Showing posts with label Qatar. Show all posts
Showing posts with label Qatar. Show all posts

Wednesday, 14 June 2017

KENYATAAN TEGAS DAN BERANI QATAR BERIKUTAN DIPULAU DAN DIDESAK NEGARA ARAB


Hasil carian imej untuk Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani (Foto: Reuters)
Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, Qatar's Foreign Minister (Foto: Reuters)

Doha - Sejumlah negara Arab telah memutuskan untuk menghentikan hubungan diplomatik dengan Qatar. 

Menghadapi peminggiran ini, kerajaan Qatar berkata bahawa mereka tidak akan menyerah. Qatar juga menolak setiap campur tangan dalam dasar luar negaranya.

Dalam wawancara dengan agensi berita AFP, Emir Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata, seruan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya tentang perubahan dalam dasar Qatar merupakan hal yang tidak boleh diterima.

"Tidak ada negara yang berhak mencampuri dasar luar negara kami," tegas penguasa Qatar itu seperti dikutip dari AFP, Jumaat (9/6/2017).

Beliau juga menolak penyelesaian dengan ketenteraan sebagai pilihan untuk menyelesaikan krisis ini. Tegasnya, Qatar akan bertahan walaupun negara-negara Teluk Arab menyisihkannya.
Hasil carian imej untuk arab islamic american summit reuters
Dari Kiri: Emir Qatar (Sheikh Tamim Bin Hamad al Thani), Putera Mahkota Abu Dhabi (Sheikh Mohammed bin Zayed al Nahyan), Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump), Raja Arab Saudi (Raja Salman bin Abdulaziz al Saud) dan Raja Jordan (Raja Abdullah II) bergambar ketika Sidang Kemuncak Arab-Islam-Amerika di Riyadh, Arab Saudi, May 21, 2017. (Foto: Reuters)

"Kami tidak bersedia untuk menyerah, dan kami tak akan pernah bersedia untuk menyerahkan kemerdekaan dasar luar negara kami," ujarnya sambil menambah: "Tiada yang akan mematahkan kami."

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dengan alasan negara tersebut menyokong kumpulan ekstrem, juga kerana kaitan Qatar dengan Iran, musuh utama Saudi. Kerajaan Yaman, Libya, Maldives dan Mauritania kemudian juga turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Atas tuduhan menyokong keganasan, kerajaan Qatar menafikan tuduhan itu dan membantahnya dengan tegas. Negara tersebut juga telah menyatakan kesediaan untuk berdialog bagi menyelesaikan krisis ini.



KENAPA ARAB MUSUHI HAMAS, IKHWAN LEBIH DARIPADA ISRAEL?

Kenapa Arab musuhi Hamas, Ikhwan lebih dari Israel?
“MUSUH Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”

Mengapa Hamas dan Ikhwan Muslimin lebih dimusuhi sebahagian negara Arab berbanding Israel?  

Mengapa Qatar yang melindungi dan membantu kedua-dua gerakan ini ditekan sebegitu hebat sekali?

Sedangkan Israel lebih dahsyat ancamannya pada waktu ini dengan menduduki tanah Palestin secara haram dan besar-besaran?

Ada tiga jawapan yang saling berkait iaitu: menjaga hubungan dengan Amerika yang memberi pulangan ‘petroDollar’ kepada negara Arab; memelihara proksi Arab Saudi di Timur Tengah; dan menyekat potensi pesaing kepada kepimpinan Arab Saudi pada masa hadapan.

Krisis Qatar memasuki episod baru apabila Arab Saudi memberi amaran agar Qatar segera memutuskan hubungan dengan Hamas dan Ikhwan Muslimin.  

Sama sekali bukan rahsia bahawa Hamas ialah benteng yang menghalang Palestin daripada dijajah Israel sejak sekian lama.  

Ikhwan Muslimin pula bukan sekadar pernah membantu perkembangan pendidikan di dunia Arab yang dahulu dibelenggu buta huruf yang kritikal, tetapi juga dalam sektor perniagaan, kesihatan dan kesukarelawanan.  

Ikhwan Muslimin mempunyai sejarah panjang yang cukup berpengaruh dalam peta dunia Arab hari ini.

Malah Hamas di Palestin sebenarnya ialah cawangan Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan oleh As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin.

Membezakan Ikhwan Muslimin dengan gerakan politik lain ialah doktrin fundamentalnya dengan Islam, termasuklah berkenaan menolak hegemoni Amerika Syarikat dan penjajahan Zionis.  

Sebaliknya raja-raja negara Arab memerlukan sistem petrodollar Amerika di mana hasil petroleum mereka yang dilaburkan dalam mata wang Dollar memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding melabur atau menggunakan hasil minyak dalam negara mereka semata-mata.

Berkembangnya pengaruh Ikhwan dalam negara mereka bakal menjejaskan pulangan lumayan petroleum mereka ini bila mana legitimasi politik mereka terhakis lalu menjejaskan hubungan dengan Washington.

Umum mengetahui bahawa Washington dipengaruhi kuat para pelobi pro-Israel lantas jika negara Arab ini memberi pengiktirafan kepada Hamas dan Ikhwan yang dianggap sebagai ‘pengganas’ oleh Israel dan Amerika, maka pendapatan lumayan mereka bakal terjejas.  

Perlu diketahui pendapatan ini bukan hanya menampung pentadbiran negara mereka, tetapi juga membiayai ‘survival’ atau kelangsungan rejim monarki yang digasak hebat arus pendemokrasian.

Kedua-dua gerakan Hamas dan Ikhwan juga mencabar secara langsung sekutu atau proksi Arab Saudi di dua kawasan berpengaruh iaitu rejim Al-Sisi Mesir dan autoriti Palestin pimpinan Fatah yang direstui Arab Saudi.  

Mesir ialah sekutu penting bagi Arab Saudi kerana bukan sahaja jumlah populasinya yang besar, tetapi juga kerana lokasi strategiknya, di samping saiz angkatan tentera kedua terbesar dalam kalangan negara Islam selepas Turki.  

Maka apabila Al-Sisi menghapuskan dasar bantuan Mesir kepada Hamas Palestin seperti mana yang dilaksanakan di era Morsi, ia memberi isyarat yang positif untuk bersekutu dengan Arab Saudi yang menjaga kepentingan hubungan baik dengan Amerika, iaitu sekutu Israel.  

Fatah pula lebih mudah untuk menjadi pelaksana agenda Arab Saudi di Palestin berbanding Hamas, terutama sekali apabila melibatkan rundingan dengan Israel.  

Hal ini dipengaruhi keengganan Hamas untuk berunding sama sekali dengan Israel selagi mana penjajahan dan pendudukan haram Yahudi di tanah Palestin berleluasa.  

Sebaliknya pendekatan lunak Fatah bakal memberi laba imej ‘positif’ Arab Saudi di mata Washington – disamping memelihara reputasinya sebagai pemimpin dunia Islam, meskipun rundingan demi rundingan terbukti kurang berhasil tanpa langkah ofensif.

Lingkungan pengaruh Ikhwan yang luas di Qatar, Mesir, dan negara-negara Arab lain turut dianggap sebagai ancaman strategik jangka panjang buat rejim monarki.  

Ikhwan bukan semata-mata gerakan politik, tetapi juga ialah gerakan profesional serta dakwah yang tersebar luas yang berupaya mengakumulasi pengaruh dalam kalangan massa.  

Maka berbeza dengan iklim politik yang agak terbendung di beberapa negara Teluk, gerakan Ikhwan berupaya untuk bergerak secara aktif dan meluaskan pengaruh dalam sistem berasaskan demokrasi.  

Maka jika Turki pada hari ini yang mesra Ikhwan sahaja sudah berupaya untuk menyaingi hegemoni Arab Saudi dalam Dunia Islam, tentu sekali jika lebih banyak negara lain berjaya dikuasai Ikhwan maka pengaruh dan kepimpinan Arab Saudi akan lebih terpinggir.  

Lihat sahaja respon Arab Saudi dan sekutunya setiap kali gerakan Islamis dan Ikhwan berjaya selepas memenangi pilihan raya di mana-mana negara, sama ada di Mesir, Turki, Algeria, mahu pun di Palestin sendiri.  

Ringkasnya, “Musuh Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”.

Soalnya kini, selama manakah hubungan status quo segi tiga secara tidak langsung antara Arab Saudi, Amerika Syarikat, dengan Israel ini akan berkekalan?

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



Wednesday, 7 June 2017

KRISIS ARAB-QATAR: IKHWANUL MUSLIMIN & RUSIA

“Jika bangsa Arab menjadi hina, Islam akan turut dihina.” (Hasan al-Banna)

Arab Saudi, Mesir, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, kerajaan Yaman dan Libya pro-Saudi, serta terbaru Maldives telah memutuskan hubungan dengan Qatar. Saham milik Qatar terus jatuh merudum manakala laluan darat, laut serta udaranya pula dikenakan sekatan. Sebenarnya tindakan mengejutkan sebegini bukan kali pertama kerana pada 2014 Arab Saudi, Bahrain, dan UAE pernah memanggil pulang duta mereka dari Qatar. Apakah ‘dosa’ negara kepulauan kecil di sebelah Semenanjung Arab itu? Mengapa Qatar yang selama ini dilihat antara sekutu Arab kini tiba-tiba dimusuhi?
Hasil carian imej untuk qatar
Antara tuduhan terhadap Qatar ialah “menyokong aktiviti keganasan” dan “menggugat kestabilan serantau” serta memiliki hubungan baik dengan pertubuhan seperti “Ikhwan Muslimin, ISIS, dan Al-Qaeda”. Qatar turut dituduh menyokong agenda Iran dan Syiah di Qatif (Saudi) dan Bahrain. Sebelum itu ada tuduhan yang telah pun dinafikan kononnya pemimpinnya Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyokong Iran, Hamas, Hezbullah, dan Israel di samping tidak yakin “berapa lama Trump akan bertahan sebelum dipecat di Amerika”.

Sememangnya Qatar merupakan salah satu daripada negara Arab utama yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Malah Qatar turut menyertai latihan ketenteraan North Thunder anjuran Arab Saudi pada 2016. Qatar bahkan terkehadapan dalam mengiktiraf pencerobohan kuasa Barat ke atas rejim Muammar Gaddafi di Libya serta bersama GCC Arab menentang pemberontakan di Bahrain.
Hasil carian imej untuk qatar
Namun berbeza dengan negara Arab lain, Qatar mesra Ikhwan Muslimin dan Rusia. Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi, UAE, dan Mesir yang kini menganggap pertubuhan tersebut sebagai pengganas, Qatar bukan sahaja mengadakan hubungan rapat dengan Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut melindungi kepimpinan Ikhwan. Ilmuan Prof. Yusuf Al-Qaradhawi yang dianggap pemikir Ikhwan turut diberi suaka politik di Qatar.

Sewaktu kepimpinan Morsi, Qatar dilaporkan mendepositkan sebanyak USD 2 bilion kepada Bank Negara Mesir, meningkatkan pelaburannya sebesar 74 peratus di Mesir. Doha juga secara umumnya menyokong peristiwa Arab Spring yang menaikkan kepimpinan bercitra Islamis di rantau Teluk, sedangkan Arab Saudi, Bahrain, dan UAE kurang selesa dengan kebangkitan sedemikian. Malah terdapat dakwaan bahawa sokongan Qatar telah membantu kejayaan gerakan pro-Ikhwan Muslimin dalam pilihan raya pasca-Arab Spring di Mesir, Maghribi, dan Tunisia. Ditambah dengan faktor kewangan yang kuat dan penglibatan aktif Qatar di pentas antarabangsa telah menjadikannya pesaing yang serius.
 Hasil carian imej untuk qatar
Qatar semakin berani mendedahkan urusan di sebalik tabir yang kurang disenangi negara jiran Arabnya. Terkini pada 2017 baru-baru ini tentang emel kerjasama UAE-Israel. Laporan stesen penyiaran Qatar, iaitu Al-Jazeera menyatakan bahawa penggodam telah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef al-Otaiba dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for Defense of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk memburukkan imej Qatar di rantau Asia Barat. Pada 2015 Al-Jazeera turut menyiarkan imej ngeri orang awam yang menjadi mangsa serangan Mesir selepas Presiden Morsi digulingkan, sekali gus memburukkan hubungan Qatar-Mesir. Malah pada 2016 dua pekerja Al-Jazeera dihukum mati oleh Mahkamah Mesir kerana didakwa membocorkan dokumen keselamatan sulit Mesir kepada Qatar sewaktu pemerintahan Morsi.

Hasilnya imbangan kuasa di Timur Tengah kini semakin boleh dibahagikan kepada tiga blok: pada satu sudut, Arab Saudi, Bahrain, Mesir, dan UAE. Manakala pada sudut yang lain ialah Qatar, Turki, Hamas di Palestin, Sudan, serta Tunisia dan Maghribi yang lebih lunak dengan Ikhwan manakala Iran, Syria dan Hizbullah mewakili satu lagi blok yang berpengaruh. Perkembangan ini bakal mengimpak situasi di Yaman dan Syria yang masih bergolak.
Hasil carian imej untuk peta negara qatar
Di peringkat global pula, meskipun Qatar mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun ia juga semakin rapat dengan Rusia. Amerika bukan sahaja memiliki dua pangkalan udara dan tentera di Qatar, bahkan turut membekalkan pelbagai aset ketenteraan seperti helikopter, sistem pertahanan, dan peluru berpandu kepada Doha. Namun hubungan Qatar-Rusia makin erat apabila terkini perjanjian syarikat minyak antara Rosneft (Rusia) dengan Qatar dan Glencore (Switzerland) ditandatangani, menyusuli pembelian saham Bank V.T.B. Rusia dan juga pelaburan dalam pembinaan lapangan terbang Pulkovo St. Petersburg oleh Qatar, sedangkan Rusia berada dalam sekatan antarabangsa. Aset Qatar di Rusia kini berjumlah USD 2.5 bilion, suatu perkembangan yang pastinya tidak menyenangkan seteru Moscow. Kebetulan, Rusia ialah penganjur Piala Dunia 2018 manakala Qatar pula penganjur Piala Dunia 2022.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)