Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Friday, 10 May 2019

SEJARAH - RAJA MENYELAMATKAN NEGARA ATAU ORANG MELAYU SELAMATKAN RAJA?

Hari ini kita belajar sejarah. Supaya rakyat Malaysia dan terutamanya kaum Melayu boleh mengetahui asal-usul dan perjalanan sejarah mereka. Kebanyakan orang Melayu buta sejarah, mungkin kerana sikap tidak rajin membaca. Jika rajin membaca pun, mungkin hanya membaca berita hiburan atau gosip. Jika membaca sejarah pun, mungkin lebih berminat tentang kisah cinta Hang Tuah bersama Puteri Gunung Ledang (kisah cinta ini pun tidak wujud dalam sejarah, ia hanyalah ciptaan para penghibur dan tukang karut sahaja).

Hari ini kita belajar tentang asal usul Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bagaimana ia terjadi dan mengapa ia terjadi. Umum mengetahui bahawa ia tercetus akibat dari tentangan orang Melayu terhadap ‘Malayan Union’ – satu cadangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan takluk mereka selepas Perang Dunia Kedua yang sekaligus mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa ke atas negeri masing-masing dan memaksa mereka dan Raja-Raja mereka mengikut telunjuk seorang Governor British.
Related image
SUMBER: pembentukanmalayanunion.weebly.com
Di bawah, adalah cerita latar belakang bagaimana idea dan perjanjian Malayan Union mula-mula berlaku. Ramai yang lupa bagaimana tingkah laku raja-raja Melayu dahulukala menyebabkan Tanah Melayu ini telah diserahkan bulat-bulat kepada penjajah sewenang-wenangnya hanya kerana kebanyakkan raja-raja Melayu dahulu terlalu dangkal dan hanya pentingkan diri sendiri.

Kisah Perjanjian Pangkor yang menyerahkan Perak kepada British (1874), kisah Perjanjian Inggeris – Kedah (1786) yang menyerahkan Pulau Pinang kepada British dan kisah perjanjian Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada British dalam tahun 1819 menjadi tauladan kepada kita semua. Ini semua adalah fakta sejarah.
Image result for malayan union
SUMBER: THE PATRIOTS
Walau bagaimanapun, oleh kerana orang Melayu bangkit melawan Malayan Union pasca 1946, maka ia terpaksa dibatalkan di dalam tahun 1948. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan lupa bagaimana kuasa raja-raja Melayu yang sudah hilang itu telah dikembalikan oleh orang Melayu juga.

Kita tidak boleh takut pada sejarah, bahkan kita tidak perlu malu pada sejarah. Apa yang terjadi sudah terjadi dan kita dari generasi yang kemudian ini harus membaiki diri dan melakukan perkara yang betul supaya sejarah yang buruk tidak akan berulang lagi.

Ringkasan:
  • Sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua, penjajah British telah menangkap dan membuang Sultan Selangor (Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah) dan menggantikannya dengan adindanya yang lebih muda sebagai pengganti di dalam tahun 1945. Adinda ini akhirnya menjadi Yang DiPertuan Agong ke 2. Nama baginda adalah Sultan Hisamuddin Alam Shah, iaitu nenda kepada Sultan Selangor sekarang.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Pihak penjajah British juga telah memaksa raja-raja dari Perlis dan Terengganu untuk ‘bersara’ awal kerana tidak menyokong British semasa perang dunia yang baru sahaja berakhir ketika itu. Raja Syed Hamzah digantikan dengan Raja Syed Harun Putra manakala Sultan Terengganu yang berhak, Sultan Ali Shah digantikan dengan Sultan Ismail kerana tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union.
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Wakil kerajaan British bernama MacMichael diberi kuasa untuk melantik sultan-sultan dan jika mereka tidak mahu menandatangani perjanjian itu, MacMichael boleh melantik mana-mana kerabat raja untuk menurunkan tandatangan.

  • Negeri pertama penjajah British melawat untuk mendapatkan persetujuan Malayan Union adalah negeri Johor, kerana ia adalah negeri terkaya dan sistem kesultanan mereka dicipta oleh British.

  • Ketika bertemu dengan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, pihak penjajah British memeterai di dalam sebuah upacara bahawa baginda Sultan adalah Sultan Johor yang rasmi dan menyerahkan dokumen Malayan Union untuk ditandatangan.

  • Pihak British memberi Sultan Ibrahim hanya satu malam untuk membaca dokumen tersebut sementara MacMichael menunggu di dalam rumah tetamu. Sultan Ibrahim membaca dokumen itu tetapi tidak memberi tahu majlis menteri atau badan badan perundangan Johor mengenai isi kandungan dokumen itu.

  • Selepas dua hari, baginda menurunkan tandatangan dan segera bergegas ke negara yang dicintainya iaitu England.

  • MacMichael melaporkan kepada orang atasannya di England bahawa rundingan dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan suasana teramat baik dan ramah.
    Image result for sultan ibrahim johor
    SUMBER: WIKIPEDIA
  • Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain.

  • Setelah 71 hari, MacMichael mendapat persetujuan kesemua sultan-sultan di Tanah Melayu untuk menubuhkan Malayan Union.

  • Pada Januari 1946, kertas putih pembentangan bagi pembentukan Malayan Union diterbitkan di London. Ramai orang Melayu di Tanah Melayu tersedar akan bahaya yang akan menimpa mereka dan mula mengkritik perjanjian itu.

  • Ahli-ahli politik Johor yang bersatu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar mengerti akan implikasi Malayan Union iaitu – kuasa negeri akan hilang, yakni negeri-negeri akan diperintah oleh pihak British yang berpusat di Kuala Lumpur, dan kuasa politik Melayu akan berpindah kepada orang Cina.

  • Dato’ Onn dan orang Melayu lain mempunyai masalah bagaimana hendak membatalkan tandatangan Sultan Ibrahim.

  • Antara penyelesaiannya adalah – menggantikan Sultan Ibrahim dengan anakandanya. Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi: “Oleh kerana sebab sebab di atas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini”.

  • Sebagai tanda mereka ini serius, mereka menubuhkan Kesatuan Melayu Johor yang kemudian harinya bergabung dengan kesatuan-kesatuan Melayu di negeri lain dan menjadi UMNO.

  • Selepas itu, Sultan Ibrahim dan Sultan dari Kelantan adalah yang pertama menukar fikiran mereka. Di London, akibat takut dirinya diturunkan takhta oleh orang-orang Melayu di Johor, Sultan Ibrahim telah menulis surat kepada pejabat British untuk menarik balik sokongannya terhadap Malayan Union.


Apabila kesemua sultan-sultan menukar fikiran mereka, barulah orang-orang Melayu boleh menerima semula raja-raja mereka. Tetapi peranan sultan sudah berubah. Mereka bukan lagi fokus utama di dalam politik dan identiti orang Melayu. Sistem yang berkisar kepada sultan-sultan sudah digantikan dengan idea bangsa Melayu.

Secara dasarnya, raja-raja Melayu ketika itu telah dengan rela hati atau secara membuta tuli telah menyerahkan negeri dan kuasa mutlak mereka kepada British. Ini berlawanan sekali dengan sikap Raja England bernama King John di dalam tahun 1215 apabila berkeras tidak mahu menandatangani perjanjian Magna Carta tetapi dipaksa juga oleh para bangsawan untuk mengurangkan kuasa Diraja. Legasi Magna Carta adalah sistem parlimen dan raja berperlembagaan di England.
Image result for magna carta
SUMBER: Harvard Gazette
Bagi orang-orang Melayu 70 tahun dahulu, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu yang diambil oleh British adalah penting untuk kelestarian masa depan Melayu. Walaupun kita boleh menjadi negara republik ketika itu, orang-orang Melayu masih sayangkan raja-raja mereka. Tetapi kuasa raja-raja telah disekat oleh orang Melayu sendiri, mungkin agar pisang tidak berbuah dua kali. Mana mungkin kita mahu saksikan lagi raja-raja melayu sesuka hati menjual negeri-negerinya kepada penjajah di masa akan datang?

Maka lahirlah sistem Raja Berperlembagaan di dalam tahun 1957 apabila Malaysia merdeka. Raja Berperlembagaan bermaksud, raja yang berkuasa berdasarkan perlembagaan. Baginda tidak boleh melanggar undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Jika dilanggar, undang-undang boleh menyabit kesalahan terhadapnya.

“Pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada 01 April 1946."

Kesemua empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat dicantumkan dalam sebuah unit politik dibawah seorang Gabenor penjajah. Kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dimansuhkan dan kuasa memerintah dihapuskan kecuali dalam bidang adat istiadat Melayu dan agama Islam wilayah masing-masing. Kepala kerajaan wilayah-wilayah Baginda juga jatuh ke tangan Residen-Residen penjajah. Seperti kebanyakan negara terjajah Asia — dari India hingga ke Vietnam — cengkaman kembali penjajah Barat pasca Perang Dunia Kedua menjurus kepada pemansuhan sistem Beraja dan penyatuan negeri-negeri kecil kepada beberapa Republik jajahan berkiblatkan London atau Paris. Tetapi . . .

Orang Melayu masih mahukan Raja-Raja mereka.

Justeru Orang Melayu menggadai nyawa menentang penjajah untuk mengembalikan pemerintahan Beraja di Tanah Melayu. Hasil perjuangan ini, Malayan Union dibubarkan oleh penjajah dan kuasa serta martabat Raja-Raja Melayu dikembalikan melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948.

Jadi harus di ingat . . .

Dari 01 April 1946 hingga 31 Januari 1948, Tanah Melayu sudah hilang Kedaulatan Raja-Raja nya dan wujud sebagai tanah jajahan mutlak dibawah seorang Gabenor yang berkuasa sebagai Wizurai Raja Asing. Tanah Melayu ketika itu sudah terjerumus kearah suatu Republik Kesatuan — Unitary Republic — dibawah naungan Mahkota penjajah.

Dan juga harus difahami . . .

Segala Kedaulatan, Kekebalan, Kemuliaan, Kehormatan dan Kekayaan Institusi Di-Raja SELEPAS terbubarnya Malayan Union adalah hasil perjuangan, pengorbanan, restu dan keringat sekelian Rakyat, khususnya Orang Melayu.

Pertama kali dalam sejarah dunia, sesuatu Bangsa tékad menjulang kembali Raja-Raja mereka dan menolak sistem Republik. Orang Melayu sanggup menyerahkan kembali kuasa Rakyat kepada Raja-Raja mereka.

Maka dengan itu . . .

Raja pasca Malayan Union adalah Raja cetusan Rakyat . . . dari Rakyat demi Rakyat untuk Rakyat. Rakyat menjulang kembali Raja-Raja mereka agar Duli-Duli Baginda menjaga kepentingan Rakyat; mempertahankan hak dan maruah Bangsa; memartabatkan adat dan budaya . . . serta menjamin kedaulatan setiap pelusuk tanah air.
Image result for malayan union
SUMBER: INTERNET
Inilah amanah Rakyat buat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mereka selaku penaung agama, bangsa dan tanah air . . . dan intipati jalinan antara Raja dengan Rakyat dan Rakyat dengan Raja di Bumi Malaysia pada masa kini.

"Raja Payung Rakyat. Rakyat ialah Tiangnya Payung itu.”

SUMBER: tularr.com


Wednesday, 8 May 2019

TEMENGGUNG IBRAHIM "SINGKIR" SULTAN JOHOR (LAMA)

Judul Buku:  Institusi Bendahara - Permata Melayu Yang Hilang
Penyusun:  Tun Suzana Tun Haji Othman
Penerbit: Pustaka BSM Enterprise
Tahun: 2002

Buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang mendedahkan  taktik licik Temenggung  Ibrahim dari keturunan Bugis pada abad ke 18 Masihi menyingkirkan waris kesultanan Melayu, Tengku Ali @ Sultan Ali yang menjadi Sultan Johor (Lama).  Walaupun Tengku Ali @ Sultan Ali dilantik oleh kaum kerabat sebagai Sultan Johor (Lama) tetapi British tidak mengiktiraf Tengku Ali @ Sultan Ali.

Sepuluh tahun sebelumnya,  iaitu pada 1825 Masihi,  Temenggung Abdul Rahman meninggal dunia di Telok Belanga, Singapura digantikan dengan Temenggung Ibrahim.  

Pelantikan Temenggung Ibrahim tidak dipersetujui oleh Bendahara Tun Ali kerana tindakan ayah Temenggung Ibrahim menggadai Singapura kepada British.  

Temenggung Ibrahim  kemudiannya bercita-cita menjadi  Sultan Johor (Lama) kerana kedudukan ayahnya setara dengan Sultan Johor (Lama) daripada kaca mata British.
Temenggung Ibrahim

Dengan bantuan British  Temenggung Ibrahim berjaya meruntuhkan institusi Bendahara, satu-satunya kuasa adat tertinggi menentukan pewaris Sultan Johor (Lama) yang sebenar.  

Tengku Ali @ Sultan Ali diisytiharkan sebagai Sultan Johor (Lama) ke-19 pada 16 September 1840, dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah ibni Hussain Muazzam Shah.  Bagaimanapun pelantikan baginda tidak diiktiraf  oleh British. Jawatan Sultan Johor  itu hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa pembesar Melayu.  

Tengku Ali @ Sultan Ali tidak berperanan dalam pentadbiran negeri kerana sebahagian besar terletak di bawah bidang kuasa Temenggung Ibrahim dan British. Kuasa Sultan Johor (Lama) menjadi kecil berbanding Temenggung Ibrahim.

Penyingkiran Tengku Ali @ Sultan Ali secara sulit dan tidak terhormat sebagai Sultan Johor (Lama) merupakan satu tragedi besar lagi penting yang mengubah lanskap sejarah Kesultanan Johor (Lama) – daripada galur Melayu kepada galur Bugis oleh Temenggung Ibrahim. Mengikut adat kesultanan Melayu dan institusi Bendahara, Temenggung Ibrahim bukan Sultan Johor (Lama) yang sah.

Kalau institusi Bendahara tidak dilumpuh dan diruntuhkan, Temenggung yang di luar galur kesultanan Melayu galur Iskandar Zulkarnain hingga Demang Lebar Daun tidak mungkin ditabal menjadi Sultan Johor (Lama). Maka langkah pertama ialah melumpuhkan institusi Bendahara pada 1722 Masihi.

Berakhirnya institusi Bendahara membuka ruang kepada pembesar Bugis dan British sesuka hati menabal galur Temenggung sebagai Sultan Johor (Lama).  Johor Lama merangkumi tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di sebelah selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga.  Disebabkan tidak tahan dengan tekanan oleh British dan Temenggung Ibrahim, pada 10 Mac 1855 Masihi, Tengku Ali @ Sultan Ali menandatangani perjanjian menyerahkan takhta Johor Lama kepada Temenggung Ibrahim.

Ketika institusi Bendahara menjadi tunggak institusi kesultanan Melayu, ia memastikan peralihan kuasa mengikut adat Melayu dan syariat Islam serta membendung percaturan politik dalam kalangan pewaris-pewaris Sultan.  Bagaimanapun kelestarian institusi Bendahara berakhir apabila Temenggung  Ibrahim berketurunan Bugis berkongsi kuasa  dan akhirnya membayangi  institusi kesultanan Melayu.
Tengku Ali @ Sultan Ali

Bendahara  berperanan dalam menabal Duli Yang Dipertuan yakni Sultan mengikut  adat tradisi Melayu dan hukum syarak (dengan bimbingan ulama) kemudian menjadi penasihat baginda, menyelenggara jenazah baginda, mengganti baginda selepas kemangkatan, memangkuriba Sultan yang masih kecil sebagai Pemangku Sultan dan menjadi ketua bagi pembesar tradisi Melayu seperti Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan sebagainya.

Mengikut adat kesultanan Melayu,  Temenggung yang merupakan jawatan kurniaan tidak mungkin ditabal menjadi Sultan. Ini kerana Sultan merupakan jawatan yang diwariskan oleh galur keturunan. Temenggung boleh dilantik atau dipecat mengikut budi bicara institusi Bendahara. Hanya Bendahara sahaja yang merupakan jawatan warisan dari keturunannya sementara Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan Orang Kaya-Kaya merupakan jawatan kurnia. 

Temenggung juga bukan daripada galur keturunan kesultanan Melayu  Iskandar Zulkarnain yang turun kepada Demang Lebar Daun. Kedudukan Temenggung dalam Kesultanan Johor Lama  sangat rendah berbanding Sultan. Temenggung juga jauh lebih rendah berbanding Bendahara. Ini kerana Temenggung hanya  membantu Bendahara. Selain Temenggung,  lain-lain yang turut membantu Bendahara ialah Laksamana, Penghulu Bendahari, Orang Kaya-Kaya serta beberapa lapis lagi.

Sejarah Johor Lama memang telah banyak dibukukan. Bagaimanapun sebahagian besarnya condong kepada  kepentingan keturunan Bugis serta berdasarkan orientalis Barat.  

Bagaimanapun buku ini melihat  dan mengangkat secara terang  tentang persejarahan Johor Lama  yang dibenamkan demi kepentingan pihak tertentu.

Sejarah mesti berlaku jujur kepada manusia yang terlibat dan peristiwa yang berlaku. Maka buku Institusi Bendahara –  Permata Melayu Yang Hilang adalah sebuah kebenaran sejarah.  Sepahit manapun kebenaran ia tetap sejarah  yang benar kepada generasi selepas mereka.

Wibawa Tun Suzana sebagai seorang ahli sejarah yang disegani menjadikan buku ini sebuah pendedahan sejarah yang sangat berharga mengenai kerajaan Johor Lama. 


Buku ini adalah satu pencerahan terhadap sejarah yang dibenamkan sekian lama. Difahamkan buku ini menjadi buruan orang ramai khususnya yang ingin tahu sejarah sebenar kesultanan negeri Johor. Oleh hal yang demikian, membaca buku ini telah memberikan kesedaran lagi sangat menginsafkan. Johor Lama kehilangan pewaris Sultan yang sah. – KU SEMAN

SUMBER: kuseman.com