Mengikut adat masyarakat pada ketika itu, seorang maharaja perlu melantik seorang pemangku raja sekiranya baginda hendak menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengadakan pelbagai ekspedisi yang memerlukannya pergi untuk satu tempoh masa tertentu. Sekiranya sang raja tidak pulang dari urusannya, maka pemangku raha itu akan dipilih untuk menaiki takhta. Dalam kes Mansa Musa, maharaja sebelumnya Abubakari Keita II memulakan usaha mencari penghujung Lautan Atlantik. Sebelum baginda keluar meninggalkan empayarnya, Musa I dilantikan sebagai pemangku raja. Tetapi selepas beberapa tahun, tiada lagi kedengaran berita berkenaan Maharaja Abubakari Keita II. Sebelum menaiki takhta pada tahun 1312, Musa I mengirim 2,000 kapal untuk mencari maharaja berkenaan. Selepas semua kapal tidak kembali dari pencarian, ramai sebulat suara bersetuju mengangkat Musa I sebagai Maharaja Mali yang baharu.
Semasa Mansa Musa mengambil-alih pemerintahan, kebanyakan negara Eropah masih lagi bergelut dengan masalah penyakit, kebuluran dan perang saudara sesama monarki di benua berkenaan. Tatkala itu, Empayar Mali berkembang luas kerana mempunyai sumber asli yang banyak seperti emas dan garam. Pada era baginda, Empayar Mali mempunyai keluasan 2,000km persegi dan menguasai sebahagian besar wilayah Afrika seperti Mauritania, Mali, Senegal, Gambia, Chad dan Burkina Faso. Dan dengan pertambahan wilayah ini, begitu juga wujud pertambahan kedudukan ekonomi rakyatnya.
Bagaimanapun, kemakmuran empayar ini tidak diketahui seluruh dunia ketika itu termasuk dunia Islam. Jika ada pun, ia hanyalah khabar yang bersifat khabar angin dan tidak diketahui sejauh mana kekayaan yang dimiliki Empayar Mali. Walaupun dikenali sebagai pemerintah yang adil, Mansa Musa juga merupakan seorang yang warak. Maka pada tahun 1324 Masihi, baginda memulakan perjalanan menunaikan haji di Makkah. Bagaimanapun, Musa tidak mengembara keseorangan kerana baginda diiringi rombongan mengandungi puluhan ribu tentera, hamba dan bentara dengan memakai kain sutera Parsi dan membawa tongkat² emas. Walaupun rekod berkenaan tidak dicatatkan tetapi dipercayai konvoi yang mengiringi baginda bergerak bersama kuda² dan unta² yang membawa emas yang banyak.
Kehadiran rombongan ini menarik perhatian sesiapa saja yang melihat dan ada satu peristiwa yang akan memberi impak besar kepada Mesir lebih dari satu dekad. Semasa berada di Mesir, Mansa Musa disambut oleh orang bawahan Sultan Mamluk, An-Nasir Muhammad yang merupakan pemerintak kesembilan dari dinasti berkenaan. Dalam pertemuan itu, utusan itu menjemput baginda bertemu Sultan An-Nasir tetapi ditolak Mansa Musa atas alasan baginda hanya singgah sebentar dalam perjalanan ke Baitullah. Bagaimanapun, selepas dipujuk berulang-kali, baginda bersetuju mengadakan pertemuan dengan Sultan Mamluk berkenaan. Apabila dua pemerintah ini bertemu, ia bermula dengan tegang apabila Musa enggan mencium kaki Sultan An-Nasir tetapi kembali tenang apabila baginda memberi salam hormat kepada pemerintah Mesir itu. Usai pertemuan, Sultan An-Nasir menawarkan penginapan sementara kepada Musa dan rombongannya dengan Maharaja Mali itu meninggalkan impak tersendiri di bumi Mesir.
Semasa baginda di Mesir, kemurahan hari Mansa Musa dan pembelian barang² asing menyebabkan jalan-jalan di Kaherah dipenuhi dengan emas; iaitu satu sumber yang amat dihargai tetapi pada masa yang sama punyai bekalan yang terhad. Tetapi kemurahan hati baginda itu telah menyebabkan harga emas jatuh dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi Mesir selama 12 tahun. Kisah sama juga terjadi di tempat lain termasuk di Makkah dan Madinah. Untuk mengelakkan harga emas daripada terus merosot, dalam perjalanan pulang ke Timbuktu, ibu negara Empayar Mali, Mansa Musa meminjam semua emas yang boleh dibawa dari semua peminjam wang di Mesir. Tindakan baginda bukan sahaja berjaya menstabilkan semula harga komoditi itu tetapi menempa satu lagi sejarah sebagai satu²nya individu yang dapat mengawal harga emas di Mediterranean secara langsung. Baginda tidak hanya meninggalkan emas dalam perjalanan pergi dan balik dari Baitullah. Mansa Musa turut mendirikan ratusan masjid, sesetengah daripadanya terus berfungsi sehingga ke hari ini di Dukurey, Bako dan Wanko.
Gambar 1: Masjid Djinguereber berdasarkan lakaran Felix Dubois pada tahun 1896 |
Satu wilayah yang sentiasa menjadi tumpuan Mansa Musa ialah wilayah Gao. Wilayah ini yang kita kenali sebagai Mali hari ini menyaksikan Musa membina beberapa masjid sekembalinya baginda dari mengerjakan haji. Selain Gao, Timbuktu turut menjadi tumpuan di mana pelbagai infrastruktur seperti sekolah, universiti, masjid dan perpustakaan telah dibina.
Di sini juga terdirinya sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata lumpur iaitu Masjid Djinguereber. Masjid yang dibina 500 tahun lepas terus berfungsi sehingga ke hari ini dan menjadi sebahagian daripada empat madrasah yang membentuk Universiti Timbuktu. Salah satu daripada madrasah berkenaan iaitu Universiti Sankore atau Madrasah Sankore ditukar peranan sebagai universiti penuh semasa akhir pemerintahan Mansa Musa. Universiti berkenaan mempunyai koleksi buku terbesar di Afrika selepas Perpustakaan Agung Alexandria dengan mengandungi sejuta manuskrip dan mampu menempatkan 25,000 pelajar.
Gambar 2: Imej Mansa Musa yang dilukis oleh Abraham Cresques dalam atlasnya |
Kisah kekayaan dan pengaruh Mansa Musa terus tersebar walaupun selepas baginda mangkat antara 1332 atau 1337 Masihi. Pada akhir abad ke-14, ahli kartografi Sepanyol bernama Abraham Cresques melukis satu atlas sebagai panduan kepada jurupandu pada Zaman Pertengahan Eropah. Untuk menggambarkan kedudukan Timbuktu dan Empayar Mali, Cresques melukis imej Mansa Musa duduk di atas takhta sambil memegang cogan alam dan memakai mahkota diperbuat daripada emas. Pada tangan kanannya, baginda memegang seketul emas.
Kisah Mansa Musa ini dilihat menjadi inspirasi kepada kisah Black Panther dan berkenaan soal kekayaannya, ia sukar digambarkan. Bagi Profesor Madya Rudolph Ware dari Universiti Michigan, beliau berpandangan, "Bayangkan sebanyak emas yang kita boleh ambil dan miliki serta digandakan, itulah nilai sebenar kekayaan yang cuba digambarkan. Baginda merupakan orang paling kaya sesiapa yang pernah melihatnya." Sebagai penutup, lihat sendiri kedudukan kekayaan Mansa Musa selepas inflasi:-
1. Mansa Musa - USD400 bilion
2. Keluarga Rothschild - USD350 bilion
3. John D. Rockefeller - USD340 bilion
4. Muammar Gaddafi - USD200 bilion
5. Bill Gates - USD136 bilion
6. Carlos Slim - USD68 bilion
Tiada siapa yang kita kenali sebagai orang kaya yang menyaingi nilai sebenar harta yang dimiliki Mahara Mali itu.
RUJUKAN:
1. Morgan, Thad. (2018). History.com. This 14th-Century African Emperor Remains The Richest Person in History.
2. Sullivan, Kerry. (2016). Ancient-Origins. Mansa Musa: The Richest Man in History.
No comments:
Post a Comment