Wednesday 8 May 2019

TEMENGGUNG IBRAHIM "SINGKIR" SULTAN JOHOR (LAMA)

Judul Buku:  Institusi Bendahara - Permata Melayu Yang Hilang
Penyusun:  Tun Suzana Tun Haji Othman
Penerbit: Pustaka BSM Enterprise
Tahun: 2002

Buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang mendedahkan  taktik licik Temenggung  Ibrahim dari keturunan Bugis pada abad ke 18 Masihi menyingkirkan waris kesultanan Melayu, Tengku Ali @ Sultan Ali yang menjadi Sultan Johor (Lama).  Walaupun Tengku Ali @ Sultan Ali dilantik oleh kaum kerabat sebagai Sultan Johor (Lama) tetapi British tidak mengiktiraf Tengku Ali @ Sultan Ali.

Sepuluh tahun sebelumnya,  iaitu pada 1825 Masihi,  Temenggung Abdul Rahman meninggal dunia di Telok Belanga, Singapura digantikan dengan Temenggung Ibrahim.  

Pelantikan Temenggung Ibrahim tidak dipersetujui oleh Bendahara Tun Ali kerana tindakan ayah Temenggung Ibrahim menggadai Singapura kepada British.  

Temenggung Ibrahim  kemudiannya bercita-cita menjadi  Sultan Johor (Lama) kerana kedudukan ayahnya setara dengan Sultan Johor (Lama) daripada kaca mata British.
Temenggung Ibrahim

Dengan bantuan British  Temenggung Ibrahim berjaya meruntuhkan institusi Bendahara, satu-satunya kuasa adat tertinggi menentukan pewaris Sultan Johor (Lama) yang sebenar.  

Tengku Ali @ Sultan Ali diisytiharkan sebagai Sultan Johor (Lama) ke-19 pada 16 September 1840, dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah ibni Hussain Muazzam Shah.  Bagaimanapun pelantikan baginda tidak diiktiraf  oleh British. Jawatan Sultan Johor  itu hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa pembesar Melayu.  

Tengku Ali @ Sultan Ali tidak berperanan dalam pentadbiran negeri kerana sebahagian besar terletak di bawah bidang kuasa Temenggung Ibrahim dan British. Kuasa Sultan Johor (Lama) menjadi kecil berbanding Temenggung Ibrahim.

Penyingkiran Tengku Ali @ Sultan Ali secara sulit dan tidak terhormat sebagai Sultan Johor (Lama) merupakan satu tragedi besar lagi penting yang mengubah lanskap sejarah Kesultanan Johor (Lama) – daripada galur Melayu kepada galur Bugis oleh Temenggung Ibrahim. Mengikut adat kesultanan Melayu dan institusi Bendahara, Temenggung Ibrahim bukan Sultan Johor (Lama) yang sah.

Kalau institusi Bendahara tidak dilumpuh dan diruntuhkan, Temenggung yang di luar galur kesultanan Melayu galur Iskandar Zulkarnain hingga Demang Lebar Daun tidak mungkin ditabal menjadi Sultan Johor (Lama). Maka langkah pertama ialah melumpuhkan institusi Bendahara pada 1722 Masihi.

Berakhirnya institusi Bendahara membuka ruang kepada pembesar Bugis dan British sesuka hati menabal galur Temenggung sebagai Sultan Johor (Lama).  Johor Lama merangkumi tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di sebelah selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga.  Disebabkan tidak tahan dengan tekanan oleh British dan Temenggung Ibrahim, pada 10 Mac 1855 Masihi, Tengku Ali @ Sultan Ali menandatangani perjanjian menyerahkan takhta Johor Lama kepada Temenggung Ibrahim.

Ketika institusi Bendahara menjadi tunggak institusi kesultanan Melayu, ia memastikan peralihan kuasa mengikut adat Melayu dan syariat Islam serta membendung percaturan politik dalam kalangan pewaris-pewaris Sultan.  Bagaimanapun kelestarian institusi Bendahara berakhir apabila Temenggung  Ibrahim berketurunan Bugis berkongsi kuasa  dan akhirnya membayangi  institusi kesultanan Melayu.
Tengku Ali @ Sultan Ali

Bendahara  berperanan dalam menabal Duli Yang Dipertuan yakni Sultan mengikut  adat tradisi Melayu dan hukum syarak (dengan bimbingan ulama) kemudian menjadi penasihat baginda, menyelenggara jenazah baginda, mengganti baginda selepas kemangkatan, memangkuriba Sultan yang masih kecil sebagai Pemangku Sultan dan menjadi ketua bagi pembesar tradisi Melayu seperti Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan sebagainya.

Mengikut adat kesultanan Melayu,  Temenggung yang merupakan jawatan kurniaan tidak mungkin ditabal menjadi Sultan. Ini kerana Sultan merupakan jawatan yang diwariskan oleh galur keturunan. Temenggung boleh dilantik atau dipecat mengikut budi bicara institusi Bendahara. Hanya Bendahara sahaja yang merupakan jawatan warisan dari keturunannya sementara Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan Orang Kaya-Kaya merupakan jawatan kurnia. 

Temenggung juga bukan daripada galur keturunan kesultanan Melayu  Iskandar Zulkarnain yang turun kepada Demang Lebar Daun. Kedudukan Temenggung dalam Kesultanan Johor Lama  sangat rendah berbanding Sultan. Temenggung juga jauh lebih rendah berbanding Bendahara. Ini kerana Temenggung hanya  membantu Bendahara. Selain Temenggung,  lain-lain yang turut membantu Bendahara ialah Laksamana, Penghulu Bendahari, Orang Kaya-Kaya serta beberapa lapis lagi.

Sejarah Johor Lama memang telah banyak dibukukan. Bagaimanapun sebahagian besarnya condong kepada  kepentingan keturunan Bugis serta berdasarkan orientalis Barat.  

Bagaimanapun buku ini melihat  dan mengangkat secara terang  tentang persejarahan Johor Lama  yang dibenamkan demi kepentingan pihak tertentu.

Sejarah mesti berlaku jujur kepada manusia yang terlibat dan peristiwa yang berlaku. Maka buku Institusi Bendahara –  Permata Melayu Yang Hilang adalah sebuah kebenaran sejarah.  Sepahit manapun kebenaran ia tetap sejarah  yang benar kepada generasi selepas mereka.

Wibawa Tun Suzana sebagai seorang ahli sejarah yang disegani menjadikan buku ini sebuah pendedahan sejarah yang sangat berharga mengenai kerajaan Johor Lama. 


Buku ini adalah satu pencerahan terhadap sejarah yang dibenamkan sekian lama. Difahamkan buku ini menjadi buruan orang ramai khususnya yang ingin tahu sejarah sebenar kesultanan negeri Johor. Oleh hal yang demikian, membaca buku ini telah memberikan kesedaran lagi sangat menginsafkan. Johor Lama kehilangan pewaris Sultan yang sah. – KU SEMAN

SUMBER: kuseman.com

1 comment: