Thursday 17 May 2018

RAFIZI RAMLI: HEBATKAN RASUAH DATO' SERI MOHD NAJIB?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Anda mungkin kenal saya. Saya bekas Ahli Parlimen Pandan yang sering ditahan polis, disaman dan dijatuhkan hukuman penjara kerana membongkarkan rasuah dan penyelewengan mereka yang berkuasa. Mungkin masih ada yang ingat skandal-skandal yang saya bongkarkan itu adalah fitnah. Kebelakangan ini, Dato’ Seri Najib cuba mempopularkan kononnya semua tuduhan mengenai penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran beliau adalah fitnah semata-mata.

Setiap kali saya menyemak sesuatu kes, saya bersandarkan kepada laporan kewangan yang telah diaudit. Saya tidak pernah tampil mengenai sesuatu isu kecuali tanpa bukti dari laporan kewangan yang telah diaudit, lagi pun saya seorang juru audit dan akauntan bertauliah yang mendapat tauliah di United Kingdom. Kesemua angka mengenai sesuatu skandal kewangan datang dari laporan kewangan yang diaudit.

Misalnya, saya mula-mula menyiasat skandal 1MDB kerana laporan kewangan anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd menunjukkan bagaimana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) iaitu tabung pencen negara telah memberi pinjaman RM4,000 juta kepada 1MDB untuk melabur di Mongolia. Dari laporan tahunan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pula, saya berjaya mengesan bagaimana dana pencen pesara tentera telah jatuh mendadak sejak LTAT terlibat di dalam projek 1MDB.

Begitu juga dengan Felda. Saya mula membongkarkan kepincangan kewangan dalam Felda berdasarkan penyata kewangannya yang diaudit dari tahun 2011 sehingga tahun 2016. Angka-angka yang diaudit Ketua Audit Negara ini dengan jelas menunjukkan jumlah wang Felda yang telah dibelanjakan. Sama juga dengan Tabung Haji. Saya hanya menampilkan analisa kewangan bagi menyokong hujah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif dan analisa itu datang dari penyata kewangan Tabung Haji sendiri.

Sumber maklumat yang membolehkan saya mendedahkan skandal MARA pula datangnya dari dokumen-dokumen jual beli yang difailkan di Australia dan dokumen Mahkamah Melbourne. Anda juga sudah tentu tahu bahawa skandal NFC mula-mula disebut di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri. Saya hanya menyiasat dengan lebih mendalam dan mendedahkan pembelian-pembelian dengan menjejaki setiap kondominium yang dibeli. Jika anda tidak percaya, saya jemput baca beribu-ribu muka surat dokumen yang berdasarkan dokumen-dokumen rasmi ini yang telah diaudit bagi setiap skandal yang saya bongkar, seperti pautan-pautan yang tertera di skrin:

Skandal 1MDB: 118 dokumen di http://rafiziramli.com/category/1mdb/
Skandal Felda: 47 dokumen di http://rafiziramli.com/category/felda/
Skandal Tabung Haji: 31 dokumen di http://rafiziramli.com/category/tabung-haji/
Skandal LTAT: 16 dokumen di http://rafiziramli.com/category/ltat/
Skandal MARA: 21 dokumen di http://rafiziramli.com/category/mara/

Anda akan dapat saksikan sendiri bahawa semua skandal ini adalah dari dokumen-dokumen kerajaan dan penyata kewangan yang diaudit. Skandal-skandal ini juga tidak dinafikan atau dijelaskan sebaiknya oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib, kecuali menuduh saya menjaja fitnah. Fitnah adalah mereka-reka cerita yang tidak wujud. Fitnah adalah berkata bohong. Apabila saya mendedahkan bagaimana wang rakyat sebanyak RM250 juta telah diselewengkan untuk membeli kondominium dan bukannya menternak lembu seperti yang sepatutnya, pimpinan Umno tidak menafikan pun bahawa kondominium-kondominium telah dibeli atas nama keluarga Dato’ Seri Shahrizat. Mereka menuduh saya memfitnah atas alasan kononnya tindakan membeli kondominium menggunakan wang rakyat itu tidak salah, kerana mereka berhak membelanjakan wang yang dipinjam itu.

Sama juga keadaannya dengan Tabung Haji. Sehingga kini Dato’ Seri Najib dan Tabung Haji tidak pun menafikan bahawa rizab Tabung Haji pada tahun-tahun 2014 dan 2015 adalah negatif, seperti pendedahan saya. Mereka juga tidak menafikan bahawa Tabung Haji telah membayar dividen lebih dari keuntungan yang dijana dari perniagaan. Mereka juga tidak menafikan bahawa Tabung Haji kerugian berbilion ringgit dari pelaburan-pelaburan yang gagal di dalam FGV, TH Heavy Engineering dan pelbagai pelaburan lain. Mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya di sebalik segala kerugian itu, disebalik rizab Tabung Haji yang negatif – itu tidak mempengaruhi keutuhan kewangan Tabung Haji.

Kaedah menutup skandal dengan menuduh saya memfitnah ini digunapakai dalam semua skandal yang lain juga. Tidak pernah sekali pun Dato’ Seri Najib menafikan angka-angka yang saya bentangkan mengenai kedudukan kewangan Felda. Sudah tentu mereka tidak boleh menafikannya kerana angka itu datang dari penyata kewangan yang diaudit serta jawapan-jawapan menteri di parlimen. Dato’ Seri Najib tidak menafikan bahawa hutang kumpulan Felda telah meningkat menjadi RM12 bilion setakat 2017, sedangkan Felda tiada hutang sebelum beliau mengambil alih. Tan Sri Shahrir tidak menafikan bahawa wang tunai simpanan Felda telah merosot dari RM4 bilion dalam tahun 2011 kepada RM434 juta sahaja di akhir 2016.

Sehingga sekarang mereka tidak menjawab soalan saya: ke mana perginya RM7 bilion yang telah dibelanjakan di antar tahun 2011 hingga 2017? Siapa yang dapat RM7 bilion ini?

Sebaliknya, mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya walaupun semua angka ini benar, tetapi tiada berlaku sebarang penyelewengan di dalam Felda. Felda hanya rugi kata mereka, sama seperti perniagaan lain pun rugi. Bila saya mempersoalkan kerugian yang melampaui batas ini, jawab mereka saya telah memfitnah. Pakatan Harapan selalu dituduh kononnya kami ini kuda tunggangan DAP yang meruntuhkan institusi Melayu. Satu hari nanti, saya yakin sejarah akan mencatatkan bahawa anak-anak Melayu dari Pakatan Harapanlah yang masuk ke penjara mempertahankan institusi Melayu seperti Felda, Tabung Haji, MARA, LTAT dan lain daripada dirompak.

Oleh sebab sayangkan institusi Melayu seperti inilah saya berdepan dengan 14 kes dan 4 tahun hukuman penjara, kerana saya tahu pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi yang memegang wang Melayu yang rata-rata miskin, ini perlu dipertahankan demi kebajikan dan masa depan orang Melayu. Sudah tiba masanya kita mengangkat Melayu yang jujur, pintar, rajin dan amanah untuk mempertahankan institusi-institusi Melayu ini. Cukup-cukuplah kita menjadi saksi bagaimana pak menteri, mak menteri dan keluarga mereka memperkudakan nama Melayu demi kemewahan mereka.

Undi Pakatan Harapan, Bina Semula Negara.



No comments:

Post a Comment