Tuesday, 21 October 2014

VERNAKULAR MELAYU TELAH DIKORBANKAN, BAGAIMANA PULA DENGAN VERNAKULAR LAIN???

Isu keabsahan sekolah vernakular mula dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, Mohamad Azli Mohemed Saad yang mencadangkan supaya perkara tersebut dibincangkan di Perhimpunan Agong UMNO yang bakal diadakan kelak.

Isu tersebut mendapat tentangan hebat daripada golongan cauvanis Cina merentas parti politik, pro kerajaan dan pembangkang. Kebanyakkan mereka memberikan amaran supaya Mohamad Azli tidak meneruskan niatnya itu sehinggakan beberapa laporan polis dibuat kerana dituduh menghasut.

Walaupun kita sudah tahu bahawa sekolah-sekolah vernakular tidak dilindungi langsung dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang diperjelaskan oleh artikel yang ditulis oleh pengamal undang-undang, saudara Faidhur Rahman Abdul Hadi salah seorang daripada penggerak CLJ, Concerned Lawyers for Justice, apa yang jelas puak-puak cauvanis Cina sepakat dalam mengetengahkan isu yang dekat dengan jiwa mereka.

Di atas kesepakatan itulah agaknya sekolah-sekolah vernakular berterusan mendapat dana bantuan daripada kerajaan Malaysia sebanyak puluhan juta ringgit setahun, walaupun isu tersebut jelas membelakangi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun kenapakah agaknya, kita yang sedari dulu diajarkan konsep ‘bulat air kerana pembetung’, kesepakatan yang berjaya menggagalkan gagasan haram Malayan Union, memilih untuk berpecah belah dalam isu yang jelas tidak menghormati undang-undang tertinggi negara?

Kita ini yang sering berlapang dada untuk melakukan semuanya atas prinsip cintakan negara yang kuat telah lebih awal sepakat untuk ‘memansuhkan’ sekolah-sekolah vernakular Melayu apabila dengan rela hati telah menjadikan (walaupun tidak serentak) sekolah-sekolah yang dimulakan oleh ibubapa Melayu secara persendirian ini, sekolah-sekolah Umum hanya untuk membolehkan anak-anak bangsa bukan Melayu bersekolah sama.

Sekolah-sekolah Umum inilah seterusnya berkembang pula menjadi sekolah-sekolah kebangsaan seperti yang dapat kita lihat kini pasca Penyata Razak 1956.

Untuk memahami betapa rasis dan cauvanisnya puak-puak anti perlembagaan pendukung sekolah-sekolah vernakular, eloklah kita menjengah kembali secara ringkas tentang sejarah penubuhan sekolah-sekolah Melayu.
Sekolah-sekolah vernakular Melayu dimulakan oleh ibubapa Melayu dan pemimpin Melayu tempatan telah diadakan seawal tahun 1800an untuk membasmi permasalahan buta huruf dikalangan anak-anak Melayu pada ketika itu.

Ianya digerakkan dan dibiaya oleh ibubapa dan pelajar-pelajar Melayu sendiri dengan wang poket mereka sendiri yang rata-rata bekerja sebagai nelayan, petani, pekedai, penoreh getah dan ada juga yang melakukan kerja-kerja kampung. Adakalanya ianya didirikan di atas tanah wakaf atau tajaan orang-orang kaya tempatan yang bermuafakat mahu memajukan anak bangsa. Ada juga yang didirikan di atas tanah persendirian yang disewakan.

Di peringkat permulaan sekolah-sekolah Melayu diadakan untuk mengajar anak-anak Melayu dengan konsep 3R, iaitu membaca, menulis dan mengira termasuk ilmu asas, karangan, tawarih, kesihatan dan senaman.

Diterapkan juga pengetahun kesopanan dan tatatertib supaya anak-anak Melayu menjadi lebih rajin, taat setia dan menepati masa.

Adalah penting untuk kita ingat dan faham bahawa pendidikan sekolah-sekolah Melayu di sesetengah negeri Melayu adalah termaktub dibawah undang-undang negeri. Seperti di  Selangor dan Negeri Sembilan, undang-undang negeri mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu yang berumur diantara tujuh sehingga empat belas tahun yang tinggal dalam lingkungan dua batu daripada sekolah Melayu untuk menghadirkan diri mereka ke sekolah tersebut.

Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sedar akan kepentingan untuk mendapat pendidikan dan sedaya upaya cuba untuk menyusun masyarakatnya supaya menjadi celik ilmu akhirat dan duniawi.

Namun negeri-negeri lain yang tidak mempunyai undang-undang negeri mempunyai mekanisme yang tersendiri untuk menggalakkan pendidikan dikalangan anak-anak Melayu seperti ketua kampung atau penghulu yang banyak memberi galakan supaya anak-anak Melayu masuk belajar di sekolah-sekolah vernakular Melayu.

Adalah penting juga untuk ditekankan bahawa sekolah-sekolah pondok, sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah vernakular Melayu adalah berbeza sama sekali walaupun ada terdapat sekolah-sekolah vernakular Melayu yang ada mengajarkan subjek agama Islam.

Setelah beberapa ketika sekolah-sekolah Melayu yang pada mulanya dibiayai sendiri oleh pelajar dan ibubapa Melayu ditukarkan menjadi sekolah-sekolah Umum untuk membenarkan kaum-kaum bukan Melayu seperti kaum Cina dan kaum India, masuk belajar di sekolah-sekolah tersebut.

Keadaan ini tidaklah berlaku secara serentak di seluruh negara tetapi bergantung kepada keperluan sesetengah lokaliti itu tersendiri.

Sekolah Melayu Sungai Karang, di Kuantan, Pahang, contohnya, telah dimansuhkan dan ditukarkan kepada sekolah Umum Sungai Karang seawal tahun 1935 lagi. Sekolah yang terletak di Kampung Melayu Sungai Karang itu ditukarkan daripada medium vernakular Melayu kepada sekolah Umum semata-mata untuk membolehkan kaum bukan Melayu seperti kaum Cina dan India belajar di sekolah tersebut.

1935, pengorbanan ini dilakukan untuk memastikan mereka-mereka yang bukan rakyat kepada negeri-negeri Melayu ini, tetap mendapatkan pendidikan untuk anak-anak mereka. Melayu yang merupakan rakyat kepada Sultan negeri masing-masing, mengorbankan identiti sekolah vernakular Melayu semata-mata untuk bersikap akomodatif terhadap mereka yang bukan rakyat tetapi diterima sebagai sebahagian dari nasyarakat yang berkeliling menumpang mencari kehidupan di bumi Melayu.

Dengan ini dapat kita lihat, seawal sebelum merdeka lagi, kaum-kaum Melayu sudah menunjukkan semangat cintakan negara yang tinggi dengan merelakan sesuatu yang mereka sendiri mulakan, secara persendirian, sekolah-sekolah vernakular Melayu ditukarkan menjadi sekolah-sekolah Umum, supaya keharmonian dan kesejahteraan dalam bernegara dapat dicapai.

Pada tahun 1956, sempena dengan dasar-dasar Penyata Razak yang dikeluarkan pada tahun tersebut yang diantaranya menyarankan supaya semua sekolah-sekolah ditukarkan nama sekolah-sekolah dengan meletakkan perkataan ‘Kebangsaan’.

Maka sekolah Umum Sungai Karang, contohnya, yang pada mulanya merupakan sekolah Melayu Sungai Karang, ditukarkan menjadi  sekolah Kebangsaan Sungai Karang seperti yang dapat kita lihat sekarang ini.
Hal yang sama juga berlaku dengan sebuah sekolah vernakular di Sabah seperti di Pekan Ranau. Sekolah Kebangsaan Pekan Ranau sebenarnya bermula sebagai sebuah sekolah vernakular pada awal penubuhannya pada tahun 1936 dan kemudiaannya telah ditukarkan sepenuhnya menjadi Sekolah Kebangsaan Pekan Ranau.

Di Sarawak pula, sejarah juga membuktikan bahawa seawal zaman pemerintahan keluarga Brookes lagi, sekolah-sekolah vernakular Melayu diadakan setelah beberapa sistem sekolah yang diamalkan terlebih awal seperti sekolah mubaligh kristian (anglikan) atau sistem pelbagai aliran seperti apa yang dikenali sebagai GLS atau Government Lay School kurang mendapat tempat dihati orang-orang Melayu. Maka sekolah-sekolah vernakular Melayu diadakan di Sarawak dengan dimasukkan juga kelas-kelas agama Islam untuk menarik minat orang-orang Melayu yang selama ini sangat mencurigakan GLS kerana pengaruh barat dan kristian yang kuat.

Banyak lagi contoh sekolah-sekolah kebangsaan yang bermula sebagai sekolah vernakular Melayu yang kemudiaannya berakhir dan diserapkan menjadi sekolah-sekolah Umum, preteks kepada sekolah-sekolah kebangsaan selepas Penyata Razak 1956.

Sekadar menyebut beberapa contoh sekolah-sekolah seperti Sekolah Melayu Bujang (ditubuhkan pada tahun 1914), Sekolah Melayu Sijangkang (1911), Sekolah Melayu Ayer Panas (1924), Sekolah Melayu Jelutong (1874), Sekolah Melayu Genting (1886), Sekolah Melayu Lubok Merbau (1890) dan banyak lagi sekolah-sekolah vernakular Melayu yang dimansuhkan dan berkembang menjadi sekolah kebangsaan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia tidak kira warna kulit dan latar belakang untuk mendapatkan pendidikan.

Dan dapat kita lihat juga sekolah-sekolah vernakular Melayu juga berusia beratus tahun namun memilih untuk mengikut saranan dan aspirasi kerajaan supaya menjadi sekolah kebangsaan untuk semua.

Persoalannya ialah, adakah sesuatu yang keterlaluan jika kita semua, orang-orang Melayu, masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak, serta lain-lain kaum yang menyokong dasar satu sekolah untuk semua, mula mendambakan hal yang sama berlaku kepada saki-baki sekolah-sekolah vernakular yang sedia ada seperti yang pernah diperlakukan kepada sekolah-sekolah vernakular Melayu?

Adakah seseorang itu patut didakwa menghasut jika sesetengah daripada mereka menyarankan supaya sekolah-sekolah vernakular sedia ada diserapkan menjadi sekolah beraliran bahasa kebangsaan seperti yang menjadi gagasan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan?

Atau adakah perlu kerajaan menukarkan semula sekolah-sekolah kebangsaan kepada sekolah-sekolah vernakular Melayu terutama apabila sekolah-sekolah kebangsaan dikatakan kurang majmuk berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular Cina?

Mungkin saudara Mohamad Azli Mohemed Saad patut juga mengusulkan supaya Presiden UMNO nanti untuk mengadakan semula sekolah-sekolah vernakular Melayu, kerana orang Melayu juga berhak belajar dan budaya Melayu dalam bahasa ibunda mereka tanpa perlu mendapat sekatan dan kekangan daripada puak-puak cauvanis yang sering membangkitkan bantahan tentang isu-isu pembacaan doa, ibadah korban dan sebagainya yang merupakan budaya tradisi turun temurun orang-orang Melayu?

Mungkin dengan adanya sekolah-sekolah vernakular Melayu masalah ketidakselesaan kaum bukan Melayu dapat diselesaikan untuk kesekian kalinya?!

SUMBER  : www.bangkit.info/2014/10/vernakular-melayu-telah-dikorbankan.html

No comments:

Post a Comment