Friday, 19 December 2014

Sandiwara Mohamad Hasan!

1. Dah lama kami tak 'usik' Mohamad Hasan..sampai ada yang sangka Paneh Miang pun dah 'dibeli' Menteri Besar Negeri Sembilan tu..heh!

2. Masa PAU 2014, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, Ketua UMNO Permatang Pauh telah berjaya curi tumpuan perwakilan apabila menegur pemimpin UMNO yang cakap tak serupa bikin. Beliau gunakan istilah pemimpin UMNO 'authentic' iaitu cakap lain tapi buat lain. Mohd Zaidi turut menjadikan Jokowi (Joko Widodo), Presiden Indonesia sebagai contoh pemimpin yang beperwatakan asli dan 'authentic' hingga mendapat kepercayaan rakyat Indonesia bagi memimpin negara tersebut.

3. Sebelum berlangsungnya PAU 2014, Utusan Malaysia melaporkan Mad Hasan nak rombak Dasar Perumahan Negeri Sembilan. Dilaporkan juga Mad Hasan dah bagi arahan pada PBT untuk tangguhkan permohonan mana2 pemaju untuk sebarang projek pembinaan baru di Negeri Sembilan hingga dasar baru perumahan dilaksanakan tahun depan. Juga disebut di bawah dasar baru itu mengenai ketetapan kuota Bumiputera sebanyak 50% untuk pembinaan rumah lingkungan harga RM75,000 ke bawah, RM150,000 ke bawah dan RM250,000 ke bawah agar orang ramai mampu miliki rumah.
4. Tatkala rakyat rata2nya mengeluh tentang harga rumah yang kian mencanak serta keperluan untuk lebih banyak rumah mampu milik dibina, polisi sebegini sememangnya sesuatu yang dinantikan oleh rakyat. 

5. TAPI..bak sindiran P. Ramlee dalam filem 3 Abdul, "Ini undang2 sangat bagusss.."?!

6. Bagi mereka yang mengenali Mad Hasan secara umum, mungkin akan terpesona bila membaca laporan akhbar tersebut. Namun bagi yang betul2 kenal, pasti akan menggeleng dan terfikir..Mad Hasan dah mula nak bersandiwara!!

7. Sebuah projek perumahan kini sedang dibangunkan di kawasan Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) bersebelahan Taman Palma Jaya Perdana (PJ Perdana) berdekatan Paroi Jaya Seremban. Di situ sedang giat dibangunkan rumah2 banglo mewah oleh sebuah syarikat pemaju yang berkonsepkan matrix di atas TANAH KERAJAAN seluas 42 ekar yang berstatus Tanah Rezab Melayu. Kebanyakan harga rumah mewah di SIGC itu berharga lebih RM900,000 dan ada juga yang telah pun menjangkau lebih RM1 juta. 
..jalan masuk ke tapak projek..

8. Pada mulanya, pembodek Mad Hasan mengkhabarkan projek perumahan itu dibuat khas untuk menarik orang2 kaya Melayu yang bekerja di Kuala Lumpur untuk beli rumah di situ; dan sebab itulah projek tersebut dibina atas Tanah Kerajaan berstatus Rezab Melayu. 

9. Tapi akhir2 ni dah terbalik pulak..lebih 50% rumah dalam projek tersebut telah pun terjual kepada pembeli Cina. Rupa2nya tanah yang berstatus Rezab Melayu itu telah pun ditukar statusnya kepada pegangan bebas. What the heck?! Entah tanah corok mana la yang nak dijadikan tanah ganti bagi Tanah Rizab Melayu yang dah jadi pegangan bebas tu. Entah2 tak berganti langsung!! 

10. Khabarnya semua ini berpunca daripada seorang punahsihat Mad Hasan yang ada bunyi "Lah" di penghujung nama, sebagai penyebab Tanah Rezab Melayu itu terhapus. SIGC bakal dapat untung daripada Cina2 yang beli rumah di situ melalui kutipan yuran bulanan kerana pembeli2 rumah turut diberikan keahlian SIGC secara percuma. "Easily RM30,000 a month", kata punahsihat Mad Hasan.

11. Pemaju dapat untung! Punahsihat dapat untung! SIGC dapat untung! Pembeli Cina untung dapat sakau Tanah Rezab Melayu..TAPI orang Melayu untung apa? Apa pulak keuntungan untuk anak muda yang struggling nak beli rumah? Apa untung yang orang Melayu Negeri Sembilan dapat? Orang Melayu Negeri Sembilan dengan mudahnya hilang hak apabila tanah Rezab Melayu tergadai kepada Cina dek Mad Hasan?!

12. Kenapa Mad Hasan tak bina saja rumah mampu milik di SIGC tu? Kenapa mesti tanah kat corok Jelebu nak dicarikan untuk bina rumah mampu milik, padahal tanah berharga (prime land) di kawasan bandar dijual pada orang kaya dan orang Cina? Rakyat kebanyakan dan orang Melayu hanya mampu tengok saja tanah yang dipijak jadi milik orang..sedangkan Mad Hasan dan kuncu2nya bergelak ketawa sambil hisap curut Habana di coffee house!

13. Orang UMNO di Seremban harus sedar yang projek itu dibina dalam DUN Sikamat. Di PRU-13, UMNO/BN kalah di DUN Sikamat dengan majoriti lebih 500 undi. Kini dengan pembelian rumah secara beramai2 kaum Cina dalam projek tersebut, dijangka akan berlaku pertambahan lebih 200 pengundi Cina yang akan bermastautin di sana. Mengikut trend, orang Cina akan mengundi di kawasan mana yang mereka tinggal. Berdasarkan hakikat itu, bolehkah UMNO/BN menang semula kerusi DUN Sikamat di PRU-14 nanti? 

14. Apa dasar perumahan negeri yang dirancang Mad Hasan sebenarnya? Sedangkan projek perumahan sedia ada depan mata pun tak mampu dilaksanakan kuota 50% untuk Bumiputera, apatah lagi nak buat rumah mampu milik!!

15. Syarikat pemaju yang berkonsepkan matrix itu juga kononnya telah 'memajukan' Bandar Baru Sendayan. Tapi wujud ke rumah mampu milik yang ditawarkan di Sendayan? Setahu kami tawaran untuk buat malam Holloween..adalah di Sendayan. Ada ke Mad Hasan terfikir nak letakkan syarat untuk syarikat berkonsep matrix itu bagi kuota 50% untuk orang Melayu? 'Authentic' ka pemimpin macam Mad Hasan yang cakap lain buat lain?!

16. PERKASA dah berikrar nak pertahankan Tanah Rezab Melayu di negara ini. Pengerusi PERKASA di Seremban pula ialah Mohd Nor Awang. Adakah PERKASA Seremban boleh diharapkan untuk menyanggah Mad Hasan dalam kes ini? Adakah UMNO Bahagian Seremban yang diketuai Haji Abu Ubaidah hanya akan berdiam diri dalam isu ini?

17. Baru2 ini Lilah Yassin, ADUN Palong dari UMNO telah dihalau keluar Dewan Undangan Negeri kerana mengatakan Mohamad Hasan menipu. Adakah benar Mohamad Hasan selama ini seorang penipu?

Sumber : www.panehblogspot.com

ISA TERUS WUJUD DI SINGAPURA

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata tiada gunanya jika undang-undang seperti Akta Hasutan tidak dilaksanakan dengan lebih berani di negara ini hanya kerana bimbangkan tanggapan pihak tertentu kononnya ia akan disalah guna.

Beliau berkata Malaysia perlu tegas dengan pendiriannya untuk melaksanakan sesuatu undang-undang termasuk Akta Hasutan dan jangan mudah terpengaruh dengan desakan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya.

“Kalau kita hendak mansuh Akta Hasutan sebab takut salah guna, samalah kesnya dengan seorang yang (tidak) hendak jual sesebuah kereta berkuasa tinggi hanya sebab takut orang kata bawak laju.

“Jadi kita mesti laksana. Sekarang ini, suka hati sahaja orang bukan Islam hendak cakap apa, buat apa tentang Islam sebab kita tidak ambil tindakan tegas. Itulah punca kenapa mereka berani,” katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Hamid berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja ‘Perpaduan Melayu Teras Pembinaan Negara Islam’ pada Muzakarah Kedudukan Malaysia sebagai Sebuah Negara Islam: Suatu Perbahasan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.

Pada 27 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2014 mengumumkan Akta Hasutan akan dikekalkan dengan penambahbaikan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Joseph Y Yun mempersoalkan keputusan itu.

Abdul Hamid berkata Malaysia perlu mencontohi negara jiran, Singapura yang tegas melaksanakan Akta Hasutan sehinggakan rakyat republik itu tidak berani melanggar undang-undang itu.

“Malah, Singapura masih kekalkan Internal Security Act (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Singapura ditanya kenapa tidak mansuh ISA? Jawab mereka ‘kami tidak pernah salahgunakan’.

“Malah, tiada dalam perlembagaan mereka bahawa Islam agama rasmi atau boleh buat undang-undang untuk halang bukan Islam sebar agama kepada orang Islam.    
       
“Tetapi apabila dua Cina beragama Kristian sebar risalah kepada orang Melayu, mereka terus ditangkap dan dihukum di bawah Akta Hasutan. Kita? Kenapa tidak buat?” soal beliau.

Semasa membentang kertas kerjanya, Abdul Hamid berkata orang Melayu dan umat Islam perlu bersatu padu tidak kira mendokong apa jua parti politik sekalipun kerana jika tidak, umat Islam akan berpecah belah sekaligus merugikan orang Melayu itu sendiri.

Menurutnya mereka perlu berfikir bagaimana untuk bergabung atau bekerjasama sekurang-kurangnya di peringkat persekutuan supaya terus memperjuang nasib dan prinsip Melayu dan Islam itu sendiri daripada hilang di negara ini.

Sementara itu, Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata golongan ulama dan intelektual perlu lebih berani menterjemah prinsip Maqasid Shari’ah (berfikir secara pragmatik) secara praktikal dalam membantu kerajaan merealisasikan syariat Islam secara pragmatik dan tidak konvensional. – BERNAMA

Sumber : www.malaysianewsonline.com

Thursday, 11 December 2014

PANGGUNG SENI TRADISIONAL 2014 : KOLEKSI TARI KLASIK MALAYSIA

Melabuhkan tirai 2014, Koleksi Tari Klasik Malaysia dipentaskan pada 31 Oktober & 01 November 2014 sempena program Panggung Seni Tradisional 2014. Koleksi Tari Klasik Malaysia merupakan siri ke-8 selepas pementasan Boria; pada 21 & 22 Februari 2014, Wayang Kulit Gedek; pada 07 & 08 Mac 2014, Dramatari Klasik India – Anarkali; pada 11 & 12 April 2014, Koleksi Tari Borneo pula pada 09 & 10 Mei 2014 dan  Teater Tradisional Makyong pada 20 & 21 Jun 2014. Seterusnya Teater Tradisional Menora 15 & 16 Ogos 2014, Teater Tradisional Jikey pada 12 & 13 September 2014.  
Kehadiran YBhg. Dato' Suhaimi @ Pakngah 
dan isteri serta YBhg. Dato' Zulkifli dan Che'Kem


Nyanyian Lagu Negaraku

Persembahan Koleksi Tari Klasik Malaysia ini menggabungkan lima (5) kumpulan yang terdiri daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kumpulan KESUMA Universiti Malaya, Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kumpulan Angika Fine Arts dan paling istimewa; kumpulan ‘orang lama’ Kompleks Budaya Negara (KBN); Pertubuhan Warisan Seni Tari dan Muzik Melayu – MAWARKU.
Eezmeer Khasbullah

Suhailla Ng

Program dimulakan dengan persembahan syair yang disampaikan  oleh penyanyi tempatan iaitu saudari Suhailla Ng; diringi gesekan violin saudara Eezmeer Khasbullah. 
Bertimpuh ~ Persembahan Buka Panggung
dalam Pementasan Mek Mulung

Gerak tari Bertimpuh mengambil tempat di atas pentas sebagai pembuka acara; dipersembahkan oleh gabungan lima (5) buah kumpulan. 
Tarian Asyik Sasang

Tarian Dabus

Tarian Cinta Sayang

Tarian Klasik India - Odissi

Tarian Joghee

Seterusnya diikuti dengan Tarian Asyik Sasang yang ditarikan oleh Kumpulan MAWARKU dan Kumpulan KESUMA, Tarian Dabus oleh KK JKKN Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Tarian Cinta Sayang pula persembahan gabungan Kumpulan MAWARKU dan Kumpulan KESUMA, Tarian Klasik India – Odissi yang dizahirkan oleh Kumpulan Angika Fine Arts dan Tarian Joghee yang ditarikan oleh KK JKKN Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur. 
Tarian Terinai
(gambar atas dan bawah)
Program diteruskan dengan persembahan Fakulti Tari, ASWARA iaitu Terinai, disusul dengan Tarian Sapu Tangan oleh graduan Universiti Malaya, Tarian Rodat oleh KK JKKN Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Tarian Layang Mas  oleh ASWARA, Tarian Ya Ladan oleh Kumpulan MAWARKU dan akhir sekali persembahan dari Kumpulan KESUMA iaitu Zapin Hanuman
Tarian Sapu Tangan
(gambar atas dan bawah)
12 genre tarian dipersembahkan sekaligus di atas satu pentas telah menarik begitu ramai penonton. Kehadiran para aktivis seni tari dan para peminat dari kelompok seni yang begitu mengujakan menyuntik semangat kepada warga produksi secara keseluruhannya. 
Kesenian Rodat

Tarian Layang Mas
(gambar atas dan bawah)

Tarian Ya Ladan

Zapin Hanuman

Segmen seterusnya menampilkan Joget Gamelan (Timang Burung); dibawakan oleh Fakulti Tari, ASWARA. KK JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula membawakan Tarian Sewang bagi mewakili masyarakat Orang Asli di Malaysia; dan Tarian Kuda Kepang yang juga dipersembahkan oleh Fakulti Tari, ASWARA. 
Joget Gamelan (Timang Burung)

Tarian Sewang

Tarian Kuda Kepang

Akhir sekali Kumpulan MAWARKU mempersembahkan Joget Selendang buat tatapan penonton. Persembahan Koleksi Tari Klasik ini diakhiri dengan persembahan finale dengan iringan medley lagu Watimang Landak dan Ya Bani Ya Badang.
Joget Selendang

Panggung Seni Tradisional 2015 pula dijangka akan menemui khalayaknya tahun hadapan. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memainkan peranan penting dalam memulihara dan mengekalkan khazanah seni budaya negara. 
FiNALe
(gambar atas dan bawah)
Sama-samalah kita nantikan dan teruslah menyokong peranan dan usaha JKKN dalam menyemarakkan warisan seni tradisional rakyat  yang autentik dan klasik ini agar tidak pupus dan dilupakan oleh generasi baharu. 

Para Artis Budaya bergambar dengan VIP

Laporan disediakan oleh : Art Mohamad

BICARA SENI 2014 : KESEDERHANAAN DALAM PERPADUAN NASIONAL

Bertempat di Dewan Eksperimental, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pada 15 Oktober 2014 yang lalu, program Bicara Seni Siri IV telah dilaksanakan. Kali ini, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) JKKN telah mengundang seorang tokoh yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhaan Global iaitu Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Pahang bagi tempoh 08 Mac 2008 hingga 05 Mei 2013. 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Antarabangsa Kebudayaan Islam (CiTRA), Universiti Islam Antarabangsa ini telah dilaksanakan dengan kehadiran seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar UIA dan orang awam. YBhg. Encik Mohamad Razy Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah sudi hadir bagi memeriahkan majlis. Turut hadir memberikan sokongan ialah YBrs. Encik Ghazali Bidin, Pengarah JKKN Selangor berserta timbalan beliau; Tuan Haji Saini Lini serta YBrs. Dr. Mahadi J. Murat, Pengarah CiTRA. Program ini telah berlangsung selama dua (2) jam dan dikendalikan oleh seorang pemudah cara yang tidak asing lagi, iaitu Saudara Suhaimi Mohamed. 
Di dalam ceramah beliau, Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah menekankan beberapa perkara seperti berikut :

1. Sikap kesederhanaan dan perpaduan antara kaum boleh dipupuk melalui sistem pendidikan negara;

2. Dialog antara kaum dan agama perlu diadakan bagi memupuk semangat toleransi dan kerjasama rakyat yang berbilang kaum;

3. Kepesatan pembangunan teknologi dan media sosial boleh mempengaruhi hubungan kaum di Malaysia;
4. Setiap umat Islam perlu memahami dan menjauhi sikap ‘pelampau’ dalam segala aspek kehidupan serta memahami Perlembagaan Negara demi kelangsungan keamanan;

5. Dana khas berbentuk intensif cukai boleh ditawarkan kepada pihak swasta yang mampu menganjurkan program/aktiviti yang melibatkan hubungan kaum khususnya di antara Semenajung dan Malaysia Timur.

6. Peranan serta penglibatan generasi muda bagi menyampaikan idea kepada pihak kerajaan melalui Badan Bukan Kerajaan (BBK) penting bagi menentukan hala tuju sesebuah negara.
7. Kesederhanaan dalam semua bidang yang merangkumi pendidikan, cara hidup berjiran, berkawan dan hubungan dengan pemerintah dilihat mampu untuk menyelesaikan banyak isu sensitif dengan baik;

8. Aktiviti sukan serta kerja-kerja kebajikan seperti gotong-royong juga salah satu usaha yang mampu memupuk perpaduan dan mengimbangi jurang antara kaum; dan

9. Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan namun semangat toleransi dan perbincangan antara kaum perlu diteruskan bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara.
Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah juga bersetuju bahawa untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum, kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan merupakan faktor utama seperti mana yang disarankan di dalam agama Islam. 


Program yang berakhir pada pukul 4.30 petang itu telah berlangsung dengan lancar dan teratur serta mendapat maklum balas yang begitu baik dari para peserta dalam sesi soal jawab. 


Laporan disediakan oleh : Art Mohamad

Monday, 8 December 2014

INSPITARI 2014

Inspitari 2014 merupakan kesinambungan Inspitari terdahulu (2010  hingga  2013) yang melibatkan 15 Kumpulan Kesenian JKKN. Penganjuran ini merupakan satu usaha dalam melahirkan karya dan produk baharu yang lebih dinamik dan segar. Objektif penganjuran program ini adalah untuk memperbanyak koleksi tarian baharu yang unik, segar dan beridentitikan Malaysia. Di samping bertujuan meningkatkan daya kreativiti para jurulatih dan artis budaya (tari dan muzik) setiap Kumpulan Kesenian JKKN. Program ini dilihat mampu menjadi pemangkin untuk melahirkan kumpulan kesenian yang lebih mantap, berketerampilan dan bertaraf profesional.
Ilham YBhg Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN ini telah menghasilkan satu jenama Inspitari; gabungan dua perkataan Inspirasi dan Tari. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, Inspirasi bermaksud ilham, bisikan hati, sesuatu yang menggerakkan hati untuk mencipta sesuatu manakala Tari pula bermaksud tarian gerakan badan serta tangan dan kaki secara berirama mengikut rentak muzik. Namun dalam konteks program yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini, Inspitari merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti yang ditampilkan dalam bentuk persembahan tarian ciptaan baharu berasaskan imej dan identiti negeri serta masyarakat Malaysia yang dipersembahkan oleh Kumpulan Kesenian JKKN. 
Inspitari 2014; melibatkan seramai 16 orang jurulatih dan 276 orang artis tari serta berjaya menzahirkan 16 karya baharu untuk dipersembahkan. KKJKKN Johor membawa karya yang bertajuk Mappa Duppa dan dicipta oleh Encik Hamly Shah Ramli manakala KKJKKN Perak pula mempersembahkan Rontak Kudo yang dicipta oleh Encik Zuri Azmir Zukpli.  Met Ketok; karya ilham Puan Nor Azreen pula mewakili KKJKKN Kedah, manakala Encik Abd Razak Abd Malek menghasilkan karya bertajuk Ghemeh yang dipersembahkan oleh KKJKKN Pulau Pinang. KKJKKN Kelantan pula mempersembahkan karya Encik Mohd Radzi Yusof yang bertajuk Mek Bungo. 
Encik Suhaib Daud telah menghasilkan karya baharu bagi KKJKKN Melaka bertajuk Tari Nazam manakala tarian Ulun Madai pula telah digarap dengan begitu menarik oleh Puan Hasni Abu Hassan dan dipersembahkan oleh KKJKKN Sabah. 
Karya yang ringkas namun indah telah diilhamkan oleh Encik Amran Nunet bagi KKJKKN Ibu Pejabat (I) bertajuk Kiut dan diikuti oleh Rambong Krathong; karya baharu inspirasi Encik Novriadi Jamalus mewakili KKJKKN Perlis. KKJKKN Pahang pula mempersembahkan Lenggok Che’ Nor, hasil garapan Encik Mohd Ash’ari Osman dan sentuhan orang lama iaitu Encik Muhammad Muhaldin Jamin telah menghasilkan karya Keroncong Berdendang Kasih; dipersembahkan oleh KKJKKN Selangor. 
Ngalai Apu’ Busak dipersembahkan dengan mantap oleh KKJKKN Sarawak, hasil karya Puan Soffina Ahamad manakala KKJKKN Terengganu mempertontonkan karya yang diberi nama Rejam Jengan. KKJKKN Negeri Sembilan pula telah mempersembahkan Ghontak Bongai; ilham Encik Nor Shaifulnizam Ramli. Puan Siti Suhaila Taman pula telah mengilhamkan tarian Kabaddi yang dipersembahkan oleh KKJKKN Ibu Pejabat (II) dan sebagai penutup, JKKN WP Kuala Lumpur memperlihatkan karya baharu yang diberi nama Lenggang Bukit Bintang hasil sentuhan Encik Raziff Abd Rahman.
Persembahan Inspitari 2014 ini menampilkan Muaz Mohamed dan Hanie Hamid sebagai pasangan pengacara di samping juruacara tersohor; Encik Saifulkhairi Ahmad. Turut memeriahkan persembahan ialah tiga (3) kumpulan undangan iaitu Pertubuhan Warisan Seni Tari dan Muzik Melayu (MAWARKU) yang mempersembahkan tarian autentik berjudul Asyik Sasang; Kumpulan Kesenian Ya Nasr (Kelab Tunas Budaya) dengan Rampaian Tarian Rakyat dan kumpulan Wakaka Crew yang mempersembahkan tarian generasi muda yang diberi nama Urban 1Malaysia. 


Laporan disediakan oleh : Art Mohamad