Friday, 21 April 2017

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TAMADUN MELAYU

No automatic alt text available.
Tamadun Melayu secara rasminya dianggarkan bermula kira-kira 600 SM berdasarkan rekod penemuan terkini arkeologi di Sungai Batu. Orang Melayu membina peradaban mereka kira-kira 1400 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah dan kelahiran Islam. Sebelum cahaya hidayah mula meresapi umat Melayu, mereka dicatatkan pernah mengganut fahaman animism, agama Hindu dan Buddha.

Namun selepas kedatangan Islam, orang Melayu tidak lagi bertukar agama meski usaha pengkristian cuba berlaku ke atas bangsa mereka ini, melalui usaha-usaha penjajah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sendiri. Sepertinya, pencarian spritiual orang Melayu akhirnya berhenti pada Islam.

Inilah yang sangat penting untuk kita kaji dan dalami, tentang sinar-sinar kemasukan tamadun Islam ke Tamadun Melayu. Justeru, saya akan bahagikan fasa-fasa kemasukkan Islam yang mula meresapi ke Tamadun Melayu.

1. Fasa Persinggahan

Dipercayai bahawa sejak abad pertama Masihi lagi, orang Melayu sudah terlibat dengan perdagangan dengan bangsa Arab. Sebagai contoh, Lynda Shaffler dalam bukunya Maritim Southeast Asia to 1500 mencatatkan bahawa orang Melayu sudah membuka penempatan di Pelabuhan Aden pada waktu seawal 53 Masihi lagi.

Dan perhubungan antara bangsa Melayu dan bangsa Arab sebenarnya telah banyak membantu perkembangan teknologi mereka terutama di sekitar Yaman. Ini tidaklah hairan kerana dalam sejarah, orang Melayu dikenali sebagai pelopor ketamadunan kelautan yang sangat mengagumkan.

Dicatatkan bahawa orang Melayu ialah bangsa pertama di dunia yang meneroka lautan luas serta bangsa pertama yang belayar dengan memanfaatkan pengerakkan angin monsoon. Pencapaian hebat bangsa Melayu ini telah meninggalkan peninggalan mereka sejauh di Mesir Purba, kerajaan Bani Israel, Yunani, Rom hingga ke Timur Afrika.

Dan hubungan bangsa Melayu dan Arab tidak pernah tamat walaupun ketika era Rasulullah S.A.W. Ketika zaman Islam mula meresapi seluruh Jaziriyah Arab, maka proses menguruskan jenazah memerlukan kapur barus. Maka dicatatkan pada waktu ini, orang Melayu adalah bangsa yang mengambil kesempatan ini dengan memperdagangkan kapur barus kepada orang Arab. Ini berlaku ketika kerasulan Rasulullah S.A.W

Atas sebab ini, dicatatkan bahawa terdapat proses keluarnya pedagang Arab ke Kepulauan Melayu untuk mendapatkan kapur barus lalu dibawa ke Tanah Arab. Atas sebab ini juga, dicatatkan bahawa Islam sebenarnya mula dikenali oleh penduduk Nusantara seawal 674 Masihi apabila dicatatkan terdapat penempatan-penempatan orang Arab Islam di dalam wilayah Empayar Melayu Srivijaya iaitu di Sumatera Timur.

Lebih awal daripada itu, para sahabat nabi dikatakan pernah sampai ke Tamadun Melayu pada suatu ketika dahulu. Dicatatkan bahawa sebuah rombongan para sahabat nabi yang diketuai oleh Wahab bin Abi Qabahah telah sampai ke Riau pada 627 Masihi.

2. Fasa Pertapakkan

Dicatatkan juga ketika era Dinasti Umaiyyah mengambil alih pemerintahan Khalifah Islam di Timur Tengah, khalifahnya yang pertama yang juga merupakan sahabat nabi, Muawiyah R.A telah menghantarkan armada kapal untuk melakukan tinjauan di Tamadun Melayu. Ketika itu, Muawiyah dalam misi meluaskan empayar Islam dan memastikan bahawa pedagang-pedagang Islam tidak ditindas.

Ketika sampai di sebuah kerajaan di Kepulauan Melayu yang bernama Kalingga, pemerintah kerajaan tersebut merupakan Ratu Sima yang memerintah Pulau Jawa ketika itu, Muawiyah mendapati bahawa pedagang Islam dijaga dengan baik membuatkan Muawiyah membatalkan niatnya. Dicatatkan bahawa putera Ratu Sima yang bernama Raja Jay Sima turut memeluk Islam akibat dakwah ketika itu pada 726 Masihi.

Disamping itu, Muawiyah juga telah berusaha menjalinkan hubungan dengan kerajaan Malayu malah mengajak rajanya yang bernama Lkitavarman memeluk Islam. Lebih awal dari pengislaman putera Ratu Sima, seorang maharaja Empayar Melayu Srivijaya pernah dicatatkan mengirimkan surat kepada Khalifah Umar Abdul Aziz yang merupakan khalifah untuk Dinasti Umaiyyah. Isi surat tersebut adalah seperti berikut:

“Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari 1000 raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah, dan kawasan taklukannya adalah 2 sungai,yang mengairi tanam- tanaman, wangi-wangian, pohon pala, dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya.

Kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu.Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan, dan beta harap agar anda menghantar seseorang,yang dapat mengajarkan ajaran Islam,serta menunjukkan undang-undangnya.”

Dicatatkan bahawa Maharaja Indravarman, maharaja Srivijaya yang mengirimkan surat ini turut memeluk Islam pada terkemudiannya. Nama kerajaan Melayu ini kemudian bertukar kepada Sribuza Islam.

Pengislaman beberapa raja dan kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu ini telah membuatkan Dinasti Tang di China tidak senang duduk. Ini kerana bekalan tetap lada hitam dan segala kekayaan alam di Kepulauan Melayu ini diplopori oleh orang Islam.

Lalu Dinasti Tang telah mengirimkan dua orang pendeta Buddha bermazhabkan Buddha Mahayana yang bernama Wadjarabodhi dan Amoghabaraja ke Srivijaya untuk menandingi penyebaran Islam di sana. Kemudian dicatatkan pada tahun 730 Masihi, sebuah pemberontakan orang Melayu beragama Buddha telah berlaku dan pemberontakan ini didalangi oleh Dinasti Tang. Dengan Sribuza Islam yang merujuk kepada Srivijaya beragama Islam ini pun runtuh.

Dalam masa yang sama, akibat penggolakkan Dinasti Umaiyyah yang sedang mengalami konflik dan kacau bilau tidak dapat menghantarkan bantuan bagi mematahkan pemberontakan tersebut.

Ketika sinar Islam yang dibawakan oleh golongan Sunni malap di sekitar kawasan Palembang, Jambu dan sebahagian Sumatera, terdapat perubahan aneh berlaku pula di kawasan sekitar utara Sumatera.

Konflik kejatuhan Umaiyyah dan kebangkitan Abbasiyah memerintah menjadi Khalifah banyak mempengaruhi perkembangan Islam di Nusantara. Dicatatkan bahawa golongan syiah yang bersama Bani Abbas ketika menggulingkan Umaiyyah telah melancarkan pemberontakan pulak ke atas Abbasiyah. Di bawah pemerintahan Khalifah Al-Makmum, golongan pemberontak ini berjaya ditangkap. Namun, mereka tidak dibunuh sebaliknya Khalifah Al-Makmum mengarahkan mereka untuk menjalankan kerja kemasyarakatan dengan berdakwah dan menyebarkan Islam.

Lalu untuk menebus segala kesalahan mereka, mereka pun berlayar bersama ulamak-ulamak mereka dan antara kerajaan Melayu terawal yang menerima ulamak dan pendakwah Syiah ialah kerajaan Perlak seawal abad ke-9 Masihi. Dipercayai bahawa raja pertama Perlak memakai nama Sultan Alaiddin Saiyid Maulana Abdul-Aziz Syah memerintah pada 840 Masihi.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 877 Masihi seramai sehingga 200 ribu pedagang Arab dan Parsi yang beragama Islam yang tinggal di Canton berpindah dari sana selepas pemberontakan dan perang saudara yang sememangnya rencah sejarah Dinasti-Dinasti China. Pedagang Arab dan Parsi ini dikatakan berpindah ke negeri yang berada di bawah jajahan Srivijaya seperti Kedah dan Palembang. Ini dapat dibuktikan apabila ditemukan dua keping siling Dirham Baghdad.

Selain daripada dua keping syiling Dirham Baghdad, antara penemuan yang boleh dikaitkan dengan penghijrahan beramai-ramai orang Arab dan Parsi di sekitar Alam Melayu adalah seperti berikut:

- Nisan Syeikh Abdul Qadir ibn Husin Syah Alam di Tanjung Inggeris di Kedah yang berusia 903 Masihi

- Batu Bersurat di daerah Phan-rang yang terletak di kerajaan Melayu Champa yang bertarikh 1025 Masihi

- Batu nisan Ahmad ibn Abu Ibrahim ibn Abu Arradah al-Rahdar Abu Kami di lokasi Phan-rang untuk kerajaan Melayu Champa berusia 1039 Masihi

- Batu nisan yang dijumpai di Pekan, Pahang berusia 1028 Masihi

- Nisan seorang puteri di Brunei berusia 1028 Masihi

- Batu nisan di Pekan, Pahang berusia 1048 Masihi

- Nisan Fatimah bini Maimun ibn Hibat ALLAH di Leran Jawa Timur yang berusia 1082 Masihi

- Batu bersurat Terengganu yang berusia 1303 Masihi

3. Fasa Penyebaran Islam Secara Meluas

Antara kerajaan dan negeri terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang menerima Islam ialah negeri Kedah Darul Aman. Untuk pengetahuan semua, Kesultanan Kedah yang wujud pada hari ini merupakan antara kesultanan tertua di dunia dengan usia yang boleh diejjak seawal 1136 Masihi, hampir 200 tahun lebih awal daripada penemuan batu bersurat di Terengganu dan pengislaman Melaka.

Perkenalkan kepada anda seorang ulamak yang bertanggungjawab meng-Islam-kan Kedah iaitu Syeikh Abdullah Al-Qumairi. Datangnya beliau dari bumi Yaman, bumi tempat asal para Habib yang sedang giat berdakwah di bumi kita. Dicatatkan bahawa Syeikh Abdullah Al-Qumairi datang bersama dengan 11 sahabatnya. Beliau dicatatkan telah mengislamkan seorang raja Melayu Kedah yang bernama Phra Ong Mahawangsa yang selepas memeluk Islam menukarkan namanya kepada Sultan Muzaffar Shah yang kemudiannya mangkat pada tahun 1179 Masihi.

Sultan Muzzaffar Syah kemudian bersama Syeikh Abdullah Qumairi ini kemudiannya bersama-sama berganding bahu mengIslamkan seluruh rakyat Melayu Kedah daripada agama Hindu-Buddha. Syeikh Abdullah Al-Qumairi ini juga memberi nama baru kepada Kedah iaitu Kedah Darul Aman dan mengarahkan pembinaan menara azan di puncak Gunung Jerai. 

Selain itu keadaan kekhalifahan Islam di Timur Tengah di dalam kekacauan membuatkan golongan ahli sufi mula muncul yang menganggap kekacauan yang berlaku di kerajaan Islam adalah kerana pemerintahnya yang mementingkan kebendaan. Golongan tarikat dan sufi inilah yang kemudian keluar dari timur tengah dan wilayah Islam ke Nusantara untuk menyebarkan Islam. Merekalah insan-insan yang bertanggungjawab mengubah mazhab yang dianuti oleh orang-orang Melayu di Kepulauan Melayu dari Syiah kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Antara ulamak sufi yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Tamadun Melayu ialah Syeikh Ismail al-Siddiq dan seorang ahli sufi bernama Fakir Muhammad yang telah sampai ke sebuah kerajaan Melayu iaitu Pasai pada pemerintahan Merah Silu yang memerintah pada sekitar 1261 – 1289 Masihi. Merah silu telah diislamkan oleh ulamak sufi ini lalu mengambil nama sempena dengan pengasas kerajaan sunni Mamluk di Mesir. Nama Merah Silu ditukarkan kepada Sultan Malik Al-Salleh.

Kerajaan teragung orang Melayu selepas era Hindu-Buddha, iaitu Kesultanan Melayu Melaka turut diislamkan oleh ulamak sufi. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menceritakan tentang Syeikh Abdul Aziz yang mengislamkan raja Melaka dan seluruh rakyat Melayu Melaka. Syeikh Abdul Aziz juga merupakan seorang ulamak tassawuf.

Selain Syeikh Abdul Aziz, ulamak-ulamak sufi yang terkenal di Alam Melayu adalah seperti Nurddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Samsudin Sumterani dan Abdul Rauf Singkel. Di Kepulauan Jawa pula, ulamak sufi yang sangat terkenal ialah Wali Songo yang berjaya mengislamkan penduduk Jawa yang sangat kuat tradisi Hindu-Buddha mereka.

Ajaran sufi yang menyapa umat Melayu mungkin adalah penyebab kenapa tiada monument-monument hebat yang dibina oleh orang Melayu ketika era Hindu-Buddha. Kalau ketika itu, kita dapat melihat tamadun-tamadun di alam Melayu membina binaan hebat seperti Borubudur dan Prambanan, tetapi selepas kedatangan Islam binaan yang dibina untuk tujuan bermegah-megah ini tidak dijumpai. Tetapi walaupun sedemikian, Melaka masih boleh berbangga dengan binaan seperti Istana Melaka yang dibina setinggi tujuh tahap sambil disapu oleh cat keemasan.

---

Sumber rujukan:

1. Ahmad Jelaini Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication. (2008)

2. Prof. Dr. Abd Jalil bin Borham, Islam Di Nusantara. Universiti Malaysia Pahang

3. Artikel Utusan Malaysia bertarikh 28/05/2007; Syeikh Abdullah Al-Qumairi ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman

4. Sejarah Kedatangan Islam Dan Kemunculan Pusat -Pusat Utama Pewrkembangan Islam (http://studentsrepo.um.edu.my/359/3/BAB2.pdf) 

5. Lynda Shaffler. Maritim Southeast Asia to 1500. Routledge Publishing. (1995) 


No comments:

Post a Comment