Tuesday, 17 March 2015

GILIRAN KU LI 'SOUND' NAJIB..!

Sebelum ni bermacam yang TDM pertikai bagaimana Najib mengurus negara. Terbaru Aziz Syeikh Fadzir minta kerajaan kaji semula peranan PEMANDU. Kemudian Muhyiddin suruh kekal Akta Hasutan. Kini Ku Li pula bersuara..

Nampaknya otai-otai dah pukul gendang. Dijangkakan trend ini akan kekal hingga PAU hujung November nanti. Adakah perwakilan UMNO di PAU 2014 akan turut memalu gendang yang sama? Atau masih lagi mahu menggunakan kipas dan aircond untuk mendodoi Najib. Kita tengoklah nanti setakat mana Najib mampu bertahan..

Ku Li melalui blognya menulis surat terbuka kepada Speaker dan Ahli Dewan Rakyat. Perkara utama yang disentuh Ku Li ialah mengenai ekonomi dan Bajet 2015. Walaupun surat Ku Li tu panjang, kami cuma nak hilite perkara penting yang disentuh Ku Li dalam suratnya itu;

1. Saya percaya kesan buruk akibat cadangan Belanjawan ini akan dirasai oleh kelas menengah, para graduan dan pekerja baru serta kumpulan berpendapatan daif.

2. Perspektif ekonomi kini menunjukkan bahawa negara kita menuju ke arah yang salah. Hala pergerakan ekonomi masakini mungkin tidak dapat dipertahankan. Sekiranya ia tidak dibendung dan diatasi, kita mungkin terjerumus ke kancah krisis yang kita tidak perlu dan amat susah diatasi. Ia juga akan membebankan rakyat jelata serta mengancam keamanan, kemakmuran dan keselamatan negara kita.

3. Berkenaan dengan pengurusan fiskal negara oleh kerajaan, kemungkinan saat genting dicetuskan oleh kejatuhan ekonomi luaran seperti jatuhnya nilai Dolar AS atau kemungkiran pembayaran hutang oleh badan-badan peminjam yang dijamin kerajaan akan mengakibatkan ketahanan kewangan kita terjejas. Secara kasarnya, ketahanan untuk sesuatu tahun (samada ia boleh dibiayai oleh keluaran semasa serta dengan aliran masuk kewangan asing bersih) ialah jumlah hutang kerajaan (pada 2014 lebih kurang RM41 bilion) serta pinjaman perniagaan dan pinjaman isirumah tertunggak (sekarang berjumlah RM1,273 bilion) – yang berjumlah RM1,314 bilion – hendaklah tidak melebihi lima kali ganda jumlah hasil kerajaan (iaitu 5 X RM225 bilion = RM1,125 bilion). Jelas di sini garis panduan ini telah dilanggar!

4. Sebahagian besar defisit kerajaan dan jumlah hutang negara terlalu banyak yang menyusahkan pinjaman seterusnya (debt overhang) timbul melalui belanjawan pengendalian serta perbelanjaan cukai untuk menyokong penggunaan bagi mencapai pertumbuhan; umpamanya melalui pemberian BR1M dan juga untuk membiayai gaji sektor awam, subsidi dan pencen. Peruntukan berdasarkan penggunaan ini bersama dengan subsidi makanan dan tenaga tinggi kepada industri dan kepada umum demi menanggung permintaan terkumpul dengan sendirinya tidak dapat dipertahankan. Perbelanjaan sebegini rupa untuk menggalakkan ekonomi tidak menambah peningkatan kapasiti melalui pelaburan yang perlu untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi masa depan. Tetapi dalam masa lima tahun lepas Kerajaan masih lagi menyuntik wang untuk memacu ekonomi pump priming bagi menampung pertumbuhan hasil yang lemah yang merangkumi eksport. Saya rasa adalah lebih baik peruntukan ditujukan untuk mengembang sektor pertanian untuk tujuan menampung keselamatan makanan (food security) dan membendung pengaliran keluar tukaran asing melalui import makanan. Ini lebih bermanfaat bagi mendokong sarahidup rakyat sewaktu kecemasan ekonomi.

5. Masalah yang dihadapi kewangan awam kita lebih melibatkan peruntukan perbelanjaan dan bukanlah mengenai hasil. Umpamanya, kenaikan kos perbelanjaan tetap sektor awam tidak seharusnya menjejaskan peruntukan pembangunan. Ini penting terutamanya kerana masih banyak lagi diperlukan untuk membangun kedudukan ekonomi Sabah dan Sarawak dari segi penyediaan prasarana sosial dan kemudahan asas berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung. Bahagian peruntukan kemudahan asas ini kian merosot degan bertambahnya belanjawan pengendalian. Peruntukan pembangunan yang melebihi 30 peratus satu dekad dulu sekarang merosot menjadi hanya lebih kurang 15 peratus daripada jumlah cadangan belanjawan 2015. Dengan pendedahan oleh Ketua Audit Negara mengenai pembaziran, perbelanjaan boros, kerugian tidak bertanggung jawab, ketidakcekapan mutlak serta amalan rasuah tegar kecilan dan besar-besaran, kita sebagai rakyat biasa dan pembayar cukai seharusnya dimaafkan sekiranya menunjukkan kemarahan tanpa had terhadap keadaan ini.

6. Kenaikan kos sarahidup merupakan isu ekonomi paling mendesak sekarang. Kenaikan harga berkaitan pengangkutan, kuasa elektrik, bahan makanan dan lain-lain akibat kesan tali temali (knock-on effect) menyebabkan kenaikan tekanan terhadap kos sarahidup yang dihadapi rakyat. Walau masalah ini dirasai oleh semua orang tetapi kesannya lebih terasa oleh kumpulan pendapatan kelas menengah dan rendah berbanding kelas sosial yang lain. Sebab utama berlakunya kenaikan harga adalah kerana bekalan tidak mencukupi. Di samping itu permintaan naik mendadak. Maka itu kita harus berusaha terus untuk meliberalkan ekonomi. Kita harus pantau kos tenaga elektrik dan pastikan rakyat biasa mampu menggunanya. Begitu juga dengan kos tol jalanraya. Ia perlu dikaji semula bagi maksud mempastikan kenaikan kos, sekiranya tidak dapat dielakkan, mestilah berpada. Jikalau kos tidak dapat dielak, umpamanya berkaitan harga tol, kerajaan hendaklah mencari jalan supaya rakyat tidak terbeban. Dari segi lain, kita perlu timbang kembali pengeluaran lebih banyak lesen, lebih sedikit kuota dan menjalani serta melaksana perniagaan dengan lebih mudah khususnya bagi perniagaan serta perdagangan kecil dan sederhana.

7. Kos perumahan semakin meningkat di pusat perbandaran utama dan harga rumah kian mahal disebabkan permintaan oleh pelabur luar dan tempatan. Ini bukan hanya untuk hartanah mahal tetapi juga daripada kumpulan kos rendah. Walaupun terdapat Rancangan Perumahan Prima 1Malaysia, rumah termampu kini luar daripada kemampuan graduan baru dan kelas menengah rendah yang menghadapi kemungkinan menganggur ataupun pekerjaan bergaji rendah dengan hutang sekeliling pinggang. Maka itu saya ingin melihat kerajaan, melalui Bank Negara, mengkaji semula rancangan pinjaman perumahan swasta oleh bank perdagangan bagi rumah berharga di bawah RM250,000 didasarkan kepada pembayaran perkhidmatan (service fee) sebanyak empat peratus dan tidak berdasarkan faedah atau bunga (compound interest) terkumpul. Kaedah ini selari dengan pembayaran yang dikenakan ke atas pinjaman perumahan kerajaan.

8. Besar kemungkinan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax – GST) pada tahun depan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sarahidup walaupun kesannya sekali sahaja dan ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi. Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat. Adalah diharapkan perkembangan ekonomi pada waktu itu akan tumbuh pesat dengan kadar jangka panjang. Dan sekiranya cukai ini perlu juga dilaksanakan, adalah diharap kadarnya dicongak semula.

9. Selain itu, saya amat bimbang akan hutang peribadi dan hutang kekeluargaan yang kini menjangkau paras mencemaskan pada tahap 87 peratus KDNK. Keadaan ini disebabkan pinjaman-pinjaman perumahan, kereta dan pelajaran selain daripada hutang kad kredit dan bayaran balik penggunaan peribadi (melalui Ar-Rahnu atau Ah-Long) yang melonjakkan nisbah pembayaran balik hutang hamper 30 – 40 peratus daripada pendapatan isirumah. Keadaan ini telah mempercepatkan kadar kemuflisan peribadi dan menyebabkan tekanan mental di kalangan keluarga.

10. Barang diingat bahawa kebanyakan pesara kerajaan dan sektor swasta sentiasa bergelut dengan serba kekurangan dalam usaha mereka menghadapi kos sarahidup yang semakin meninggi dengan wang pencen dan simpanan KWSP terhad.

11. Lebih buruk lagi, samada akibat dasar kerajaan atau tidak, taburan kekayaan negara, seperti dijangka, amat condong sekali. Kekayaan 10 peratus isirumah terkaya di Malaysia melampaui jumlah nilai 70 peratus isirumah terkebawah. Di samping itu, lebih kurang 12 peratus daripada isirumah Malaysia tidak mempunyai kekayaan langsung. Hakikatnya ialah kekayaan satu peratus teratas mengatasi jumlah nilai 40 peratus isirumah terkebawah dalam tahun 2012.

12. Walaupun terdapat kritikan di dalam Dewan serta kritikan oleh masyarakat umum dan media terutamanya media sosial, pemimpin Kerajaan langsung tidak hirau akan keretakan di dalam ekonomi kita dengan sikap endah tak endah di mana setiap tahun belanjawan meremeh remehkan masalah yang memerlukan penyelesaian.

13. Saya amat takut akan keadaan ekonomi kita ini. Kita sebenarnya memerlukan reformasi ekonomi bersungguh-sungguh dan penyesuaian institusi menyeluruh dalam usaha kita mengaturkan sistem ekonomi supaya rakyat selamat daripada ancaman dan tekanan ekonomi dalaman dan ancaman krisis ekonomi global.

Boleh baca secara terperinci di sini.

p/s: Nampaknya, semakin lama Najib memerintah..semakin teserlah kerendahan inteleknya. Elok turun jelah Najib..

SUMBER : www.paneh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment