Thursday, 4 January 2018

MENCARI HANG TUAH: ANTARA HIKAYAT DAN FAKTA

Hasil carian imej untuk hang tuah
...hiasan je ni...

Prof. Dr Syed Naquib al-Attas, seorang Ilmuwan dan ahli falsafah Agung Melayu masa kini didalam karyanya yang terbaru, Historical Fact and Fiction telah mengemukakan satu teori terbaru yang bakal mengubah sekali lagi penulisan sejarah tanah air mahupun seluruh Nusantara barangkali.

Antaranya, apabila beliau membincangkan asal dan usul nama Sumatera yang pada pendapat beliau telah disalahtafsirkan. Sejak Marsden didalam penulisannya "History of Sumatra" pada 1783, kebanyakan ilmuwan dan sejarawan barat telah membuat kesimpulan yang satu apabila berbicara tentang akan asal usul nama Sumatera. 

Sumatera pada pendapat mereka sudah tentunya berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Samudra ataupun Suwarna. Samudra didalam bahasa Sanskrit dan juga dipinjam didalam Bahasa Melayu sebagai laut, manakala nama Suwarna pula mungkin diambil dari buku al-Biruni yang mana mencatatkan bahawa orang India pada suatu ketika dahulu memanggil kepulauan Sumatera dan Jawa sebagai Suwarnadib, ataupun Suvarnadvipa, yang bermaksud Pulau Emas, memandangkan sejarah perdagangan yang panjang antara Benua Keling dan Nusantara ini khususnya berkaitan dengan emas, yang mana pernah menjadi barang dagangan utama pada ketika itu.
Hasil carian imej untuk syed naquib al-attas
...hiasan je ni...

Namun, Prof.Syed Naquib al-Attas menyangkal dan menolak hipotesis dan teori yang dikemukakan oleh sekelian orientalis barat selama ni didalam bukunya yang terbaru ini. Sebaliknya, beliau mengangkat satu kitab sejarah dari bangsa Melayu itu sendiri, yakni Hikayat Raja-Raja Pasai apabila persoalan berkenaan asal nama Sumatera ini dibangkitkan.

Didalam Hikayat Raja-Raja Pasai, diceritakan akan asal usul nama Sumatera dengan jelasnya. Diceritakan bahawa apabila Merah Silau menaiki takhta kerajaan, ternampaklah baginda akan satu semut besar yang dikatakan sebesar kucing lalu melintas dihadapan baginda. Terkejut dan takjub akan kejadian tersebut, maka ditangkaplah semut itu dan dimakannya, dan ditempat itulah baginda membina istana kerajaannya lalu menamakan tempat itu sebagai Samatra atau Semut Raya, yang bermaksud Semut Besar.

Sudah tentu, apabila dikatakan hikayat, dan jalan cerita yang pada hemat para orientalis barat sebagai tidak masuk akal, akan ditolak sementah-mentahnya tanpa perlu dikaji lagi. Mana mungkin wujud seekor semut sebesar kucing diatas muka bumi ini?

Maka apabila membincangkan tentang Hikayat Raja-Raja Pasai, para sejarawan termasuklah sejarawan tempatan telah menolaknya dan hanya mengklasifikasikannya sebagai satu sastera klasik berunsur sejarah yang tidak boleh dipakai. Namun disangkal oleh YM Prof Syed Naquib al-Attas didalam bukunya yang terbaru ini. Apa yang dikemukakannya ialah bahawa Semut Raya itu wujud. Sejarah Merah Silau bertemu semut sebesar kucing itu sememangnya wujud! Dan ia bukanlah satu rekaan dan fiktif semata-mata.

Maka dibongkarkannya sebuah kitab perjalanan lama Arab Aja’ib al-Hind yang dikarang oleh Buzurg ibn Shahriyar yang ditulis dalam lingkungan masa abad ke-10 masihi. Didalamnya dilaporkan oleh seorang yang bernama Muhammad ibn Babishad yang mana menyatakan pada utara Sumatera,

‘Terdapat semut yang sungguh besar, terutamanya di Pulau Lamri yang mana mereka itu membesar..’
Image may contain: 1 person
...hiasan je ni...

Apa kaitan Hang Tuah dengan diatas? Mudah, kedua-duanya ditafsirkan dan digolongkan oleh para sejarawan tempatan khusus yang berpendidikan dan mempunyai pandangan alam barat sebagai mitos, mustahil dan hanya khayalan. Sekali pandang, mana mungkin akan wujud semut sebesar kucing seperti dinyatakan didalam Hikayat Raja-Raja Pasai? Hang Tuah pula wujud hanya sebagai satu perlambangan, satu lambang kepada seruan untuk kebangkitan bangsa Melayu yang baru sahaja dijajah oleh Feringgi pada awal penulisannya.

Dan kita yang tidak mengkaji dan mengharapkan imhsan dan bantuan bangsa lain untuk mencari dan membongkar khazanah sejarah sendiri akan tunduk mengiyakan apa yang telah ditulis. Para sejarawan tempatan yang dilatih dan diindoktrinasikan dengan cara pemikiran barat akan turut menyokong fakta yang diberikan oleh para orientalis terdahulu. Tiada usaha untuk mencari, mengkaji dan menyelami sejarah bangsa sendiri. Tak habis-habis dengan hanya menunggu untuk disuap, dan bukan menjadi orang yang menyuap.

Ini jawapan Hamba kepada persoalan yang dibangkitkan apabila Prof Emeritus Khoo Khay Kim mempersoalkan kewujudan Tun Tuah. Dan ini juga jawapan Hamba kepada mereka yang menggelakkan apabila Melayu dikatakan bangsa awal manusia. Persoalan yang paling asas didalam banyak-banyak soalan.

Jangan salahkan Prof Khoo Khay Kim apabila menafikan Laksamana Tun Tuah dan Puteri Hang Li Po. Salahkan kita sendiri kerana gagal memahami sejarah bangsa sendiri. Salahkan kita sendiri yang memandang rendah kepada kebijaksanaan leluhur kita. Salah kita sendiri sebenarnya.

Hendaklah pengkaji sejarah Islam itu hidup dengan aqal, ruh dan perasaannya....Syed Qutb, al-Tarikh Fikrah wa Minhaj
Hasil carian imej untuk hang tuah
...hiasan je ni...

Hang Tuah, Tun Tuah? Wujudkah susuk ini? Yang dikatakan manusia terbilang ini?

Yang Dimuliakan Prof.Emeritus Tan Sri Khoo Khay Kim menafikan dan mempersoalkan kewujudan Laksamana Agung Kesultanan Melaka Darussalam ini dengan mengambil kira rujukan silang yang dilakukan khusus didalam rekod Dinasti Tanah Besar China yang memerintah pada ketika itu, Dinasti Ming. Oleh kerana tiadanya rekod yang menyebut nama Hang Tuah, maka Laksamana Agung ini tidak wujud! Semudah itu!

Suka Hamba rujuk kepada Annotated Sources of Ming History, including Southern Ming and works on Neighbouring Lands 1368-1661, jilid 1 halaman 227 yg mana, diantara lain penulis tersebut menyatakan bahawa Dinasti Ming merupakan Dinasti yang paling diabaikan sejarahnya. Walaupun disebutkan alasan yang diberikan ialah kerana keberatan dari pihak sejarawan dan para ilmuwan setelah kejatuhan empayar Ming untuk menulisnya kerana polisi yang diamalkan oleh Dinasti Qing, empayar selepas kejatuhan Ming yang begitu sensitif dengan sebarang usaha untuk mengembalikan Dinasti Ming.

Disebut juga bahawa antara sebab kepada tiadanya penumpuan para sejarawan kepada Dinasti Ming ini kerana tiadanya kemajuan yang signifikan yang dilakukan semasa pemerintahan Dinasti Ming. Namun, kita tahu bahawa Dinasti Ming ini jugalah yang telah mengerahkan angkatan laut terbesar pada abad itu dibawah seorang Laksamana Muslim bernama Zheng He dan melawat Melaka untuk persinggahannya sebelum terus bergerak ke barat dan termasuklah Mekah. Jadi timbul persoalan kenapa Dinasti yang membawa perubahan kepada China ini tidak dianggap mundur dan lemah dan terus diabaikan? Rujuklah The Ming Empire: Patron of Islam in China and South-West Asia, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society , 1988, halaman 1-44 untuk mereka yang mahu mengkaji lebih lanjut.

Perlu juga ditekankan disini yang penulis ini juga mengakui banyak rekod-rekod dizaman Dinasti Ming telah dimusnahkan khusus semasa pemerintahan Dinasti Qing. Akhirnya persoalan timbul, adakah laporan dan rekod berkenaan Hang Tuah, Hang Li Po mungkin antara yang dimusnahkan? Dan adakah adil untuk sesiapa menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan himpunan rekod yang tidak lengkap dari Dinasti China?
Hasil carian imej untuk hang tuah
...hiasan je ni...

Terdapat 32 buah naskah dan 6 edisi Sulalatus Salitin atau dikenali juga dengan nama Sejarah Melayu secara keseluruhannya. Dan di setiap naskhah itu, terdapat perbezaan ketara antara satu sama lain, seperti siapa pengarangnya, bila Melaka ditubuhkan, siapa pengasas kepada Melaka dan sebagainya. Tidak perlu untuk berbincang secara panjang, yang ingin Hamba berikan perhatian ialah pertama tentang tarikh kewujudan Melaka. Tahun lepas, Pemerintah (bukan Kerajaan kerana Melaka sudah tidak beraja) Melaka telah mengumumkan tarikh baru penubuhan Melaka, iaitu hmpir 200 tahun lebih awal dari mana pemahaman sebelum ini. Menurut naskah versi Raja Bongsu, Melaka ditubuhkan pada 1262 Masihi bersamaan 660 Hijrah. Dan kalau benar Melaka ditubuhkan pada abad ke-13, maka Dinasti yang memerintah Tanah Besar China pada ketika itu ialah Dinasti Song dan Dinasti Yuan.

Adakah mungkin nama Hang Tuah tidak terdapat didalam rekod Dinasti Ming yang serba tidak lengkap kerana nama beliau terdapat didalam rekod Dinasti Song dan Yuan? Adakah terdapat usaha untuk merujuk kepada rekod Song dan Yuan berdasarkan versi Raja Bongsu yang diterima kini sebagai versi yang paling lengkap dan terperinci?
Hasil carian imej untuk hang tuah
...hiasan je ni...

Ya, kewujudan Hang Tuah dikatakan masih kabur. Usaha demi usaha telah dilakukan untuk merendahkan martabat Hang Tuah ini dilakukan. Dari klaim yang mengatakan Hang Tuah ini sebagai bangsa Cina, hinggalah menafikan terus kewujudan Hang Tuah membuktikan peri penting Hang Tuah direndahkan dan menghilangkan seorang perwira bangsa Melayu. Kesannya cukup besar, bagi sesiapa yang faham.

Begitu banyak bukti kewujudan Hang Tuah, tapi semuanya ditolak. Keris Taming Sari, yang kini menjadi lambang kebesaran dan regalia Kesultanan dan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang menjadi saksi kepada kewujudan tubuh bernama Laksamana Tun Tuah juga belum cukup untuk mengatakan bahawa Laksamana Agung Melayu ini wujud. Malahan, nasab lengkap Hang Tuah seperti diberikan Christopher Buyer juga ditolak? Apa lagi bukti yang diperlukan? Rekod dari China?

Pergilah ke Bintan tanah kelahiran Tun Tuah, pergilah ke Kelantan, Pattani, dan Pahang, keturunan Laksamana Agung ini bertaburan di bumi Melayu ini, Cuma tidak sedar akan kelebihan dan mungkin tidak mahu menonjolkan diri mereka kerana Melayu itu sifatnya merendah diri.

Tun Ali bin Datuk Paduka Tuan Jelai Tun Hamzah bin Tun Mat Ali bin Sang Naya Hang Nadim (berkahwin dengan anakanda Laksamana Tun Tuah, Tun Emas Jiwa selain anakanda sulongnya, Laksamana Sang Guna)... Tun Emas Jiwa Binti Tun Tuah bin Hang Mahmud.....
Hasil carian imej untuk hang tuah
...hiasan je ni...

Jangan salahkan leluhur kerana dikatakan tidak menulis sejarah bangsa, kerana tidak tepat dan mencampur adukkan sejarah dan hikayat. Salahkan diri sendiri kerana tidak dapat melihat kebijaksanaan mereka didalam menulis dan kebebalan sendiri yang hanya melihat sesuatu dengan pandangan kasar, bukannya mata hati.

Hang Tuah tidak masuk akal? Lihat dengan mata hati, kaji, dan selami. Kalian akan terpukau dengan bangsa bernama bangsa Melayu ini.

Nama sumatera memakan masa hampir 600 tahun untuk dibongkarkan rahsianya. Sudah tiba masa untuk kita menunjukkan bahawa Laksamana Tun Tuah itu sememangnya wujud!

Takkan Melayu Hilang di Dunia.....

Rujukan: 

Historical Fact and Fiction, Syed Muhammad Naquib al-Attas

Annotated Sources of Ming History, including Southern Ming and works on Neighbouring Lands 1368-1661, Wolfgang Franke

From the Mediterranean Sea to the China Sea: Miscellaneous Notes, C. Guillot

Genesis Autograf Sejarah Melayu, V. Thilagavathi Gunalan.

Catatan Merah Silu, Radzie Sapie

Kredit: Saya Budak Melayu 


No comments:

Post a Comment