk memelihara penggunaan dan pembelajaran bahasa mana-mana kaum di Malaysia.
Sekilas pandang, kedua-dua peruntukkan ini kelihatan seolah-olah mempertahankan kewujudan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Walaubagaimanapun, jika benar-benar diteliti peruntukan kepada Perkara 152 tersebut, hal yang sebaliknya berlaku dan ini dapat dilihat dengan jelas daripada keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah dibuat terhadap kes Universiti Merdeka melawan Kerajaan Malaysia.

Dalam kes ini, Dong Zong telah memohon untuk mendapatkan perintah Mahkamah ke atas kerajaan Persekutuan mengikut Seksyen 6,  Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 untuk menubuhkan sebuah universiti yang dinamakan sebagai Universiti Merdeka yang akan menggunakan bahasa Mandarin sebagai medium pengantaraan. Permohonan ini ditolak kerana telah melanggar polisi Pendidikan Kebangsaan.

Lalu, pihak Dong Zong telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi tetapi permohonan itu juga ditolak. Rayuan kemudiaan dibuat di Mahkamah Persekutuan dan barisan hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Suffian Abbas, Hakim Besar Malaya Raja Azlan Shah, Hakim Mahkahmah Persekutuan, Salleh Abas dan Abdul Hamid, memutuskan, dengan keputusan majoriti (Hakim Seah tidak bersetuju) bahawa jika arahan untuk menubuhkan universiti tersebut dibenarkan, ini akan menyebabkan, walaupun ianya merupakan sebuah pemilikan persendirian, satu badan berkuasa awam kerana ia akan mempunyai kuasa dibawah Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 sebagai asas undang-undang untuk  menggerakkan universiti tersebut.

Oleh itu ianya dilarang kerana pengunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantaraan merupakan sebuah urusan rasmi seperti larangan yang termaktub pada Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulannya kita boleh mengatakan bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan 1996 juga merupakan badan-badan berkuasa awam mengikut intrepretasi di atas, dan oleh itu pengunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai medium pengantara sekolah-sekolah tersebut juga adalah dilarang.

Tetapi adakah peruntukan kepada Perkara 152(1) melindungi hak untuk belajar dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu?

Berkenaan dengan perkara ini, Ketua Hakim Negara Suffian Abbas mengandaikan bahawa perkataan ‘menggunakan’ dalam proviso (a) kepada Perkara 152 tidak boleh dibaca sebagai ‘mengajar dalam’ apa jua bahasa selain daripada bahasa kebangsaan.

Oleh itu, walaupun proviso tersebut melindungi hak untuk mengajar dan belajar apa jua bahasa-termasuk bahasa ibunda seseorang-perlindungan tersebut walaubagaimanapun tidak merangkumi pengunaan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa pengantaraan di sekolah-sekolah.

Oleh itu jawapan kepada persoalan pertama samaada Perlembagaan Persekutuan memelihara hak untuk kewujudan sekolah vernakular, sejujurnya, tidak. Berdasarkan kepada apa yang telah dibuat pada kes yang terdahulu, kita boleh bercakap dengan yakin bahawa hak tersebut sememangnya tidak pernah wujud.

Berbalik kepada persoalan kedua, samaada mempersoalkan hak untuk belajar dalam bahasa ibunda seseorang merupakan satu bentuk hasutan mengikut peruntukan Akta Hasutan 1948? Yang pastinya kenyataan tersebut tidaklah berbentuk hasutan apatah lagi apabila ianya mempersoalkan satu hak yang sememangnya tidak pernah wujud, bagaimana boleh kebatilan tersebut dilindungi dibawah Akta Hasutan 1948 seperti yang didakwa.

Keputusan kes Pendakwa Raya melawan Mark Koding sering digunakan sebagai bukti, termasuklah oleh Ti Lian Ker sendiri dan kebanyakkan penyokong pendidikan beraliran vernakular Cina untuk menegaskan bahawa perbuatan mempersoalkan sekolah-sekolah vernakular sebagai satu bentuk hasutan. Walaubagaimanapun dakwaan tersebut tidak harus  diterima secara membuta-tuli. 

Sebaliknya, fakta kes dan juga penghakiman yang telah dibuat perlu diteliti untuk melihat samaada kebenaran kes tersebut adalah selari dengan apa yang didakwa oleh mereka yang mengkritik keras Mohamad Azli.

Dalam kes Pendakwa Raya melawan Mark Koding, seorang Ahli Parlimen, Mark Koding, sememangnya telah didakwa dan  didapati bersalah menghasut dibawah Akta Hasutan 1948. 

Dikatakan bahawa kenyataan yang berbentuk hasutan yang telah dibuat beliau di dalam Dewan Rakyat ialah supaya sekolah vernakular Cina dan Tamil ditutup.

Hakikatnya walaupun kita membaca sepintas lalu, fakta kes tersebut akan jelas membuktikan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

Ringkasan kepada fakta kes tersebut adalah seperti berikut:

YB Mark Koding telah berucap di dalam Parlimen yang mana beliau telah mempersoalkan  kedudukan sekolah-sekolah Cina dan Tamil dan juga berkenaan dengan pengunaan papan tanda bertulisan Cina dan Tamil.

Beliau mempersoalkan kenapakah ini dibiarkan berlaku dan menyatakan bahawa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda, jika kerajaan mahu terus membenarkannya. Disebabkan inilah-cth. cadangan untuk meminda Perkara 152-yang mensabitkan kesalahan kepada beliau dibawah Akta Hasutan 1948 dan bukannya kerana mempersoalkan kedudukan sekolah-sekolah Cina dan Tamil.

Hakim Mohamed Azmi berkata: “Persoalan yang timbul adalah untuk memahami maksud sebenar kepada proviso (a) Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dengan mengambil kira perkataan yang digunakan dalam proviso tersebut, “mengajar atau mempelajari apa jua bahasa” berbanding dengan “mengajar atau belajar dalam apa jua bahasa”, Saya bersetuju dengan pandangan bahawa ianya mempunyai makna yang terbatas seperti yang dikatakan oleh Hakim Abdoolcader apabila melihat kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan sekolah-sekolah atau mana-mana institusi pendidikan lain.

Pada pandangan saya, dibawah proviso (a), walaupun bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, pengunaan mana-mana bahasa selain daripada bahasa Melayu untuk sebarang urusan tidak rasmi, adalah dibenarkan; keadaan yang sama juga terpakai untuk mengajar atau mempelajari apa jua bahasa di sekolah-sekolah, samaada bahasa Cina, Tamil, Arab atau Inggeris.

Tetapi dalam proviso (a) tidak terdapat apa-apa yang memberikan kebenaran dan perlindungan untuk menguruskan sekolah-sekolah yang menggunakan medium pengantara bahasa Cina, Tamil, Arab ataupun Inggeris. Intrepretasi ini selari dengan proviso (b) yang memberi jaminan kepada kerajaan Persekutuan ataupun mana-mana kerajaan Negeri untuk menjaga dan memelihara penggunaan dan pembelajaran bahasa mana-mana kaum di dalam Persekutuan.

Oleh itu pemeliharaan dan penerusan pengunaan bahasa mana-mana kaum adalah terjamin.
Begitu juga dengan pemeliharaan dan penerusan pembelajaran bahasa mana-mana kaum, namun ianya tidak menjamin kepada pemeliharaan dan penerusan pembelajaran dalam bahasa kaum-kaum tersebut.

Intrepretasi yang berlawanan terhadap proviso (a) hanya akan menimbulkan salah guna perkataan-perkataan yang terdapat di dalam proviso tersebut. Adalah sesuatu yang mengarut jika kita berpendapat bahawa proviso tersebut membuktikan bahawa perlembagaan memberikan perlindungan untuk mengajar dan belajar di sekolah yang mempunyai medium pengantaraan dalam bahasa Rusia ataupun Jepun. Pada hemat saya, perlindungan tersebut hanya terhad kepada bahasa tersebut semata-mata dan bukannya kepada bahasa tersebut sebagai medium pengantaraan di sekolah-sekolah.

Dalam erti kata lain, sesiapa pun tidak boleh dihalang daripada mengajar dan belajar bahasa Cina dan Tamil atau apa saja bahasa selain daripada bahasa Kebangsaan di mana-mana sekolah sebagai satu subjek mata pelajaran tetapi perlindungan tersebut tidak memberi perlindungan kepada urusan untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah yang mana bahasa untuk mengajar dan belajar adalah dalam bahasa-bahasa selain daripada bahasa Kebangsaan.

Sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh Abdoolcader dengan tepat bahawa pemilihan untuk tidak memasukkan perkataan “dalam” selepas perkataan “mengajar dan belajar” pada proviso (a) adalah satu perbezaan yang jelas.

Saya dapati Tertuduh tidak boleh disabitkan kesalahan menghasut apabila beliau mencadangkan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil ditutup.

Samaada penutupan kepada sekolah-sekolah tersebut adalah dinasihatkan ataupun patut dilaksanakan, semestinya, adalah perkara yang patut diputuskan ditempat lain dan bukannya di mahkamah ini. Tidak salah jika kita terus membenarkan sekolah-sekolah Cina dan Tamil.”

Maka sudah jelaslah bahawa sebarang cadangan untuk meminda Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, seperti yang telah dibuat oleh Mark Koding, adalah dan masih lagi merupakan satu bentuk hasutan, namun perbuatan beliau mempersoalkan kedudukan sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah tidak menghasut dan tidak pernah dianggap sebagai satu bentuk hasutan.

Sebagai kesimpulan apa yang pasti ialah dakwaan yang telah dibuat oleh Ti Lian Ker bahawa Mohamed Azli telah menghasut apabila beliau mahu membawa usul untuk membahaskan kedudukan sekolah vernakular Cina dan Tamil pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang adalah tidak berasas dan salah sama sekali kerana hak-hak kepada sekolah-sekolah tersebut tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, teladan yang telah dibawa oleh kes Mark Koding tidak boleh dijadikan sebagai alasan bahawa mempersoalkan kedudukan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil merupakan satu bentuk hasutan. Malah sebaliknya.

Oleh itu, Mohamad Azli dengan yakin boleh membawa usul untuk mempersoalkan status kedudukan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil kerana ianya bukanlah berbentuk hasutan malah ianya merupakan hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

SUMBER : http://www.bangkit.info/

Artikel Asal              : http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/no-its-not-sedition.-the-constitutionality-of-vernacular-schools-is-indeed
Penulis Asal              :Faidhur Rahman Abdul Hadi, Malay Mail Online
Terjemahan Oleh       : Perkhidmatan Terjemahan OKU (somethink.diffferent@gmail.com) 

No comments:

Post a Comment