Mungkin ada diantara kita yang dah lama tak dengar Lagu Rasmi Negeri Sembilan sungguhpun berasal atau tinggal di negeri ini. Terutamanya yang dah lama meninggalkan alam persekolahan. Mana tidaknya disitulah hampir setiap hari kita dengar lagu tersebut didendangkan. Bagi mereka yang selalu menonton perlawanan bola sepak atau bekerja di sektor perkhidmatan awam, sudah pasti biasa dengan lagu ini.
Tapi tahukah anda siapakah yang mula-mula mencipta lagu kebesaran bagi Negeri Sembilan? Mengikut sejarahnya, Negeri Sembilan sebelum tahun 1911 belum mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Namun sekiranya ada majlis atau upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Besar, selalunya lagu “Bunga Tanjung” versi lama dimainkan.
Sejak Negeri Sembilan bersetuju menerima Residen Inggeris dan menjadi anggota Negeri-Negeri Bersekutu pada penghujung abad ke-19, Kerajaan Inggeris merasakan perlunya Negeri Sembilan mempunyai lagu kebesaran sendiri. Maka Kerajaan Inggeris mengarahkan Sir Andrew Cadelcott yang pada masa itu bertugas sebagai Pentadbir Tanah Jelebu untuk menggubah sebuah lagu kebesaran bagi Negeri Sembilan manakala liriknya pula telah ditulis oleh Tunku Zakaria Mambang. Oleh itu terciptalah sebuah lagu kebesaran Negeri Sembilan yang diberi nama “Berkatlah Yang Di Pertuan Besar di Negeri Sembilan” yang mempunyai lirik seperti di bawah:
Lagu ini kemudiannya telah di perkenankan oleh Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah pada 1911 dan bermula dari tahun tersebut dengan rasminya Negeri Sembilan mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Setelah itu, bermulalah evolusi dan perubahan demi perubahan telah berlaku terhadap lagu ini.
Menyedari akan terdapat pelbagai versi dan berlakunya perubahan dari segi tempo, melodi dan nyanyian ada yang perlahan dan ada yang agak laju, sewajarnya lagu kebesaran Negeri digubah semula. Justeru, atas inisiatif Yang Mulia Tunku Zain dengan di bantu oleh Dato’ Johari Salleh, sebuah projek bagi menyusun kembali dan menyeragamkan Lagu Kebesaran ini telah dilaksanakan pada tahun 2009.
Dengan mengekalkan melodi asal dan lirik yang sedikit diubah, gubahan lagu tersebut bakal menjadi sebuah gubahan lagu yang merdu dan sedap didengar. Ditambah pula dengan iringan suari harmoni dan instrument muzik yang lebih klasik.
Pada 27 Oktober 2010, versi lagu kebesaran Negeri Sembilan yang baru telah dirasmikan oleh D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz ibni Al Marhum Tuanku Munawir di Hotel Royal Bintang di Seremban, Negeri Sembilan. Dengan gubahan semula ini maka versi baru ini adalah satu-satunya versi yang dengan rasminya terpakai untuk semua majlis serta upacara rasmi di Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment