Sunday, 27 May 2012

ADA BANYAK KELEMAHAN DALAM FILEM MANTERA ???


FILEM : Mantera (Man Transformable Exo-Robotic Armor)

ARAHAN : Mohd Aliyar Ali Kuthy dan Miza Mohamad.

LAKONAN : Tomok, Shikin Kamal, Mikhail Dorojkin (Russia), Natalya Shmarenkova dan Wael Al-Masri (Dubai).

GENRE : Fiksyen Sains dan Aksi.

DURASI : 90 minit.

TAYANGAN: 17 Mei 2012.

AGAK mengecewakan apabila sebuah filem yang bertunjangkan aksi dengan mengangkat robot sebagai paksi utama dalam filem Mantera (Man Transformable Exo-Robotic Armor) gagal dipersembahkan dengan baik.Pun begitu,Mantera secara dasarnya mempunyai asas kuat untuk menjadi sebuah filem aksi tempatan yang hebat kerana ia barangkali belum pernah dihasilkan oleh mana-mana produksi di negara ini.Malah gabungan antara tiga buah negara seperti Russia,Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Dubai dan Malaysia yang sepatutnya menjadi bonus kepada Mantera untuk berdiri gah sebagai sebuah filem antarabangsa juga menyedihkan kerana sejak awal ia seolah-olah hilang punca dalam cubaan menggabungkan tiga negara tersebut dalam satu karya.Ini terjadi kerana plot penceritaannya sangat lemah sehingga menyebabkan penonton berasa keliru dan ternanti-nanti adegan seterusnya.

Pengarahnya,Mohd Aliyar Ali Kuthy dan Miza Mohamad,kelihatan begitu berusaha untuk menjelaskan masalah yang berlaku apakah yang menyebabkan momentum filem itu menjadi kucar-kacir.Malah versi tayangan untuk Malaysia ini terlalu banyak disogokkan dengan elemen percintaan yang berlebihan di antara watak Tomok iaitu Azman dan Shikin Kamal yang memegang watak Deena sehingga menenggelamkan genre asal filem tersebut iaitu aksi.Bagaimanapun penerbitnya pernah menjelaskan bahawa untuk tayangan tempatan pihaknya sengaja memasukkan pelbagai elemen romantik itu kerana ia disukai oleh penonton tempatan.

Mantera mengisahkan mengenai pergolakan dua kumpulan rahsia yang menguasai dunia iaitu Alliance of Light dan Dark Legions.Dark Legions melalui syarikat Weston Tech membangunkan senjata rahsia,Mantera yang juga sistem motosikal dan sarung tangan nano dan boleh berubah menjadi baju perisai robotik.Bagaimanapun, ketua pereka Mantera iaitu Dr Natasha yang menyedari niat jahat ketuanya cuba untuk sabotaj dan memusnahkan sistem Mantera.Dia bagaimanapun telah menghilangkan diri dengan pelan skematik dan kertas kerja Mantera. Sisa dan cebisan Mantera secara tidak sengaja dihantar kepada seorang penuntut teknologi di Malaysia,Azman lakonan Tomok.

Azman dengan bantuan rakannya,Kevin membina semula Mantera sehingga menjadi motosikal berkuasa besar.Tanpa mereka sedari,motosikal itu boleh bertukar menjadi baju amor robotik yang boleh memberikan kekuatan dan kepantasan ‘superpower’ kepada pemakainya.Dalam masa yang sama,Azman yang sinonim dengan sikapnya yang pendiam dan tidak mempunyai ramai kawan di kolejnya bertemu pula dengan seorang gadis,Deena yang juga pelajar tahun akhir dalam jurusan robotik dan kebetulan menghadiri kelas Interaksi Komputer-Insan yang sama dengan Azman bagi melengkapkan jadual kursusnya.

Mereka berkenalan dan akhirnya mengundang rasa cinta yang pada asasnya mereka berkongsi minat yang sama dalam pemasangan peralatan robotik Mantera bagi membina motosikal.Weston Tech menjejaki Dr Natasha dan Azman bersama sistem Mantera yang kini menyertai Alliance of Light sehingga ke ibu pejabat rahsia Alliance of Light di Timur Tengah.Pertempuran sengit antara Azman yang menjadi Mantera dengan robot pembinasa Weston Tech yang dipanggil Vega akhirnya tercetus.

Sementara itu, menyentuh elemen teknik pengimejan berkomputer (CGI) dan grafik filem ini, ia dibuat dengan agak bagus jika penonton tidak cuba membandingkan CGI Mantera dengan filem keluaran Hollywood seperti Transformer.Ia masih boleh meyakinkan penonton walaupun terdapat cacat cela yang mungkin membuatkan penonton mengerut dahi memikirkan kewajaran sesuatu teknik CGI yang digunakan.Tentang lakonan Tomok yang memegang watak utama dalam filem ini, pengarah gagal mengeluarkan potensinya yang pertama kali muncul di layar perak.Bagaimanapun,usaha Tomok tidak sia-sia kerana dia tidak terlalu kelihatan kaku dalam penampilan pertamanya itu.Mantera boleh dikatakan sebagai satu cubaan yang baik tetapi kesempurnaan tidak hadir dalam filem ini. Namun ia masih mampu diingati kerana telah berjaya membawa animasi tempatan ke satu tahap yang lain.Filem ini menelan belanja kira-kira RM8.5 juta dan dijangka akan turut dipasarkan di pasaran antarabangsa

Sumber : Oleh Mohd Al Qayum Azizi Mstar @ (BADUT RAKYAT)

No comments:

Post a Comment